BAB 13
“ASSALAMUALAIKUM.”
Lembut lagi sopan gadis itu memberi salam. Sedangkan kedua-dua tangannya masih
kejap menatang sesuatu. Dia memberi salam lagi bila tiada sahutan.
Tidak
lama kemudian, kedengaran seseorang menjawab salam dari dalam rumah banglo itu
sebelum kepala Puan Fatimah terpacul di muka pintu.
“Apa
khabar mak cik?” Lembut Wafi menyapa.
Dia
tersenyum sedikit seraya menunduk kepala bila terpandang pandangan terbeliak
Puan Fatimah. Seakan tidak percaya gadis itu berada di muka pintu rumahnya
ketika ini.
“Ba...
baik, jemputlah masuk Wafi,” pelawa Puan Fatimah sedikit tergagap.
Dalam
pegun tangannya masih laju membuka daun pintu selebar mungkin dengan raut wajah
tak terkira gembiranya. Wafi hanya mengangguk.
“Tak
apalah mak cik. Kat sini saja. Wafi datang ni pun sebab nak bagi kuih ni pada
mak cik. Mak minta Wafi tolong hantarkan.”
Wafi
mengunjuk sepinggan kuih yang sejak tadi berada di tangannya.
“Eh,
kalau iya pun masuklah dulu. Bolehlah kita berbual-bual kejap. Mak cik pun
tinggal seorang diri aje ni. Pak Cik Rais kamu belum balik kerja lagi. Anak mak
cik, Faris tu pun sama. Selagi matahari tak tenggelam selagi tulah tak nampak
muka dia orang kat dalam rumah ni,” ajak Puan Fatimah penuh ramah.
Wafi
hanya mengangguk.
“Marilah
masuk Wafi. Alah, tak payah segan-segan. Buat saja macam rumah sendiri,” pelawa
wanita itu lagi. Begitu beriya-iya.
Wafi
akhirnya beralah jua. Tidak sampai hati pula dia menolak ajakan beriya-iya
wanita peramah itu.
Lambat-lambat
dia menapak ke dalam. Sambil itu matanya melepas pandangan ke sekeliling rumah
yang kali pertama di kunjunginya. Tangannya pula terus menghulur pinggan kuih
kepada Puan Fatimah buat kali kedua.
“Kuihnya
mak cik.”
“Terima
kasih. Buat susah-susah saja mak kamu bagi kuih pada mak cik sekeluarga.”
Dengan
senang hati Puan Fatimah menyambut.
“Duduk
dululah ya Wafi. Mak cik buat air kejap ya,” sambungnya tergesa-gesa ke dapur.
“Eh,
tak payahlah mak cik. Buat susahkan mak cik aje.” Pantas saja Wafi menolak.
“Apa
pulak tak payahnya? Bukannya selalu pun kamu datang ke sini. Sesekali kamu
minum air buatan mak cik pulak apa salahnya, kan? Bolehlah kita berbual sambil
minum nanti.”
Puan
Fatimah langsung menghilang dari situ. Meninggalkan Wafi yang masih memacak
tubuh di tengah ruang tamu rumah.
Dia
terus membuang mata ke sekeliling. Terasa tenang hatinya melihatkan hiasan
rumah yang kelihatan begitu ringkas dan kemas itu. Perjalanan mata Wafi
terhenti di satu tempat tatkala dia terpandang sekeping lukisan tergantung
kemas di sudut dinding. Laju kakinya menapak ke situ. Melekap lama retinanya di
lukisan besar itu.
“Lukisan
tu anak lelaki mak cik, Faris yang beli masa dia belajar kat luar negara dulu.”
Suara Puan Fatimah tiba-tiba melangkah keluar ke ruang tamu itu mengejutkan
Wafi.
Gadis
itu tersentak. Segera dia berpaling. Memandang Puan Fatimah sudah meletak
sedulang minuman di meja.
“Cantik
lukisan tu mak cik,” puji Wafi sebelum mendapatkan wanita itu. Melabuh
punggungnya di depan Puan Fatimah di sofa.
Puan
Fatimah mengulum senyuman lebar.
