BAB 12
“ABANG...”
Teguran lembut itu mengalih perhatian Faris.
Sejak
tadi dia menyandar tubuh sambil membaca buku di kerusi rehat anjung rumah. Dia
merengus kecil.
“Nak
apa?” Acuh tak acuh saja dia bertanya. Kurang senang diganggu tatkala dirinya
hilang dalam dunia pembacaan. Dunia kegemarannya sejak dulu.
Riya
terus tersenyum panjang.
“Adik
nak cakap sesuatu dengan abang.” Manja saja dia bersuara.
Sempat
dia mengerling mata pada Salman. Suaminya itu kelihatan ralit berbual dengan
Encik Rais di satu sudut rumah. Manakala ketiga-tiga anak mereka masih girang
berlarian di laman rumah ditemani Puan Fatimah petang itu.
“Adik
nak cakap apa?” Faris masih menggunakan panggilan sama yang digunakannya sejak
kecil setiap kali berinteraksi dengan wanita itu. Menjadikan senyuman Riya
bertambah-tambah lebar.
“Abang
tahu, adik dah dapat pereka yang akan mereka bentuk hiasan dalaman butik adik
tu,” beritahunya gembira.
“Really?
So?” Faris bertanya malas. Biarpun telinganya dipasang namun matanya masih
terarah di permukaan buku.
“Orangnya
cantik sangat bang. Kulitnya putih bersih, wajahnya bujur sirih, lemah-lembut,
sopan-santun, berbudi...”
“Kejap,
kejap, kejap...” Pantas saja Faris memotong kata. Menjadikan kata-kata Riya
terhenti di situ seketika.
“Kenapa
bang?” Terpinga-pinga Riya melihat tingkah tiba-tiba abangnya. Bulat saja
matanya membalas pandangan berkerut lelaki itu.
“Sebenarnya
adik cari pereka tu untuk membuat design dalaman butik adik atau adik
pergi jumpa dia sebab nak nilai diri dia?” tanya Faris sambil menjongket
kening. Tanda ingin kepastian.
Riya
telah tertawa halus. Geli hati dengan pertanyaan bersahaja abangnya.
“Apalah
abang ni. Of courselah adik pergi jumpa dia sebab nak suruh dia buat design
untuk butik adik tu tapi tak salahkan kalau adik nilai diri dia jugak? Mana
tahu adalah harapan adik nak berkakak ipar dalam masa terdekat ni.” Kata-kata
adiknya itu dibalas dengan rengusan dan jelingan tajam Faris.
Mengerti
kini niat sebenar Riya menemuinya di kala ini. Untuk mempromosikan gadis
pilihan wanita itu yang juga telah menjadi pilihan orang tua mereka. Sedangkan
Faris yang ingin dipadankan dengan gadis itu sendiri tidak pernah melihatnya
selama ini. Rengusannya terluah semula.
“Adik
ni, perangai sama aje macam mak. Tak ada benda lain nak difikirkan. Balik-balik
hal kahwin abang jugak yang menjadi mangsa fikiran kau orang. Kalau dah
teringin sangat nak kahwinkan orang, baik adik buka saja agensi mencari jodoh.
Jangan cakap abang, berlambak-lambak lagi orang yang boleh adik carikan jodoh
nanti,” ujar Faris kembali menyandar tubuh.
Matanya
terus melekap pada buku di tangan. Tak peduli akan diri Riya yang mendengar
kata-katanya sudah menarik muncung sedepa panjang.
Namun
hanya sekejap. Dia bersuara semula selepas itu. Bernada ceria.
“Abang
tahu. Kak Wafi tu cantik orangnya. Lemah-lembut saja tingkahnya tu pun. Dahlah
tu, bersopan benar orangnya. Tapi tulah, dia susah sangat nak senyum. Cakap pun
sepatah-sepatah aje. Tapi kalau kita pandai pancing minat dia untuk bercakap,
ramahlah dia jadinya. Itupun dia tetap tak senyum. Kalau senyum pun macam mahu
tak mahu senyum aje,” rungut Riya dalam senyumannya.
