Followers

Monday 7 October 2013

BAB 35 - TAK SANGKA AKU


BAB 35

“FARAH!”
Farah tersenyum mendapatkan Julia. Mereka berdakapan seketika.
“Ya ALLAH Julie, surprise apa yang awak buat ni hah? Terkejut saya bila baca emel yang awak hantar minggu lepas. Betul ke awak pun study kat sini?” ujar Farah.
“Betullah Farah, takkan saya nak main-main pulak,” balas Julia ceria.
“Jadi, macam mana? Seronok tak dapat tinggal kat London?” tanya Julia.
“Dah hampir sebulan saya kat sini. Rasanya okeylah. Cuma tulah. Saya belum biasa dengan suasana dan cuaca kat sini,” jawab Farah.
“Oh ya Julie. Awak ambil course apa kat universiti?” soal Farah semula.
“Engineering,” jawab Julia lalu menarik bagasinya.
“Oo... kiranya awak ambil kursus sama dengan abang Irwan dan Faizamlah.”
“Oh, iya ke? Hmm... nampaknya terpaksalah saya jumpa budak kampung bodoh tu lagi ya,” keluh Julia, merujuk kepada Faizam.
Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu.
“Lupa saya nak tanya. Awak datang dengan siapa ke airport ni? Seorang aje ke?” soal Julia semula.
“Eh, taklah. Saya mana berani nak keluar sorang-sorang ke sini. Dahlah tak biasa, risau sesat pulak. Saya datang dengan Faizam. Dia tunggu kita kat luar rasanya.”
Farah sudah memanjang leher. Mencari kelibat Faizam yang ditinggalkan di tempat letak kereta sebentar tadi.
“What? You come with him? Oh my God! Hilang terus mood saya bila awak sebut nama budak kampung tu,” rungut Julia.
Balik-balik muka budak bodoh tu jugak yang aku kena tengok. Tak ada lelaki lain lagi ke yang boleh jadi kawan Farah ni? Hati Julia merungut sendiri.
“Kenapa awak bawa dia Farah? Kenapa tak ajak abang awak atau siapa-siapa yang lain selain dari dia?” soal Julia, tidak senang dengan keadaan itu.
“Kenapa apanya pulak? Apa kau fikir aku nak biarkan Farah datang sorang-sorang ke airport ni semata-mata nak jemput puntianak macam kau ni? Huh, kirim salam!” sergah Faizam yang tiba-tiba muncul di situ tanpa sempat Farah membalas.
Seperti Julia wajahnya turut terukir riak masam.
“Excuse me, kau panggil aku apa? Cuba ulang sekali lagi?” soal Julia sambil mencekak pinggang.
“Kau orang berdua tolonglah. Jangan nak buat perangai kat sini pulak. Malulah semua orang tengok kita,” sampuk Farah cepat-cepat.
Cuba menghalau ketegangan antara kedua-duanya yang mula membara.
“Bukan saya yang cari pasal Farah but your boyfriend ni, menyakitkan hati orang aje kerjanya. Tak tahu nak beradab langsung,” marah Julia sambil mengunjuk jari telunjuknya ke wajah lelaki itu.
Faizam segera menepis.
“Hei puntianak, bukan aku tak beradab tahu tapi kau tu yang kurang ajar! Bongkak tak tentu hala!” bentak Faizam.
“Dahlah tu kau orang. Jangan nak bertekak lagi. Jom kita balik sekarang,” pujuk Farah.
Dia menarik tangan Julia agar melangkah bersamanya.
“Zam, kau tolong angkat bagasi Julie. Bawa ke kereta ya,” arah Farah.
“Huh, sendiri punya barang, sendiri angkatlah!” jawab Faizam selamba lalu meninggalkan kedua-dua gadis itu di belakang.
Julia baru ingin membalas kata namun Farah segera memintas.
“Kau ni Zam, tu pun nak berkira ke? Gentlemanlah sikit. Dah,dah. Kau pergi ambil kereta sekarang. Parking aje kat depan pintu tu. Takkan kau nak biar aku dengan Julie heret semua beg ni ke tempat parking kereta pulak,” bebel Farah.
Tidak memberi peluang kedua-duanya untuk terus berlawan kata.
Faizam hanya mengangguk sebelum segera menghilang dari situ.