“Sejak
kecil lagi Faris memang suka pada lukisan tapi tulah, bakat melukis pulak yang
dia tak ada. Bukan dia tak usaha nak belajar melukis tapi agaknya memang bukan
rezeki dia dalam bidang tu. Sampai ke hari ni dia masih cuba melukis tapi tak
pernahnya menjadi. Buat sakit mata aje kalau tengok hasil lukisannya tu pun,”
seloroh Puan Fatimah sudah meluah tawa.
Wafi
hanya menguntum senyuman pendek. Itu pun seketika saja.
“Wafi
memang suka melukis ke sejak kecil? Atau Wafi mula belajar tentang lukisan
ketika di universiti?” soal Puan Fatimah bila melihat anak gadis jirannya hanya
membeku lidah. Sambil itu dia menghulur secawan teh pada gadis itu.
Wafi
menyambut seraya mengucap terima kasih.
“Wafi
memang suka melukis sejak kecil lagi mak cik. Tak pernah pulak Wafi terfikir
nak jadikannya sebagai satu kerjaya bila dewasa. Tapi siapa sangka, bidang ni
jugaklah akhirnya yang memberi rezeki pada Wafi sampai ke hari ini,” ujar Wafi
dengan rasa rendah diri.
Sedar
tentang pemikiran setiap manusia yang mempunyai pandangan berbeza dalam semua
perkara. Apatah lagi pada bidang seni lukis yang sering dianggap ramai sebagai
salah satu cabang seni yang tidak mampu memberi pulangan setimpal pada
penceburnya.
“Itu
dah kira okeylah Wafi. Sekurang-kurangnya kamu masih mempunyai pendapatan kamu
sendiri dan tak bergantung harap pada orang lain untuk mencari rezeki. Sebagai
manusia, bukan menjadi hak kita untuk tentukan dari mana datangnya rezeki tu
tapi kita perlu berusaha mendapatkannya. Asalkan rezeki itu halal dan diberkati,
pekerjaan yang kita lakukan itu bukan lagi menjadi satu penghalang buat kita
mencari rezeki sebanyak mungkin.
Kita
tak perlu menyesal dengan apa yang kita miliki sekarang kerana kita perlu
sedar. ALLAH telah mencipta pelbagai perkara dalam dunia ini dan setiap satunya
mempunyai faedahnya yang tersendiri buat kita semua. Segalanya terpulang pada
kita sendiri bagaimana menggunakannya supaya semua itu membawa manfaat kepada
diri kita.” Lembut lagi panjang lebar Puan Fatimah meluah kata-kata nasihatnya.
Matanya
sejak tadi tidak berganjak dari wajah Wafi, gadis yang telah mencuri hatinya
sejak kali pertama pertemuan mereka itu.
“Macam
anak lelaki mak cik si Faris tulah. Walaupun dia tak pandai melukis tapi dia
tak anggap itu sebagai penghalang untuk dia terus meminati bidang seni lukis
sampai ke hari ini. Bagi dia, kalau tak dapat melukis, dapat tengok orang
melukis pun jadilah,” sambung wanita itu lagi terus-terusan mengukir senyuman.
Wafi
hanya mengangguk. Senang dengan kata-katanya.
“Eh,
kenapa pandang saja air dan kuih tu? Jemputlah minum. Kuih tu mak cik baru saja
buat awal pagi tadi. Jamah-jamahlah ya,” pelawa Puan Fatimah bila dilihat
hidangan di depan tidak terusik sejak tadi. Dia sendiri mula mencapai cawannya
seraya mencicipnya sedikit. Wafi juga berbuat demikian.
BEGITU
berhati-hati dia memandu kereta
kesayangannya. Merentasi satu denai kecil sebelum terus melalui sebuah jambatan
kayu. Sempat matanya mengerling ke sekitar. Menatap kehijauan alam yang indah
lagi menenangkan. Kelihatan sungai terbentang di kiri dan kanan laluannya. Dia
tersenyum sendiri.
Segera
dia membelok keretanya ke satu arah sebaik sahaja merentasi jambatan. Dia
melompat keluar dari kereta setelah enjinnya dimatikan. Perlahan-lahan
langkahnya di atur. Menapak ke tebing sungai sebelum membenam mata di aliran
deras air. Dilabuh punggungnya di salah satu batu besar yang ada di pinggir
tebing setelah kaki seluar denimnya dilipat tinggi seraya membuang pandangan ke
seluruh kawasan.
