BAB 3
Encik Fatih menarik nafas panjang
sebelum dilepasnya perlahan-lahan. Matanya terpaku sejenak pada timbunan fail
yang berada di depannya. Dadanya terasa sempit mengenangkan setiap isi yang
terkandung dalam fail-fail berwarna kuning pudar itu. Terasa berdenyut urat
saraf otaknya memikirkan masalah yang semakin menjerut setiap pernafasannya.
Matanya merayap seketika ke seluruh
ruang bilik kecil yang diubah suai menjadi ruang pejabatnya. Ruang di mana
dirinya berada kini. Ruang yang banyak menelan masanya saban hari bagi
memikirkan masa depan perniagaan dan dirinya sendiri. Mengingatkan itu
membuatkan Encik Fatih mengeluh lagi.
Sudah hampir sepuluh tahun dia membuka
resort yang diberi nama Resort Seri Bayu itu. Selama itu juga telah banyak
pelaburan yang dilakukannya demi memajukan resort yang terletak berhampiran
dengan Lautan China Selatan itu.
Pelaburan yang melibatkan wang
ringgit, tenaga dan masanya. Namun sehingga kini tiada hasil yang mampu
dibanggakannya malah kerugian demi kerugian dikendongnya.
Telah pelbagai cara dilakukannya bagi
menaikkan nama resort itu seperti mana resort–resort yang terdapat berdekatan
dengannya. Semuanya menghadapi jalan kegagalan.
Jika diikutkan kata hati, mahu sahaja
dia menutup resort itu dan memulakan perniagaan lain. Perniagaan yang
menimbunkan keuntungan berlipat kali ganda. Perniagaan yang mampu menjauhkan
dirinya dari bebanan masalah yang rumit.
Namun mengingatkan resort itu adalah
impiannya selama ini maka semua itu ditolak ke tepi. Malah dia sanggup meletak
jawatannya sebagai ketua jurutera di salah sebuah syarikat terkemuka di ibu
kota hanya semata-mata ingin merealisasikan impiannya itu.
Impian untuk menjadi salah seorang
ahli perniagaan yang berjaya dalam bidang perhotelan dan pelancongan di tanah
kelahirannya, Malaysia. Kerana itu dia berusaha untuk terus bertahan hingga ke
hari ini. Bertahan dalam mengharungi pelbagai cabaran perniagaan.
Bunyi dentingan jam di dinding pejabat
menyedarkan dirinya dari terus tenggelam dalam dunia khayalannya. Encik Fatih
beristigfar panjang. Masanya terbuang lagi tanpa melakukan sebarang kegiatan
berfaedah. Matanya kembali terlekat pada timbunan fail yang sedari tadi tidak
terusik. Dia mengeluh lagi.
Dhia menyandarkan tubuhnya ke kepala
katil. Selimut yang masih membungkus tubuh di tarik merapati dadanya. Tangannya
mencapai alat kawalan. Menghala ke arah alat pendingin hawa. Mengurangkan suhu
yang dirasakan terlalu mendinginkan suasana.
Sudah hampir dua hari dia tiba di
bandaraya Kuala Lumpur. Selama itu juga masanya hanya dihabiskan di salah
sebuah hotel lima bintang di bandaraya sesak itu. Keletihan yang bersarang di
tubuh membuatkannya tidak berminat untuk menyelusuri setiap pelusuk bandaraya
walau pun itulah niatnya sebelum menjejakkan kaki ke Malaysia. Apatah lagi
keadaan tubuhnya yang dirasakan semakin lemah dan tidak bermaya sejak
kebelakangan ini menambahkan lagi rasa malasnya untuk bergerak ke mana–mana.
Bunyi deringan telefon di sisi katil
menerbangkan khayalan Dhia. Perlahan–lahan Dhia mencapai gagang sebelum memberi
salam.
“Hai my honey, macam mana dengan keadaan kau hari ni?” kedengaran suara
di sana melantun lembut setelah menjawab salamnya.
Demi mendengar suara itu Dhia
tersenyum kecil.
“Excuse
me, my name is Maihani okey not my honey. Anyway my darling, I feel okey today,”
balasnya sedikit lemah. Dia berdehem sedikit. Memberi ruang pada tekaknya untuk
berasa lebih selesa.
Hidayat tertawa kecil.
“Really?
Dah makan?”
“Aku tak ada seleralah Dayat,” jawab
Dhia lembut.
Dibetulkan sedikit letak baju tidur
yang masih tersarung di tubuhnya. Sengaja tidak menukar pakaian setelah selesai
solat subuh walau suasana telah lama beralih ke waktu tengah hari.
“Hei, janganlah macam tu Dhia. Kau
kena makan walau pun sedikit. Makanan tu penting untuk menjana tenaga dalam
tubuh kau. Macam mana kau nak baik kalau kau makan pun kau tak nak,” sahut
Hidayat cepat. Ada kerisauan yang bergulungan dalam suara garaunya.
