BAB 1
Matahari telah lama memancarkan
cahaya. Segala isi alam juga telah lama menjalankan aktiviti masing-masing.
Sedangkan
Faris masih lagi berada di tilam empuknya. Sejak tadi Faris menggolek tubuh ke
kiri dan ke kanan. Berusaha melelapkan mata biarpun sedar. Itu bukan waktu yang
sesuai. Namun matanya masih tetap tidak dapat ditutup rapat meskipun rasa
mengantuknya masih wujud. Lantas laju saja tangannya mencapai bantal di sisi
tubuh. Ditekup ke telinganya rapat-rapat.
Namun
keadaan itu masih tidak mampu menutup lubang deria itu dari mendengar segala
keriuhan. Lalu Faris kembali membuka mata. Sempat dia mendengus halus. Resah
dengan keadaan yang dialami. Faris mengerling jam loceng di sisi meja. Pukul
7.30 pagi, desis hatinya.
“Aduh...
nak tidur pun tak boleh. Waktu-waktu beginilah dia orang nak buat bising. Saja
tak bagi aku tidur,” rungut Faris pula.
Faris
menghela nafas sebelum lambat-lambat bangun dari pembaringan. Sambil menenyeh
kelopak mata dia bangkit dari katil.
Tubuhnya
yang masih berbalut sepasang pijama diheret ke pintu bilik. Daun pintu dibuka
luas-luas. Dibiar ternganga begitu saja tanpa ditutup semula. Sedangkan kaki
sudah mengatur tapak ke tingkat bawah rumah. Langsung ke ruang makan.
“Pagi
mak...” Lemah Faris membuang ucapan pendek itu.
Punggungnya
dihempas lembut ke kerusi. Memandang sekilas Puan Fatimah yang baru melangkah
keluar dari dapur. Wanita itu tersenyum panjang.
“Pagi.
Awal kamu bangun. Kata nak sambung tidur lepas Solat Subuh. Ni tak sampai sejam
kamu tidur, dah bangun balik.” Lembut Puan Fatimah membuka bicara. Faris pula
sudah merengus halus.
“Macam
mana nak tidur mak dalam suasana bising macam ni? Dahlah bising dengan bunyi
orang mengangkut barang, mulut orang yang mengangkutnya tu pulak tak tahu diam.
Bercakap aje tak henti-henti. Pot-pet, pot-pet dua puluh empat jam. Kuat pulak
tu. Berdengung kepala Ris dibuatnya,” rungut Faris sedikit berjela.
Betul-betul
tak senang dengan suasana itu. Terus Faris mencapai tepung talam dari dalam
pinggan, lalu dikunyah lahap. Puan Fatimah hanya menggeleng-geleng melihat
gelagat anaknya itu.
“Hei
kamu ni Ris. Kalau iya pun nak makan, basuhlah muka tu dulu. Ini tak, main
sumbat masuk aje kuih tu ke dalam mulut kamu yang tak bergosok tu,” tegur Encik
Rais menjeling sekilas anak terunanya.
Dia
yang baru turun dari tingkat atas segera menarik kerusi di kepala meja. Lalu
dia melabuh punggung di situ.
Faris
hanya tersengih panjang. Malas menyahut kata-kata ayahnya.
“Kamu
tak kerja ke hari ni Faris?” tanya Encik Rais.
Wajah
si anak yang terus rakus melahap tepung talam dipandang semula.
“Apa
pulak tak kerjanya ayah? Ris kerja macam biasalah. Cuma hari ni Ris masuk lewat
sikit sebab malam tadi Ris balik lambat. Banyak kerja yang perlu Ris buat kat
syarikat percetakan Ris tu.”
Encik
Rais mengangguk kecil.
“Kenapa
bising sangat halaman rumah jiran sebelah kita ni mak? Selama ni tak pernah pun
Ris dengar bunyi bising macam tu punya kuat?” Mata bulat Faris sudah teralih ke
wajah tenang Puan Fatimah.
Sememangnya
dia tidak tahu-menahu apa yang sedang berlaku di kawasan kejiranannya.
Kesibukan menguruskan syarikat percetakan miliknya menjadikan dia jarang peduli
dengan keadaan yang berlaku di sekeliling kediaman mereka.
“Mana
tak bisingnya Ris oii. Ada orang baru pindah masuk ke rumah sebelah kita ni.
