Followers

Saturday, 5 October 2013

BAB 17 - KEJORAKU BERSATU


BAB 17 

“Jim, tolong hulur playar yang ada  kat atas meja tu!” Rafiq menjerit dari bawah sebuah kereta.
Dia begitu sibuk membaiki sebuah kereta Proton Wira. Suaranya cuba melawan kebisingan generator yang di pasang di dalam bengkel.
Jimmy merengus kasar. Dia bangkit mendapatkan playar sebelum melangkah mendekati Rafiq. Meninggalkan seketika sebuah motor besar berkuasa tinggi yang sedang dibaikinya.
“Nah. Lain kali ambil sendiri, menyusahkan aku aje,” ujar Jimmy sedikit kasar sambil menghulur playar yang diminta.
“Kau ni Jim, baru aku minta tolong sikit kau dah marah,” ujar Rafiq.
“Bukan aku marah cuma geram. Aku pun ada kerja lain yang aku kena buat,” ujar Jimmy.
“Eh kau orang, cuba tengok siapa yang datang tu,” Indra yang baru selesai membasuh kereta bersuara sedikit kuat sekaligus mematikan pertengkaran kedua-dua anak muda itu. Digulung semula paip getah yang baru selesai digunakannya.
“Ala, ada customer nak baiki keretalah tu,” balas Rafiq acuh tak acuh. Dia masih tekun menyiapkan kerjanya.
“Aku rasa bukanlah. Mungkin kawan Cik Nina kot,” ujar Jimmy.
Dia bangkit dari duduk. Matanya melekat pada lelaki yang berpakaian kemas itu. Kepalanya tertinjau-tinjau memandang sekeliling bengkel.
“Hisy, merepeklah kau ni. Cik Nina mana ada kawan lelaki,” tukas Rafiq dari bawah kereta.
“Daripada dengar kau orang berdua bertekak lebih baik aku pergi tanya dia sendiri,” sampuk Indra.
Tanpa berlengah lagi, Indra mengayun laju langkahnya menuju ke luar bengkel.
“Ya Encik, boleh saya tolong?” soal Indra ramah sebaik berhadapan dengan lelaki bertubuh tinggi itu.
Tengku Anuar tersenyum kecil.
“Saya nak baiki kereta saya ni. Kedua-dua lampu belakangnya pecah,” beritahu Tengku Anuar.
“Oh, boleh Encik, boleh.” pantas Indra menjawab.
Kemudian Indra melangkah ke belakang kereta Proton Perdana hitam metalik itu. Tengku Anuar membuntutinya.
“Oh, teruk jugak ni Encik, tapi tak apa, saya boleh gantikannya dengan yang baru. Nombor plat ni pun rasanya nak kena tukar yang baru sebab dah retak tu,” ujar Indra lagi.
“Lama ke nak buat nombor plat tu?”
“Lama jugaklah Encik. Dalam beberapa hari begitu. Tapi lampu ni saya boleh buat sekarang. Encik boleh tunggu ke?”
“Boleh, tak ada masalah. Saya boleh tunggu,” balas Tengku Anuar.
“Kalau macam tu Encik duduklah dulu. Saya buat sekarang,” ujar Indra seraya mengunjuk ibu jarinya ke arah bangku di tepi bengkel yang sememangnya disediakan untuk pelanggan.
“Terima kasih,” sahut Tengku Anuar memandang seimbas bangku yang diperbuat dari batu marmar itu. Bukan tidak sudi mendudukkan diri tetapi dia lebih selesa berdiri.
“Ind!” Jeritan seseorang dari arah pejabat mematikan perbualan mereka.
Nina melangkah keluar dari pejabat. Liar matanya mencari kelibat anak muda itu.
“Ind,” jeritnya sekali lagi bila panggilannya tidak di sahut.
“Saya Cik Nina,” balas Indra sedikit tinggi. “Sekejap ya encik, bos saya panggil tu,” ujarnya pada Tengku Anuar.
Lelaki itu hanya tersenyum mengangguk. Dia masih berdiri di situ. Bunyi deringan telefon bimbit di poket seluar mematikan senyumannya. Pantas dia menyeluk poket, menarik keluar telefon sebelum menjawab.
Indra segera berlari-lari anak mendapatkan Nina yang sudah mencekak pinggang di muka pintu pejabat.
“Saya Cik Nina,” agak tercungap-cungap dia menjawab.
Nina mendengus lembut.
“Saya nak awak pergi ke Taman Seri Indah sekarang, ada kereta rosak kat sana. Ni alamatnya,” ujar Nina, dihulurnya sekeping kertas kecil.
“Tapi Cik Nina, saya ada customer sekarang.”
“Awak ada customer sekarang?” ujar Nina menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia berfikir seketika.
