BAB
20
AKHIRNYA peperiksaan
Sijil Pelajaran Malaysia berlalu jua. Membawa seribu kegembiraan pada mereka
yang telah bertungkus lumus melakukan yang terbaik sejak awal.
Terselit
bersama kesayuan kerana terpaksa meninggalkan alam persekolahan yang berakhir
setakat itu. Walaupun laluan untuk mencari ilmu pengetahuan masih terbentang
luas namun tidak akan sama seperti di zaman persekolahan. Zaman yang mustahil
dapat ditempuhi semula biarpun hidup beribu-ribu tahun.
Farah
membuka tingkap bilik seluasnya. Disedut udara pagi seboleh yang mampu. Matanya
dibiar berkeliaran ke persekitaran asrama yang lengang dan sunyi. Dia mahu
menikmati segala-galanya untuk kali terakhir sebelum meninggalkan sekolah itu
selama-lamanya. Ada keriangan bergendang bersama rasa tidak sabar di ruang
dada. Tidak sabar menempuh alam baru yang bakal muncul dalam kehidupannya tidak
lama lagi. Alam yang membawa lebih banyak rintangan dan halangan dalam melalui
landasan hidup yang masih tidak tentu di mana penghujungnya.
Namun
kesayuan lebih membelit hati ketika ini. Sayu mengenangkan diri bakal
meninggalkan alam persekolahanyang merakam pelbagai kenangan manis dan pahit.
Kenangan yang tidak mungkin dapat diperoleh semula buat kali kedua sampai
bila-bila. Mengingatkan itu hati Farah kembali diruntun sebak.
Zaman
remajanya bermula di sini. Di tempat dia dan teman-temannya mencari ilmu
pengetahuan dan pengalaman buat bekalan di masa depan. Tempat di mana telah
menyimpan pelbagai pengalaman hidup mereka yang masih mentah dalam mengenal
cabaran dunia.
Bunyi
tapak kaki membuatkan Farah mematikan lamunan lalu berpaling. Dilihatnya Balkis
menghampirinya. Lalu berdiri di sebelahnya.
“Dah
siap kau kemas semua barang Farah?” soal Balkis.
Farah
mengangguk lesu.
“Cuma
tunggu abang-abang aku datang ambil aje lusa pagi,” ujar Farah sayu.
“Mereka
yang lain dah siap berkemas ke?” soal Farah.
Giliran
Balkis mengangguk.
“Dah.
Dia orang tengah berbual-bual kosong aje sekarang sementara tunggu mak dan ayah
nak datang esok lusa,” jawab Balkis lemah lalu berpaling tubuh ke tingkap
bilik.
Mereka
terdiam seketika. Sama-sama melihat pemandangan asrama yang tidak akan dapat
dilihat lagi di masa akan datang.
“Farah,
kau takkan lupakan aku kan?” tanya Balkis tiba-tiba.
“Kenapa
kau tanya macam tu? Tentulah aku takkan lupakan kau. Kau sahabat baik aku
Balkis. Sama seperti yang lain. Lagipun bukan ke kita semua dah berjanji yang
kita akan tetap bersahabat sampai bila-bila. Kalau tak, tak adalah kita semua
mohon masuk ke matrikulasi yang sama hari tu,” ucap Farah sungguh-sungguh.
“Kadang-kadang
aku tak percaya yang kita dah pun sampai ke penghujung sekolah. Rasa macam baru
semalam aje kita semua mendaftar masuk ke sini. Tak sangka, sehari dua
lagi kita semua akan berpisah. Tapi aku bersyukur sangat sebab kita semua akan
bertemu lagi kat universiti nanti. Aku, kau, Laila, Haiza, Marya, Jeslynn,
Regina, Izrin, Asyikin dan Marina akan berada di matrikulasi yang sama tak lama
lagi,” jawab Balkis ceria walaupun rasa sayu lebih mencengkam hati ketika ini.
“Betul
Balkis. Kita akan sama-sama ke universiti nanti tapi aku sedih sangat sekarang.
Aku tak sanggup nak tinggalkan sekolah kita ni. Dah banyak sangat kenangan yang
kita cipta di sini. Pahit manis zaman remaja, segalanya tercipta kat sini.
Rasanya sampai ke mati pun aku takkan lupakan sekolah kita ni,” ucap Farah
sebak.
Sayu
untuk mengucapkan selamat tinggal pada dunia persekolahannya.
“Bukan
kau aje yang rasa macam tu tapi kita semua jugak sama. Tak ada siapa yang akan
dapat lupakan kenangan mereka di zaman persekolahan walaupun dah lama berlalu.
Macam aku. Nilah satu-satunya tempat yang banyak memberi aku saat kehidupan
yang cukup bahagia. Kat sini aku belajar erti susah, erti bahagia dan yang
paling aku hargai, aku mendapat permata paling berharga dalam hidup selain dari
ibu iaitu kau, sahabat baik aku dunia akhirat,” ujar Balkis dengan air mata
yang mengalir.
Begitu
juga Farah.
“Jangan
cakap macam tu Balkis. Aku sebenarnya yang bertuah kerana mempunyai sahabat
seperti kau, sanggup berkongsi segala suka duka hidup dengan aku selama ini.
