BAB 19
“JEMPUT minum airnya Yati,” pelawa Puan
Almas menyorong sedulang minuman pada Puan Hayati.
Bekas
besannya mengangguk kecil.
“Kau
dari mana ni? Amboi, bukan main lawa lagi. Baru balik dari apa-apa majlis
keraian ke?” usik Puan Almas. Sahabat baiknya itu terus merengus halus.
“Majlis
ke bendanya tengah-tengah hari begini Mas oii. Aku ni sebenarnya baru balik
dari rumah mentuanya si Ammar. Saja pergi melawat besan aku tu.
Salah
seorang cucu dia yang tinggal dengan dia jatuh masa main bola sepak kat sekolah
beberapa hari lepas. Nasib baiklah cuma bengkak biasa aje tapi demam jugaklah
budak tu sehari dua dibuatnya.” Sambil itu dia mencapai minumannya sebelum
diteguk beberapa kali. Hilang dahaganya sebaik sahaja air sejuk itu melepasi
tekaknya.
“Lah,
iya ke? Habis tu tak dibawa ke hospital ke?”
“Dia
orang bawa dia ke klinik aje. Itu pun puas jugaklah dia orang pujuk budak tu
kata besan aku. Maklumlah, cucunya itu macam cucu sulung aku jugaklah, penakut
benar nak jumpa doktor. Pantang kata nak dibawa ke doktor, hilang terus
sakitnya,” ujar Puan Hayati tertawa kecil dengan kata-katanya sendiri.
Puan
Almas tumpang meluah tawa. Geli hati dengan kata-kata wanita itu.
“Dah
lama rasanya aku tak jumpa dengan Alia. Apa khabar anak perempuan kau tu?” Puan
Hayati menukar arah bicara mereka.
Wajah
Puan Almas yang terus bertukar riak mencuka itu dipandang sekejap. Giliran
wanita itu pula merengus halus.
“Macam
tu jugaklah Yati oii. Siang malam sibuk dengan kerja-kerjanya kat pejabat tu.
Ada masa dia baliklah ke sini. Itu pun sekejap ajelah. Tak pun dia balik ke
sini kalau aku atau ayahnya yang suruh balik. Kalau tak jangan haraplah kau nak
tengok muka dia tu kat sini,” rungut Puan Almas benar-benar tidak senang dengan
sikap anak bongsunya.
“Macam
tu jugaklah perangainya si Ainul tu pun Mas. Sama aje macam Alia. Dua puluh
empat jam hanya tahu kerja, kerja, kerja. Langsung tak fikir pasal masa depan
sendiri,” luah Puan Hayati turut mengeluh.
“Aku
nikan Mas, selalu terfikir. Apalah kesudahannya pada nasib kedua anak kita tu?
Elok-elok dah jadi suami-isteri, dah bercerai-berai pulak. Walhal semua tu
terjadi pun hanya satu sebab, salah faham. Itu aje.
Tapi
sampai sekarang susah benar kedua-duanya nak berbaik-baik. Dah jadi macam musuh
ketat pulak. Pantang bersua muka, nak bercakar aje tahunya pun. Kita yang
tengok ni pula yang naik rimas dibuatnya. Entahlah,” keluhnya lagi.
“Itulah
Yati. Jangan kata kau, aku suami isteri pun samalah jugak. Dah tak tahu nak
buat apa pasal budak berdua tu. Makin kita cuba baikkan dia orang, makin teruk
pulak jadinya. Setakat bertekak depan ahli keluarga sendiri tak kisah lagilah.
Ini dah sampai satu pejabat boleh tengok perangai kedua-duanya. Betullah tak
matang.
Masa
bercinta dulu, nak berpisah sesaat pun tak boleh. Siang malam berkepit berdua
ke hulu ke hilir. Dah balik rumah pun masih bertelefon, bermesej lagi sampai
meracau-racau dalam tidur. Tup-tup tak sampai setahun jadi suami isteri begini
pulak jadinya. Seorang ke selatan, seorang ke utara. Hei, betullah aku tak
faham dengan kerenah dia orang ni.” Puan Almas turut mengambil kesempatan
meluah rasa tak puas hatinya.
“Apapun
Mas, aku masih berharap yang Alia dan Ainul dapat berbaik semula lepas ni.
Bukannya apa, keluarga aku dan keluarga kau dah lama berkawan baik. Dari kita
berempat masih bujang lagi. Kalau boleh aku naklah hubungan kita ni kekal
sampai ke hujung nyawa. Tak adalah nak bermusuh ketat macam yang dibuat
anak-anak kita tu. Buat panas hati aje melihatkan perangai Ainul dan Alia tu,”
jelas Puan Hayati semula. Penuh mengharap.