“RASA tak percaya aje saya dan awak kat Massachusetts sekarang. Macam bermimpi pun ada,” kata Nisda.
Dia melontar pandangan pada sekumpulan remaja yang ada tidak jauh dari tempatnya dan Johan berada. Ralit anak-anak muda berkulit putih merah itu bermain bola tampar di padang itu.
Johan tidak menyahut. Dia sebenarnya sibuk mencerna ingatannya ketika ini. Melihat sekelompok anak-anak muda di depannya mengingatkan dia pada Farah. Dia selalu menjadi penonton setia setiap kali Farah menjalani latihan bola tampar ketika di zaman sekolah mereka dulu. Tetapi tidak lagi kini.
Farah telah pergi dari hidupnya. Berada jauh di United Kingdom. Johan terkilan dengan keadaan itu. Terkilan kerana tidak berpeluang bertemu empat mata dengan Farah sebelum ke Amerika. Namun dia begitu bersyukur atas kesudian Farah menghantarnya di lapangan terbang walaupun hanya dari jauh.
Malah al-Quran berkulit kayu pemberian Farah menjadi hadiah yang paling disayangi. Saban hari dia membaca kitab suci itu setelah menunaikan Solat Isyak. Menjadikan ingatannya terhadap gadis itu terus utuh hingga kini.
Tepukan lembut di bahu menyedarkan Johan daripada lamunan.
“Jauhnya pergi. Ingat siapa?’ soal Nisda sambil menatap Johan.
“Tak ada siapa,” jawab Johan, menggeleng sambil tersenyum hambar.
Matanya kembali diarah ke padang. Bayangan Farah lenyap di situ.
“Iya ke tak ada siapa? Bukan main jauh awak pergi, takkanlah tak ada siapa pun yang awak fikirkan.”
Nisda cemburu namun dia masih mampu mengawalnya.
“Kalau ada sekalipun Nis, belum tentu orang tu ingat saya. Entah-entah dah lupa terus.”
Suara Johan kedengaran kecewa walaupun tidak diluahkan secara terus.
“Boleh saya tahu siapa yang awak fikirkan?” soal Nisda walaupun telah dapat mengagak siapa orang yang menganggu minda lelaki itu.
Daripada tingkah laku Faizam saja, Nisda telah dapat membaca. Namun sengaja dia bertanya. Mahukan kepastian.
“Biarlah siapa pun dia Nis, yang penting sekarang kita dah ada kat Massachusetts dan menjadi tugas kita untuk belajar rajin-rajin mulai hari ni,” ujar Johan, tidak mahu memanjangkan cerita.
“Jadi, macam mana dengan universiti awak? Seronok belajar kat situ?” soal Johan semula.
“Well, setakat ni semuanya okey. Seronok belajar kat situ walaupun taklah segah universiti awak,” seloroh Nisda, cuba menutup rasa kecewanya.
“Apalah yang gahnya dapat belajar kat universiti Harvard tu Nis. Lagi tertekan adalah. Nak kena belajar rajin-rajin bagi dapat ijazah kelas pertama. Kalau tak malulah nanti. Nama aje masuk universiti hebat tapi dapat ijazah tak segah universitinya.”
“Bertuah awak. Dahlah dapat belajar kat universiti antara terbaik di dunia, ada pulak kawan-kawan baik awak kat situ. Betullah beruntung.”
“Awak pun apa kurang Nis. Walaupun kita berlainan universiti tapi masih kat negara yang sama. Jadi, tak ada masalah kalau nak berjumpa selalu. Tapi tengok keadaan jugaklah. Kalau saya free bolehlah saya jumpa awak. Kalau tak, good byeajelah ya,” seloroh Johan dengan menguntum senyuman manis.
“Hmm... nampaknya kawan-kawan awak dah habis berjoging. Awak aje yang masih duduk kat sini dari tadi,” ujar Nisda sebaik terpandang teman-teman Johan yang baru selesai berjoging di padang itu.
“Apa nak buat Nis. Awak susah payah datang ke sini semata-mata nak jumpa saya. Takkanlah saya nak biarkan awak duduk sini sorang-sorang pulak,” balas Johan.
Dia baru selesai membuat dua pusingan larian di padang itu tatkala ternampak kelibat Nisda di situ.
“Hmm... tak apalah Nis. Saya minta diri dulu ya. Dah petang ni. Kejap lagi dah nak Maghrib. Awak pun tentu lewat sampai ke rumah sewa nanti,” sambung Johan.
Dia terus bangun lalu meregangkan tubuh beberapa kali.
“Jadi, bila kita boleh jumpa lagi?” soal Nisda sambil menatap lama wajah Johan.
Ada rasa sayu mengiringi suaranya walaupun tidak dapat ditangkap Johan. Sayu kerana perlu berpisah dengan lelaki kesayangannya.
“Insya-ALLAH, kalau ada masa bolehlah kita jumpa lagi nanti. Saya pun teringin jugak nak tengok universiti awak tu. Tapi bukan sekaranglah. Nanti-nanti bila free, sampai jugak saya ke situ.”
Johan memberi salam sebelum bergegas mendapatkan teman-temannya yang berada tidak jauh dari situ.
Nisda tersenyum bahagia. Puas rasanya dapat bertentang mata dengan lelaki itu. Menjadikan rindunya terhadap Johan terlerai sedikit. Dalam hati dia berazam untuk mendapatkan Johan walau dengan apa cara sekalipun. Itu ikrarnya.

