Followers

Saturday, 5 October 2013

BAB 20 - KEJORAKU BERSATU

BAB 20



Tengku Anuar meneliti dokumen yang berada di tangannya. Bibirnya mengukir senyuman.
So macam mana Nuar? Kamu puas hati tak dengan semuanya?” soal Haikal lembut.
Wajah pemuda itu dipandang sejenak. Tengku Anuar mengangguk kecil.
“Saya cukup puas hati Bang Chik.” Dipandang sekilas wajah abang iparnya.
“Okey, kalau begitu kamu tandatangan dokumen tu dan selepas itu tanah ini menjadi hak milik kamu sepenuhnya.”
Tengku Anuar tersenyum lagi. Dilabuh pandangannya ke kawasan sekeliling. Sayup matanya memandang ladang strawberi yang terdampar luas di depannya. Terserlah kekagumannya melihat keindahan ladang yang bakal menjadi miliknya tidak lama lagi.
“Luas benar tanah ni ya bang,” ujar Tengku Adilla yang turut bersama Tengku Anuar dan Haikal ke Cameron Highlands pagi itu.
“Memang luas Dilla, kalau tak silap abang, tujuh ekar semuanya,” ujar Haikal sambil jari-jemarinya menyentuh lembut permukaan daun pokok strawberi yang berbuah lebat. Hanya menunggu masa untuk dituai.
“Bukankah bagus kalau kita beli jugak tanah kat kawasan yang sejuk begini bang. Sambil tu bolehlah kita tanam apa-apa saja tanaman. Bertambah lagilah pendapatan kita nanti,” cadangan Tengku Adilla mula berangan-angan.
“Hsy, tak payah awak nak merepek. Awak tu bukannya tahan sangat dengan cuaca sejuk ni. Lagi pun nak buat beli tanah lagi? Bukankah tapak rumah yang kita duduk sekarang pun tanah kita jugak?” sanggah Haikal lembut.
“Ala, apa salahnya bang kalau kita beli banyak-banyak pun. Tak rugi kalau kita berbudi pada tanah bang,” tingkah Tengku Adilla tidak mahu mengaku kalah.
“Memanglah tak rugi tapi kalau kita ada masa nak jaga tak apalah jugak. Dahlah tu, bukannya murah nak beli tanah kat kawasan peranginan macam ni. Ini pun kebetulan si Sufian nak jual tanahnya cepat-cepat. Dapatlah Anuar beli dengan harga rendah,” ucap Haikal.
Dialih matanya ke arah Tengku Anuar yang sedari tadi melemparkan pandangan ke seluruh kawasan ladang. Lelaki itu di lihat seakan memikirkan sesuatu.
“Tanah kat kawasan tinggi macam ni mahal ke bang? Saya ingatkan sama saja dengan tanah kat kawasan rendah tu atau pun jauh lebih murah,” sahut Tengku Adilla menatap wajah suaminya yang tersenyum kecil.
“Memanglah mahal Dilla. Selalunya kawasan tinggi yang beriklim sejuk begini menjadi rebutan ramai orang. Selain boleh mendatangkan pendapatan yang lumayan, kawasan ini juga berpotensi menjadi kawasan yang maju dan berkembang pesat sekiranya kita pandai mengusahakannya.
Kerana itu harganya melambung tinggi di pasaran. Begitu juga dengan tanah yang berada di kawasan rendah. Kalau kawasan itu berpotensi untuk dimajukan, harganya pun turut meningkat tinggi.” Haikal memberi penerangan.
Kemudian Haikal mengalih pandang ke arah Tengku Anuar yang sedang tunduk meneliti dokumen di tangannya.
So Nuar, kalau ada apa-apa yang Anuar tak puas hati, bagitahu aje pada Bang Chik. Nanti Bang Chik akan betulkan apa yang patut.”
Tengku Anuar yang kembali mengangkat muka tersenyum mengangguk. Membalas pandangan lelaki itu.
“Terima kasih Bang Chik kerana carikan kawasan yang sebegini baik untuk saya.”
“Tak payahlah nak berterima kasih Anuar, dah rezeki kamu dapat kawasan baik macam ni,” ujar Haikal lagi. “Oh ya, sebelum Bang Chik terlupa. Macam mana dengan keadaan rumah tu pulak? Ada apa-apa yang nak kamu ubah suai atau pun kamu nak bina yang baru?”
Haikal menoleh pandang ke rumah batu yang terletak tidak jauh dari situ. Rumah yang berbentuk rumah Inggeris lama itu kelihatan begitu indah dihiasi dengan pagar-pagar kayu separas pinggang manusia mengelilingi sekitar halaman. Tengku Anuar turut melepas pandang ke arah yang sama.
“Rasanya, tak ada apa yang perlu yang saya ubahsuai. Reka bentuk rumah tu pun dah cukup menarik. Cuma saya nak besarkan lagi garaj kereta tu. Biar boleh muat sebuah kereta lagi. Dan kalau boleh, saya nak tukar warna cat luar dan dalam rumah tu dengan warna yang lebih terang. Biar nampak lebih berseri.”
“Boleh, tak ada masalah. Bila kamu nak abang buat semua tu?”
Walau itu bukan di bawah bidang kerjanya namun Haikal bersedia membantu Tengku Anuar melakukannya.
“Bila-bila masa aje. Terpulanglah pada Bang Chik.”
“Kalau macam tu, Bang Chik carikan orang yang boleh buat semua tu secepat yang mungkin,” sahut Haikal tersenyum mesra.
Tengku Anuar mengangguk kecil. Hatinya puas kerana impiannya untuk mempunyai tanah sendiri bakal tercapai. Dia tersenyum lagi.