“Betul
cakap kau tu. Ikutkan hati marah aku ni, nak saja aku bagi penampar kat budak
berdua tu. Biar sedar diri sikit. Umur masing-masing dah lebih dari 30, tapi
perangai mengalahkan budak-budak. Dengan keras kepalanya, ego tak bertempatnya,
langsung tak tahu nak beralah. Buat sakit jiwa kita aje yang tengok. Makin tua
bukan makin nak menyenangkan hati mak ayah. Lagi menyusahkan hati kita berempat
adalah,” marah Puan Almas pula.
“Apa
nak buat Mas, dah nasib kita berempat dapat anak-anak perangai macam ni. Nak
kata kita tak bagi nasihat, dah berbuih mulut kita ni bercakap untuk kebaikan
dia orang. Nak biar macam tu aje pun tak boleh jugak. Dah nama pun anak, sikit
sebanyak masalah dia orang kenalah kita ambil tahu. Hai, entahlah. Aku pun dah
tak tahu nak kata apa lagi.” Puan Hayati mengeluh buat kali seterusnya.
“Tapi
macam aku kata tadilah Mas, biar apapun yang berlaku aku tetap berharap agar
anak-anak kita kembali bersatu macam dulu. Aku tak pernah terfikir pun nak terima
orang lain sebagai menantu aku selama ini.
Dan
aku harap Ainul takkan jatuh cinta pada mana-mana perempuan lain selain dari
anak kau tu saja. Itu harapan aku Mas dan aku tahu itu juga harapan kita
semua,” sambung Puan Hayati.
Puan
Almas mengangguk kecil. Bersetuju dengan kata-kata bekas besannya.
FARIS
menarik nafas panjang. Seharian
menghabiskan masa dengan menghadap komputer menjadikan tubuhnya benar-benar
tidak bermaya ketika ini memandangkan begitu banyak kerja yang perlu
disiapkannya. Biarpun bercuti namun menjadi kemestian bagi Faris untuk
melangsaikan tugasan syarikat yang dirasakan perlu disiapkan segera.
Skrin
komputer yang telah kelam dipandang sekilas sebelum dia terus bangun. Membuat
sedikit regangan sebelum melangkah ke luar bilik. Menapak ke tingkat bawah
sebelum menghala ke halaman rumah. Ingin mendapatkan kedua-dua orang tuanya.
Rancak
sungguh suami isteri itu bercerita sesama sendiri. Telah menjadi satu kebiasaan
bagi emak dan ayahnya untuk berada di laman rumah pada waktu petang begini.
Berbual sambil sama-sama menikmati minum petang.
Faris
baru ingin melangkah ke laman tatkala matanya terpandang seseorang di balik
pagar pemisah rumahnya dan rumah jiran. Begitu ralit gadis itu menyapu halaman
hingga tidak berkalih wajah ke kiri mahupun kanan. Cermat dan penuh hati-hati.
Menjadikan Faris yang telah dua tiga hari tidak melihat wajah itu segera
mengukir senyuman lebar.
Terasa
diri segar bugar serta-merta. Tenaga yang hilang dek kesibukan menyiapkan kerja
sepanjang hari dirasakan kembali memenuhi ruang tubuh di kala ini. Seolah-olah
tenaga baru telah dicas masuk menggantikan rasa letih yang terus menghilang
sebaik terpandang wajah gadis idaman.
Tanpa
bunyi namun pantas dia mengatur langkah ke anjung. Menapak ke pagar dawai yang
memisahkan kedua-dua halaman rumah banglo berbentuk semi D itu. Sedangkan mata
masih tidak berganjak dari wajah yang dilitupi kelubung hitam itu. Rona sama
mewarnai pakaian lazimnya. Jubah.
“Assalamualaikum.
Hai, boleh saya berkenalan dengan awak?” Sopan Faris menyapa. Mendekatkan wajah
ke celah pagar dengan senyuman mekar tak lekang dari bibir.
Dia
mengulangi soalan tatkala kelihatan gadis itu seperti tidak mendengar
pertanyaannya. Sedikit kuat dari tadi.
Wafi
tersentak kecil. Tanpa melihat empunya suara dia menjawab salam segera seraya
menegak tubuh. Ligat matanya mencari tubuh yang bersuara tadi sebelum terhenti
tatkala terpandang Faris berdiri membelakanginya.
“Hai,
nama saya Faris. Faris Firdaus, awak?” Dari balik pagar separas kepala manusia
Faris bersuara. Menguntum senyuman semanis mungkin buat tatapan Wafi.
Gadis
itu hanya merengus kecil. Tidak peduli dengan kehadiran lelaki itu, dia terus
menyambung gerakannya yang terhenti tadi.
