BAB
2
Azfar menghambur helaian kertas di
tangannya. Bertaburan memenuhi ruang pejabat yang luas. Ditumbuk mejanya
sekali. Menghasilkan irama yang tidak senang didengari mana–mana peluput telinga.
Tidak terasa kesakitan yang menjalar di tangan. Rasa marah yang membengkak di
dalam hati dirasakan lebih melukakan dari segalanya.
Disebak kasar rambutnya beberapa kali.
Sakit yang terasa di segumpal hati miliknya bagaikan sembilu yang begitu menyengat.
Begitu menyakitkan. Menusuk seluruh jiwa yang sememangnya sedari awal telah
membengkak marah. Malah jika diukur dengan ketinggian mana–mana gunung di dunia
pun rasanya masih tidak mampu melawan ketinggian rasa marah yang menimbun di
hatinya kala ini.
Sudah hampir dua minggu dia berkeadaan
begitu. Pantang ditegur, ada sahaja penangan yang diberi. Tak mengira masa mahu
pun tempat, amukannya kembali menyerang walau hanya untuk perkara remeh.
Bunyi interkom di meja mematikan
sejenak tingkahnya. Hanya rengusan kesat tersembur keluar dari celah bibirnya.
Kasar jari telunjuknya menekan butang mesin suara itu.
“Selamat tengah hari Cik Harith
Azfar,” suara Kamelia, setiausahanya kedengaran lembut melantun ke seluruh
ruang bilik pejabatnya.
“Hah, ada apa? Kan saya dah pesan,
saya tak nak diganggu oleh sesiapa pun hari ni. Awak tak reti bahasa ke Lia?”
tengking Azfar kuat.
Tegak bulu roma para pekerja yang terdengar.
Cukup mengerunkan semua. Masing–masing saling membalas pandangan sebelum
mengangkat bahu. Tidak mengerti dengan situasi yang dialami ketua mereka kala
ini.
“Saya faham Cik Azfar tapi Dato’ Raid on the line now. Dia nak cakap dengan
encik,” balas Kamelia sedikit mengeletar. Ketakutan dengan amarah yang
membungkus diri ketua yang selama ini bertingkah sebaliknya.
“Huh!!” Azfar merengus kasar.
“Dia nak apa?” tanyanya sedikit
menengking.
Rasa marah yang memacu sekeping hati
miliknya menyebabkan dia tidak mahu berbual jauh sekali bertemu dengan sesiapa
ketika ini.
“Saya tak tahu Cik Azfar. Mungkin ada
hal penting yang ingin dicakapkan pada Cik,” sahut wanita itu lagi.
Penuh tertib dan adab. Menadah telinga
mendengar rengusan kasar lelaki itu.
“Pass
it to me!” sahut Azfar tinggi. Dia merengus lagi.
“Assalamualaikum,”
Suara seseorang memberi salam
membantutkan pergerakan Puan Marini yang sibuk mengemas ruang tamu rumahnya.
Laju sahaja mulutnya menyahut salam kesejahteraan itu. Dijengul kepalanya di
celah daun pintu rumah yang tidak tertutup rapat.
“Oh, Mahfuzah rupanya, makcik ingatkan
siapa tadi,” suaranya ceria sebaik terpandang gerangan empunya suara.
Puan Marini membuka pintu rumah
seluasnya seraya berdiri di muka pintu. Dia tersenyum lebar.
“Jemputlah masuk Fuzah,” pelawanya
ramah.
Matanya melekat sejenak pada wajah gadis
yang dipanggil Mahfuzah itu.
Gadis itu tersenyum manis.
“Tak apalah makcik. Fuzah datang ni
pun sebab nak hantar rendang ayam ni aje. Umi buat lebih tadi. Dia bagi sikit
pada makcik dan pakcik,” suara gadis itu menghulur semangkuk hidangan yang ada
di tangannya.
Puan Marini menyambut gembira.
