BAB 11
“WAFI,
boleh mak cakap sesuatu?” tanya Puan Ainun sebaik sahaja telekung di
kepalanya dibuka. Mereka berdua baru selesai Solat Subuh berjemaah bersama
Encik Musaid.
Dipandang
sekilas Encik Musaid yang menarik keluar al-Quran dari rak sebelum suaminya mengalunkan
ayat-ayat terindah itu. Menjadi tabiat lelaki itu sejak muda melantun bacaannya
setiap kali selesai Solat Subuh di bilik yang dijadikan surau kecil di rumah
mereka sekeluarga.
“Ada
apa mak?” balas Wafi lembut.
Dia
turut membuka telekungnya sebelum kain putih bersih itu dilipat dengan penuh
cermat.
“Mak
dan ayah nak ke rumah jiran sebelah rumah kita petang nanti. Dia orang ada
jemput kita sekeluarga minum petang di rumahnya. Wafi ikut sekali ya?” Sedikit
beriya-iya Puan Ainun mengajak. Begitu lembut dan penuh mengharap.
Namun
raut wajah Puan Ainun berubah kecewa bila gadis itu menggeleng perlahan. Tanda
menolak.
“Tak
apalah mak, Wafi rasa lebih baik kalau Wafi duduk di rumah saja. Lagipun masih
ada banyak lagi lukisan Wafi yang belum Wafi siapkan.” Lembut dia menutur
alasan.
Tertunduk
wajahnya sedikit tatkala terpandang riak suram Puan Ainun. Sementara
jari-jemarinya dibiar bermain-main dengan hujung telekungnya.
Puan
Ainun mengeluh kecil.
“Apa
salahnya kalau Wafi ikut sekali ke rumah dia orang tu? Bukannya kita nak
berlama-lama kat situ. Lepas saja makan dan berbual, kita baliklah. Lagipun
bukankah lebih elok kalau kita berkenalan dengan lebih rapat dengan jiran-jiran
kita? Esok-esok kalau jadi apa-apa, senanglah kita nak minta tolong.” Puan
Ainun masih tidak berputus asa memujuk. Si anak pula terus menggeleng buat kali
kedua.
“Wafi
tak fikir Wafi nak pergi mak. Wafi lebih senang duduk di rumah aje.”
Dia
masih mengulang kata-kata serupa. Wajahnya masih tidak diangkat. Sedar
kata-katanya tidak disenangi wanita itu yang berharap sebaliknya.
Keluhan
Puan Ainun kedengaran lagi. Lebih berat dari sebelumnya.
“Wafi,
sampai bila Wafi nak berkurung diri begini? Wafi tak teringin ke melihat dunia
luar? Berjumpa dan berkenalan dengan seramai manusia yang mungkin? Tak guna
Wafi bersikap begini sayang. Wafi sendiri yang akan berasa sunyi nanti.” Lemah
dan sayu saja Puan Ainun bersuara.
Terkilan
sebenarnya dengan sikap si anak. Ternyata gadis itu masih berperasaan sama
seperti dulu. Tidak berkeinginan untuk menjengah kehidupan luar biarpun
seketika.
“Wafi
tak pernah rasa sunyi mak. Wafi ada mak dan ayah. Wafi juga ada dunia Wafi
sendiri. Jadi untuk apa Wafi rasa sunyi?” jawab Wafi dengan nada suara yang
begitu perlahan. Namun masih dapat ditangkap telinga Puan Ainun.
“Jangan
cakap begitu nak. Bukan sehari dua kita akan melalui kehidupan ni tapi
bertahun-tahun lamanya sayang. Banyak perkara yang perlu kita lakukan sepanjang
masa itu berjalan dan kebanyakan perkara yang kita lakukan itu memerlukan
pertolongan orang lain untuk kita sempurnakannya.
Barulah
kehidupan kita diberkati di dunia juga akhirat. Ini lumrah hidup nak dan Wafi
mesti menerimanya sama ada Wafi suka ataupun tidak. Jika tidak Wafi dianggap
tidak menerima ketentuan ALLAH. Sedangkan DIA mahu semua makhluk ciptaan-NYA
saling bergaul mesra dan hidup bahagia bersama-sama.” Kata-kata nasihat Puan
Ainun melantun lembut ke ruang pendengaran Wafi.
