Followers

Saturday, 5 October 2013

BAB 18 - BERSATU DALAM CINTA

BAB 18

DAMIA mengatur langkah pantas. Satu tabiatnya sejak dulu. Gemar bergerak pantas namun masih dalam keadaan santun. Dia sebenarnya baru saja selesai bertemu dengan Yusri beberapa minit lalu.
Kawan baik kepada Khuzairi itu banyak membantunya mencari pelbagai maklumat berkaitan dengan kes kemalangan yang meragut nyawa Kamilia lapan tahun lalu. Menyandang jawatan sebagai salah seorang pegawai polis berpangkat inspektor memudahkan Yusri memberi maklumat yang diperlukan Damia. Begitupun segalanya masih dilakukan dalam prosedur yang sepatutnya.
Sebaik sahaja terpandang keretanya di hujung jalan, Damia mempercepatkan langkah. Apatah lagi bahang panas tengah hari makin terasa di ubun kepala. Namun langkahnya menjadi perlahan sebelum terhenti dengan sendiri tatkala mata dia terpandang seseorang berdiri tidak jauh dari tempat dia berada.
Lama dia menatap wajah lembut itu. Mencari kepastian sebelum dia menapak semula. Kali ini mendapatkan batang tubuh yang sejak tadi tertinjau-tinjau kepalanya. Seakan mencari sesuatu di perhentian bas itu.
“Maafkan saya. Kalau tak silap, awak ni Laila bukan?” Damia terus bertanya sebaik sahaja berdiri di depan gadis itu.
Wafi tersentak kecil. Dia yang sejak beberapa minit lalu menanti kedatangan teksi segera berpaling. Dia sedikit tergamam tatkala terpandang seseorang yang tidak dikenali tersenyum lebar padanya.
“Awak Laila bukan?” Damia mengulangi soalan tadi. Matanya masih melekat di wajah terkejut bercampur terpinga itu.
“Laila?” Wafi sudah mengerut dahi.
Damia pula tersenyum gembira.
“Kau Lailatul Wafi kan?” soal Damia mula sebak. Terlalu gembira dengan pertemuan tidak terduga itu.
Wafi mengangguk pantas.
“Ya saya. Awak ni siapa?” Dalam takut-takut dia bertanya. Bimbang gadis yang kelihatan kasar sikapnya itu berniat serong padanya.
“Kau tak ingat aku Ila? Aku Damia, Damia Karmila cucu Nenek Tijah, kawan baik kau masa kita kat kampung dulu.”
Air mata Damia sudah mengalir laju.
Sebaknya bertambah-tambah ketika ini. Lama mata basahnya memandang Wafi yang tiba-tiba saja turut bergenang air mata. Hanya menanti masa untuk menitik.
“Damia? Kau Damia?”
Wafi benar-benar terkejut bila Damia terus saja memeluk erat tubuhnya. Lalu dia membalas kejap. Sama-sama mengalir air mata gembira tanpa peduli dengan pandangan terpinga-pinga orang sekeliling melihatkan tingkah kedua-duanya.
“Ya ALLAH Mia, lamanya aku tak jumpa kau. Aku betul-betul tak percaya yang kau ada kat depan mata aku sekarang.” Dalam teresak Wafi bersuara hiba. Benar-benar sebak dengan pertemuan itu.
Damia mengangguk laju.
“Dah lebih dari sepuluh tahun kita berpisah. Tak sangka aku, baru sekarang kita berjumpa semula,” sahutnya terus mengesat mutiara jernihnya dari terus mengalir.
“Kau buat apa kat KL ni Ila?” tanya Damia.
“Aku tinggal kat sini sekarang. Aku sebenarnya baru saja berpindah ke sini. Adalah dalam sebulan dua begitu. Kau pula buat apa kat sini?” tanya Wafi kembali tenang. Diikutnya langkah Damia yang mula menapak ke satu arah.