Minggu lepas dia orang datang tengok-tengok aje. Hari ni pindah masuk teruslah
agaknya sebab ada dua lori besar datang. Itulah yang bising sikit tu,” ujar
Puan Fatimah turut sama melabuh punggung di situ.
Kening
lebat Faris sudah terjongket.
“Ada
orang pindah masuk ke rumah sebelah? Eh, bukankah rumah arwah Pak Cik Sulaiman
tu dah lama kosong? Apa anak-anaknya yang duduk kat Singapura tu dah pindah
balik sini ke?” Faris membuat andaian sendiri berdasarkan apa yang
diketahuinya. Terus berkerut dahi dia bila mendengar jawapan Puan Fatimah.
“Bukan
anak-anaknya yang balik duduk sini tapi orang lain. Setahu mak, anak-anaknya
dah sepakat menjual rumah arwah Pak Cik Sulaiman tu pada orang luar. Jadi
senang cakap kita dapat jiran barulah lepas ni.”
Hanya
itu yang diketahui Puan Fatimah. Itupun setelah dia bertanya-tanya pada
kelindan lori yang ditemuinya di laman rumah sebelah, minggu lalu.
“Orang
baru? Maknanya lepas ni rumah sebelah kita ni tak kosong lagilah ya?”
Makin
rancak Faris menyumbat masuk tepung talam ke dalam mulutnya. Sedap pula rasa
kuih mak pagi ni, sempat lagi hatinya memuji hasil tangan Puan Fatimah iaitu,
kuih
kegemarannya
itu.
“Alah,
apa salahnya kalau ada orang pindah masuk pun ke rumah tu. Kita jugak yang
beruntung sebab ada jiran tetangga di sekeliling kita. Tak adalah sunyi sangat
kawasan rumah kita ni nanti. Mak pun bolehlah dapat kawan untuk diajak
bersembang bila ada masa lapang. Taklah mak sunyi sepi lagi.” Tidak semena-mena
keluhan kecil wanita itu terhempas keluar seusai dia bersuara.
“Apalah
yang mak boleh kata lagi Ris. Nak harapkan kamu bawa balik menantu ke rumah ni,
rasanya nak kiamat esok baru mak nampak bayangnya. Jadi daripada tak ada
menantu nak temankan mak kat rumah ni, elok jugaklah kalau ada jiran pun. Itu
pun dah cukup buat mak hilangkan rasa sunyi mak walau sekadar menumpang orang
yang tak sepatutnya. Iya tak Ris?”
Dalam
lembut sempat pula Puan Fatimah menyindir anak sulungnya. Dia hanya mengoles
senyuman tatkala melihat raut wajah Faris sudah bertukar riak masam.
“Mak
ni, mulalah tu. Tak ada perkara lain yang nak dicakapkan. Saja nak buka bab-bab
yang Ris tak suka pagi-pagi begini,” rungut Faris dalam rengusan.
Kemudian
dia memandang Encik Rais bila lelaki itu mula bangun dari duduknya.
Sedari
tadi lelaki itu begitu tekun menghabiskan sarapannya tanpa menyampuk perbualan
kedua-dua beranak itu. Itulah sikap Encik Rais sejak dulu. Tidak gemar bercakap
ketika makan melainkan perlu.
“Ayah
dah nak pergi kerja ke?” Faris bertanya.
Dia
terus menghulur tangan pada lelaki itu lalu tangan si ayah dikucup lembut.
Encik Rais mengangguk kecil.
“Iyalah,
takkan nak bertapa dalam rumah ni pulak.”
Dia
menyambut pula huluran tangan Puan Fatimah. Wanita itu turut bangun dari
duduknya. Namun dia masih tidak berganjak dari tempatnya.
“Hati-hati
bila bawa kereta tu ya bang,” pesan Puan Fatimah sebagaimana biasa sebelum
turut menapak ke pintu rumah bersama suaminya.
Sehingga
kereta Encik Rais hilang dari pandangan barulah Puan Fatimah kembali ke meja
makan. Dia kaget tatkala terpandang renungan nakal Faris terhadapnya. Anak itu
masih melekatkan mata di wajah si emak tanpa berubah arah sejak tadi. Bibirnya
pula masih tersenyum panjang. Penuh makna.
“Kamu
ni kenapa Ris? Senyum macam tu pulak kat mak? Apa yang tak kenanya?” soal Puan
Fatimah pelik melihat perlakuan anaknya ketika ini.
