BAB 24
Dhia bersama Mahfuzah ke rumah Farhan
petang itu. Puan Marini dan Encik Mansur turut serta. Sambil minum petang,
mereka berbual bersama ahli keluarga Farhan di laman rumah.
Fakhira dan Fadlan yang saling
berkejaran di sekeliling rumah dibiarkan bermain sesama sendiri. Sesekali
keduanya menerpa pada Puan Wardah seraya meminta segelas minuman. Menggantikan
semula tenaga yang berkurangan disebabkan keaktifan keduanya bermain tanpa
mengenal penat.
Agak lama mereka berbual sebelum Dhia
meminta diri untuk ke dalam. Meninggalkan makcik dan pakciknya yang masih
rancak berbual bersama Puan Wardah dan Mahfuzah di laman rumah. Nek Zaitun
tidak ketinggalan menyertai mereka.
Dhia mengatur langkah masuk. Menuju ke
ruang yang ingin di tuju.
Saat dia melintas ruang pembahagi
antara ruang tamu dan ruang dapur, telinganya menangkap perbualan Encik Fatih
dengan seseorang di talian telefon. Tidak banyak kata yang terluah di pihak
Encik Fatih. Lelaki itu lebih banyak mengiakan kata-kata pihak di sebelah sana.
Sekaligus membuatkan kaki Dhia tidak jadi melangkah ke bilik air sebaliknya
terpaku di situ.
Agak lama dia berdiri di situ sebelum
kedengaran Encik Fatih meletak gagang telefon. Ada keluhan yang terluah di
celah bibir lelaki itu.
“Pakcik,” tegur Dhia sebaik saja
terlihat Encik Fatih melabuh punggung di salah satu kerusi kayu di sudut ruang.
Menyandar tubuh ke dada kerusi.
Encik Fatih yang terkejut dengan
kehadiran Dhia di situ segera menegakkan tubuh. Mengukir senyuman semanis
mungkin namun kelihatan hambar di mata Dhia.
“Dhia buat apa kat sini? Kenapa tak
berbual dengan mereka kat luar?” suara lelaki itu ramah. Bola matanya menikam
lembut wajah yang sentiasa kelihatan ceria itu. Menyenangkan mata sesiapa saja
yang melihat.
“Dhia nak ke bilik air tadi. Ternampak
pakcik kat sini,” balasnya lembut.
“Oh…” hanya itu yang terkeluar dari
celah bibir Encik Fatih.
Dia kembali menundukkan wajah. Cuba
menyembunyikan wajah yang kembali diarak muram. Perbualan sebentar tadi
berputar semula di fikirannya.
“Kenapa pakcik? Pakcik ada masalah
ke?” tanya Dhia lembut.
Dia turut menyelitkan diri di salah
satu kerusi kayu yang ada di situ. Bertentangan dengan lelaki itu.
“Tak ada apalah Dhia, pakcik biasa
saja,” sahut Encik Fatih cepat. Cuba menyerlahkan keceriaan yang bercampur
baur. Dia kembali mengores senyuman.
“Kata orang, kalau tak boleh berkongsi
hati, berkongsi rasa pun sudah memadai,” ujar Dhia penuh makna.
Dia merenung lama wajah suram itu
biarpun cuba disembunyikan di sebalik senyuman yang sengaja di ukir manis.
Encik Fatih tidak bersuara. Membiarkan
kata-kata itu berlalu dibawa angin petang yang menyusup masuk dari celahan
tingkap yang terbuka di ruang itu. Fikirannya masih penuh dengan perkara yang
masih berkeliaran di benaknya.
“Cubalah beritahu pakcik, mana tahu
Dhia boleh tolong.”
Suara Dhia kembali menerjah ruang
telinga Encik Fatih. Mengoyak lamunannya. Dia tersentak kecil. Bola matanya
kembali mencucuk wajah Dhia.