“ZAM, kita singgah pasar raya kejap sebelum balik rumah,” pinta Irwan Putra sebaik memijak anak tangga terakhir masjid.
Dia dan Faizam baru selesai mengerjakan Solat Isyak di masjid berdekatan rumah sewa mereka. Setiap malam mereka akan ke sana jika punya kelapangan.
Malas menyahut, Faizam hanya mengangguk lalu menapak.
Rasa dingin menyelubungi suasana kota London yang mulai sepi seawal malam. Hanya kedengaran bunyi kenderaan sekali-sekala melewati tempat itu selain beberapa kedai di tepi jalan yang masih menjalankan operasinya.
Mereka baru tiba di depan pasar raya tatkala Faizam terpandang seseorang di seberang jalan. Dalam kesamaran cahaya lampu jalan, matanya masih dapat menangkap gerak-geri tubuh itu yang bersendirian ketika ini.
Julia? Apa dia buat kat luar malam-malam macam ni? bisik Faizam dalam hati.
Tidak senang hati melihat keadaan itu Faizam segera menoleh.
“Wan, kau balik dulu nanti. Aku ada hal sikit nak buat sekarang,” suruh Faizam.
Dia bergegas meninggalkan Irwan Putra yang terpinga-pinga melihat tingkah lakunya.
Cermat Faizam menapak tanpa sebarang bunyi. Mengekori Julia yang hanya beberapa meter di depan. Tidak perasan dengan kehadirannya di belakang.
Laju kaki Julia mengatur langkah menuju ke satu arah. Tiba di satu lorong dia membelok. Ditolak sebuah pintu gelap yang tertutup rapat.
Faizam turut serta. Sempat matanya mengerling papan tanda pintu itu. Heaven Club? Faizam kaget. Dia terus melangkah masuk.
Suasana hingar-bingar kelab memaksa Faizam menekup telinga seketika. Liar matanya mencari kelibat Julia. Gadis itu hilang di celah-celah manusia yang terkinja-kinja memenuhi ruang kelab. Menari mengikut rentak muzik yang terpasang kuat.
Faizam kembali menapak tatkala terlihat Julia di satu sudut. Ada sesuatu terselit di celah bibir gadis itu. Menghasilkan kepulan asap putih di sekitarnya.
Julia merokok? Faizam terkedu sesaat. Dia bergegas mendapatkan Julia. Nyata Julia terkejut dengan kehadirannya.
“Jom balik Julia,” ajak Faizam dengan nada tinggi.
Cuba melawan kebisingan suasana.
Rokok di celah bibir Julia ditarik Faizam lalu ditenyeh ke bekas. Kemudian ditarik kasar tangan gadis itu.
Julia terus menghentak keras.
“Kau ni kenapa? Tiba-tiba aje tarik aku. Hei, lepaslah budak kampung!” jerit Julia.
Dia tidak peduli dengan pandangan sekeliling yang majoritinya berbangsa asing itu.
“Ikut aku balik Julia. Tempat ni tak elok untuk kau,” balas Faizam tegas.
Diheret Julia tanpa peduli gadis itu terus-terusan meronta. Memaksa gadis itu mengikutnya sebelum tubuh itu ditolak ke bahu jalan. Agak jauh dari tempat tadi.
Marah dengan keadaan itu, Julia menghentak kuat tangan Faizam. Pegangan Faizam di lengannya terlepas serta-merta.
“Hei budak kampung! Suka hati akulah nak buat apa pun. Yang kau menyibuk sangat hal aku ni kenapa?” tengking Julia sekuat hati.
Dia mencekak pinggang. Turun naik dadanya. Marah pada Faizam yang hanya memberi reaksi tenang.
“Kau tu perempuan Julia. Seorang perempuan yang baik takkan menjejakkan kaki ke tempat yang tak elok macam tu,” ujar Faizam lembut walaupun hatinya mula diserbu marah ketika ini.
Marah melihatkan sikap kurang ajar dan biadap Julia.
“Kau tu siapa yang nak tentukan tempat tu elok ke tak hah? Suka hati akulah nak ke mana pun. Kalau mak dan ayah aku sendiri tak pernah peduli dengan apa yang aku buat, kau nak sibuk pulak kenapa? Aku masuk sana pun guna harta akulah, bukannya aku minta duit kau yang papa kedana tu!” bentak Julia.
Faizam pula mula merengus. Benci dengan kata-kata angkuh gadis itu.
“Kau tu orang Melayu Julia, Islam pulak tu. Kalau aku yang lelaki pun tak pernah terfikir nak masuk ke tempat macam tu, apatah lagi kau yang sememangnya perempuan. Tak elok kau libatkan diri dalam perkara-perkara macam tu,” nasihat Faizam lagi.
Nada suaranya masih kedengaran lembut walaupun ada ketegasan dalam kata-katanya. Dia cuba mengekang kemarahan yang menunggu masa untuk meletus.
“Hei, kau tu siapa nak tentukan apa yang patut aku buat apa yang tak? Sedarlah diri tu sikit. Dasar budak kampung, bodoh serba-serbi. Nilah bangsa Melayu. Terlalu kolot sampai tak tahu nak nikmati kemajuan dunia langsung.Hei bodoh, budak kampung macam kau ni memang jenis manusia yang tak ikut peredaran zaman tahu. Sama taraf aje dengan manusia zaman purba. Terperap kat kampung kotor tu macam katak di bawah tempurung. Langsung tak tahu nak...”
Pang! Satu tamparan singgah di pipi sekaligus menghentikan makian Julia. Cukup memijarkan kulit wajah Julia yang terkejut dengan tindakan refleks Faizam.
Dipandang Faizam yang telah merah padam wajahnya.
“Apa kau cakap Julia? Aku ni kolot? Hidup macam di zaman purba? Kalau kau rasa aku macam tu, yes I am!” tengking Faizam sekuat hati.
Mengecutkan hati Julia yang tergamam dengan tengkingan tiba-tiba itu.
“Aku kolot sebab aku tak tahu nak bersikap liar macam kau. Aku kolot sebab aku tak pernah masuk tempat-tempat jijik macam tu. Aku kolot sebab aku sendiri tak mahu buat semua tu. Kau tahu sebab apa? Sebabnya aku rela berfikiran kolot dari berfikiran moden macam kau tu. Sampai tak tahu nak bezakan baik buruk. Sampai lupa hukum-hakam agama. Sampai kurang ajar dan biadap macam ni sekali!” jerkah Faizam, melepaskan marah yang telah naik ke urat kepala.
“Apa kau fikir dengan pakai pakaian mengalahkan pelacur ni dah kira moden? Hei Julia! Dengan pakaian yang kau yang macam orang telanjang tu dan sikap kau yang terlebih biadap ni, kau tu dah tak ubah macam perempuan jalang kat jalanan tahu tak?” bentak Faizam lagi.
Kasar jari telunjuk Faizam menunjal dahi Julia yang telah tertunduk kaku. Terkedu dengan sergahan lelaki itu.
“Kau bangga sangat dengan harta kekayaan yang kau ada kan? Hah, beritahu aku. Dari mana kau dapat semua harta benda tu? Dari mana kalau bukan dari keluarga kau yang siang malam bertungkus lumus memerah keringat demi melihat anak tak guna macam kau ni hidup senang-lenang. Sedangkan setiap saat anak derhaka dia orang ni menghabiskan segala harta yang ada demi memuaskan nafsu sendiri.
Huh, konon! Kau bangga dengan kekayaan kau? Hei Julia, kekayaan apa yang kau ada sebenarnya hah? Cuba kau beritahu aku. Harta apa yang kau ada sampai kau bongkak macam ni hah? Harta benda yang melimpah ruah? Semua tu milik keluarga kau. Harta ilmu? Ilmu kebendanya yang kau ada? Kalau betul kau ni jenis manusia berilmu, kau takkan pergi ke tempat-tempat jijik macam tu.
Harga diri? Maruah? Kau masih ada ke semua tu kalau aku tak heret kau keluar dari situ tadi? Ke memang kau dah tak ada semua tu sebelum ke situ lagi? Kalau mahkota yang paling berharga bagi perempuan tu pun kau tak boleh jaga, apa lagi yang kau ada untuk dibanggakan hah? Beritahulah!” tengking Faizam lagi.
Dia benar-benar menyinga. Diusap rambutnya beberapa kali sambil merengus keras.
“Selama ini, Farah selalu cerita perkara-perkara baik tentang kau. Walau pun aku payah nak percaya tapi aku tetap dengar demi menjaga hati Farah. Dan malam ni, kau dah buktikan yang segala tanggapan buruk aku terhadap kau selama ni betul belaka. Kau memang perempuan yang tak berguna Julia.
Aku tak marah bila kau kata aku kolot tapi kesal sebenarnya. Terlalu kesal kerana perempuan sebaik Farah mendapat kawan sehina kau. Aku kesal kerana membantu manusia yang tak pernah tahu bersyukur dengan apa yang dia miliki. Aku kesal kerana bantu kau Julia. Aku kesal!” tengking Faizam keras sambil memandang sekilas Julia yang telah jatuh terjelepuk di bahu jalan.
Julia hanya menunduk tanpa sepatah kata. Terkedu sungguh dia dengan luahan berbisa lelaki itu.
“Kau dengar sini baik-baik Julia. Selama ni aku tak kisah malah aku tak pernah halang Farah berkawan dengan sesiapa pun yang dia suka. Tapi tidak kali ni. Aku tak mahu kau rosakkan Farah macam kau rosakkan diri kau. Mungkin kau kaya dengan harta benda tapi kau sebenarnya tak sedar yang kau tu miskin.
Miskin adab sopan, miskin adat resam, miskin agama. Ingatlah Julia, tak ada manusia yang lebih hina dalam dunia ni melainkan mereka yang tak ada pegangan agama. Tak guna kau berharta setinggi gunung pun kalau agama sebesar biji sawi pun kau tak ada,” ujar Faizam lagi sebelum terus meninggalkan tempat itu.
Tidak menoleh walaupun sekali pada Julia yang masih tertunduk. Ada air mata kesal melimpah di pipi Julia sejak tadi. Gadis itu menangis! 

