BAB 17
“Dasar perempuan tak sedar diri.
Dahlah rampas suami anak aku, tak boleh beranak pula tu. Aku hairan betullah,
macam manalah si Fatih tu boleh sukakan kau ni. Agaknya kau dah guna–gunakan
menantu aku tu tak? Sebab itulah dia kahwin dengan kau. Sebab itu juga anak
perempuan aku mati, tahu tak!” jerit Nek Zaitun sekuat hati.
Terasa puas dapat melepaskan segala
rasa yang bergelut dalam hatinya. Tidak peduli pada Puan Wardah yang terus
berlari ke tingkat atas. Menyembam wajah yang basah ke tilam. Menghambur segala
air mata yang cuba ditahan sedari tadi. Tidak dipeduli dengan kata–kata Nek
Zaitun yang masih kedengaran di ruang bawah rumah. Namun tidak lama, wanita itu
kembali mengunci mulut setelah menyedari Puan Wardah tidak lagi mendengar
suaranya.
Agak lama Puan Wardah berkeadaan
begitu sebelum dia kembali menenangkan diri.
Disandar tubuhnya ke kepala katil seketika sebelum perlahan–lahan dia
bangun menuju ke tingkap. Direbah tubuhnya ke kerusi rotan yang ada di sudut
bilik. Melepas pandangan ke luar tingkap. Air mata yang masih berbaki di pipi
disapu perlahan. Di tarik nafasnya sedalam mungkin. Cuba menghalau rasa pilu
yang terus-terusan bergayut di ruang hatinya.
Sudah hampir sepuluh tahun dia hidup
bersama Encik Fatih. Selama itu juga dia menahan segala cemuhan dan hinaan Nek
Zaitun. Ibu mertua kepada suaminya itu sememangnya tidak pernah menyenangi
kehadirannya sedari dulu.
Jika tidak mengenangkan amanat yang
ditinggalkan arwah Fadzillah padanya, dia telah lama meninggalkan rumah yang
dirasakan seperti neraka dunia itu.
Fadzillah!
Tiba–tiba sahaja sebaris nama itu
melekat di fikirannya. Kenangannya bersama wanita itu kembali berputar di
fikirannya.
“Maafkan aku Wardah, maafkan aku dunia
akhirat kerana susahkan kau,” ujar Fadzillah menangis teresak–esak.
Disembam wajahnya di ribaan Wardah
yang hanya menadah telinga. Sedangkan fikirannya berserabut memikirkan keadaan
Fadzillah di saat ini. Bingung dengan situasi yang sedang dihadapinya selain
urat mindanya berselirat memikirkan permintaan Fadzillah yang entah berapa kali
disuarakannya. Permintaan yang dirasakan tidak mampu dilakukannya.
“Aku mohon pada kau Wardah, tolonglah
jaga anak–anak aku macam kau jaga anak-anak kau sendiri. Sayangilah mereka
seperti mana kau menyayangi diri kau. Bahagiakanlah abang Fatih. Aku tak mampu
membahagiakan dia Wardah. Hanya kau yang mampu memberikan segalanya pada mereka
semua,” ujar Fadzillah lagi.
Air mata yang masih melimpah pipi
dibiar membasahi wajah cengkungnya. Mengenai tilam tempatnya berbaring tubuh
kini.
“Aku tak layak menggantikan tempat kau
Zillah. Aku tak mampu menggalas kesemua tanggungjawab berat itu. Aku takkan
mampu. Lagipun, kau akan sembuh sepenuhnya suatu hari nanti. Kau akan sihat
sepertimana dulu Zillah, kau akan sihat semula,” Wardah membalas kata. Penuh
kesungguhan.
Lembut anak matanya menikam pandangan
sayu wanita itu. Air mata yang turut bercucuran dari kelopak matanya di lap
perlahan. Hiba melihatkan keadaan sahabat baik yang kini sedang bertarung dengan
dugaan hidup.
Fadzillah menangis lagi. Penuh hiba.
“Jangan cakap macam tu Wardah. Kau
kawan baik aku. Kita dah kenal sejak di bangku sekolah lagi. Tak ada siapa lagi
yang boleh aku harapkan kecuali pada kau.” rayuan Fadzillah kedengaran begitu
mendayu. Jari-jemarinya meramas lemah jari-jemari Wardah yang tertunduk pilu.