“Aku kerja kat sini. Kat firma guaman ayah Karmila,” sahut Damia memeluk erat bahu gadis itu.
“Firma guaman? Maksudnya kau dah jadi peguam sekarang?” soal Wafi dengan mata terbeliak. Seakan tidak percaya biarpun bibirnya sudah menguntum senyum gembira.
Damia mengangguk sambil tersenyum panjang.
“Alhamdulillah, tercapai jugak hajat kau nak jadi peguam ya,” sambung Wafi tumpang gembira dengan pencapaian gadis itu.
“Kau pulak macam mana? Berjaya tak menjadi pereka hiasan dalaman impian kau tu?” soal Damia pula terus mengembang senyuman bila Wafi pantas mengangguk.
“Alhamdulillah, sama macam kau aku jugak dapat apa yang aku inginkan Mia tapi aku lakukan kerja tu dari rumah saja. Aku tak berminat nak bekerja di mana-mana syarikat selepas apa yang berlaku dalam hidup aku dulu,” tenang dia meluah isi hatinya.
“Aku turut bersimpati dengan apa yang berlaku pada kau Ila. Apapun aku mintak maaf sangat-sangat sebab waktu kau perlukan aku, aku tak ada di sisi kau. Aku dah berada di luar negara waktu semua itu berlaku,” luah Damia penuh sebak seraya meramas lembut jari-jemari Wafi. Rasa bersalah benar-benar menguasai hatinya ketika ini.
Wafi menggeleng laju.
“Jangan cakap macam tu Mia. Jangan kau rasa bersalah pada aku. Semuanya dah menjadi ketentuan ALLAH. Aku kena terima semuanya dengan redha.” Pantas saja dia menyahut seraya membalas erat genggaman gadis itu. Begitu tenang biarpun hatinya dibalut pilu tatkala menutur kata-kata itu.
“Oh ya Mia, apa khabar Lia? Dia buat apa sekarang?
Dapat tak dia capai impian dia nak jadi pereka fesyen yang terkenal tu?” Wafi terus mengubah arah bicara mereka. Tidak mahu lagi kisah peritnya diungkit keluar.
Namun pertanyaan itu berjaya mematahkan senyuman Damia serta-merta. Segera saja wajah tenangnya bertukar keruh.
“Lia dah tak ada dalam dunia ni Ila. Dia dah tinggalkan kita semua sejak beberapa tahun lalu.” Lambat-lambat Damia bersuara sedikit sayu. Cuba mengawal sebak yang kembali membungkus hati.
Wafi terkaku sejenak.
“Maksud kau Lia dah...” Kata-katanya terhenti di situ bila Damia pantas mengangguk.
“Dah hampir lapan tahun dia tinggalkan kita Ila. Dia pergi setelah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya sewaktu dalam perjalanan ke bank dari butiknya. Dan sekarang ni butiknya tu diuruskan oleh isteri abang kami, Kak Mimi,” ceritanya ringkas. Membuatkan Wafi tertunduk pilu semula. Air mata yang kembali menitis, disapu segera.
“Ila, ke mana kau menghilang selama beberapa tahun ni?” Soalan Damia berjaya memanggung kepalanya. Dia tersenyum hambar.
“Aku merantau jauh Mia. Aku tinggal di Morocco sebelum mak dan ayah aku ambil keputusan untuk balik menetap semula di Malaysia,” ujarnya sayu.
“Ooo... begitu,” Damia mengangguk lagi.
“Ila, kau ada masa tak hari ni? Jom kita keluar jalan-jalan. Sambil tu bolehlah kita berborak panjang. Ada banyak cerita yang ingin aku kongsi dengan kau.” Damia terus menyambung kata. Memandang Wafi sudah membentuk kerutan di dahinya.
“Kau tak kerja ke hari ni?” soalnya.
“Tak. Aku cuti hari ni. Ada kerja yang aku lakukan tadi dan sekarang aku dah free. Jom, kita pergi minum kat mana-mana,” ajak Damia terus mendapatkan keretanya.
