Followers

Sunday, 6 October 2013

BAB 1 - TAK SANGKA AKU



BAB 1

LIGAT Farah memasukkan pakaian ke dalam beg besar. Sesekali dia mengeluh. Hampir seharian melakukan perkara nan satu itu menyebabkan bosan menerjah diri.
Selesai mengemas, Farah duduk di birai katil. Melepas lelah. Dipandang beg yang padat dengan barangan yang bakal dibawa dalam perjalanan jauhnya esok. Ketukan di pintu mengalih matanya. Terjengul wajah Hajah Aminah di situ.
“Banyak lagi ke barang nak dikemas?” soal Hajah Aminah lalu terus duduk di sisinya.
“Dah tak banyak nek, tinggal sikit lagi ni,” jawab Farah sambil tersenyum.
“Hmm... lepas ni lambat lagilah kamu nak balik ya? Rasa macam baru semalam kamu balik. Tahu-tahu kamu dah nak ke asrama semula,” keluh Hajah Aminah, sayu.
“Nek ni, bukan ke dah lama Farah bercuti? Dah lebih sebulan pun. Takkanlah nek tak puas lagi duduk dengan Farah?” pujuk Farah.
Dipeluk tubuh tua itu.
“Yalah, kamu kan tak dapat balik selalu ke sini. Kalau balik pun sekejap aje. Kadang-kadang tak sampai dua tiga hari. Dahlah jarang-jarang kamu tidur kat sini. Selalunya kamu tidur kat kampung gunung sana tu,” rungut Hajah Aminah.
Cucu kesayangannya mengukirkan senyuman.
“Nek ni. Apa nek dah lupa ke yang Farah pun ada keluarga kat situ? Nanti apa pulak kata dia orang kalau Farah tak balik ke sana setiap kali balik ke kampung.”
“Yalah tapi kamu tu, kalau tinggal kat sana berhari-hari lamanya. Bukannya ingat nak balik ke sini dah,” ujar Hajah Aminah dalam nada masih merajuk.
“Mana adalah nek. Rasanya Farah tinggal lagi lama kat rumah ni. Kadang-kadang Farah tak tidur pun kat sana. Tulah, salah atuk dan nek jugak. Siapa suruh hantar Farah belajar jauh-jauh? Sekarang atuk dan nek jugak yang susah. Selalu aje rindu kat Farah,” balas Farah.
Dia tersengih apabila wanita tua itu menjeling.
“Yalah, yalah, salah atuk dan nek kamu ni jugak. Kamu aje yang betul.”
“Ala... tak bestlah kalau nek merajuk. Okey Farah janji, cuti raya Cina nanti Farah balik ke sini,” pujuk Farah lalu memeluk Hajah Aminah dengan lebih erat.
“Raya Cina bilanya? Tahun depan?”
Dahi Hajah Aminah berkerut sejenak.
“Yalah nek. Tahun ni punya kan dah lama lepas,” ujar Farah sambil tertawa kecil.
“Huh, lambat lagilah tu,” gerutu Hajah Aminah.
“Laa... apa pulak lambatnya. Tak sampai dua bulan lagi dah. Lepas Farah daftar masuk sekolah semula esok lusa, kira tahun barulah tu.”
Farah tersenyum lagi melihat gelagat neneknya. Wanita tua itu berfikir sekejap.
“Ya tak ya jugak. Lusa dah masuk tahun baru,” balas Hajah Aminah kemudian.
Farah hanya tersenyum sebelum meleraikan pelukan. Dia tunduk membetulkan susunan baju yang sedikit menyenget di dalam beg.
Hajah Aminah menyeluk saku Baju Kurung Pahangnya. Dia menarik keluar sesuatu. Dia kemudian mencapai tangan Farah yang terpinga-pinga melihat tingkah lakunya sebelum meletak sesuatu di telapak tangan gadis itu.
“Eh, untuk apa ni nek?”
Bulat mata Farah melihat kepingan kertas pelbagai warna di tangan. Wajah tenang wanita tua itu dipandang sejenak. Tidak mengerti.
“Ambil ajelah, buat belanja. Atuk kamu suruh bagi,” balas Hajah Aminah.
“Tapi kalau ya pun nek, takkanlah sebanyak ni? Duit yang bulan lepas nek bagi tu pun Farah tak usik lagi,” sahut Farah, sebak dengan pemberian itu.
“Alah, tak apalah, bukannya banyak mana sangat pun tu.”
“Tapi nek...”
“Simpanlah. Mana tahu kamu nak beli apa-apa nanti. Dahlah kamu tu jauh dari kami. Kalau jadi apa-apa, susah kamu kalau tak berduit,” pintas Hajah Aminah.
“Nek turun ke bawah dulu. Kamu jangan lambat sangat mengemas tu. Cepat siapkan semuanya. Atuk kamu dah tunggu nak minum petang sekali.”
Hajah Aminah terus bangun melangkah ke pintu bilik lalu menghilang dari situ. 
Farah mengangguk sebelum matanya jatuh semula di helaian wang kertas bernilai tiga ratus ringgit dalam genggaman. Hatinya terusik. Teringat dia kasih sayang Haji Rahman dan Hajah Aminah selama ini. Kasih sayang yang membuatkan dia sentiasa mengenang budi serta jasa suami isteri itu. Hingga dia sering terlupa pada kewujudan ibu dan bapa kandungnya yang masih bernafas di dunia ini. Ibu dan bapa yang jarang-jarang ditemuinya sejak kecil. Mengingatkan itu Farah menghela nafas lagi. Penuh sayu. 