Untuk seketika mata Encik Fatih
melekat di wajah cerah berseri milik gadis itu. Ada perasaan ikhlas dan jujur
yang terhampar di wajah cantik itu. Bertimbang tara hatinya untuk meluahkan
segala permasalahannya pada orang lain lantaran dia tidak pernah berbuat
demikian. Apatah lagi pada gadis yang baru dikenalinya itu.
“Pakcik…” suara Dhia lagi bila
kedengaran hempasan keluhan panjang terluah dari celah bibir lelaki yang hampir
seusia ayah saudaranya itu.
Lambat–lambat Encik Fatih bersuara.
“Pakcik sebenarnya bimbang tentang
keadaan resort pakcik tu Dhia. Dah puas pakcik berikhtiar tapi sampai sekarang
resort tu tak mampu beri keuntungan malah semakin rugi pula. Dan tadi, pihak
bank meminta pakcik menyelesaikan segera pinjaman yang telah pakcik buat ketika
ingin membuka resort tu. Pakcik dah tak tahu nak buat apa lagi sekarang Dhia,”
keluh Encik Fatih penuh lirih. Menimbulkan rasa kasihan pada Dhia yang menadah
telinga.
“Maksud pakcik, resort yang terletak
di tepi laut itu?” tanya Dhia meminta kepastian.
Terimbas sejenak kenangan kali
pertamanya menjejakkan kaki ke resort itu dan pertemuan pertama mereka yang
berlangsung di situ tak lama dulu.
Encik Fatih mengangguk kecil.
Menghambur nafas kecil dari celah bibirnya.
“Mereka yang lain tahu tentang hal
ni?”
“Eh, jangan beritahu sesiapa pasal hal
ini Dhia. Pakcik tak mahu susahkan hati sesiapa dengan masalah pakcik ni,”
pantas saja Encik Fatih bersuara.
Sedikit cemas dengan pertanyaan gadis
itu. Bimbang kiranya masalah yang selama ini ditanggung sendiri berada dalam
pengetahuan orang-orang yang menjadi kesayangannya.
Dhia tersenyum lagi.
“Sebenarnya pakcik, masalah pakcik ni
senang saja,”
Dhia bersuara selamba. Membalas tenang
pandangan terkejut lelaki itu.
Berkerut dahi Encik Fatih mendengar
kata–kata gadis itu.
“Senang? Maksud kamu?” tanya Encik
Fatih kurang mengerti.
Dhia menarik nafas panjang.
“Pakcik, pertama sekali Dhia nak minta
maaf jika ada kata-kata Dhia ni menyinggung perasaan pakcik,” suara Dhia penuh
hormat.
Encik Fatih tidak menjawab. Menanti
kata-kata seterusnya. Wajah tenang itu dipandang lagi. Penuh tanda tanya.
“Dalam pemerhatian saya, pakcik
terlupakan sesuatu ketika mula–mula pakcik bangunkan resort Seri Bayu itu,”
“Lupa? Lupa apanya Dhia?” kerutan di dahi
lelaki itu semakin berlapis.
Dhia tersenyum lagi. Dia mengangguk
kecil.
“Pakcik lupa dengan persekitaran yang
wujud di sekeliling resort,”
Encik Fatih tercengang lagi. Sungguh,
dia tak dapat menangkap maksud di sebalik kata–kata gadis bersikap bersahaja
itu. Senyuman di bibir Dhia semakin melebar.
“Inilah masalah orang Melayu, tak
pernah menghargai budaya sendiri. Sebab itulah orang selalu kata, Melayu mudah
lupa diri,” bebel Dhia pura-pura marah.
Encik Fatih terkelu bicara. Lidahnya
mati. Masih bingung dengan kata–kata yang telah diluah Dhia sebelum itu.
“Pakcik tak faham dengan maksud kata-kata
Dhia tu,” ujarnya lambat–lambat. Berterus terang.
