Followers

Monday, 7 October 2013

BAB 33 - TAK SANGKA AKU


BAB 33

SUASANA hingar-bingar menguasai persekitaran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pagi itu. Namun tidak mampu menggugat pilu ahli keluarga Johan yang ada di situ sejak beberapa jam lalu. Masing-masing ingin menghantar lelaki itu yang bakal berangkat ke Amerika Syarikat sebentar lagi.
“Jangan lupa telefon kami bila sampai nanti,” pesan Haji Rahman tenang.
“Insya-ALLAH tuk,” balas Johan hormat.
Sejak beberapa hari lalu dia tidak berenggang dari Haji Rahman dan Hajah Aminah. Rasa sedih membuatkan dia tidak mampu berjauhan dari kedua-duanya.
“Jangan lupa solat, selalu mengaji al-Quran. Kalau ada apa-apa, beritahu kami. Jangan lupa hantar berita selalu,” pesan Hajah Aminah pula, sebak.
“Nek janganlah risau. Insya-ALLAH, pandailah Johan jaga diri sendiri.”
“Kalau dah sampai sana nanti, jangan tak telefon mama pulak. Kalau tak selalu pun tak apa, janji ada sekali-sekala. Jangan jadi macam abang-abang kamu. Dapat pergi luar negara terus lenyap. Tahu-tahu aje lepas beberapa tahun dah terpacak semula kat depan rumah,” pesan Puan Sri Fariha lagi.
“Mama tu mulalah nak mengungkit perkara lepas,” sampuk Jailani sambil tersenyum lebar.
Puan Sri Fariha menjeling anak sulungnya sekilas.
“Mama bukan nak mengungkit tapi ingatkan Johan aje. Tak mahu dia jadi macam kamu dan Junaid. Belajar ke luar negara sampai langsung tak ada masa nak telefon mama walaupun seminit dua,” balas Puan Sri Fariha cepat-cepat.
“Kalau bab tu mama tak payah risaulah. Tak adanya Johan nak buat macam tu kat mama. Dia kan anak kesayangan mama. Confirm dia akan call mama selalu walaupun tak setiap hari. Iya tak Johan?”
Junaid sengaja mengusik mama mereka. Dikenyit mata pada Jailani yang telah meletuskan tawa.
Johan pula hanya tersenyum. Telah lali dengan sikap along dan angahnya yang gemar mengusik Puan Sri Fariha, mama kesayangan mereka.
“Alah, tak kiralah anak kesayangan ke tak, baik mama pesan awal-awal. Sekurang-kurangnya esok-esok dia tak buat perangai macam kau orang berdua tu,” ujar Puan Sri Fariha lagi.
“Lagi satu, kamu jangan kirim apa-apa barang pelik ke rumah kita macam Along dan Angah kamu buat dulu. Beli benda hiasan rumah entah apa-apa sampai mama pun tak tahu nak letak kat mana semua tu. Buang duit aje padahal dia orang bukannya guna pun. Menyemakkan lagi bilik stor rumah kita adalah,” pesan Puan Sri Fariha lagi.
“Ala mama ni, kita orang beli semua tu sebab kita orang tahu mama suka hias rumah. Tapi nak buat macam mana. Dah mama tak suka benda-benda macam tu. Terpaksalah dijadikan hiasan bilik stor aje,” ujar Junaid sambil menepuk lembut bahu Johan.
“Johan, kamu ingat pesan Angah ni baik-baik. Esok-esok kalau kamu teringin nak bawa balik apa-apa dari Amerika, bawa balik aje tapi ingat tau. Hanya ada satu benda aje kamu diharamkan bawa balik dari sana,” sambung Junaid dengan senyuman nakal sudah terukir di wajahnya.
“Apa dia Angah?” soal Johan sambil berkerut dahi.
“Menantu orang putih. Mengamuk mama nanti,” gurau Junaid.
Pesanan itu meledakkan ketawa semua termasuklah ahli keluarga Farah yang turut menghadirkan diri di situ.
Puan Sri Fariha merengus kecil. Geram dengan usikan anak lelaki keduanya.