Terasa
ketenangan menerjah hati kala ini. Ketenangan yang jarang dapat dinikmatinya
ketika berada di ibu kota. Sedang rembang petang sudah lama mewarnai suasana.
Menandakan malam bakal mengambil alih alam beberapa jam lagi.
Melekakan
Isma yang masih terpegun dengan keindahan alam ciptaan ILAHI di sekelilingnya.
Kedamaian yang sedang dirasainya ketika ini menjadikan kenangan lalu mudah
sekali meresap ke mindanya.
Perlahan-lahan
mindanya menggali semula nostalgia yang pernah diciptakannya di sini. Di sungai
yang sehingga kini masih tidak berganjak dari tempatnya. Masih setia memberi
khidmat pada seluruh makhluk ALLAH meskipun perkhidmatannya jarang-jarang
dihargai.
Isma
masih ingat. Pertemuannya dengan arwah Kamilia bermula di sini walaupun tidak
secara langsung. Cinta mereka berputik di sungai tua ini. Ketika itu arwah
Kamilia sedang berlari-lari kecil di permukaan batu-batu. Leka wanita itu
bermain dengan anak-anak ikan di tebing sungai.
Hingga
tanpa sedar dia telah tergelincir dan hampir dihanyutkan arus deras sungai. Dan
Isma yang kebetulan mengikut Khuzairi pulang ke kampung ketika itu telah
menjadi pahlawannya. Menyelamatkan wanita itu dari terus hilang ditelan arus.
Kejadian
itu akhirnya membibitkan cinta pandang pertama buat kedua mereka. Cinta yang
akhirnya dibawa hingga ke jinjang pelamin beberapa bulan kemudian. Biarpun
semua itu hanya tinggal kenangan. Namun sehingga kini segalanya masih terasa
segar di minda Isma yang begitu merindui pemergian isteri tersayang. Apapun dia
tetap sedar. Hidup perlu diteruskan biar apapun berlaku.
Mata
Isma masih melata di persekitaran. Merayap ke setiap celahan alam yang mampu
ditangkap sepasang retinanya. Sesekali dia menoleh ke langit. Melihat matahari
yang sudah condong ke barat. Menandakan tidak lama lagi persekitaran bakal
dibungkus malam. Tidak mahu terus diulit masa silam Isma bangun dari duduknya.
Dia
baru berkira-kira ingin menapak ke kereta tatkala matanya terpandang seseorang
di hilir sungai. Tidak jauh dari tempatnya berada. Lama matanya melekat di
batang tubuh itu. Hatinya bagai diragut keluar dari tubuh tatkala retina Isma
terpandang wajahnya sebaik sahaja tubuh itu berpaling arah.
“Kamilia...”
Tanpa sedar nama itu terkeluar dari mulutnya.
Ditenyeh
kelopak matanya beberapa kali. Sementara pandangan Isma masih melekat di wajah
itu. Kakinya terus lincah menapak tatkala batang tubuh itu mula meninggalkan
kawasan itu. Sedaya-upaya dia mempercepatkan langkah. Cuba menghampirinya namun
dalam sekelip mata tubuh itu menghilang dari pandangan.
“Manusia
atau?” Minda Isma berfikir sendiri.
Mula
dia berprasangka yang bukan-bukan biarpun hatinya kuat mengatakan pandangan itu
bukan khayalannya. Jauh sekali bayangan yang tidak sepatutnya.
“Tapi
mustahillah dia hantu? Takkanlah waktu-waktu Asar begini pun ada hantu?” Satu
per satu soalan mula menjengah kepalanya.
Tanpa
berfikir panjang, Isma kembali berlari-lari anak di sepanjang tebing. Terus ke
tempat di mana matanya melihat kewujudan batang tubuh itu. Dipandang sekeliling
dengan begitu teliti. Mencari bahan yang boleh dijadikan bukti kewujudan
sebenar tubuh yang dilihatnya sebentar tadi.
Pencarian
Isma terhenti tatkala matanya terpandang kesan tapak kaki di pinggir tebing.