Nina melangkah keluar dari kotak lif. Dibetul kedudukan bajunya sebelum mula mengorak langkah. Dia tersenyum mengangguk apabila ada beberapa orang yang melintasinya melemparkan senyuman. Nina menolak perlahan daun pintu pejabat yang tertutup rapat. Dihampiri seorang wanita yang sedang duduk menaip sesuatu di komputer.  
“Selamat pagi. Datuk Rashdan ada?” soal Nina sopan.
Ratna segera mendongak. Diukir senyuman manisnya.
“Selamat pagi. Oh, Cik Nina rupanya. Datuk ada kat dalam. Sebentar ya,” ujar Ratna.
Pantas ditekan butang interkom yang ada di meja. Dia bercakap sesuatu di situ. Nina hanya memandang tingkahnya.
“Cik Nina, cik boleh masuk sekarang,” ujar Ratna selepas beberapa ketika.
“Terima kasih,” balas Nina sambil tersenyum.
Wanita itu hanya tersenyum mengangguk.
Nina mengetuk sekali muka pintu sebelum membukanya perlahan. Di atur langkahnya memasuki bilik yang berhawa dingin itu. Datuk Rashdan meletakkan pen yang berada di tangan. Dia segera bangun dari duduk. Bibirnya mengukir senyuman.
“Hah Nina, silakan masuk,” pelawanya mesra.
Datuk Rashdan melangkah ke sofa yang ada di tengah ruang bilik.
“Silakan duduk,” ujar Datuk Rashdan lagi.
Nina mengukir senyuman. Dia turut menapak ke arah sofa setelah pintu bilik di tutup rapat. Dibenam punggungnya ke atas sofa. Bertentangan lelaki itu.
“Lama jugak kamu tak ke mari Nina. Macam mana dengan business kamu sekarang? Harap semuanya berjalan baik,” ujar Datuk Rashdan tersenyum lebar. Menampakkan barisan mutiaranya yang putih bersih.
“Alhamdulillah Datuk, setakat ni semuanya okey.”
Datuk Rashdan tersenyum mengangguk.
So Datuk, macam mana dengan permohonan pinjaman kewangan saya tu? Di luluskan atau pun tidak?” soal Nina ingin tahu.
Wajahnya merayap memerhati wajah lelaki yang hampir sebaya dengan ayahnya itu. Hati wanitanya sedikit berdebar setiap kali matanya berlaga dengan pandangan lelaki yang cukup terkenal dengan keterampilannya yang senantiasa kemas dan segak itu.
Datuk Rashdan menghela nafas pendek. Dipamer senyumannya.
Well Nina, saya dah teliti kertas kerja kamu tu dan pihak bank saya telah bersetuju untuk meluluskan permohonan kewangan untuk kamu.”
Tanpa sedar Nina terjerit kecil. Diraup wajahnya sekali dengan kedua-dua belah tangannya.
“Ya Allah, terima kasih Datuk. Saya tak sangka yang permohonan saya ini akan diluluskan sebegini cepat,” ujar Nina gembira.
Datuk Rashdan tersenyum lagi.
“Ini semua kerana kamu jugak Nina. Kamu telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam membangunkan perniagaan kamu. Jarang anak muda Melayu terutamanya wanita nak menceburkan diri dalam bidang permotoran seperti kamu ni,” puji Datuk Rashdan ikhlas.
Dalam hati dia turut berbangga dengan pencapaian gadis yang telah dianggap seperti anaknya sendiri itu.
“Jadi bilalah agaknya kamu akan mula membangunkan kedai hardware kamu tu?”
“Insya Allah, kalau tak ada aral melintang secepat yang mungkin Datuk,” balas Nina ceria.
“Elok benarlah tu. Pasaran untuk alat-alatan logam ni pun semakin berkembang pesat. Banyak industri yang menggunakan perkakasan logam sekarang. Sekurang-kurangnya dengan pembukaan kedai kamu itu akan menambahkan lagi pusat penjualan barangan sebegitu,” ujarnya memberi kata-kata perangsang.
