Followers

Saturday, 5 October 2013

BAB 1 - SETIAKU DISINI

BAB  1

Dhia melepas pandangan ke luar tingkap yang tertutup rapat. Untuk seketika dia meninjau kepala ke luar. Telah beberapa kali dia berbuat begitu. Mengharap ada sesuatu yang dapat menghilangkan rasa yang bergendang di hatinya saat ini.
Namun semua itu tidak berlaku. Hanya kepulan awan memutih yang melayari pemandangannya. Menyisip di celah kebiruan langit memukau pandangan. Tanpa sedar dia mengeluh panjang. Bosan dengan penerbangan yang memakan masa begitu lama.
Matanya melirik ke sekeliling ruang dalam kapal terbang yang sunyi. Kebanyakan penumpang telah lama dibuai mimpi termasuk penumpang di sisinya. Waktu perjalanan yang panjang membuatkan ramai di antara mereka memilih untuk merehatkan mata dan menenangkan fikiran dengan cara sebegitu. Hanya segelintir yang masih leka dengan aktiviti masing-masing.
Senyuman manis diberi tatkala bola matanya berlaga dengan bola mata pramugari dan pramugara yang tidak jemu melayan karenah para penumpang yang pelbagai. Memberi perkhidmatan terbaik sebagaimana yang diharapkan semua.
Bosan memandang sekeliling, Dhia menarik majalah yang ada di depan mata. Diselak beberapa kali. Mencari sesuatu yang boleh menarik minatnya untuk terus meletak mata di situ. Namun tak lama majalah di tangan disimpan semula ke tempatnya. Kebosanan kembali menerjah diri. Dhia mengeluh lagi.