“Aku tahu Dah, aku takkan sembuh lagi
sampai bila-bila. Penyakit aku ni tak ada ubatnya. Malah kalau ada ubatnya
sekalipun belum tentu abang Fatih dapat terima diri aku seperti dulu walau aku
tahu dia ikhlas menerima diri aku semula. Aku tak sanggup nak menahan malu lagi
Dah. Aku tak sanggup,” sambung wanita itu lagi.
“Kau tak boleh terus berputus asa
Zillah. Sekarang ni teknologi perubatan semakin moden. Pasti ada ubatnya untuk
penyakit kau ini. Kau hanya perlu kuatkan semangat dan turutkan nasihat doktor.
Insya Allah, kau pasti akan sembuh semula.
Lagipun, tak mungkin aku boleh melaksanakan
tanggungjawab yang kau berikan itu Zillah. Abang Fatih cintakan kau sepenuh
hatinya. Mana mungkin dia dapat menerima diri aku dalam hidupnya. Anak–anak kau
perlukan kau Zillah. Kau kena cekal untuk melalui semua ujian Allah ini,” suara
Wardah telah bercampur dengan esak tangisnya. Wajah pucat itu dipandang lagi.
Fadzillah menggeleng lemah. Dia terbatuk-batuk
kecil. Membuatkan Wardah segera mengusap belakang tubuh wanita itu yang kini
tersandar lemah di kepala katil. Wajah pucat lesi itu direnung lagi.
“Tak Wardah, aku takkan dapat
memaafkan diri aku atas apa yang telah aku lakukan pada Abang Fatih. Aku tak
layak untuk menjadi isterinya lagi. Anak–anak aku perlukan seorang ibu seperti
kau. Seorang ibu yang boleh memberikan mereka kasih sayang yang tidak berbelah
bahagi. Seorang ibu yang mampu memberi contoh tauladan yang baik. Bukannya
seorang ibu seperti aku. Aku seorang ibu yang tak berguna Dah. Tak berguna,”
Fadzillah kembali teresak. Lebih mengharukan.
“Zillah, jangan kau hukum diri kau
atas semua yang telah berlaku. Segalanya telah ditentukan oleh Dia yang Lebih
Berkuasa. Kita sebagai manusia hanya mampu menerima segala ketentuanNya
Zillah,” sahut Wardah segera. Lalu memeluk erat tubuh lemah itu yang masih
menangis penuh haru.
“Kerana itu aku mahu kau yang
mengambil alih segalanya Wardah. Aku tahu dan aku yakin, kau mampu menjadi
seorang ibu yang terbaik untuk anak-anak aku serta anak kau juga. Aku yakin,
Allah telah tentukan kau yang akan menjadi isteri dan ibu pada keluarga aku.
Aku yakin itu Wardah, aku yakin,” sela Fadzillah cepat.
Dia mengenggam kemas jari-jemari
wanita itu. Begitu erat. Seerat gulungan harapan yang kini di sandar di bahu
teman baiknya itu.
“Wardah, kalau benar kau anggap aku
sahabat baik kau dunia dan akhirat, tunaikanlah permintaanku yang terakhir ini.
Aku sedar Dah, aku telah banyak menyusahkan kau selama kita berkawan tapi demi
Allah ku katakan, aku sayangkan kau lebih dari aku menyayangi diriku sendiri.
Kerana itu aku percaya, kau mampu melakukan segalanya untuk aku,”
“Tapi Zillah…” kata–kata Wardah
terhenti di situ saat telapak tangan dingin milik Fadzillah mendarat perlahan
di bibirnya.
“Berjanjilah dengan aku Dah yang kau
akan membahagiakan abang Fatih dan anak–anak aku. Berjanjilah yang kau akan
sentiasa menyayangi mereka dan memenuhi segala kegembiraan yang tak pernah aku
berikan pada mereka sebelum ini. Berjanjilah Wardah.”