“Okeylah kalau macam tu. Aku ikut kau aje.”
Tanpa berfikir panjang, Wafi terus bersetuju. Dia turut melangkah mengikuti Damia. Mendapatkan kereta gadis itu sebelum tak lama kedua-dua gadis itu telah berada di atas jalan raya.

“SELAMAT pagi Lily,” sapa Ainul mesra tatkala dia melalui meja wanita berbangsa Kadazan itu suatu pagi.
“Selamat pagi Encik Ainul,” jawab setiausahanya penuh hormat.
“Oh ya Encik Ainul. Encik Azmi mintak Encik Ainul ke biliknya sekarang,” beritahu Lily sebelum sempat Ainul menolak pintu bilik pejabatnya. Dikerut dahinya sekejap.
“Ada apa dia nak jumpa dengan saya?” soal Ainul sedikit hairan.
Lily menjongket bahu.
“Tak tahulah pulak saya sebab apa Encik Ainul. Dia cuma tinggalkan pesan tu saja masa dia call sebentar tadi,” sahut wanita itu.
Ainul melepas nafas perlahan sebelum kembali membalik tubuh. Mendapatkan Lily yang masih berada di mejanya.
“Hmm... tak apalah Lily, awak tolong bawa masuk briefcase saya ni ke dalam bilik saya ya. Saya pergi jumpa dia sekarang,” suruhnya terus berlalu ke lif terdekat.
“Baik Encik Ainul,” patuh Lily lalu segera melaksanakan arahan ketuanya. Tidak lama kemudian, dia kembali meletak punggung di meja. Menyambung tugasan yang terhenti tadi.
Ainul menapak keluar dari lif sebaik sahaja tiba di tempat dituju. Dia sekadar mengangguk seraya tersenyum tatkala ada beberapa pekerja di aras itu menegurnya. Segera dia mengetuk daun pintu sebaik sahaja berdiri di depan bilik pejabat ayahnya.
“Ayah panggil orang?” soal Ainul terus menjengul kepala di balik pintu yang dibuka suku.
Dia terus menapak masuk bila terpandang gamitan jari-jemari Encik Azmi ke arahnya.
“Hah Ainul. Mari ayah kenalkan kamu dengan wakil Syarikat Usaha Jaya Holdings Berhad, Cik Ruzana Datuk Malik,” ujar Encik Azmi mengunjuk jari pada seorang wanita yang sejak tadi ralit berbual dengannya.
Wanita itu terus bangun. Ainul pula tergamam terus tatkala terpandang wajah itu. Terpegun dengan kejelitaan yang dimilikinya. Terasa hatinya ditendang debaran ketika ini. Sesuatu yang jarang berlaku padanya sejak beberapa lama dulu.
“Hai, apa khabar? Saya Ruzana.” Penuh karisma dan yakin wanita itu menghulur salam perkenalan. Menyua tangan pada Ainul yang segera menyambut.
“Saya Ainul, Ainul Hayat,” sahutnya sedikit gugup.
Masih terkaku melihatkan tingkah dan penampilan wanita jelita itu. Begitu bersahaja dalam gayanya yang tersendiri. Segera dia meletak punggung di sofa sebaik saja genggaman tangan mereka terlerai. Tidak jauh dari wanita itu dan ayahnya.
“Sebenarnya Ainul, ada sesuatu yang ayah ingin bincangkan dengan kamu.” Encik Azmi terus membuka bicara antara mereka semula. Sedikit serius.
“Begini Ainul. Syarikat Datuk Malik telah menawarkan kita satu projek hartanah yang bakal dijalankan secara kerjasama antara syarikat kita dan syarikat mereka. Memandangkan ini projek pertama yang ditawarkan kepada kita dan membawa keuntungan hampir jutaan ringgit, maka sayang rasanya untuk ayah lepaskan peluang keemasan ni.
