BAB 2
WAFI
menyusun atur satu per satu lukisan kesayangannya dengan penuh cermat dan
berhati-hati. Selepas itu dia menyandar semuanya ke dinding bilik. Bimbang
andai ada yang terhentak atau terjatuh. Sekali gus mencacatkan lukisan
berbingkai kayu berdada kaca itu.
Sedang
Wafi sibuk membelek, pintu biliknya diketuk seseorang. Dia menoleh segera.
Menatap wajah seseorang yang telah tersembul di balik pintu yang terbuka suku
itu.
“Ada
apa mak?” soal Wafi lembut.
Puan
Ainun tersenyum panjang.
“Wafi
sibuk ke sekarang?” sambil bertanya wanita itu terus menapak masuk.
Matanya
sudah merayau ke sekeliling bilik tidur itu. Berbakul-bakul pujian terus
terlepas keluar di celah hatinya. Memuji kerajinan anak gadisnya mengemas dan
membersih bilik berkeluasan sederhana itu. Hingga tampak begitu kemas dan
indah. Menyenangkan mata tuanya. Wafi tersenyum kecil.
“Taklah
sangat mak. Cuma tinggal nak kemas pakaian dan barang-barang lukisan ni aje.”
Wafi
mengunjuk jari ke arah peralatan lukisannya di satu sudut bilik. Semua barang
masih berada dalam kotak. Timbunan pakaiannya pula masih berlipat kemas dalam
setiap bagasi miliknya.
Puan
Ainun tersenyum lagi sambil mengangguk.
“Cepat
betul Wafi buat kerja ya? Baru dua hari kita pindah masuk sini, semuanya dah
siap Wafi selesaikan.”
Si
anak tidak menyahut. Telah lali telinganya mendengar pujian ikhlas wanita itu
sejak dulu.
“Oh
ya Wafi. Lupa pulak mak nak bagitahu kamu. Ayah suruh kamu jadikan bilik kecil
di tepi dapur rumah kita sebagai bilik lukisan kamu. Dia minta kamu letakkan
semua peralatan lukisan kamu ni dalam bilik tu.
Sekurang-kurangnya
adalah juga ruang lebih dalam bilik tidur kamu ni. Bolehlah kamu jadikan
lebihan ruang tu sebagai ruang rehat atau ruang bacaan kamu sendiri nanti,”
ujar Puan Ainun sambil melabuhkan punggungnya di katil.
“Terima
kasihlah mak atas pelawaan ayah tu tapi Wafi rasa lebih baiklah kalau Wafi
letak saja semua barang lukisan Wafi kat dalam bilik ni. Tak perlulah Wafi
berulang alik dari tingkat atas ke tingkat bawah berulang kali.
Lagipun
ruang bilik ni lebih luas dari ruang bilik yang dulu tu. Ada pula balkoninya.
Bolehlah Wafi melukis di balkoni tu nanti,” tolaknya lembut.
Puan
Ainun melepas nafas perlahan.
“Kalau
itu kata putus Wafi, ikut suka Wafilah nak buat macam mana pun. Asal Wafi
gembira dengan apa yang Wafi buat, mak dan ayah tak ada apa-apa halangan.”
Wanita
itu kembali bangun dari duduknya.
“Wafi,
kalau dah siap mengemas nanti kamu turun ke bawah ya. Bolehlah kita sarapan
sama-sama. Mak dah buatkan roti gulung oat kegemaran kamu tu,” arah wanita itu
lembut sebelum meminta diri ke turun bawah.
Wafi
mengangguk kecil. Dia kembali menyambung kerjanya.
“Hah,
macam mana dengan Wafi? Suka tak dia dengan keadaan biliknya tu?” tanya Encik
Musaid bertanya sebaik melihat kelibat isterinya menapak turun ke bawah.
Sejak
tadi Encik Musaid berada di meja makan. Menanti isteri dan anak turut serta
bersarapan pagi itu.
“Alhamdulillah
bang. Nampak gayanya dia suka dengan keadaan biliknya tu. Dia pun nampaknya
macam gembira saja dengan suasana bilik barunya tu.”
