Followers

Saturday, 5 October 2013

BAB 20 - BERSATU DALAM CINTA

BAB 20

“APA pendapat akak? Akak rasa sesuai tak kalau Riya letak warna ni pada dinding butik Riya tu?” Jari telunjuk Riya sudah menunjal helaian katalog warna cat yang diambilnya dari salah sebuah kedai hardware di bandar.
Wafi berfikir seketika sebelum mengangguk kecil.
“Boleh tu boleh tapi akak cadangkan kamu ambil warna yang lebih lembut sebab warna gelap dan terlalu garang hanya akan menampakkan ruang butik kelihatan kecil dan sempit. Tak sesuai sangat untuk butik kamu yang mempunyai keluasan yang agak besar. Tapi kalau kamu nakkan jugak warna ni, kita boleh selang-selikannya dengan warna-warna lembut.
Cadangan akak, apa kata kalau kita letakkan warna-warna garang seperti warna pilihan kamu ni di sesetengah sudut butik. Ruang selebihnya kita letak warna yang lebih lembut. Jadi ruang yang kita letak warna garang itu akan mampu menonjolkan pakaian dan barang-barang perhiasan yang dipamerkan di situ,” terang Wafi serba ringkas.
Riya mengangguk beberapa kali. Tanda faham dengan keterangan ringkas gadis itu.
So, bila agaknya akak rasa Riya boleh mulakan kerja mengecat butik Riya tu?”
Well, semuanya terpulang pada kamu sendiri. Kalau kamu rasa butik kamu dah bersedia untuk dicat, kita boleh terus mengupah orang melakukanya dalam masa terdekat ni,” sambut Wafi.
Kepala Riya mengangguk lagi. Setuju.
“Kak, boleh Riya tanya akak sesuatu?” Tiba-tiba saja Riya mengubah arah perbualan mereka.
Bulat matanya memandang Wafi yang sedikit terpinga dengan pertanyaan itu. Namun cepat saja dia mengangguk kecil. Tanda memberi izin.
“Kenapa akak jarang sangat keluar ke mana-mana? Kebanyakan masa akak dihabiskan di dalam rumah saja. Apa akak ni memang jenis perempuan yang suka duduk kat rumah aje ya?” jujur Riya bertanya.
Manakala Wafi telah tersenyum kecil. Kepalanya mengangguk lagi.
“Apa nak buat dik. Memang dari dulu lagi akak suka terperap kat rumah aje. Akak lebih selesa bekerja dari rumah, dari bekerja di mana-mana tempat lain.”
“Kak, boleh Riya tanya akak satu soalan peribadi?” Riya sudah merapatkan wajah ke wajah Wafi.
Serta-merta Wafi mengerut dahi. Kaget melihatkan riak wajah wanita itu. Seakan tak sabar-sabar nak bertanya sesuatu padanya.
“Akak dah ada teman lelaki?” tanya Riya tanpa menunggu jawapan gadis itu.
Wafi terus menunduk muka. Buat seketika dia bungkam. Tak tahu nak jawab apa. Terkejut pun ada kerana tak menyangka soalan itu yang akan terluah dari mulut wanita itu. Manakala Riya pula sudah tersenyum kecil.
“Kalau akak dah ada teman lelaki, tak apalah. Tapi kalau tak ada alhamdulillah. Kiranya ada harapanlah untuk kita menjadi satu keluarga nanti,” suara Riya lagi sengaja berkias kata. Memandang Wafi perlahan-lahan melepas nafas.
“Dah lama Riya berkahwin?” Gadis itu terus melencong arah bicara. Tidak mahu perihal dirinya dikorek tanya lagi. Riya mengangguk laju.
“Lamalah jugak, dalam sembilan tahun begitu. Sebenarnya Riya tak terfikir pun nak kahwin awal tapi terpaksa juga sebab Riya dan suami dapat tawaran sambung belajar ke luar negara. Jadi kedua-dua belah pihak keluarga bersepakat kahwinkan kami berdua dan beberapa tahun kemudian kami pulang semula ke sini,” ceritanya ringkas tanpa dipinta.
Wafi mengangguk faham. Dikerling ekor matanya pada jam di dinding rumahnya.
“Okeylah Riya, kalau tak ada apa-apa akak mintak diri dulu ya. Dah pukul 5.00 petang ni. Waktu Asar pun dah lama masuk. Akak naik solat dulu ya,” ujar Wafi setelah hampir sejam menghabiskan masa berbual dengan wanita itu.
Riya mengangguk terus.
“Yalah kak. Riya pun nak mintak diri balik ke rumah. Kejap lagi Salman dah nak balik rumah. Karang bising pulak dia kalau dia tahu Riya berlama-lama kat rumah orang,” sambut Riya turut bangun dari duduknya.
Segera dia menoleh wajah pada Puan Ainun yang tiba-tiba muncul di ruang tamu rumah itu. Sedari tadi wanita itu berada di ruang dapur. Membuat apa yang patut.
“Riya mintak diri dulu ya mak cik,” ucap Riya sambil menghulur tangan.
“Eh, cepatnya nak balik? Kalau iya pun tunggulah kejap lagi,” balas Puan Ainun. Namun huluran wanita itu tetap disambut mesra.
“Tak bolehlah mak cik. Dah lama Riya kat sini. Karang marah pula suami Riya tu nanti. Riya bagitahu dia nak datang kejap aje tadi. Tak sangka dah lama pulak jadinya.”
Riya menghulur tangan pada Wafi pula. Gadis itu menyambut segera.
“Terima kasih kak kerana tolong Riya,” ucapnya.
“Tak payahlah berterima kasih Riya. Dah jadi tanggungjawab akak membantu Riya setakat yang terdaya,” sahut Wafi tersenyum sedikit. Riya juga begitu.
“Kalau begitu Riya balik dulu ya. Kalau ada masa akak dan mak cik datanglah ke rumah mak ya. Kalau nak ke rumah Riya pun tak apa. Bukannya jauh dari sini, hanya sebelah perumahan ni aje,” ucapnya sambil berlalu ke pintu utama rumah.
Puan Ainun mengiringinya hingga ke muka pintu. Sedangkan Wafi hanya melihat tingkah mereka sebelum berlalu ke tingkat atas setelah bayangan Riya menghilang dari situ. Manakala Puan Ainun kembali semula ke ruang dapur. Menyambung kerjanya yang terhenti tadi.