Menjadikan
gadis itu terkunci lidah seketika. Tiada jawapan yang mampu diberinya
memandangkan kata-kata Puan Ainun penuh dengan kebenarannya.
“Wafi
ikut mak dan ayah ke rumah jiran kita tu ya petang nanti?” Puan Ainun mengajak
buat kali kedua. Kali ini dengan harapan yang lebih berat. Wajah menunduk si
anak ditatap lama. Meminta persetujuan.
Puan
Ainun kecewa lagi bila Wafi tetap dengan keputusannya. Tiada kata yang terluah
dari mulut. Namun gelengan lambat-lambat gadis itu telah menzahirkan
jawapannya.
“Wafi
mintak diri ke bilik dulu mak, ayah.”
Wafi
segera menyalami tangan Puan Ainun dan Encik Musaid yang terhenti sejenak
pembacaannya dek perbualan kedua wanita itu sebentar tadi.
Terus
saja gadis itu berlalu keluar dari bilik itu bersama lipatan telekungnya.
Meninggalkan Puan Ainun dan Encik Musaid. Mereka saling berbalas pandangan.
Sama-sama sebal dengan keadaan itu.
“KAU
rasa rancangan kita ni akan berjalan
lancar tak?” tanya Encik Ghazali sambil memandang sahabat baiknya, Encik Azmi.
Lama wajah bekas besannya ditatap.
Lelaki
itu melepas nafas perlahan lantas menyandar tubuh ke sofa pejabatnya.
“Entahlah
Zali. Aku pun tak tahu nak kata apa pasal ni. Tapi nampak gaya macam tak
menjadi aje sepertimana yang kita harapkan.” Lemah Encik Azmi membuang keluhan.
“Kenapa
pula kau cakap macam tu?” soal Encik Ghazali tanda tak mengerti. Matanya masih
tidak berganjak dari bergayut di wajah suram Encik Azmi. Meminta kepastian.
“Ammar
ada bagitahu aku yang kertas kerja baru bagi projek yang kita minta Ainul dan
Alia lakukan itu masih belum nampak bayangnya sampai sekarang. Mana nak siapnya
kalau setiap kali berjumpa aje kedua-dua anak kita tu hanya tahu bertekak,
bertekak dan bertekak aje tak kira masa atau tempat. Kalau dengan nada yang
perlahan atau rendah tak apalah juga. Ini tidak.
Semua
orang yang ada kat sekeliling dia orang pun boleh tahu perkara apa yang mereka
tekakkan. Sampai si Rina dan Lily pun dah naik pening kepala. Nasib baiklah dia
orang berdua tu ada bersama setiap kali Ainul dan Alia berjumpa. Kalau tidak
aku rasa dah lama anak-anak kita tu bergusti sakan,” keluh Encik Azmi.
Benar-benar kesal dengan keadaan itu.
Encik
Ghazali sudah terlopong mulut mendengarnya. Tidak menyangka perkara itu yang
berlaku pada kedua-dua anak kesayangan mereka.
Buat
seketika kedua-dua lelaki seusia itu mengunci lidah.
“Habis
tu kau fikir apa yang patut kita buat sekarang?” Encik Ghazali kembali bersuara
tidak lama kemudian. Turut sebal atas apa yang telah berlaku.
“Aku
fikir, buat masa sekarang tak payahlah kita masuk campur dalam hal ni. Kita
tengok dulu apa yang akan dia orang buat selepas ni. Tapi kalau semakin teruk
keadaan keduanya, terpaksalah kita ambil balik projek tu daripada dia orang.
Yalah, takkan kita nak biarkan projek kita ni terbengkalai lama-lama
semata-mata kerana sikap tak profesional kedua anak-anak kita tu,” cadang Encik
Azmi setelah berfikir seketika.
Encik
Ghazali mengangguk laju. Setuju dengan cadangan itu. Tanpa sedar satu keluhan
berat terkeluar dari mulutnya.
“Entah
bilalah agaknya Ainul dan Alia tu nak berbaik macam dulu semula.” Terasa lemah
seluruh badannya setiap kali teringatkan keadaan kedua-dua anak itu. Sehingga
kini masih tiada tanda mereka akan bersatu sebagaimana masa lepas.
