Followers

Thursday, 29 May 2014

BAB 38 - TAK SANGKA AKU



BAB 38

“ABANG Azrai ni, tak habis-habis nak bergurau. Kalau bergurau pasal lain tak apalah jugak. Ini pasal kahwin pulak,” omel Julia sambil tersenyum.
Dia mengeleng beberapa kali.
“Ada ke patut, aku yang masih muda belia ni diajaknya kahwin? Sekali-sekala tak apalah. Ini dah selalu dia hantar e-mel sama. Buat sakit perut aku aje gelakkan dia,” omel Julia lagi.
Dia menekan butang komputer riba di depannya setelah menaip sesuatu di situ. Membalas e-mel yang dihantar Azrai padanya.
Tidak lama Julia kembali menelentang tubuh ke tilam. Matanya dipejam celik beberapa kali. Sejak awal malam dia mengadap komputer. Membaca dan membalas setiap e-mel yang dihantar padanya. Salah satunya daripada Azrai.
Sahabat baik Zarif itu tidak pernah lupa menghantar e-mel saban minggu. Ada saja berita atau perkara mahu disampaikan walaupun Julia jarang-jarang dapat membalas. Membaca e-mel lelaki itu mengingatkan Julia pada gurauan Azrai yang memintanya menjadi isteri lelaki itu. Telah beberapa kali lelaki itu meluahkan gurauan sama setiap kali 
Julia menyuruhnya berkahwin. Julia sendiri tidak pernah menganggap serius gurauan itu walaupun adakala lelaki itu seperti bersungguh-sungguh.
Pada Julia masih terlalu awal untuk dia berfikir tentang perkahwinan. Masih banyak perkara yang perlu dilakukannya di usia awal dua puluhan itu. Dia sendiri hakikatnya belum bersedia membawa diri ke dunia perkahwinan. Mengenangkan kebaikan Azrai juga menjadikannya tidak pernah bermimpi berada di sisi lelaki itu. Jauh sekali berangan untuk hidup bersama sepanjang hayat.
Huh, jangan kata nak kahwin, bercinta pun aku tak pernah. Inikan pulak nak fikir bab-bab macam tu. Jauh lagilah, bisik Julia dalam hati.
Senyuman Julia melebar apabila teringatkan seseorang yang akhir-akhir ini menganggu fikirannya. Hingga dia sering kali hilang dalam khayalan sendiri.
Sedar tidak sedar sudah setahun Julia di London. Selama itu juga dia mengenali Faizam walaupu tidak sepenuhnya. Benar kata Farah suatu ketika dulu. Faizam jauh dari apa yang difikirkannya selama ini. Lelaki itu begitu baik dalam setiap segi. Tidak pernah Julia melihatnya meninggalkan suruhan agama. Tutur katanya juga sopan dan penuh nasihat walaupun sesekali menyengat. Dia tidak jemu-jemu mengajak Julia menunaikan solat apabila tiba waktunya.
Adakala Julia malu sendiri. Dengan keadaan diri yang begitu naif, dia sebenarnya telah jauh meninggalkan Islam. Dia terlalu mengikut hati mudanya hingga mengabaikan sempadan yang tidak sepatutnya dilangkau. Bukan silap sesiapa semua itu berlaku melainkan dia sendiri.
Keluarga Julia terutama Zarif sendiri begitu menekankan agama dalam kehidupan. Hanya dia yang tidak pernah mahu mendengar kata. Sering mengambil kesempatan atas limpahan kasih sayang orang tuanya dalam mengikut telunjuk nafsunya. Hingga membentuk dia menjadi bongkak dan  angkuh dengan apa yang ada.
Namun itu dulu. Tidak lagi sekarang. Dalam setahun ini, telah banyak perubahan berlaku pada Julia. Perubahan dalam hampir setiap sudut kehidupannya. Tiada lagi pakaian jarang lagi ketat membungkus tubuh. Jauh sekali seksi dan menampakkan bentuk badan. Warna rambutnya juga dibiar kembali ke warna asal. Hitam berkilat walaupun masih tiada tudung yang membalut.
Tutur kata Julia juga semakin sopan dan menyenangkan telinga yang mendengar. Dia juga telah pandai meminta maaf dan merendah diri. Tiada istilah sombong mahupun angkuh wujud dalam dirinya lagi. Semuanya gara-gara Faizam yang digelar budak kampung suatu masa dulu. Pergaulan erat bersama lelaki itu menjadikan Julia berubah tingkah laku tanpa dia sendiri menyedarinya. Sedikit sebanyak sikap Faizam telah mempengaruhinya.
Kini Julia sedar. Ada rasa cinta muncul di hatinya. Rasa cinta khas buat Faizam yang pernah dibencinya suatu ketika dulu. Walaupun Faizam mahupun mereka yang lain tidak pernah tahu. Namun Julia menyimpan hasrat untuk meluahkannya pada lelaki itu suatu masa yang dirasakan sesuai nanti.
Tanpa sedar Julia tersenyum lagi. Bahagia dengan khayalan indahnya malam itu.