Malangnya ayah tak dapat kendalikannya memandangkan ayah sibuk menguruskan projek-projek lain dan kebetulan pulak Along kamu baru saja mengambil alih projek ayah dan Ayah Zali maka dia pun tak dapat nak membantu ayah. Jadi ayah berpendapat elok benarlah kalau kamu saja yang uruskan projek ni bersama Ruzana sebagai wakil kepada syarikat kita,” terang Encik Azmi bersungguh-sungguh.
Menampakkan harapannya untuk menjayakan projek yang julung kali diadakan dengan salah sebuah syarikat hartanah terkemuka di Malaysia itu.
“Jadi apa pendapat kamu Ainul?” Pertanyaan itu mengundang sentakan kecil Ainul. Agak terkejut dia dengan terjahan soalan tiba-tiba itu.
Sejak tadi dia hanya ralit menatap wajah Ruzana tanpa memberi sepenuh perhatian pada kata-kata ayahnya. Wanita itu hanya mengulum senyuman padanya. Penuh gula.
“Orang serah segalanya pada ayah. Apa yang baik pada ayah, baik jugaklah pada orang.” Tergagap-gagap Ainul menyahut. Sedikit tergadah dengan pertanyaan itu.
Hakikatnya dia masih terpegun dengan pertemuan dia dan Ruzana. Seumur hidupnya, ini kali pertama dia bertemu dengan seorang wanita sejelita Ruzana. Malah begitu jelita jika dibandingkan dengan semua wanita tercantik dunia di matanya. Dengan penampilan sedikit seksi dan tingkahnya yang begitu menyenangkan, menjadikan mata lelaki Ainul tidak mampu lari dari terus melekap di wajah menawan itu.
Encik Azmi mengangguk penuh gembira.
“Kalau macam tu ayah serahkan perkara ni kepada kamu mulai sekarang. Ayah mintak diri dulu ya. Ada mesyuarat yang perlu ayah hadiri sekarang. Ruzana, silakan,” ujar Encik Azmi sebelum bangun berlalu keluar dari situ. Meninggalkan mereka yang sehingga kini masih saling bertukar pandangan dan senyuman.
“Kenapa awak pandang saya begitu sekali? Ada apa-apa yang tak kena dengan muka saya ni ke?” Ruzana terus bertanya sebaik sahaja kelibat Encik Azmi hilang dari pandangan mereka. Terperasan dia dengan renungan tak berkelip lelaki itu padanya. Bulat mata hitamnya memandang Ainul seraya menguntum senyuman. Penuh manja. Menjadikan lelaki itu sedikit terkesima. Agak malu dengan teguran lembut lagi kedengaran manja itu.
“Maaflah Cik Ruzana, saya sebenarnya masih tergamam bila tengok Cik Ruzana. Tak pernah saya jumpa perempuan secantik Cik Ruzana ni. Cantik sangat sampai saya rasa semua Miss World yang ada dalam dunia ni pun boleh kalah di tangan Cik Ruzana kalau Cik Ruzana yang masuk bertanding.” Dalam berseloroh Ainul berterus-terang.
Dia terpana semula bila wanita itu meluah tawa kecil. Agak ralit dengan tawa yang kedengaran lunak di telinganya. Sedang hatinya sudah dihambat debaran buat kali kedua. Lebih hebat dari yang pertama.
“Awak ni Ainul, pandai betul bergurau. Saya ni biasa-biasa saja orangnya, bukannya secantik mana pun. Serupa saja seperti orang lain,” ujar Ruzana tertawa lagi.
By the way, tak payahlah awak bercik-cik dengan saya. Panggil saja Ruzana. Tapi saya lebih suka kalau awak panggil saja Zana. Itu lebih mesra,” sambungnya.
Kali ini dengan penuh menggoda bersama senyuman menawannya. Membuatkan hati Ainul dipukul debaran lagi. Sedikit terkaku melihatkan tingkah pesona lagi bersahaja wanita itu.
