Followers

Saturday, 5 October 2013

BAB 18 - KEJORAKU BERSATU



BAB 18


Khalidah meletak kotak yang dipegang di tepi kaki. Dia tunduk membuka kotak. Dikeluarkan beberapa buah buku sebelum disusun di atas rak tinggi yang tegak berdiri di depannya. Sambil itu, otaknya ligat mengira jumlah bilangan buku yang ada di depannya.
“Tumpang tanya, kedai ni masih ada stok buku Health and Recreation tak?” Suara seseorang yang menegur dari arah belakang menghentikan gerakannya.
Khalidah berpusing. Dia tergamam. Begitu juga dengan lelaki itu. Ada riak terkejut di kedua-dua wajah. Untuk seketika mereka hanya saling berpandangan tanpa sebarang kata. Perlahan-lahan Khalidah kembali menegakkan tubuh. Berdiri bertentangan dengan tubuh tinggi itu. Dia mengukir senyuman mesra.
“Ya, ada apa encik?” lembut dia menyoal. Kepalanya ditundukkan sedikit.
“Hmm, kedai ni masih ada stok buku Health and Recreation tak?” Agak tergagap Airil mengulang pertanyannya. Dia membalas mesra senyuman gadis itu.
“Rasanya ada. Nanti saya carikan,” ujar Khalidah, sedikit gugup.
Khalidah segera berlalu. Diayun langkahnya menuju ke rak buku di bahagian kesihatan. Airil mengikut dari belakang.
Khalidah membongkokkan badannya sedikit. Pantas tangannya membelek satu per satu buku yang tersusun kemas di rak yang rendah itu.
“Awak kerja kat sini ke?” soal Airil cuba mengawal getaran suara.
Hati Airil sebenarnya bergelombang hebat. Tajam matanya memandang gerak tangan gadis itu. Walaupun kelihatan lemah lembut namun pergerakan Khalidah yang pantas dan cekap sekaligus menimbulkan kekaguman pada Airil yang sedari tadi tidak mengalih pandangan matanya dari terus meratah wajah bersih itu.
Khalidah hanya mengangguk. Tangannya masih ligat mencari buku yang diminta Airil. Sesekali matanya mengerling ke arah lelaki itu. Ditunduk wajahnya setiap kali pandangan mereka bertembung. Hatinya bergetar kencang.
“Dah lama ke awak kerja kat sini?”soal Airil lagi. Dia selalu berkunjung ke kedai itu namun inilah kali pertama di bertemu dengan gadis itu.
“Baru beberapa minggu. Sebelum ni saya kerja kat tempat lain,” ujar Khalidah malu-malu. Cuba menutup getaran di hati.
“Seronok kerja kat sini?” soal Airil lagi.
“Seronok tak seronok pun saya tetap kena kerja jugak, kalau tak siapa nak jaga kedai ni.”
Airil mengerutkan dahi. Tidak mengerti dengan kata-kata gadis itu.
“Maksud awak?” soalnya ingin kepastian.
“Kedai buku ni kepunyaan ayah saya.  Sebab dah tak ada siapa yang dapat uruskan kedai buku ayah saya ni, terpaksalah saya berhenti kerja, bantunya menguruskan kedai ini.”
Airil mengangguk faham. Dia tersenyum kecil.
“Ini dia buku yang encik nak tu,” hulur Khalidah setelah beberapa ketika mencari. Dia kembali menegakkan tubuh.
Just call me Airil atau Ril,” Airil menyahut pantas. “Boleh saya tahu nama awak?”
Khalidah tersipu-sipu. Ditunduk sedikit wajahnya.
“Saya Khalidah. Panggil saja Idah,” balasnya lembut.
Dia kembali menundukkan muka apabila bola matanya bertembung dengan bola mata lelaki itu. Airil tersenyum lebar.
So, boleh saya jumpa dengan awak lagi nanti?” Sejak tadi mata lelaki itu melekat di wajah yang masih menunduk itu. Sekadar mencuba nasib.  
Khalidah tersenyum lagi. Dia akhirnya mengangguk.
Airil bersorak dalam hati. Terasa harapan untuk mendekati gadis yang telah mencuri hatinya itu semakin bersinar.