“HEI Farah, bila lagi kau nak bagi hadiah tu pada Johan? Kejap lagi dia dah nak berlepas,” ujar Laila.
Lamunan Farah tersentak. Sejak tadi dia hanya berdiri tegak di balik tiang. Sementara matanya masih memandang jauh kelibat Johan yang berada di dalam kelompok keluarga mereka.
“Aku tak tahu macam mana nak bagilah Ila. Lagipun entah dia suka ke tak dengan hadiah aku ni.”
Farah membelek bungkusan berwarna biru langit di tangannya.
“Kau ni teruk betullah. Apa susah, kau bagi aje terus kat dia. Takkan dia nak tolak pulak. Kalau kau tak bagi sekarang, bila lagi? Ke kau nak bagi masa kau orang dah beranak pinak nanti?” gesa Haiza juga.
Perlahan-lahan Farah menarik nafas. Mencari kekuatan diri. Lalu lambat-lambat dia menapak. Mendapatkan Johan yang kini sedang berbual-bual di telefon bimbit. Lelaki itu berdiri berseorangan. Tidak jauh dari mereka yang lain.
Sambil menapak, mata Farah liar melihat sekeliling. Bimbang kehadirannya diketahui ahli keluarganya sedangkan malam tadi dia beria-ia menolak pelawaan mamanya untuk turut serta bersama mereka ke lapangan terbang pagi itu.
Farah baru mahu menegur Johan yang berada hanya beberapa langkah darinya tatkala terpandang kelibat seseorang menghampiri Johan. Lalu orang itu menegur Johan yang kebetulan baru menamatkan perbualan di telefon.
Mati langkah Farah jadinya. Kedua-duanya kelihatan berbual mesra. Timbul rasa cemburu di hati tetapi untuk apa rasa itu timbul, Farah sendiri tidak mengerti.
Agak lama Farah terpaku dengan keadaan itu sebelum dia tersedar semula. Teringat pada hadiah di tangan. Dia kembali menapak. Mendapatkan bagasi Johan tidak jauh dari situ. Penuh cermat dia meletakkan hadiah itu di atas bagasi. Sempat matanya memandang sekilas ke arah Johan yang masih tidak menyedari kehadirannya sebelum kembali berpaling. Mendapatkan Laila dan Haiza yang setia menanti di balik tiang.
Laila dan Haiza hanya menepuk dahi melihat tingkah laku Farah.

“JADI, bila awak akan berangkat ke Amerika?” soal Johan.
Dia terkejut dengan kehadiran Nisda di lapangan terbang itu namun tetap menyambut mesra.
“Kalau tak ada apa-apa minggu depan. Lagipun masih ada dua minggu lagi untuk saya mendaftar kat universiti tu. Lainlah awak, minggu depan dah bergelar mahasiswa,” balas Nisda sambil tersenyum manis.
“Kawan-kawan awak mana? Dia orang tak ikut sekali ke?” soal Nisda apabila teringatkan lima sahabat baik Johan.
Tidak nampak kelibat mereka di situ ketika ini.
“Dia orang dah berlepas semalam. Saya aje belum. Sengaja saya lewatkan sehari penerbangan sebab nak habiskan masa lama sikit dengan keluarga. Sekurang-kurangnya taklah rasa rindu sangat pada dia orang bila dah sampai kat sana nanti.”
“Farah tak datang hantar awak ke? Tak nampak dia pun?”
Pertanyaan Nisda mencuit rasa terkilan Johan namun dia tetap membalas tenang.
“Manalah Farah ada masa nak hantar saya Nis. Dia tengah sibuk sekarang. Maklumlah, tak lama lagi dia nak berangkat ke UK. Jadi banyaklah perkara yang perlu dia selesaikan,” balas Johan, sengaja mencipta jawapan sendiri.
Hakikatnya dia sedar. Mustahil Farah akan turut serta menghantarnya ke lapangan terbang biarpun itu harapan hatinya sejak mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat. Harapan yang kini hanya tinggal harapan.
Johan mengerti dengan sikap Farah yang sejak dulu tidak pernah menyenangi dirinya. Menjadikan harapannya untuk melihat wajah gadis kesayangan buat kali terakhir tidak tercapai juga akhirnya. Rasa kecewa menggigit hati walaupun rasa itu tidak tercalit di wajah Johan ketika ini.
“Hai, kalau iya pun sibuk buat persiapan, takkanlah tak ada masa langsung nak hantar sepupu sendiri? Ke saja dia tak nak hantar awak.”
Kata-kata selamba Nisda menyebabkan Johan terkedu sekejap.
Nisda pula sudah tersenyum sinis. Namun senyumannya kendur tatkala terpandang wajah serius Tan Sri Jamaluddin. Sejak dia tiba tadi lelaki itu memandang tajam padanya. Sekaligus mengundang rasa tidak senang di hati gadisnya.
“Oh ya Nis. Kebetulan awak dah ada kat sini, apa kata kalau saya kenalkan awak pada ahli keluarga saya? Rasanya awak belum kenal dengan dia orang lagi.”
Pelawaan Johan mematikan pandangan Nisda. Ternyata lelaki itu tidak menyedari keadaan gelisah gadis itu.
“Tak apalah Johan, lain kali aje ya. Saya sebenarnya nak ke tempat lain lagi ni. Saja saya singgah nak jumpa awak sebelum awak berlepas. Apa-apa pun kita jumpa kat Amerika nanti ya,” tolak Nisda lalu segera meminta diri.
Dia bergegas pergi tatkala Tan Sri Jamaluddin mula menghampiri mereka.
Johan hanya mengangguk walaupun sedikit pelik dengan tingkah laku yang ditunjukkan gadis itu ketika ini.