Puan
Ainun terus melabuhkan punggung di kerusi. Menghadap suaminya.
Encik
Musaid mengangguk kecil.
“Baguslah
kalau macam tu. Itulah yang abang harapkan pun. Abang nak Wafi sentiasa gembira
dan senang dengan keadaan rumah baru kita ni. Sekurang-kurangnya taklah dia
bermurung aje sepanjang masa macam dulu.” Kata-kata Encik Musaid tergantung di
situ bila kedengaran telefon berbunyi nyaring dari ruang tamu rumah. Bergegas
Puan Ainun mendapatkannya.
“Waalaikumussalam.
Oh, kamu rupanya Adi. Mak ingatkan siapa tadi,” sahut Puan Ainun gembira dengan
panggilan itu.
“Mak
macam mana? Sihat ke?” Suara Mawardi kedengaran sayup-sayup.
“Alhamdulillah,
mak sihat. Ayah kamu pun sihat macam biasa,” sambut Puan Ainun,
“Kamu
sekeluarga pulak macam mana? Sihat tak isteri dan anak-anak kamu?”
“Kami
sekeluarga macam biasa saja. Cuma tulah anak-anak demam sikit sehari dua ni.
Yalah, selalunya mak dan ayah ada bermain dengan dia orang. Wafi pun rajin
melayan kerenah dia orang tu. Tiba-tiba pulak semuanya tak ada. Mahu tak demam
rindu dia orang dibuatnya.”
“Mak
pun rindu jugak pada cucu-cucu mak tu. Macam kata kamulah, selalunya dia orang
ada depan mata mak. Bila dah berjauhan begini rindulah jadinya. Entah bila lagi
mak dapat tengok cucu-cucu mak tu pun tak tahulah.”
Keluhan
Puan Ainun sudah bercampur hiba. Sekilas dia teringat cucu-cucu kesayangannya.
Semua kini berada jauh dari pandangan mata.
“Jangan
cakap macam tu mak. Insya-ALLAH, kalau ada rezeki esok-esok Adi bawa balik dia
orang semua ke sana. Sekarang ni tak bolehlah memandangkan sekolah dah dibuka
semula. Tengoklah macam mana nanti,” sambut Mawardi lembut. Mengerti dengan
rasa hati orang tuanya ketika ini. Sama seperti rasa hatinya.
“Jadi
macam mana? Mak dan ayah suka tak dengan rumah yang Adi pilih tu?” soal Mawardi
sopan, terus mengubah arah bicara mereka. Tidak mahu hati orang tuanya mahupun
hati sendiri terus-terusan disalut hiba.
“Apa
pulak tak sukanya Adi, suka benar kami dengan rumah ni. Sudahlah luas, cantik
pulak reka bentuknya. Bilik-biliknya pun besar. Sekali ganda lebih besar dari
rumah lama kita kat sana dulu. Terima kasihlah Adi kerana bantu mak dan ayah
beli rumah ni. Puas hati kami dengan rumah yang kamu pilihkan ni,” jelas ada
kegembiraan dalam nada Puan Ainun.
Mawardi
tertawa kecil.
“Alah,
tak payahlah mak nak berterima kasih pada Adi. Dah jadi tanggungjawab Adi
sebagai anak membuat yang terbaik untuk mak dan ayah kesayangan Adi,” sambut
Mawardi hormat. Bersalut bangga hatinya dek pujian emak kesayangan.
“Wafi
pulak macam mana mak? Dia suka tak dengan rumah baru kita tu?” soal Mawardi
baru kini teringat tentang gadis itu.
“Alhamdulillah,
nampak gaya dia suka rumah pilihan kamu ni Adi. Sejak sampai semalam hinggalah
ke hari ni, tak habis-habis dia mengemas bilik tidurnya tu. Mukanya tu pun nampak
gembira aje. Taklah sedih macam selalu. Mungkin lama-lama berubahlah
perangainya tu bila dah serasi dengan suasana baru ni nanti,” luah Puan Ainun
benar-benar bersyukur dengan perubahan sikap anak daranya itu.