BAB 34 - TAK SANGKA AKU


BAB 34

FARAH melepaskan pandangan ke seluruh tempat dia berada kini. Menatap setiap bangunan di depan mata. Kagum melihat keunikan dan keindahan yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini.
Diam-diam dia menyelit rasa syukur kepada ALLAH kerana menjadikan impiannya untuk menjejak kaki di London tercapai jua.
“Hei Farah, kau tengok apa lagi? Sudah-sudahlah tu. Bukan hari ni aje kau boleh tengok. Ada lima tahun lagi kita kat sini. Esok-esok satu UK ni pun boleh kita jelajah kalau kena gayanya. Jomlah cepat mendaftar. Nanti lambat susah pulak kita nanti.”
Teguran Haiza menyentak pandangan Farah. Dia mengangguk laju. Lalu turut menapak bersama teman-teman yang lain.
“Jalan laju-laju ni nak pergi mendaftar ke atau nak masuk acara marathon?”
Farah terus menoleh. Terpempan dia dengan kewujudan lelaki itu di sini.
“Awak bu... at apa kat sini?” soal Farah tergagap-gagap.
“Buat apa? Studylah. Kenapa? Awak seorang aje ke yang boleh masuk universiti ni? Saya tak boleh?” soal Ikhwan sambil tertawa kecil.
“Awak nak mendaftar ya? Masih awal lagi Farah. Baru pukul berapa sekarang ni,” ujar Ikhwan lagi apabila gadis itu hanya menatap wajahnya tanpa sepatah kata.
Lambat-lambat Farah menguntum senyuman. Tawar.
“Awak belajar kat sini jugak ke? Ambil course apa?” soal Farah, cuba bertenang.
Sungguh, dia benar-benar tidak menduga akan bertemu Ikhwan di London.
“Business,” jawab Ikhwan sepatah.
Lembut menggoda namun entah mengapa nada itu menimbulkan rasa tidak senang pada Farah. Namun dia pura-pura ceria.
“Oh iya ke? Saya ambil course...”
“I know. Perubatan kan?” pintas Ikhwan cepat.
“Mana a... wak tahu saya ambil kursus perubatan kat sini?”
Farah kembali gagap. Mana dia tahu ni? Siapa pulak yang beritahu? Hati Farah tertanya-tanya sendiri.
Ikhwan menjongket kening. Dirapatkan tubuhnya pada Farah.
“Semua perkara tentang awak ada dalam pengetahuan saya Farah. Awak tak perlu beritahu apa-apa. Saya tahu semuanya.” ujar Ikhwan dengan nada menggoda.
Namun Farah berasa seram sejuk. Pantas dia menjarakkan diri. Tergamam dengan bisikan lelaki itu.
“Jumpa awak lagi Farah,” ucap Ikhwan lagi sebelum berlalu.
Sempat dia mengenyit mata pada Farah yang telah terkaku di situ.
Hampir-hampir Farah melompat apabila satu tepukan kecil singgah di bahunya.
“Hei Farah, kenapa Ikhwan ada kat sini?” soal Laila sambil menatap wajah pucat Farah.
“Dia belajar kat sini,” jawab Farah terketar-ketar.
“Ikhwan belajar kat sini? Biar betul? Dia ambil course apa?” sampuk Asyikin, terkejut.
“Business,” jawab Farah.
Dia perlahan-lahan menghela nafas. Cuba menenangkan hati semula. Dia kembali menapak bersama mereka.
“Maksudnya lepas ni kita akan selalu terserempak dengan dialah? Hai, tak sangka aku. Sampai ke sini dia kejar kau Farah,” ujar Jeslynn sambil menggeleng kecil.
“Eh, iya ke Ikhwan tu kejar Farah? Kau biar betul Lynn?” soal Regina, mahu kepastian.
“Aku tahulah. Bukan ke dari tingkatan satu lagi dia cuba mengorat Farah? Sebab tulah dia ikut Farah ke sini. Nak jugak Farah yang jadi girlfriend dia,” jawab Jeslynn.
“Hei kau orang, dahlah tu! Nanti balik rumah sewa cakaplah puas-puas! Jomlah mendaftar! Nanti kalau dah ramai yang tunggu kat fakulti tu, mahu kita jugak yang terbelakang nanti!”
Laungan Marya yang berada di depan sekali mempercepatkan langkah mereka.

