Followers

Sunday, 6 October 2013

BAB 7 - TAK SANGKA AKU


BAB 7

SEPERTI dijangka, Sekolah Seri Putri memenangi pertandingan pidato yang diadakan di Dewan Seri Negeri hari itu. Pasukan sekolah itu bersorak girang tatkala nama sekolah mereka diumumkan sebagai juara keseluruhan. Buat seketika suasana dewan gamat dengan tepukan gemuruh dan sorakan semua yang hadir.
“Tahniah Farah, aku dah agak kau akan jadi juara lagi tahun ni,” ucap Haiza lalu memeluk erat tubuh gadis itu yang sejak tadi hanya tersenyum gembira.
“Lepas ni kau kena belanja kita orang makan tau,” usik Jeslynn yang turut hadir memberi semangat buat Farah.
“Boleh, tak ada masalah punya. Kau orang cakap aje nak makan apa, aku belanja tapi jangan mahal-mahal tahu. Papa kedana dibuatnya aku nanti,” seloroh Farah.
“Aik Farah, duit kemenangan kau tu masih tak cukup lagi ke? Aku rasa duit tu dah lebih dari cukup untuk kau belanja kita orang ni,” usik Laila.
“Ala Ila. Jangan kata nak belanja kita makan, dia nak belanja satu sekolah pun boleh. Maklumlah, tiap-tiap tahun muka dia aje yang dapat duit beribu-ribu tu,” celah Regina sambil menepuk-nepuk lembut bahu Farah. 
“Apa-apa pun, aku berterima kasih sangat pada kau orang semua sebab selalu beri aku semangat. Actually, kemenangan aku ni bukan milik aku seorang tapi milik kita semua. Tanpa kau orang, siapalah aku,” ucap Farah, terharu.
“Alah Farah, tak payahlah kau berterima kasih. Kita orang hanya bagi semangat. Kau sendiri sebenarnya yang rajin berusaha sebab tulah kau menang pertandingan ni tiap-tiap tahun,” celah Marina yang turut tidak ketinggalan hadir.
“Hai Farah.”
Farah segera memalingkan tubuh. Senyumannya mati tatkala terpandang seorang anak muda melangkah ke arahnya.
“Tahniah atas kejayaan awak,” ucap Ikhwan sambil tersenyum.
“Saya dah agak awak akan menang lagi tahun ni. Biasalah, bila juara dah masuk gelanggang, tak ada siapa pun yang boleh menang,” sambung Ikhwan.
Kedua-dua tangannya diseluk ke dalam kocek seluar jean yang dipadankan dengan sehelai t-shirt berjenama terkenal. Mencerminkan dirinya yang sentiasa berpenampilan kemas dan rapi hampir sepanjang masa.
“Terima kasih,” ucap Farah.
Dia sebenarnya masih terkejut dengan kemunculan anak muda itu di situ. Anak muda yang begitu popular di kalangan pelajar perempuan kerana ketampanan dan kekayaannya.
“Awak memang berbakat menjadi seorang pemidato Farah. Bakat semula jadi yang jarang dimiliki sesiapa dalam dunia ni,” puji Ikhwan lagi.
“Tak ada apa lebihnya saya. Sama aje seperti orang lain. Cuma mungkin nasib saya lebih baik daripada mereka hari ni,” balas Farah, merendah diri.
Kepalanya ditunduk sedikit tatkala pandangan mata mereka berlaga. Entah mengapa hati gadisnya tidak menyenangi kehadiran Ikhwan sejak dulu. Sedaya upaya Farah menyembunyikannya walaupun tanpa sedar Ikhwan telah lama dapat membaca rasa tidak senang itu. Hanya Ikhwan bersikap tidak peduli dengan keadaan itu.
“Tu kata awak tapi sememangnya awak punya bakat yang luar biasa. Jarang orang dapat mengekalkan kejuaraan sama lima tahun berturut-turut dalam pertandingan ni,” sahut Ikhwan dengan mata masih tertancap di wajah Farah.
Wajah yang telah menawan hatinya sejak di awal perkenalan mereka.
“Oh ya, lupa pulak saya,” sambung Ikhwan lalu mengambil sejambak bunga daripada temannya di sisi.
Dihulur pada Farah yang terkedu dengan pemberian tidak dijangka itu.
“Ambillah. Jangan risau, saya tak curi. Saya belikannya khas untuk awak,” seloroh Ikhwan apabila dilihat Farah seakan-akan teragak-agak menerimanya.
Farah terdiam semula. Dipalingkan wajah ke arah kawan-kawannya sebelum jatuh pada Izrin Putri. Lama dia menatap wajah kakaknya yang hanya mengangguk kecil. Lambat-lambat dia menyambut huluran anak muda itu.
“Terima kasih,” ucap Farah perlahan.
Ikhwan tersenyum puas.