Bunyi keriutan di daun tingkap
menyentak lamunan Puan Wardah. Terkejut dengan bunyi hasil tolakan angin yang
bertiup sedikit kencang tengah hari itu. Mengheret pergi kenangan yang terbuka
dari kotak ingatan wanita itu.
Puan Wardah beristigfar panjang.
Betapa masa telah jauh berlalu. Membawa segalanya bersama. Hanya kenangan yang
ditinggalkan. Menjadi memori yang sukar dilupakan oleh sesiapa saja yang pernah
melaluinya. Perlahan-lahan, segenggam keluhan terlepas keluar dari bibirnya
yang sedikit terbuka.
“Kerana janji aku masih di sini
Zillah. Masih di sisi suami dan anak-anak kau yang begitu aku sayangi. Aku
masih setia pada perjanjian yang telah kita bina secara tidak rasminya. Aku
masih setia Zillah walau telah berkali-kali aku dilukakan. Namun aku tidak
peduli dengan semua itu.
Aku masih mampu bertahan di sini hanya
kerana kau Zillah, satu-satunya sahabat baik yang telah ku anggap lebih dari
saudara sendiri sedari dulu.
Hanya satu yang ku pohon darimu. Aku mohon
kemaafan dari kau Zillah. Maafkan aku kerana aku gagal membahagiakan mereka
sebagaimana yang kau impikan. Aku gagal memberikan kegembiraan dalam kehidupan
mereka. Aku gagal Zillah. Aku gagal. Maafkan aku…” Puan Wardah kembali teresak.
Sendirian.
Bahang panas menguasai suasana tengah
hari itu. Menyimbah deraian peluh pada mereka yang sedang bekerja di bawah
terikan mentari.
Kepanasan yang menyengat kulit
berkurangan tatkala diri berada di celahan bumbung gerai makan yang berderetan
tersedia di sepanjang pantai. Memberi kesan nyaman pada tubuh Dhia dan Hidayat
yang baru sahaja tiba di situ. Segera keduanya menempatkan diri di kerusi yang
tersedia ada. Melepas lelah yang sedikit menghambat diri.
“Terima kasih Dayat kerana sudi datang
ke sini. Aku tahu kau sibuk tapi aku rasa malas nak turun ke KL,” suara Dhia
berterus terang. Tersengih pada Hidayat yang menguntum senyum.
“Tak payahlah kau ucap terima kasih
pada aku. Bukannya ada apa pun. KL dengan bandar ni pun bukannya jauh sangat.
Lima jam je perjalanannya. Lagi pun dah menjadi tugas aku datang berjumpa kau,”
balasnya lembut.
Jari-jemari kasarnya mengesat peluh
yang bertaburan di dahi. Tangannya segera mengamit pelayan yang segera
bertandang. Memesan hidangan apa yang patut sebelum kembali mengalih pandang
pada Dhia yang tersenyum senang.
“So,
macam mana Dayat? Aku masih ada harapan?”
Dhia terus ke butir utama bicara
mereka. Sememangnya hatinya tidak tertahan. Ingin mengetahui segala yang perlu
diketahuinya. Segala yang berada di luar pengetahuannya.
Hidayat menarik nafas panjang. Matanya
dipasak lama ke wajah cerah berseri milik Dhia. Memfokus pada senyuman yang
sengaja dikembangkan. Ingin menutup kegusaran hati. Ada rasa serba salah yang mengigit hati
lelakinya namun dia tetap membuka bicara. Tenang.
“Dhia, pertama sekali aku nak minta
maaf dengan kau. Aku...,”
“Kenapa tiba–tiba saja kau nak minta
maaf?” Dhia terus bersuara tanpa sempat Hidayat menghabiskan ayatnya.
Hatinya mula disergah debaran. Debaran
terhadap perkara yang bakal terluah dari celah bibir lelaki berkulit cerah itu.
“Kenapa pula kau minta maaf ni? Kau
bukannya ada buat salah pada aku pun. Tapi, tak tahulah kalau dalam diam kau
ada buat salah pada aku,” seloroh Dhia.
Namun kedengaran hambar di peluput
telinga lelaki itu. Dia kembali mengunci lidah tatkala pelayan datang
menghantar pesanan. Sempat dirinya mengucap terima kasih sebelum si penghantar
pesanan berlalu pergi.
