BAB 8
“Hai, boleh berkenalan?”
Mahfuzah yang sedang ralit menyiram
pokok di halaman rumahnya segera mengangkat muka. Matanya terpaku sejenak pada
seorang gadis yang berdiri di luar pagar rumahnya. Entah berapa lama gadis itu
berada di situ tidak diketahuinya.
“Saya Dhia, Dhia Maihani. Awak?”
Selamba gadis berambut paras bahu itu
membuka mulut. Matanya masih memandang Mahfuzah dari celah-celah ruang pintu pagar
yang hanya setinggi kepala manusia itu.
Mahfuzah tersenyum sedikit. Tangannya
segera menutup kepala paip yang masih mengalir airnya. Dihampiri gadis itu yang
masih seperti tadi. Tersenyum lebar seraya mengangkat kedua-dua kening padanya.
Menghala langkah ke pintu pagar rumah yang tertutup rapat sebelum dibuka luas.
Dhia melangkah masuk tanpa sempat
Mahfuzah mempelawa. Terus melabuhkan punggung ke bangku batu di laman rumah.
Melingaskan mata ke sekeliling halaman rumah itu sebelum kembali ke wajah
berkerut Mahfuzah. Gadis bertudung labuh itu kelihatan sedikit kaget dengan
keadaan itu. Namun lidahnya kelu untuk menutur sebarang kata.
“Awak belum jawab pertanyaan saya
tadi. Nama saya Dhia. Awak?” tanya Dhia mengulang semula pertanyaannya sebentar
tadi.
Dia memandang semula Mahfuzah yang
lambat-lambat membuka mulut. Masih terkedu dengan tingkah bersahaja yang
dipamerkan gadis itu.
“Saya Mahfuzah, panggil saja Fuzah.”
teragak-agak dia bersuara seraya menghulur tangan. Bersalam.
“Maaf, tangan saya basah sikit,”
ujarnya lembut.
“Tak apa,” sahut Dhia bersahaja.
Menyambut girang huluran gadis itu.
“Eh, duduklah. Takkan nak berdiri saja,”
suara Dhia lagi bila dilihat Mahfuzah hanya berdiri terpacak di depannya.
Dia menepuk-nepuk seketika bangku batu
yang ada di kiri dan kanannya. Bersikap seakan dirinya pemilik kepada rumah
yang baru pertama kali dikunjunginya itu.
Mahfuzah hanya mengeleng perlahan. Dia
tersenyum sedikit. Dia sebenarnya masih lagi kaget dengan gelagat gadis yang
tidak pernah dikenalinya itu. Begitu ceria dan bersikap selamba. Seakan mereka
telah lama berkenal muka. Ada senyuman lebar yang masih menghiasi wajah cantik
itu.
“Awak tinggal seorang saja ke kat
rumah ni?” tanya Dhia memulakan perbualan sambil melilaukan matanya semula ke
sekeliling halaman rumah yang penuh dengan tanaman pokok bunga pelbagai jenis
itu.
Cantik, puji hatinya.
“Oh, taklah. Saya tinggal dengan mak
ayah saya,” sahut Mahfuzah perlahan.
“Awak orang baru ke kat kawasan
perumahan ni? Maaflah sebab saya tak pernah nampak awak kat sini sebelum ni,”
sopan Mahfuzah bertanya. Dia tidak mahu menyinggung perasaan orang asing yang
baru dikenalinya beberapa minit lalu itu.
Dhia mengangguk kecil. Tersenyum
lebar.
“Actuallly,
saya baru datang ke sini dua tiga hari lepas. Saya tinggal di rumah makcik dan
pakcik saya kat sebelah rumah awak ni,” sahutnya.
Dhia memandang semula Mahfuzah yang
mengerut dahi sejenak mendengarkan kata-kata itu sebelum kembali menguntum
senyum.
“Oh, jadi awaklah anak saudara kepada
Makcik Marini tu,” suara Mahfuzah setelah beberapa lama membeku lidah. Senyuman
di bibirnya semakin melebar.
Dhia mengangguk riang. Mengiyakan
tekaan gadis bertudung litup itu.
Jeritan seseorang mematikan perbualan
kedua mereka. Hampir serentak keduanya berkalih. Memandang ke arah rumah yang
terletak bertentangan barisan rumah teres mereka. Kelihatan Farhan mencekak pinggang
di laman rumah, melantang suara memanggil adik–adiknya. Ingin menghantar mereka
ke sekolah. Tidak terperasan Dhia dan Mahfuzah sedang memandang gelagatnya dari
seberang jalan.
Dhia memandang lama Farhan yang
berdiri membelakangi mereka. Tidak jauh dari tempatnya berada. Diperhati lelaki
itu sebaiknya. Tinggi, tegap dan berkulit agak cerah. Sama seperti mana yang di
lihat matanya beberapa malam lalu sewaktu lelaki itu memujuk adik-adiknya. Itu
tafsiran pertamanya terhadap lelaki itu.
Untuk seketika Dhia mengalih
pandangannya ke arah Mahfuzah. Ingin bertanya sesuatu. Namun mulutnya terkunci
tatkala terpandangkan gadis itu.
Dhia sedikit kaget melihat Mahfuzah
yang seakan terpegun memandang Farhan. Tidak berkelip matanya memerhati gelagat
Farhan yang telah menghumban tubuh ke dalam kereta. Ralit dengan keadaan itu. Malah
sehingga bayangan kereta lelaki itu menghilang di hujung lorong kawasan
perumahan itu Mahfuzah masih melepas pandangan ke arah yang sama. Menyorot
setiap pergerakan Farhan yang berlaku di depan mata mereka.