“RAMAI jugak orang yang datang ke gimnasium kau ni ya,” ujar Ainul sambil mengelap peluh yang merenjis muka.
Hampir separuh tubuhnya lencun dengan peluh setelah hampir dua jam memerah tenaga melakukan kegiatan fizikal di pusat gimnasium milik Isma petang itu. Aktiviti yang menjadi kegemaran dia, Isma dan Faris untuk dilakukan setiap kali mempunyai masa terluang.
“Ini kira okeylah kita datang pada hari biasa. Kalau kita datang pada hujung minggu memang sesaklah jawabnya. Silap masa kita kena tunggu giliran untuk buat apa-apa pun,” sambut Isma turut mengelap peluhnya.
“Untunglah kau sebab ada gimnasium sendiri. Bila-bila masa aje kau boleh datang sini bila kau dah bosan dengan kerja kat pejabat. Tak macam aku. Siang malam sibuk membanting tulang kat pejabat tu aje sampai kadang-kadang aku rasa jemu benar nak tengok semua tu lagi,” ujar Ainul membuang pandang ke sekeliling sejenak.
“Tak jugak Ainul. Walaupun gimnasium ni milik aku tapi bukan selalu aku dapat datang ke sini. Macam kau, aku pun sibuk jugak dengan kerja-kerja kat pejabat tu. Jangan kata seminggu sekali, sebulan sekali nak ke sini pun payah. Ada saja kerja yang perlu aku selesaikan kat pejabat tu,” balasnya.
Memandang sekilas Faris yang sejak tadi lebih banyak mendiamkan diri. Seakan berkhayal sendiri. Disiku perlahan lengan lelaki itu. Faris tergadah sedikit.
“Kau kenapa Ris? Dari tadi aku tengok kau macam berangan aje. Awek mana pulak yang kau angankan ni hah?” Belum sempat Isma bersuara, Ainul terlebih dulu melontar soalan. Faris sudah tersengih kelat. Digaru-garu kepala tak gatalnya.
“Aku rasalah wei, aku dah jatuh cinta.”
Kata-kata selambanya menjadikan Ainul dan Isma serta-merta mengalih perhatian padanya. Wajah tersipu-sipu lelaki itu ditatap lama.
Really? Siapa anak dara tu? Mana kau kenal? Cantik tak orangnya?” tanya Ainul terburu-buru. Sedangkan Isma sudah tergelak-gelak kecil.
“Kau ni Ainul, sabar-sabarlah sikit. Kalau iyapun tanyalah satu-satu. Gelojoh betul,” tegurnya sementara Ainul hanya tersengih.
“Orang mana woi?” tanya lelaki itu semula. Kali ini pendek saja soalannya.
Faris tersenyum lebar.
“Dia anak jiran sebelah rumah aku,” sahutnya.
“Lah... anak jiran sebelah rumah rupanya. Kira senanglah kau nak usha dia selalu ya?” usik Isma menyeringai nakal. Manakala Faris sudah memerah wajah. Malu.
“Apa namanya?” soal Ainul pula. Terus menebak mata ke wajah lelaki itu.
“Lailatul Wafi,” jawab Faris sedikit segan.
“Lailatul Wafi? Huih, sedap namanya wei. Macam nama orang Arab aje. Kalau digandingkan dengan nama kau, lagilah sedap jadinya. Lailatul Wafi dan Faris Firdaus. Hmm... satu kombinasi nama yang cukup baik.” Kata-kata Ainul menambahkan lagi rasa segan Faris. Namun dia mengeluh kecil selepas itu.
