Followers

Monday, 7 October 2013

BAB 32 - TAK SANGKA AKU


BAB 32

FARAH menjerit girang. Laju kakinya berlari menuju ke rumah. Kertas di tangan dilambai ke udara beberapa kali. Tidak peduli pada pandangan orang-orang kampung yang hairan melihat gelagatnya ketika ini.
Farah menjerit lagi. Memanggil kedua-dua atuk dan neneknya dari jauh. Dia tercungap-cungap tatkala tiba di depan anak tangga rumah. Namun bibirnya tetap menguntum senyuman lebar. Penuh gembira.
“Kenapa dengan kamu ni Farah? Terpekik terlolong macam orang gila. Apa kamu dah tersampuk syaitan ke hah?” marah Hajah Aminah.
Dia tergesa-gesa keluar dari rumah tatkala terdengar sayup-sayup jeritan cucunya. Tercengang-cengang dengan sikap gadis itu yang tidak pernah bertingkah laku demikian sebelum ini. Dia mendapatkan Farah yang terlebih dulu menerpa.
“Nek, Farah dapat surat tawaran sambung belajar ke United Kingdom,” jerit Farah kecil dan termengah-mengah.
“Apa? Betul ke Farah?” soal Hajah Aminah, terkejut.
Ada sebak mengiringi suaranya.
“Betul nek. Abang Hamdi posmen yang bagi kat simpang kedai tadi.”
Terkocoh-kocoh Hajah Aminah menyambut kertas dari tangan Farah. Sementara mulutnya riuh memanggil Haji Rahman yang sedang membaca surat khabar di ruang tamu. Kelam kabut lelaki tua itu mendapatkan mereka di serambi rumah.
“Ada apanya Nah?” soal Haji Rahman cepat-cepat.
Dia memandang Hajah Aminah yang telah mengalirkan air mata gembira.
“Ni bang. Farah dapat sambung belajar ke United Kingdom,” ucap Hajah Aminah, sebak.
Dipeluk tubuh Farah sambil mengucup wajah itu beberapa kali.
“Iya ke Nah? Alhamdulillah. Syukurlah kepada ALLAH cucu atuk dapat sambung belajar lagi,” ucap Haji Rahman.
Dia turut memeluk cucu kesayangannya. Rasa bahagia menghimpit dadanya ketika ini.
“Nah, pergi telefon Fahmi sekarang. Beritahu dia Farah dapat surat tawaran sambung belajar ni,” arah Haji Rahman.
“Yalah bang,” balas Hajah Aminah lalu tergesa-gesa melangkah ke dalam rumah.
“Alhamdulillah. Tercapai jugak impian atuk nak tengok kamu sambung belajar. Kita buat kenduri kesyukuran nanti,” ucap Haji Rahman buat kali kedua.
Tubuh Farah dipeluk lagi. Bangga dengan kejayaan cucunya.
Farah membalas erat. Rasa sebak turut menyelubunginya.