FAIZAM tersenyum. Buku diletak semula ke dadanya. Malam telah lama bertandang namun matanya tetap segar-bugar. Tidak seperti mereka yang lain. Telah lama dibuai mimpi. Tidak terasa anjakan waktu yang semakin mengengsot pergi.
Sejak tadi Faizam menyandar tubuh di kepala katil. Fikirannya padat dengan bayangan Balkis. Biar di mana pun pandangannya berlabuh, hanya wajah Balkis menghiasi. Sungguh. Dia tidak dapat menipu hati sendiri. Dia mencintai Balkis. Cintanya begitu meluap. Memenuhi setiap inci ruang hati. Lalu kenangan yang baru dilaluinya beberapa jam lalu kembali menerpa ke layar mata.
Tidak disangka khayalannya menjadi kenyataan malam ini. Hampir-hampir tubuhnya tumbang tatkala terlihat kelibat Balkis bersama Farah menantinya di tangga rumah sewa mereka. Menyambut kedatangannya dengan senyuman manis terukir di bibir. Dia yang terkaku dengan keadaan itu hanya mampu melongo. Tidak percaya dengan apa yang dilihat mata ketika itu.Sedang debar di hati hanya ALLAH saja yang tahu hebat getarannya.
Kelu lidah Faizam untuk bersuara sepanjang bersama. Sepatah katanya bagaikan emas. Terlalu berharga untuk dibuang. Mata Faizam memandang tepat skrin panggung yang terbentang di depan padahal tidak sesaat pun hati dan fikirannya berada di situ. Segala perasaan bercampur aduk. Gembira, suka, malu, segan teradun sekali. Membentuk getaran hebat di hatinya.
Sementara Balkis di sisi hanya bersikap selamba. Seakan -akan tiada apa berlaku antara mereka. Farah pula begitu ralit menonton hingga tidak peduli dengan keadaan sekeliling. Seolah-olah dia tidak wujud antara mereka.
Paling Faizam tidak dapat lupakan saat Farah meninggalkan dia dan Balkis berdua-duaan di restoran setelah selesai menonton wayang. Alasannya dia perlu menemui Irwan Putra yang tiba-tiba menelefonnya ketika itu.
Sempat Farah berpesan supaya menghantar Balkis pulang sebelum berlalu. Mengigil seketika tubuh Faizam walaupun dia cuba untuk tidak memperlihatkannya. Begitu gementar hingga makanan yang ditelan tidak memberi sebarang rasa.
Namun perlahan-lahan rasa gugup itu hilang tatkala Balkis memulakan bicara. Ternyata Balkis tidak sedingin yang difikirkan. Gadis itu begitu peramah dan mesra melayani perbualannya walaupun wajah serius itu jarang  sekali mengukirkan senyuman. Satu sikap Balkis yang cukup dimakluminya sejak dulu. Sesekali gadis itu menunduk tatkala bola mata mereka bersabung. Menambah debaran hati Faizam yang memandang. Tertawan dengan tingkah laku spontan gadis itu.
Diam-diam Faizam sedar. Cintanya terhadap Balkis semakin mendalam kini. Hampir setiap masa istilah ‘aku cinta padamu’ berkumandang di hati. Sayangnya istilah keramat itu hanya mampu berterbangan di seluruh urat sarafnya. Tidak sesekali pernah terluah dari mulut. Jauh sekali sampai ke pendengaran Balkis.
Bibirnya ingin meluahkan namun akalnya melarang. Bimbang andai perhubungan yang baru berbunga kuncup semula. Lalu menutup peluangnya untuk mendapat gadis impian yang baru diketahui masih belum berpunya. Sangkanya lelaki yang ditemuinya bersama Balkis di bangunan KOMTAR suatu masa dulu adalah teman lelakinya.
Tidak terlintas di hatinya lelaki itu adalah Anaz, abang susuan Balkis lantaran mereka tidak pernah bersua muka sebelum itu. Mujurlah Faizam tergerak hati untuk bertanya pada Balkis yang menjawab tenang segala pertanyaannya.
Faizam menarik nafas semula. Beberapa kali sementara mindanya ligat berputar. Dia perlu melakukan sesuatu untuk mendapatkan Balkis. Sesuatu yang mampu mengikat mereka selamanya. Dia mahu semuanya berlaku di jalan sepatutnya tanpa ada sebarang paksaan. Dia mahu Balkis menerima dia seadanya. Bukan kerana kedudukan atau kekayaan tetapi kerana dirinya sendiri. Dia tidak kisah malah tidak peduli andai Balkis bukan siapa-siapa. Asalkan gadis itu dapat menerima dirinya, itu cukup memadai baginya.