“Tapi kau orang tak tahu. Susah sangatlah aku nak tackle si Wafi tu. Jangan kata nak cakap, nak tengok muka aku pun dia tak nak. Jauh sekalilah nak senyum kat aku. Macam mana aku nak mengurat dia kalau begitu perangainya.” Ada nada terkilan dalam suaranya. Terkilan dengan sikap yang ditunjukkan gadis itu.
“Alah kau ni, belum apa-apa dah give up. Cubalah dulu kalau iyapun. Kalau dia tak nak bertegur dengan kau, mesti dia ada sebab dia buat macam tu.” Ainul bersuara seakan memujuk. Membakar perangsang sebenarnya.
“Haah. Mana tahu dia tu jenis perempuan yang pemalu tak biasa bercinta sebelum ni ke, mana kau tahu kan? Mungkin sebab tulah dia jual mahal. Esok-esok bila dia dah kenal kau, ramahlah dia.” Isma turut sama memberi kata semangat.
“Pasal tu, ada jugak mak dia bagitahu aku. Kata mak dia, Wafi memang jarang bercakap dengan lelaki. Sebab tu dia susah sikit nak berkenalan atau rapat dengan mana-mana lelaki.” Faris mula termakan dengan kata-kata kedua-dua sahabatnya.
“Hah, tulah sebabnya dia buat layan tak layan kau aje. Kalau aku di tempat kau, aku usahakan jugak sampai dapat dia tapi dengan cara baiklah. Bukan main paksa-paksa atau apa.” Ainul meningkah pantas.
“Aku rasalah Ris, kau patut buat macam ni. Mula-mula kau rapat dengan family dia. Ambil hati mak ayah dia, adik-beradik dia. Dalam masa yang sama kau masukkanlah jarum. Aku gerenti, tak lama manalah dia nak jual mahal pun. Esok-esok tu terbuka jugak hati dia untuk kau bila dia tengok kau bersungguh-sungguh nakkan dia.” Ainul menyambung kata. Siap memberi cadangan lagi.
“Pasal tu, tak ada masalah pada aku sebab aku memang rapat dengan mak ayah dia pun. Kena pulak mak ayah dia tu jenis orang tua peramah, lagilah mudah kerja aku dibuatnya. Kau orang tahu, dia makin rapat dengan adik perempuan aku sekarang ni. Selalu jugaklah dia orang keluar bersama. Dengan mak ayah aku pun ada dia bersembang sepatah dua. Cuma dengan aku aje yang dia buat tak tahu. Lagaknya macam aku ni tak pernah wujud depan dia aje.” Faris merungut seraya meluah rasa terkilannya buat kali kedua. Namun kata-katanya berjaya membulatkan mata Ainul. Pantas saja lelaki itu menyambut.
“Hah, itu tandanya kau ada harapan nak tackle dia. Lagi senang dibuatnya kalau dia dah rapat dengan family kau. Kalau macam tu keadaannya, kau ajelah yang kena main peranannya sekarang tapi jangan sampai over pulak. Karang jangan kata suka, lagi dia meluat kat kau adalah.”
Ainul memusing muka pada Isma pula. Lelaki itu hanya berdiam diri sejak beberapa lama. Seakan berfikir sesuatu.
“Hei Is, kau kenapa? Diam pulak tiba-tiba. Kau teringat siapa pulak ni?” soal Ainul sempat menyiku lengan lelaki itu.
Isma tersentak kecil seraya menggeleng sedikit. Nafasnya dibuang perlahan.
“Kau orang tahu, masa aku balik kampung hari tu, aku ternampak seseorang kat tempat arwah isteri aku suka melepak dulu. Aku terkejut sangat bila tengok muka perempuan tu mirip benar dengan muka arwah isteri aku.