“Tak
ada apa-apalah mak. Ris cuma pelik dengan perangai mak tu. Dah lebih 30 tahun
pun ayah berulang-alik ke tempat kerja yang sama. Hari-hari jugak mak pesan perkara
yang sama kat ayah sampaikan kami adik-beradik pun boleh hafal semua dialog
klise mak tu.”
Puan
Fatimah mengorak senyuman.
“Apa
nak kata Ris. Dah menjadi kebiasaan mak buat begitu pada ayah kamu sejak dulu.
Nak buat macam mana lagi.” Dengan bersahaja wanita itu bersuara sebelum kembali
menyambung suapannya.
Faris
berfikir seketika lalu mengangguk kecil.
“Hmm...
betul kata cikgu sekolah Ris dulu. Kalau sesuatu perangai itu tidak diubah dari
awal maka perangai itu akan menjadi satu kebiasaan dan lama-lama ianya akan
bertukar menjadi satu tabiat yang mana mustahil dapat dibuang sampai
bila-bila.” Selamba saja Faris mengutarakan kata-kata itu. Kemudian dia
tersengih panjang bila si emak terus merengus halus.
“Ada-ada
ajelah kamu ni. Nak kenakan maklah tu,” marah Puan Fatimah dalam senyuman.
“Dah,
pergi mandi sekarang. Kejap lagi kamu nak pergi kerja pulak,” sambung Puan
Fatimah terus memberi arahan.
Sedikit
tegas.
Faris
mengangguk seraya menghabiskan minumannya. Dia bangun dari duduknya selepas
itu. Namun langkahnya tak jadi diatur bila Puan Fatimah kembali bersuara.
“Kamu
ni Ris, kenapa kamu selalu sangat lupa nak makan badam hah? Bukankah mak dah
pesan, makan badam tu tiap-tiap hari walau sikit. Biar cergas selalu otak kamu
tu,” tegur Puan Fatimah sedikit membebel. Faris tersengih semula.
“Apa
nak buat mak, anggaplah perangai Ris ni dah jadi satu kebiasaan. Alah, macam
mak jugaklah. Dah biasa pesan kat ayah supaya hati-hati bawa kereta ke pejabat.
Ris pun macam tu jugaklah. Dah biasa lupa makan badam,” sambutnya meniru nada
suara Puan Fatimah sebentar tadi.
Dia
terus berlari ke tingkat atas bila Puan Fatimah pantas mengangkat tangan. Ingin
menampar tubuhnya. Sekadar menggertak anak lelakinya yang sudah membuang tawa
besar. Hingga tawa si anak sudah hilang dari pendengarannya Puan Fatimah masih
mengulum senyuman.
“Ris,
Ris, ada-ada saja kamu ni.” Suara Puan Fatimah dalam bahagia dek usikan itu.
“AINUL,
bangunlah nak oii. Dah pukul berapa dah ni. Tahulah kamu tu cuti hari ni tapi
takkanlah nak tidur sampai matahari dah terpacak kat atas kepala baru nak
bangkit. Sudah-sudahlah tidur tu,” bebel Puan Hayati sebaik saja dia melangkah
masuk ke bilik tidur anak lelakinya.
Mata
Puan Hayati sempat merayap ke sekeliling bilik. Keadaannya kemas dan bersih
sekali gus menyejukkan pandangan mata Puan Hayati. Seketika cuma, sebelum mata
tuanya terlekap tepat pada batang tubuh seseorang di atas katil. Nyenyak anak
itu tidur hingga tidak sedar si emak sudahpun melabuhkan punggung di sisinya.
“Ainul,
bangun nak. Dah nak dekat pukul 11.00 ni. Takbaik tidur lama-lama. Nanti kamu
jugak yang merungut sakit kepalalah,
sakit badanlah. Dah, dah, bangun cepat,” ujar Puan Hayati membebel lagi.
Sambil
itu dia menggoncang-goncang beberapa kali tubuh berbungkus selimut tebal itu.
Sempat tangannya mencapai alat kawalan pendingin hawa lalu salah satu butangnya
ditekan. Sekali gus mematikannya dari terus memberikan perkhidmatan buat empunya
bilik yang masih berlingkar enak di pembaringannya.
Ainul
menggeliat tubuh tegapnya sedikit.
“Mak
ni, biarlah orang tidur lama mana pun. Orang penatlah mak. Mengantuk pulak tu.