Mawardi
melepas nafas perlahan. Penuh lega.
“Alhamdulillah.
Senang Adi dengar semua ni mak. Lega rasanya hati ni. Taklah Adi risau lagi
pasal keadaan mak, ayah dan Wafi kat sana tu. Yalah selalunya semua ada kat
depan mata Adi aje. Tup-tup kita kena duduk berjauhan begini. Mahu tak risau
Adi dibuatnya. Tapi bila dah mak cakap macam ni, tak adalah Adi nak risau
apa-apa lagi. Hmm...tak apalah mak. Lain kali pulak Adi telefon ya. Hari dah
petang ni. Nanti lambat pula Adi sampai ke rumah. Tolong sampaikan salam Adi
pada ayah dan Wafi ya,” ujar Mawardi meminta diri.
“Yalah.
Hati-hati bawa kereta tu Adi. Kirim salam mak pada Miza ya.”
“Insya-ALLAH
mak. Assalamualaikum,” ucap Mawardi sebelum memutuskan talian.
Puan
Ainun menjawab perlahan lalu meletak gagang. Dia kembali mendapatkan Encik
Musaid. Lelaki itu masih berada di meja makan.
“Siapa
tu Nun?” soal Encik Musaid sebelum sempat Puan Ainun melabuhkan punggung.
“Adi
telefon bang. Dia tanya khabar kita dan keadaan rumah ni. Risau jugak dia
kalau-kalau kita tak suka dengan rumah yang dia carikan ni. Adi kirim salam
pada abang dan Wafi,” beritahu Puan Ainun.
Encik
Musaid menyahut salam seadanya.
“Agaknya
dia baru nak balik dari pejabat tu.”
“Rasanya
iyalah kot bang,” sambut Puan Ainun terus mengalih mata pada Wafi.
Gadis
itu baru menapak turun dari tingkat atas lalu mendapatkan suami isteri itu.
“Hah
Wafi, marilah kita bersarapan sekali,” ajak Encik Musaid sebelum sempat Puan
Ainun bersuara.
Wafi
mengangguk kecil. Dilabuhkan punggungnya ke kerusi. Menghadap kedua ibu
bapanya.
“Kejap
tadi Abang Adi kamu telefon. Dia kirim salam pada kamu,” beritahu Puan Ainun
sambil menghulurkan pinggan kosong pada gadis itu.
Wafi
menyambut perlahan huluran itu seraya menjawab salam, perlahan.
“Abang
Adi sekeluarga sihat mak?” soal Wafi lembut, mula menjamah roti gulung oat
kegemarannya.
“Alhamdulillah,
sihat katanya. Cuma tulah anak-anak dia rindukan kita bertiga. Sampai
demam-demam jadinya budak-budak tu. Abang Adi kata kalau ada masa nanti dia
sekeluarga nak balik ke sini.” Ceria saja wajah Puan Ainon bercerita.
“Eloklah
kalau macam tu. Abang pun rasa lain bila dia orang tak ada. Mana tidaknya.
Sejak Adi kahwin sampailah beranak-pinak, mana pernah dia sekeluarga berpisah
jauh dari kita. Ini kali pertama kita semua berjauhan. Tapi itulah, takkanlah
selamanya kita nak tinggal di sana walhal kita masih ada tanah air sendiri,”
sampuk Encik Musaid meluah rasa hati.
Puan
Ainun hanya mengangguk. Setuju dengan kata-kata suaminya. Manakala Wafi sekadar
memasang telinga. Sesekali dia menyampuk kata dalam perbualan yang mula
berlangsung dalam suasana damai pagi itu.
KETUKAN
di muka pintu menyentak Alia yang
sejak tadi menunduk. Segera dia mengangkat wajah. Menatap seseorang yang kini
telah melangkah masuk ke bilik pejabatnya.
“Puan
Alia, ini dia fail yang Puan Alia minta tadi,” ujar Rina mengunjuk sebuah fail
kuning padanya.