“Pakcik, bangsa Malaysia khususnya
bangsa Melayu, kaya dengan adat resam dan budayanya yang tersendiri. Adat resam
yang penuh dengan keunikannya yang lain dari yang lain. Budaya yang tak ada
pada mana-mana bangsa lain di dunia ini. Kenapa pakcik tak aplikasikan semua
itu pada resort pakcik?” tanya Dhia lembut. Matanya ditala pada wajah yang
telah kelihatan kedutannya itu.
Encik Fatih membisu kata. Laju
benaknya memikirkan kata-kata gadis itu.
“Maksud Dhia, kenapa tak pakcik ubah
suai saja resort pakcik tu menjadi sebuah resort yang berkonsepkan budaya
Melayu atau apa saja budaya yang ada di negara kita ni dan bukannya konsep
ala–ala Barat tu.
Pelancong luar negara datang ke negara
kita untuk melihat khazanah dan kekayaan budaya penduduk negara kita, bukannya
datang untuk melihat budaya mereka dikembangkan di sini. Setakat budaya Barat
tu, dah berlambak–lambak kat luar negara tu. Cakap saja negara mana yang tak ada
budaya Barat tu, semuanya ada.”
“Kitakan ada budaya kita sendiri,
kenapa tak tonjolkan saja budaya kita tu pada orang luar? Banyak yang boleh
diaplikasikan.
Sebagai contoh, menu makanan yang
disediakan di kafe resort pakcik tu. Pakcik boleh sediakan menu makanan Barat
tapi makanan tradisi tempatan jangan di tolak ke tepi. Perkenalkan dodol, kuih
lapis, pulut sambal, tempoyak dan lain–lain makanan tradisi kita sebagai menu
utama.
Jangan katakan pelancong luar,
orang–orang yang tinggal sekitar resort tu pun dapat datang menjamu selera. Itu
baru dari segi makanan, tidak lagi dari segi pakaian seragam pekerja, bilik
penginapan, aktiviti yang disediakan, semuanya boleh diubah suai mengikut adat
resam dan budaya kita.”
“Busana misalnya, sediakan busana
berkonsepkan budaya Melayu. Baju kurung, baju kebaya, baju Melayu, semuanya
mempunyai keindahannya yang tersendiri. Itu belum dikira dengan kehalusan
batik, songket tenun dan sebagainya.
Jadikannya sebagai salah satu pakaian
seragam yang wajib dipakai oleh para pekerja. Kalau tidak setiap hari, seminggu
sekali sudah memadai.
Kalau ada artis dari negara Indonesia
begitu berbangga mengenakan pakaian tradisi mereka setiap kali membuat
persembahan di negara kita, mengapa tidak kita bangga mengenakan busana baju
kurung dan baju Melayu kita dalam melakukan tugasan harian? Jika nenek moyang
kita di zaman dulu boleh melakukannya, kenapa tidak kita yang lebih maju dan
bertamadun ni?”
“Selain dari itu, pakcik sediakan
pelbagai aktiviti yang lain dari yang lain. Tarik upih, bermain layang-layang
atau permainan gasing boleh dijadikan sebagai salah satu aktiviti yang
disediakan khusus untuk para pengunjung yang mengunjungi resort pakcik. Malah,
masih banyak lagi permainan sukan rakyat yang pakcik boleh selitkan dalam
senarai aktiviti untuk resort pakcik tu seperti permainan sepak raga, congkak
dan sebagainya.
Bukan itu saja, permainan wayang
kulit, gamelan mahupun cak lempong boleh dijadikan sebagai salah satu daripada
kesenian muzik yang dimiliki budaya kita. Jadikannya sebagai salah satu
pertunjukan yang wajib dimainkan di resort pakcik dalam menyambut kedatangan
para pengunjung.”