“Hmm… tak apa, saya handle customer tu. Awak pergi sekarang,” arah Nina.
Tanpa membantah Indra mengangguk kecil. Menyambut huluran Nina. Dia segera ke bengkel, mencari peralatan yang diperlukan. Tak lama, kedengaran deruman motorsikalnya berlalu keluar dari kawasan bengkel itu.
Nina segera melangkah ke ruang luar pejabat. Dihampiri Tengku Anuar yang berdiri membelakanginya.  
“Ya encik,” Dengan nada sopan Nina bersuara.
Tengku Anuar segera mematikan talian. Telefon bimbit di tangan dimasukkan semula ke dalam poket seluar. Raut wajahnya sedikit berubah tatkala dia menoleh. Dia sedikit tergamam. Tidak menyangka dengan pertemuan yang tidak diduga itu. Air muka Nina turut berubah.
“Encik?” soalnya sedikit terkejut.
Namun tak lama, Nina mengukir senyuman. Tengku Anuar turut mengukir senyuman.
“Tak sangka akan bertemu dengan awak di sini,” ujar Tengku Anuar ceria.
Nina tidak menyahut. Dia melangkah ke belakang kereta.
“Encik belum baiki lagi ke kerosakan hari tu?” soal Nina. Jari-jemarinya menyentuh bahagian kereta yang kelihatan kemek.
“Saya tak ada masa nak baikinya sebelum ni. Kebetulan hari ni kerja tak banyak, sebab tu saya datang ke bengkel,” tutur Tengku Anuar lembut. Matanya masih terpaku pada wajah bujur sirih milik Nina.
“Encik nak siapkan kesemuanya hari ni jugak ke?” Tanpa memandang wajah itu Nina menyoal lagi. “Kalau bolehlah,” ujar Tengku Anuar.
“Boleh tu boleh tapi Encik kena tunggu lama sikitlah sebab nombor plat tu kena buat yang baru,” ujar Nina lagi.
“Tak apa, saya pun tak ada kerja petang ni,” sahut Tengku Anuar.
“Kalau macam tu, encik duduklah dulu kat bangku tu. Kalau tidak pun, apa kata encik tunggu saja dalam pejabat sana. Panas kat luar ni.”
“Tak apa, saya dah biasa,” jawabnya tenang.
Nina segera melangkah masuk ke bengkel. Mencari peralatan untuk membaiki kereta sebelum keluar semula. Diletak semua barang yang dibawanya di tepi kereta. Dia melabuhkan punggung ke atas tanah. Tangannya mula tangkas membuat kerja.
Tengku Anuar masih berdiri di tepi keretanya. Dia hanya memerhati gadis itu melakukan kerjanya dengan pantas.
“Awak kerja kat bengkel ni ke?” soal Tengku Anuar.
Sebenarnya Tengku Aamir masih tergamam dengan pertemuan yang tidak diduga itu. Sambil itu matanya rakus memandang gadis itu melakukan kerja.
“Ini bengkel saya,” Tanpa memandang wajah lelaki itu Nina berterus terang.
“Bengkel ini kepunyaan awak?” soal Tengku Anuar terkejut.
Dia kurang percaya dengan kenyataan gadis itu. Namun hanya seketika. Melihat sikap dan pakaian gadis itu dia dapat mengagak Nina bercakap benar. Bulat matanya memandang Nina yang mengangguk kecil. Riak wajah gadis itu masih tidak berubah. Selamba.
“Apa nak buat Encik, dah minat,” luahnya bersahaja.
Tangannya masih ligat membuat  kerja. Walau pun Nina tidak melihat wajah itu namun dia dapat mengagak reaksi yang dipamerkan Tengku Anuar. Dia telah biasa dengan reaksi sebegitu setiap kali ada orang yang bertanyakannya tentang hal itu.  
“Tak payahlah berencik-encik dengan saya. Janggal bunyinya. Panggil saja saya Anuar,” ujar Tengku Anuar.
Nina tersenyum lagi. Dia tidak menyahut.
“Jarang ada perempuan yang suka buat kerja macam ni.”
Mata Tengku Anuar masih lagi memerhati setiap gerakan gadis itu. Namun matanya lebih tertumpu pada raut wajah Nina yang dirasakan cantik walau pun terdapat kesan kotor dan calitan minyak di wajah itu.
“Saya tahu tapi itulah, dah minat. Nak buat macam mana lagi. Bagi saya, asalkan kerja yang saya lakukan ni boleh beri rezeki yang halal, saya tak kisah tentang pandangan orang lain terhadap saya.”

Tengku Anuar tersenyum kecil. Ada sesuatu yang bercambah di hatinya kala ini. 

No comments:

Post a Comment