BAB
34
FARAH melepaskan
pandangan ke seluruh tempat dia berada kini. Menatap setiap bangunan di depan
mata. Kagum melihat keunikan dan keindahan yang tidak pernah dilihatnya sebelum
ini.
Diam-diam
dia menyelit rasa syukur kepada ALLAH kerana menjadikan impiannya untuk
menjejak kaki di London tercapai jua.
“Hei
Farah, kau tengok apa lagi? Sudah-sudahlah tu. Bukan hari ni aje kau boleh
tengok. Ada lima tahun lagi kita kat sini. Esok-esok satu UK ni pun boleh kita
jelajah kalau kena gayanya. Jomlah cepat mendaftar. Nanti lambat susah pulak
kita nanti.”
Teguran
Haiza menyentak pandangan Farah. Dia mengangguk laju. Lalu turut menapak
bersama teman-teman yang lain.
“Jalan
laju-laju ni nak pergi mendaftar ke atau nak masuk acara marathon?”
Farah
terus menoleh. Terpempan dia dengan kewujudan lelaki itu di sini.
“Awak
bu... at apa kat sini?” soal Farah tergagap-gagap.
“Buat
apa? Studylah. Kenapa? Awak seorang aje ke yang boleh masuk universiti ni?
Saya tak boleh?” soal Ikhwan sambil tertawa kecil.
“Awak
nak mendaftar ya? Masih awal lagi Farah. Baru pukul berapa sekarang ni,” ujar
Ikhwan lagi apabila gadis itu hanya menatap wajahnya tanpa sepatah kata.
Lambat-lambat
Farah menguntum senyuman. Tawar.
“Awak
belajar kat sini jugak ke? Ambil course apa?” soal Farah, cuba
bertenang.
Sungguh,
dia benar-benar tidak menduga akan bertemu Ikhwan di London.
“Business,”
jawab Ikhwan sepatah.
Lembut
menggoda namun entah mengapa nada itu menimbulkan rasa tidak senang pada Farah.
Namun dia pura-pura ceria.
“Oh
iya ke? Saya ambil course...”
“I
know. Perubatan kan?” pintas Ikhwan cepat.
“Mana
a... wak tahu saya ambil kursus perubatan kat sini?”
Farah
kembali gagap. Mana dia tahu ni? Siapa pulak yang beritahu? Hati Farah
tertanya-tanya sendiri.
Ikhwan
menjongket kening. Dirapatkan tubuhnya pada Farah.
“Semua
perkara tentang awak ada dalam pengetahuan saya Farah. Awak tak perlu beritahu
apa-apa. Saya tahu semuanya.” ujar Ikhwan dengan nada menggoda.
Namun
Farah berasa seram sejuk. Pantas dia menjarakkan diri. Tergamam dengan bisikan
lelaki itu.
“Jumpa
awak lagi Farah,” ucap Ikhwan lagi sebelum berlalu.
Sempat
dia mengenyit mata pada Farah yang telah terkaku di situ.
Hampir-hampir
Farah melompat apabila satu tepukan kecil singgah di bahunya.
“Hei
Farah, kenapa Ikhwan ada kat sini?” soal Laila sambil menatap wajah pucat
Farah.
“Dia
belajar kat sini,” jawab Farah terketar-ketar.
“Ikhwan
belajar kat sini? Biar betul? Dia ambil course apa?” sampuk Asyikin,
terkejut.
“Business,”
jawab Farah.
Dia
perlahan-lahan menghela nafas. Cuba menenangkan hati semula. Dia kembali
menapak bersama mereka.
“Maksudnya
lepas ni kita akan selalu terserempak dengan dialah? Hai, tak sangka aku.
Sampai ke sini dia kejar kau Farah,” ujar Jeslynn sambil menggeleng kecil.
“Eh,
iya ke Ikhwan tu kejar Farah? Kau biar betul Lynn?” soal Regina, mahu
kepastian.