“JADI macam mana? Kita nak buat apa sekarang?” soal Julia sambil memandang Faizam. 
Faizam membalas tenang pandangan Julia. Sesekali matanya jatuh pada helaian kertas di depan mereka. Sejak sejam lalu mereka berada di laman kampus bagi membincangkan tugasan terbaru yang diterima daripada pensyarah tengah hari tadi.
“Aku rasa kita buat aje macam yang kita bincangkan tadi,” jawab Faizam setelah berfikir beberapa ketika.
“Maksud kau, kita ke Belanda?”
Faizam mengangguk kecil tanpa menyahut.
“Tapi macam mana kita nak pergi? Kita bukannya ada kenderaan nak ke sana.”
“Tentang tu kau jangan risau. Aku boleh sewa kereta nanti. Tak pun kita naik bas aje sepanjang kat sana. Lagipun tak lama lagi cuti semester akan bermula. Jadi tak ada masalah rasanya kalau kita siapkan assignment ni sepanjang cuti dua minggu tu nanti. Assignment ni pun hanya akan dihantar selepas itu.”
Faizam mengemas semula segala peralatan dan buku yang digunakan sebelum menyumbat masuk ke dalam beg sandangnya.
Julia mengangguk setuju. Dia turut mengemas segala barangannya sebelum melepaskan keluhan kecil. Sekaligus menjemput pandangan Faizam ke wajahnya.
“Kau kenapa Julia? Tiba-tiba aje mengeluh? Kau penat ya?”
Pertanyaan itu menyentak Julia. Pantas dia menggeleng lalu tersenyum kecil.
“Taklah. Aku cuma teringatkan keluarga aku aje. Dah setahun aku tak balik ke Australia. Rindu pulak pada dia orang walaupun dia orang selalu hubungi aku.”
“Kalau macam tu cuti semester nanti kau baliklah kejap,” cadang Faizam.
“Macam mana nak balik, cuti semester tu pendek sangat. Dahlah kita baru aje bercadang nak ke Belanda nanti. Lagilah tak sempat nak balik,” balas Julia cepat-cepat.
“Alah, apa pulak tak sempatnya. Kita bukannya pergi berminggu-minggu ke Belanda tu. Dua tiga hari aje. Balik dari Belanda kau baliklah ke Australia kejap. Tak dapat seminggu, tiga empat hari pun dah kira okeylah tu.”
Julia terdiam seketika. Memikirkan cadangan Faizam.
“Zam, kau nak ikut aku balik Australia tak?” pelawa Julia tiba-tiba.
“Ikut kau balik Australia? Buat apa?” soal Faizam sambil berkerut dahi.
“Alah, saja jalan-jalan makan angin kat sana. Bolehlah jugak kau tengok negara orang. Pasal tambang flight kau tak payah risau. Aku bayarkan semuanya. Anggap aje semua tu hadiah aku pada kau,” ujar Julia lagi tanpa menyedari kedudukan sebenar lelaki itu.
Lalu membuatkan Faizam tersenyum lebar. Sedikit sebanyak kata-kata ikhlas itu menjentik rasa lucu di hati Faizam. Terasa dirinya begitu daif di mata gadis itu walaupun dia sedar yang Julia tidak pernah mengetahui latar belakangnya. Bahkan hampir kesemua kenalannya berkeadaan serupa. Tidak mengetahui latar sebenar kehidupannya. Hanya mereka yang benar-benar rapat sahaja yang tahu. Itu pun jika dia membuka mulut. Dia sendiri hakikatnya tidak berminat mencanangnya pada semua orang. Dia lebih selesa hidup dalam keadaan sederhana.
“Tak apalah Julia, terima kasih atas pelawaan kau tu. Buat masa sekarang aku sibuk dengan kerja. Lagipun aku dah selalu ke sana. Bosan rasanya kalau selalu pergi ke tempat yang sama aje.”
Penolakan lembutnya dibalas dengan cebikan Julia.
“Huh, kau ni Zam. Cakap macamlah kau dah biasa dengan Australia tu. Setakat tengok dalam televisyen dan internet tu, apalah sangat. Jual mahal pulak,” cemuh Julia sambil menjeling Faizam yang kembali menguntum senyuman.
“Kau cakaplah apa yang kau suka pun Julia, aku tak kisah,” balas Faizam lembut.
Dia sebenarnya sudah terlalu kerap menjelajah Australia. Hampir saban tahun dia ke sana. Bertemu dengan abang kandungnya yang telah lama bermastautin di negara itu walaupun hanya untuk beberapa hari. Kerana itu dia tidak berminat untuk menerima jemputan Julia.
Julia hanya merengus kecil. Tidak berkecil hati dengan penolakan Faizam. Sedar dia tidak berhak memaksa. Lalu dia tersenyum semula. Menyenangkan hati Faizam yang melihat. 

BAB 37 - TAK SANGKA AKU



BAB 37

“BOLEH aku duduk?”
Faizam yang sejak tadi ralit menulis sesuatu di buku tersentak. Terkejut dengan kemunculan Julia yang entah bila berdiri tidak jauh darinya.
“Eh, du... duklah,” jawab Faizam tergagap-gagap.
Dihala tangan ke arah bangku batu di depannya.
Perlahan-lahan Julia melabuhkan punggung di situ.
“Maaflah kalau aku ganggu kau,” ujar Julia memulakan kata.
Terasa kekok untuk memulakan bicara setelah apa yang berlaku.
“Eh, mana ada kau ganggu. Aku pun bukannya buat apa, just salin semula nota yang diberi pensyarah kita dalam kelas tadi,” balas Faizam, kembali tenang.
“Julia, aku minta maaf. Aku betul-betul menyesal dengan apa yang aku dah buat malam tu. Aku sebenarnya tak berniat pun nak buat macam tu tapi tak tahu kenapa tiba-tiba aje aku naik angin. Aku betul-betul minta maaf Julia. Aku nak jumpa kau tapi aku rasa malu. Yalah, mana tahu kau masih marahkan aku. Maafkan aku ya Julia,” ucap Faizam sungguh-sungguh dan kesal. 
Matanya tertancap sejenak di pipi gebu gadis itu. Masih berbekas tamparannya di situ walaupun lebamnya telah kurang. Menjadikan Faizam terus-terusan diburu rasa bersalah dan kesal.
“Bukan silap kau semua tu berlaku. Sepatutnya aku yang minta maaf. Aku kata macam-macam pada kau malam tu. Memang betul apa yang kau cakap. Aku memang kurang ajar, biadap sangat. Aku terlalu bangga dengan apa yang aku ada sampai aku jadi bongkak dan sombong pada orang lain. Tapi aku dah sedar sekarang. Aku memang layak dapat semua tu. Kalau aku kat tempat kau pun mungkin aku jugak akan buat tindakan sama. Hanya itu aje caranya untuk sedarkan orang bongkak macam aku ni. Aku harap kau sudi maafkan aku,” balas Julia terketar-ketar.
Kepalanya ditundukkan sedikit. Seumur hidupnya, inilah kali pertama dia merendahkan diri meminta maaf. Selama ini hanya orang lain saja yang sering memohon maaf walaupun dia yang bersalah. Kerana itu dia segan menatap wajah Faizam. Segan dengan tingkah laku buruk yang pernah ditunjukkannya sebelum ini.
Faizam menghela nafas. Rasa bimbang masih menyelubungi hatinya ketika ini. Bimbang andai Julia masih tidak dapat memaafkannya. Namun melihatkan riak suram Julia membuatkan dia tidak mahu lagi mengungkit tentang itu.
“Okey, kita sama-sama dah minta maaf. Jadi boleh aku anggap kita seri sekarang?” balas Faizam.
Dia memandang Julia yang kembali mengangkat kepala.
“Tak ada lagi pertengkaran antara kita mulai hari ni?” soal Faizam meminta kepastian.
Mahu memulakan hubungan baru dengan Julia.
“Kalau kau sudi maafkan aku,” balas Julia.
Dia mulai tenang tatkala melihat senyuman di bibir Faizam.
“Jadi, kawan?” Faizam bersuara lagi.
Senyumannya mekar tatkala Julia mengangguk pantas.