“Kau
jangan bimbang Zali. Insya-ALLAH, andai jodoh antara dia orang masih kuat,
pasti dia orang akan bersatu semula sebagaimana yang kita harapkan selama ini.”
Penuh yakin Encik Azmi membuang kata-kata semangat buat sahabat baiknya dan
juga dirinya sendiri. Membuatkan Encik Ghazali perlahan-lahan mengangguk. Cuba
mententeramkan hati yang telah sedia gundah setiap kali memikirkan perkara itu.
“INGATKAN
kamu dah lupa jalan balik ke rumah ni.
Maklumlah, dah lama sangat tinggal kat negara orang putih tu. Negara kat sana
tu kan maju. Lain sangatlah berbanding negara kita ni. Hutan saja sekelilingnya
pun. Banyak sangat kayu-kayannya sampai terlindung segala benda. Kamu pun mana
nak nampak jalan baliknya lagi kan,” sindir Nenek Tijah sambil melenggang
keluar dari dapur bersama sedulang minuman. Cermat dia meletaknya di depan
Damia. Sedang gadis itu sudah tersenyum kelat.
“Nek
ni, sudah-sudahlah. Kan Mia dah mintak maaf tadi, tak payahlah nak perli-perli
lagi. Mia bukan tak nak balik nek tapi memang banyak kerja yang perlu Mia
siapkan kat Kuala Lumpur sana. Tulah nek, Mia ajak tinggal dengan Mia kat sana
nek tak nak. Bila Mia tak dapat balik selalu nenek merajuk pulak dengan Mia,”
kata Damia terus mencapai minuman depannya tanpa menunggu pelawaan wanita tua
itu.
Nenek
Tijah mencebik bibir.
“Iyalah
tu kamu. Ada saja nak bagi alasan. Macamlah kerja kamu tu banyak benar macam
kerja Perdana Menteri kita tu sampai langsung tak boleh ambil cuti walau sehari
dua. Saja nak suruh nenek membebel panjang-panjang baru kamu reti nak balik ke
sini.” Dalam marah Nenek Tijah menjeling tajam cucunya.
Damia
kembali tersengih.
“Nek,
macam mana keadaan kampung sekarang? Mia nampak ada banyak perubahan yang
berlaku. Dulu jalan-jalannya bertanah merah aje. Sekarang ni semuanya telah
diletak tar. Masjid pun dah makin besar dari dulu. Sekolah Mia tu pun nampaknya
dah makin bertambah bangunannya. Padang bolanya pun dah makin luas. Senang cakap
memang dah banyak kemajuan yang berlaku kat kampung ni ya nek,” ujar Damia
semula sambil menghirup minumannya berkali-kali.
Dahaga
benar dia setelah hampir tiga jam memandu kenderaan tanpa henti sebentar tadi.
Sekali gus melencong arah perbualan mereka. Tidak mahu terus-terusan dileteri
nenek kesayangannya.
“Mahu
tak berubahnya Mia. Nama pun kampung ni dekat dengan bandar, takkan tak ada
sebarang perubahan pulak. Semua kemudahan yang ada kat kampung ni pun makin
lengkap jadinya. Bukan setakat sehari dua ni tapi bertahun-tahun pun. Kamu tu
aje yang baru sedar. Maklumlah, dah lama sangat tinggal kat luar negara tu.
Manalah kamu ambil tahu apa yang terjadi kat kampung ni.” Dalam bercerita
sempat lagi Nenek Tijah menyindir si cucu buat kali seterusnya.
Damia
hanya buat muka selamba. Buat-buat tak endah dengan kata-kata itu.
“Oh
ya nek. Tak ada sesiapa ke yang tinggal kat rumah arwah Pak Cik Wahid dan Mak
Cik Latifah tu? Apa tak ada ke adik-beradik dia orang yang datang menuntut
rumah atau tanah dia orang ni?” Damia sudah menjenguk muka ke halaman rumah
papan bersebelahan rumah neneknya.
Keadaannya
kelihatan bersih dan kemas dari semak-samun mahupun tumbuhan liar lain. Seakan
penghuni rumah itu masih wujud biarpun telah bertahun-tahun rumah besar itu
tidak berpenghuni.
Mendengar
pertanyaan itu Nenek Tijah mengeluh berat. Serta-merta air mukanya bertukar
keruh bersalut suram.