“Aku
tahulah. Bukan ke dari tingkatan satu lagi dia cuba mengorat Farah? Sebab tulah
dia ikut Farah ke sini. Nak jugak Farah yang jadi girlfriend dia,”
jawab Jeslynn.
“Hei
kau orang, dahlah tu! Nanti balik rumah sewa cakaplah puas-puas! Jomlah
mendaftar! Nanti kalau dah ramai yang tunggu kat fakulti tu, mahu kita jugak
yang terbelakang nanti!”
Laungan
Marya yang berada di depan sekali mempercepatkan langkah mereka.
“WOW, cantiknya
pemandangan,” puji James sambil menolak luas tingkap bilik.
Menjemput
masuk tiupan bayu sejuk ke ruang apartment lima tingkat itu.
“Tak
sangka aku, sampai jugak akhirnya kita berempat ke kota London ni,” sambung
James.
Dia
merebahkan tubuh ke katil.
“Apa
pulak tak sampainya. Dah kita dapat tawaran sambung belajar kat sini. Takkan
nak tolak pulak padahal kita jugak yang mohon dulu,” balas Raymond lalu
mengerling Faizam yang ada tidak jauh dari situ.
Sejak
tadi Faizam berdiri di tingkap. Ralit dia membuang pandang ke luar.
“Woi
Zam, kau tengok apa sampai tak bergerak-gerak dari situ?”
Soalan
Raymond menyentak pandangan Faizam. Pantas dia menggeleng.
“Tak
ada apalah Ray,” sahut Faizam yang masih berdiri tegak di situ.
“Kalau
iya pun kau nak mengorat anak dara Inggeris Zam, tak payahlah buang masa kat
tingkap tu. Kau tunggulah sampai kuliah kita bermula esok lusa. Mesti ramai
yang satu kelas dengan kau nanti. Masa tu kau nak mengorat ke, kau nak nombor
telefon ke, confirm dapat punya sampai tak terlayan nanti,” usik
James.
Dikerling
Irwan Putra di hujung katil.
Lelaki
itu hanya tersenyum kecil. Tidak masuk campur dengan keadaan itu.
Faizam
tidak menyahut. Dihala pandangannya ke kawasan sekitar. Dari tingkap itu dia
dapat melihat dengan jelas kawasan kampus universiti lantaran kedudukan rumah
sewa mereka yang terletak tidak jauh dari situ.
Dipicing
anak matanya tatkala terpandang sekelompok gadis yang dikenali kelibatnya.
Masing-masing sibuk berbual sesama sendiri sambil menapak ke fakulti. Namun
perhatian Faizam tidak tertarik di situ. Sebaliknya tertancap pada seseorang
yang berada tidak jauh dari kelompok itu.
Sejak
tadi gadis itu hanya menyendiri di bangku batu di kawasan kampus. Melayan mesra
panggilan di telefon bimbit walaupun tiada senyuman di wajah seriusnya. Hingga
Faizam yang sejak tadi memandang tingkah lakunya dihimpit cemburu. Lalu
menjemput semula kenangan pahitnya di KOMTAR suatu masa dulu ke minda.
Sehingga
ke hari ini Faizam masih mengingati peristiwa itu. Akhirnya dia memutuskan
untuk melupakan gadis impiannya itu buat selamanya. Namun sayang, semua
itu hanya mampu terlafaz di bibir. Hati dan mindanya tidak berdaya
menerimanya. Membuatkan Faizam masih terjerat dengan cinta tidak berbalas itu
hingga ke detik ini. Walaupun dia telah berusaha sedaya upaya untuk
melupakannya.
Tanpa
sedar Faizam mengeluh perlahan. Kesal dengan keadaan itu.
“BALKIS sihat?”
soal Anaz sebaik salamnya bersambut di hujung corong telefon.
“Alhamdulillah.
Balkis sihat-sihat aje kat sini. Abang dan keluarga macam mana? Sihat?” soal
Balkis.
Dia
melekap kuat telefon bimbit ke telinga yang terlindung di balik tudung. Cuba
menghindari deruan angin yang bertiup sedikit kencang agar tidak menganggu
perbualan mereka pagi itu.