Dahlah malam tadi orang tidur lewat,” rungutnya dengan mata masih terpejam
rapat. Tangannya makin erat memeluk bantal di sisi.
Puan
Hayati menggeleng perlahan. Dia melepas nafas.
“Itulah
kamu. Bekerja sampai tak ingat dunia. Siang malam bertungkus-lumus buang tenaga
kat syarikat tu sampai langsung tak fikir diri sendiri. Makan pakai pun tak
tentu hala jadinya. Memang patutlah isteri kamu tinggalkan kamu.” Kata-kata
akhirnya berjaya mengundang rengusan kasar lelaki tu.
“Mak
ni, boleh tak kalau nak bebel tu jangan babitkan sekali pasal rumah tangga
orang hah? Bosanlah mak. Asyik-asyik nama dia jugak yang mak sebut,” luah Ainul
terus menekup muka dengan bantal. Sedikit berang dengan kata-kata Puan Hayati.
Puan
Hayati terus mencekak pinggang. Matanya juga telah membulat.
“Hei,
mana ada mak sebut nama isteri kamu tu pun? Mak cuma cakap ajelah. Yang kamu
nak marah-marah kat mak ni kenapa pulak?” Tinggi sedikit nada suara Puan
Hayati. Tak senang dengan tuduhan si anak. Menajam mata pada Ainul yang kembali
bersuara dari balik bantal.
“Orang
bukan marah kat mak tapi orang tak sukalah mak babitkan perempuan tu. Orang dengan
dia dah lama tak ada apa-apa hubungan. Yang mak nak ungkit lagi kisah lapuk tu
nak buat apa? Kalau iya pun nak mengata orang janganlah sampai dia jugak yang
mak sebut-sebut.” Ainul kembali merendahkan nada suara.
Tahu
silapnya meninggi suara pada Puan Hayati sedangkan bukan itu niatnya. Sekadar
meluah rasa tidak puas hati pada sikap emak kesayangan yang sering kali
mengungkit perkara yang telah lama tersisih jauh dari jalan kehidupannya.
“Mak
bukan ungkit, tapi mak cuma ingatkan kamu aje. Kalau kamu tak ubah perangai
gila bekerja kamu tu, jangan kata isteri, girlfriend baru pun belum
tentu kamu nak dapat walau sekerat manusia.
Perempuan
mana yang boleh tahan dengan perangai kamu yang tak serupa orang tu? Esok-esok
bila sampai hari tua orang lain sibuk bermain dengan anak cucu, yang kamu pulak
baru terhegeh-hegeh nak cari isteri,” ujar Puan Hayati membebel lagi.
Lebih
panjang dari tadi hingga menggeleng-geleng mengikut rentak percakapannya.
Membingitkan telinga Ainul yang kembali merengus lembut. Rimas dengan
hujah-hujah penuh benar wanita itu. Dipusing tubuhnya. Menghadap si emak namun
masih tidak berganjak dari pembaringannya.
“Dahlah
mak, janganlah nak membebel lagi. Bagilah orang tidur sekejap. Nanti sebelum masuk
Solat Zuhur orang bangunlah,” ujar Ainul bersuara lembut kali ini.
Lebih
kepada merayu sebelum menarik selimutnya semula. Menutup seluruh tubuhnya
hingga ke kepala. Melolot saja mata Puan Hayati mendengar kata-kata si anak.
“Sebelum
Solat Zuhur baru kamu nak bangun dari tidur?” soal Puan Hayati menepuk-nepuk
dahinya.
“Habis
tu kamu tak nak makan sarapan dulu ke?”
“Tak
naklah mak. Orang belum lapar. Lagipun lebih baik orang jaga mata dari jaga
perut. Kalau lapar boleh tahan tapi kalau mengantuk memang tak boleh buat apa
lagi dah melainkan tidur aje ubatnya.” Suara Ainul tenggelam dalam bungkusan
selimutnya. Membuatkan kepala Puan Hayati menggeleng lagi.
“Hai,
apalah malang nasib aku. Dapat anak begini punya perangai.” Dia merungut
sendiri lalu mengeluh kecil.
“Habis
tu kamu tak kerja ke hari ni?” Wanita itu menyoal semula selepas itu.
“Nak
kerja apanya mak? Bukankah mak dah tahu orang ambil cuti hari ni. Lagi mahu
tanya,” rungut Ainul malas melayan pertanyaan Puan Hayati.