“Tapikan
bang, adik peliklah dengan perangai Kak Wafi tu. Dia kan mempunyai ijazah dalam
bidang rekaan dalaman, dahlah tu pandai melukis pulak. Tapi kenapa dia tak
bekerja kat mana-mana organisasi aje? Adik dah tengok semua design yang
dia buat. Superb. Menarik sangat. Semua lukisannya pun adik dah tengok.
Cantik
gila bang. Semua lukisannya tu nampak real sangat. Tak jemu kita pandang
lama-lama. Adik rasa, kalau abang tengok mesti abang pun akan jatuh cinta kat
semua lukisan tu. Yalah, abangkan peminat nombor satu lukisan. Cuba-cubalah
abang pergi tengok lukisan Kak Wafi tu. Mesti tak tidur malam abang dibuatnya
nanti.”
Riya
terus bercerita tanpa peduli pada Faris sudah mendengus beberapa kali. Bosan
dengan inti cerita yang disampaikan adiknya.
Baginya,
semua cerita itu hanyalah sebuah cerita yang telah ditokoktambah bagi
menyedapkan halwa telinganya. Sekali gus membuatkan dia tertarik untuk
mengenali gadis yang rancak diperkatakan Riya ketika ini.
Macamlah
aku pernah mintak dia orang carikan jodoh untuk aku, hatinya merungut sendiri.
Namun telinganya tetap dipasang. Sekadar menjaga hati adik kesayangan yang
masih tidak jemu membuang suara. Bercerita tentang gadis pilihannya dan Puan
Fatimah itu.
“Abang
tak nak mengurat Kak Wafi tu ke bang? Rugi tau kalau abang tak nak berkenalan
dengan dia. Kalaupun dia tak ada jodoh dengan abang, at least abang
boleh berkawan dengan dia. Manalah tahu abang berminat untuk tolong dia jual
semua lukisan dia tu.” Riya bersuara lagi bila dilihat Faris hanya memekakkan
telinga.
Tiada
langsung tanda-tanda lelaki itu berminat dengan apa yang sedang diperkatakannya
ketika ini. Dia pula mendengus halus bila satu jelingan Faris bersama senyuman
sinis lelaki itu dilayang ke arahnya.
“Abang
ni, beriya-iya adik bagitahu dia pasal Kak Wafi tapi boleh aje dia buat-buat
bodoh. Sampai hati abang buat adik macam ni.”
Riya
sudah menarik muncung buat kali kedua. Dijeling sekilas abangnya seraya
berpaling tubuh dari menghadap lelaki itu. Pura-pura merajuk.
Dia
tersenyum dalam diam bila Faris pantas memeluknya dari belakang. Tahu benar dia
kelemahan si abang. Pantang benar bagi lelaki itu melihatnya beriak sedih.
Pasti lekas saja dia memujuk.
“Okey,
okey, abang mintak maaf sebab buat adik macam tu tapi boleh tak kalau adik
biarkan abang bersendirian sekarang? Abang malaslah nak dengar semua cerita
boring adik tu.” Lembut Faris memujuk. Sedang Riya sudah membeliak mata ke
arahnya.
“What?
Abang kata cerita adik cerita boring? How could you said like that? Cerita
adik tu cerita betul tau bang, tak adanya adik nak tambah-tambah mengikut
perasa sendiri.” Muncung Riya menjadi semakin panjang bila meluah kata-kata
itu.
Faris
pula sudah mengukir senyuman lebar.
“Abang
tak kata cerita adik tu bohong.”
“Tahulah
abang tak cakap macam tu pada adik tapi cara abang cakap tu macamlah adik
mereka-reka cerita.”
“Bukan
macam tu maksud abang cik adik sayang oii.”
“Argh!
Abang ni. Saja nak bagi adik sakit hati. Memang abang...”
“Riya,
tolong buatkan air untuk abang dan ayah. Dahagalah.”