So, boleh kita mulakan perbincangan kita sekarang?” Pertanyaan lembut Ruzana hanya dibalas dengan anggukan kecil Ainul.
Buat seketika dia tidak mampu bersuara. Sekadar mengulum senyuman. Tanda senang dengan tingkah wanita itu. Sedang hatinya terus-terus ditendang debaran ketika ini.

WAFI sedang melipat pakaiannya bila pintu biliknya diketuk seseorang. Saat dia berpaling, Puan Ainun sudah berdiri di muka pintu yang sejak tadi tidak ditutup rapat.
“Mak ganggu Wafi ke?” tanya wanita itu lembut.
Wafi tersenyum sedikit.
“Taklah. Masuklah mak,” pelawa Wafi.
Puan Ainun terus melangkah masuk. Langsung melabuhkan punggung di pinggir katil. Bersebelahan dia.
“Wafi tak melukis petang ni?” soal Puan Ainun sekadar berbasa-basi.
Gadis itu menggeleng perlahan.
“Taklah mak. Wafi nak rehat aje hari ni. Boring jugak rasanya kalau hari-hari melukis. Sekali-sekala nak jugak Wafi buat aktiviti lain,” sahutnya dengan senyuman kecil di bibir. Sedangkan tangan masih ligat menjalankan kerjanya.
“Boleh mak tanya Wafi sesuatu?” tanya Puan Ainun setelah beberapa ketika hanya melihat pergerakan tangan anak gadisnya.
“Mak nak tanya apa?” Tanpa mengangkat kepala Wafi bertanya.
Puan Ainun mengulum senyuman.
“Mak perasan sehari dua ni Wafi nampak gembira sangat daripada biasa. Kenapa Wafi? Tak ada apa-apa perkara yang Wafi ingin kongsikan dengan mak ke?” soal Puan Ainun benar-benar ingin tahu makna perubahan keadaan anak gadisnya. Biarpun perubahan itu secubit cuma namun cukup untuk menyenangkan hati dia dan Encik Musaid.
Wafi terus mencantum kedua-dua kening.
“Gembira macam mana maksud mak?” soal Wafi kurang faham. Wajah tenang emaknya dipandang semula.
Puan Ainun tersenyum lagi.
“Gembira Wafi tu macam Wafi dah dapat apa yang Wafi hajatkan selama ni,” ujar Puan Ainun. Sekali gus memekarkan senyuman gadis itu.
Lalu dengan penuh rasa kesyukuran dia membuka cerita. Bersyukur atas segala kegembiraan yang diperolehinya lewat kebelakangan ini.
“Sebenarnya mak, Wafi memang gembira sangat beberapa hari ni sebab Wafi bertemu dengan seseorang yang begitu Wafi rindui sejak bertahun-tahun lalu. Kami bertemu masa Wafi keluar beli barang-barang lukisan dua tiga hari lepas.
Wafi nak beritahu mak tapi Wafi asyik lupa saja. Maklumlah, bila Wafi menghadap lukisan aje, Wafi terus lupa pasal perkara lain. Ini mak dah tanya baru Wafi teringat pasal ni.” Gadis itu terus melebarkan senyuman.
Hingga terserlah lekuk lesung pipit di kedua-dua belah pipinya. Sesuatu yang jarang dapat dilihat oleh sesiapa memandangkan bukan menjadi sikap Wafi untuk selalu mengukir senyuman.
“Iya? Wafi jumpa siapa?” Puan Ainun ikut teruja memasang telinga.
Hakikatnya dia gembira dengan keadaan itu. Gembira melihatkan riak ceria di wajah lembut itu. Tidak seperti selalunya. Riak muram dan duka menjadi penghias utama.
Wafi terus membuka mulut. Tak sabar nak bersuara.
“Mak ingat tak pada Damia, kawan baik Wafi sejak kecil lagi?”