“JADI macam mana Farah? Jadi tak kau ikut aku balik ke California cuti semester nanti?” soal Balkis sambil memandang Farah yang berbaring di sisinya.
“Jadi tu jadilah tapi tak menyusahkan kau ke nanti?” soal Farah ragu-ragu.
“Kenapa pulak kau tanya macam tu?”
“Yalah, semua perbelanjaan aku ke sana kau yang tanggung. Tak ke tu menyusahkan kau aje,” ujar Farah, risau.
Tersenyum Balkis mendengar kata-kata itu.
“Kau ni Farah. Apa salahnya kalau aku tanggung semuanya pun. Lagipun aku bukannya guna duit sendiri tapi duit ayah aku. Dia yang beria-ia suruh aku balik ke California. Daripada aku balik seorang lebih baik kau ikut sekali. Ada jugak teman sepanjang aku kat sana nanti,” balas Balkis sambil turut merebahkan tubuh di sisi Farah.
“Balkis, kalau aku tanya kau sesuatu, kau marah tak?” soal Farah.
Dia memandang Balkis yang membalas tenang pandangannya.
“Kau nak tanya apa?”
Farah terdiam sekejap.
“Betul kau langsung tak ada hati pada Faizam?” soal Farah lambat-lambat.
Bimbang kiranya pertanyaan itu menyinggung perasaan sahabatnya itu.
“Kenapa kau tanya macam tu?” soal Balkis.
Farah menghela nafas.
“Aku sayangkan kau dan aku jugak sayangkan Faizam. Aku tak mahu apa-apa yang buruk berlaku antara kau orang berdua. Aku kasihankan Faizam. Dia betul-betul cintakan kau. Kalau betul pun kau tak ada hati kat dia, aku minta kau berilah dia peluang untuk berkawan dengan kau walaupun sekali,” ujar Farah sedikit merayu.
Balkis mengeluh berat.
“Aku bukan tak mahu berkawan dengan dia tapi entahlah. Dari kecil aku tak pernah berkawan dengan lelaki selain dari saudara-mara dan pekerja-pekerja atuk aku. Jadi bila tiba-tiba aje Faizam muncul, aku rasa lain sangat. Kena pulak dia jenis yang terlalu direct. Main terjah aje kalau nak buat apa-apa pun. Lagilah aku tak selesa,” luah Balkis buat pertama kali akan isi hati dan berterus terang.
“Jadi sebab tu kau tak boleh terima Faizam selama ni?”
Lambat-lambat Balkis mengangguk.
“Bukan sebab tu aje. Aku sebenarnya tak suka cara dia pandang aku. Tajam macam nak makan orang. Aku tahulah aku susah senyum. Bukan macam dia, tersengih aje dua puluh empat jam. Tapi janganlah pandang aku macam tu. Aku tak sukalah,” rungut Balkis.
“Kalau kau perasan Balkis, dengan kau aje dia bersikap macam tu tau. Dengan orang lain mana ada dia buat macam tu,” balas Farah sambil tersenyum.
“Kenapa pulak?” soal Balkis, hairan.
“Sebab Faizam kata dia suka tengok muka kau yang susah senyum tu. Lain dari orang lain. Dia kata muka kau akan bertambah cantik bila kau senyum tapi tulah. Susah benar dia dapat tengok kau senyum,” ujar Farah lagi.
Balkis hanya merengus halus. Sedikit sebanyak kata-kata itu berjaya menggembirakan hatinya. Gembira Faizam masih sudi menatap wajahnya walaupun dia sedar yang sejak mereka tiba di London beberapa bulan lalu lelaki itu seakan-akan mahu menjauhkan diri. Seolah-olah kewujudannya tidak lagi disenangi Faizam. Dia tertanya-tanya sendiri dengan keadaan itu.
Baru kini Balkis sedar. Ada sesuatu di hatinya buat Faizam.
Walaupun dia masih tidak pasti dengan maksud kewujudan sesuatu itu namun dia dapat merasainya sejak Faizam mula tidak mempedulikannya.
“Balkis, malam esok kau free tak?”
Soalan Farah menghilangkan lamunan Balkis.
“Kenapa?”
“Aku nak ajak kau tengok wayang.”
“Tengok wayang?”
Farah mengangguk kecil.
“Sebenarnya, Faizam ajak aku tengok wayang malam esok. Dia dah beli tiga keping tiket semalam. Jadi aku terfikir nak ajak kau sekali. Boleh ya Balkis?”
“Kenapa pulak tiba-tiba aje Faizam nak ajak kau tengok wayang?”
Ada nada cemburu yang terpalit dalam suara Balkis walaupun tidak terkesan melalui riak wajah.
“Alah, kau sendiri pun tahu kan? Sejak bulan lepas Faizam dah start buat kerjapart time kat restoran orang Pakistan kat tengah bandar raya tu. Semalam dia dapat gaji pertama. Jadi dia nak belanjalah aku tengok wayang. Yalah. Nak ajak orang dia sayang, orang tu jual mahal pulak. Nak tak nak terpaksalah dia bawa bestfriend dia ni aje.”
Farah terjerit kecil apabila Balkis terus mengetip lengannya. Dia tertawa suka.
“Jadi, kau ikut kita orang nanti ya? Boleh ya Balkis? Please,” rayu Farah.
“Faizam suruh kau ajak aku ke?” soal Balkis.
Farah menggeleng.
“Tapi aku beritahu dia yang aku nak bawa teman baik aku sekali. Apa pulak kata orang tersayang dia kalau tahu aku keluar berdua aje dengan dia nanti. Nanti tak pasal-pasal dia cemburu pulak.”
Farah tertawa semula tatkala satu lagi cubitan Balkis hinggap di lengannya.Malu Balkis apabila diusik begitu.
 “Boleh ya Balkis? Aku betul-betul harap kau ikut kami sekali. Please, kalau bukan untuk Faizam, untuk aku. Itu pun kalau kau anggap aku sahabat baik kau dunia dan akhirat,” ujar Farah lagi sambil mengerdip mata beberapa kali pada sahabatnya itu.
“Wah, tu dah dikira mengugut.”
Farah tertawa semula.
“Boleh ya Balkis,” pinta Farah lagi apabila Balkis hanya mengunci mulut.
Dicuit beberapa kali lengan Balkis sambil tersengih-sengih. Dia bersorak girang apabila perlahan-lahan Balkis mengangguk. Gembira dengan penerimaan gadis itu.