Tidak jauh dari tempatnya berdiri. Pantas dia mendapatkannya. Melihatnya dengan
lebih dekat. Jelas terpapar kesan tapak kaki milik seseorang di situ. Masih
baru dan kelihatan basah. Diukur dengan tapak kakinya. Lagi kecil dari tapak
kaki aku, desis hatinya.
Bermakna
batang tubuh yang dilihatnya tadi benar-benar wujud. Tapi, betulkah dia
Kamilia? Atau itu mata aku yang tersilap pandang? Mungkin jugak hati aku
terlalu rindukan isteri aku hingga membayangkan wajah Kamilia di wajah orang
yang aku tak tahu gerangannya? Isma mula bingung.
Dengan
hati bergumpal pelbagai rasa dia kembali mendapatkan keretanya. Perlahan-lahan
dia meninggalkan tempat itu tidak lama selepas itu. Sedang bayangan wajah yang
dilihatnya tadi masih berkeliaran di minda.
DITUMBUK
kuat bantal peluknya beberapa kali.
Bengang dengan keadaan yang dihadapinya sekarang. Rasa marahnya dan geram masih
bergelumang dalam hati. Marah pada si ayah yang ternyata masih berangin dengan
sikapnya sejak beberapa hari lalu. Juga pada si musuh yang baginya telah
menghidupkan perang dingin ini.
Menjadikan
seleranya hilang untuk menjamah sebarang hidangan malam itu. Malah perut
pejalnya juga langsung tidak mengeluar sebarang bunyi. Seolah-olah bersetuju
dengan tindakan mogoknya ketika ini.
Ainul
berdengus halus bila pintu biliknya diketuk seseorang. Dia yang sejak tadi
menyandar tubuh di kepala katil terus membuat muka masam tatkala Ammar
melangkah masuk ke biliknya. Lelaki itu mengukir senyuman ketika terpandang
riak wajah sang adik. Mengerti makna jalinan raut itu.
Lelaki
itu tidak mahu diganggu namun Ammar tidak peduli. Dia sekadar ingin berbual dan
berkongsi cerita. Sekali gus membuang rasa yang sedang bertakung di hati adik
kesayangannya di kala ini.
“Kenapa
kamu tak turun makan tadi? Kesian mak. Dari tadi dia tunggu kamu nak makan
malam sekali.” Lembut Ammar membuka bicara lantas melabuh punggungnya di tepi
katil. Bersebelahan Ainul.
Ainul
hanya membatu diri seraya memeluk erat bantalnya.
“Kamu
masih marah pada ayah ya?” Ammar bertanya lagi.
Ainul
hanya merengus halus. Tidak menyahut.
Melihat
tingkahnya, Ammar kembali mengulum senyuman. Lebih lebar.
“Apa
yang ayah buat tu betul dik. Tak patut kamu dan Alia bergaduh di depan
pekerja-pekerja Ayah Zali macam tu sekali. Kamu dan Alia kan dah sama-sama
matang. Sama-sama telah dewasa. Masing-masing ada akal fikiran sendiri. Kenapa
tak selesaikan saja perkara-perkara kecil begini dengan cara yang sepatutnya?”
Masih lembut si abang meluah kata. Lebih memihak kepada si ayah yang ternyata
bertindak tepat pada masanya.
Raut
muka Ainul sudah makin tegang. Tidak senang dengan kata-kata abangnya itu.
“Bukan
orang yang ajak dia bergaduh Along, tapi perempuan perasan bagus tu yang
mulakan dulu. Orang bukannya tunggul kayu yang tak ada perasaan, boleh tahan
maki hamun perempuan tak guna tu macam tu aje.” Pertama kali Ainul membuka
mulut. Penuh geram membela diri sendiri.
“Along
tak nafikan yang Alia salah dalam hal ni tapi kamu pun tak betul jugak. Sebagai
lelaki yang dibesarkan dengan ajaran Islam dan adat resam Melayu, kamu
sepatutnya kena beralah dengan perempuan. Beralah bukan bermakna kamu kalah
tapi itu membuktikan diri kamu mempunyai akal fikiran yang matang dan cerdik.
Bukannya mengeruhkan lagi keadaan dengan perbuatan-perbuatan yang menjatuhkan
maruah kamu di mata semua.” Ammar tetap membalas lembut namun tegas.