Salman
tiba-tiba mencelah dalam perbualan kedua-dua beradik itu. Menyebabkan
bunga-bunga pertengkaran antara Riya dan Faris mati di situ secara automatik.
Dilambai sedikit tangannya pada si isteri yang serta-merta merengus halus.
Terkilan sungguh dia bila niatnya untuk melobi Wafi pada Faris diganggu gugat
suami sendiri.
Sempat
dia menjeling Faris yang sudah menegakkan ibu jari kanannya. Menunjukkan tanda
bagus dengan senyuman lebar menghiasi wajahnya. Suka dengan keadaan itu.
“Riya,
dengar tak apa yang abang cakap ni?” Laungan Salman kedengaran buat kali kedua
bila dilihat si isteri masih tidak berganjak dari duduknya. Lagi tinggi dari
yang laungan pertama.
“Dengar.
Riya pergi buatlah ni,” ujar Riya menyahut nyaring bila suara Salman kedengaran
lagi.
Bergegas
dia bangun sebelum menerpa masuk ke dalam rumah. Meninggalkan Faris yang
kembali menyambung pembacaannya dengan senang hati.
BUNYI
ketukan bertalu-talu di muka pintu bilik
pejabatnya membuatkan Encik Ghazali yang sibuk menyiapkan kerjanya segera
mendongak kepala. Dia sedikit terpinga tatkala setiausahanya terus meluru masuk
tanpa sempat dia memberi sebarang arahan. Wajah wanita beranak empat itu
kelihatan cemas.
“Encik
Ghazali, tolong turun ke tingkat bawah sekarang. Rina baru call saya
bagitahu Puan Alia dan Encik Ainul sedang bergaduh sakan kat bilik Puan Alia.”
Tercungap-cungap wanita itu memberitahu.
Terbeliak
mata Encik Ghazali mendengarnya. Sangat terkejut hingga terlepas pen dari celah
jari-jemarinya.
“Bergaduh?
Bergaduh macam mana maksud awak?” Kelam-kabut dia bertanya seraya menolak cepat
kerusinya ke belakang.
“Bergaduh
sampai menjerit-jerit macam orang gila Encik Ghazali. Dia orang...” Belum
sempat wanita itu menghabiskan kata, Encik Ghazali sudah berlari anak ke pintu
sebelum tergesa-gesa ke lif. Segera dia menekan butang sebelum melangkah keluar
ke pejabat Alia secepat mungkin.
Para
pekerja yang sejak tadi mengerumuni pintu bilik pejabat itu segera memberi laluan
tatkala terpandang kelibat Encik Ghazali di situ. Masing-masing hanya saling
berpandangan seraya berbisik-bisik sesama sendiri.
Tidak
peduli dengan perlakuan para pekerjanya, Encik Ghazali segera menerpa masuk.
Mendapatkan Alia yang sudah menarik-narik rambut Ainul. Lelaki itu pula cuba
menolak tubuh wanita itu dari terus-terusan mendekatinya.
Sambil
menjerit-jerit marah kedua-duanya berbalas makian sebelum sama-sama terjatuh ke
lantai bilik. Buat seketika mereka bergumpalan di situ. Bercakaran sesama
sendiri. Langsung tidak endah sekeliling keadaan tingkah keduanya yang
memerhatikan.
“Astaghfirullahalazim...
apa nak jadi dengan kamu berdua ni hah? Tak malu ke bergaduh depan semua
orang?” Jerkahan Encik Ghazali kedengaran melangsing tinggi.
Pantas
saja tangannya menarik tubuh kecil Alia dari terus-terusan mencekak rambut
bekas menantunya. Sekali gus meleraikan pergelutan lelaki dan wanita itu.
Alia
merengus penuh marah.
“Dia
ni ayah. Tak ada otak langsung! Dia kata cadangan Alia tak masuk di akal. Apa
dia fikir cadangan dia tu bagus sangat? Hei bodoh, budak tadika lagi cerdik
dari otak bangang kau tu tau!” jerkah Alia sambil membetulkan kedudukan tudung
dan kemeja di tubuhnya.