“JAUH benar lamunan anak teruna mama ni.”
Johan yang duduk di buaian rumah tersentak. Khayalan entah apa-apa berkecai dibawa angin petang. Saat dia berpaling, Puan Sri Fariha sudah terpacak di sisi. Puan Sri Fariha duduk bersebelahannya yang segera menganjak. Memberi ruang.
“Johan ingatkan siapa tadi?” soal Puan Sri Fariha lembut.
“Tak ada siapa-siapa pun ma,” jawab Johan.
“Johan dah habis mengemas barang?” tanya Puan Sri Fariha lagi.
“Dah mama. Dari pagi tadi Johan dah siapkan semuanya.”
“Hmm... nampaknya esok lusa mama kembali berseoranganlah. Dah tak ada siapa lagi nak temankan mama berbual-bual,” ujar Puan Sri Fariha, sayu.
“Mama ni... ayah kan ada. Along dan Angah pun selalu balik ke sini. Tak adanya mama nak sunyi sendiri,” pujuk Johan lembut.
“Huh! Nak harap ayah kamu teman mama, rasanya langit atas kepala kita ni terbelah dua pun belum tentu dia mahu. Dia lebih suka mengadap kerjanya kat pejabat tu dari mengadap muka mama ni. Along dan Angah kamu tu pun sama aje perangai dengan ayah kamu. Sibuk memanjang,” bebel Puan Sri Fariha sambil mencebik geram.
Senyuman lebar terukir di wajah Johan. Dia cukup kenal sikap Tan Sri Jamaluddin. Jarang lelaki itu dapat menghabiskan masa di rumah lantaran sibuk menguruskan syarikat keluarga. Namun itu tidak menghalang lelaki tegas dan sukar tersenyum itu menjalankan tanggungjawab pada keluarganya. Begitu juga dengan kedua-dua abang Johan.
“Mama bukannya tak tahu kerja dia orang tu. Dia orang kan businessman, mestilah selalu sibuk,” balas Johan lembut.
Sekadar ingin menyejukkan hati marah mamanya setiap kali perihal ketiga-tiga lelaki itu dibangkitkan.
“Alah, orang lain pun bekerja jugak tapi tak adalah macam ayah dan abang-abang kamu tu. Terlalu pentingkan kerja hingga abaikan keluarga sendiri. Tak fikir anak isteri kat rumah dah makan ke, sihat ke tak. Kasihan Kak Fauziah dan Kak Asmila kamu. Ada suami pun macam tak ada suami aje. Bukannya abang-abang kamu peduli sangat dengan isteri-isteri dia orang tu. Mujurlah kedua-dua kakak ipar kamu tu jenis memahami. Kalau tak, entah apa jadi dengan rumah tangga dia orang tu.”
Johan hanya menadah telinga. Faham sudah sikap Puan Sri Fariha yang gemar membebel walau untuk perkara-perkara remeh.
“Kamu Johan, esok-esok bila dah berumah tangga, jangan sesekali ikut perangai ayah dan abang-abang kamu. Kerja tu kerja jugak tapi jangan sampai tanggungjawab terhadap rumah tangga terabai. Tak pasal-pasal lari pulak isteri kamu nanti,” tegas Puan Sri Fariha, memberi peringatan.
“Mama ni, Johankan masih muda. Jangan kata berumah tangga, belajar pun tak habis lagi. Mama dah bercakap pasal isteri pulak.”
“Mama bukan apa, mama cuma ingatkan kamu aje. Mama tak mahu kamu bersikap macam ayah dan abang-abang kamu tu di depan hari. Lebih sayangkan kerja dari rumah tangga sendiri.”
“Insya-ALLAH ma, Johan takkan buat macam tu pada isteri Johan nanti,” janji Johan.
“Oh ya, mama dah masak ke untuk makan malam? Johan laparlah,” ujar Johan, sengaja mengalih topik bicara.
Tidak mahu memanjangkan bebelan mamanya. Sedar, makin dibiarkan, semakin berjela-jela pula ceramah tidak rasmi wanita itu.
“Ya ALLAH! Sebut pasal makan malam baru mama teringat. Mama dah hidang pun atas meja tu. Mama fikir nak panggil kamu makan tadi tapi terlupa pulak. Itulah, bila aje mama bercakap pasal ayah dan abang-abang kamu, mesti mama lupa terus hal lain,” sahut Puan Sri Fariha sambil menepuk dahi.
“Jom kita makan dulu. Kalau tunggu ayah kamu, jangan kata sekarang, esok pun belum tentu kita boleh makan,” ajak Puan Sri Fariha lalu bangun melangkah ke dalam rumah.
Kedengaran lantang Puan Sri Fariha menjerit memanggil pembantu rumah mereka untuk makan bersama.
Johan menggeleng. Tercuit melihat tingkah laku mamanya. Dia kemudian turut bangun menuju ke dalam rumah. 