“Look
Ainul. Along faham kamu mempunyai masalah peribadi dengan Alia tapi jangan
sesekali kamu heret masalah itu ke dalam kerjaya kamu pulak. Jadi seorang
lelaki yang profesional dik. Baik kamu ataupun Alia, sama-sama boleh berfikir
apa yang baik, apa yang buruk. Kalau salah seorang daripada kamu tak nak
beralah, sampai bila kau orang berdua nak berdamai? Takkanlah sampai ke tua pun
kau orang masih nak bergaduh? Malulah kalau anak cucu kau orang tengok nanti.
Lagipun
Ainul, takkan jatuh maruah kita sebagai seorang lelaki kalau kita dulu yang
meminta maaf. Malah itu akan membanggakan kita kerana sikap meminta maaf itu
melambangkan kita seorang lelaki yang budiman, lelaki yang berakhlak mulia. Apa
guna kita bersikap ego setinggi langit pun kalau sikap itu hanya menjauhkan
kita dengan orang yang kita sayang?” Kata-kata terakhir Ammar berjaya mengganggu
gugat rentak hati Ainul. Tersentak dia sejenak.
Lalu
dia tergamam. Tidak tahu nak kata apa. Terkedu dia dengan kebenaran kata-kata
itu. Namun dia segera mencebik bibir bila Ammar menyambung suara.
“Macam
tu jugak kamu dengan Alia. Kalau tak ada perasaan ego antara kau orang berdua,
Along rasa dah lama kau orang berdua dah jadi suami isteri yang bahagia dengan
beberapa orang cahaya mata. Ini tidak.
Seorang
keras kepala, seorang lagi angkuh. Macam mana nak aman rumah tangga kalau sikap
begini yang kau orang simpan dalam diri.” Lembut sungguh Ammar melentur
nasihat. Cuba mencairkan ego si adik yang telah lama diketahui setebal konkrit
kerasnya.
“Huh.
Cara Along cakap tu macamlah orang dengan Alia masih lagi menjadi suami
isteri,” cebik Ainul menjeling sekilas abangnya.
“Well,
mana tahu kau orang akan jadi suami isteri semula suatu hari nanti? Siapa tahu
bukan? Kamu jangan lupa Ainul, kata-kata jugak merupakan satu doa. Jadi
anggaplah kata-kata Along ni sebagai satu doa untuk kamu dan Alia agar kau
orang berdua terus bahagia di masa depan. Amin.”
Ammar
terus menyapu kedua-dua tangannya ke muka. Sekadar mengusik si adik biarpun
hakikatnya itulah doanya saban waktu. Mahu melihat kedua-dua adik kesayangannya
kembali bersatu sebagaimana masa lalu.
Ainul
kembali menjuih bibir.
“Huh,
mati hidup balik pun orang takkan berbaik semulalah dengan perempuan perasan
bagus tu. Daripada orang hidup dengan dia, lebih baik orang membujang saja
seumur hidup.” Ternyata marahnya terhadap Alia masih belum surut.
Bantal
di ribaannya diramas semula. Penuh geram. Membayangkan dia sedang meramas
kepala Alia ketika ini.
Ammar
yang melihat adiknya itu terus menggeleng.
“Ainul,
sebahagia mana sekalipun sepasang suami isteri itu, pasti akan wujud jugak
pertengkaran antara mereka walau tak sebesar mana. Itu lumrah dalam sesebuah
rumah tangga dik. Kalau tak, takkan adalah pepatah yang mengatakan sedangkan
lidah lagi tergigit, inikan pulak suami isteri. Kita sebagai suami perlulah
banyak bersabar dengan semua kerenah isteri.
Sebab
setiap isteri itu telah banyak berkorban untuk kita. Tugas memasak, membasuh,
mengemas, melahir dan menjaga anak-anak serta membantu kita mengendalikan rumah
tangga, semuanya dilakukan mereka tanpa mengharapkan sebarang balasan. Semuanya
mereka lakukan dengan ikhlas demi kita.
Malah
bukan itu saja tugas yang mereka lakukan tetapi lebih daripada kesanggupan kita
sendiri. Senang kata seribu jenis kerja yang mereka lakukan untuk kita saban
waktu tanpa kenal erti penat atau letih. Itu baru di rumah. Tak kira lagi
tanggungjawab yang mereka perlu lakukan di tempat kerja pula.