Alia
menyambut pantas.
“Oh
ya puan, Encik Ghazali minta puan ke biliknya sekarang.” Kata-kata wanita itu
berjaya mengangkat kepala Alia buat kali kedua. Tepat ke wajah tenang
setiausahanya.
“Encik
Ghazali suruh saya ke bilik dia? Ada apa?” Dahi Alia sudah berkerut seribu.
Rina
mengangkat bahu.
“Entahlah
Puan, dia tak beritahu sebabnya. Cuma dia minta saya sampaikan pesanan ni saja
pada puan.” Rina menyahut penuh hormat.
Alia
berfikir seketika sebelum mengangguk kecil.
“Hmm...
tak apalah kalau macam tu. Saya pergi jumpa dia sekarang.”
Alia
terus menutup fail di depannya seraya menolak kerusi. Dia bangkit dari
duduknya. Melangkah ke luar bilik. Mengikut Rina yang terlebih dulu berbuat
demikian.
Laju
kakinya menapak ke lif lalu melangkah masuk ke dalam.
Tidak
lama kemudian, dia telah sampai ke tingkat tiga. Dia hanya tersenyum mengangguk
tatkala setiausaha Encik Ghazali menyapa mesra. Diketuk pintu bilik lelaki itu
sebelum menolak daun pintu penuh sopan.
“Ayah
panggil Alia?” Soalan itu dilontar sebaik sahaja kaki melangkah masuk.
Encik
Ghazali pula sudah tersenyum panjang tatkala terpandang wajah anaknya di situ.
“Hah
Lia, mari duduk sini,” arahnya terus mengunjuk ibu jarinya ke sofa tempat dia
berada waktu itu.
Alia
segera mendapatkannya. Menyua tangan pada Encik Azmi yang turut berada di situ.
Punggungnya dilabuh. Tepat-tepat berdepan kedua-dua lelaki itu.
“Dah
lama ayah sampai?” soal Alia ramah.
Encik
Azmi mengangguk laju.
“Baru
saja Lia. Punggung ayah ni pun belum sempat panas kat sofa pejabat ayah kamu
ni,” seloroh lelaki itu.
Alia
hanya menurap senyum. Dikalih wajahnya pada Encik Ghazali semula.
“Ada
apa ayah panggil Lia ke mari?” soal Alia lembut.
“Lia,
sebenarnya ada sesuatu yang ingin ayah dan ayah Mi cakapkan pada kamu.” Serius
saja suara Encik Ghazali waktu itu.
Dibetul
kedudukannya sebelum mahu menyambung kata. Sempat dia mengerling Encik Azmi
yang kini turut bertukar riak wajah. Tenang bersalut serius.
“Begini
Lia. Ayah dan ayah mentua kamu bercadang nak mengadakan projek kerjasama antara
syarikat kami berdua. Kami nak jalankan satu projek perumahan yang dirasakan
sesuai untuk kami lakukan bersama. Tapi, atas sebab-sebab yang tak dapat
dielakkan, ayah dan ayah mentua kamu tak dapat lakukannya dalam masa terdekat
ni.
Jadi
kami berdua terfikir. Daripada kami hentikan niat kami untuk membatalkan projek
yang sudah dirangka kertas kerjanya tu, kami berpendapat eloklah kalau kami
berikan projek tu pada Ainul dan kamu untuk dikendalikan,” terang Encik Ghazali
satu per satu.
Sengaja
dia tidak meletakkan perkataan ‘bekas’ pada perkataan ayah mentua dalam setiap
ayatnya. Tenang saja dia membalas pandangan terbeliak anak perempuannya ketika
ini.
“What?
Ayah nak Lia kendalikan projek kerjasama dengan Ainul?” Dia benar-benar
tidak percaya. Langsung tak berkelip matanya memandang wajah kedua-dua lelaki
seusia itu. Bertukar ganti. Berulang kali. Minta kepastian sebenarnya.
Encik
Ghazali mengangguk kecil.