“HAI Zam.”
Langkah Faizam terhenti. Dia berpusing tubuh lalu tersenyum.
“Assalamualaikum Julia,” ucap Faizam lembut.
“Waalaikumussalam,” balas Julia sambil tersenyum kelat.
Malu ditegur begitu. Diatur langkah beriringan Faizam.
“Lambat kau ke kelas hari ni,” ujar Faizam sambil mengerling wajah Julia.
“Biasalah aku. Bangun awal pun habiskan masa dengan bermekap dulu. Kalau tak, tak cantiklah nanti,” balas Julia.
Dibetulkan sedikit kedudukan kemeja yang dipadankan dengan skirt pendek di tubuhnya. Sempat dia menjeling Faizam.
Faizam hanya menyarung t-shirt berkolar dan berseluar slek hitam. Sebuah beg kulit disangkut silang di tubuhnya. Ringkas namun kelihatan kemas.
“Kalau tak mekap pun kau dah cukup cantik Julia,” balas Faizam lembut.
“Mana kau tahu aku dah cukup cantik kalau tak mekap? Memandai ajelah kau ni.”
Kening Julia terangkat sedikit mendengar kata-kata ikhlas itu.
“Dah memang kau cantik, nak kata apa lagi. Kalau kau tak mekap pun ramai lelaki yang gilakan kau. Mekap tu hanya menutup segala kecantikan asli yang kau ada. Dahlah buang masa, buang duit lagi,” balas Faizam selamba.
“Iya ke?” soal Julia.
Faizam mengangguk kecil.
“Zam!”
Panggilan seseorang mengalihkan wajah mereka ke belakang.
“Kau buat apa kat sini Farah?” soal Faizam sebaik Farah berdiri di depannya.
“Kenapa? Tak boleh ke aku masuk kawasan fakulti ni?” cebik Farah.
“Tak adalah macma tu. Kau tak ada kelas ke sekarang ni?”
“Aku ada kelas sejam lagi. Aku ke sini sebab nak jumpa kau dan abang Irwan,” ujar Farah sambil menarik keluar sesuatu dari celah buku di tangannya.
“Aku nak bagi ni,” ujar Farah sambil menghulurkan sekeping penanda buku.
“Untuk apa ni Farah?” soal Faizam.
Namun tetap disambut huluran itu.
“Happy Friendship Day my bestfriend!” ucap Farah sambil tersenyum lebar.
Faizam menepuk dahi.
“Ya ALLAH Farah. Aku terlupalah nak buat satu untuk kau. Sorry sangat-sangat.”
Faizam mengeluh halus. Kesal.
“Alah, tak apa. Kau bagi aje kat aku tahun depan tapi aku nak double tahu. Ganti untuk tahun ni punya,” gurau Farah.
“Dan ni yang untuk awak Julie. Happy Friendship Day ya,” ucap Farah sambil menghulurkan sekeping penanda buku pada Julia.
Terkejut Julia dengan pemberian itu.
“Untuk saya pun ada jugak? Thanks Farah,” ucap Julia.
Dia tidak sangka akan mendapat juga hadiah kecil itu.
“Mestilah Julie. Awakkan kawan saya jugak. Semua kawan-kawan saya akan dapat penanda buku ni setiap tahun sempena Friendship Day,” balas Farah sambil tersenyum lagi.
Dipaling tubuhnya pada Faizam yang sedikit ralit membelek pemberiannya.
“Oh ya Zam, jadi tak kau keluar dengan aku malam ni?” soal Farah.
Faizam mengangguk kecil.
“Apa pulak tak jadi. Kita berdua aje ke nanti?” soal Faizam semula.
Penanda buku pemberian Farah diselit ke dalam beg sandangnya.
“Tak, kita keluar bertiga nanti,” jawab Farah sambil tersenyum lebar.
“Siapa lagi seorang yang nak ikut tu?” soal Faizam sambil berkerut dahi.
“Adalah, kau akan tahu jugak nanti,” balas Farah, tidak mahu berterus terang.
“Hey guys, kau orang cakap pasal apa ni? Kau orang nak keluar ya malam ni? Aku ikut boleh?” sampuk Julia sambil memandang kedua-duanya silih berganti.
“Minta maaf Julie. Saya tak boleh ajak awak malam ni. Next time aje kita keluar ya. Malam ni just for me, Faizam and somebody,” balas Farah segera.
Terus Julia menarik muncung.
“Ala, kenapa tak boleh pulak?” tanya Julia sedikit merajuk.
“Adalah sebabnya Julie. Saya tak boleh beritahu sekarang tapi Insya-ALLAH kalau ada masa nanti saya beritahu awak ya,” pujuk Farah.
“Kalau macam tu, awak temankan saya pergi shopping petang ni ya Farah?”
Muncung Julia kembali memanjang apabila Farah mengeleng perlahan.
“Ya ALLAH Julie, saya minta maaf sangat-sangat. Petang esok bolehlah. Tak pun apa kata awak ajak aje Faizam temankan awak nanti? Dia pun bukannya ada apa nak dibuat. Kau tak kerja kan hari ni Zam?”
Farah mengalihkan pandangan pada Faizam semula.
“Kalau kau tak kisah, aku boleh temankan tapi jangan lama-lama ya. Aku tak suka buang masa begitu aje,” balas Faizam.
Sempat dia memberi peringatan.
“Okey. Kalau macam tu petang nanti kau temankan aku shopping ya,” ujar Julia.
Dia tersenyum girang apabila Faizam pantas mengangguk.
“Jadi kau orang, aku minta diri dulu. Aku nak pergi jumpa dia orang yang lain pulak. Zam, jangan lupa tau malam nanti,” pamit Farah.
Sempat dia mengingatkan Faizam tentang temu janji mereka pada malam nanti.
Faizam mengangguk. Dia kembali menapak bersama Julia.
“Kau orang nak pergi mana malam nanti Zam?” soal Julia.
“Tak ke mana pun. Just tengok wayang. Lepas tu pergi makan. Itu ajelah.”
“Siapa lagi seorang yang nak ikut tu?”
Faizam mengangkat bahu.
“Entah Farah tu, tak nak beritahu pulak. Tak tahulah siapa yang dia nak bawa nanti,” ujar Faizam, benar-benar tidak tahu.
Dalam diam Faizam berharap Balkis walaupun dia pasti gadis itu tidak sesekali akan mengikut mereka. Walaupun hatinya masih terluka dengan peristiwa di KOMTAR beberapa bulan lalu namun jauh di sudut hati rasa cintanyamasih menebal buat Balkis. Tidak pernah terluak walaupun seinci. Faizam mengeluh perlahan tanpa sedar.
“Kau dan Farah memang rapat sangat kan Zam?”
Pertanyaan Julia menghambat pergi lamunan Faizam. Dia mengangguk kecil.
“Memang kami rapat Julia. Sangat rapat hingga tak ada rahsia antara kami.”
“Habis tu kenapa kau orang tak bercinta aje? Bukan ke tu lebih baik? Kau orang kan dah saling memahami antara satu sama lain,” luah Julia akan kemusykilan yang telah lama bersarang di benaknya.
Faizam pula terus meletuskan tawa.
“Nak bercinta apanya Julia. Aku dengan Farah tu dah macam adik-beradik. Cuma tak sama mak dan ayah aje. Memanglah kami rapat sangat tapi aku tak pernah terfikir pun nak bercinta dengan dia. Jauh sekalilah nak kahwin dengan dia,” jelas Faizam.
“Kau tahu Julia. Kadang-kadang bersahabat tu lebih indah dari bercinta. Sebab dengan bersahabat kita boleh terima orang tu seadanya dia. Tak ada batasan antara kita dengan dia kecuali batasan adab dan agama. Lainlah pulak kalau bercinta. Semua aspek kita kena jaga sebab kita mudah terasa hati kalau orang yang kita cinta tu lukakan hati kita walaupun hanya untuk perkara remeh,” ujar Faizam lagi.
“Dahlah Julia. Malas aku nak cakap lagi pasal ni. Jomlah masuk kelas sekarang. Nanti tak ada tempat duduk pulak,” sambung Faizam.
Dia terus menapak sedikit pantas.
Julia hanya mengikut.  