Itupun
dilakukan atas sebab ingin meringankan lagi beban tanggungjawab kita mencari
nafkah. Sedangkan kita yang memegang status suami ni hanya tahu mencari dan
memberi nafkah. Sesekali baru kita membantu mereka membuat kerja-kerja lain.
Itupun ala kadar atau dipaksa.
Along
tak nafikan ada jugak suami yang ikhlas membantu isteri mereka membuat kerja di
rumah tapi berapa kerat sangat yang sanggup berbuat begitu? Kebanyakannya lebih
gemar memerintah isteri. Buat itu, sedia ini sedangkan semuanya boleh dilakukan
sendiri tanpa menyusahkan isteri yang telah terbeban dengan pelbagai
tanggungjawab lain. Kerana itulah kita kena banyak bersabar dengan kerenah
isteri.
Kalau
dia buat salah, kita tegur dengan cara baik dan lembut. Jangan dengan meninggi
suara jauh sekali mengangkat tangan. Kalau nak pukul sekalipun, ada adabnya.
Bukan main tibai sesuka hati aje. Pukul tu pun hanya untuk mengajar. Bukan
untuk melepaskan geram. Apatah lagi hingga tinggalkan kesan-kesan luka dan
lebam.
Sebab
itulah isteri dijadikan dari tulang rusuk sebelah kiri badan kita, iaitu dari
tempat yang paling dekat dengan hati untuk kita sayangi. Barulah rumah tangga
akan kekal aman bahagia sepanjang hayat.” Panjang lebar Ammar memberi nasihat.
Macam
memberi ceramah pun ada, sempat hati Ammar berseloroh sendiri dalam pada itu.
Namun demi menyedarkan Ainul dia tidak peduli dengan kata hatinya. Lama dia
memandang si adik yang tekun mendengar meskipun nasihat-nasihat sebegitu telah
sering didengarinya. Namun apa nak dikata.
Keegoan
yang terlalu tinggi dalam diri membuatkan Ainul tidak mampu merealisasikan
nasihat-nasihat itu sebaiknya. Biarpun kata hati tidak pernah serupa dengan
kata-kata yang terluah dari bibir buat Alia. Daun telinga kembali dipasang
baik-baik bila Ammar terus menyambung bicara selepas itu.
“Macam
tu jugak kamu dan Alia. Sebagai suami, kamu patut lebih mengenali kelebihan dan
kekurangan Alia. Apatah lagi kau orang berdua sudah lama kenal. Bukan sehari
dua tapi sejak kecil lagi. Keluarga kita dan keluarga dia dah lebih dari
hubungan adik-beradik. Saling tolong-menolong tanpa sebarang prasangka.
Sepatutnya dengan keadaan kedua keluarga kita yang begini erat hubungannya,
kamu lebih memahami diri Alia. Begitu jugak dengan dia.
Tapi
kau orang tak gunakan peluang tu untuk saling bertolak ansur dan beralah.
Masing-masing terlalu mengikut perasaan sendiri. Demi sikap keras kepala dan
ego yang tak kena pada tempatnya, kau orang berdua sanggup melihat rumah tangga
yang baru dibina menjadi kucar-kacir. Langsung tiada jalan penyelesaiannya
sampailah ke hari ini.” Nada kesal jelas kedengaran dalam suara lelaki itu.
Kesal dengan apa yang berlaku. Namun tidak pada Ainul yang kembali mendengus
marah.
“Orang
pun tak pernah mintak rumah tangga orang jadi begini Along. Siapa yang nak
kahwin hanya untuk sehari dua aje? Mestilah orang pun harap rumah tangga orang
akan kekal sampai ke akhir hayat. Tapi apa nak buat, dah takdir ALLAH rumah
tangga orang dengan perempuan tak guna tu hanya sampai kat sini saja.
Kalau
dari dulu orang tahu perempuan tu akan buat hidup orang jadi kucar-kacir macam
ni, mati hidup balik pun orang takkan kahwin dengan dia walaupun hanya sehari.”
Ternyata
ego Ainul begitu menebal dalam diri.