“Masalahnya Dayat, bukannya aku tak
nak makan tapi tekak aku ni yang tak nak menelan apa-apa pun. Perut aku pun
lebih kurang je. Tak bunyi-bunyi pun dari malam tadi,” selamba Dhia menjawab.
“Iyalah tu kau, ikut sangat rasa tekak
dengan perut kau tu. Tak kasihan langsung pada diri sendiri. Kau kena paksa
diri kau Dhia untuk makan. Kalau tak boleh masuk sekalipun, kau masukkan juga. Biar
muntah tak apa, janji kau makan juga walau sedikit,” leter Hidayat tegas.
Sedikit geram dengan tingkah gadis itu
yang jarang memikirkan tentang kesihatan diri sendiri. Persahabatan yang telah
lama berlangsung antara mereka membuatkan Hidayat cukup mengenali sikap gadis
yang sentiasa ceria itu.
Dhia tergelak kecil.
“Kau ni Dayat, kalau tak berleter
boleh tak? Berdengung telinga aku mendengar leteran kau tu tahu tak?”
“Eleh, kau tu memang macam tu. Aku
berleter ke, tak berleter ke, sama saja bagi kau. Bukannya kau nak dengar pun.
Eh, kau bersiap ya, sekejap lagi aku sampai. Kau makan kat rumah aku ajelah ya.
Mana tahu selera kau terbuka bila tengok makanan sedap kat rumah aku ni. Jangan
kata tidak okey,” suara Hidayat lebih kepada memberi arahan. Sedikit tegas.
“Ala Dayat, tak payahlah kau datang
ambil aku. Aku pergi sendiri rumah kau nanti. Tak pun, aku pesan je makanan
dari hotel ni,” sela Dhia cepat. Rasa malas untuk menukar pakaian membuatkan
dia beralasan begitu.
“Dah, dah, kau tak payah nak merepek.
Nak harapkan kau datang sendiri kat rumah aku ni, rasanya petang esok pun belum
tentu kau sampai. Lagipun, manalah kau tahu jalan di KL ni. Suka hati kau saja
nak datang sendiri. Karang kalau kau sesat, aku juga yang susah nak mencari kau
kat merata tempat. Dah, dah, Kau siap sekarang. Sepuluh minit lagi aku sampai.
Kau tunggu aku kat lobi hotel sekejap lagi,” suara Hidayat lagi. Lebih tegas
dari tadi.
“Yalah, yalah,” Malas bertekak Dhia
bersetuju. Mereka berbual sejenak sebelum masing-masing meletak gagang semula.
Dhia kembali menelentangkan tubuh ke
tilam katil. Matanya memandang siling bilik hotel yang mempunyai keluasan
sederhana itu.
Dalam diam dia berterima kasih pada
Hidayat yang banyak membantunya sejak dia tiba di Malaysia. Lelaki itu sedia
memberi perkhidmatan percuma padanya tanpa mengira masa dan keadaan. Hidayat begitu
mengambil berat tentang dirinya.
Adakalanya Dhia tidak selesa dengan
semua itu. Dia rimas dengan layanan baik yang diterimanya. Bukan tabiatnya
mengantung harap pada orang lain walau dalam apa keadaan sekalipun. Namun dia
sedar, dirinya kini telah menjadi salah satu daripada tanggungjawab yang perlu
digalas oleh lelaki itu. Tanggungjawab yang hakikatnya Dhia sendiri tidak pinta
kewujudannya.
Perlahan Dhia bangun dari pembaringan.
Menyebak selimut dari terus membalut tubuhnya. Menapak ke tingkap yang tertutup
rapat.
Dari balik cermin tingkap Dhia melepas
pandangan. Untuk seketika Dhia membiar matanya meratah pemandangan bandaraya
Kuala Lumpur yang kelihatan sibuk dan sesak. Sibuk dengan pelbagai gelagat
manusia yang menghuni di situ dan sesak dengan pembangunannya yang begitu
pesat.
Melihat setiap kemajuan yang telah
dicapai oleh negara kelahiran kedua ibubapanya, negara Malaysia yang tercinta.
Negara yang tidak pernah dijejaknya selama dua puluh tujuh tahun dia hidup di
dunia. Inilah kali pertama dia berkunjung ke negara yang hanya di lihat di
dalam bahan bacaan dan didengari dari mulut arwah orang tuanya.
Mengingatkan semua itu membuatkan Dhia
menghela nafas panjang. Hatinya puas kini. Puas kerana akhirnya dia berjaya
mencapai impiannya untuk menjejakkan kaki ke negara yang terkenal dengan
kekayaan budi bahasa dan keramahan penduduknya itu.
Namun bukan itu yang menjadi penyebab
utama dia berada di negara beriklim Khatulistiwa itu. Kedatangannya mempunyai
maksudnya yang tersendiri. Ada perkara yang harus diselesaikannya di sini.
Perkara yang perlu dilakukannya dalam meniti masa–masa terakhir yang
dimilikinya. Perkara yang membuatkan Dhia akhirnya teresak sendiri.
No comments:
Post a Comment