BAB 36 - TAK SANGKA AKU


BAB 36

“SAYA betul-betul minta maaf Julie, maaf sangat-sangat. Awak tahu ajelah Faizam tu. Cepat tangan daripada mulut. Suka hati dia aje nak lepas baran dia tu kat siapa-siapa pun tapi sebenarnya hati dia baik,” ucap Farah, tidak jemu meminta maaf.
“Saya harap awak tak ambil hati dengan kata-katanya. Faizam tu memang macam tu orangnya. Mulut dia tu memang laser betul. Tak pernah fikir dulu sebelum nak cakap apa-apa,” ujar Farah lagi.
Rasa bersalahnya makin berbukit tatkala terpandang kesan tamparan Faizam di pipi Julia. Biru walaupun tidak selebam mana.
“Tak payahlah minta maaf Farah. Bukannya salah awak. Faizam pun tak salah. Dalam hal ni, saya yang bersalah sebenarnya sebab hina dia. Kalau saya kat tempat dia pun mungkin saya jugak akan buat perkara sama,” balas Julia sambil tersenyum sedikit.
“Saya harap awak tak kecil hati dengan Faizam. Walaupun saya tak tahu apa yang dia dah kata tapi anggap ajelah semua tu hanya teguran dari seorang kawan yang tak tahu apa-apa pasal awak. Dia cakap macam tu sebab dia tak kenal awak sepenuhnya. Suka hati dia aje nak kata apa-apa pun,” ujar Farah, menyalahkan Faizam.
Sikap panas baran Faizam cukup difahaminya namun dia juga sedar. Faizam tidak akan bertindak keterlaluan andai tidak diusik terlebih dulu. Namun Faizam mudah sejuk dan tidak malu meminta maaf andai dia bersalah.
“Saya faham Farah. Tak payahlah awak risau. Tak adanya saya kecil hati. Apa pun terima kasih kerana sudi beri saya nota-nota ni. At least saya boleh catch up apa-apa subjek yang tertinggal,” balas Julia ceria seperti ketika Farah tiba tadi.
“Faizam yang ambilkan nota-nota tu untuk awak. Saya cuma tolong hantar aje. Yalah, orang dah buat salah. Malulah nak datang sendiri,” ujar Farah lalu mula bangun.
“Tak apalah Julie, saya minta diri dulu ya. Saya ada kelas kejap lagi ni. Kalau ada apa-apa beritahulah saya ya,” pamit Farah.
Julia hanya mengangguk. Dihantar gadis itu hingga ke pintu. Sehingga Farah hilang dari pandangan barulah dia kembali membenam tubuh ke sofa.
Sudah dua hari Julia tidak ke kampus universiti. Selama itu jugalah Farah menjadi pengunjung setia rumah sewanya. Gadis itu tidak jemu-jemu menghantar nota-nota pelajaran kiriman Faizam walaupun Julia tidak memintanya berbuat demikian.
Dua hari itu juga wajah Faizam tidak dilihat. Bukan kerana marah atau berkecil hati tetapi Julia malu. Dia malu dengan apa yang telah dihamburkannya pada Faizam malam itu. Dia terlalu mengikut kata hati hingga terlupa. Anak muda itu juga manusia biasa sepertinya. Punya hati dan perasaan.
Benar kata Faizam. Julia terlalu berbangga dengan segala miliknya hingga terlupa. Dia masih banyak kekurangan. Kekurangan yang begitu ketara di mata mereka yang memandang. Kekurangan yang selama ini tidak disedarinya dek sikap bongkak dan angkuhnya sendiri. 
Sekilas wajah Faizam kembali ke ingatan. Lalu menjemput semula rasa malu ke hati Julia. Disangka lelaki yang digelar budak kampung itu sama saja sikapnya seperti lelaki-lelaki lain yang dikenalinya selama ini. Menyanjung tinggi dirinya atas segala kelebihannya. Ternyata Faizam sebaliknya. Malah lelaki itu tidak pernah peduli dengan apa yang dia ada. Membuatkan rasa malu terus-terusan bergayut di hatinya.