“WOW, cantiknya pemandangan,” puji James sambil menolak luas tingkap bilik.
Menjemput masuk tiupan bayu sejuk ke ruang apartment lima tingkat itu.
“Tak sangka aku, sampai jugak akhirnya kita berempat ke kota London ni,” sambung James.
Dia merebahkan tubuh ke katil.
“Apa pulak tak sampainya. Dah kita dapat tawaran sambung belajar kat sini. Takkan nak tolak pulak padahal kita jugak yang mohon dulu,” balas Raymond lalu mengerling Faizam yang ada tidak jauh dari situ.
Sejak tadi Faizam berdiri di tingkap. Ralit dia membuang pandang ke luar.
“Woi Zam, kau tengok apa sampai tak bergerak-gerak dari situ?”
Soalan Raymond menyentak pandangan Faizam. Pantas dia menggeleng.
“Tak ada apalah Ray,” sahut Faizam yang masih berdiri tegak di situ.
“Kalau iya pun kau nak mengorat anak dara Inggeris Zam, tak payahlah buang masa kat tingkap tu. Kau tunggulah sampai kuliah kita bermula esok lusa. Mesti ramai yang satu kelas dengan kau nanti. Masa tu kau nak mengorat ke, kau nak nombor telefon ke, confirm dapat punya sampai tak terlayan nanti,” usik James.
Dikerling Irwan Putra di hujung katil.
Lelaki itu hanya tersenyum kecil. Tidak masuk campur dengan keadaan itu.
Faizam tidak menyahut. Dihala pandangannya ke kawasan sekitar. Dari tingkap itu dia dapat melihat dengan jelas kawasan kampus universiti lantaran kedudukan rumah sewa mereka yang terletak tidak jauh dari situ.
Dipicing anak matanya tatkala terpandang sekelompok gadis yang dikenali kelibatnya. Masing-masing sibuk berbual sesama sendiri sambil menapak ke fakulti. Namun perhatian Faizam tidak tertarik di situ. Sebaliknya tertancap pada seseorang yang berada tidak jauh dari kelompok itu.
Sejak tadi gadis itu hanya menyendiri di bangku batu di kawasan kampus. Melayan mesra panggilan di telefon bimbit walaupun tiada senyuman di wajah seriusnya. Hingga Faizam yang sejak tadi memandang tingkah lakunya dihimpit cemburu. Lalu menjemput semula kenangan pahitnya di KOMTAR suatu masa dulu ke minda.
Sehingga ke hari ini Faizam masih mengingati peristiwa itu. Akhirnya dia memutuskan untuk melupakan gadis impiannya itu buat selamanya. Namun sayang, semua itu hanya mampu terlafaz di bibir. Hati dan mindanya tidak berdaya menerimanya. Membuatkan Faizam masih terjerat dengan cinta tidak berbalas itu hingga ke detik ini. Walaupun dia telah berusaha sedaya upaya untuk melupakannya.
Tanpa sedar Faizam mengeluh perlahan. Kesal dengan keadaan itu.

