Followers

Sunday, 6 October 2013

Sinopsis Kejoraku Bersatu

SINOPSIS KEJORAKU BERSATU

Nina, seorang gadis bersikap kasar seperti lelaki namun dalam masa yang sama merupakan seorang gadis yang sopan dan berbudi bahasa. Mempunyai bengkel kenderaannya sendiri. Nina mencintai Datuk Rashdan, seorang ahli perniagaan yang berjaya dan jauh lebih tua dari ayahnya sendiri setelah lelaki itu menyelamatkannya dari kejadian kemalangan di luar negara. Bagaimana pun, cinta Nina terhadap Datuk Rashdan ditentang keras oleh kedua sahabat baiknya, Asyikin dan Khalidah. Namun Nina mengambil sikap tidak peduli kerana bagi Nina, cintanya terhadap Datuk Rashdan takkan mampu digugah oleh sesiapa pun.
Tengku Anuar, seorang pemuda yang telah menghabiskan masa mudanya dengan bekerja di luar negara. Merupakan anak kepada Tengku Adnan, sahabat baik kepada Datuk Nasir, ayah Nina. Pertemuan pertamanya dengan Nina telah menerbitkan rasa cintanya terhadap gadis itu. Dalam diam, Tengku Anuar menyimpan hasrat untuk mengahwini Nina.
Airil, sahabat baik kepada Tengku Anuar telah jatuh cinta pada Khalidah, yang juga sepupu kepada Nina ketika kali pertama terpandang gadis itu. Airil yang juga merupakan anak bongsu kepada Datuk Rashdan cuba meluahkan rasa cintanya pada Khalidah dan ternyata, cintanya di sambut.
Kemalangan jalan raya yang berlaku pada Datuk Nasir dan Shahrul telah menyebabkan Nina terpaksa mengambil alih tugas dan tanggungjawab ayah dan abangnya di syarikat keluarga mereka. Sekaligus merapatkan hubungannya dengan Tengku Anuar hingga menimbulkan harapan pada kedua-dua buah keluarga untuk menyatukan mereka.
Datuk Rashdan. Kematian isteri dan anak perempuan tunggalnya suatu masa dulu membuatkan kasih sayangnya tumpah kepada Nina. Dia yang menganggap Nina seperti anaknya sendiri sentiasa menyimpan impian untuk menjadikan Nina sebagai anak angkatnya. Pertemuannya dengan Datin Laila, seorang wanita yang kematian suami telah membuka pintu hatinya untuk berkahwin untuk kali kedua apatah lagi kedua anak lelakinya menyokong tindakannya itu.
Puan Fazlina, ibu kepada Tengku Anuar yang menyimpan impian untuk menjadikan Nina menantunya telah membawa Nina pulang ke kampung mereka untuk bercuti. Bagaimana pun, Tengku Sophiah, ibu mertuanya tidak menyenangi kehadiran Nina dan menganggap gadis itu seorang yang tidak bermaruah. Bencinya pada Nina semakin bertambah apabila Puan Fazlina menyatakan hasrat untuk meminang Nina untuk dijadikan isteri Tengku Anuar, cucu kesayangannya. Perasaan marahnya yang tidak bersurut membuatkan Marlia, menantu kedua Puan Fazlina memberi cadangan untuk mengadakan pertandingan di antara Nina dan gadis pilihan Tengku Sophiah. Bagaimana pun, pertandingan tersebut tidak dapat dijalankan apabila berlaku pertengkaran di antara Nina dan Tengku Sophiah yang akhirnya menyebabkan Tengku Sophiah berubah pandangan terhadap Nina dan bersetuju gadis itu menjadi isteri cucunya.
Lamaran yang dihantar tetapi ditolak oleh Nina menyebabkan Tengku Anuar begitu kecewa. Kekecewaannya bertambah apabila mendapat tahu Nina menyimpan perasaan pada Datuk Rashdan, ayah sahabat baiknya sendiri. Dalam diam, dia bertekad untuk melupakan Nina walau pun jauh di dasar hati dia masih mencintai gadis itu. Pertemuannya dengan Lydia, seorang gadis periang bagaimanapun masih tidak mampu membuatkan  Tengku Anuar melupakan Nina. 
Dalam masa yang sama, Datuk Rashdan telah melamar Datin Laila untuk dijadikan isterinya dan ternyata wanita itu bersetuju. Nina yang tidak dapat menerima kenyataan itu merasa begitu kecewa. Dia hanyut dalam dunia kecewanya dan berkeadaan seperti orang yang kehilangan segalanya. Pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh kedua orang tuanya untuk memulihkan Nina semula. Kepulangan Syafiq, adik kembarnya turut tidak memberi sebarang kesan. Bagaimana pun, setelah mendengar nasihat Tengku Anuar, Nina berjaya keluar dari kekecewaannya. Dia cuba menjarakkan diri dari Tengku Anuar kerana menyangka lelaki telah mempunyai pengganti sedangkan Tengku Anuar hanya menganggap Lydia sebagai adik.
Kerana ingin melupakan segalanya, Nina mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran ke luar negara. Dia yang bercuti ke Cameron Highlands bertemu dengan Tengku yang kebetulan turut bercuti di situ. Segalanya terbongkar apabila Nina menjumpai diari Tengku Anuar yang menyatakan perasaan cintanya terhadap Nina.


No comments:

Post a Comment