“Alhamdulillah.
Kami semua sihat tapi tulah, semuanya rindu Balkis. Rasa lain aje bila Balkis
tak ada kat rumah ni. Sunyi semacam,” ujar Anaz.
Suaranya
kedengaran jauh.
“Atuk
apa khabar bang? Mesti dia rindu Balkis kan?” tanya Balkis sayu.
Sekilas
itu bayangan Tuan Ashman melekat di minda. Rindunya pada datuk kesayangannya
itu bukan sedikit waktu ini.
“Mahu
dia tak rindu. Balkis kan cucu kesayangan dia, mestilah dia rindu. Sampai demam
dia dibuatnya. Tapi Balkis jangan risau. Demamnya dah pun surut lepas makan
ubat pagi tadi.”
“Iya
ke bang? Teruk ke atuk demam? Dah berapa hari dia demam tu?”
Bertalu-talu
Balkis bertanya. Bimbang dengan kesihatan datuknya yang kini berada jauh dari
mata.
“Elok
sehari Balkis pergi aje, esoknya terus dia demam. Siap meracau panggil
Balkis lagi. Risau jugaklah kami mula-mula tu tapi lepas aje dia baca e-mel
yang Balkis hantar semalam, terus dia sihat. Lega kami semua,” cerita Anaz
sambil tertawa kecil.
Lucu
mengenangkan sikap datuk kesayangan mereka yang jarang dapat berpisah jauh
dengan cucu-cucunya.
“Habis
tu, atuk buat apa sekarang? Boleh Balkis cakap dengan dia kejap?”
“Buat
apa lagi Balkis, tidurlah. Bukan ke dah malam sekarang? Dah masuk pagi pun.
Lainlah kat sana tu, dah pagi,” balas Anaz.
“Ya
tak yalah bang, lupa pulak Balkis,” balas Balkis sambil menepuk dahi.
“Balkis,
sebenarnya ada perkara yang abang nak cakap pada Balkis,” ujar Anaz dengan nada
mendatar.
“Perkara
apa tu bang?” soal Balkis lembut.
Kedengaran
Anas menghela nafas perlahan. Serba salah untuk bersuara namun dia tetap
membuka mulut.
“Semalam
ayah Balkis ada datang ke rumah. Dia nak jumpa Balkis. Jadi abang beritahulah
dia yang Balkis dah ada kat London sekarang.”
Teragak-agak
Anaz menutur bicara.
“Balkis, are
you still there?” tanya Anaz apabila tiada sahutan dari gadis itu.
“Ya
bang,” sahut Balkis cepat.
Terkedu
sebenarnya dengan berita itu.
“Balkis
jangan marah abang ya? Abang sebenarnya tak sampai hati tak beritahu dia pasal
Balkis. Yalah. Dia kan ayah Balkis, ayah saudara abang jugak. Jadi abang rasa
tak patut kalau abang tak beritahu dia pasal Balkis,” ujar Anaz.
Nadanya
kedengaran bercampur baur dengan rasa bersalah.
“Taklah,
buat apa Balkis nak marah. Bukannya abang buat salah pada Balkis pun,” balas
Balkis sambil memandang teman-teman yang melambai tangan padanya.
“Hmm...
tak apalah bang. Lain kali aje kita berbual lagi ya. Balkis kena pergi
sekarang.”
Balkis
mulai bangkit dari duduk.
“Okeylah.
Kirim salam abang pada semua kawan Balkis ya. Jangan lupa hantar berita tau.
Kalau ada apa-apa, call aje abang,” ujar Anaz sambil menguap beberapa
kali.
“Yalah
bang. Sampaikan salam Balkis pada keluarga kita ya. Assalamualaikum,” ucap
Balkis sebelum mematikan talian.
Kemudian
dia bergegas mendapatkan teman-temannya. Tidak terperasan pada pandangan Faizam
yang melihat tingkah lakunya dari jauh.
No comments:
Post a Comment