Begitu memahami keadaan aku yang serba kekurangan ni,” ujar Farah sambil
mengelap air mata.
Tidak
mahu kesedihan terus-terusan menyelubungi mereka.
“Oh
ya Farah. Lupa aku nak beritahu. Tadi Marya ajak kita keluar dengan dia orang
yang lain ke bandar pagi esok. Yalah, lusa kan kita semua dah nak balik ke
rumah masing-masing sebelum mendaftar di universiti nanti. Kau nak ikut tak?”
soal Balkis, menukar topik perbualan.
Dia
turut mengelap air mata yang mulai kering.
Farah
mengangguk.
“Kau
ikut sekali ya?” soal Farah
Dia
tersenyum tatkala Balkis mengangguk laju.
“YA ALLAH,
penatnya badan aku. Macam nak mati rasanya,” ujar Faizam.
Dia
menghempas tubuh ke katil yang telah dicabut keluar cadarnya. Hanya
meninggalkan tilam dan dua biji bantal yang turut kehilangan sarungnya.
“Kau
ni Zam, baru kemas barang sikit dah pancit. Bukannya banyak mana pun
barang-barang kau tu,” balas James dalam mengah.
Dia
sendiri kepenatan setelah seharian mengemas barang-barang.
“Dah
masuk sepuluh kotak besar aku bungkus tapi masih ada barang-barang aku kat luar
ni kau kata tak banyak? Apa mata kau dah buta ke sampai tak nampak banyak mana
barang aku dah kemas?” marah Faizam sambil menjegil mata.
James
tersenyum kelat.
“Ala
Zam, biasalah tu. Nama pun dah lima tahun tinggal kat sini, macam mana tak
boleh banyak barangnya. Lagi pulak buku-buku kita tu. Takkan nak buang semuanya
walaupun dah tak guna lagi nanti,” sampuk Raymond yang turut tercungap-cungap
kepenatan.
“Tu
aku tahu tapi penatlah. Dah seminggu aku berkemas tapi barang-barang aku masih
ada lagi sampai aku rasa nak buang aje. Tapi bila fikir balik sayang pulak nak
buang,” balas Faizam sambil memandang ke seluruh bilik yang nampak
kosong. Sejak beberapa hari lepas mereka bertiga bersama Irwan Putra sibuk
berkemas lantaran mereka bakal meninggalkan Sekolah Seri Putra tidak lama lagi.
“Kau
ni Zam, cakap macamlah kau seorang aje yang kemas. Apa kau fikir kita orang ni
duduk goyang kaki aje? Biar semua barang tu melata masuk sendiri ke dalam kotak
tu? Kita orang pun penat jugak tau,” sela James.
Giliran
Faizam tersengih kelat.
“Hei
kau orang, Farah baru call aku. Dia ajak kita keluar ramai-ramai pagi
esok. Aku kata okey aje. Macam mana kau orang?” soal Irwan Putra yang baru
selesai berbual di telefon bimbit.
“Okey
jugak tu. Kita pun dah lama tak pergi bandar. Kali terakhir kita keluar pun dua
bulan lepas, sebelum ambil exam. Lepas tu mana ada lagi kita ke sana.
Asyik study aje. Ni dah ada peluang keluar. Dengan anak-anak dara
pulak tu. Nak ajelah aku,” balas Raymond.
“Amboi
kau Ray. Pantang Farah ajak keluar, nak aje kau ya. Tapi okey jugak tu. Esok
lusa kita dah nak balik rumah masing-masing. Tak tahu bila lagi boleh jumpa,”
balas James pula.
“Iyalah
tu James. Konon bila lagi boleh jumpa,” tempelak Faizam.
“Dua
tiga minggu lagi kita berempat boleh jumpa semua anak dara tu kat USM tau. Apa
kau dah lupa kita dapat tawaran ke matrikulasi yang sama dengan dia orang?”
sambung Faizam.
“Wan,
kau mesej kat Farah beritahu dia, kita berempat tunggu dia orang kat tengah
bandar esok pagi,” arah Faizam.
“Wei
Zam, apasal nak tunggu dia orang kat tengah bandar pulak? Kita kan boleh pergi
sekali dengan dia orang. Suruh ajelah dia orang tunggu kat luar pagar sekolah
dia orang macam biasa,” ujar James pula.
“Nak
tunggu kat pagar sekolah buat apa James? Bukan ke kita nak pergi pejabat
pos dulu esok pagi? Kau jugak kata nak pos semua barang kau. Tahulah tak sabar
nak jumpa buah hati kau si Jeslynn tu tapi kut iya pun siapkanlah kerja kita ni
dulu,” ujar Faizam mengingatkan.
James
tersengih sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
“Ya
tak ya jugak. Kita kan nak pergi pejabat pos esok. Lupa pulak aku.Wan, kau
buatlah macam yang Zam suruh. Kita tunggu dia orang kat tengah bandar lepas
balik dari pejabat pos esok,” arah James pada Irwan Putra yang mengangguk buat
kali kedua.
No comments:
Post a Comment