FAIZAM memperlahankan kelajuan motosikal Honda EX5 kesayangannya sebaik terpandang lampu isyarat bertukar merah. Sengaja dia memberhentikan motosikal di bawah pohon rimbun sementara menunggu lampu isyarat kembali bertukar warna. Menghadang diri dari terus disambar cahaya matahari yang terik menyengat. Sambil menyanyi-nyanyi kecil, matanya melilau ke sekeliling.
Bandar raya Alor Setar kelihatan sibuk tengah hari itu. Sesak dengan limpahan manusia pelbagai bangsa. Masing-masing leka membuat aktiviti sendiri. Kenderaan pula tidak putus-putus lalu-lalang di jalan-jalan utama menyebabkan suasana diselubungi kebisingan dan keriuhan yang datang dari pelbagai arah.
Sayup-sayup, suara muazin melaungkan azan memantul ke setiap pelosok. Memberi tanda telah tiba masanya umat Islam mengerjakan suruhan wajib Allah. Menghasilkan kedamaian tiada tandingan di hati sesiapa yang benar-benar menghayati alunannya.
Faizam membetulkan kedudukan baju Melayunya. Menjadi kebiasaan dia ke bandar raya Alor Setar setiap hari Jumaat. Selain bersolat, dia turut mempunyai agenda lain walaupun terpaksa berulang alik dari Pulau Pinang saban minggu. Satu kemestian baginya berbuat begitu selama lima tahun membuang diri ke Pulau Mutiara itu.
Faizam segera menukar kedudukan gear apabila lampu isyarat bercahaya hijau. Namun gerakan motosikalnya terhenti apabila tiba-tiba seorang gadis melintasi laluannya. Terpaku sekejap dia dengan keadaan itu.
Hanya pandangan Faizam mengekori langkah gadis yang segera mengembangkan payung. Menahan wajah dari terus dipanah cahaya matahari yang begitu menyengat. Sesekali tangan kirinya membetulkan kedudukan gaun kembang labuhnya yang diselak angin sepoi-sepoi bahasa.
Sepasang mata Faizam tekun meneliti raut menunduk itu. Ada sesuatu terdetik di hati Faizam tatkala terpandang wajah putih mulus itu. Sesuatu yang dirasakan asing dan tidak pernah dialaminya selama ini. Hingga Faizam terus-terusan ralit dibuai perasaan.
Bunyi hon kenderaan bertalu-talu kedengaran dari belakang menyentak Faizam dari terus mematung tubuh. Pantas dia menggerakkan motosikal semula. Sempat matanya melirik tubuh gadis yang telah selamat tiba di seberang jalan sebelum dia memecut laju. Hatinya kembali dipalu debaran. 