“Begitu juga dengan tarian kebudayaan
bangsa kita. Joget, zapin, inang dan tarian Melayu asli yang lain, semuanya
mempunyai keunikannya yang tersendiri. Dengan itu, pakcik bukan saja menambahkan
keuntungan resort tapi pakcik juga telah memberi peluang pekerjaan pada anak
tempatan untuk menunjukkan bakat dan kemahiran masing-masing dalam bidang yang
mereka ceburi. Secara tidak langsung, semua ini dapat menarik minat anak muda
kita untuk mempelajari seni dan budaya bangsa kita dan seterusnya mengekalnya
di setiap zaman.
Tunjukkan pada orang luar yang kita
juga mempunyai budaya sendiri, bukannya hanya pandai meniru budaya luar dan
berbangga dengan budaya yang sememangnya bukan budaya kita,” jelas Dhia panjang
lebar. Begitu bersemangat.
Dia membalas pandangan Encik Fatih
yang terus terkunci lidah buat seketika. Terpegun dengan hujah-hujah yang
diberikan. Tidak mampu lidahnya menyanggah kenyataan yang tidak pernah
terlintas di fikirannya selama ini.
“So,
apa pendapat pakcik tentang cadangan Dhia itu?” tanya Dhia setelah melihat
lelaki itu hanya membisu seribu bahasa. Tergamam dengan keadaan itu.
“Memang betul kata-kata Dhia tu tapi
pakcik tak fikir semua itu boleh pakcik lakukan,” suara Encik Fatih perlahan.
Dia mengeluh lagi.
“Kenapa tidak pakcik? Seorang anak
Melayu yang sejati akan sentiasa berbangga dengan budaya dan adat resam yang
diwarisinya. Lagipun pakcik, siapa lagi yang akan mempertahankan budaya kita
kalau bukan kita sendiri yang melakukannya. Tengok sepertimana yang dilakukan
oleh rakyat negara Jepun. Mereka mengikuti arus kemajuan tetapi dalam masa yang
sama, budaya dan adat tradisi mereka tidak pernah dilupakan.
Mereka bangga dengan adat budaya
mereka sendiri walau pun hidup dalam dunia moden. Itu salah satu contoh yang
patut kita jadikan teladan dalam menjalani kehidupan seharian. Begitu juga
dengan rakyat negara Perancis. Mereka begitu berbangga dengan bahasa ibunda
mereka hinggakan setiap negara yang ingin menjalinkan sebarang hubungan dengan
negara mereka perlu berurusan dalam bahasa Perancis walau dengan apa cara
sekalipun sedangkan penduduknya bukan tak tahu berbahasa Inggeris atau
berbahasa lain,” suara Dhia penuh kesungguhan.
Encik Fatih terdiam lagi. Kebenaran
kata–kata itu membuatkan lidahnya semakin kelu. Tidak mampu menyangkal walau
sepatah. Menusuk terus ke dalam ruang benaknya.
“Pakcik, orang yang sentiasa mencuba
takkan pernah gagal pakcik kerana dia tahu, kegagalan itulah yang akan
membawanya kepada jalan kejayaan suatu masa nanti. Kegagalan itu adalah
jambatan semangat untuk orang yang tak kenal erti putus asa dalam mencapai
segala impiannya,” sambung Dhia bersahaja. Wajah yang tercalit riak bingung itu
dipandang lagi.
“Kalau pakcik rasa pakcik tak mampu
untuk bangunkan semuanya seorang diri, pakcik jangan bimbang. Dhia berjanji,
selagi Dhia masih berada di sini, Dhia akan pastikan pakcik mencapai segala
impian pakcik. Dhia akan berusaha membantu pakcik memajukan semula resort
pakcik tu sepertimana yang pakcik inginkan,” ujar Dhia penuh ikhlas.
Encik Fatih kembali disergah rasa
gamam. Lidahnya bagaikan terbelah dua. Tidak dapat bersuara. Dia benar-benar
tergamam dengan setiap patah kata yang terluah dari bibir merah gadis itu.