Agak lama gadis itu berkeadaan begitu
sebelum dia kembali mengalih pandangan ke arah Dhia yang masih seperti tadi.
Memandang tingkah Mahfuzah tanpa bersuara kata. Ada sesuatu yang bermain di
fikirannya saat ini.
“Minta maaf ya Dhia. Saya minta diri
ke dalam dulu. Nak bersiap ke sekolah,” Mahfuzah menutur sopan. Tidak menyedari
pandangan kaget gadis itu terhadapnya. Memandang Dhia yang sedikit tersentak.
Tercengang dengan kata-katanya.
“Nak ke sekolah? Awak nak buat apa kat
sekolah tu?” tanya Dhia sedikit terpinga. Pelik dengan kata-kata tenang yang
terluah dari mulut gadis berkulit hitam manis itu.
Mahfuzah menyimpul senyum.
“Saya mengajar di sekolah,” sahutnya
lembut.
“Oh…” hanya itu yang terkeluar dari
mulut Dhia. Tak terlintas di fikirannya Mahfuzah adalah seorang guru. Di angguk
kepalanya sedikit.
“Ada masa nanti kita berbual lagi ya.”
Mahfuzah bersuara lagi sebelum meminta izin ke dalam. Meninggalkan Dhia yang
masih berada di situ.
Dhia mengangguk kecil. Hingga bayangan
Mahfuzah hilang dari pandangan barulah gadis itu bangun dari duduknya. Mengatur
langkah pulang. Sementara benaknya ligat memikirkan sesuatu.
“Encik Azfar, orang yang ditunggu oleh
Encik dah sampai,”
Suara Kamelia yang terlantun keluar
dari interkom memecah kesunyian bilik pagi itu. Malah turut menyentak Azfar
yang tekun menjalankan kerjanya. Pantas saja tangannya menekan butang.
“Suruh dia orang masuk.” tegas dia
menyahut.
“Baik Encik Azfar,” suara Kamelia
kembali kedengaran.
Tidak lama kemudian, pintu bilik
pejabat diketuk sebelum terbuka dari luar. Dua orang lelaki yang berjaket hitam
melangkah masuk, mendapatkan Azfar yang segera menegakkan tubuh. Tangannya
mengamit keduanya agar menghampiri mejanya.
“Selamat pagi Encik Azfar,” kedua
lelaki itu bersuara serentak sebaik memacak tubuh di depan Azfar.
“Hmm, selamat pagi,” sahut Azfar
sedikit malas.
“So,
apa berita yang kau orang bawa?” soalnya begitu tegas. Mencerun matanya
merenung kedua wajah tenang itu. Seakan ingin menelan seorang demi seorang ke
dasar perutnya.
Keduanya berpandangan sejenak sebelum
kembali menatap wajah tegang Azfar.
“Hasil siasatan kami mendapati bahawa
Cik Nisa dah menghilangkan diri dari Kuala Lumpur ni Encik Azfar,” suara salah
seorang dari mereka.
Azfar merengus kasar.
“Macam mana kau orang tahu dia dah
keluar dari KL?” soal Azfar. Matanya mencerlung garang. Menampakkan kemarahan
yang mula mengambil tempat dalam hati.
“Mengikut maklumat yang kami dapat,
Cik Nisa sekarang berada jauh dari sini,”
“Jauh di mana?”
“Itu belum dapat kami pastikan lagi
Cik Azfar,”
“Hisy!” Azfar menumbuk meja.
“Macam mana pula kau orang tak pasti?
Kau orang buat kerja ke tidak hah?” bentaknya.
Matanya meratah kedua wajah yang
segera menunduk ke bawah. Pandangan itu jelas menunjukkan perasaan hatinya di
kala ini.
Azfar mendengus keras. Untuk seketika
dia terdiam. Cuba merekan kemarahan yang masih berakar umbi di dalam diri. Bukan
tabiatnya mencambahkan kemarahan dalam diri namun keadaan yang sedang
ditempuhinya di waktu ini membuatkan benih rasa itu tumbuh menyubur di ruang
dadanya. Jari–jemarinya mengetuk beberapa kali permukaan meja sementara
benaknya ligat memikirkan sesuatu. Tak lama dia kembali membuka mulut.
“Kau orang berdua dengar sini
baik–baik. Saya nak kamu cari Cik Nisa sampai dapat. Di mana pun dia berada,
saya nak kamu ikut dia walau hingga ke dalam gua batu kapur sekalipun. Intip
dia setiap masa.
Tapi ingat, saya tak mahu sesiapa pun
tahu tentang perkara ini terutamanya pihak wartawan. Kalau ada orang luar
selain ahli keluarga saya yang tahu tentang perkara ni, saya takkan
teragak–agak untuk melakukan apa saja yang saya suka terhadap kamu berdua.
Faham tu?” Azfar kembali bersuara keras. Tajam matanya menyorot wajah keduanya
yang segera mengangguk. Faham dengan arahan yang diberi.
“Bagus. Kamu boleh pergi sekarang,”
suara Azfar lagi. Pandangannya dihalakan pada langkah kedua-dua lelaki itu yang
segera menghilang dari bilik pejabat itu. Azfar kembali merengus marah.
No comments:
Post a Comment