“Assalamualaikum,” Farhan memberi salam sebaik sahaja kakinya memijak tangga batu rumah. Dibuka kasutnya. Diletak ke rak kayu di tepi tangga. Dia menguak perlahan daun pintu kayu jati yang tidak tertutup rapat.
“Mak,” panggilnya. Memandang sekeliling ruang tamu rumah yang dibungkus sepi. Tiada kedengaran sebarang bunyi. Hanya dentingan jam yang melekat di dinding kedengaran di ruang telinganya. Di atur langkahnya ke ruang dapur rumah.
“Mak…” Farhan kembali bersuara sebaik matanya terpandang seseorang yang berdiri membelakanginya. Dia melangkah mendapatkan wanita itu. 
Puan Wardah segera menoleh. Sempat jari-jemarinya menyapu wajah yang sedikit kebasahan sebelum berpusing tubuh. Tersenyum panjang memandang Farhan yang kini berdiri di depannya.
“Eh Han, bila balik? Mak tak dengar pun bunyi kereta,” ujar Puan Wardah lembut. Mempamerkan senyuman semanis mungkin buat anak kesayangan.
“Baru saja mak,” balas Farhan perlahan. Mata lelakinya melekat pada wajah bersih itu. Masih ada palitan air mata yang berbaki di wajah itu.
“Mak menangis?” soal Farhan.
“Eh, mana ada mak menangis. Mata mak masuk sampah tadi,” cepat saja Puan Wardah menangkis. Memberi alasan lapuk yang sering disuarakannya. Sisa airmata yang masih bertempelan di wajah disapu segera.
“Iya ke?” Farhan mengangkat sedikit kening kanannya. Tidak percaya. Matanya masih melekat di wajah yang sentiasa murah dengan senyuman itu.
Sememangnya dia begitu mengerti dengan sikap Puan Wardah yang jarang menunjukkan kesedihannya di depan orang lain. Jauh sekali di depan anak-anak. Walaupun wanita itu tidak memberitahu namun Farhan dapat mengagak punca wanita itu mengalirkan air mata. Bukan sekali malah bagaikan telah menjadi satu rutin perkara itu berlaku setiap hari.
Begitu pun Farhan tidak mampu melakukan apa–apa untuk menyelesaikan perkara yang telah lama berakar umbi dalam kehidupan keluarganya. Perkara yang sehingga kini tiada jalan penyelesaiannya. Semuanya berlaku sejak wanita itu hadir dalam kehidupan Farhan sekeluarga.
Farhan sendiri tidak pernah menganggap kehadiran Puan Wardah adalah punca perkara itu berlaku. Walau pun Puan Wardah hanya ibu tirinya namun Farhan tetap menganggap wanita itu seperti ibu kandungnya sendiri lantaran Puan Wardah begitu menyayangi dirinya dan adik-adiknya.
“Yalah Han, takkan mak nak tipu pula,” balas Puan Wardah. Senyumannya masih terukir di wajah yang kini berubah ceria.
“Han dah makan? Mak  ada masakkan makanan kegemaran Han,”
Bijak Puan Wardah mengalih butir perbualan mereka. Memandang sejenak wajah Farhan yang jarang benar mempamerkan senyumannya. Mengerti dengan sikap pemuda itu yang sedari dulu sentiasa berwajah serius hampir setiap masa. Kecuali bersama adik-adiknya.
“Tak apalah mak, kejap lagilah Han makan. Oh ya mak, ayah mana?” Farhan kembali meninjau ke ruang tamu rumah yang terletak bersebelahan ruang dapur rumah.
“Ayah kamu belum balik lagi. Mungkin lewat sikit dia balik hari ni,” balas Puan Wardah cepat.
“Nenek?”
“Nenek dalam bilik. Solat Asar,” sahutnya lagi.
Farhan mengangguk kecil.
“Tak apalah mak, Han naik atas dulu ya. Han belum solat Asar lagi ni,” ujarnya meminta diri. Sempat lagi matanya melirik sekilas wajah Puan Wardah sebelum memanjat tangga menuju ke tingkat atas rumah. 
Puan Wardah hanya memandang langkah–langkah Farhan yang semakin menghilang.  Dilepas perlahan keluhannya. Mengerti dengan maksud lirikan anak tirinya itu. Sedar, pemuda itu tahu apa yang bergolak di hatinya saat ini. Namun tak lama wanita itu kembali tersedar. Dia berada di alam nyata semula. Tangannya kembali ligat membuat kerjanya yang tertangguh sebentar tadi.
Farhan mengatur langkah menuju ke bilik. Langkahnya terhenti tatkala kakinya melintasi sebuah bilik bersebelahan bilik tidurnya. Dijenguk kepalanya di balik pintu yang sedikit terbuka.
“Hei adik–adik abang buat apa ni hah?” suara Farhan sedikit menyergah. Memandang kedua adiknya yang ternyata terkejut dengan sergahan itu.
“Eh, Abang Han dah balik!” hampir serentak Fakhira dan Fadlan menjerit ceria sebelum meluru memeluknya. Meninggalkan segala alat mainan yang berselerakan di ruang bilik.
Farhan membalas mesra.
“Abang, abang tahu. Tadikan, mak gaduh lagi dengan nenek tahu. Kesian mak, menangis lagi dia bang,” laju Fakhira memberi laporan. Galak matanya memandang wajah Farhan. Lelaki itu hanya memandang keduanya silih berganti.
“Haah abang Han, nenek marah–marah kat mak. Teruk betullah nenek tu. Nak je adik tumbuk muka dia tadi,” Fadlan turut mencelah kata. Penuh geram. Mengenggam erat penumbuk kecilnya.
Farhan menghembus nafasnya perlahan.
“Ala, nenek tu bukannya marah tapi dia bagi nasihat aje tu,” Farhan membalas lembut. Tidak mahu adik-adiknya berfikiran negatif terhadap apa yang di lihat walau dia sedar semua itu adalah benar.
“Eleh, bagi nasihat apa begitu sampai tengking–tengking mak,” sahut Fakhira cepat. Dicebik bibirnya sedikit. Sekaligus mengundang anggukan laju Fadlan yang memandang.
“Dah, dah, abang tak nak dengar lagi kau orang berdua bercakap lagi pasal hal tu. Sekarang ni, kamu berdua pergi mandi, lepas tu kita solat Asar sama-sama ya. Cepat,” suara Farhan pantas. Sedikit tegas.
“Solat Asar? Kita orang dah solatlah bang,” jawab Fadlan manja.

“Okey, kalau macam tu, sementara menunggu abang Han mandi dan solat Asar, apa kata kalau kau orang berdua kemaskan bilik ni dan kemudian pergi mandi. Nanti kita solat Maghrib sama–sama. Hurry up,” tegas Farhan. Memandang tajam keduanya yang pantas mengangguk. Farhan berlalu dengan senyuman panjang.

No comments:

Post a Comment