Sempat
dia mengerling ruang bilik sebelum tersedar dengan keadaan sekeliling. Ada rasa
malu yang menempel di hati namun hanya sekejap bila angin marahnya kembali
berputar laju dalam hati. Dia perlu melepaskan segala amarahnya hari juga.
Baru
puas hati aku dibuatnya, sempat lagi hatinya mengomel.
“Hei
perempuan perasan bagus! Dah memang cadangan kau tu tak masuk akal, takkan aku
nak pakai jugak cadangan entah apa-apa kau tu! Kalau dah tak tahu nak buat
kerja, mengaku ajelah tak tahu. Tak payah nak menunjuk pandai walhal otak
kosong mengalahkan otak lembu. Buat menyusahkan orang aje!” sembur Ainul turut
sama membetulkan gaya rambut dan kemejanya. Menyinga saja dia membalas
pandangan berangin Alia. Wanita itu terus mencekak pinggangnya.
“Sudah,
sudah! Jangan nak bertekak lagi kat sini. Kedua-dua kau orang naik ke pejabat
ayah sekarang! Jangan nak membantah! Cepat!” tengking Encik Ghazali sebelum
sempat Alia bersuara. Tajam saja matanya melotot ke wajah anak dan bekas
menantunya itu.
Membuatkan
lidah Ainul dan Alia terus terkunci rapat serta-merta. Kecut perut mendengar
tengkingan Encik Ghazali. Bimbang lelaki itu pula yang naik angin sekali gus
membawa kesusahan pada mereka. Lalu kedua-duanya segera menapak ke luar.
Mengikut langkah Encik Ghazali yang terlebih dulu berbuat demikian. Sempat lagi
kedua-duanya bercakaran tatkala bergerak keluar dari situ. Namun tingkah mereka
serta-merta terhenti tatkala terpandang jelingan tajam Encik Ghazali.
“Rina,
awak telefon Encik Azmi. Mintak dia datang ke pejabat saya sekarang jugak.”
Penuh tegas lagi keras Encik Ghazali memberi arahan pada setiausaha anaknya
sebelum berlalu ke pejabatnya bersama Ainul dan Alia. Kedua-duanya hanya
menurut dengan wajah masam lagi ketat.
Pantas
Rina mengangguk lalu mencapai telefon. Terus menjalankan arahan lelaki itu.
“Apa
nak jadi dengan kamu berdua ni hah? Menjerit-jerit macam orang gila sampai satu
pejabat kecoh tengok gelagat kamu. Apa kulit muka kamu berdua tu diperbuat dari
kulit kayu jati tebal ke sampai langsung tak ada rasa malu walau seinci?” marah
Encik Ghazali sebaik sahaja kakinya memijak lantai bilik pejabatnya.
Tajam
benar matanya menatap Alia dan Ainul yang menikus di depannya kini. Tegak saja
kedua-dua tubuh itu berdiri berdepannya seraya menunduk kepala. Sedangkan mata
kedua-duanya saling berbalas jelingan dalam diam. Tajam.
“Ayah
ingatkan selepas beberapa tahun kamu berdua berpisah, takkan wujud lagi
perasaan marah dan dendam antara satu sama lain. Tapi rupanya ayah silap! Silap
sama sekali. Kalaulah dari awal ayah tahu kamu berdua akan jatuhkan maruah
sendiri macam ni sekali, mati hidup semula pun ayah takkan benarkan kamu
bekerjasama. Tak payah kata bekerjasama, nak bagi tengok muka masing-masing pun
belum tentu ayah izinkan!” Encik Ghazali memuntahkan kemarahannya lagi. Penuh
geram.
Dia
baru ingin menyambung suara bila tiba-tiba pintu biliknya diketuk sebelum wajah
setiausahanya tersembul di situ.
“Encik
Ghazali, Encik Azmi dah sampai.”
Wanita
itu terus memberi laluan pada Encik Azmi yang tergesa-gesa melangkah masuk. Dia
terus mendapatkan Encik Ghazali yang sejak tadi bermundar-mandir di tengah
ruang bilik. Wajah lelaki itu kelihatan merah.