“Kalau
boleh Lia, ayah nak projek tu dijalankan secepat mungkin. Kamu sendiri pun
tahukan, masih ada banyak lagi projek kita yang belum dilaksanakan. Jadi ayah
harap sangat kamu dan Ainul dapat lakukannya dalam masa yang terdekat ini. Tapi
ingat, biar cepat asalkan berkualiti.”
Sempat
lelaki itu menyelit nasihat berupa amaran dalam kata-katanya. Langsung tak
bertanya sama ada wanita itu mahu atau tidak menerima tanggungjawab itu. Alia
mengeluh kecil.
“Tapi
ayah, kenapa tak bagi aje projek tu pada Kak Anis? Tak pun apa kata kalau ayah
bagi aje projek tu pada Abang Ammar? Lia rasa dia orang takkan tolak sebab
itukan projek ayah berdua. Lia tak boleh terima projek tu sebab Lia sendiri
masih ada beberapa projek di bawah Lia yang belum siap.”
Seperti
yang diduga kedua-dua lelaki itu, Alia pasti menolak. Mendengar nama Ainul pun
telah menimbulkan rasa marah padanya. Inikan pula nak bekerjasama dengan dia.
Macamlah
dalam dunia ni dah tak ada lelaki lain yang ayah boleh ajak buat kerja dengan
aku, rengus hatinya. Jelas rasa marah itu di riak wajah biarpun tidak
kedengaran dalam nada suaranya. Encik Ghazali melepas nafas perlahan.
“Ayah
bukan tak nak bagi projek terbaru syarikat kita ni pada kakak kamu tapi dia
sendiri masih ada projek-projek lain yang perlu disiapkannya. Abang Ammar kamu
pun macam tu jugak. Malah dia lebih sibuk dari Kak Anis kamu. Ayah berdua pun
tak kurang sibuknya. Mana nak hadiri pelbagai mesyuarat, nak melawat tapak
projek, selesaikan projek kerjasama dengan syarikat lain lagi.
Lainlah
kamu tu. Hanya dua projek di bawah kamu sekarang ni. Itupun tak sebesar mana.
Ainul pun serupa. Jadi apa salahnya kalau kamu berdua yang handle projek
keluarga kita ni.” Lembut Encik Ghazali memujuk. Wajah masam kelat anaknya
direnung lama.
“Alah,
walau projek-projek yang ayah bagi tu kecil aje tapi penat jugak Lia nak handle
kedua-duanya pun.” Dalam mencebik dia merungut lembut. Sedikit manja.
Sikap
yang tak mampu diubahnya biarpun usianya telah mencecah awal 30-an kini. Sikap
yang hanya terpamer saat bersama si ayah lantaran dia merupakan anak kesayangan
Encik Ghazali.
“Tak
pun, apa kata kalau ayah tangguh dulu rancangan ayah untuk jalankan projek tu
buat masa sekarang? Kita tunggu sampai Kak Anis atau ayah ada masa terluang.
Baru kita jalankan projek tu sama-sama. Boleh begitu ayah?” cadang Alia
tiba-tiba. Terus saja dia mengulum senyuman gembira. Suka hati dengan cadangan
sendiri.
Sedangkan
Encik Ghazali dan Encik Azmi sudah saling berpandangan lalu melepas nafas
hampir serentak. Langsung tidak suka dengan cadangan itu.
“Alia
Amani, kamu fikir projek syarikat ni projek untuk main-main ke hah?
Senang-senang aje nak tangguh begitu? Projek ni bukan seringgit dua kosnya
sayang oii tapi menelan ratusan ribu ringgit. Apa kamu suka kedua-dua syarikat
ayah kamu ni gulung tikar semata-mata kerana kamu tak mahu jalankan projek
besar begini?” Dengan tegas Encik Ghazali menyoal anak perempuan bongsunya.
Sedikit
geram dengan kata-kata dan tingkah gadis itu. Mudah benar membuat keputusan
tanpa memikirkan dulu bahana yang bakal dihadapi.
Alia
kembali memuncung bibir. Lebih panjang dari tadi. Wajahnya juga sudah semasam
mangga muda.