“BALKIS sihat?” soal Anaz sebaik salamnya bersambut di hujung corong telefon.
“Alhamdulillah. Balkis sihat-sihat aje kat sini. Abang dan keluarga macam mana? Sihat?” soal Balkis.
Dia melekap kuat telefon bimbit ke telinga yang terlindung di balik tudung. Cuba menghindari deruan angin yang bertiup sedikit kencang agar tidak menganggu perbualan mereka pagi itu.
“Alhamdulillah. Kami semua sihat tapi tulah, semuanya rindu Balkis. Rasa lain aje bila Balkis tak ada kat rumah ni. Sunyi semacam,” ujar Anaz.
Suaranya kedengaran jauh.
“Atuk apa khabar bang? Mesti dia rindu Balkis kan?” tanya Balkis sayu.
Sekilas itu bayangan Tuan Ashman melekat di minda. Rindunya pada datuk kesayangannya itu bukan sedikit waktu ini.
“Mahu dia tak rindu. Balkis kan cucu kesayangan dia, mestilah dia rindu. Sampai demam dia dibuatnya. Tapi Balkis jangan risau. Demamnya dah pun surut lepas makan ubat pagi tadi.”
“Iya ke bang? Teruk ke atuk demam? Dah berapa hari dia demam tu?”
Bertalu-talu Balkis bertanya. Bimbang dengan kesihatan datuknya yang kini berada jauh dari mata.
“Elok sehari Balkis pergi aje, esoknya terus dia demam. Siap meracau panggil Balkis lagi. Risau jugaklah kami mula-mula tu tapi lepas aje dia baca e-mel yang Balkis hantar semalam, terus dia sihat. Lega kami semua,” cerita Anaz sambil tertawa kecil.
Lucu mengenangkan sikap datuk kesayangan mereka yang jarang dapat berpisah jauh dengan cucu-cucunya.
“Habis tu, atuk buat apa sekarang? Boleh Balkis cakap dengan dia kejap?”
“Buat apa lagi Balkis, tidurlah. Bukan ke dah malam sekarang? Dah masuk pagi pun. Lainlah kat sana tu, dah pagi,” balas Anaz.
“Ya tak yalah bang, lupa pulak Balkis,” balas Balkis sambil menepuk dahi.
“Balkis, sebenarnya ada perkara yang abang nak cakap pada Balkis,” ujar Anaz dengan nada mendatar.
“Perkara apa tu bang?” soal Balkis lembut.
Kedengaran Anas menghela nafas perlahan. Serba salah untuk bersuara namun dia tetap membuka mulut.
“Semalam ayah Balkis ada datang ke rumah. Dia nak jumpa Balkis. Jadi abang beritahulah dia yang Balkis dah ada kat London sekarang.”
Teragak-agak Anaz menutur bicara.
“Balkis, are you still there?” tanya Anaz apabila tiada sahutan dari gadis itu.
“Ya bang,” sahut Balkis cepat.
Terkedu sebenarnya dengan berita itu.
“Balkis jangan marah abang ya? Abang sebenarnya tak sampai hati tak beritahu dia pasal Balkis. Yalah. Dia kan ayah Balkis, ayah saudara abang jugak. Jadi abang rasa tak patut kalau abang tak beritahu dia pasal Balkis,” ujar Anaz.
Nadanya kedengaran bercampur baur dengan rasa bersalah.
“Taklah, buat apa Balkis nak marah. Bukannya abang buat salah pada Balkis pun,” balas Balkis sambil memandang teman-teman yang melambai tangan padanya.
“Hmm... tak apalah bang. Lain kali aje kita berbual lagi ya. Balkis kena pergi sekarang.”
Balkis mulai bangkit dari duduk.
“Okeylah. Kirim salam abang pada semua kawan Balkis ya. Jangan lupa hantar berita tau. Kalau ada apa-apa, call aje abang,” ujar Anaz sambil menguap beberapa kali.
“Yalah bang. Sampaikan salam Balkis pada keluarga kita ya. Assalamualaikum,” ucap Balkis sebelum mematikan talian.
Kemudian dia bergegas mendapatkan teman-temannya. Tidak terperasan pada pandangan Faizam yang melihat tingkah lakunya dari jauh. 

BAB 33 - TAK SANGKA AKU


BAB 33

SUASANA hingar-bingar menguasai persekitaran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pagi itu. Namun tidak mampu menggugat pilu ahli keluarga Johan yang ada di situ sejak beberapa jam lalu. Masing-masing ingin menghantar lelaki itu yang bakal berangkat ke Amerika Syarikat sebentar lagi.
“Jangan lupa telefon kami bila sampai nanti,” pesan Haji Rahman tenang.
“Insya-ALLAH tuk,” balas Johan hormat.
Sejak beberapa hari lalu dia tidak berenggang dari Haji Rahman dan Hajah Aminah. Rasa sedih membuatkan dia tidak mampu berjauhan dari kedua-duanya.
“Jangan lupa solat, selalu mengaji al-Quran. Kalau ada apa-apa, beritahu kami. Jangan lupa hantar berita selalu,” pesan Hajah Aminah pula, sebak.
“Nek janganlah risau. Insya-ALLAH, pandailah Johan jaga diri sendiri.”
“Kalau dah sampai sana nanti, jangan tak telefon mama pulak. Kalau tak selalu pun tak apa, janji ada sekali-sekala. Jangan jadi macam abang-abang kamu. Dapat pergi luar negara terus lenyap. Tahu-tahu aje lepas beberapa tahun dah terpacak semula kat depan rumah,” pesan Puan Sri Fariha lagi.
“Mama tu mulalah nak mengungkit perkara lepas,” sampuk Jailani sambil tersenyum lebar.
Puan Sri Fariha menjeling anak sulungnya sekilas.
“Mama bukan nak mengungkit tapi ingatkan Johan aje. Tak mahu dia jadi macam kamu dan Junaid. Belajar ke luar negara sampai langsung tak ada masa nak telefon mama walaupun seminit dua,” balas Puan Sri Fariha cepat-cepat.
“Kalau bab tu mama tak payah risaulah. Tak adanya Johan nak buat macam tu kat mama. Dia kan anak kesayangan mama. Confirm dia akan call mama selalu walaupun tak setiap hari. Iya tak Johan?”
Junaid sengaja mengusik mama mereka. Dikenyit mata pada Jailani yang telah meletuskan tawa.
Johan pula hanya tersenyum. Telah lali dengan sikap along dan angahnya yang gemar mengusik Puan Sri Fariha, mama kesayangan mereka.
“Alah, tak kiralah anak kesayangan ke tak, baik mama pesan awal-awal. Sekurang-kurangnya esok-esok dia tak buat perangai macam kau orang berdua tu,” ujar Puan Sri Fariha lagi.
“Lagi satu, kamu jangan kirim apa-apa barang pelik ke rumah kita macam Along dan Angah kamu buat dulu. Beli benda hiasan rumah entah apa-apa sampai mama pun tak tahu nak letak kat mana semua tu. Buang duit aje padahal dia orang bukannya guna pun. Menyemakkan lagi bilik stor rumah kita adalah,” pesan Puan Sri Fariha lagi.
“Ala mama ni, kita orang beli semua tu sebab kita orang tahu mama suka hias rumah. Tapi nak buat macam mana. Dah mama tak suka benda-benda macam tu. Terpaksalah dijadikan hiasan bilik stor aje,” ujar Junaid sambil menepuk lembut bahu Johan.
“Johan, kamu ingat pesan Angah ni baik-baik. Esok-esok kalau kamu teringin nak bawa balik apa-apa dari Amerika, bawa balik aje tapi ingat tau. Hanya ada satu benda aje kamu diharamkan bawa balik dari sana,” sambung Junaid dengan senyuman nakal sudah terukir di wajahnya.
“Apa dia Angah?” soal Johan sambil berkerut dahi.
“Menantu orang putih. Mengamuk mama nanti,” gurau Junaid.
Pesanan itu meledakkan ketawa semua termasuklah ahli keluarga Farah yang turut menghadirkan diri di situ.
Puan Sri Fariha merengus kecil. Geram dengan usikan anak lelaki keduanya.