“Ooo...
kira cuti aje kamu nak tidur ajelah sepanjang hari ni pun?”Puan Hayati bertanya
lagi.
“Mana
ada mak. Orang bukannya kelawar nak tidur lama-lama. Kejap lagi orang
bangunlah,” ujar Ainul semakin erat memeluk bantalnya biarpun bahang panas mula
menguasai suhu bilik.
“Kamu
Solat Subuh tak pagi tadi?” Seakan tak puas hati dengan jawapan si anak, Puan
Hayati bertanya lagi.
“Solatlah
mak, apa pulak tak solatnya. Solat tu wajib dibuat, mana boleh ditinggalkan
begitu aje. Dahlah tu mak, bagilah orang tidur. Petang-petang sikitlah orang
bangun ya. Mak pergi masak nasi dan lauk-pauk sekarang. Nanti orang bangun aje
orang terus nak makan.” Suara Ainul lagi. Seakan memerintah. Tidak mahu melayan
cakap Puan Hayati lagi sebenarnya.
Melihat
tingkah anaknya, Puan Hayati menggeleng lagi buat kesekian kali. Dia terus
bangun dari duduknya sebelum menapak ke luar bilik. Meninggalkan Ainul yang
telah kembali merayap ke alam mimpi tidak lama kemudian. Langsung tak peduli
pada tubuhnya yang mula memercik peluh dek bahang suasana bilik.
“ASSALAMUALAIKUM.”
Lantang Damia memberi salam.
Dia
melangkah masuk ke ruang tamu. Lalu tersenyum panjang tatkala terpandang Puan
Khadijah melangkah keluar dari ruang dapur seraya menyahut salamnya.
“Ooo...
kamu rupanya Damia. Mak ingat siapalah tadi.”
Laju
saja wanita itu menyambut huluran tangan Damia. Senyumannya kembang lagi bila
gadis itu terus mengucup tangannya. Penuh hormat.
“Ayah
mana mak? Tak balik kerja lagi ke?” tanya Damia terus menghempas tubuh ke sofa.
Mata pula sudah melilau ke sekeliling. Sekejap saja.
“Ayah
kamu tu dah lama balik. Ada kat atas tu, tengah Solat Asar,” ujar Puan Khadijah
turut meletak punggung di sofa. Menghadap anak perempuannya itu.
“Kamu
dari mana ni? Dari firma ke?”
Gadis
itu mengangguk kecil.
“Dari
mana lagi mak kalau bukan dari firma. Saja aje Mia singgah. Dah lama rasanya
Mia tak balik ke sini.”
Damia
melepas lelah yang masih berbaki di tubuhnya. Sedangkan kakinya sudah dilipat
naik ke atas sofa. Duduk bersila. Satu tabiatnya yang sejak kecil payah
disingkir dari diri gadis bersikap kasar itu. Begitupun telah banyak sikap
negatifnya dibuang mengikut peredaran usia.
Puan
Khadijah mencebik bibir.
“Hah,
tahu pun kamu dah lama tak balik ke sini. Mak ingatkan kamu tak mahu balik ke
rumah ni lagi sampai bila-bila,” sindir Puan Khadijah menjeling Damia.
Gadis
itu menyeringai panjang.
“Bukan
tak mahu balik mak tapi Mia tak ada masa langsung. Banyak kerja yang perlu Mia
lakukan sebulan dua ni.”
“Kerja
tu kerja jugaklah Damia oii tapi ingat sama kesihatan diri kamu tu. Tak guna
bekerja siang malam mengalahkan robot kalau badan tu sakit-sakit selalu,” ujar
Puan Khadijah sudah membuka ‘ceramah’ tak rasminya.
Damia
pula hanya menggaru-garu kepala tak gatal. Malas menyahut. Bimbang bebelan
wanita itu semakin berpanjangan jadinya.
“Hah
Mia, dah lama kamu sampai?”
Pertanyaan
itu mengangkat kepala Damia. Sekali gus menyelamatkannya dari terus mendengar
‘ceramah’ Puan Khadijah yang baru bermula. Dia terus tersenyum pada Encik
Khalid. Lelaki itu melangkah turun dari tingkat atas seraya mendapatkan isteri
dan anaknya.
“Taklah,
baru aje sampai ayah,” ucap Damia sambil menghulurkan tangan pada lelaki itu.
Penuh hormat.
