Followers

Saturday, 5 October 2013

BAB 7 - SETIAKU DI SINI

BAB 7

“Kenapa nenek benci sangat pada kakak dengan adik ya bang Han?”
Fakhira memandang lesu wajah Farhan yang sedikit terkedu mendengar pertanyaan itu. Wajah kanak-kanak yang masih basah dengan airmata itu ditatap lama. Mereka bertiga baru saja selesai melakukan solat Maghrib sebentar tadi sebelum duduk berbual di bilik Farhan.
Farhan terdiam sejenak. Ligat benaknya menyusun ayat. Mencari kata–kata yang sesuai sebelum lambat-lambat membuka mulut.
“Sebenarnya, nenek tak benci pada kakak mahupun adik tapi nenek marah bila kakak dengan adik buat salah. Itu saja,” tuturnya lembut. Di usap kepala keduanya yang kini berbaring di pangkuannya. Masih ada sendu yang menyalut mereka.
“Tapi adik dengan kakak tak buat salah pun tadi. Kami cuma duduk bergurau dengan mak di ruang tamu bila tiba-tiba sahaja nenek turun dari tingkat atas dan marah-marah,” sampuk Fadlan pantas.
Mata yang masih basah dengan airmata dibesarkan. Membalas pandangan Farhan. 
“Nenek memang macam tu, tak pernah sayangkan kakak dengan adik. Selalu kata kami ni anak kutip. Kami memang anak kutip ke bang Han?” petah kanak–kanak berumur sepuluh tahun itu bertanya.  Didongak kepalanya lama. Menanti jawapan dari sang abang yang ternyata tersentak dengan pertanyaan itu.
Lama Farhan membatu diri. Wajah pasangan kembar seiras itu direnung sedalamnya. Cuba mengukir senyuman walau payah untuk dilakukan.
“Kenapa adik cakap macam tu? Tak baik tahu cakap macam tu. Allah tak suka orang yang suka memburuk–burukkan orang lain,” sahut Farhan sedikit tegas namun masih bernada lembut.
Dipandang kedua-dua wajah yang begitu setia menanti jawapannya. Hatinya turut terusik mendengar kata-kata adik kesayangan. Sedar dengan kebenaran setiap patah kata itu walau hakikat sebenar tidak diketahui olehnya. Begitu pun dia amat menyayangi keduanya. Sayang yang tiada penghujungnya.
Mendengar jawapan itu Fakhira mengeluh panjang.
“Kenapalah keluarga kita tak pernah bahagia ya Bang Han? Hampir setiap hari mak dengan nenek bergaduh. Ayah pula jarang ada kat rumah. Sibuk saja dengan kerja,” suaranya perlahan.
Dia yang kini bangun menyandarkan tubuh ke kepala katil merenung semula wajah abang kesayangannya.
“Ayah sibuk sebab ayah cari duit untuk kita. Kalau ayah tak bekerja keras, siapa yang nak belikan pakaian baru dan mainan untuk kakak dengan adik?” jelas Farhan masih bernada lembut. Menatap wajah Fakhira yang segera mencebik sedikit.
“Itu kakak tahulah tapi kenapa ayah biarkan nenek selalu marah mak? Apa salah mak pada dia sampai tiap–tiap hari dia marah mak. Mak pula tahu menangis je. Jarang nak melawan cakap nenek. Kesian mak,” Fakhira bersuara lagi.
Ada rasa geram yang bergaul di dalam nada suaranya. Air mata yang sedari tadi berhamburan di pipi dilap perlahan.
Farhan terdiam semula. Putus ikhtiarnya untuk membalas kata lagi. Sedar dengan kebenaran kata-kata kanak-kanak comel itu. Tak mampu dirinya menyangkal.
“Dahlah, jangan menangis lagi. Esokkan kakak dengan adik nak sekolah. Nanti kalau bengkak mata tu siapa yang malu? Kakak dengan adik jugakan. Dah, lap airmata tu,”
Farhan bersuara semula setelah agak lama membatu diri. Jari-jemarinya menyapu lembut airmata yang masih berbaki di pipi keduanya.
“Bang Han, tak boleh ke keluarga kita hidup bahagia macam orang lain?”
Pertanyaan tiba-tiba yang terkeluar dari bibir Fakhira membuatkan Farhan kembali terkedu. Agak lama dia terkunci kata sebelum lambat–lambat bersuara.