Tergamam dengan semangat kemelayuan yang terdapat dalam diri gadis itu.
Ternyata gadis itu bukan seperti yang
difikirkannya selama ini. Begitu mencintai budaya dan adat resam bangsa sendiri
walau diri telah lama terlontar jauh ke benua asing. Tidak menjadikan semua itu
sebagai alasan untuk melupakan segala khazanah milik bangsa sendiri. Tergamam
dengan ketulusannya membantu seseorang yang baru beberapa ketika dikenalinya.
Seseorang yang tidak mempunyai sebarang ikatan mahu pun hubungan dengan
dirinya.
“Terima kasih banyak-banyak Dhia.
Pakcik tak tahu nak beri apa pada Dhia untuk membalas budi baik Dhia itu,”
Hampir menitik airmata lelakinya saat
menuturkan kata-kata itu. Dia benar-benar terharu dengan kata–kata yang
kedengaran begitu ikhlas yang terluah keluar dari bibir gadis yang senantiasa
bertingkah sopan itu.
“Tak payahlah pakcik bersusah payah
nak balas jasa Dhia yang belum nampak lagi tu. Lagi pun pakcik, kata orang, tak
baik terima habuan dulu sebelum kerja dibuat,” seloroh Dhia sekaligus
melahirkan senyuman di wajah tua itu. Menghilangkan kesedihan yang sekian lama
memanjat hati lelaki itu.
“Dhia, boleh pakcik minta sesuatu dari
Dhia?” tanya Encik Fatih setelah membiarkan kesepian menyelit di antara mereka.
“Pak cik nak minta apa? Kalau tentang
duit tak ada masalah, Dhia boleh pinjamkan,” lurus dia bersuara. Memandang
wajah Encik Fatih yang segera menggeleng laju.
“Eh, bukan duit yang pakcik mahu nak.”
cepat saja Encik Fatih meningkah.
“Habis tu, kalau bukan duit, pakcik
nak minta apa?” tanya Dhia.
Encik Fatih terdiam sejenak. Wajah cantik Dhia dipandang lagi.
“Pakcik minta Dhia tolong rahsiakan
perkara ini dari pengetahuan makcik dan Farhan. Pakcik tak mahu dia orang tahu
tentang perkara ini.”
“Tapi kenapa pula pakcik? Bukankah
mereka ahli keluarga pakcik? Tak sepatutnya pakcik sembunyikan semua ni dari
mereka.”
Berkerut seketika wajah Dhia mendengar
permintaan lelaki itu. Ada rasa hairan yang menjentik hatinya. Hairan dengan
sikap lelaki itu. Tidak mahu berkongsi masalah dengan orang-orang tersayang.
“Bukan niat pakcik nak sembunyikan
semua ni dari mereka Dhia tapi pakcik buat semua ni demi kebaikan mereka
sendiri,”
“Maksud pakcik?” Encik Fatih menarik
nafas panjang.
“Pakcik tak mahu susahkan mereka
dengan masalah pakcik ni Dhia. Makcik kamu dah banyak berkorban demi pakcik.
Begitu juga Farhan. Pakcik tak mahu dia orang susah hati dengan masalah yang pakcik
hadapi. Cukuplah dengan apa yang telah berlaku selama ini.”
Suara Encik Fatih kedengaran begitu
perlahan. Seolah–olah dia bercakap sendiri. Hampir tidak kedengaran di telinga Dhia.
“Boleh ya Dhia,” suaranya semula
tatkala tiada sahutan dari gadis itu.
“Dijamin beres pakcik,” ucap Dhia
tersengih kecil.
Meletak jari-jemarinya ke tepi kepala.
Seakan memberi tabik hormat.
Encik Fatih tergelak kecil. Terhibur
dengan gelagat bersahaja gadis itu.
Tanpa mereka sedar, seseorang yang
sedari tadi memasang telinga mendengar perbualan mereka menarik nafas panjang.
No comments:
Post a Comment