“Manalah
arwah Pak Cik Wahid dan Mak Cik Latifah kamu tu ada adik-beradik Mia. Dia orang
suami isteri kan anak yatim piatu. Siapa lagi yang nak warisi rumah dia orang
tu kalau bukan Laila, satu-satunya anak yang mereka ada.”
Nenek
Tijah turut menjenguk ke arah sama. Ke rumah yang mana penghuninya pernah
menjadi satu-satunya jiran terdekat mereka memandangkan kedua-dua rumah itu
terletak di hujung kampung dan sedikit jauh dari laluan jalan besar.
“Habis
tu kenapa halaman rumah dia orang nampak bersih semacam aje? Macam ada orang
pulak yang tinggal kat situ. Ke nenek yang rajin pergi membersihkan rumah dia
orang tu?” Damia membuat andaian sendiri. Dia hanya tersengih bila Nenek Tijah
pantas merengus seraya menjelingnya sekilas.
“Bukan
nenek yang membersihkan rumah tu tapi Pak Cik Ghaffar kamu. Katanya, dia diupah
oleh keluarga mentua Laila untuk memastikan rumah dan kawasan rumah itu berada
dalam keadaan elok sepanjang masa,” beritahu Nenek Tijah.
“Sebut
pasal Laila, ke mana dia pergi ya nek? Dah bertahun-tahun Mia tak jumpa dia.
Seingat Mia, kali terakhir Mia jumpa dia seminggu sebelum dia kahwin tulah.
Lepas tu tak pernah lagilah kami bertemu sampai ke hari ni. Ada jugak Mia utus
surat kat dia tapi tak ada balasan pun.
Agaknya
masa tu dia dah pindah ikut suaminya ke mana-mana kem tentera kot. Maklumlah,
Abang Azam kan pegawai tentera. Selalunya anggota tentera ada kuarters mereka
sendiri.”
Damia
kembali menyandar tubuh ke dinding di beranda rumah itu. Sedang matanya masih
terarah ke kawasan rumah Laila, sahabat baiknya suatu masa dulu.
“Macam
mana kamu nak jumpa dia lagi Mia? Masa dia sibuk uruskan perkahwinannya tu,
kamu pulak sibuk menguruskan segala keperluan kamu untuk dibawa ke luar negara.
Bukankah masa tu kamu dapat tawaran menyambung pelajaran ke sana? Kamu pun
waktu tu mana tinggal kat sini lagi dah. Kamu dah pindah ke rumah arwah Kamilia
untuk mudahkan kamu uruskan segalanya. Elok sehari sebelum Laila kahwin kamu
dah berangkat ke luar negara. Lepas tu mana ada kamu balik ke sini lagi
sampailah ke hari ni,” sambut Nenek Tijah panjang lebar. Damia pula menepuk
dahinya sendiri.
“Ya
tak ya jugak. Masa Laila sibuk nak kahwin, Mia pulak sibuk nak ke luar negara.
Masa tu dia baru saja tamat tingkatan enam dan tengah tunggu keputusan STPM.
Dalam masa yang sama Mia pulak dah habis belajar matrikulasi kat Kuala Lumpur,”
sahut Damia mengiyakan kata-kata neneknya.
“Itulah.
Mana ada kamu berdua berjumpa dah selepas kamu ke luar negara tu. Laila pun dah
tak duduk kat sini lagi selepas beberapa bulan dia jadi begitu.”
Tanpa
sedar Nenek Tijah mengeluh panjang. Manakala air mukanya telah lama berubah
muram. Membuatkan rasa pelik menerpa Damia serta-merta. Pelik dengan kata-kata
dan perubahan tingkah wanita tua itu.
“Kenapa
nenek cakap macam tu? Apa yang telah terjadi pada Laila selepas Mia pergi nek?”
Dengan rasa ingin tahu yang membuak Damia terus bertanya. Wajah suram nenek
kesayangannya ditatap lama. Ingin penjelasan.
Lama
wanita tua itu terdiam lantas dia membuka mulutnya beberapa ketika kemudian.
Mula bercerita.
“Kamu
tak tahu Mia. Sehari sebelum majlis persandingan Laila dilangsungkan, suaminya
meninggal dunia ketika menyertai operasi serang hendap menentang pengganas di
hutan. Laila langsung tak dapat terima kenyataan itu. Waktu mayat suaminya
dibawa balik ke rumah arwah Pak Cik Wahid kamu, dia terus pengsan tak sedarkan
diri.
