Followers

Saturday, 5 October 2013

BAB 9 - KEJORAKU BERSATU


BAB 9
“Kau rasa, kat mana tempat yang paling sesuai kita untuk kita pergi memancing nanti?” soal Datuk Nasir sambil mengalih pandangan ke wajah Tengku Adnan.
Kedua lelaki itu baru saja selesai bermain golf petang itu.
“Aku fikir, lebih baik kita pergi ke Tasik Kenyir. Dengar khabar, banyak ikan kat tempat tu. Lagi pun, aku tak pernah lagi sampai ke sana,” cadang Tengku Adnan.
Datuk Nasir berfikir seketika sebelum mengangguk perlahan.
“Jadi, bilalah agaknya kita nak pergi tu?”
“Sebaik saja projek kita di Bukit Merah tu selesai,”
“Nak ajak siapa lagi pergi ni?” Datuk Nasir mengelap peluh yang merenik di dahi dengan tuala kecil yang tersangkut di bahunya. Cuaca yang agak terik petang itu menimbulkan rasa bahang di tubuhnya. 
“Aku rasa kita pergi berdua ajelah. Kalau nak bawa orang rumah sekali, kau faham-faham ajelah dia orang tu. Bukannya dia orang suka sangat kita buat aktiviti ni,” balas Tengku Adnan yang turut mengesat peluh dengan tuala yang dibawanya bersama.  
“Biasalah orang perempuan. Mana dia orang nak minat aktiviti memancing ni. Bosan katanya. Lagi pun kalau bawa dia orang sekali susah juga kita dibuatnya nanti. Mana taknya, kita sibuk nak memancing, dia orang pula sibuk nak bershopping. Tapi elok jugak kita lakukan aktiviti ni. Boleh aku ambil cuti sehari dua. Bosan juga aku kalau hari-hari mengadap  kerja-kerja kat pejabat tu,” tambah Datuk Nasir lagi.
“Betul kata kau Sir. Kalau nak ikutkan kerja yang bertimbun kat pejabat tu, sampai bila pun takkan habis. Usia macam kita ni patutnya duduk rumah saja, bagi peluang pada anak-anak untuk memajukan syarikat kita tu,” ujar Tengku Adnan.
“Entahlah Nan, aku pun adakalanya rasa macam nak berhenti saja dari bekerja sekarang. Tapi, tak sampai hati pula rasanya nak tinggalkan semuanya pada Shah. Kesian dia nak urus syarikat aku tu seorang diri.”
Kata-kata Datuk Nasir membuatkan Tengku Adnan terdiam. Ligat fikirannya memikirkan sesuatu. “Nasir, aku rasa ada cara lain yang boleh membantu kau untuk mendapatkan seseorang untuk membantu kau dan Shahrul di pejabat. Itu pun kalau kau bersetuju,” suara Tengku Adnan tiba-tiba.
“Apa dia?” pantas Datuk Nasir bersuara kata.
“Apa kata kalau kau kahwinkan saja anak perempuan kau tu. Bila kau dah dapat menantu lelaki nanti bolehlah kau minta tolong dia bantu kau kat pejabat tu,”
Mendengar saranan itu air muka Datuk Nasir kembali menjadi keruh.
“Kalaulah aku boleh buat begitu, dah lama aku buat Nan. Masalahnya, anak aku tu. Nak ke dia kahwin sekarang. Lagi pun, ada ke lelaki yang nakkan dia. Kalau sikapnya macam budak perempuan lain mungkinlah ada harapan aku nak dapat menantu dalam masa terdekat ni. Kalau tak, entahlah,” keluhnya.
“Tak baik kau cakap macam tu Sir, macam kau menyumpah anak perempuan kau tu dari berkahwin dengan lelaki pula. Walau pun aku tak pernah melihat anak perempuan kau itu tapi aku rasa Nina tu tak seteruk yang kau fikirkan.
Lagi pun kau tak boleh salahkan dia seorang. Mungkin kerana dia membesar dalam keluarga yang mempunyai adik beradik lelaki menyebabkan dia berkelakuan begitu. Atau mungkin juga kerana dia dibesarkan di asrama dan bergaul dengan lebih ramai lelaki menyebabkan dia rasa janggal untuk bersikap seperti perempuan,” ujar Tengku Adnan menyuarakan pendapat.