Faris
sudah tersentak kecil. Melihat penerimaan gadis itu menyebabkan dia sedar. Wafi
tidak senang dengan tegurannya. Namun itu tidak melemahkan semangat dia untuk
berkenalan dengan gadis beriak masam lagi suram itu.
“Awak
tinggal berapa orang kat dalam rumah ni? Mana ya mak ayah awak? Tak nampak dia
orang pun. Selalunya ada jugak dia orang duduk melepak kat depan rumah
petang-petang macam ni.” Tanpa mengambil kisah sikap dingin Wafi Faris bersuara
lagi bila tiada sahutan dari gadis itu.
“Awak
memang asal sini ke atau dari tempat lain? Mak saya kata awak tinggal kat luar
negara dulu. Boleh saya tahu kat negara mana?” Tidak berputus asa Faris terus
melontar soalan. Sedangkan Wafi hanya memekakkan telinga. Malas melayan.
“Nama
awak Wafi, kan? Sedap nama awak tu. Awak bekerja sebagai pereka dalaman dari
rumah saja ke? Memang awak tak berminat bekerja kat luar ke atau ada
sebab-sebab lain yang buatkan awak kerja dari rumah aje?” Faris masih tidak
jemu membuka bicara antara mereka.
Faris
terus terkunci mulut bila tiba-tiba saja Wafi merengus geram seraya menghempas
batang penyapu ke tanah. Dijeling tajam wajah kaku Faris sebelum dia pantas
berlalu dari situ. Langsung tidak peduli pada Faris yang kembali terkedu dengan
tingkah spontan gadis itu.
Perlahan-lahan
riak wajah lelaki itu disaluti rasa kecewa. Kecewa niatnya untuk memulakan
perkenalan dengan gadis itu tidak kesampaian. Dilepas nafasnya panjang.
Faris
baru ingin berpaling tubuh namun tak jadi bila tiba-tiba saja Puan Ainun
bergegas mendapatkannya. Sejak tadi wanita itu berdiri di muka pintu rumah
seraya memerhati gelagat gadis dan teruna itu.
Terus
saja Faris tersenyum hambar tatkala wanita ramah itu bersuara selembutnya.
“Maafkan
anak mak cik tu ya Faris. Wafi tu sebenarnya tak biasa berbual dengan lelaki.
Sebab tulah dia berperangai macam tu.” Sedikit tergopoh-gapah Puan Ainun
meminta maaf bagi pihak anak gadisnya. Bersungguh-sungguh dia meluah kemaafan
hingga mengangguk-angguk beberapa kali.
Faris
pula sudahpun melebarkan senyuman seraya mengangguk perlahan.
“Oh,
begitu rupanya. Patutlah dia buat tak tahu aje bila saya tanya dia. Tapi kenapa
masam sangat mukanya tu mak cik? Apa dia memang tak suka berkawan dengan lelaki
ke?” Lurus saja dia bertanya. Benar-benar tak faham dengan sikap yang ditunjuk
gadis itu.
Lama
matanya menatap wajah Puan Ainun yang teragak-agak ingin menjawab. Wanita itu
tersenyum sedikit.
“Memang
macam tu sikapnya Faris. Dari dulu lagi Wafi memang susah nak senyum
terutamanya pada orang yang tak dikenalinya. Tapi esok-esok bila dah lama
kenal, ramahlah dia,” beritahu Puan Ainun sekadar ingin menutup kegalauan hati
lelaki itu.
“Faris
jangan kecil hati dengan perangai anak mak cik tu ya,” sambung Puan Ainun lagi.
Pantas
saja Faris menggeleng.
“Taklah
mak cik. Buat apa saya nak kecil hati kalau memang begitu perangai dia,” jawab
Faris kembali menyimpul senyuman.
“Tak
apalah mak cik, saya mintak diri dulu ya.” Sopan dia menyambung kata sebelum
mendapatkan kedua-dua orang tuanya di hujung laman rumah.
Puan
Ainun mengangguk kecil seraya melepas keluhan pendek. Hanya matanya menghantar
langkah Faris berlalu dari situ. Ada rasa terkilan dan kecewa yang tumbuh dalam
hatinya di kala ini. Terkilan dengan sikap yang ditunjukkan Wafi. Kecewa dengan
keadaan itu.
ISMA
meraup wajah setelah selesai berdoa.
Agak lama dia berteleku di tikar sejadah sebelum bangun tidak lama kemudian.
Bertasbih dan bertahmid sebanyak mungkin setelah selesai menunaikan Solat
Isyak.
Satu
tabiat yang telah menjadi rutin hidupnya sejak awal remaja. Menjadi salah satu
ubat mujarab buat hati yang dirusuh luka mahupun duka. Menghadirkan ketenangan
yang tidak mampu digambarkan pada sesiapa yang khusyuk dan tekun melakukannya
saban waktu.