Bukan mirip lagi dah, memang dia agaknya. Ya ALLAH... rasa macam nak tercabut jantung aje aku rasa waktu tu. Aku nak sapa tapi bila aku pergi aje kat tempat dia berdiri tu, terus dia tak ada.” Ceritanya bersungguh-sungguh.
“Kau ni biar betul Is. Takkanlah arwah isteri kau si Kamilia tu hidup balik? Dah bertahun-tahun dia pergi tinggalkan kita. Manalah orang yang dah mati boleh hidup semula Isma Zulkarnain oii.”
Ternyata cerita Isma mengejutkan kedua-dua sahabatnya.
Faris yang bersuara tadi memandangnya dengan riak tak percaya. Ainul juga begitu.
“Ya ALLAH, betul aku cakap Ris. Depan mata aku dia berdiri kat tebing sungai tempat isteri aku suka duduk dulu. Aku nak jerit panggil dia tapi tak tahu kenapa suara aku tak ada langsung waktu tu. Berat benar rasanya mulut aku. Macam ada ketul batu kat dalamnya.” Isma cuba meyakinkan sahabat-sahabatnya.
“Aku rasalah Is, mungkin itu hanya bayangan kau saja. Yalah, kau kan rindu sangat pada arwah Kamilia. Sebab tulah kau boleh ternampak bayang dia kat situ. Kena pulak tempat yang kau pergi tu tempat kegemaran dia. Rembang petang pulak tu. Lagilah.” Seperti Faris, Ainul juga tidak dapat mempercayai kata-kata lelaki itu.
“Betul tu Is. Mungkin kau terlalu rindukan arwah Kamilia sebab tulah kau ternampak bayang dia masa kau kat sungai tu. Aku rasa semua tu hanya khayalan kau aje,” sampuk Faris lembut. Tidak mahu menyinggung perasaan sahabat yang telah lama dikenali itu. Wajah buntu Isma dipandang lama.
“Aku pun sebenarnya fikir perkara sama. Tapi lepas tu aku yakin sangat yang aku tak bermimpi sebab aku jumpa kesan tapak kaki perempuan kat situ. Kesan tu masih elok lagi. Macam baru wujud kat situ,” balas Isma cepat.
“Boleh jadi kesan tapak kaki tu kepunyaan orang lain yang datang ke situ dan kau pulak terbayang wajah isteri kau kat wajah orang tu. Sebab tulah kau terfikir orang yang datang ke sungai tu adalah arwah isteri kau,” sangkal Ainul segera.
Isma terdiam seketika. Cuba mencerna kebenaran sanggahan kedua-dua sahabatnya.
“Aku fikirlah Is, baik kau lupakan saja apa yang kau ternampak hari tu. Semua tu hanya khayalan kau saja. Mustahil Kamilia hidup semula. Dah bertahun-tahun arwah isteri kau tu meninggal dunia. Jasad dia pun dah lama tersimpan di kawasan perkuburan kat kampung tu. Mana mungkin dia boleh wujud lagi Is walhal dia telah lama berada di alam bazakh sana,” nasihat Faris pula.
Isma perlahan-lahan mengangguk. Cuba menerima kata-kata mereka biarpun hatinya masih kuat mengatakan pandangannya tidak silap hari itu.
Dia pasti memang Kamilia yang dilihatnya waktu itu. Dia begitu pasti! Bagaimanapun rasa itu hanya disimpan dalam hati. Tidak lagi diluah keluar memandangkan dia yakin. Ainul dan Faris pasti tidak dapat menerimanya.
Lalu dia kembali membuka mulut. Melencong isi bicara mereka berkenaan perkara lain. Sekali gus merancakkan semula perbualan ketiga-tiga lelaki itu sebagaimana biasa.