“HEI Farah, bila lagi kau nak bagi hadiah tu pada Johan? Kejap lagi dia dah nak berlepas,” ujar Laila.
Lamunan Farah tersentak. Sejak tadi dia hanya berdiri tegak di balik tiang. Sementara matanya masih memandang jauh kelibat Johan yang berada di dalam kelompok keluarga mereka.
“Aku tak tahu macam mana nak bagilah Ila. Lagipun entah dia suka ke tak dengan hadiah aku ni.”
Farah membelek bungkusan berwarna biru langit di tangannya.
“Kau ni teruk betullah. Apa susah, kau bagi aje terus kat dia. Takkan dia nak tolak pulak. Kalau kau tak bagi sekarang, bila lagi? Ke kau nak bagi masa kau orang dah beranak pinak nanti?” gesa Haiza juga.
Perlahan-lahan Farah menarik nafas. Mencari kekuatan diri. Lalu lambat-lambat dia menapak. Mendapatkan Johan yang kini sedang berbual-bual di telefon bimbit. Lelaki itu berdiri berseorangan. Tidak jauh dari mereka yang lain.
Sambil menapak, mata Farah liar melihat sekeliling. Bimbang kehadirannya diketahui ahli keluarganya sedangkan malam tadi dia beria-ia menolak pelawaan mamanya untuk turut serta bersama mereka ke lapangan terbang pagi itu.
Farah baru mahu menegur Johan yang berada hanya beberapa langkah darinya tatkala terpandang kelibat seseorang menghampiri Johan. Lalu orang itu menegur Johan yang kebetulan baru menamatkan perbualan di telefon.
Mati langkah Farah jadinya. Kedua-duanya kelihatan berbual mesra. Timbul rasa cemburu di hati tetapi untuk apa rasa itu timbul, Farah sendiri tidak mengerti.
Agak lama Farah terpaku dengan keadaan itu sebelum dia tersedar semula. Teringat pada hadiah di tangan. Dia kembali menapak. Mendapatkan bagasi Johan tidak jauh dari situ. Penuh cermat dia meletakkan hadiah itu di atas bagasi. Sempat matanya memandang sekilas ke arah Johan yang masih tidak menyedari kehadirannya sebelum kembali berpaling. Mendapatkan Laila dan Haiza yang setia menanti di balik tiang.
Laila dan Haiza hanya menepuk dahi melihat tingkah laku Farah.

“JADI, bila awak akan berangkat ke Amerika?” soal Johan.
Dia terkejut dengan kehadiran Nisda di lapangan terbang itu namun tetap menyambut mesra.
“Kalau tak ada apa-apa minggu depan. Lagipun masih ada dua minggu lagi untuk saya mendaftar kat universiti tu. Lainlah awak, minggu depan dah bergelar mahasiswa,” balas Nisda sambil tersenyum manis.
“Kawan-kawan awak mana? Dia orang tak ikut sekali ke?” soal Nisda apabila teringatkan lima sahabat baik Johan.
Tidak nampak kelibat mereka di situ ketika ini.
“Dia orang dah berlepas semalam. Saya aje belum. Sengaja saya lewatkan sehari penerbangan sebab nak habiskan masa lama sikit dengan keluarga. Sekurang-kurangnya taklah rasa rindu sangat pada dia orang bila dah sampai kat sana nanti.”
“Farah tak datang hantar awak ke? Tak nampak dia pun?”
Pertanyaan Nisda mencuit rasa terkilan Johan namun dia tetap membalas tenang.
“Manalah Farah ada masa nak hantar saya Nis. Dia tengah sibuk sekarang. Maklumlah, tak lama lagi dia nak berangkat ke UK. Jadi banyaklah perkara yang perlu dia selesaikan,” balas Johan, sengaja mencipta jawapan sendiri.
Hakikatnya dia sedar. Mustahil Farah akan turut serta menghantarnya ke lapangan terbang biarpun itu harapan hatinya sejak mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat. Harapan yang kini hanya tinggal harapan.
Johan mengerti dengan sikap Farah yang sejak dulu tidak pernah menyenangi dirinya. Menjadikan harapannya untuk melihat wajah gadis kesayangan buat kali terakhir tidak tercapai juga akhirnya. Rasa kecewa menggigit hati walaupun rasa itu tidak tercalit di wajah Johan ketika ini.
“Hai, kalau iya pun sibuk buat persiapan, takkanlah tak ada masa langsung nak hantar sepupu sendiri? Ke saja dia tak nak hantar awak.”
Kata-kata selamba Nisda menyebabkan Johan terkedu sekejap.
Nisda pula sudah tersenyum sinis. Namun senyumannya kendur tatkala terpandang wajah serius Tan Sri Jamaluddin. Sejak dia tiba tadi lelaki itu memandang tajam padanya. Sekaligus mengundang rasa tidak senang di hati gadisnya.
“Oh ya Nis. Kebetulan awak dah ada kat sini, apa kata kalau saya kenalkan awak pada ahli keluarga saya? Rasanya awak belum kenal dengan dia orang lagi.”
Pelawaan Johan mematikan pandangan Nisda. Ternyata lelaki itu tidak menyedari keadaan gelisah gadis itu.
“Tak apalah Johan, lain kali aje ya. Saya sebenarnya nak ke tempat lain lagi ni. Saja saya singgah nak jumpa awak sebelum awak berlepas. Apa-apa pun kita jumpa kat Amerika nanti ya,” tolak Nisda lalu segera meminta diri.
Dia bergegas pergi tatkala Tan Sri Jamaluddin mula menghampiri mereka.
Johan hanya mengangguk walaupun sedikit pelik dengan tingkah laku yang ditunjukkan gadis itu ketika ini.