“Cakaplah Dayat, apa sebenarnya yang
telah berlaku?”
Dhia kembali serius. Raut wajahnya
menampakkan rasa ingin tahunya. Dia cuba menahan getaran hati yang makin
bergelombang kuat. Sama seperti mana ombak yang sedia memukul pantai tidak jauh
dari gerai tempat mereka berada kini.
Hidayat terkunci lidah. Berat mulutnya
untuk menghumban keluar suaranya.
“Aku tak ada harapan lagi kan Dayat?”
tanya Dhia meminta kepastian. Wajah tampan itu menjadi mangsa renungannya.
Hidayat masih mendiamkan diri. Tidak
terdaya rasanya untuk bibirnya bersuara walau sepatah kata. Makanan yang
terhidang di depan mata di pandang seimbas cuma. Perasaan serba salah yang
kembali mengutik hati telah berjaya menenggelamkan keinginannya untuk menjamah
sebarang hidangan di waktu itu.
“Hidayat?” Dhia mengulang pertanyaan.
Sekadar menyebut nama lelaki itu.
Dia memandang Hidayat yang
perlahan-lahan memaling wajah ke arah pantai. Ada kesayuan yang bergayut di
wajah lelaki itu yang perlahan menghela nafas panjang.
Giliran Dhia terkunci kata. Semuanya
telah jelas kini. Tindak balas Hidayat telah menerangkan segalanya. Kini benarlah
kata hatinya. Dia tidak mempunyai harapan lagi. Harapan untuk menikmati
segalanya. Harapan untuk terus mencapai apa yang di inginkannya.
Perlahan-lahan wajahnya tertunduk.
Segugus airmatanya tumpah. Mengenai ribaannya. Tiada kata mahupun suara yang
kedengaran. Dhia menangis dalam diam.
“Dhia…”
Teguran Hidayat menyedarkannya dari
tangisan. Airmata yang meleleh di pipi segera diseka. Tidak mahu di sangka
lemah. Jauh sekali kehilangan semangat.
Dhia kembali memanggung kepala. Dia
segera tersenyum kecil. Cuba berlagak tenang. Seolah-olah tiada apa yang
berlaku.
Namun tatkala pandangan mereka
bersatu, hatinya kembali dipagut sayu. Senyuman yang terukir dirasakan semakin
hambar sebelum hilang sepenuhnya. Dhia kembali menitiskan airmata. Mata
basahnya membalas lemah pandangan sayu lelaki itu.
“Dhia, maafkan aku,” suara tenang
Hidayat menebak ruang telinga gadis itu.
“Aku janji Dhia, aku akan cuba
melakukan yang terbaik untuk kau,” suaranya lagi. Bersungguh-sungguh.
Ada rasa bersalah yang menduduki
hatinya kala ini. Bersalah kerana tidak mampu berterus terang. Bersalah kerana
tidak berdaya menyembunyikan rasa sayu yang terpalit di wajahnya. Rasa sayang terhadap
diri gadis itu yang menghuni hati sejak sekian lama membuatkan dia tidak mampu
melindungi segala rasa yang bergumpalan dalam diri.
Sayang yang bukan sedikit. Sayang yang
bukan mainan baginya. Sayang seorang abang terhadap adik perempuannya biarpun
kedua mereka berada di ambang usia yang sama.
Dhia menghela nafas. Airmata yang
masih berbaki dibuang ke tepi. Mencari semula semangat yang melayang pergi buat
seketika. Menghalau segala kesedihan yang mula mengambil tempat dalam diri.
Wajah bersalah Hidayat direnung
sedalamnya.
“Dayat, beritahu aku sesuatu.
Jujurnya, berapa lama lagi tempoh yang masih aku ada?”
Dhia melepas pandangan ke tengah laut.
Memacak tubuh di jutaan butir pasiran halus yang memutih. Membiarkan sepasang
kaki mulus miliknya digapai ombak yang tidak pernah jelak mendatangi pantai.
Membenarkan angin petang terus-terusan menghembus ke seluruh tubuhnya. Cuba
menghalau kesedihan yang sekian lama mencengkam tangkai hati.