“Damia? Yang mana satu ya?” Puan Ainun terus meligatkan otak. Cuba mengorek semula ingatan silam yang telah lama ditinggalkan.
“Alah, anak arwah Pak Cik Daud dan Mak Cik Khairiah yang tinggal di sebelah rumah Wafi tu. Dia tu cucu Nenek Tijah, bidan terkenal kat kampung tempat kami lahir tulah,” beritahunya.
Agak lama Puan Ainun mengerut dahi. Memerah ingatan sebelum dia mengangguk seraya tersenyum selepas itu.
“Kalau tak silap mak, Damia tu budak yang perangainya macam lelaki tu kan? Yang rambutnya selalu pendek macam rambut budak lelaki tu kan? Bukan ke dia yang selalu kena rotan dengan Nenek Tijah sebab suka memanjat pokok rambutan depan rumah kamu tu?” tanya Puan Ainun meminta kepastian.
Wafi terus mengangguk laju.
“Haah, dia tulah mak.” Gadis itu sudah tertawa kecil.
“Tapikan mak, Damia dah berubah tau. Dia dah cantik sangat sekarang. Rambutnya tu dah panjang ke pinggang, lebat lagi. Penampilannya pun dah serupa macam perempuan lain. Wafi masa kali pertama kami berjumpa sampai tak kenal. Perangai dia masih jugak sama macam dulu. Keras macam lelaki tapi lembut sikitlah berbanding masa kami kecil dulu.” Penuh ceria Wafi bercerita tentang perubahan sahabat baiknya.
Puan Ainun sudah mengangguk-angguk tersenyum.
“Habis tu apa budak Damia tu buat sekarang?” soal Puan Ainun.
“Sekarang ni dia dah jadi peguam terkenal mak. Dia kerja kat firma ayah saudara dia tu. Alah, ayah pada Kamilia, sepupu dia tulah,” ramah Wafi memberitahu.
Kepala Puan Ainun mengangguk lagi. Turut menumpang gembira dengan khabar yang baru berada dalam pengetahuannya itu.
“Sebut pasal Kamilia, apa pulak yang budak tu buat sekarang? Dia pun sebaya kamu berdua, kan?” soal Puan Ainun.
Terus teringat pada sepupu Damia yang nyata berbeza sikapnya dengan Damia. Begitu lemah-lembut dan gemar bergaya. Mudah menangis andai diusik dan manja orangnya. Namun berhati baik dan sopan seperti Damia juga.
Pertanyaan itu menjadikan awan mendung segera berarak ke wajah Wafi. Dia terkelu seketika sebelum lambat-lambat dia bersuara. Agak sayu.
“Kamilia dah lama tak ada mak. Dia meninggal dunia beberapa tahun lepas sewaktu terlibat dalam kemalangan jalan raya. Masa tu dia mengandung tiga bulan,” jawab Wafi pilu dengan pemergian wanita itu yang juga merupakan teman sepermainannya sejak kecil selain Damia. Menjadikan mata Puan Ainun terbeliak serta-merta. Terkejut.
“Innalillah. Maksud kamu Kamilia meninggal masa dia dah jadi isteri orang?” Soalan itu hanya dibalas dengan anggukan lemah Wafi.
Puan Ainun melepas nafas panjang.
“Siapa sangka ya, umurnya tak panjang. Kamilia tu baik budaknya. Walaupun dia membesar di bandar tapi dia tak pernah kekok tinggal di kampung. Rajin membantu orang tak kira siapa pun. Mak rasa macam tak percaya aje yang dia dah pergi terlebih dulu dari kita semua.”
Ternyata wanita itu turut diruntun rasa pilu tatkala mendengar khabar tidak dijangka itu.
Biarpun dia tidak rapat dengan arwah Kamilia dan Damia memandangkan mereka jarang bersua muka. Namun tingkah kedua-dua mereka begitu dikenalinya lantaran dia sering kali berkunjung ke rumah Nenek Tijah untuk berurut badan di lapang waktu.