“KAU rasa yang ni cantik tak?” soal Laila sambil menayang sehelai tali leher yang terlipat kemas di dalam kotak kecil pada Haiza.
“Okey jugak. Pandai kau pilih,” komen Haiza.
Bersetuju dengan pilihan kawannya itu.
 “Kau nak beli tali leher tu untuk siapa Ila? Mahal jugak harganya tu,” tegur Asyikin yang turut sama membeli-belah di Petaling Jaya hari itu.
“Aku nak beli untuk adik akulah, Afiq,” balas Laila girang.
“Kau beli untuk Afiq aje ke? Untuk Adib tak ada?” soal Haiza sambil tersenyum nakal.
Mereka yang lain tertawa kecil.
Laila merengus lembut.
“Aku beli untuk kedua-dua sekalilah tapi aku cari untuk Afiq dulu sebab dia tak banyak songeh macam abang dia tu. Cerewet serba-serbi,” balas Laila.
Dia membelek-belek pula koleksi tali leher jenama lain di kedai pakaian itu.
“Ila, kau perasan tak yang Adib tu sukakan kau sebenarnya? Dia selalu renung kau kalau kita terserempak dengan dia. Tapi aku tak fahamlah kenapa dia boleh jatuh cinta dengan Anne,” ujar Haiza sambil menatap wajah selamba Laila.
“Ala, apa yang kau nak hairan Za. Kau tengoklah pakaian anak dara tu macam mana. Seksi bukan main. Tambah-tambah kalau dia pakai skirt. Huih... sekali buka langkah aje, hampir boleh nampak seluar dalam dia. Jangan kata Adib, mana-mana lelaki pun boleh tersangkut hati kat dia kalau macam tu gayanya,” sampuk Asyikin.
“Kau ni Ikin, boleh tahan jugak mulut kau tu ya kalau mengata orang. Tapi bagi akulah, Adib suka kat dia bukan sebab tu tapi sebab sikap Anne sendiri. Dia kan lemah lembut, manja pulak tu walaupun kurang sikit sopan santunnya,” ujar Laila.
“Huh! Setakat manja gedik macam tu, aku pun boleh buat,” cebik Asyikin.
“Tapikan Ila, betullah cakap Haiza tadi. Adib suka kau. Jangan kata kita orang, Nazrin dan Danial pun selalu cakap perkara sama kat aku. Dia orang kata Adib tu macam simpan perasaan kat kau tapi dia tak perasan sebab terlalu asyik bercinta dengan Anne. Apa kau tak nak mengorat dia ke Ila? Handsome jugak dia tau. Macho lagi dari dua orang sepupu aku tu,” sampuk Marya yang turut serta ada di situ.
“Haahkan. Kau mengorat aje Adib. Mana tahu esok-esok sampai jugak hajat kau nak jadi orang kaya walaupun setakat menumpang harta keluarga dia aje. Kau jugak untung sebab tak pening-pening cari lelaki tua jadi suami kau nanti,” giat Haiza juga.
“Hei kau orang ni, suka hati aje nak suruh aku mengorat Adib!” marah Laila.
“Nak bertegur sapa dengan dia pun payah benar aku nak buat, nikan pulak nak mengorat dia. Eii... minta simpang empat puluh ribu malaikatlah. Daripada aku mengorat dia baik aku mengorat datuk Faizam. Dia lagi kaya dari keluarga Adib tau. Jangan kata tujuh keturunan, tujuh belas keturunan pun belum tentu hartanya tu nak habis dimakan,” ujar Laila sambil tersengih.
“Hei kau ni Laila. Sejak bila kau jadi mata duitan ni hah? Punya ramai lelaki dalam dunia ni yang ada, dia jugak yang kau berkenan. Apa otak kau dah senget ke Laila sampai kau masih ada hati nak kahwin dengan dia yang dah tua bangka tu?” tanya Haiza yang geli-geleman dengan sikap kawannya itu.
“Entah kau ni Ila. Aku rasalah, jangan kata datuk Faizam, satu keturunan dia pun dah tentu boikot kau dari jadi ahli keluarga dia orang,” sampuk Asyikin, turut tidak bersetuju.
“Aku bukannya apa. Aku tak sukalah kau orang kaitkan aku dengan Adib. Daripada aku kahwin dengan dia, baik aku kahwin dengan mamak jual mee kat depan sekolah kita dulu tu aje. Biar susah tak berduit dari susah hati selalu,” balas Laila sambil tersengih lagi.
“Kau nak susah hati apanya kalau kahwin dengan Adib? Lagi suka hati adalah. Tak penat-penat perah tenaga bekerja siang malam,” ujar Marya semula.
Dipandang Laila sekilas sebelum berpindah mata pada Farah.
Sejak tadi Farah hanya membatu diri. Seakan-akan berkhayal sendiri.
“Hah, yang ni lagi satu. Hei Farah, kau ni kenapa? Dari tadi diam macam batu aje? Apa kau dah jadi patung cendana ke?” tegur Marya sambil menyiku lengan Farah yang terus tersentak.
“Mana adalah. Kepala aku tengah berserabut ni. Tak tahu nak beli apa untuk Johan,” rengus Farah.
Dia kembali membuang mata ke sekitar kedai. Sudah tiga hari dia berada di Petaling Jaya. Menemani atuk dan neneknya yang mahu menemui Johan sebelum anak muda itu berangkat ke Amerika Syarikat.
“Apa susah, kau bagi aje hati kau kat dia. Pasti dia terima,” cadang Laila selamba.
“Aku setuju,” sokong Haiza sambil tersengih nakal.
“Hisy kau orang ni. Dahlah aku tengah pening, lagi nak buat lawak bodoh. Apa kau orang fikir hati aku ni ketul batu ke hah? Balut-balut aje terus bagi kat dia,” marah Farah, geram dengan tingkah laku teman-temannya.
“Okeylah. Kalau kau tak mahu bagi hati kau kat dia, apa kata kalau kau beli aje benda yang dia suka? Tak payah nak sakitkan kepala kau yang sememangnya tak pernah sihat kalau bercakap pasal Johan tu,” ujar Asyikin pula.
Tahu sudah dengan sikap Farah. Sakit memanjang apabila cakap pasal Johan!
“Masalahnya, aku tak tahu apa yang dia suka,” keluh Farah sambil tersengih kelat
Terbeliak mata kesemua yang mendengar.
“Hei kau ni Farah, takkanlah apa yang Johan suka pun kau tak tahu? Apa punya jenis sepupu Johan dapat pun tak tahulah. Habis tu kau fikir nak hadiah apa kat dia?” balas Marya.
Farah menjongket bahu perlahan.
“Aku tak ada idealah Marya,” balas Farah dengan riak muka tidak berperasaan.
“Tulah, aku suruh kau bagi hati kau kat dia, kau tak nak. Kan dah pening sekarang,” ujar Laila lagi.
Dia tersengih apabila Farah terus mencekak pinggang.
“Mata aku ni nampak kau kecik aje sekarang ni Ila,” ujar Farah, geram.
“Yalah, yalah. Aku mengalah. Aku main-main aje tadi tu.”
Pantas Laila mengangkat tangan tanda mengalah. Dia tersengih lagi.
“Hei, dahlah kau orang berdua, dah besar panjang pun masih berperangai macam budak-budak,” tahan Marya.
“Kalau tak ada apa-apa yang kau orang nak beli lagi kat sini, jom kita pergi kedai lain pulak. Buat apa terperap kat sini berjam-jam kalau satu barang pun kau orang tak beli,” tokok Marya lalu melangkah ke arah Laila yang telah ke kaunter pembayaran.
Mereka yang lain mengikut dari belakang. 