HARI telah petang. Matahari telah lama membenam di kaki langit. Memberi petanda tugasnya hari itu bakal berakhir tidak lama lagi. Memberi izin pada sang malam untuk mengambil giliran sebelum muncul semula buat keesokannya. Pusingan hidup yang terus-terusan berlaku hingga kiamat selagi diizinkan-NYA.
Ainul memperlahankan gerakan keretanya tatkala terpandang lampu isyarat bertukar merah di depan. Sambil menunggu lampu bertukar warna, dia membuang pandang ke sekeliling. Tidak banyak kenderaan yang melalui jalan besar itu ketika ini.
Menjadikan suasana jalan kelihatan lengang dan sedikit sepi memandangkan waktu pejabat telah lama berlalu. Kedengaran pula Azan Maghrib berkumandang dari masjid terdekat. Menandakan waktu untuk menunaikan perintah DIA yang Satu kembali semula buat kesekian kali. Sekali gus menenangkan hati Ainul yang kehabisan tenaga setelah seharian menghabiskan masa di pejabat.
Gerak mata Ainul terhenti di satu arah tatkala matanya terpandang sepasang suami isteri di pinggir jalan. Sambil menanti kedatangan bas, kedua-duanya berbual mesra. Dua pasang mata milik mereka turut diliarkan. Memerhati gelagat kedua-dua anak kecil yang saling bergurau senda di sisi mereka.
Sesekali kedengaran si ibu meninggi suara bila anak lelakinya terus-terusan mengusik si adik. Mencetuskan tangisan anak perempuan comel itu. Tanpa banyak bicara, si ayah terus mendapatkannya. Mendukung dan memujuk sebelum tidak lama kemudian anak kecil itu kembali tertawa girang. Lupa pada kesedihannya dan kembali bergurau senda dengan si abang yang masih tidak jemu mengusik adik kesayangan.
Ainul tersenyum panjang. Hatinya sedikit tercuit tatkala melihat tingkah empat beranak itu. Tidak semena-mena dia teringat pada impiannya suatu ketika dulu. Impian yang dianyam bersama wanita pertama yang bertakhta di hatinya. Alia. Kedua-dua mereka pernah membina impian sama. Ingin mempunyai sepasang anak lelaki dan perempuan yang comel dan keletah.
Malah jika diizinkan, mereka ingin lebih dari itu. Biar menjadi seramai mungkin agar rumah tangga yang dibina atas dasar cinta itu meriah dan ceria dengan kehadiran permata hati tanda cinta mereka. Saling bantu-membantu dalam membesar dan mendidik semuanya agar menjadi manusia yang berguna baik di dunia mahupun akhirat. Sayang, semuanya hanya tinggal impian apabila mereka berpisah. Masing-masing hidup di jalan pilihan sendiri kini.
Sekali gus menimbulkan semula rasa geram dan kecewa di hati Ainul sebaik teringatkan semua itu. Serta-merta dia merengus marah. Kurang senang dengan apa yang sedang difikir akalnya ketika ini. Lalu dengan kadar segera dia menghilangkan bayangan Alia dari terus bertapak di mindanya.

Laju saja tangannya menukar kedudukan gear tatkala lampu isyarat telah bertukar warna. Dia terus menekan minyak seraya memecut pergi. Meninggalkan segala kenangan yang turut hilang dalam perjalanan pulangnya. 

No comments:

Post a Comment