Encik
Khalid menyambut perlahan. Dia turut melabuhkan punggung di sofa. Berdepan
gadis itu. Sempat matanya mengerling pada Puan Khadijah yang terus bangun
menuju ke ruang dapur. Membuat minuman buat anak-beranak itu.
“Jadi
macam mana Mia? Seronok kamu bekerja kat firma tu?” tanya Encik Khalid, matanya
sudah terlekap di wajah anak perempuannya itu.
Walaupun
Damia bukan anak kandung dia dan Puan Khadijah, namun kasih sayang mereka suami
isteri tetap melimpah buat gadis berkulit cerah itu.
Damia
tersenyum panjang. Kemudian mengangguk kecil.
“Seronok
tu seronoklah ayah tapi penatlah. Banyak sangat kes perceraian yang perlu Mia
selesaikan setiap hari. Boleh dikatakan hampir setiap hari ada saja pasangan
yang memfailkan perceraian. Sudahlah tu, kebanyakannya pasangan Melayu pulak
yang buat macam tu.” Ketika menjawab dia mengeluh. Sedikit terkesan dengan
keadaan itu.
“Apa
nak kata Mia, dah jadi macam satu trend pulak di zaman sekarang ni orang-orang
bangsa kita bercerai lepas beberapa lama berkahwin. Agaknya masing-masing
berkahwin pun hanya semata-mata untuk berseronok.
Lepas
dah hilang seronoknya, mulalah ada yang tak kena. Tak ada persefahamanlah, tak
boleh bertolak ansurlah, kena deralah. Ada aje alasannya nak bercerai-berai.
Ada jugak pasangan yang berkahwin tak sampai seminggu dah masuk mahkamah.”
Sambil menyelak surat khabar Encik Khalid meluah kata.
Tabiat
lelaki itu sejak kecil lagi memang tak mampu diubah sehingga kini. Malah turut
diwarisi oleh semua anak-anaknya termasuk Damia sendiri.
“Itulah
ayah. Saya sendiri pun rasa pelik. Kenapalah mudah sangat orang bercerai-berai
di zaman sekarang ni? Masa nak kahwin buat majlis besar-besaran mengalahkan
anak raja tapi bertahannya cuma dua tiga bulan. Buat rugi aje. Rugi masa, rugi
tenaga, rugi duit. Pendek kata memang rugi semuanyalah,” rungut Damia sedikit
marah. Sempat pula dia menumbuk lembut kusyen kecil di sisinya. Seakan melepas
geram di situ.
“Tapikan
ayah. Mengikut beberapa kes yang saya kendalikan setakat ni, kebanyakan
pasangan bercerai kerana tiada persefahaman dan bukannya sebab masalah-masalah
yang lain. Pelik pulak rasanya bila persefahaman yang jadi pokok pangkal
penceraian.
Yalah,
bukankah dalam Islam kita digalakkan untuk membuat Solat Istikharah sebelum
memilih seseorang itu menjadi pasangan hidup kita? Kenapa tak kita pratikkan
saja perkara tu sebelum kita ambil keputusan nak berkahwin?” ujar Damia berasa
pelik dengan manusia zaman siber ini.
“Biasalah
tu Mia. Nama pun manusia. Takkan pernahnya kita dapat lari dari melakukan
kesilapan. Begitu jugak dalam hal perkahwinan ni. Masa mula-mula kenal, kita
yakin sangat dialah orang yang paling memahami kita. Hingga kita terlupa Islam
mempunyai caranya sendiri untuk kita kenal pasti sesuai atau tidak pasangan
pilihan kita tu untuk kita kahwini.
Bila
dah kahwin, barulah kita sedar yang kita dah salah membuat pilihan. Tapi kalau
salah sekalipun, kita masih boleh perbaikinya dengan cara berusaha dan berdoa
semoga segalanya akan berubah menjadi sepertimana yang kita inginkan.
Tapi
itulah satu sikap manusia biasa seperti kita ni. Bila dah sayang, sayang sangat
mengalahkan sayang ALLAH. Bila dah datang rasa benci tu, jangan kata nak
bercakap, nak pandang muka pun tak mahu. Kalau dah nak tengok pun tak mahu,
macam mana nak selamatkan rumah tangga tu? Cara terbaik, bercerai ajelah
jawabnya.” Panjang lebar Encik Khalid menerangkan. Sekadar meluah pengetahuan
yang diketahuinya sepanjang bergelar peguam selama berpuluh tahun.