BAB 31 - TAK SANGKA AKU


BAB 31

BEBERAPA bulan berlalu. Farah dan teman-temannya telah pun berjaya menamatkan pengajian di peringkat matrikulasi dan kini menanti tawaran melanjutkan pelajaran ke mana-mana institusi pengajian.
“Tak sangka saya Johan sepandai tu. Dalam ramai-ramai cucu yang kita ada, dia yang paling bijak sampai dapat lanjutkan pelajaran ke universiti tu. Apa namanya? Harbert? Helbert? Hisy, susah betul nak sebut namanya,” kata Hajah Aminah.
Sejak tadi wanita tua itu ralit membersihkan tanaman di pasu-pasunya yang tersusun sederet di serambi rumah.
“Universiti Harvard,” ujar Haji Rahman, membetulkan sebutan isterinya.
“Abang pun terkejut bila Fariha beritahu yang anak bongsunya tu dapat ke Amerika. Johan tu bijak macam abang-abangnya jugak. Belajar sampai ke luar negara,” sambung Haji Rahman.
Lalu meletakkan surat khabar bertulisan jawi ke atas meja.
“Bila agaknya dia nak berangkat pergi tu ya bang?”
“Kalau tak silap abang, Fariha kata tiga minggu lagi. Tapi sebelum tu Johan nak balik ke sini dulu dua tiga hari. Nak jumpa kita katanya.”
“Eloklah tu. Saya pun dah lama tak berjumpa dengan cucu kita tu. Tak sabar rasanya nak tunggu dia balik sini,” balas Hajah Aminah sambil tersenyum lebar.
Tidak sedar Farah sejak tadi berada di ruang dapur merengus kasar.
Sudah beberapa hari telinga Farah pijar mendengar perbualan kedua-dua atuk dan neneknya berhubung perkara itu. Tidak berhenti kedua-duanya memuji lelaki itu. Geram dan cemburu mengulit hati. Geram kerana merasakan dia tidak mampu menyaingi kelebihan Johan. Cemburu kerana Hajah Aminah dan Haji Rahman lebih menyayangi Johan berbanding dirinya yang sejak kecil telah bersama mereka.
Tanpa sedar Farah menetak ayam yang dibelinya tadi sekuat hati.
“Kau ni kenapa Farah? Kau nak potong ayam tu ke atau kau nak mengamuk?” seloroh Faizam yang tiba-tiba muncul di muka pintu belakang rumah.
Dia baru selesai membaiki bumbung reban ayam yang roboh dek hujan lebat malam tadi. Disua tangan kotornya ke singki. Mencuci sebersihnya.
“Diamlah. Kau mana tahu aku punya susah,” jawab Farah sambil menjeling tajam.
Ayam di depan mata ditetak lagi. Hampir terpelanting ke sudut singki. Cepat-cepat dia mengutip.
Faizam tersenyum kecil. Mengerti dengan rasa hati Farah ketika ini. Rasa yang membuatkan wajah putih bersih itu berselaput mendung kebelakangan ini.
“Susah apanya Farah. Kau tu bukannya ada susah apa pun.”
Faizam mengelap tangan basahnya dengan tuala kecil di birai tingkap.
“Bak sini ayam tu. Sebelum hancur ayam tu kau kerjakan baik aku aje yang buatkan,” ujar Faizam lagi lalu menghampiriFarah.
Segera saja Farah meletakkan semula pisau di tangan ke dalam singki.
“Nak masak apa ayam ni?” soal Faizam tanpa memandang gadis itu.
“Nak masak merah,” jawab Farah, masih dalam nada marah.
Dia berdiri membelakangi Faizam. Dicapai raga rotan kecil di depannya. Mula mengupas bawang.
“Ikan patin tu?”
“Masak lemak cili padi.”
Farah mula meligat tangan membuat kerja. Sementara mulut membebel sesuatu yang tidak dapat ditangkap telinga Faizam. Seakan-akan merungut.
Faizam yang mengerling kelakuan Farah hanya mengukir senyuman dan menggeleng beberapa kali. Tanpa sepatah kata dia terus membuat kerja.

“BERAPA hari Johan nak duduk kat sini?” soal Hajah Aminah yang gembira dengan kepulangan cucu lelaki kesayangannya.
Ditatapnya wajah tenang itu.
“Ikutkan hati, Johan nak duduk seminggu tapi rasanya mungkin dua tiga hari aje sebab banyak lagi perkara yang perlu Johan selesaikan kat rumah tu.”
“Yalah, nek faham. Johan mesti sibuk nak buat persiapan.”
“Hah Johan, makanlah nasi tu. Jangan malu-malu. Makan aje apa-apa yang kamu nak makan. Nanti dah sampai sana, dah tak boleh makan semua ni. Bukannya ada dijual kat Amerika tu,” pelawa Hajah Aminah lagi sambil menyenduk nasi ke pinggan cucunya.
“Nak malu apanya nek. Kalau malu laparlah Johan,” balas Johan sambil memandang Haji Rahman di kepala meja.
“Sedap nek masak,” puji Johan ikhlas setelah beberapa suapan masuk ke tekak.
“Bukan nenek kamu yang masak semua tu Johan tapi Farah,” ujar Haji Rahman pula.
Dia memandang Johan yang sudah berubah air muka. Sedikit kemerahan.
“Oh, iya ke?” balas Johan pendek.
Sambil itu matanya berkeliaran mencari bayangan orang yang dikata. Sudah hampir sejam dia tiba di rumah itu namun kelibat orang yang dicarinya masih belum dapat dilihat.
“Oh ya Nah. Dari tadi abang tak nampak Farah pun. Mana dia pergi?”
Seakan-akan mengerti dengan pergerakan mata Johan, Haji Rahman melontar soalan.
“Dia turun ke ladang bang. Katanya nak tolong dia orang yang lain bersihkan tanah atuknya, Haji Salleh yang baru dibuka kat hujung Kampung Gunung tu. Mungkin dia tidur kat rumah Sulaiman malam ni,” jawab Hajah Aminah perlahan.
Haji Rahman mengangguk faham. Mengerti keadaan itu.Terukir rasa terkilan di wajahnya mengenangkan sikap Farah. Gadis itu jarang menampakkan diri andai ada saudara mara mereka pulang bercuti. Itu tabiat Farah sejak kecil. Lalu satu lagi keluhannya terkeluar.
Johan juga berperasaan sama. Terkilan orang yang sejak dulu bermain di minda tidak kelihatan. Tanpa sedar dia turut mengeluh.
“Hah Johan, tambahlah lagi nasi tu. Banyak lagi lauk-pauknya kat dapur tu.”
Teguran Hajah Aminah mematikan lamunan Johan. Laju saja dia mengangguk. Bayangan Farah hilang bersama suapannya.