“Wafi tak ajak Damia datang ke rumah kita?” Puan Ainun terus melencong bicara tidak lama selepas itu. Dia tak mahu riak ceria di wajah Wafi hilang dek berita duka itu.
Wafi menurap senyuman semula.
“Ada jugak Wafi jemput dia, siap bagi alamat lagi tapi kata Damia nanti-nanti ajelah dia datang. Dia sibuk dengan kerjanya sekarang.”
Wajah tenang emaknya dipandang semula. Wanita itu mengangguk kecil.
“Mak, boleh tak kalau suatu hari nanti Wafi ikut Mia balik kampung?” Tiba-tiba saja Wafi mengeluarkan soalan itu.
Sekali gus menyentak kuat jantung Puan Ainun. Dia tergamam lama. Benar-benar terkejut dengan soalan tak terduga itu.
“Boleh ya mak kalau Wafi ikut Mia balik kampung suatu hari nanti? Wafi rindu nak tengok semuanya. Sungai tempat Wafi, Damia dan arwah Kamilia bermandi-manda, hutan dara tempat Wafi ikut ayah jerat burung, sekolah tempat Wafi dan Damia menimba ilmu. Wafi rindu nak tengok semua tu mak.” Suaranya seakan merayu. Lembut lagi mendayu.
Mata Wafi sudah lama melekap di wajah kaku si emak. Memohon pengertian dari Puan Ainun yang masih membatu diri dek terlalu terkejut dengan permintaan itu.
“Mak...” Wafi mengulangi pertanyaan seraya meramas lembut jari-jemari Puan Ainun. Menjadikan wanita itu tersentak keluar dari keadaannya.
Perlahan nafas panjangnya dilepas berat. Wajah penuh mengharap gadis itu dipandang penuh sayang. Lama.
“Wafi, tentang niat Wafi nak ikut Damia balik ke kampung tu, nanti mak tanya pada ayah dulu ya? Kalau ayah izinkan, mak jugak takkan halang. Mak tahu, kami tak ada hak nak melarang kamu dari balik melihat tempat kelahiran kamu.
Tapi terus-terang mak cakap. Mak sebenarnya takut nak izinkan Wafi balik ke sana semula. Cukuplah dengan apa yang berlaku pada Wafi selama ini. Mak dan ayah tak mahu Wafi ingat lagi semua tu,” ujar Puan Ainun sudah berbalut sayu.
Dipeluk erat tubuh Wafi yang sudah terkaku dengan kata-katanya. Baru ketika ini gadis itu tersedar tentang keadaan yang pernah dilaluinya suatu masa lalu. Kegembiraan yang baru dirasai dek pertemuannya dengan Damia beberapa hari lalu membuatkan dia terlupa sebentar tentang keadaan itu.
Keadaan yang telah menghilangkan segala kegembiraan dan kebahagiaan hidupnya sehingga ke hari ini. Lama dia terkelu lidah sebelum perlahan-lahan dia merungkai lembut pelukan Puan Ainun seraya menatap wajah sendu itu.
“Mak, tentang tu janganlah mak bimbang ya. Insya-ALLAH Wafi takkan apa-apa. Wafi dah dapat terima semua itu walaupun tak sepenuhnya. Apa yang Wafi perlukan hanyalah restu dan doa dari mak dan ayah dalam apa saja perkara yang Wafi lakukan. Itu saja,” luah Wafi sudah menangis di bahu Puan Ainun.
“Restu dan doa mak ayah sentiasa bersama kamu sayang, sentiasa.”

Puan Ainun turut mengalirkan air mata. Membalas erat pelukan Wafi yang terlebih dulu berbuat begitu. Langsung tidak menyedari Encik Musaid yang sejak tadi melihat tingkah kedua-duanya dari balik pintu melepas nafas panjang. Turut terkesan dengan keadaan hiba itu. 

No comments:

Post a Comment