BALKIS menghempas beg sandangnya. Tubuhnya dihenyak ke tilam. Dia mendengus marah. Hatinya mendongkol geram. Pertemuan dia dan Datuk Baharin sejam lalu benar-benar mencabar kesabaran. Hilang hormatnya buat lelaki itu seketika.
Hampir-hampir mereka bertelingkah andai dia terlupa status lelaki itu. Begitu pun dia bersyukur. Dia masih mampu berfikir waras. Bimbang juga hatinya andai dia hilang kawalan diri tadi. Seterusnya mempamerkan sikap biadap di hadapan lelaki itu dek kemarahan yang mengalir dalam darah mudanya.
Ketukan di pintu memaksa Balkis berpaling. Dihembus nafas kasarnya tatkala terpandang Anaz di muka pintu.  Ada senyuman di wajah tenang lelaki itu.
Anaz menghampiri Balkis di birai katil. Lalu melabuhkan punggung di sisi Balkis.
“Balkis ke mana sepanjang hari ni? Sehari suntuk tak ada kat rumah,” soal Anaz lembut.
Balkis hanya memasamkan muka. Satu dengusan keras terhembus keluar dari celah bibir. Tanda kurang senang dengan pertanyaan itu.
Anaz mengukir senyuman. Tidak terasa hatinya melihat sikap gadis itu. Berbelas-belas tahun hidup bersama membuatkan dia mengerti. Gadis berusia tujuh belas tahun itu tidak gemar berkongsi cerita dengan sesiapa termasuklah Anaz, abang sepupu yang telah dianggap abang kandung sendiri.
“Bonda beritahu, Balkis pergi jumpa ayah tadi. Betul ke?” soal Anaz lagi apabila soalan tadi tidak dijawab.
Masih menatap wajah marah beradun muram itu.
Lambat-lambat Balkis mengangguk lalu menunduk. Cuba menyembunyikan rasa duka yang tiba-tiba menyerbu jiwa.
“Ada ayah beritahu apa-apa pada Balkis?” soal Anaz lagi.
Balkis menggeleng pula.
“Tak ada apa-apa,” ujar Balkis setelah seketika mengunci mulut.
Menyelindung perkara sebenar di balik wajah yang masih masam.
“Kalau betul tak ada apa-apa, masakan muka adik abang masam macam ni. Macam baru habis makan sebungkus asam kelubi,” usik Anaz sambil mencuit dagu gadis itu.
Balkis menepis lembut. Tidak suka walaupun dia biasa dengan perlakuan sebegitu lantaran mereka berkongsi ibu susuan. Namun waktu ini Balkis tidak berminat berbual jauh sekali bergurau senda seperti yang sering mereka lakukan.
“Apa sebenarnya yang ayah cakap pada Balkis?” tanya Anaz.
 Dia kembali serius apabila melihat gadis itu tidak menunjukkan reaksi positif dengan gurauannya.
“Balkis bergaduh dengan ayah ya?” duga Anaz.
Dia masih tidak putus asa mengorek perkara yang tiada dalam pengetahuannya. Berharap gadis bermulut berat itu kembali melontar kata. Namun harapannya hanya tinggal harapan apabila Balkis menggeleng semula. Tanda tidak berminat untuk terus bersuara.
Anaz menarik nafas. Sedar, tiada guna dia memaksa Balkis jika gadis itu berkeadaan begitu. Keadaan yang pasti memakan masa sebelum bertukar sebaliknya. Satu lagi sikap Balkis yang cukup difahami. Perlahan-lahan nafasnya dihembus keluar.
“Okeylah, abang tak nak ganggu Balkis lagi. Kalau Balkis nak beritahu apa-apa atau nak berkongsi cerita, bila-bila masa aje abang sedia mendengar. Abang keluar dulu ya,” ujar Anaz sambil menepuk lembut bahu adik kesayangannya.
Dia bangkit lalu ke pintu. Sempat dia mengerling Balkis. Gadis itu masih seperti tadi. Seakan-akan tidak terkutik dengan kata-katanya. Lalu Anaz menghilang di balik pintu yang ditutup rapat. Memberi ruang untuk gadis itu bersendirian.
Perlahan-lahan Balkis menghela nafas panjang. Wajah Datuk Baharin kembali menerpa ke minda. Sekaligus menyalakan semula bara kemarahan di hati. Dia merengus lagi. Tidak senang dengan keadaan itu. 

No comments:

Post a Comment