“Hei
kamu dua beranak ni. Boleh tak kalau sesekali berjumpa tu kamu berdua bercakap
pasal hal lain pulak? Balik-balik hal kat firma tu jugak yang dicakapkan. Rimas
mak mendengarnya,” sampuk Puan Khadijah.
Dia
kembali bersama sedulang minuman. Lalu mematikan tingkah Damia yang baru ingin
membalas kata. Wajah kedua-duanya dipandang dengan riak masam.
“Alah
mak, apa salahnya kalau kami cakap pasal ni pun? Bukannya selalu Mia dapat
berbual dengan ayah hal-hal berkaitan kerja ni. Walaupun Mia dan ayah bekerja
di firma yang sama, tapi kami jarang dapat bersua. Masing-masing sibuk dengan
kerja sendiri,” jelas Damia terus meneguk minumannya beberapa kali setelah
selesai menyahut.
“Betul
cakap Mia tu Jah. Kami jarang dapat berbual bersama walaupun berada dalam satu
firma. Mia dengan kerja dia, abang pulak dengan kerja abang. Manalah kami ada
masa nak berbual kosong macam sekarang ni,”
Encik
Khalid menyokong kata-kata anak daranya. Dia turut meneguk minumannya. Tidak
peduli pada si isteri yang kembali melabuhkan punggung di sisinya.
“Apapun
Mia, mak berterima kasih sangat pada kamu kerana kamu sudi balik menetap di
sini semata-mata untuk membantu ayah kamu mengendalikan firma guamannya tu.
Kalau tak, entah pada siapalah ayah kamu boleh harapkan. Nak harapkan pada
Abang Zairi kamu, dia bukannya tahu apa-apa pun pasal hal guaman ni. Pasal
kayu-kayu balak dia tahulah,” kata Puan Khadijah bersuara semula. Penuh
terharu.
“Hisy
mak ni, tak payahlah nak berterima kasih pada Mia. Walaupun mak dan ayah bukan
ibu bapa kandung Mia tapi Mia tetap sayangkan mak dan ayah. Lagipun Mia dah
banyak terhutang budi pada mak dan ayah. Kalau tak kerana belas ihsan dan kasih
sayang mak dan ayah pada Mia, rasanya Mia takkan berjaya menjadi peguam
sepertimana hari ni.” Ternyata Damia turut terharu dengan kata-kata wanita itu.
Sayu
saja dia meluah suara. Namun keadaan itu tidak menyenangkan hati Encik Khalid.
Tegas saja lelaki itu mencelah.
“Damia
Karmila, dah berapa kali ayah katakan pada kamu. Ayah tak suka kamu mengungkit
tentang perkara ni. Dah menjadi tanggungjawab kami menjaga dan mendidik kamu
sebaik-baiknya. Taraf kamu sama saja dengan taraf Abang Zairi dan arwah Kamilia
di sisi kami.
Kamu
jangan lupa, walaupun kamu tu hanya anak saudara kami tapi kamu jugak adalah
anak kandung kami sebab kamu menyusu dengan mak kamu ni.” Tajam saja mata Encik
Khalid membalas pandangan gadis itu. Lalu menimbulkan rasa bersalah Damia.
“Mia
mintak maaf ayah kerana mengungkit hal ni tapi apa yang Mia katakan tu benar.
Selepas pemergian mak dan ayah kandung Mia masa Mia kecil dulu mak dan ayahlah
tempat Mia bergantung hidup selain dari nenek. Segala keperluan hidup Mia, mak
dan ayah yang sediakan dari dulu sampailah sekarang.Mustahil Mia dapat menebus
semula segala kebaikan mak dan ayah itu,” sahutnya masih sayu.
“Kamu
tak perlu tebus semua tu Mia. Cukuplah kalau kamu sayang dan terima kami
sebagai ibu bapa kamu. Itu pun dah membuatkan kami bahagia selama ni.”
Puan
Khadijah sudah menitiskan air mata. Sememangnya dia begitu sayang pada gadis
itu. Biarpun Damia tidak dilahirkan dari rahimnya. Namun dia tidak pernah
membezakan Damia dengan anak-anaknya yang lain lantaran Damia lahir dari rahim
arwah adik kembarnya, iaitu satu-satunya saudara kandung yang dia ada.