“Bukanlah
macam tu ayah tapi kenapa Lia jugak yang kena handle projek tu? Kalau
Lia seorang saja yang handle, bolehlah Lia terima lagi. Ini dengan Ainul
pulak. Lainlah kalau dengan orang lain, okeylah jugak.” Lambat-lambat dia
menyahut. Tertunduk terus kepalanya tatkala terperasan pandangan tajam
kedua-dua lelaki itu terhadapnya.
“Lia,
apa salahnya kalau Lia bekerjasama dengan Ainul pun? Walaupun kamu dan dia
sudah lama berpisah tapi itu tak bermakna kamu berdua tak boleh kerja bersama
macam dulu. Lagipun Lia, memang ini harapan kami berdua. Kami berharap sangat
kamu dan Ainul yang kendalikan projek keluarga kita ni. Kami tahu kamu berdua
sama-sama mempunyai kelebihan untuk merealisasikan impian kami berdua. Sebab tu
kami tak terfikir nak minta orang lain handle projek ni. Ayah harap
sangat kamu tak tolak permintaan kami,” celah Encik Azmi pula.
Sejak
tadi lelaki itu hanya memasang telinga mendengar perbualan itu. Begitu lembut
dia menutur kata. Lebih kepada memujuk sebenarnya.
Alia
merengus lembut. “Tapi ayah...”
“Lia,
ayah tahu. Kamu masih menyimpan rasa marah pada Ainul kerana hal perceraian
kamu dengan dia. Begitu jugak dengan dia. Tapi ayah minta sangat-sangat supaya
kamu berdua boleh berbaik seketika demi projek kita ni. Kamu sendiri pun tahu
bukan, ayah tak boleh terima sebarang tekanan. Jika tidak penyakit darah tinggi
ayah akan datang balik. Takkan kamu sanggup tengok ayah terlentang sakit lagi
seperti dulu,” ujar Encik Azmi memprovok lagi.
Langsung
tidak beri peluang pada wanita itu untuk mempertahankan diri sendiri.
“Sebelum
kamu tolak permintaan kami ni, ayah harap sangat kamu fkirlah sedalam-dalam
tentang perkara ni. Kalau betullah Lia anggap ayah ni seperti ayah kandung Lia,
tolonglah tunaikan permintaan kecil ayah ni. Ayah berjanji, kali ini saja ayah
minta kamu lakukannya demi ayah. Hanya buat kali ni nak. Takkan ada lagi di
masa depan,” jelas Encik Azmi masih berlembut dalam menyambung kata.
Lama
dia menatap Alia yang sudah diserang rasa serba salah mendengar kata-katanya.
Alia
menelan liurnya berkali-kali.
Permintaan
kecil kata ayah? Apa dia tak tahu ke yang permintaan dia ni sama jugak macam
suruh aku jerut leher sendiri? Macam mana nak hidup kalau aku terpaksa berdepan
dengan musuh yang hanya menunggu masa untuk bunuh aku aje. Diam-diam hatinya
bersuara sendiri. Dan seperti biasa omelan hatinya lebih terdorong untuk
bercakap tentang perkara yang bukan-bukan.
Sedangkan
Encik Azmi sudah menguntum senyuman dalam hati. Mengerti benar dirinya dengan
sikap Alia yang mudah jatuh simpati pada sesiapa andai kena dengan cara
pujukannya biarpun dia sukar mengalah di awalnya. Satu sikap yang begitu
disenangi semua sejak dulu. Menjadikan Alia berada di persimpangan ketika ini.
Tidak pasti ingin menerima atau menolak permintaan itu.
Alia
tidak menyahut. Ligat otaknya memikirkan kata-kata lelaki itu. Dia sedar dia
tidak akan mampu menolak permintaan itu memandangkan sejak kecil lagi dia
begitu menyayangi Encik Azmi. Bukan saja dia, malah seluruh keluarga lelaki itu
telah dianggap seperti keluarganya sendiri.
Hanya
selepas dia dan Ainul berpisah menjadikan hubungan mereka sedikit renggang
beberapa tahun kebelakangan ini.
