BAB 6
“Kau orang ni memang jenis tak sedar
diri. Orang dah ambil bela pun dah cukup baik. Jangan kata nak beradab sopan,
nak berterima kasih pun tak tahu. Entah dari mana dikutip pun tak tahulah!”
suara lantang Nek Zaitun kedengaran hingga ke luar rumah.
Sekaligus mempercepatkan langkah
Farhan yang baru sahaja memakirkan kereta di laman rumah. Bergegas menapak
menuju ke dalam.
“Tak baik mak cakap begitu. Dia orang
ni budak–budak lagi. Sepatutnya kita yang lebih dewasa ni menunjukkan contoh
yang lebih baik, bukannya menghina mereka jika mereka buat salah,” kedengaran
suara Puan Wardah meningkah agak keras.
Matanya membalas lembut pandangan
tajam Nek Zaitun terhadapnya. Manakala kedua tangannya direntang luas.
Melindungi kedua Fakhira dan Fadlan yang tertunduk ketakutan di belakang
tubuhnya. Bimbang kiranya wanita tua itu melakukan sesuatu yang berada di luar
jangkaannya terhadap kedua kanak-kanak itu sepertimana yang pernah dilakukannya
sebelum ini.
Nek Zaitun menyinga marah seraya
mencekak pinggang.
“Hei, betullah kata aku tu. Kalau tak
kerana mereka, rumah ni pun tak jadi macam neraka. Kerana kedatangan kau dengan
budak–budak tak guna nilah yang membuatkan rumah ni dah tak pernah aman lagi.
Semuanya berlaku sebab Fatih membela manusia–manusia seperti kau orang yang tak
tahu di untung, hidup menyusahkan orang saja. Patutnya..,”
“Nek!” sergahan Farhan yang tiba–tiba
muncul di ruang tamu rumah mengejutkan semua. Sekaligus mematikan kata–kata
wanita itu.
“Cukuplah tu!” tegas Farhan bersuara.
Ada ketegangan yang membalut wajahnya.
Tajam matanya menyoroti wajah tua itu.
“Huh,”
Hanya itu yang terluah di bibir Nek
Zaitun sebelum wanita berusia lewat 70an itu berlalu ke tingkat atas. Sempat
dia menjeling tajam pada Fadlan dan Fakhira yang kembali menunduk ketakutan
saat wanita itu melewati keduanya.
Pandangan Farhan kembali terarah pada
Puan Wardah yang turut terdiam kata. Ada sendu di wajah itu. Mereka saling
berbalas pandangan sejenak sebelum Puan Wardah berlalu ke ruang dapur.
Untuk seketika suasana menjadi sepi.
Hanya kedengaran esakan Fadlan dan Fakhira yang menangis takut di sudut tangga
rumah.
Farhan mengatur langkah. Merapati
keduanya yang serentak mendongak sebelum meluru memeluknya. Farhan membalas
erat. Dikucup lembut kepala adik-adiknya.
“Dah, pergi naik atas. Mandi dan lepas
tu kita solat Maghrib sama–sama ya,” lembut dia bersuara.
Kedua-duanya mengangguk cepat dan
dengan pantas berlalu ke tingkat atas. Farhan melepaskan keluhan.
Dhia melipat semula sejadah yang
terhampar di depannya lalu diletak hamparan lembut itu di hujung katil. Dia
baru saja selesai menunaikan solat Maghrib. Dia bergegas bangun. Mengatur
langkah menuju ke balkoni bilik. Ditolak perlahan daun pintu yang berkaca
jernih. Menapak keluar ke balkoni.
Angin malam segera menerpa. Menampar seraya
membelai lembut seluruh tubuhnya. Meninggalkan rasa nyaman dan tenang pada
tubuhnya yang hanya disaluti tee shirt
dan seluar track panjang.
Dhia menarik nafas panjang. Untuk
seketika dia berasa tenteram. Jiwanya terasa tenang dan damai. Sesuatu yang
jarang dirasainya sejak kebelakangan ini. Dipejam matanya rapat. Ingin merasai
segala ketenangan dan kedamaian yang bertakhta di jiwanya saat ini.
“Entah sampai bilalah aku mampu
merasai semua ini,” Tanpa sedar kata–kata itu menendang dinding jiwanya.
Sekaligus membuatkan kedua kelopak
matanya serta merta kembali terbuka. Dhia beristigfar panjang. Dia tidak mahu
memikirkan apa–apa pun saat ini. Biarlah masa depannya ditentukan oleh Dia yang
Maha Berkuasa.
Untuk seketika Dhia melilaukan
pandangan. Membiarkan matanya menjamah pemandangan malam yang kedengaran sunyi.