“KAMU dah fikir kat mana kamu nak sambung belajar nanti Julie?” soal Tan Sri Jaafar sambil menatap anak gadisnya yang menyandar tubuh di kerusi malas tidak jauh darinya.
Mereka sekeluarga sedang bersarapan di teres rumah pagi itu.
Julia tersenyum kecil lalu mengangguk laju.
“Julie rasa Julie nak sambung belajar kat Englandlah daddy,” ujar Julia manja.
“Kenapa tiba-tiba aje nak pergi England? Kat Australia ni pun dah bersepah universiti. Pilih ajelah yang mana satu kamu nak masuk,” ujar Puan Sri Zalina sebelum sempat suaminya bersuara.
Kurang senang dengan jawapan anak gadisnya.
“Julie bosanlah tinggal kat sini. Sekali-sekala nak jugak tengok negara orang.”
“Huh, macamlah selama ni kamu tak pernah tengok negara orang. Bukan ke tiap-tiap tahun kita sekeluarga pergi bercuti? Apa tak cukup lagi ke semua tu?”
“Tu pergi melancong, bukannya belajar. Lagipun Julie dah biasa duduk lama-lama kat England. Jadi apa salah kalau Julie belajar kat sana pun. Bolehlah yadaddy?”
“Apa kata kalau Julie sambung belajar kat Amerika aje?” usul Tan Sri Jaafar tiba-tiba.
“That’s a best suggestion daddy. Saya sokong seratus peratus,” sampuk Zarif.
Tersenyum sinis dia apabila Julia menghentak kaki. Tanda tidak puas hati.
“Hisy, tak naklah Julie ke Amerika. Situ bukannya best pun. Bosan aje tempatnya.”
“Tapikan elok kalau kamu belajar kat sana. Kebetulan Johan pun akan ke sana nanti. Bolehlah kamu jumpa Johan walaupun bukan satu universiti.”
“Huh, balik-balik Johan. Apa tak ada nama lain ke yang daddy boleh sebut hah? Bosanlah Julie.”
Julia menghentak kaki lagi. Memprotes cadangan Tan Sri Jaafar.
“Nak bosan apanya? Johan kan sepupu kamu. Apa salahnya kalau kamu belajar berdekatan dengan dia pun. Bolehlah dia tengok-tengokkan kamu nanti,” ujar Puan Sri Zalina menyokong penuh cadangan suaminya.
“Betul kata mummy tu Julie. Sekurang-kurangnya ada jugaklah orang yang boleh jaga kamu nanti. Untung-untung, ada rezeki bolehlah Johan bantu abang dandaddy kat syarikat kita tu nanti,” sampuk Zarif.
Dia mula membayangkan impian hati walaupun hanya dibalik kiasan kata.
“Huh! Kalau setakat nak minta tolong Johan bantu abang kat pejabat tu, anytimeajelah adik boleh minta kat dia. Cuma adik tak pastilah dia nak ke tak kerja kat sini. Yalah, syarikat Pak Ngah tu pun sama aje besarnya dengan syarikat daddy,” ujar Julia.
Dia masih tidak dapat menangkap maksud tersirat kata-kata abangnya. Dijeling Zarif yang tersenyum menggeleng mendengar jawapannya.
“Bukan tulah maksud abang,” ujar Zarif sambil membetulkan duduknya di meja makan.
“Maksud abang, manalah tahu kalau esok-esok Johan boleh jadi adik ipar abang. Boleh jugak dia bantu abang dan daddy tu kat syarikat tu. Iya tak mummy?” jelas Zarif berterus terang.
Dia memandang Puan Sri Zalina yang pantas mengangguk.
Julia pula sudah terbeliak mata dibuatnya.
“What? Abang nak adik kahwin dengan sepupu adik sendiri? Eii... ada ke patut adik yang cantik lagi lawa ni nak dikahwinkan dengan Johan? Tak mahulah.”
“Eh, apa salahnya kalau kamu kahwin dengan Johan? Apa kurangnya Johan sampai kamu tak mahu kahwin dengan dia?” soal Puan Sri Zalina.
Dia menyokong penuh impian Zarif yang turut menjadi impiannya sejak dulu.
“Memanglah Johan tu tak ada kurang tapi dia tu kan sepupu Julie. Tak bestlah kalau Julie kahwin dengan sepupu sendiri. Tak berkembang otak keturunan kita nanti. Lagipun mummy, Johan tu dah ada girlfriend. Takkanlah Julie nak kacau hubungan dia orang. Nanti tak pasal-pasal kita orang bergaduh pulak semata-mata berebutkan Johan. Eii... tak bestlah kalau jadi macam tu,” rungut Julia.
Kesemua mata di meja makan serta-merta teralih ke arah Julia.
“Apa kamu kata? Johan dah ada girlfriend? Kamu biar betul?” tanya Puan Sri Zalina tidak percaya.
Pantas Julia mengigit bibir. Baru tersedar dia telah tersalah kata namun dia tetap mengangguk laju.
“Betul mummy, Johan dah ada girlfriend. Cantik orangnya. Julie selalu berhubung dengan girlfriend dia tu,” jawab Julia sungguh-sungguh.
Kesemua yang ada di situ terkesima.
“Apa nama girlfriend Johan tu?” tanya Zarif cepat-cepat.
“Nama dia Farah.”
Laju saja mulut Julia menyebut nama yang tiba-tiba terlintas di mindanya itu.
“Farah? Tak pernah pulak daddy dengar nama tu sebelum ni. Anak siapa budak tu?” tanya Tan Sri Jaafar.
Masih musykil dengan kata-kata Julia.
“Farah tu anak Pak Su Fahmi, adik Mak Ngah Fariha. Senang cakap Farah tu sepupu Johan jugak tapi sebelah mak dia,” balas Julia.
Memandai dia membuat cerita tentang hubungan cinta Johan dan Farah walaupun dia sedar semua itu bohong semata-mata. Namun demi menyelamatkan diri dia sanggup buat apa saja!
“Maksud kamu Farah tu anak Datuk Fahmi dan Datin Farina?” soal Puan Sri Zalina dengan mata yang terbeliak.
“Tapi setahu abang, Datuk Fahmi dan Datin Farina tak ada anak perempuan. Semua anak mereka lelaki,” ujar Zarif pula.