“Kenapa
ni Zali? Apa yang dah berlaku?” tanya Encik Azmi terpinga-pinga seketika.
Tangan kanannya sudah ditekap ke dada sendiri. Sedikit termengah-mengah
memandangkan dia tergesa-gesa menghadirkan diri ke situ. Bulat matanya
memandang Encik Ghazali yang masih bercekak pinggang.
“Aku
mintak maaf kerana tiba-tiba saja aku panggil kau ke sini tapi aku dah tak tahu
nak buat apa lagi dah Mi. Jangan kata kepala, hati aku ni pun sakitnya bukan
main lagi sekarang ni. Tak mampu rasanya badan tua aku ni nak tampung rasa
sakit ni Mi,” ujar Encik Ghazali dalam marah yang bersalut kecewa.
“That’s
okay. Aku pun sebenarnya on the way nak ke pejabat kau ni tadi.
Kebetulan Rina call aku, terus ajelah aku ke sini. Ada apa sebenarnya
Zali?” ucap Encik Azmi masih tidak tahu hujung pangkal.
Dia
terus mengalih mata pada Ainul dan Alia sebaik sahaja terpandang kerlingan
Encik Ghazali ke arah kedua-duanya. Baru terperasan dengan kehadiran kedua-dua
mereka di situ. Melihat wajah kelat masam kedua-duanya telah cukup membuatkan
dia mengerti sendiri situasi yang sedang dihadapi mereka ketika ini. Dia
mengeluh kecil.
“Tak
payahlah kau cakap apa-apa lagi Zali. Aku dah faham semuanya sekarang.” Lemah
saja dia bersuara tanpa sempat sahabat baiknya menjawab pertanyaannya.
Wajah
menyinga Encik Ghazali dipandang semula dengan rasa kecewa yang begitu
mendalam. Segugus keluhan terlepas lagi dari mulutnya.
“Begini
sajalah Zali. Aku rasa lebih baik kalau kita ambil balik projek tu dari anak-anak
kita ni. Apa guna kita bersusah-payah nak baikkan mereka semula kalau mereka
sendiri tidak mahu berbuat demikian. Sia-sia saja usaha kita selama ni Zali.
Aku tak mahu marah dan aku tak mahu masuk campur lagi pasal hal mereka selepas
ni.
Cuma
apa yang aku dapat katakan hanyalah satu. Aku benar-benar kecewa dengan sikap
kedua-duanya. Sangat-sangat kecewa sampaikan aku tak mampu nak luahkan rasa tu
sepenuhnya.
Apapun
Zali, tak perlulah kau marahkan mereka lagi. Biarlah mereka nak buat apapun.
Kalau itu yang mereka nak, kita sebagai orang tua terima sajalah keputusan
mereka sebaiknya biarpun kita sebenarnya yang lebih kecewa dengan keadaan ni.”
Suaranya lembut. Menepuk perlahan bahu sahabat baiknya yang terkedu dengan
keputusan drastik lelaki itu.
“Zali,
kau sibuk ke sekarang?” soal Encik Azmi tiba-tiba. Terus menukar tajuk bicara.
“Taklah
sangat. Kenapa?” soal Encik Ghazali.
Sedikit
terpinga dengan tingkah yang ditunjukkan lelaki itu ketika ini. Begitu tenang
dan selamba. Tidak seperti sebelumnya. Cepat saja lelaki itu melenting marah
setiap kali perihal Ainul dan Alia diperkatakan.
“Kalau
macam tu, jom temankan aku pergi minum sekejap. Bolehlah kita berbincang pasal
satu lagi projek kerjasama terbaru kita tu,” ajak Encik Azmi terus menapak ke
pintu.
Langsung
tak peduli dengan Ainul dan Alia yang hanya memandang tingkah ayah mereka
dengan ekor mata. Ada rasa kecewa bercampur bersalah di hati masing-masing
tatkala mendengar kata-kata Encik Azmi sebentar tadi. Kecewa kerana telah
melukakan hati orang tua mereka. Bersalah kerana telah menghampakan harapan
tinggi mereka.