“APASAL kau letak aje hadiah kau tu kat atas beg dia? Kan bagus kalau kau bagi aje terus kat dia,” ujar Laila sebaik Farah menghampirinya dan Haiza.
“Aku bukan tak nak bagi sendiri tapi dah Nisda ada kat situ. Apa pulak kata dia kalau tiba-tiba aje aku bagi hadiah tu. Mesti dia fikir yang bukan-bukan nanti.”
“Alah, biarlah dia fikir apa pun. Dia dengan Johan pun bukannya ada apa-apa. Kalau ada pun bukannya salah kau bagi hadiah kat Johan. Kau orang kan sepupu. Takkanlah salah seorang sepupu bagi sepupunya hadiah,” sela Haiza cepat-cepat.
“Bukanlah macam tu. Aku sebenarnya segan nak bagi Johan hadiah aku tu. Entah dia suka entah tak, aku pun tak tahu,” balas Farah sambil mengerling Johan yang kini dihampiri Tan Sri Jamaluddin.
Kelibat Nisda tidak lagi nampak di situ.
“Macam mana kau tahu dia suka ke tak kalau kau tak cakap hadiah tu kau yang bagi,” marah Laila.
“Entah kau ni Farah. Kalau iya pun beritahulah kat Johan. Ini tak, main letak aje kat atas beg dia tu. Nanti mesti dia tertanya-tanya siapa yang bagi hadiah tu kat dia,” ujar Haiza pula.
Dia turut geram dengan sikap Farah.
“Kau ada tulis nama kau tak kat hadiah tu?” soal Laila.
Bulat matanya memandang Farah yang lambat-lambat menggeleng. Gadis itu tersengih lagi.
“Hah, eloklah sangatlah perangai kau tu. Dahlah sembunyi-sembunyi aje bagi hadiah, lepas tu tak tulis nama pulak. Hei kau ni Farah, tak tahulah aku nak cakap apa lagi,” balas Haiza sambil menepuk dahi dan menggeleng.
“Kau orang ni, asyik marahkan aku aje dari tadi. Okeylah, aku mengaku aku silap tapi nak buat macam mana lagi, benda dah lepas pun. Daripada kau orang membebel aje, apa kata kita balik sekarang? Sekurang-kurangnya taklah rabak telinga aku ni dengar kau orang membebel tak tentu pasal,” rungut Farah.
Dia terus menapak keluar dari situ.
Haiza dan Laila bergegas mengikut sambil merungut-rungut.

“SIAPA budak perempuan tu Johan?”
Johan yang masih memandang kelibat Nisda tersentak kecil. Pantas dia berpaling. Mengadap Tan Sri Jamaluddin yang entah bila berdiri di sisi.
“Oh. Tu Nisda, kawan Johan sejak Johan bersekolah kat Pulau Pinang lagi. Dia datang nak jumpa Johan sekejap,” beritahu Johan jujur.
“Kawan? Habis tu kenapa tak kenalkan pada ayah dan keluarga kita?”
“Johan nak kenalkan dia pada keluarga kita tadi tapi entah Nisda tu. Dia kata dia nak cepat pulak. Ada hal yang nak dibuatnya sekarang,” jelas Johan.
Dia sedikit pelik dengan sikap yang ditunjukkan Nisda sebentar tadi. Tergesa-gesa meminta diri padahal gadis itu tidak pernah bersikap begitu sebelum ini.
Tan Sri Jamaluddin mengangguk. Entah mengapa hatinya terasa sesuatu saat terpandangkan Nisda. Sesuatu yang tidak menyenangkan. Hingga timbul rasa curiganya. Curiga dengan tingkah laku dan perwatakan gadis itu. Kerana itu dia segera mendapatkan Johan.Namun belum apa-apa Nisda telah lenyap dari pandangan.
“Tak apalah Johan. Kamu pergi angkat beg kamu tu sekarang. Sekejap lagi kamu dah nak bertolak,” ujar Tan Sri Jamaluddin sambil menepuk lembut bahu Johan.
Lalu Johan mendapatkan bagasinya. Dia sedikit kaget saat terpandang bungkusan hadiah berbalut cantik rona biru langit di atasnya. Warna kegemarannya.
Siapa yang bagi ni? soal hati Johan. Matanya sudah mula melingas ke sekitar. Pencariannya terhenti tatkala terpandang tiga kelibat manusia yang begitu dikenali tergesa-gesa meninggalkan tempat itu. Dipicing anak matanya sebaik mungkin. Ingin memastikan pandangannya tidak salah.
Farah? Nama itu muncul di minda. Lalu membuatkan Johan tersenyum. Hadiah di tangan dibawa rapat ke dada. Bahagia hatinya dengan keadaan itu tanpa menyedari Tan Sri Jamaluddin sedang memerhati gelagatnya ketika ini.
Tan Sri Jamaluddin yang turut melihat kelibat ketiga-tiga tubuh itu menguntum senyuman lebar. Cukup mengerti dengan rasa yang sedang bergelumang di hati anak bujangnya ketika ini. 

No comments:

Post a Comment