Dia masih tidak yakin dengan kata-kata Julia.
“Betul bang, Farah tu anak Pak Su Fahmi. Cuma dia tak tinggal dengan dia orang aje. Sejak kecil dia tinggal dengan atuk dan nenek dia kat Pahang sana. Sebab tulah kita tak pernah tengok dia selama ni,” jelas Julia teruja.
Dalam mindanya terbayang wajah putih bersih Farah. Wajah yang baginya begitu cantik dan sepadan digandingkan dengan Johan, sepupu lelaki kesayangannya. Lamunannya hilang tatkala kedengaran keluhan panjang Puan Sri Zalina.
“Kalau betullah bang, nampaknya punahlah harapan saya nak bermenantukan Johan tu. Dari dia kecil saya harap sangat dia jadi sebahagian keluarga kita. Siapa sangka tak tercapai jugak impian saya tu,” lirih Puan Sri Zalina.
“Abang pun sama Lina. Terkilan rasanya tak dapat bermenantukan anak Jamaluddin tu. Kalaulah dia jadi menantu kita, bolehlah jugak dia tolong apa yang patut kat syarikat kita tu. Abang rasa dia tak keberatan memandangkan abang-abangnya boleh menguruskan syarikat Jamaluddin,” luah Tan Sri Jaafar juga.
“Susah apa. Minta ajelah Johan kerja kat syarikat kita bila dia dah habis belajar nanti. Tentu dia tak tolak kalau daddy sendiri yang minta,” sampuk Julia selamba.
Senang hatinya kerana tidak akan dikaitkan dengan sepupunya, Johan lagi selepas ini.
“Apa gunanya kalau dia datang pun lepas ni. Abang nak dia datang ke sini sebagai adik ipar, bukan sebagai pekerja. Setakat nak cari pekerja bukan aje Johan, beribu lagi orang boleh kita cari kat luar tu,” ujar Zarif tegas.
“Apa nak buat Zarif. Bukan rezeki kita nak buat Johan jadi ahli keluarga ni. Mahu tak mahu kenalah terima orang lain nanti,” balas Puan Sri Zalina, terkilan.
“Saya rasalah mummy, kalau adik perempuan saya nimacam anak dara lain dah lama rasanya Johan berkenan. Ni sebab perangai pun macam apa aje, siapa yang nak,” ujar Zarif.
Dia menghirup minumannya sambil menjeling lagi Julia.
“Abang mulalah tu. Saja nak kutuk adik,” ujar Julia perlahan namun keras.
Tajam matanya merenung Zarif yang membalas selamba.
“Bukan kutuk, tapi kenyataan. Terima ajelah,” balas Zarif.
Julia merengus lagi. Marah.
“Abang ni!” bentak Julia keras.
“Dah, dah. Kau orang jangan nak bertekak pulak. Apa kau orang tak rasa jemu ke bertekak hari-hari hah? Tak reti langsung nak cakap baik-baik. Tahu nak bercakar aje,” tahan Tan Sri Jaafar tegas.
Terus Zarif dan Julia terkunci mulut. Faham dengan sikap Tan Sri Jaafar. Pantang kalau mereka berlawan bicara di depannya. Apatah lagi meninggi suara sesama sendiri. Pasti ada habuan yang bakal diterima mereka nanti.
“Yash mana Hanie? Daddy tak nampak dia pun dari tadi,” soal Tan Sri Jaafar pada Hanie.
Sejak tadi menantunya hanya menjadi pemerhati keadaan.
“Dia ada dalam biliknya daddy. Dia kurang sihat hari ni,” jawab Hanie hormat.
“Yash tak sihat? Habis tu kenapa tak panggil doktor?”
Agak terburu-buru Zarif bertanya tanpa sempat Tan Sri Jaafar bersuara semula. Risau mendengar kata-kata isterinya.
“Doktor dah periksa dia malam tadi. Mungkin kesan suntikan malam tadi tulah yang buatkan dia tak sihat tu,” jawab Hanie lembut.
“Nanti kalau dia tak sihat jugak, Hanie panggil doktor semula. Periksa apa yang patut. Kalau dibiar melarat pulak,” ujar Zarif lagi seakan-akan memberi arahan.
“Doktor tak kata apa-apa ke pasal penyakitnya tu?” soal Tan Sri Jaafar.
Dia menatap wajah Puan Sri Zalina yang dirundung muram setiap kali perihal Yash dibangkitkan.
“Doktor kata setakat ni penyakitnya tu masih boleh dikawal asalkan Yash mahu makan ubat dan ikut nasihat doktor selalu,” jawab Puan Sri Zalina lemah.
“Walau macam mana pun Lina kena paksa Yash makan ubat. Kalau tak macam mana dia nak sembuh,” suruh Tan Sri Jaafar tegas.
“Saya dah paksa bang tapi abang tahu ajelah Yash tu. Dari kecil lagi dia memang tak suka makan ubat. Puas pujuk baru dia nak makan,” ujar Puan Sri Zalina lagi.
“Daddy, daddy belum bagi jawapan lagi,” celah Julia.
Membuatkan Tan Sri Jaafar tidak sempat membalas kata-kata Puan Sri Zalina. Dialih perhatiannya pada Julia yang kembali terbaring di kerusi malas.
“Jawapan apa?”soal Tan Sri Jaafar cepat-cepat.
“Daddy tak bagitahu pun daddy izinkan ke tak Julie nak sambung study kat England nanti,” ujar Julia, membangkitkan semula isi perbualan mereka tadi.
“Oh, pasal tu ke?”
Tan Sri Jaafar menghela nafas perlahan.
“Ikut suka kamulah nak belajar kat mana pun. Asalkan kamu mahu belajar,daddy tak kisah,” jawab Tan Sri Jaafar tenang.
“It’s mean Julie boleh pergi England nanti?”
Julia melonjak riang tatkala melihat Tan Sri Jaafar mengangguk kecil.
“Thank you very much daddy,” jerit Julia girang.
Dia menerpa lalu memeluk tubuh lelaki itu erat.
Tan Sri Jaafar membalas senang.
Zarif yang memandang kelakuan gadis itu hanya merengus kecil.Mengada! Getus hati Zarif.   