TIDAK jauh dari situ, Nisda mendengus marah. Matanya masih melekat pada susuk tubuh Farah dan Ikhwan.
Sejak tadi matanya tidak lekang daripada memandang kedua-duanya. Namun pandangan tajam penuh amarah itu dipanah khusus buat Farah. Gadis itu hanya menunduk setiap kali matanya bertembung mata Ikhwan. Menjelikkan pandangan Nisda. Benci dengan tingkah laku gadis itu yang dirasakan penuh kepura-puraan.
Sememangnya Nisda sangat membenci Farah. Gadis itu telah lama rentung dalam api kemarahannya yang tidak pernah padam. Malah semakin marak menyala. Gadis itu jugalah yang telah mengheretnya ke jalan kegagalan dalam setiap perkara yang dilakukannya. Nisda merengus lagi. Lebih kasar.
Untuk ke sekian kali Nisda tewas lagi. Tewas pada gadis bernama Fatin Farahana. Tewas dalam mendapat gelaran impiannya. Impian bergelar pemidato terbaik. Walaupun dia berada di tangga kedua selepas gadis itu namun itu tidak cukup baginya. Dia mahu lebih dari itu. Paling penting, dia mahu berada di hadapan gadis itu dalam segala perkara. Bukan di belakangnya!
Mengingatkan itu dendam Nisda pada Farah makin membuak-buak. Dendam itu tidak mungkin terpadam sampai bila-bila jauh sekali dalam masa singkat ini. Dendam yang begitu menggunung. Hanya menunggu masa sesuai untuk meletus.
“Hari ni hari kau Farah. Tapi kau ingat, akan tiba jugak hari aku suatu masa nanti. Waktu tu kau akan tahu siapa yang lebih hebat. Aku atau kau,” bisik Nisda perlahan dan penuh emosi.

FAIZAM membelek beberapa buah buku di rak. Dia mencapai sebuah sebelum jari-jemarinya menyelak helaiannya. Mula membaca sebelum terus ralit dengan buku itu. Bunyi halus yang terbit dari jam digital di pergelangan tangan membuat dia tersentak.
Pukul 11.30 pagi, desis hati Faizam. Buku di tangan kembali diletak di tempat asal. Matanya melilau ke sekeliling. Tidak ramai orang mengunjungi kedai buku di pinggir bandar raya Alor Setar itu. Kedudukannya yang sedikit tersorok menjadikan orang ramai tidak mengetahui kewujudan kedai buku setingkat itu. Apatah lagi keadaannya bersebelahan pepohon merimbun lebat menjadikannya kurang nampak di mata umum.
Selesai membayar harga buku yang dibeli, Faizam mendapatkan motosikalnya yang diparkir tidak jauh dari situ. Sambil itu mindanya ligat mengingati seseorang yang telah lama tidak ditemui. Seseorang yang sehingga kini masih melekat kuat di fikiran.
Sejak pertemuan kedua mereka di restoran makanan segera tempoh hari, Faizam tidak pernah lagi bersua dengannya. Jejaknya bagai hilang begitu saja tanpa dapat dikesan. Puas Faizam mencari, menjelajah dan meneroka seluruh pelosok bandar raya Alor Setar namun tetap gagal.
Sesekali terdetik rasa curiga di hati Faizam tentang kewujudan sebenar gadis itu. Sama ada kehadirannya benar-benar wujud atau sekadar mainan ilusinya semata-mata. Namun apabila dinilai semula akal warasnya, Faizam yakin.
Tidak mungkin kewujudan gadis itu hanya bersifat khayalan. Jika tidak masakan gadis itu mampu memberi reaksi saat sedar dirinya menjadi perhatian mata tajam Faizam. Malah satu jelingan marah sempat dilayangkan pada Faizam yang terpana dengan pertemuan itu. Lalu bagaimana semua itu berlaku andai gadis itu hanya satu ilusi yang muncul di atas hati mudanya yang tidak tenteram. Faizam bingung.
Faizam baru mahu menyarung topi keledar apabila telinganya menangkap satu dentuman kuat. Ketika dia berpaling, seorang anak muda telah terbaring kaku di tengah-tengah jalan. Rangka basikal berselerakan tidak jauh dari situ. Pantas Faizam menerpa.
Dia menyusup masuk di celahan orang ramai yang mula mengerumuni tubuh yang tidak lagi bergerak namun masih bernyawa itu. Darah merah berlumuran di beberapa bahagian tubuhnya. Pekat dan berbau hanyir.
Tidak peduli keadaan sekeliling, Faizam segera menahan sebuah teksi. Dengan bantuan beberapa orang lain, dia mengangkat tubuh lemah itu ke dalam perut teksi sebelum turut serta menuju ke hospital. 

No comments:

Post a Comment