Lambat-lambat
Encik Ghazali mengangguk setelah berfikir sekejap.
“Elok
jugak cadangan kau tu. Sekurang-kurangnya bolehlah aku hilangkan rasa panas
hati aku ni dengan segelas air sejuk. Mana tahu hati aku boleh baik balik lepas
ni,” sahut lelaki itu menapak bersama sahabat baiknya ke luar bilik.
Tidak
lagi peduli pada Ainul dan Alia yang perlahan-lahan mengangkat kepala. Dengan
raut marah, kedua-duanya berbalas pandangan.
“Bangang!”
marah Alia pada Ainul sebelum berlalu dari situ.
“Perasan
baguslah tu!” balas Ainul pula sebelum menapak keluar.
Langsung
tiada senyuman malah jelingan maut pula yang menjadi perantaraan keduanya.
Jelas terpancar kemarahan dan rasa tidak puas hati di wajah masing-masing.
Marah dengan apa yang berlaku. Tidak puas hati dengan keadaan itu.
Tidak
sedar Encik Ghazali dan Encik Azmi yang melihat tingkah kedua-duanya dari jauh
menggeleng penuh kesal.
“HAH
Isma, dah lama sampai?” Teguran lembut
itu membuatkan senyuman Isma terus melebar.
Pantas
dia berpaling. Menatap Encik Khalid melangkah turun dari tingkat atas rumah
setelah selesai menunaikan Solat Asar petang itu. Segera dicapai tangan Encik
Khalid sebelum dikucupnya lembut.
“Baru
saja ayah,” sahutnya sopan.
Dia
kembali melabuhkan punggung di sofa. Berdepan lelaki itu.
“Jemput
minum airnya Isma,” pelawa Puan Khadijah pula.
Dulang
yang dibawa dari dapur diletak di atas meja berhadapan Isma. Dia sendiri
kemudiannya turut melabuh punggung bersebelahan Encik Khalid.
“Mak,
ayah. Sebenarnya Is datang ni sebab Is nak bagitahu yang Is nak balik ke
kampung nenek esok lusa. Is nak tengok kawasan tapak tempat ayah dan abang
bercadang nak bina chalet tu. Lepas Is tengok tapak tu barulah Is boleh
bagitahu ayah sama ada sesuai atau tidak kita membina chalet di situ.
Sambil-sambil tu Is nak ziarah nenek jugak. Rasanya dah lama Is tak jenguk dia
kat sana.” Isma meluah tujuan kedatangannya ke situ setelah seteguk dua minuman
melalui ruang tekaknya.
Kedua-dua
bekas mentuanya terus mengangguk faham.
“Elok
sangatlah kalau kamu nak balik ke kampung tu pun Is. Kamu sendiri pun dah lama
tak rehatkan badan. Siang malam asyik kerja saja sampai langsung tak hirau
kesihatan sendiri. Sekurang-kurangnya bila kamu balik ke sana bolehlah kamu
berehat sekejap walaupun setakat sehari dua saja. Kebetulan pulak Damia pun ada
kat sana sekarang. Bolehlah kamu berdua berkenalan nanti,” sambut Puan Khadijah
bersetuju benar dengan cadangan bekas menantunya.
“Damia?”
ujar Isma sudah melakar kerutan di dahi.
“Maksud
mak sepupu kepada arwah Kamilia tu ke?”
Dia
ingat-ingat lupa tentang gadis yang tidak pernah dilihat wajahnya sebelum ini.
Namun
sedikit sebanyak kisah Damia berada dalam pengetahuannya lantaran sering dia
mendengarnya dari ahli keluarga Encik Khalid yang rajin bercerita tentang gadis
itu lewat kebelakangan ini. Puan Khadijah mengangguk cepat.
“Yalah,
siapa lagi kalau bukan dia tulah. Nanti bolehlah kamu berdua berkenalan dengan
lebih rapat. Kamu pun belum pernah berjumpa dengan dia lagi kan?”