Namun
Alia juga sedar. Andai dia menerima bermakna dia terpaksa menahan rasa sakit
hatinya. Dia terpaksa berdepan dengan lelaki yang telah dianggap musuhnya
selama beberapa tahun ini. Sekali gus mengembalikan dia ke persimpangan dilema
buat seketika.
“Hah
Lia, apa keputusan kamu?”
Pertanyaan
itu mengheret keluar Alia dari lamunan. Dia tergadah seketika. Laju saja
matanya mencari wajah Encik Ghazali. Dia mendengus halus.
“Macam
nilah ayah. Ayah bagi masa untuk Lia fikir dulu pasal perkara ni ya. Nanti bila
Lia dah habis fikir Lia bagilah jawapannya.” Sedikit teragak Alia menyahut
seraya membetulkan juntaian kerongsang labuh di tudungnya.
“Baiklah
kalau begitu. Tapi ayah harap sangat Lia tak tolak permintaan kami ni.” Suara
Encik Azmi kembali kedengaran. Begitu berharap.
Lambat-lambat
Alia mengangguk. Hatinya sedikit tenang tatkala terpandang senyuman bahagia di
wajah kedua-dua lelaki itu. Sedang kepalanya sudah kembali berpusing ligat. Dia
melepas nafas perlahan.
Migrainlah
kepala aku lepas ni. Buat kali kedua hatinya bersuara lagi. Penuh sebal.
DIA
menyelam lagi buat beberapa kali
sebelum timbul semula ke permukaan air tidak lama kemudian. Puas menyelam dia
menguak kedua-dua tangan. Melakukan aksi kuak lentang beberapa lama lalu
menyelam semula selepas itu. Agak lama dia berkeadaan begitu sebelum
berkeputusan membawa diri ke pinggir kolam.
Dijuntai
kakinya ke dalam air setelah memanjat naik. Wajah basahnya diraup beberapa kali
sambil melepas pandang ke sekeliling buat seketika. Membiarkan matanya meratah
persekitaran yang jarang dapat ditonton dek kesibukannya bekerja saban hari.
“Kamu
tak kerja hari ni Isma?”
Pertanyaan
seseorang mengalih perhatian dia. Sekali gus mencantas lamunan entah
apa-apanya. Saat dia berkalih Puan Irdina telah melangkah keluar dari dalam
rumah. Dia mengulum senyuman manis. Khas buat tatapan wanita kesayangannya.
“Tak
mama. Is ambil cuti hari ni.”
Dia
terus bangun. Melangkah mendapatkan Puan Irdina yang telah melabuhkan punggung
di bangku batu tidak jauh darinya.
Puan
Irdina mengangguk kecil.
“Eloklah
kalau kamu ambil cuti sekali-sekala pun Is. Kamu tu pun bukannya tahu nak
berehat. Asyik bekerja aje siang malam sampai mama yang tengok cara hidup kamu
tu pun naik rimas dibuatnya.”
Puan
Irdina menghulur segelas minuman sebaik sahaja lelaki itu meletak punggung
depannya. Isma menyambut sambil mengucap terima kasih. Diteguk air sejuk itu
beberapa kali.
“Apa
yang kamu nak buat sepanjang hari ni?” tanya Puan Irdina.
Wajah
tenang si anak ditatap lagi.
“Kenapa
mama tanya begitu?” Isma tidak terus memberi jawapan.
Gelas
yang telah kosong diletak atas meja batu marmar di depannya. Dia mencapai tuala
di sisi. Rambut basahnya dilap perlahan-lahan. Puan Irdina melepas nafas
pendek.
“Yalah,
nama saja kamu bercuti hari ni tapi mama faham benar dengan perangai kamu tu.
Cuti ke tidak, sama aje keadaannya. Kerja-kerja pejabat kamu tu tetap kamu
siapkan jugak.” Puan Irdina bersuara sedikit merungut. Wajah anaknya dijeling
sekilas.
Isma
tersenyum kecil.