“Oh ya Nina, dengar khabar ayah kamu ke Tasik Kenyir. Betul ke?” Datuk Rashdan menukar topik perbualan.
Hubungan yang terjalin rapat dengan Nina sejak beberapa tahun lalu menyebabkan dia mengetahui serba sedikit latar belakang keluarga gadis itu. Malah dia sendiri mempunyai hubungan yang agak rapat dengan Datuk Nasir sementelah masing-masing bergelumang dalam bidang kerjaya yang sama. Bidang perniagaan.
“Betul Datuk. Dah hampir dua hari dia ke sana. Nak memancing katanya. Abang Shahrul pun ikut sekali,” ujar Nina sopan.
“Hmm, seronok jugak kalau dapat bercuti sekali sekala ni. Kalau nak diikutkan kerja, sampai bila pun takkan habis,” sambut Datuk Rashdan seraya mengeluh perlahan.
“Datuk ambillah cuti, pergi melancong ke mana-mana dalam sehari dua,” ujar Nina memberi cadangan.
Datuk Rashdan tersenyum kecil.
“Saya ni Nina, kalau diikutkan hati, bukan setakat nak bercuti, kalau boleh saya nak berhenti kerja terus. Duduk berehat saja kat rumah tu. Tak payah fikir lagi tentang kerja ni. Tapi itulah, nanti bosan pula saya kata rumah tu. Bukannya ada apa yang boleh di buat pun. Bila bekerja ni tak adalah sangat rasa bosan.”
“Kalau macam tu apa kata kalau Datuk kahwin lagi? Sekurang-kurangnya tak adalah Datuk sunyi sangat,”  Kata-kata Nina mengundang tawa lelaki itu.
“Kamu ni Nina, sama saja seperti anak-anak saya. Tak habis-habis nak minta saya kahwin lagi,” ujarnya tersenyum lebar. “Saya ni dah tua benar Nina. Dah tak terfikir pun nak kahwin lagi. Lainlah kalau masih muda macam kamu tu, memang patut pun kamu berkahwin sekarang,” sambungnya lagi.
“Siapalah yang nak saya ni Datuk,” ujar Nina merendah diri. Wajahnya ditunduk sedikit tatkala bola mata lelaki itu menghala ke arahnya.
“Rupa pun tak ada, harta benda pun tak sebanyak mana,” ujarnya lagi.
Datuk Rashdan tersenyum kecil. Wajah bersih gadis itu direnung lama.
“Nina, bukan harta atau paras rupa yang menjadi ukuran dalam hal mencari jodoh ni. Sikap yang baik dan pegangan agama yang paling penting. Memanglah harta dan paras rupa turut menjadi faktornya namun semua tu jatuh ke tangga bawah selepas agama. Tak guna kalau berharta banyak dan berparas rupa cantik tapi berperangai tak baik,” balas Datuk Rashdan lembut.
“Agaknyalah Datuk, kalau Datuk nak berkahwin lagi, perempuan yang macam mana yang akan Datuk pilih untuk di buat isteri?” soal Nina tiba-tiba.
“Setakat ini saya belum pernah terfikir untuk berkahwin lagi Nina.”
“Mana tahu kalau-kalau jodoh Datuk tiba dalam masa terdekat ni.” Nina masih mengutarakan persoalan yang sama.
“Beria-ia benar kamu tanya. Kenapa, kamu dah ada calon untuk saya ke?” soalnya sekadar bergurau.
Belum sempat Nina menjawab, interkom yang berada di meja Datuk Rashdan menjerit kuat. Kedengaran suara Ratna dari corong mesin tersebut. Datuk Rashdan segera meminta diri seketika sebelum bangun menuju ke mejanya. Menjawab panggilan Ratna. Nina mendengus kecil. Harapannya untuk mencungkil rahsia hati lelaki itu tidak menjadi kenyataan. Dia mendengus lagi.


No comments:

Post a Comment