Telah beberapa lama pertemuannya
dengan Hidayat berakhir. Lelaki itu juga telah selamat tiba di bandaraya Kuala
Lumpur sebentar tadi. Namun Dhia masih seperti tadi. Sama seperti sepeninggalan
Hidayat. Mengadap hamparan laut yang telah bertukar warna. Jingga
kemerah-merahan. Menandakan malam bakal bertandang. Mengantikan tempat siang
yang bakal menganjak pergi.
Tiada riak kecewa yang terpamer di
wajah itu. Rasa terkilan telah lama menjauh pergi dari ruang hati. Airmatanya
juga bagaikan membeku. Tidak terjurai walau setitis. Bagai tiada kedukaan yang
pernah hinggap di wajahnya. Wajah itu tenang. Setenang-tenangnya.
Namun ada sesuatu yang berkeliaran di
fikirannya sepanjang masa berlalu. Sesuatu yang berkisar pada perbualannya
bersama Hidayat tengah hari tadi. Setiap patah perbualan mereka masih tersemat
kemas di benaknya.
Dhia telah lama menjangkakannya. Dia
telah dapat mengagak keputusannya. Dan ternyata jangkaannya tepat. Keputusannya
benar. Dia juga sedar, Hidayat takkan mampu memberitahu kebenaran padanya walau
dia telah lama menyiapkan diri untuk menerima keadaan itu biarpun ada kepiluan
yang mengigit hatinya.
Keadaan yang tak pernah dipinta kehadirannya
dalam hidupnya. Keadaan itu telah tertulis dalam perjalanan hidupnya. Dia
takkan mampu memadamkannya. Kerana itu dia begitu pasti. Dia tak mungkin
berdaya melawan takdir. Dan jika itu ketentuan Allah padanya, dia redha walau
pun itu menyakitkan.
“Ya Allah, semoga Kau memberi
kesempatan untukku melakukan kebaikan pada mereka yang berada di sekelilingku.
Berilah peluang padaku untuk membuat sesuatu yang berharga buat diriku pada
mereka yang aku sayangi. Amin…” doanya dalam hati.
Dhia menarik nafas sedalamnya. Melepas
segala rasa yang bergaul padat di hati. Berpaling tubuh. Matanya menombak
pandangan ke darat. Memerhati persekitaran yang jarang dipedulikan setiap kali
menghadirkan diri ke pantai yang terkenal dengan keindahan pasiran memutihnya itu.
Agak lama dia berkeadaan begitu sebelum
matanya terpaku sejenak. Sebuah resort yang terletak tidak jauh dari tempatnya
berdiri menarik perhatiannya. Ringan kakinya mengatur tapak. Menghampiri resort
yang sedikit terlindung di balik rimbunan pohon-pohon kelapa yang tumbuh subur
di sepanjang pantai. Menolak jauh segala perkara yang berselirat di fikirannya
sebentar tadi dari terus menjerutnya.
Dhia membesarkan mata. Meneliti setiap
sudut resort sepi itu. Mengheret kaki memasuki ruang utama resort. Seorang
wanita tersenyum manis menyambut kedatangannya. Dhia membalas seadanya.
Meliarkan mata. Memandang sekeliling. Tiada yang menarik perhatiannya untuk
terus berada di situ.
Dhia kembali memusing tubuh. Ingin
berlalu.
Namun pandangan mata menghentikan
pergerakan kakinya. Tubuhnya kembali dipusing. Memicingkan anak mata. Menongkah
di suatu sudut.
Gelagat seseorang menarik hatinya
untuk terus berada di situ. Seseorang yang dirasakan pernah dilihat gerangannya.
Melepas pandangan ke luar melalui sliding
door yang tertutup rapat. Mengadap Laut China Selatan. Membelakanginya. Ada
sesuatu yang menarik diri Dhia untuk menghampirinya.
Dhia kembali menapak. Merapatinya yang
masih seperti tadi. Mengelamun jauh.
“Assalamualaikum.” Dhia menghulur salam kesejahteraan. Lembut.
Sekaligus menyentaknya keluar dari
dunia khayalan. Laju mulutnya menyahut salam sebelum segera berpaling.
Encik Fatih.
Dhia tersenyum panjang.
No comments:
Post a Comment