“Dahlah
tu, jangan nak diungkit lagi pasal perkara ni. Banyak lagi perkara yang boleh
kita bualkan pun selain dari perkara ni,” cantas Encik Khalid, kembali meletak
pandangan ke wajah Damia.
“Oh
ya Damia, lupa ayah nak bagitahu. Nenek kamu ada telefon ayah semalam. Dia
marah pada kamu sebab kamu tak balik jumpa dia. Dah sebulan lebih kamu balik ke
Malaysia tapi belum sekali pun kamu menjenguk dia kat kampung. Jadi dia minta
sangatlah kamu pergi menjenguk dia. Itupun kalau kamu masih sayang kat dia
katanya,” ujar lelaki itu menyampai pesanan Nenek Tijah padanya.
Damia
menggaru-garu kepala tak gatal seraya mengeluh perlahan.
“Mia
bukan tak sayang kat nenek tu ayah tapi ada banyak kerja lagi yang perlu Mia
lakukan sekarang sebelum balik ke kampung tu. Mak dan ayah faham-faham sajalah.
Mia kan baru aje masuk kerja kat firma ayah tu. Ada seribu macam perkara yang
perlu Mia lakukan waktu ni. Semuanya berkaitan dengan keadaan firma dan
pekerjaan yang Mia lakukan sekarang. Jadi manalah Mia ada masa nak fikir pasal
hal lain.”
“Kami
ni memanglah faham sangat-sangat Mia oii tapi nenek kamu tu bukannya faham
bab-bab kerja ni. Kamu jangan Mia, jadi macam ayah dan Abang Zairi kamu tu.
Siang malam bekerja sampai tak ingat apa lagi dah. Sibuk aje memanjang.
Langsung tak ingat dunia ni nak terbalik ke, langit nak runtuh ke, tak adanya
dia orang nak ambil tahu.” Puan Khadijah kembali membebel.
Mengambil
peluang meluah rasa hati yang telah sering terhambur keluar dari mulutnya. Tapi
sehingga kini masih tidak mendapat perhatian khusus dari suami dan anak
lelakinya. Sempat juga dia menjeling tajam wajah selamba suaminya. Seakan
kata-kata wanita itu tidak mengutik hati tenang si suami.
“Oh
ya mak, sebut tentang Abang Zairi, mana dia pergi? Mia tak nampak pun dari
tadi. Kak Mimi pun tak nampak bayangnya?” tanya Damia baru perasan tentang
ketiadaan lelaki itu dan isterinya di situ. Sekali gus mematikan niat Puan
Khadijah untuk terus memanjangkan bebelannya.
“Abang
Zairi dan Kak Mimi kamu tak ada sekarang. Dia orang balik ke rumah mak ayah Kak
Mimi kamu sehari dua ni. Ayah Kak Mimi kamu tu dah seminggu demam. Itulah yang
dia orang pergi menjenguk tu.”
Puan
Khadijah sudah bangun dari duduk. Baru teringat pada kerja-kerjanya di dapur
yang masih belum siap sepenuhnya.
“Kamu
tidur sini ya malam ni Mia,” ujar Puan Khadijah bersuara lagi seraya memandang
Damia.
Si
anak hanya mengangguk. Malas menyahut.
“Kalau
macam tu, kamu tunggu sebentar ya. Mak siapkan makan malam kita. Sementara tu
kamu pergilah mandi dulu. Dah petang ni. Kejap lagi dah nak masuk Maghrib.
Bolehlah kita solat sama-sama sebelum makan nanti,” suruh Puan Khadijah lembut.
“Mak,
tak nak Mia tolong mak masak ke?” tanya Damia turut bangun dari duduknya.
Sempat
matanya mengerling Encik Khalid yang kembali menghadap Surat Khabar Sinar
Harian. Lelaki itu telah tenggelam dalam dunia bacaannya.
Puan
Khadijah menggeleng pantas.
“Tak
payahlah. Bukannya ada apa sangat yang nak dibuat kat dapur tu. Sejenis dua aje
pun masakan yang mak nak masak tu. Lagipun kamu kan baru balik kerja. Penat pun
masih tak hilang. Dah, pergi mandi. Nanti lepas Solat Maghrib kita boleh makan
sama-sama,” suruh Puan Khadijah. Dia terus menghilang dari situ.
Damia
hanya mengangguk sebelum bergegas ke bilik tidurnya di tingkat atas rumah.
Ingin menunaikan segala perintah si emak yang berupa kewajipannya juga.
No comments:
Post a Comment