Hingga
menyalahkan Alia atas apa yang telah berlaku dalam kehidupannnya sebelum ini.
Bergelar anak bongsu kepada kedua-dua orang tuanya menjadikan dia telah
terbiasa bersikap sedemikian sedari kecil memandangkan segala kehendaknya
begitu mudah dipenuhi oleh mereka yang begitu menyayanginya. Sikap yang
akhirnya menjarakkan dirinya dari orang yang dicintainya tanpa dia sedari.
“Ooo...
jadi sekarang kamu nak bagitahu Along yang kamu sebenarnya menyesal sebab
berkahwin dengan Alia dulu? Kamu menyesal kerana pernah bergelar suami kepada
Alia, perempuan yang kamu rasa telah membuatkan kehidupan kamu kucar-kacir
sekarang ini?” Cepat saja Ammar meningkah kata. Sedikit keras.
“Baik.
Kalau kamu rasa kamu menyesal kerana berkahwin dengan dia, kenapa kamu tak
tunjukkan pada dia yang kamu boleh bahagia selepas dia tinggalkan kamu? Kenapa
tak saja kamu cari pengganti dia lepas kau orang berpisah? Tunjukkan pada dia
yang kamu jugak boleh bahagia tanpa adanya dia dalam hidup kamu. Tak perlu kamu
buang masa merintih atau marah pada dia atas masa yang telah kamu habiskan
bersama dia dulu.
Dah
lapan tahun Ainul, lapan tahun kau orang berdua berpisah. Untuk apa kamu
membujang selama itu? Kahwin semula Ainul. Dengan perempuan lain. Bahagiakan
hidup kamu dengan perempuan yang seribu kali lebih baik dari perempuan yang
kamu gelar perasan bagus tu,” tegas Ammar memberi kata dua.
Ainul
sudah terkaku tubuh. Terkaku dengan kata-kata keras yang meluncur keluar dari
mulut abangnya. Kahwin semula? Air liurnya tertelan sekali. Hatinya pula sudah
tersentak dek kata-kata yang seakan mencabar dirinya itu. Satu perkara yang
tidak pernah terlintas di mindanya selama ini. Jauh sekalilah untuk
dilakukannya.
Ainul
tersentak lagi tatkala suara Ammar kembali menerjah lubang telinga.
“Boleh
Along tahu kenapa kamu tak kahwin semula selepas kamu bercerai dengan Alia
lapan tahun lepas?” Ammar kembali melembutkan lidah.
Wajah
terkesima si adik masih dipandang lama-lama. Mengerti dengan apa yang berlaku
di hati lelaki itu ketika ini namun dia pura-pura tidak mengetahuinya. Sengaja
dia melontar soalan begitu untuk mengorek dengan lebih dalam perasaan sebenar
yang wujud di hati si adik buat bekas adik iparnya.
Ainul
terdiam semula. Untuk seketika dia tidak tahu nak menjawab apa biarpun
jawapannya telah sedia ada dalam hatinya selama ini.
“Orang
tak terfikir nak kahwin semula Along.” Hanya itu yang mampu diluahnya bila
dilihat Ammar bersungguh-sungguh menanti jawapannya. Itu pun dalam keadaan
teragak-agak.
“Tak
terfikir nak kahwin semula ke atau kamu tunggu Alia balik pada kamu semula?”
Ammar sengaja menebak hati lelaki itu. Bibirnya terus mengembang senyuman bila
pantas Ainul menyangkal. Sedikit tinggi.
“Hisy,
Along ni! Mati hidup balik pun orang takkan terima perempuan tu semula dalam
hidup orang,” jelas terserlah keegoannya di dalam kata-kata itu.
Benar-benar
tidak senang dengan apa yang diluah abangnya sebentar tadi biarpun itulah
jawapan yang ada di hatinya selama ini. Namun halangan tembok ego yang terpasak
kukuh dalam diri menjadikan jawapan itu hanya berlegar-legar di dalamnya tanpa
mampu diluahkan.
“Kalau
macam tu kamu kahwin ajelah sekali lagi. Mana tahu perkahwinan kali kedua kamu
nanti mampu memadamkan perasaan marah dan geram kamu terhadap Alia selepas ni.”