“Apa
nak kata ma. Dah memang banyak kerja yang Is kena buat kat pejabat tu. Mahu
atau tidak Is tetap kena siapkan semuanya. Nak buat macam mana lagi,” jawab
Isma lembut.
“Oh
ya ma, papa dah pergi kerja ke ma?” soal Isma sengaja menukar arah perbualan.
Tidak mahu perihal sikapnya nan satu itu diperkatakan lagi. Namun taktiknya
tidak menjadi bila mendengar jawapan Puan Irdina.
“Dah
lama dia pergi. Sama ajelah perangai papa kamu tu pun dengan kamu. Macam tu
jugalah abang dan adik kamu tu. Semuanya tak sabar-sabar nak ke pejabat.
Maklumlah, ruang pejabat tu lebih cantik dari muka mama yang dah tua ni di mata
kau orang.
Sebab
tulah kau orang lebih suka duduk kat pejabat tu dari duduk kat rumah ni.
Agaknya kalaulah mama bagi izin pada kamu semua tidur kat pejabat tu, rasanya
dah lama kamu bawa bantal tilam ke sana. Tak payah berulang-alik ke rumah ni
lagi.” Kata-kata bernada geram wanita itu berjaya mengundang tawa kecil
anaknya.
Isma
menggeleng perlahan.
“Mama
ni, ada pulak begitu fikirnya. Kita orang memanglah sibuk sebab tulah kita
orang jarang dapat luangkan masa dengan mama. Tapi sesibuk mana pun papa, dia
tetap luangkan masa temankan mama shopping walau hanya sekali dalam
sebulan kan? So, mama tak boleh kata papa abaikan mama atau tak suka
tengok muka mama yang masih cun-melecun ni.” Begitu bersahaja Isma membalas.
Seakan
menyokong tindakan dia dan papanya yang sibuk dengan dunia kerjaya mereka.
Sempat dia mengusik mamanya yang terus-terus merengus halus.
“Itu
lainlah sebab itu memang janji papa kamu nak temankan mama shopping sejak
sebelum kami kahwin lagi. Tapi kalau iya pun sibuk, cuba-cubalah luangkan masa
kat rumah walau sekejap. Ini tidak, sibuk aje memanjang sampai langsung tak ada
masa nak berbual dengan mama pun,” bebel Puan Irdina lagi dalam muncung
panjangnya.
“Dahlah
tu ma, tak payahlah mama tarik muka macam tu lagi. Dah tak cantik mama Is
dibuatnya. Daripada mama tarik muka masam macam buah mempelam tak masak tu, apa
kata kalau mama hidangkan sarapan untuk Is? Boleh juga kita makan sama-sama.
Dari lepas Solat Subuh tadi Is asyik berenang aje sampai lenguh-lenguh badan ni
jadinya.”
Isma
sudah bangun dari duduknya. Tuala di tangan terus dibalut ke tubuhnya yang
hanya bersarung seluar pendek sedari tadi.
Puan
Irdina turut mengikut tingkahnya seraya mengangguk ceria.
“Betul
cakap kamu tu. Daripada mama membebel aje pada kamu yang tak mahu dengar kata
mama ni lebih baik mama hidangkan sarapan kita, kan? At least bolehlah
kita sambung berbual sambil makan sarapan nanti.” Sempat wanita itu mengenakan
sang anak dengan kata-kata selambanya.
Sambil
itu tangannya mencapai gelas kosong anaknya. Dijeling sedikit pada Isma yang hanya
tersenyum kelat dengan sindiran lembut Puan Irdina.
“Oh
ya Is, kamu tak ke mana-mana kan hari ni?” Puan Irdina kembali mengalih tubuh.
Memandang Isma yang menapak di sisinya.
“Sekarang
taklah kot ma tapi petang nanti mungkin ya,” ujar Isma berfikir seketika
sebelum menyahut.
“Kenapa
ma?”
“Tak
ada apa-apa. Saja aje mama tanya.”
Puan
Irdina kembali menapak ke dalam. Isma mengikut dari belakang.
No comments:
Post a Comment