“Anak kau Adilla tu pun seorang saja, boleh pula dia berkelakuan macam perempuan lain,” sanggah Datuk Nasir.
“Adilla tu lain, dia besar di depan mata aku dan Lina. Mana pernah dia masuk sekolah asrama. Sekolahnya tu pun semuanya budak-budak perempuan, mana ada lelaki. Lainlah si Nina tu, kau hantar dia ke sekolah asrama yang bercampur lelaki dan perempuan,” tukas Tengku Adnan. Datuk Nasir mengeluh panjang.
“Entahlah Nan, kadangkala aku rasakan yang aku ni tak jalankan tanggungjawab aku sebagai seorang ayah dengan cukup baik hinggakan Nina bersikap begitu,”
“Jangan kau salahkan diri kau pula. Dalam hal ni, tak ada siapa yang salah. Cuma keadaan dan masa yang menyebabkan Nina jadi begitu. Apa pun kau patut bersyukur, seburuk-buruk mana pun Nina, dia tak pernah buat perkara-perkara tak senonoh. Cuma penampilan dia saja yang tidak menyenangkan mata. Itu pun rasanya, bukan seratus peratus dia bersikap seperti lelaki,”
Datuk Nasir tidak menjawab. Fikirannya penuh dengan kata-kata Tengku Adnan.
“Lagi pun biasalah semua ni berlaku dalam hidup kita. Sebagai orang tua, memang tugas kita untuk mencorakkan sikap dan masa depan anak-anak. Tapi kau juga kena fikir, adakalanya yang berlaku tu bukan atas kesilapan kita tapi kerana faktor-faktor lain.
Semasa kecil, kita telah cuba untuk memberikan didikan terbaik pada mereka. Tapi bila besar, semuanya bergantung pada diri mereka sendiri sama ada nak mengekalkan apa yang telah kita beri atau mengubah semuanya.
Jika tidak, takkan berlakulah kejadian seperti anak imam menghisap dadah, remaja menjual ganja dan sebagainya. Bukan salah ibubapa tak beri didikan yang baik tapi itulah, seperti yang aku katakan tadi, semuanya bergantung pada diri masing-masing. Kalau iman yang ada dalam diri mereka tu kuat, mustahil mereka akan rosak sebegitu,” panjang lebar Tengku Adnan bersuara.
Datuk Nasir menghela nafas panjang.
“Aku tak nafikan apa yang kau cakapkan tu Nan tapi bagi aku dalam hal Nina ni, aku salahkan diri aku sendiri. Dari dia kecil lagi aku terlalu manjakan dia melebihi Shahrul dan Syafiq. Apa saja yang dia nak, aku beri saja tanpa fikirkan akibatnya.
Sampaikan bila besar, dia nak jadi mekanik pun aku izinkan. Walau pun aku sebenarnya tak suka dia buat kerja begitu tapi aku tak sampai hati nak tolak permintaannya. Bila dah jadi begini, aku sendiri pun dah tak tahu nak buat apa lagi,” ujarnya lemah.
“Kalau difikirkan semula kata-kata kau tu, memang betullah apa yang kau lakukan terhadap Nina tu salah. Kerana terlalu sayangkan anak, kau ikut saja kemahuannya. Tapi bagi aku, Nina sendiri pun turut bersalah. Sebagai anak, dia perlu fikirkan juga perasaan orang tua. Bukannya fikirkan kehendak sendiri saja,”
“Mungkin dia terbiasa dengan sikap aku yang tak pernah membantah kemahuannya membuatkan dia dah tak fikir semua tu lagi,”
Tengku Adnan melepas nafas pendek. Wajah muram Datuk Nasir di  tatap lama.  
“Dahlah tu Sir, jangan difikirkan sangat tentang hal ni. Apa pun sebagai orang tua, kita doa saja semoga apa yang kita harapkan pada anak-anak akan menjadi suatu kenyataan nanti. Mungkin bukan sekarang masanya untuk mereka berubah tapi di masa depan, kita tak tahu,” sambung Tengku Adnan menepuk lembut bahu si sahabat beberapa kali.

Datuk Nasir mengangguk kepalanya. Sedikit sebanyak kata-kata itu dapat menenangkan hatinya yang diamuk resah setiap kali mengingati Nina. 

No comments:

Post a Comment