“Hah, dah siap pun semuanya,” ujar Nina mengelap peluh yang merenik di dahi.
Dihela pendek nafasnya. Dia bangun dari duduk. Matanya meneliti belakang kereta yang baru dibaikinya. Memastikan hasil kerja tidak mengecewakan pelanggan. Tangannya mengusap perlahan manik-manik peluh yang bertaburan di wajahnya.
Tengku Anuar yang sedari tadi duduk di tepi bengkel itu segera bangun. Masa yang agak lama yang diambil Nina untuk membaiki keretanya memaksa Tengku Anuar mendudukkan diri di bangku walaupun dia tidak ingin berbuat demikian. Dihampiri Nina yang kembali mengutip segala perkakasnya.
“Hah Encik Anuar, dah siap pun semuanya. Cuma nombor plat kereta aje saya tak boleh buat hari ni. Saya nak kena tempah dulu nombor tu. Maybe dalam minggu ni siaplah,” ujar Nina sebaik saja Tengku Anuar berdiri di sebelahnya.
So, berapa jumlah yang perlu saya bayar?”
Wajah comot Nina di renung lama. Ada kecantikan asli di sebalik wajah yang basah dengan peluh itu.
“Eh, tak payah Encik Anuar. Anggap aje ini sebagai ganti saya sebab melanggar kereta Encik hari tu,” ujar Nina pantas.
Memang itulah niatnya. Menebus semula kecuaian yang dilakukannya terhadap lelaki itu tempoh hari.
Tengku Anuar mendengus halus.
“Mana boleh begitu, awakkan berniaga. Nanti rugi pulak. Lagipun bukannya sikit awak baiki tu,” ujar Tengku Anuar.
Tidak pernah terlintas di hatinya untuk meminta gadis itu membayar ganti rugi padanya.
“Alah Encik, rugi pun bukannya boleh buat saya bangkrap pun. Setakat bengkel begini, apalah sangat. Lagi pun memang itu niat saya tadi,” tingkah Nina bersahaja.
Tengku Anuar mengukir senyuman. Hati lelakinya berbunga setiap kali mendengar gadis itu bersuara. Bagaikan ada satu perasaan indah yang menyelinap di ruang hatinya kala ini. Perasaan yang dia sendiri tidak mampu tafsirkannya.
“Okey kalau macam tu, apa kata kalau saya belanja awak makan sebagai tanda terima kasih?” ujar Tengku Anuar.
Wajah Nina yang berkerut seribu ditatap tepat.
Please jangan tolak,” sambungnya bila di lihat Nina memandangnya dengan pandangan yang kurang menyenangkan. Seakan gadis itu tidak sudi memenuhi pelawaannya.
“Tak apalah Encik Anuar. Saya ikhlas buat semua ni. Tak perlulah nak belanja makan pulak.”
Ternyata jangkaan Tengku Anuar tepat. Nina menolak sopan.
Tengku Anuar mengeluh perlahan.
“Kalau saya tahu saya tak payah bayar sesen pun, saya tak datang ke bengkel ni,” ujar Tengku Anuar seakan jauh hati.
Dia berasa sedikit kecewa pelawaannya di tolak mentah-mentah gadis itu. Nina tergelak kecil.
“Eh, janganlah macam tu. Okeylah, lain kali kalau Encik Anuar datang ke bengkel ni, saya kenakan bayaran. Saya janji,” ujarnya sedikit memujuk.
Di angkat lurus tangan kanan separas kepalanya seakan membuat ikrar. Giliran Tengku Anuar tergelak kecil. Mati akalnya seketika dengan tingkah gadis itu.
“Hmm… kalau begitu, saya minta diri dulu. Terima kasih kerana sudi baiki kereta saya dengan percuma. Untung jugak kalau setiap kali baiki tak payah bayar,” selorohnya.
Nina berdehem-dehem kecil.
”Untuk kali ni saja Encik Anuar, lain kali tak adanya percuma,” balas Nina dalam nada bergurau.
Tercetus tawa lelaki itu. Nina yang memandang turut tergelak.
“Saya minta diri dulu ya, thanks again,” ujar Tengku Anuar setelah tawanya reda.