Tikar
sejadah disidai ke ampaian. Songkok pula diletak di atas meja. Dia melangkah ke
salah satu sudut bilik. Menutup rapat daun tingkap yang sejak pagi dibuka luas.
Menghadang angin malam dari terus menceroboh masuk.
Dihala
langkahnya ke katil semula seraya membenam tubuh di situ. Sedangkan mata sudah
terlekat pada sekeping gambar berbingkai kemas di meja kecil. Bersebelahan
katil. Dicapai gambar itu sebelum dibawa dekat ke mata. Lama dia merenung wajah
wanita yang girang merakam kenangan indah di sisinya suatu ketika dulu.
“Sedar
tak sedar dah lapan tahun Lia tinggalkan abang. Sampai ke hari ni abang masih
tak dapat lupakan Lia. Malah tak ada seorang perempuan pun yang mampu mengubah
arah cinta abang. Semuanya masih tetap terarah pada Lia sama seperti dulu
sayang.” Perlahan dan sayu Isma membuang suara. Berbicara seolah-olah arwah
Kamilia berada di depannya ketika ini.
“Apa
yang boleh abang katakan Lia? Walaupun kita berkahwin atas pilihan keluarga
tapi cinta abang hanya untuk Lia seorang. Tak pernah ada perempuan lain dalam
hidup abang sebelum dan selepas Lia.
Bukan
abang tak buka pintu hati abang pada orang lain tapi abang tak mampu lupakan
Lia sayang. Abang terlalu cintakan Lia. Pada abang Lia adalah cinta pertama dan
terakhir abang, selamanya.” Perlahan-lahan Isma merebah tubuh ke tilam.
Manakala matanya masih melekat di gambar itu.
“Abang
sedar apa yang mak dan ayah kata memang benar. Abang perlu cari pengganti Lia
tapi apa yang abang boleh buat Lia. Sehingga kini tak ada seorang perempuan pun
berjaya menggantikan tempat Lia di sisi abang. Walaupun abang tahu manusia
semuanya tak serupa tapi abang tetap berharap yang abang akan dapat perempuan
sama serupa seperti Lia. Kalau boleh abang tak mahu cari pengganti Lia pun tapi
abang jugak tahu, Lia pasti sedih kalau abang buat keputusan begitu bukan?
Lia
ingat lagi tak? Beberapa hari sebelum Lia pergi tinggalkan abang, Lia selalu
pesan pada abang supaya mencari pengganti Lia. Pengganti yang lebih baik dari
Lia sendiri tapi waktu tu abang selalu marah-marah pada Lia. Abang kata Lia
suka cakap merapu dan lepas tu Lia akan menangis. Terpaksalah abang pujuk Lia
supaya Lia senyum semula.”
Isma
tersenyum sendiri mengenang kenangan indahnya bersama si isteri. Namun hanya
seketika. Wajahnya kembali diruntun riak sayu selepas itu.
“Selepas
pemergian Lia, baru abang sedar dengan maksud perubahan sikap dan kata-kata
Lia. Rupanya semua tu petanda yang Lia akan tinggalkan abang selamanya tapi apa
yang abang boleh buat Lia. Abang tak ada kuasa nak melarang Lia untuk
tinggalkan abang berseorangan.”
Ketika
ini setitis air mata lelakinya tumpah keluar dari kelopak mata. Lekas-lekas dia
menyapu.
“Abang
mintak maaf Lia kerana sampai sekarang abang masih tak dapat tunaikan janji
yang pernah abang buat pada Lia. Lia ingat tak yang Lia mintak abang berjanji
untuk kahwin lain dan lupakan Lia kalau terjadi apa-apa pada Lia? Abang tak
ikhlas berjanji waktu itu Lia, jauh sekali untuk tunaikannya. Tapi sekarang
abang sedar. Abang perlu lakukannya demi melihat Lia bahagia di sana kerana itu
satu-satunya impian Lia yang belum abang tunaikan.
Tapi
bagaimana abang nak tunaikannya sayang kalau hati abang hanya untuk Lia? Macam
mana abang nak terima orang lain dalam hidup abang sedangkan dari dulu cinta
abang hanya pada Lia seorang?
Lagipun
Lia, mustahil ada perempuan yang lebih baik dari Lia di dunia ni sayang. Abang
yakin dan abang pasti, hanya Lia yang terbaik untuk abang. Dari dulu sampai
sekarang, hanya Lia yang terbaik untuk abang sayang. Hanya Lia,” rintih Isma
terus bersuara sendiri.
Hingga
Isma terlelap setelah beberapa lama berkeadaan demikian. Gambar perkahwinannya
bersama Kamilia terus-terusan berada dalam dakapannya. Turut hanyut dalam
kepekatan malam hingga ke awal pagi.
No comments:
Post a Comment