Giliran
Isma pula mengangguk laju.
“Oh
ya mak. Abang Zairi dan Kak Mimi mana? Tak nampak pun dia orang?” tanya Isma,
sudah terjenguk-jenguk kepala ke seluruh ruang rumah.
Sengaja
dia melencong perbualan. Tidak mahu perihal Damia diungkit keluar
terus-terusan. Biarpun dia tidak tahu tujuan sebenar Puan Khadijah beriya-iya
memintanya berkenalan dengan Damia. Namun dia dapat mengagak harapan yang
tersimpan di hati wanita itu terhadap mereka. Harapan yang sama terlukis di
riak wajah ahli keluarga Encik Khalid yang lain setiap kali mereka berbicara
tentang Damia padanya. Dia saja yang pura-pura tidak memahami lantaran dia
sendiri tidak berminat untuk menunaikan harapan yang tidak pernah terlintas di
hatinya itu.
“Abang
dan kakak kamu dah keluar ke rumah kawan. Malam nanti baru balik katanya.
Anak-anak dia orang pulak balik ke rumah mak ayah Kak Mimi kamu. Esokkan cuti.
Jadi dia orang baliklah ke sana sekejap,” beritahu Puan Khadijah cepat.
“Kamu
makan malam kat sini ya Is? Sekurang-kurangnya bolehlah kamu temankan mak dan
ayah berbual lepas makan nanti. Yalah, bukannya ada sesiapa pun selain dari
kami berdua aje kat rumah ni sekarang. Bolehlah ya Is,” pinta Puan Khadijah.
Sengaja
dia mempamer raut meminta simpati. Sayang rasanya untuk dia melepas pergi
lelaki yang sehingga kini tetap menjadi menantu lelaki kesayangannya.
Isma
tersenyum panjang.
“Is
tak menganggu mak dan ayah ke?” Keningnya terjongket sedikit lalu dia tersengih
nakal.
Puan
Khadijah pula sudah mengerut dahi.
“Mengganggu
apa pulaknya Is?” Tak faham dia dengan pertanyaan bekas menantunya itu.
“Yalah,
mana tahu Is mengganggu mak dan ayah buat candle light dinner ke.
Bukankah mak dan ayah tinggal berdua aje sekarang ni? Tak naklah Is kacau
daun,” usiknya terus tertawa kecil bila Puan Khadijah pantas menampar lembut
lengannya.
“Hisy,
kamu ni. Ada pulak ke situ. Dah tua-tua begini tak adanya kami nak buat candle
light dinner lagi. Waktu muda-muda dulu pun kami tak pernah buat, inikan
pulak waktu usia dah nak masuk senja.” Senyumannya dikulum. Malu dia dengan
usikan bekas menantunya.
Encik
Khalid hanya tersenyum menggeleng dari balik Surat Khabar Sinar Harian yang
telah lama berada di tangannya. Isma tertawa lagi.
“Alah
mak, tak semestinya umur dah nak masuk senja tak kita boleh buat semua tu. Usia
bukan penghalang untuk mak dan ayah nak beromantika di amor. Ya tak ayah?” usik
Isma lagi mengenyit mata pada Encik Khalid yang terus-terusan menguntum
senyuman. Tercuit hati dengan usikan bekas menantunya.
Wajah
Puan Khadijah pula sudah makin memerah.
“Iyalah
tu kamu. Ada-ada aje nak usik mak dan ayah. Dahlah, mak nak masak sekarang.
Kalau kamu nak mandi dan solat, tualanya ada dalam bilik kat atas tu. Pergilah
ambil sendiri. Malas mak nak layan kamu lagi,” ujar Puan Khadijah pura-pura
marah dalam senyumannya.
Terus
dia mengangkat dulang berisi cawan-cawan kotor ke ruang dapur.
Isma
mengangguk kecil seraya bangkit menuju ke tingkat atas. Sempat dia meminta diri
dari Encik Khalid yang hanya mengangguk sebelum menyambung pembacaannya semula.
No comments:
Post a Comment