BAB 30 - TAK SANGKA AKU


BAB 30

HAMPIR tiga hari Julia di kampung. Bersama Farah menyelami kehidupan di tempat gadis itu dibesarkan. Selama itu juga dia tidak putus-putus bertekak dengan Faizam. Farah selaku orang tengah terpaksa meleraikannya agar tidak terus berlarutan.
Namun usaha Farah sia-sia apabila pertengkaran demi pertengkaran terus berlaku walaupun semuanya berlaku di luar pengetahuan Haji Rahman dan Hajah Aminah.
“Aduh, sakitnya kaki saya Farah,” keluh Julia.
Petang tadi dia mengikut Farah ke ladang jagung keluarga angkat gadis itu. Tanpa sengaja dia tergelincir jatuh ke dalam parit kecil di tepi ladang ketika berlari-lari anak. Terpaksalah dia menanggung kesakitan walaupun bengkak kakinya telah kurang selepas diurut Hajah Aminah sebentar tadi.
“Tahan sikit ya Julie. Jangan terlalu banyak bergerak tau. Nanti bertambah bengkak kaki awak tu,” ujar Farah tatkala gadis itu menjerit kecil.
Sakit dengan sentuhannya yang masih tidak jemu menyapu minyak di kaki Julia.
Bunyi ketukan di muka pintu menghentikan gerakan tangan Farah. Pantas dia bangun membuka selak pintu bilik.
Wajah masam Faizam tersembul di situ.
“Nah, kau bagi puntianak tu minum air akar kayu ni. Minum sampai habis. Penat mak rebus air ni berjam-jam lamanya,” ujar Faizam sambil menghulur sebotol minuman berbalut kain kuning.
“Kau ke Kampung Gunung Zam?” soal Farah, terkejut.
Namun huluran Faizam tetap disambut. Menjadi kebiasaannya sejak kecil memanggil kampung orang tua angkatnya dengan nama itu.
“Habis tu nak bawa dia ke klinik, dia tak nak. Aku mintalah ajelah ubat dari mak,” balas Faizam tanpa ada senyuman di wajah.
Marahnya pada Julia masih berbaki.
“Terima kasih ya Zam sebab tolong Julie masa dia jatuh tadi. Kalau kau tak ada, tak tahulah apa yang akan jadi kat dia,” ujar Farah lembut.
Teringat pada kebaikan Faizam. Masih mahu menghulurkan bantuan pada Julia walaupun hubungan kedua-duanya tidak pernah baik.
“Huh, aku buat semua ni pun sebab kau tahu. Kalau tak kerana aku kesiankan kau terkial-kial nak bantu dia, dah lama rasanya aku humban dia ke dalam parit tu. Biar terbenam terus dalam lumpur tu seumur hidup.”
“Kau ni Zam, tak baik tahu cakap macam tu. Nasib baik Julie tak dengar cakap kau tu,” tegur Farah.
Dia tidak senang dengan kata-kata selamba Faizam.
“Hah, peduli apa aku dengan puntianak tu. Bukannya ada kena-mengena dengan aku pun,” balas Faizam sambil menjeling Farah.
“Dahlah Farah, aku nak mandi ni. Solat Asar pun belum lagi. Kau pergilah tengok puntianak tu. Kalau jadi apa-apa kat dia, kau jugak yang susah nanti,” pamit Faizam.
Dia terus berpaling. Mahu ke biliknya yang hanya berselang beberapa pintu dari bilik itu. Dia kembali memusing tubuh tatkala Farah memanggil namanya.
“Terima kasih ya Zam,” ucap Farah ikhlas.
Faizam hanya merengus kecil sebelum berlalu.
Faham benar Farah dengan sikap Faizam. Tidak pernah lokek membantu orang lain dalam kesusahan walaupun orang yang ditolong itu musuhnya. Dia mengukir senyuman lagi. Lebih lebar dari tadi.