“APASAL kau letak aje hadiah kau tu kat atas beg dia? Kan bagus kalau kau bagi aje terus kat dia,” ujar Laila sebaik Farah menghampirinya dan Haiza.
“Aku bukan tak nak bagi sendiri tapi dah Nisda ada kat situ. Apa pulak kata dia kalau tiba-tiba aje aku bagi hadiah tu. Mesti dia fikir yang bukan-bukan nanti.”
“Alah, biarlah dia fikir apa pun. Dia dengan Johan pun bukannya ada apa-apa. Kalau ada pun bukannya salah kau bagi hadiah kat Johan. Kau orang kan sepupu. Takkanlah salah seorang sepupu bagi sepupunya hadiah,” sela Haiza cepat-cepat.
“Bukanlah macam tu. Aku sebenarnya segan nak bagi Johan hadiah aku tu. Entah dia suka entah tak, aku pun tak tahu,” balas Farah sambil mengerling Johan yang kini dihampiri Tan Sri Jamaluddin.
Kelibat Nisda tidak lagi nampak di situ.
“Macam mana kau tahu dia suka ke tak kalau kau tak cakap hadiah tu kau yang bagi,” marah Laila.
“Entah kau ni Farah. Kalau iya pun beritahulah kat Johan. Ini tak, main letak aje kat atas beg dia tu. Nanti mesti dia tertanya-tanya siapa yang bagi hadiah tu kat dia,” ujar Haiza pula.
Dia turut geram dengan sikap Farah.
“Kau ada tulis nama kau tak kat hadiah tu?” soal Laila.
Bulat matanya memandang Farah yang lambat-lambat menggeleng. Gadis itu tersengih lagi.
“Hah, eloklah sangatlah perangai kau tu. Dahlah sembunyi-sembunyi aje bagi hadiah, lepas tu tak tulis nama pulak. Hei kau ni Farah, tak tahulah aku nak cakap apa lagi,” balas Haiza sambil menepuk dahi dan menggeleng.
“Kau orang ni, asyik marahkan aku aje dari tadi. Okeylah, aku mengaku aku silap tapi nak buat macam mana lagi, benda dah lepas pun. Daripada kau orang membebel aje, apa kata kita balik sekarang? Sekurang-kurangnya taklah rabak telinga aku ni dengar kau orang membebel tak tentu pasal,” rungut Farah.
Dia terus menapak keluar dari situ.
Haiza dan Laila bergegas mengikut sambil merungut-rungut.

“SIAPA budak perempuan tu Johan?”
Johan yang masih memandang kelibat Nisda tersentak kecil. Pantas dia berpaling. Mengadap Tan Sri Jamaluddin yang entah bila berdiri di sisi.
“Oh. Tu Nisda, kawan Johan sejak Johan bersekolah kat Pulau Pinang lagi. Dia datang nak jumpa Johan sekejap,” beritahu Johan jujur.
“Kawan? Habis tu kenapa tak kenalkan pada ayah dan keluarga kita?”
“Johan nak kenalkan dia pada keluarga kita tadi tapi entah Nisda tu. Dia kata dia nak cepat pulak. Ada hal yang nak dibuatnya sekarang,” jelas Johan.
Dia sedikit pelik dengan sikap yang ditunjukkan Nisda sebentar tadi. Tergesa-gesa meminta diri padahal gadis itu tidak pernah bersikap begitu sebelum ini.
Tan Sri Jamaluddin mengangguk. Entah mengapa hatinya terasa sesuatu saat terpandangkan Nisda. Sesuatu yang tidak menyenangkan. Hingga timbul rasa curiganya. Curiga dengan tingkah laku dan perwatakan gadis itu. Kerana itu dia segera mendapatkan Johan.Namun belum apa-apa Nisda telah lenyap dari pandangan.
“Tak apalah Johan. Kamu pergi angkat beg kamu tu sekarang. Sekejap lagi kamu dah nak bertolak,” ujar Tan Sri Jamaluddin sambil menepuk lembut bahu Johan.
Lalu Johan mendapatkan bagasinya. Dia sedikit kaget saat terpandang bungkusan hadiah berbalut cantik rona biru langit di atasnya. Warna kegemarannya.
Siapa yang bagi ni? soal hati Johan. Matanya sudah mula melingas ke sekitar. Pencariannya terhenti tatkala terpandang tiga kelibat manusia yang begitu dikenali tergesa-gesa meninggalkan tempat itu. Dipicing anak matanya sebaik mungkin. Ingin memastikan pandangannya tidak salah.
Farah? Nama itu muncul di minda. Lalu membuatkan Johan tersenyum. Hadiah di tangan dibawa rapat ke dada. Bahagia hatinya dengan keadaan itu tanpa menyedari Tan Sri Jamaluddin sedang memerhati gelagatnya ketika ini.
Tan Sri Jamaluddin yang turut melihat kelibat ketiga-tiga tubuh itu menguntum senyuman lebar. Cukup mengerti dengan rasa yang sedang bergelumang di hati anak bujangnya ketika ini.