BAB 23
Azfar melepas pandang ke luar. Matanya
merayau ke persekitaran yang terletak berdekatan dengan restoran tempatnya
melabuhkan diri kini.
Bahang panas menguasai suasana tengah
hari itu. Begitu pun keadaan terik itu bagaikan tidak menganggu gugat orang
ramai yang senantiasa menyelusuri kawasan yang terkenal dengan kesibukan dan
kesesakan lalu lintasnya.
Agak lama Azfar berkeadaan begitu.
Membuang pandang ke luar tanpa gangguan daripada sesiapa. Jauh sekali dari
pandangan wartawan yang sentiasa mencari kelibatnya di merata tempat. Mengorek perihal
dirinya yang kemudian menjadi tatapan masyarakat tatkala terpapar di dada
akhbar-akhbar.
Kerana itu Azfar lebih gemar
menghabiskan masa lapangnya di restoran mewah kepunyaannya. Restoran yang
dilengkapi dengan bilik mesyuarat dan dewan kecil itu diwujudkan khas untuk
para pengunjung yang gemarkan masakan makanan Melayu tradisional.
Rekabentuk dalaman restoran yang
didekorasikan berdasarkan rekabentuk dalaman rumah Melayu lama kelihatan
eksklusif dengan perhiasan barangan kraf buatan Malaysia menghiasi setiap
sudutnya. Kedudukan meja-meja yang berjarak agak jauh di antara satu sama lain
menjadikan para pengunjung bebas untuk makan dan berbual tanpa menganggu
ketenteraman pengunjung lain.
Azfar sendiri selesa menghabiskan
masanya dicelah rimbunan pohon buluh yang banyak diselitkan di balik penghadang
dinding mengkuang yang terdapat di hampir setiap penjuru restoran. Sekaligus
membantunya melindungi diri dari menjadi perhatian pengunjung yang datang ke
restorannya.
“Hai, seorang saja?”
Teguran seseorang mengalih perhatian
lelaki itu. Mengusir segala khayalan yang bertandang ke benaknya. Segera Azfar
berpaling wajah. Mengadap Aida yang entah bila berdiri di depannya. Gadis itu
tersenyum manis.
“Boleh duduk sini?” tanyanya penuh
menggoda.
Meliukkan sedikit tubuhnya. Memandang
Azfar yang segera merengus kecil. Lelaki itu tidak menyahut. Dia kembali
berpaling wajah. Membuang pandang ke luar. Raut wajahnya cukup mengambarkan
rasa hatinya menerima kunjungan tetamu yang tak pernah diundang itu.
Aida tersenyum lebar. Tidak peduli
dengan penerimaan lelaki itu terhadapnya. Ditarik sebuah kerusi. Berhadapan
lelaki itu.
“Nampaknya Cik Azfar kita berada dalam
mood yang baik hari ni,” Aida kembali
membuka mulut sebaik saja punggungnya mencecah kerusi. Menusuk pandangan mata
pada wajah tegang itu.
Azfar hanya memekakkan telinga. Malas
untuknya melawan bicara. Matanya masih dilarikan ke kawasan luar. Memerhati
setiap gerak geri manusia yang melintasi kawasan elit itu yang dirasakan lebih
menyejukkan pandangan matanya dari meniti di wajah yang bukan menjadi
keinginannya untuk ditatap kala ini.
“Amboi, sombongnya dia. Tak baik
bersikap begini Encik Azfar. Awak tu orang kenamaan. Selalu menjadi perhatian
masyarakat. Apa pula kata orang sekeliling bila terpandangkan sikap sombong
awak ni,” suara Aida selembut mungkin.
Masih ada senyuman yang tergaris di
wajah jelitanya. Sementara kedua anak mata masih menjelajah wajah tegang lelaki
itu.
Azfar kembali berpusing wajah.
Membalas tajam pandangan gadis itu.
“Hei, awak peduli apa saya bersikap
bagaimana sekali pun? Tak ada kena mengenanya dengan diri awak tu,” suaranya
sedikit kasar.
Tubuh sasanya dipeluk erat dengan kedua
tangannya. Menjeling sekilas Aida yang hanya melempar tawa kecil.
“Akhirnya, bersuara juga Cik Azfar
kita ni ya. Ingatkan nak membisu seumur hidup,”
Dia tertawa lagi. Penuh gembira. Membalas
tenang pandangan Azfar yang merengus kasar. Geram dengan tingkah gadis yang
cukup dikenali namanya di dalam dunia peragaan itu. Matanya memandang sekali
imbas tubuh gadis seksi itu yang hanya disaluti sehelai gaun ketat berwarna
biru gelap separas lutut. Mendedahkan sebahagian dadanya yang hanya dihiasi
seutas rantai mutiara. Begitu ringkas dan menawan namun masih tidak mampu
mengugah hati Azfar yang melihat.
“Awak dah makan? Jom, makan sekali,”
pelawa Aida tersenyum lebar.
Tidak peduli pada tindak balas yang
dipamerkan lelaki itu. Matanya masih tertusuk di wajah kacak itu. Wajah yang
telah lama berjaya mencairkan hati wanitanya sejak kali pertama matanya
terpandang.
“Sorrylah
Cik Aida, saya baru saja lepas makan. Terima kasih sajalah atas pelawaan awak
tu,” ujar Azfar kembali. Mendatar saja suaranya.
Tiada lagi intonasi marah yang
mengiringi nada suaranya yang disaluti rasa gundah. Gundah dengan kehadiran
wanita itu di restorannya. Apatah lagi berada di meja yang sama. Bimbang
kiranya keadaan di lihat mata–mata yang tak sepatutnya. Bimbang andainya terlayang
khabar–khabar yang tidak diingini.