FAIZAM menyandar lesu tubuhnya di batang pokok rambutan. Sementara kaki dibiarkan berlunjur di pangkin itu. Matanya memandang langit kelam. Tiada walaupun sebutir bintang menghiasi malam dingin itu.
Bersendirian begini membuatkan minda Faizam mudah saja mengingati seseorang. Walaupun wajah itu telah melukakan hati namun sehingga kini dia tidak mampu memadamkannya. Saban waktu hatinya merintih walaupun tiada siapa tahu. Merintih mengenangkan cinta yang tidak kesampaian.
Dicapai gitar di sisi lalu dia memetik tali-talinya. Mula mendendangkan irama yang hanya dia sendiri tahu. Irama yang begitu sayu. Sesayu hatinya ketika ini. Peristiwa di KOMTAR tidak lama dulu berulang tayang di mata. Terbayang semula kemesraan Balkis dan lelaki itu. Sekaligus menjemput kesakitan di hati.
Seumur hidupnya, Faizam tidak pernah seluka ini. Sewaktu Surina meninggalkannya pun dia tidak sesakit ini. Tiada rasa lain tersemadi di hatinya selain kesal. Kesal kerana tidak tahu sebab sebenar gadis itu pergi. Namun Faizam sedar. Dia bukan sesiapa di hati gadis cantik itu. Apatah lagi dia tidak mempunyai apa-apa kelebihan seperti Ikhwan, lelaki yang telah berjaya menawan hati Surina. Lalu minda Faizam melayang pula pada lelaki berambut perang itu. Ikhwan Ralfado Pietro Abdullah.
Walaupun telah setahun lebih Faizam meninggalkan zaman persekolahan namun nama lelaki berdarah Itali dan Melayu itu tidak pernah dilupakan. Bukan kerana namanya berbeza berbanding pelajar-pelajar lain. Tetapi kerana sebaris nama itu jugalah yang sering tercoret di dalam buku dendanya.
Menyandang tugas sebagai ketua pengawas sekolah menyebabkan Faizam terpaksa mengambil tindakan tegas pada sesiapa yang melanggar peraturan dan displin sekolah. Termasuklah pada Ikhwan yang boleh dikatakan saban hari membuat onar. Merokok, memonteng kelas, menyimpan gambar lucah dan meniru ketika peperiksaan adalah antara kesalahan Ikhwan yang sering mencabar kewibawaannya sebagai salah seorang pendukung displin sekolah ketika itu. Pantang bagi Faizam bertolak ansur dalam mendenda sesiapa yang membuat kesalahan apatah lagi kesalahan itu telah berulang kali dilakukan.
Disebabkan itu hubungannya dengan Ikhwan tegang walaupun dia tidak pernah mahu keadaan itu terjadi. Dia sentiasa berusaha berhubungan baik dengan lelaki itu. Namun sikap marah dan dendam yang ditunjuk Ikhwan setiap kali mereka bertentang mata menjadikan Faizam tidak mampu berbuat apa-apa. Sekadar berdoa dalam hati agar lelaki itu terbuka hati menerimanya sebagai kawan suatu masa nanti. Doa yang sehingga kini tidak menampakkan tanda kejayaan. Lalu Faizam mengeluh semula.
Bukan niatnya menimbulkan kemarahan mahupun kebencian sesiapa. Telah menjadi tanggungjawabnya menjalankan segala amanah yang terpikul di bahu ketika itu. Kerana itu dia tidak teragak-agak menjatuhkan hukuman kepada sesiapa yang membuat kesalahan walaupun dia sedar perbuatannya hanya mengundang kebencian dan dendam buatnya. Dendam yang dirasakan tidak akan terpadam sampai bila-bila.
Bayangan Balkis melintas di minda Faizam menghilangkan bayangan Ikhwan serta-merta. Lalu mengoyak semula lukanya yang masih berdarah. Luka yang sehingga hari ini cuba diubatinya walaupun tiada tanda membayangkan luka itu akan sembuh dalam masa terdekat ini.
Faizam sedar. Dia perlu keluar dari semua itu. Tiada siapa yang akan dapat membantu selain dirinya. Dia harus menguatkan hati agar dapat melupakan Balkis. Dia perlu menerima kata-kata Farah suatu masa dulu sebagai satu kenyataan. Balkis tercipta bukan untuknya. Dan sebagai manusia, dia perlu menerima ketentuan itu dengan hati terbuka.
Tetapi bagaimana dia dapat menerima kenyataan itu andai rasa cinta buat Balkis masih bertapak kukuh di hati walaupun telah berkali-kali dia berusaha menghalaunya? Mampukah dia melupakan Balkis andai hampir saban hari mereka bersua walaupun tanpa sepatah bicara? Masih mampukah dia melenyapkan bayangan Balkis dari minda andai senyuman dan tawa gadis itu masih mampu ditangkap mata dan telinganya? Memikirkan itu Faizam menghela nafas semula. Lebih berat.

JULIA menyandar tubuh di kepala katil. Sejak tadi dia cuba menidurkan diri namun rasa sakit di pergelangan kaki membuatkan matanya liat untuk terlelap seperti biasa. Dikalih pandangan ke arah tingkap yang sedikit terbuka. Perbualan antaranya dan Farah di awal malam tadi kembali memenuhi minda.

“BOLEH ke dia menyanyi? Ke action aje lebih,” sindir Julia sambil mencebik.
Dari tingkap bilik dia membuang pandang ke laman.
Tepat mengenai Faizam di pangkin bawah pokok rambutan. Dilihatnya lelaki itu sedang memetik gitar kesayangannya sambil berkhayal.
“Apa pulak tak boleh Julie. Faizam tu bukan aje boleh menyanyi tapi dia jugak pandai mengarang lagu tau. Masa kat sekolah dulu, Faizam selalu jadi juara dalam pertandingan menyanyi. Tapi tulah. Dia bukannya suka sangat menunjuk bakatnya pada orang. Sekali-sekala naklah dia. Tak pun masa dia tengah frust. Hah, menyanyilah dia,” cerita Farah serba sedikit tentang Faizam.
“Kira sekarang ni dia tengah frustlah tu?” tanya Julia sambil menjuih bibir.
“Lebih kurang macam tulah Jue. Faizam tu memang macam tu perangainya. Suka melayan perasaan kalau tengah frust,” jawab Farah sambil turut memandang ke laman rumah.
Faizam pula tidak sedar dirinya menjadi isi perbualan kedua-dua gadis itu ketika ini.
“Ada ke orang yang nakkan dia tu?” soal Julia perlahan-lahan sambil melabuhkan punggung di kerusi di sisi.
Terasa denyutan di kaki kembali menyengat. Membuatkan dia tidak mampu terus menegakkan tubuh. Namun matanya masih terarah ke laman rumah.
“Nak kata tak ada, ramai jugak yang nakkan dia. Cuma dia yang jual mahal. Orang yang dia nak pulak tak nakkan dia. Entahlah. Pening saya dibuatnya.”
“Muka macam dia tu pun ada jugak yang nak ke? Huh! Kalau sayalah Farah, bagi percuma pun saya tak nak,” cemuh Julia lagi.
Dipandang Faizam yang bangkit lalu masuk ke dalam rumah bersama gitarnya.
“Awak cakap macam tu sebab awak belum kenal dia sepenuhnya. Faizam tu memang bermulut celopar tapi hatinya baik.”
“Entahlah Farah. Terlalu susah saya nak percaya cakap awak tu. Macam manalah saya nak percaya kalau setiap kali kami bersua muka aje pasti bergaduh punya. Suka benar dia sakitkan hati saya. Benci betul. Rasanya memang malanglah siapa yang kahwin dengan budak bodoh tu nanti,” rungut Julia.
Farah kembali tersenyum lebar.
“Tu kata awak Julie. Percayalah, Faizam tak seburuk yang awak fikir. Malah dia seribu kali lebih baik dari apa yang awak sangka. Cuma awak perlu masa untuk mengenalinya dengan lebih dalam.”