“Keluarga kita selalu bahagia kak tapi kalau nak bahagia lagi, kita kenalah selalu beralah,” jawabnya. Bola matanya kembali menujah wajah keduanya.
“Beralah macam mana Bang Han?” sampuk Fadlan.
“Beralah macam yang selalu mak buat. Kalau nenek marah–marah, kakak dengan adik kena diam. Jangan menjawab. Itu tandanya beralah. Bila nenek dah penat marah, dia diamlah. Kan senang,” suara Farhan memandang kedua adiknya yang lambat–lambat mengangguk.
“Bukankah bagus kalau ada orang yang boleh selamatkan keluarga kita,” Fakhira kembali melantun suara setelah membiarkan suasana di bungkus sepi seketika.
“Maksud kakak?” tanya Fadlan cepat.
Dia yang sedari tadi berbaring di pangkuan Farhan segera mendudukkan diri. Mengadap Fakhira. Berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut kata-kata kakak kembarnya itu.
“Ala, macam superhero-superhero selalu buat tu. Ada Superman, ada Batman yang boleh selamatkan orang bila susah. Hah, lebih kurang macam tulah. Bolehlah dia tolong selamatkan keluarga kita. Tak payahlah mak dengan nenek bergaduh lagi. Ayah pun taklah sibuk bekerja saja,” sahut Fakhira.
“Ada ke orang yang macam tu Bang Han? Mahu menolong orang lain tanpa mengharapkan balasan atas bantuannya?” tanya Fadlan seraya mengalih wajah ke arah Farhan yang lambat-lambat mengangkat bahu.
“Entah, mungkin ada mungkin tak ada,” jawabnya tidak pasti dengan keadaan itu.
“Tapi perkara macam tu tak mustahil boleh berlakukan bang?” Bersungguh-sungguh Fadlan menanya. Seakan mengharap. Bulat matanya memandang wajah tenang Farhan.
Well, kalau nak tahu ada ke tidak orang macam tu, kita kena cari. Tak pun apa kata kita berdoa saja pada Allah? Minta Allah hantarkan orang tu pada kita. Mana tahu Allah makbulkan permintaan kita tu,” jawab Farhan sekadar ingin menenangkan hati kedua-duanya.
“Boleh ke kita minta macam tu pada Allah Bang Han?” Fadlan sudah mulai teruja.
“Boleh sayang. Allah tu Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dia dengar segala apa yang kita katakan dan Dia jualah yang akan memberi apa yang kita minta asalkan kita memintanya dengan penuh ikhlas dan bersungguh–sungguh,” suara Farhan lagi.
“Kalau macam tu, adik nak mintalah. Mana tahu Allah makbulkan nanti,” Fadlan membalas riang. Berbalas pandangan dengan Fakhira yang mengangguk setuju. Digosok kedua tapak tangannya sebelum mengalih pandangan. Memandang Farhan yang hanya memerhati gelagat kedua-duanya.
“Abang Han bacalah doa, adik dengan kakak aminkan,” suaranya begitu beriya.
Fadlan memandang Fakhira yang turut melakukan perkara yang sama dengannya. Mengembangkan kedua tapak tangan yang telah ditaut rapat. Bersedia untuk berdoa.
Farhan tersenyum sedikit. Tercuit hatinya melihatkan sikap kedua-dua kembar yang kelihatan begitu teruja dengan keadaan itu. Memandang wajahnya dengan riak yang penuh mengharap. Tidak sampai hati untuk menghampakan keduanya, Farhan mengalih kedudukan. Ditegak tubuhnya. Mengangkat kedua tangannya ke atas seraya perlahan–lahan bersuara. Sepenuh hati.
“Ya Allah Ya Tuhanku, aku memohon padamu, ampunilah segala dosa hambaMu ini. Dosa yang pernah kami lakukan sama ada secara sedar mahupun sebaliknya. Semoga ada sedikit sinaran kebahagiaan yang akan Kau limpahkan ke dalam rumah ini. Berikanlah cahaya kegembiraan pada kami sekeluarga. Usirlah kesedihan sejauh–jauhnya dari membelenggu kehidupan kami selamanya.
Ya Allah, hanya padaMu kami memohon, hanya padaMu kami meminta. Tiada Tuhan yang kami sembah melainkan diriMu. Makbulkanlah doa hambaMu ini Ya Allah.”

“Amin…”

No comments:

Post a Comment