Pak
Cik Wahid kamu pulak terus meninggal dunia bila melihat mayat menantunya.
Yalah, dia kan menghidap sakit jantung sebelum ni. Yang Mak Cik Latifah kamu
pulak terlalu tergamam sampai tak tahu nak buat apa waktu tu.
Lepas
saja Laila sedar, dia asyik menangis dan meraung aje. Kawan baik kamu tu
betul-betul tak dapat terima kenyataan yang suaminya dah tak ada lagi dalam
dunia ni. Boleh dikatakan siang malam dia menangis sampai bengkak-bengkak mata
dia jadinya.
Selang
beberapa hari, Mak Cik Latifah kamu pulak meninggal dunia sebab tertekan sangat
dengan keadaan tu. Nasib Laila baik sebab lepas semua tu berlaku, keluarga
mentuanya terus datang ambil dia dan bawa dia tinggal bersama sampailah
sekarang.
Khabarnya
keluarga mentua dia bawa dia tinggal ke luar negara tapi tak taulah betul ke
tidak cerita tu. Sejak tu, jangan kata kamu, nenek pun tak pernah lagi jumpa
dengan Laila. Entah di mana dia berada sekarang ni pun tak tahulah.” Sambil
bercerita Nenek Tijah menahan air matanya dari tumpah.
Sememangnya
dia turut berduka dengan apa yang berlaku pada keluarga jirannya itu lantaran
sejak dulu dia telah menganggap mereka seperti saudara kandungnya sendiri.
Malah kasih sayangnya terhadap Laila adalah sama sepertimana kasih sayangnya
terhadap Damia memandangkan kelahiran kedua mereka disambut olehnya.
Damia
sudah termati lidah. Dia benar-benar terkaku dengan cerita yang baru kini
berada dalam pengetahuannya biarpun sebelum ini dia telah mengetahuinya. Namun
tidak sebanyak dan terperinci sebagaimana yang disampaikan Nenek Tijah ketika
ini.
“Kasihan
Laila kan nek? Mia pun tak sangka hidup dia akan jadi begitu. Ada jugak arwah
Kamilia ceritakan pada Mia pasal hal ni tapi tak adalah sebanyak mana pun. Dia
sekadar bagitahu Mia yang Pak Cik Wahid dan Mak Cik Latifah dah tak ada, itu
saja. Tentang Laila tak ada pulak dia bagitahu. Jauh sekalilah pasal kematian
suami Laila tu.” Suara Damia turut dilanda sayu. Air mata yang sudah bertakung
di kelopak mata diseka segera. Tidak mahu ianya terus jatuh ke pipi.
“Macam
mana arwah nak bercerita pada kamu sedangkan dia sendiri pun tak tahu sangat
pasal perkara ni? Masa semua kejadian ni berlaku, arwah Kamilia dah pun
menyambung pelajarannya kat sebuah kolej swasta kat KL sana nun. Dia tahu pun
sebab nenek yang bagitahu dia masa dia pulang bercuti ke sini dulu,” sambut
Nenek Tijah dalam linangan air mata. Dia kembali menyambung kata.
“Apa
nak kata Mia, hanya ALLAH saja yang tahu apa yang dah tertulis dalam hidup
seseorang tu. Sebagai manusia biasa, manalah kita dapat baca apa yang akan
berlaku di masa depan. Macam kamu dan arwah Kamilia jugaklah. Tinggi benar
harapan nenek nak tengok kamu berdua sama-sama melangkah naik ke pelamin pada
hari yang sama.
Tapi
siapa sangka, jodoh Kamilia yang tiba dulu. Itu pun tak lama, selepas tu dia
tinggalkan kita semua selamanya.” Nenek Tijah sudah menangis penuh hiba.
Terus
Damia memeluk tubuh tua itu. Seerat-eratnya.
“Jangan
cakap macam tu nenek. Sedih hati Mia mendengarnya. Mia pun faham apa yang nenek
rasakan tapi Mia lebih terasa dengan semua ni nek sebab arwah Kamilia, Mia dan
Laila merupakan kawan baik sejak kami kecil lagi. Walaupun arwah Kamilia tak
tinggal di sini bersama Mia dan Laila, tapi dia selalu balik ke sini bila cuti
sekolah tiba. Kami bertiga akan sama-sama ke dusun arwah atuk.