Kegelapan membungkus suasana yang hanya dihiasi cahaya bulan yang menyuluh
terang.
Pandangan Dhia terhenti di satu arah.
Terpaku sejenak pada rumah yang berada setentang dengan rumah Puan Marini,
tempat dia berada kini. Bukan halaman rumah yang indah dan bersih yang menjadi
tumpuannya. Sesuatu yang berada di dalam rumah itu. Sesuatu yang sedang berlaku
di tingkat atas rumah yang benar–benar mengadap rumah yang didudukinya
sekarang. Di bilik yang bertentangan dengan bilik tidurnya.
Dhia memicingkan anak mata. Ingin
melihat dengan lebih jelas apa yang berlaku di situ.
Sepasang kanak–kanak sedang menangis
di situ. Terhenjut-henjut tubuh keduanya. Menahan tangisan. Namun bukan itu
yang menjadi menarik perhatiannya tetapi seseorang. Seseorang yang sedang
mengatakan sesuatu kepada keduanya. Caranya lebih kepada memujuk. Dhia
memandang dengan penuh minat.
Selama dia membesar, bukan dia tidak
pernah melihat kanak–kanak dipujuk bila menangis. Malah Dhia sendiri sering
melakukannya pada anak-anak jiran berdekatan dengan rumah arwah ibubapanya. Dia
gemar melakukannya sementelah dia sendiri begitu menyayangi mereka yang
bergelar kanak-kanak.
Namun inilah kali pertama dia melihat
seorang lelaki memujuk kanak–kanak. Selalunya hanya wanita yang sering
dikatakan pandai memujuk. Cara pujukannya penuh dengan kelembutan. Memikat hati
Dhia yang masih mengarah pandangannya ke situ.
Kedua dua kanak–kanak itu telah berhenti
menangis malah sedang tersenyum girang. Tanpa sedar Dhia turut mengukir senyum.
Menumpang gembira dengan keadaan itu. Hatinya sedikit tersentuh apabila
terpandangkan ketiga-tiga mereka mengangkat tangan sambil mendongak sedikit.
Seolah-olah berdoa memohon sesuatu. Penuh khusyuk.
“Ya Allah, semoga Kau memakbulkan
segala permintaan mereka,” Dhia berkata dalam hati. Untuk seketika dia leka
memerhatikan gelagat ketiga–tiganya.
“Dhia…”
Panggilan seseorang mematikan
pandangannya. Lantas saja dia berpaling. Tersenyum pada Puan Marini yang entah
bila melangkah masuk ke bilik tidur itu.
“Lah, kamu kat sini rupanya. Makcik
ingat kamu ke manalah tadi,” Puan Marini tersenyum kecil. Melangkah merapati anak saudara
kesayangannya.
Dahi Dhia berkerut.
“Kenapa makcik?” soalnya lembut.
Memaling seluruh tubuh mengadap wanita itu.
“Kamu buat apa kat balkoni ni?” soal
Puan Marini tanpa menjawab pertanyaan gadis itu.
Dia turut menjengul kepala ke luar
namun hanya seketika. Tiada apa yang dapat dilihatnya melainkan kegelapan
semata–mata.
“Tak buat apa,” teragak-agak Dhia
menjawab.
Sempat matanya mengerling pada tempat
yang menjadi tarikannya sebentar tadi. Ketiga-tiganya masih berkeadaan seperti
tadi. Menadah tangan seraya berdoa meminta sesuatu.
Tanpa sedar bibir Dhia kembali
mengukir senyum. Hatinya kembali dipagut damai melihatkan keadaan itu.
“Dah, jom turun makan. Pakcik kamu dah
tunggu nak makan sekali,”
Teguran itu menyentak semula
pandangannya. Segera dia berpaling. Memandang Puan Marini yang kembali memusing
tubuh. Menuju ke pintu bilik. Dhia mengikutnya dari belakang.
“Makcik masak apa malam ni?” sempat
lagi dia bertanya.
“Apa lagi, makanan kesukaan kamulah,
sambal petai campur udang,” jawab Puan Marini tersenyum lebar.
“Lah, itu saja ke makcik? Lauk lain
tak ada ke?” tanya Dhia seraya mengukir senyuman lebar. Ada sinar nakal di
kedua matanya yang bercahaya itu.
Puan Marini mendengus lembut. Turut
menguntum senyum mendengar gurauan pemilik wajah cantik itu.
“Amboi, banyaknya songeh kamu ya. Ada
makcik masakkan sambal ayam dan sup sayur sedikit. Puding jagung kegemaran kamu
pun ada makcik buatkan,” sahutnya mengerling sekilas pada Dhia yang tersengih
suka.