Nina hanya mengangguk kecil. Dia memandang lelaki itu melangkah masuk ke kereta sebelum bergerak keluar dari kawasan bengkel itu. Diangkat tangannya tatkala Tengku Anuar membunyikan hon sebelum berlalu.
“Amboi, special benar orang tu ya Cik Nina, sampai tak payah bayar sesen pun. Patutlah Cik Nina nak baiki sendiri kereta tu, ada makna rupanya,” Indra yang baru setengah jam tadi berada semula di bengkel bersuara. Dikenyit mata kanannya pada Rafiq dan Jimmy yang berada tidak jauh dari tempatnya duduk. Mereka bertiga tersengih nakal.
Nina menjeling anak muda itu sekilas dengan ekor matanya.
Special apanya, saya yang langgar kereta dia, mestilah saya tak kenakan bayaran,” balasnya sedikit tinggi.
Nina pura-pura marah. Diangkat semula segala perkakas yang digunakannya tadi ke dalam bengkel. Indra turut membantunya.
“Oo, jadi kereta dialah yang Cik Nina langgar tempoh hari sampai besi depan kereta Cik Nina bengkok tu?” tanya Rafiq yang sedang sibuk mencuci sebuah kereta.
Handsome ya lelaki tu Cik Nina. Sesuai dengan Cik Nina,” sambung Rafiq lagi sambil tersenyum.
“Bukan saja handsome, kaya lagi tu,” sampuk Jimmy turut tersengih.
“Mana kau tahu dia kaya Jim?” soal Indra sedikit kuat.
“Alah, kalau tak kaya takkan dia nak pakai pakaian kemas macam tu. Kau fikirlah, ada ke orang yang nak datang ke bengkel pakai pakaian macam tu. Siap bertali leher dan bersarung kot lagi,” selorohnya.
“Iya tak ya jugak kan,” ujar Indra mengaru-garu dagunya yang tidak gatal.
“Sepadanlah dengan Cik Nina kita ni. Tak gitu Cik Nina?” ujar Rafiq tertawa kecil.
Mereka yang lain turut melempar senyuman masing-masing. Nina yang mendengar kata anak muda itu mencekak pinggang.
“Amboi, bukan main lagi kau orang ni ya, semua lelaki yang datang baiki kereta kat sini semuanya nak dipadankan dengan saya,” ujar Nina walaupun dia tahu anak-anak muda itu sekadar mengusiknya.
“Bukan begitu Cik Nina, memang betul pun kata Rafiq tu. Cik Nina pun bukannya dari sehari ke sehari makin muda. Dah dua puluh tujuh tahun pun. Eloklah Cik Nina berkahwin. Lainlah kami bertiga ni, muda belia lagi,” Jimmy tersengih kecil seraya menepuk-nepuk dadanya.
“Betul kata Jim tu Cik Nina,” sampuk Indra. “Kalau Cik Nina kahwin, kami bertiga ni jugak yang untung. Bolehlah kami merasa nasi minyak Cik Nina tu.”
“Betul, betul, aku sokong pendapat kau tu,” ujar Rafiq sambil mengangguk beberapa kali.
“Lepas Cik Nina kahwin, bolehlah kita dapat anak angkat nanti,” ujarnya lagi.
“Anak angkat?” soal Jimmy tidak memahami kata-kata anak muda itu.
“Yalah anak angkat. Kalau Cik Nina kahwin, mestilah dia dapat anak. Anak tu lah akan jadi anak angkat kita nanti,” jelas Rafiq tersenyum.
“Wah, mesti bestkan kalau anak angkat. Bolehlah aku ajar dia  macam mana nak baiki motor dan kereta nanti,” ujar Jimmy mula berangan.
Nina membesarkan mata. Sengaja mempamerkan riak serius di raut wajahnya.
“Ewah, makin menjadi-jadi pulak kau orang ni ya. Dah, dah, buat kerja masing-masing. Tak pasal-pasal saya potong gaji kamu bertiga nanti. Baru kamu tahu,” ujar Nina menjegilkan kedua-dua matanya.

Tanpa berlengah lagi, dia mengayun langkahnya kembali ke pejabat. Meninggalkan mereka bertiga yang hanya tersengih-sengih memandangnya. 

No comments:

Post a Comment