“JADI macam mana dengan keadaan Julia sekarang?” soal Faizam tidak sabar sebaik Farah melabuhkan punggung di depannya.
“Dia macam mana Farah?” soal Faizam lagi apabila gadis itu tidak menyahut.
“Kalau iya pun Zam, kau bagilah aku bernafas dulu. Walaupun rumah Julie tak jauh dari kawasan kampus ni tapi penat jugak aku menapak tau,” balas Farah sambil menjeling lelaki itu yang hanya merengus kecil.
“Dia masih marahkan aku?”
Tidak peduli dengan kata-kata Farah, Faizam melontar soalan buat kali seterusnya.
“Jawapannya masih sama macam semalam Zam. Dia tak marahkan kau jauh sekali kecil hati dengan apa yang kau cakap kat dia,” ujar Farah tenang.
“Habis tu, kenapa dia tak datang kelas hari ni?”
Ada rasa bersalah dalam nada suara Faizam ketika ini. Bersalah kerana bertindak diluar batasan malam itu.
“Dia cakap dia nak rehat dulu sehari dua. Esok-esok bila dah okey dia datanglah ke kelas macam biasa,” jawab Farah.
“Bunyi macam dia marah kat akulah tu.”
Faizam melepaskan keluhan panjang.
“Hmm... kenapalah mulut aku ni celopar sangat? Sesedap rasa aje aku cakap pada dia malam tu. Siap bagi penampar sulung lagi kat dia,” ujar Faizam, kesal.
“Tulah kau Zam. Langsung tak pakai otak bila nak buat apa pun. Main buat aje sampai tak fikir kesannya. Aku sendiri pun terkena tempiasnya. Tak pasal-pasal jadi orang tengah kau orang pulak,” marah Farah sambil menjeling lagi wajah lelaki itu.
Faizam menggaru-garu kepala. Terkulat-kulat dengan kata-kata Farah.
“Aku bukannya sengaja buat macam tu kat dia Farah. Kau tahulah aku. Cepat sangat naik angin. Apa-apa pun boleh terkeluar dari mulut celopar aku ni,” ujar Faizam lebih kepada memarahi diri sendiri.
“Kalau dah tahu perangai tu buruk, buang ajelah. Buat apa simpan dalam diri kau tu,” tegur Farah.
“Kau ni Farah, apa kau ingat buang perangai macam buang baju ke hah? Kalau sesenang tu, jangan kata hari ni, dari dulu lagi aku dah buang,” marah Faizam.
“Lagipun bukan silap aku jugak semua ni berlaku pun. Kalau Julia tak mulakan dulu, aku pun tak ada nak buat macma tu kat dia,” sambung Faizam.
Farah terkunci lidah sesaat. Dia mengakui kebenaran kata-kata Faizam dalam diam. Sedar Faizam bukanlah seburuk dikata. Walaupun Faizam seoranglelaki yang panas baran namun dia pandai mengawal sikapnya itu. Hanya sesekali sifat buruknya itu muncul. Itu pun jika keadaan memaksa. Lalu Farah menghela nafas panjang.
“Tak apalah Zam, aku faham. Memang bukan salah kau jugak semua ni berlaku pun. Tapi tulah, nak buat macam mana lagi. Benda dah jadi. Aku marah sangat-sangat kat kau pun tak guna jugak. Bukannya boleh ditarik balik semua yang dah berlaku,” ujar Farah, kembali mengendur suara.
“Kau rasa apa yang patut aku buat sekarang?” soal Faizam sambil menatap wajah Farah semula.
“Buat bodoh ajelah Zam. Esok-esok bila dia dah okey, kau minta maaf ajelah dengan dia. Apa susah,” jawab Farah selamba.
Faizam pula terus merengus halus. Hatinya kembali diamuk resah.