Memanjat
pokok, mandi di sungai, menangkap ikan, semuanya kami lakukan bersama. Tapi
siapa sangka, selepas beberapa tahun masa berlalu, hanya Mia yang masih berada
di sini. Di tempat yang sama kami bertiga mula mencipta kenangan indah zaman
kanak-kanak kami.” Damia terus menangis di ribaan neneknya.
Hatinya
benar-benar dihambat pilu ketika ini. Pilu mengenangkan masa lalu yang tak
mungkin dapat dijengah semula sampai bila-bila. Mereka yang turut melakar
kenangan manis bersamanya telah lama pergi meninggalkannya.
Nenek
Tijah turut melepas tangisannya. Sepenuh hati. Menjadikan suasana cucu dan
nenek itu diselubungi tangisan mengharukan seketika waktu.
“Sudahlah
tu Mia. Jangan kamu kenang lagi perkara yang dah lepas tu. Lupakan saja apa
yang dah berlaku. Sebagai hamba-NYA yang taat, kita kena terima segala
ketentuan-NYA dengan hati yang redha,” pujuk Nenek Tijah.
Dia
kembali tenang tak lama kemudian. Lalu mengusap perlahan tubuh cucu
kesayangannya. Penuh kasih sayang. Damia masih tersedu-sedu.
“Mana
mungkin Mia boleh lupa sebegitu mudah semua kenangan dulu nek. Segalanya masih
lagi berada dalam ingatan Mia. Masih kukuh seperti dulu. Tapi memang benar kata
nenek. Mia kena terima semua ketentuan ni dengan hati yang redha. Apapun Mia
bersyukur kerana Mia pernah merasai kemanisan hidup bersama arwah Kamilia dan
Laila. Walaupun semua itu hanya untuk beberapa tahun tapi cukuplah Mia
jadikannya sebagai hadiah terindah dari ALLAH untuk Mia selama Mia bergelar
anak yatim piatu,” sahutnya sambil mengesat saki-baki air matanya. Seperti
Nenek Tijah dia telah kembali tenang selepas itu.
Nenek
Tijah mengangguk kecil.
“Betul
tu Mia. Kedua-dua mereka adalah anugerah yang tidak ternilai dari ALLAH kepada
kamu. Walaupun kamu kehilangan kasih sayang mak dan ayah sejak kamu kecil lagi
tapi ALLAH gantikannya dengan lebih baik lagi. Kamu disayangi bukan saja Mak
Khadijah dan Ayah Khalid kamu tapi juga oleh arwah orang tua Laila yang
menganggap kamu macam anak mereka sendiri.
Kamu
ada arwah Kamilia sebagai kakak kamu, Khuzairi sebagai abang kamu dan kamu
jugak ada Laila yang kamu anggap macam adik kamu sendiri. Itulah keluarga besar
kamu selama ini Mia. Walaupun sebahagian daripada mereka hanya singgah sebentar
dalam hidup kamu namun bukankah itu sudah cukup buat kamu dari kamu tak pernah
merasainya sama sekali?” pujuk Nenek Tijah begitu lembut sambil mengusap-usap
rambut gadis itu.
Damia
tersenyum lebar. Wajah tenang neneknya dipandang lagi.
“Tapi
nenek terlupa sesuatu. Mia jugak ada seseorang yang begitu menyayangi Mia
selama Mia hidup ni. Walaupun Mia jarang dapat meluangkan masa dengannya tapi
dia tak pernah lupakan Mia. Malah dia selalu mendoakan yang terbaik untuk Mia
walau di mana pun Mia berada,” ucap Mia penuh terharu.
“Siapa?”
soal Nenek Tijah ingin tahu.
“Nenek,”
sahut Damia sepatah kembali memeluk tubuh tua itu. Lebih erat dari tadi.
Manakala
Nenek Tijah sudah mengalirkan air matanya semula. Benar-benar terharu dengan
pengakuan ikhlas itu. Pelukan Damia dibalas sekejap mungkin dan suasana rumah
kayu itu kembali diselimuti kesayuan buat kali kedua untuk sementara waktu.
No comments:
Post a Comment