Sesungguhnya dia sendiri tidak
berminat untuk meninggi suara mahupun bersikap kurang sopan dengan gadis itu.
Namun sikap Aida yang sesekali menjengkelkan mata lelakinya membuatkan dia
seringkali terbabas tingkah setiap kali berhadapan dengannya.
“Lah, iya ke? Kiranya saya ni
terlambatlah ya,” Aida bersuara sedikit manja. Dia tertawa kecil.
Meninggalkan rasa meluat pada Azfar
yang mendengar. Begitu pun dia tetap membalas sopan.
“Tak apalah Cik Aida, jemputlah makan
ya. Banyak lagi kerja yang perlu saya lakukan kat pejabat tu. Solat Zuhur pun
saya belum tunaikan,” ujar Azfar ingin segera bangun. Mula menolak kerusi ke
belakang.
“Eh, kalau iya pun nantilah dulu. Saya
baru saja sampai. Pesan makanan pun belum lagi. Takkan awak nak tinggalkan saya
begitu saja. Kalau iya pun temankanlah saya makan,” suara Aida seakan merayu.
Merenung wajah tegang itu dengan pandangan sayu. Cuba meraih simpati. Membuatkan
Azfar kembali merengus keras.
“Cik Aida, awak tu bukannya tuan
puteri untuk perlukan dayang di sisi menemani awak makan. Lagipun, saya
bukannya bodyguard awak untuk
menunggu awak setiap masa. Anyway, enjoy
your lunch ya,” suara Azfar sedikit keras.
Hatinya digoncang rasa marah semula. Marah
dengan tingkah mengada gadis itu. Dia kembali bingkas bangun. Melangkah menuju
ke pintu. Ingin berlalu dari situ.
Namun baru beberapa langkah dia
menapak pergi, terdengar bunyi sesuatu terjatuh di belakangnya. Saat menoleh,
matanya tertancap pada Aida yang terbaring di lantai restoran. Gadis itu
mengaduh sakit. Segera Azfar meluru mendapatkannya.
“Kenapa ni Aida? Are you okey?” kelam kabut Azfar menyoal.
Liar matanya memandang ke kiri dan
kanan. Kedudukan meja itu yang sedikit tersorok di dalam ruang restoran
membuatkan tiada sesiapa yang menyedari keadaan itu. Segera dia mengapai tangan
pada pelayan yang kebetulan melalui ruang itu. Dia pantas menerpa.
“Bawakan segelas air kosong ya,”
ujarnya laju.
Dia memandang sekali imbas wajah
pelayan yang segera mengangguk laju sebelum kembali teralih pada Aida. Wajah
itu disimbah riak pucat.
“Kenapa ni Aida?” Dia kembali menyoal
apabila wanita itu tidak menyahut.
Azfar mengoncang sedikit tubuh yang
kini terbaring di ribaannya.
“Entahlah Azfar, kepala saya rasa
pening sangat. Macam nak pitam rasanya,” balas Aida lemah.
Dipicit perlahan dahinya. Rasa denyut
mula mengigit urat saraf benaknya.
“Saya hantar awak ke klinik ya,”
sempat Azfar menawar bantuan. Menjadi kemestian bagi dirinya membantu orang
yang berada dalam kesusahan. Apatah lagi kejadian itu berlaku di dalam restoran
miliknya.
“Tak payahlah Az, saya pening sikit saja
ni. Kejap lagi baiklah ni,” ucap Aida cuba bangun dari pembaringannya.
Tangannya mencapai lengan kerusi. Mengagahkan diri untuk membangunkan diri.
Azfar bergegas membantu. Memimpinnya
duduk di kerusi. Menyambut huluran pelayan yang kembali bersama segelas air
kosong. Disua pada Aida yang menggeleng. Dia menolak hormat.
“Selalu ke awak jadi begini?” tanya
Azfar penuh kelembutan. Menenggelamkan sejenak rasa marah yang masih bersisa
buat gadis itu. Diganti dengan rasa simpati dan kasihan. Wajah yang
berkerut-kerut menahan rasa sakit itu dipandang lama.
Aida menggeleng lagi.
“Tak pernah. Ini kali pertama saya
jadi begini,” balasnya.
“Agaknya perut awak kosong, sebab tu
awak rasa pening,” sahut Azfar.
“Mungkin juga,” sambut Aida menyandar
tubuh ke kerusi.
Teringat pada keadaan diri yang sejak
pagi tidak menjamah sebarang makanan. Jadual kerja yang begitu padat membuatkan
dia jarang dapat memenuhi seleranya di waktu yang tepat. Matanya dipejam
sejenak. Cuba menghalau rasa sakit yang masih menyerang. Sedari tadi
jari-jemarinya tidak lekang dari mendarat di dahinya.
Azfar mengerling sekilas jam di
tangan. Sedar, dia telah terlewat ke pejabat. Wajah pucat Aida dipandang
sejenak sebelum bersuara semula.
“Aida, saya minta maaf kerana terpaksa
tinggalkan awak di sini. Saya ada mesyuarat dengan klien sebentar lagi. Saya
kena pergi sekarang. Kalau awak nak apa–apa, minta saja pada pekerja saya ya,”
ujarnya perlahan-lahan melepas pegangannya dari gadis itu.
Aida hanya mengangguk. Sakit yang
dirasakan berdenyut membuatkan dia malas untuk membuka mulut lagi.
Azfar bingkas bangun. Sebelum berlalu
sempat dia berpesan pada para pekerja agar memerhatikan keadaan Aida.
Meninggalkan Aida yang seperti tadi. Menyandar tubuh di kerusi seraya memejam
mata. Tanpa menyedari perlakuan mereka sempat di rakam seseorang yang sedari
tadi secara sembunyi memerhatikan tingkah keduanya.
No comments:
Post a Comment