“Amboi, sedapnya bau. Terima kasih ya
Fuzah. Buat susah-susah je,” suaranya. Meletak mangkuk yang telah beralih
tangan ke atas meja di ruang tamu.
“Tak ada apa yang susahnya makcik.
Fuzah tolong hantarkan je,” jawab gadis itu.
Fuzah tak kerja ke hari ni?” Puan
Marini kembali memalingkan wajah. Mengadap Mahfuzah yang menggeleng perlahan.
“Tak makcik. Fuzah ambil cuti hari ni.
Ada hal yang perlu Fuzah selesaikan,” sahutnya sopan.
Matanya meligas sejenak ke seluruh
ruang tamu yang kelihatan kemas dan teratur dari biasa. Terlihat kelainannya.
“Amboi makcik, lain je saya tengok
ruang tamu rumah ni. Cantik dan berseri. Macam nak sambut kedatangan tetamu
jauh saja,” usiknya tersenyum lebar.
Dia yang masih berdiri di sisi wanita
itu memandang sejenak wajah Puan Marini yang mengangguk sedikit.
“Haah Fuzah. Anak saudara makcik yang
tinggal di England nak balik ke mari lusa. Itulah yang membuatkan makcik sibuk
sikit dua tiga hari ni. Maklumlah, ini kali pertama dia nak balik ke sini. Dah
dua tiga hari lagi nak balik baru dia beritahu. Mahu tak kelam kabut makcik
dibuatnya,” ramah wanita itu bercerita.
“Oh, patutlah Fuzah tak nampak makcik
kat laman rumah sehari dua ni. Rupanya sibuk buat persiapan nak sambut
kedatangan orang jauh,” ujar Mahfuzah mengulum senyum.
“Itulah Fuzah. Makcik ni bukannya apa,
dah lama sangat tak jumpa dengan anak saudara makcik tu. Bila makcik mendapat
tahu dia nak balik menetap dengan makcik kat sini, seronoknya hati makcik ni hanya
Allah saja yang tahu Fuzah,” sambut Puan Marini penuh gembira. Terpancar rasa
itu di riak wajah tuanya.
“Eh, marilah masuk Fuzah. Dari tadi
berdiri kat pintu ni saja. Marilah ke dalam. Bolehlah kita berbual panjang
lagi,” suara wanita itu lagi tatkala menyedari gadis itu hanya berdiri di muka
pintu sedari tadi. Mempelawa buat kali kedua pada Mahfuzah yang menolak sopan.
“Eh, tak payahlah makcik. Fuzah datang
pun sebab nak hantar rendang tu je. Lain kali sajalah Fuzah masuk. Lagipun
masih banyak lagi kerja yang perlu Fuzah lakukan kat rumah tu. Nanti bila ada
masa Fuzah datang lagi ya. Bolehlah Fuzah berkenalan dengan anak saudara makcik
tu nanti,” suara Mahfuzah meminta diri.
“Kalau begitu terima kasihlah ya Fuzah
sebab sudi beri makcik rendang ayam ni. Tak payahlah makcik masak apa-apa lagi
untuk makan tengah hari nanti,” suara Puan Marini masih mengukir senyuman
lebar.
“Alah, tak payahlah makcik nak ucap terima
kasih. Bukannya ada apa pun semua tu. Fuzah balik dulu ya makcik,” ujar
Mahfuzah menghayun langkah.
Menuju ke rumahnya yang terletak
bersebelahan dengan rumah wanita itu.
“Yalah,”
Mata Puan Marini masih melekat pada
tubuh Mahfuzah. Dalam hati dia memuji kehalusan budi bahasa dan tingkah laku
gadis bertudung litup itu.
Sayang dia tidak mempunyai anak, jika
tidak sudah pasti Mahfuzah itu menjadi pilihan untuk dijadikan menantu. Itu
kata hatinya setiap kali terpandangkan gadis itu.
Puan Marini tersenyum sendiri tatkala
teringatkan angan-angannya itu. Dia kembali menyambung tugas yang terhenti
seketika sebentar tadi.
No comments:
Post a Comment