BUNYI dentingan jam di dinding mematikan khayalan Julia. Hilang segala bayangan di minda. Pantas dia berpaling. Pukul tiga pagi! desis hati Julia. Dia berkhayal hingga tidak sedar masa semakin menganjak ke pagi. Tangannya mencapai termos di sisi katil. Kosong. Julia mengeluh kecil.
Perlahan-lahan Julia bangun. Terjengket-jengket menghampiri pintu sebelum selaknya dibuka. Diheret lambat-lambat kakinya yang sakit menuju ke tingkat bawah.
Langkah Julia terhenti tatkala melintasi bilik Faizam. Kedengaran seseorang mengaji dari arah bilik yang masih terang-benderang lampunya. Dijenguk mukanya dicelah pintu yang tidak tertutup rapat. Terpandang Faizam duduk di sejadah. Mengadap kitab suci Al-Quran. Khusyuk lelaki itu mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran. Melantun suara ke segenap ruang. Mendamaikan jiwa yang mendengar.
Lalu Julia terpaku di situ. Buat seketika bayangan Faizam memenuhi minda. Teringat pada kelakuan dan tingkah laku lelaki itu selama ini. Ternyata jauh berbeza daripada apa yang dilihatnya ketika ini. Begitu bersopan dan beradab. Terserlah di air mukanya riak tenang saat melafazkan ayat-ayat suci al-Quran indah dari kitab teragung itu.
Julia tersedar apabila Faizam terbatuk-batuk kecil. Segera dia berlalu. Memijak setiap permukaan anak tangga penuh hati-hati sebelum mendudukkan diri di anak tangga terakhir. Rasa ngilu kembali menyengat kaki yang belum sembuh sepenuhnya. Dia tersadai di situ. Terasa kejang urat kaki. Tanpa sedar dia mengerang kecil.
“Kau buat apa kat sini pagi-pagi buta macam ni?”
Suara itu mengejutkan Julia. Dalam kesamaran malam, dia terpandang Faizam yang entah bila telah berdiri di sebelahnya. Wajah lelaki itu nampak begitu tenang.
“Buatlah apa yang aku suka, apa kau kisah?” balas Julia, marah.
Dikalih matanya ke arah lain sementara jari-jemarinya masih memegang kaki. Sakit!
Faizam tersenyum lalu menggeleng perlahan. Tanpa kata dia ke ruang dapur lalu memetik suis lampu. Ruang gelap bertukar terang serta-merta.
“Kau nak minum?” pelawa Faizam selamba.
Dia mengunjuk gelas berisi air putih yang dituang dari jag di meja pada gadis itu.
Julia merengus kecil.
“Tak payahlah kau nak buat baik dengan aku. Aku boleh ambil sendiri nanti,” ujar Julia.
Dijeling sekilas wajah lelaki itu.
Faizam tersenyum lagi. Geli hati dengan sikap Julia yang masih menjual mahal walaupun dalam keadaan sakit seperti itu. Dijongket bahunya sedikit.
“Suka hati kaulah puntianak nak buat apa pun. Jangan hisap darah orang dalam rumah ni sudah,” balas Faizam.
Dia meneguk air minumannya hingga habis.
“Jangan lupa tutup suis lampu tu nanti. Maklumlah, kau kan puntianak. Suka duduk dalam gelap.”
Sempat Faizam mengusik sebelum berlalu ke tingkat atas semula. Meninggalkan Julia yang merengus geram dengan kata-katanya.
 Julia termangu-mangu. Untuk sementara dia tidak tahu hendak berbuat apa. Tidak lama kemudian dia kembali bangun. Cuba mengagahkan diri ke ruang dapur. Rasa dahaganya bertandang semula setelah terbantut dek kedatangan Faizam sebentar tadi.
Julia kembali tersentak apabila satu suara menegurnya dari belakang.
“Julie, awak tak apa-apa ke?”
Farah terus melabuhkan punggung di sisi gadis itu. Sehelai kain batik menyelubungi kepalanya. Ditenyeh kelopak mata sambil menguap beberapa kali. Dia sedang tidur tatkala Faizam mengetuk pintu biliknya sebentar tadi.
“Faizam beritahu awak duduk kat sini sorang-sorang. Awak tak apa-apa ke Julie?” ujar Farah lembut.
Mata yang masih terasa berat ditenyeh lagi.
Julia tersenyum kelat.
“Maaflah Farah, menyusahkan awak aje. Saya sebenarnya nak minum air. Dahaga,” balas Julia perlahan.
Rasa bersalah menyelubungi hati. Bersalah kerana menganggu gadis itu di waktu-waktu begini.
“Oh, iya ke? Tak apalah. Awak duduk aje ya. Nanti saya ambilkan.”
Farah bergegas ke dapur sebelum tidak lama kembali bersama segelas air putih.
“Terima kasih Farah. Maaflah kerana menyusahkan awak,” ucap Julia sebaik gelas di tangan telah kosong sepenuhnya.
Farah mengangguk lalu tersenyum kecil.
“Tak ada apanya yang menyusahkan pun. Dah awak sakit, nak buat macam mana. Mari saya hantarkan awak ke bilik semula ya.”
Farah membantu Julia bangkit dari duduk. Menapak perlahan-lahan menuju ke tingkat atas setelah lampu di ruang dapur dipadam.