“JADI macam mana sekarang? Kau orang setuju ke tak?” soal Iskandar.
Dia memandang teman-temannya. Hampir serentak mereka mengangguk. Bersetuju.
“Okey. Kalau macam tu, bila kita nak bertolak?” soal Adib, teruja.
Tidak sabar menjalankan rancangan mereka berenam untuk melancong ke California pada cuti semester tidak lama lagi.
“Lebih baik kalau kita bertolak sehari selepas cuti semester bermula. Lagi cepat kita sampai sana lagi cepatlah kita balik sini nanti,” luah Danial akan pendapatnya.
“Okey jugak tu. Cuti ni pun bukannya lama sangat. Tak sampai dua minggu pun,” balas Nazrin.
“Kita nak naik apa pergi ke sana nanti?”
Soalan Afiq membuatkan semua mata menghala ke arahnya seketika.
“Apa lagi, naik flight ajelah. Tu jalan paling senang. Kalau sewa kereta kena isi minyak lagi. Jalan pun kita tak tahu sangat. Lambat pulak tu nak sampai. Buang masa aje lebih,” cadang Iskandar.
Cadangan itu disambut dengan anggukan semua.
“Hai, tak sabar rasanya aku nak tengok California,” ujar Adib sambil berbaring di permaidani.
Dipejam matanya. Cuba membayangkan keadaan bandar raya itu.
“Eleh, tak sabar nak tengok California ke atau tak sabar nak jumpa Anne? Maklumlah pengarang jantung kau tu kan study kat sana,” usik Iskandar sambil tersengih nakal.
“Huh, tak ada maknanya aku excited nak jumpa Anne! Hari-hari dah bermesej, telefon lagi. Buat apa nak jumpa dia,” balas Adib selamba.
“Aku sendiri tak terfikir pun nak jumpa dia bila sampai kat sana nanti. Kalau boleh aku nak kita berenam aje yang bercuti. Boringlah kalau nak babitkan orang lain. Kena pulak perempuan. Leceh,” sambung Adib.
“Sebenarnya kau sayang ke tak kat Anne tu Dib?” soal Nazrin.
“Kenapa kau tanya macam tu?” soal Adib dengan dahi berkerut.
“Dah alang-alang kita ke sana, apa salahnya kalau kau jumpa Anne walaupun sekejap. Dahlah kau orang terpisah jauh sekarang. Lainlah masa zaman sekolah dulu, hari-hari boleh jumpa,” balas Nazrin.
“Haah. Betul kata Naz tu Dib oii... Bukan selalu kita boleh ke sana. Apa salahnya kalau kau jumpa dengan dia sekejap. At least lepas jugaklah rindu dendam kau kat dia nanti,” ujar Iskandar sambil tersengih semula.
“Huh, tak ada maknanya aku nak jumpa dia. Dah nama pun pergi bercuti, bukannya pergi bercinta. Esok-esok lepas kahwin jangan kata nak jumpa, dah memang serumah pun. Tak saja serumah, sebilik, sekatil dan sebantal lagi,” balas Adib.
Dia memejamkan matanya semula. Namun bayang Puteri Anne tidak muncul sebaliknya bayang orang lain. Seseorang yang telah lama tidak ditemuinya. Lalu menjemput rasa rindunya. Rindu untuk melihat reaksi tidak keruan gadis itu setiap kali mereka bersua muka. Laila!
Tanpa sedar Adib menyebut nama itu dalam hati. Dia tersenyum sendiri.
“Kau ni kenapa Adib? Tiba-tiba aje senyum sendiri.”
Tepukan Danial di lengan membuatkan Adib membuka mata semula. Bayang Laila hilang serta-merta.
“Alah, berangan Annelah tu. Boring konon kalau jumpa selalu. Sudahlah kau Adib,” tempelak Iskandar tanpa sempat Adib menyahut.
Adib hanya merengus. Matanya kembali dipejam rapat. mahu tidur seketika setelah seharian membersihkan rumah bersama mereka yang lain.
“Johan, kau tak nak jumpa Nisda ke sebelum kita pergi California nanti?” soal Afiq.
Matanya beralih pada Johan. Sejak tadi lelaki itu ralit membaca majalah tanpa menyampuk perbualan mereka.
“Nak buat apa aku jumpa dia?” soal Johan semula sambil menjeling sekilas wajah Afiq.
“Ewah, buat-buat tanya pulak. Dia kan girlfriend kau. Kau beritahulah dia pasal percutian kita ni. Tak adalah dia tercari-cari kau nanti,” balas Afiq.
“Huh, sejak bila aku iktiraf dia jadi girlfriend aku hah? Aku dengan dia tu tak ada apa-apalah. Kau orang tu aje yang fikir lebih-lebih,” tegas Johan.
Bosan sudah dengan usikan yang telah bertahun-tahun didengarinya.
“Kau ni Johan, betullah buta kayu. Dah terang-terang Nisda tu suka kat kau. Kau tu aje yang tak perasan, ke buat-buat tak perasan,” sakat Danial juga.
“Huh! Setakat suka, apa aku kisah,” balas Johan sambil membaringkan tubuh di sisi Adib.
“Tulah kau, tak sedar. Nisda tu dah lama jatuh cinta kat kau. Dia tunggu signal dari kau aje sekarang,” sampuk Iskandar.
Dia turut berbaring di sebelah Nazrin yang telah menyertai Johan dan Adib.Sama-sama berbaring di permaidani ruang tamu.
Afiq dan Danial turut serta.
“Kau orang tu, mulalah nak merepek. Daripada aku layan kau orang baik aku tidur. Dah habis rasanya tenaga aku mengemas rumah sewa kita yang tunggang-langgang ni,” ujar  Johan sambil menguap panjang.
“Woi Danny, kau set jam. Nanti tak bangun pulak kita semua. Kata nak joging nanti,” sambung Johan.
Sempat dia mengarah Danial yang segera mengangguk sebelum turut sama belayar ke alam mimpi buat seketika awal petang itu.