Ammar memprovok lagi.
Ainul
terdiam buat kali seterusnya.
“Orang
risau kalau-kalau perkahwinan kali kedua orang tu jugak akan gagal macam yang
pertama Along.” Lambat-lambat dia bersuara tidak lama selepas itu.
Lemah
bersalut sayu. Kepalanya ditundukkan sedikit tatkala meluahnya. Tidak perasan
Ammar yang melihat tingkahnya ketika itu semakin melebarkan senyuman. Dia
sedar. Ainul tidak ikhlas dalam menyuara kata-kata itu. Lebih kepada memaksa
diri meluah kata sebenarnya. Perlahan Ammar melepas nafas sebelum menyahut.
“Ainul,
sekali gagal tak bermakna kita akan gagal selamanya. Itu pegangan yang harus
kamu ingat dalam membuat semua perkara termasuklah dalam bab perkahwinan ni.
Kamu kena sedar Ainul. Tak semua perkahwinan itu membawa kebahagiaan dan tak
semuanya juga memberi penderitaan.
Segala-galanya
terletak di tangan kita sendiri. Sama ada bahagia atau derita, kita dan
pasangan yang akan corakkan suasananya. Takkan ada sesiapa lagi yang akan
membantu kamu melayari alam perkahwinan melainkan kamu berdua saja.
Selain
dari itu rajin-rajinlah berdoa kepada ALLAH agar perkahwinan kita berada dalam
suasana yang kita harapkan. Itu saja. Jadi terpulanglah pada kamu berdua untuk
melakukan apa yang terbaik agar perkahwinan impian kamu menjadi kenyataan
sepanjang masa,” nasihat Ammar lagi.
“Apapun
Ainul, ada satu lagi perkara yang membawa kita kepada perkahwinan yang bahagia.
Sikap tolak ansur dan beralah amat-amatlah diperlukan dalam melayari sesuatu
perkahwinan selain dari sikap sabar, setia dan jujur pada pasangan.
Tak
guna kamu menyemai sikap ego dan keras kepala kerana kedua-dua sikap inilah
sebenarnya yang menjadi salah satu penyebab rumah tangga yang kita bina hancur
lebur. Tak rugi kita beralah dan bertolak ansur dengan pasangan kita kerana
hasil yang bakal kita dapati dari sikap itu teramatlah bernilai.
Malah
lebih bernilai dari segala timbunan harta benda yang kita ada. Kalau kamu tak
percaya, berkahwinlah semula dan buatlah sepertimana yang Along katakan tadi.
Insya-ALLAH, kamu takkan menyesal berkahwin buat kali kedua.
Pastikan
kamu ingat tentang perkara ini sampai bila-bila dik,” tambah Ammar menepuk
lembut bahu lelaki itu yang kembali tertegun dengan kata-katanya.
“Okeylah,
Along tak nak ganggu kamu lagi. Kamu pun mesti dah bosan mendengar lecture percuma
Along dari tadi, kan? Lecture yang Along pasti sangat-sangat membosankan
kamu.” Ammar tersenyum dengan kata-kata sendiri.
Dia
bangun dari duduknya seraya menggeliat tubuh sedikit. Menghilangkan rasa kebas
dek terlalu lama membenam tubuh di situ.
“Oh
ya Ainul. Kalau kamu lapar, nasi ada kat bawah tu. Macam biasa, mak letak semua
lauk dalam microwave. Kalau kamu nak makan nanti, kamu panaskan saja ya.
Along mintak diri ke bilik dulu. Mengantuk pulak rasanya. Tekak pun dah terasa
perit. Asyik membebel aje pada kamu dari tadi.” Suaranya lagi sebelum berlalu
keluar dari bilik itu.
Sempat
matanya mengerling Ainul yang masih seperti tadi. Bersandar tubuh seraya
memikirkan kata-katanya tanpa sebarang sahutan. Kaku.
Namun
tak lama Ainul kembali tersedar. Dia mengeluh panjang lalu dia terus
membaringkan tubuh. Dengan minda yang masih ligat berpusing, Ainul menutup mata
rapat. Cuba menghanyutkan diri dalam mimpi yang mula terbentuk di mindanya
tidak lama selepas itu.
No comments:
Post a Comment