“Nyum, nyum. Tak sabar rasanya Dhia
nak makan. Mesti sedapkan,” Dhia bersuara lagi seraya mengosok-gosok kedua
tapak tangannya. Membayangkan masakan yang bakal berpindah ke ruang perutnya
tidak lama lagi.
“Hah, tahu tak apa. Jom turun makan,
nanti sejuk tak sedap pula,” Puan Marini berkata lagi.
Dia menarik tangan gadis itu sebelum
tangannya menyentuh suis lampu yang ada di dinding bilik. Untuk seketika ruang
bilik tidur itu menjadi gelita.
“Baru balik bang?” suara Datin Zawani
lembut tatkala menyambut kepulangan suaminya di muka pintu rumah banglo mewah
mereka.
Dato’ Raid mengangguk perlahan.
Memandang tingkah Datin Zawani yang tunduk seketika mengucup jari–jemarinya.
Matanya merayap ke seluruh ruang tamu rumah sebelum melangkah masuk.
“Mana anak teruna awak? Abang tak
nampak dia pun hari ni,” tanyanya.
Tali leher yang terikat kemas di leher
ditarik keluar. Dihulur pada Datin Zawani yang menyambut sopan.
“Ada kat dalam biliknya bang. Tengah
solat Maghrib,” sahut Datin Zawani lembut. Memandang sejenak suaminya yang kini
merebahkan tubuh ke sofa rumah. Kepenatan.
“Huh, dah begini lewat baru nak solat
Maghrib? Dia buat apa kat rumah sepanjang hari ni? Tidur?” suara Dato’ Raid
kedengaran tegas.
Datin Zawani menarik nafas panjang.
Dia turut melabuh punggung ke sofa. Di sisi lelaki itu.
“Entahlah bang, saya pun tak tahu nak
cakap apa. Dari tadi dia berkurung dalam bilik saja. Makan pun tak nak,
bercakap pun cuma sepatah dua saja. Yang dia tahu tengok televisyen, termenung.
Itu saja,” jawab Datin Zawani sedikit mengeluh.
Dato’ Raid merengus kasar.
“Apalah nak jadi dengan anak
kesayangan awak tu. Baru saja ditimpa masalah kecil macam tu pun dah jadi macam
orang gila saja lagaknya. Masalah syarikat pandai pula dia selesaikan. Masalah
peribadi sendiri dah tertunggang terbalik,” suaranya sedikit mencemuh. Tidak
senang dengan keadaan itu.
“Nak buat macam mana bang, dia tu
memang dah sayang sangat dengan si budak Nisa tu. Manalah dia tahu begini pula
jadinya,” suara Datin Zawani lembut.
Dato’ Raid tidak menjawab. Tangannya
mencapai gelas berisi minuman sejuk yang ada di meja berdepannya. Dalam hati
dia bersyukur kerana mendapat isteri sebaik Datin Zawani. Sentiasa
menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri tanpa mengira masa dan
tempat. Diteguk sedikit air manis itu.
“Abang tak dengar apa–apa berita pasal
si Nisa tu ke?” Datin Zawani menyoal lembut. Memandang lama wajah Dato’ Raid
yang menggeleng perlahan.
“Tak ada Wani. Abang sendiri pun tak
ada masa nak fikirkan tentang hal budak–budak ni. Banyak lagi perkara lain yang
perlu abang fikirkan,” sahutnya cepat.
Gelas di tangan kembali diletak ke
atas meja. Di picit perlahan pangkal
leher yang terasa sengal.
Datin Zawani mengeluh panjang.
“Abang ni, Nisa tu kan bakal menantu
kita, takkan abang nak biar je budak tu menghilang macam tu je. Entah–entah
kena culik ke, nak kena bunuh ke, abang tak risau ke?” matanya masih menombak
wajah letih sang suami.
“Nak risau apanya Wani. Mak ayah dia
pun tak tahu ke mana dia pergi, tambahlah kita ni. Lagi pun kalau betullah si
Nisa tu kena culik, dah lama penculik tu telefon keluarganya. Minta wang
tebusan,” sahut Dato’ Raid menghela nafas panjang.
Rasa letih yang mengepung tubuh
membuatkan dia tidak berminat lagi menyambung perbualan.
“Dahlah Wani, abang penat ni. Abang
nak mandi dulu. Awak pergi sediakan
makanan. Sekejap lagi kita makan sama–sama. Ajak anak lelaki kesayangan awak tu
sekali,” ujar Dato’ Raid lagi sebelum bangun dari duduknya. Berlalu ke tingkat
atas.
Datin Zawani hanya memandang langkah
suami yang semakin menghilang. Dia mengeluh lagi.
No comments:
Post a Comment