BAB 15
Sudah hampir seminggu Dhia berada di
situ. Di sebuah kawasan perumahan yang terletak di salah sebuah bandaraya
terkemuka di Pantai Timur Malaysia.
Selama itu juga Dhia banyak
mempelajari pelbagai perkara yang tidak pernah dialaminya selama ini. Dan
antara yang menarik perhatiannya adalah perihal keluarga Farhan. Terlalu banyak
perkara yang berada di fikirannya berkenaan dengan keluarga itu. Segalanya
berkeliaran liar di benaknya. Hubungan kekeluargaan yang begitu hambar,
kebahagiaan yang jarang bertandang serta pelbagai perkara lain membuatkan Dhia
merasakan bagaikan ada sesuatu yang tidak kena pada keluarga itu.
Selama Dhia berada di situ, telah
beberapa kali matanya dengan tidak sengaja terpandangkan kelibat nenek dan ibu
Farhan berbahas kata. Kedudukan rumah mereka yang benar–benar setentang membuatkan
dia dapat melihat segalanya dengan begitu jelas.
Walau pun dia tidak mendengar butir
pertengkaran itu namun dia tahu, segalanya pasti berakhir dengan tangisan Puan
Wardah yang di lihatnya lebih suka mengalah. Manakala Nek Zaitun berlalu pergi
bersama dengan gumpalan marah yang masih belum berkecai sepenuhnya.
Dhia menarik nafas panjang.
Sesungguhnya dia tidak senang dengan keadaan itu. Walau perkara itu tidak
mempunyai sebarang pertalian dengannya namun sebagai manusia, Dhia merasakan
tanggungjawab untuk mencari jalan penyelesaiannya tergalas di bahunya.
Hatinya gusar setiap kali
terpandangkan keadaan itu. Gusar memikirkan keadaan ahli keluarga yang terpaksa
menghadapinya saban hari. Dan dia sendiri sedar, keadaan itu juga menjadi salah
satu penyebab kebahagiaan tidak berani mengulit keluarga itu. Sekaligus
menjarakkan kegembiraan dari bercambah dalam diri masing-masing.
Mengenangkan itu Dhia menghela nafas
lagi. Bagi Dhia, sikap yang dipamerkan keluarga itu menyimpang jauh dari jalan
yang sepatutnya mereka ikuti. Jalan kehidupan yang sebenar. Jalan yang membawa
mereka kepada kebahagiaan hidup di dunia serta di akhirat.
Betapa mereka tidak menghargai
kehidupan yang diberikan Allah sebaiknya. Tidak menghayati erti kekeluargaan
sepenuhnya. Tidak menikmati anugerah yang tersedia untuk setiap manusia
sesungguhnya. Tidak sama sekali!
Dhia kecewa dengan keadaan itu. Kecewa
dengan mereka yang tidak pandai menilai erti kehidupan. Tidak ingin menyimpul
mati hubungan sesama sendiri. Tidak mahu mengikat tali persaudaraan dengan
jerutan yang lebih kuat. Sekaligus membibitkan perasaan cemburu pada Dhia yang
hadir di dunia seorang diri.
Tidak mempunyai adik beradik seperti
mana orang lain. Hanya seorang diri. Kehilangan ibu bapa dua tahun lalu
menambahkan rasa cemburunya pada mereka yang berkeluarga besar. Cemburu dengan
anugerah Allah yang tidak ternilai itu. Anugerah yang tidak pernah dikecapinya.
Kerana itu dia kecewa. Kecewa dengan
sikap ahli keluarga yang menginap di rumah bertentangan dengan rumah makciknya.
Dia benar-benar kecewa melihatkan keadaan itu. Jika di ikutkan hati mudanya,
mahu saja dia menerpa ke sana. Menyelesaikan segalanya dengan segera.
Namun Dhia sedar. Menyelesaikan
masalah bukanlah semudah membuang barang-barang yang tidak berguna lagi. Tidak
boleh dicampak keluar begitu saja. Ada caranya untuk menyelesaikan semua itu.
Cara yang dapat diterima semua orang. Cara yang tidak mencarikkan mana-mana
hati. Jauh sekali mengoyak rabakkan segala hubungan.
Dan kerana itu otaknya ligat berputar.
Mencari jalan yang dirasakan sesuai untuk dilakukan. Perhatian fikiran Dhia
teralih tatkala bayangan Farhan menerpa masuk ke ruang fikirannya.
Di mata Dhia, Farhan tidak seperti
lelaki–lelaki lain yang pernah dikenalinya. Lelaki itu bagaikan hidup dalam dunianya
sendiri. Tiada kebahagiaan mahupun kegembiraan yang mewarnai kehidupannya.
Hanya kesedihan dan kepahitan yang menyelubungi.
Seolah–olah kehidupannya bergerak
seiring dengan sumpahan. Sumpahan yang tiada penawarnya. Sumpahan yang
mengheret dirinya ke lembah penderitaan. Dan kerana itu Farhan tidak dapat
hidup seperti mana orang lain. Tiada senyuman mahupun gelak tawa yang
mengiringi lelaki itu. Hanya riak serius dan ketegangan yang menghiasi wajah
tampan itu saban waktu.
Dalam diam Dhia memasang tekad. Dia
ingin melakukan sesuatu buat mereka sekeluarga. Sesuatu yang mampu mengubah
kehidupan keluarga itu. Sebagai hadiah darinya, seorang asing yang hanya ingin
menumpang kasih sayang sebuah keluarga walau hanya seketika. Hanya itu yang dia
mampu lakukan sebelum dia pergi. Pergi yang dia sendiri sedar, tak mungkin
dapat kembali.
“Jemput minum Dato’, Datin,” pelawa
Puan Salwa sambil menyorong sedulang minuman.
Di hulur cawan yang berisi air kopi
yang telah siap dituang pada keduanya. Pasangan suami isteri itu hanya
mengangguk seraya menyambut hulurannya. Tersenyum panjang.
“Sunyi je rumah kamu. Nida mana?”
tanya Datin Zawani berbasa basi.
Matanya melilau mencari kelibat orang
yang dicari. Cawan kopi yang masih berasap panas di angkat sebelum dihirup sedikit.
Terasa nikmat minuman menerjah ke lorong tekaknya.
“Ada kat dalam biliknya. Membaca buku.
Minggu depan nak exam katanya,” sahut
Puan Salwa penuh hormat.
Menyorot mata pada Datin Zawani yang
mengangguk kecil.
“Eloklah kalau macam tu. Beritahu Nida,
rajin–rajinlah belajar. Esok–esok bolehlah dia tolong ayah dia ni di pejabat,”
sampuk Dato’ Raid. Matanya menombak wajah Encik Bukhari yang tersenyum kelat.
“Itu pun kalau dia mahu Dato’.
Dibuatnya sama saja dengan perangai kakaknya tu, nak buat macam mana lagi dah,”
sambut Encik Bukhari.
Ada kekecewaan yang berselirat di
dalam nada suaranya. Sekaligus mengungkit semula perkara yang telah beberapa
lama membunuh kegembiraan hidupnya suami isteri.
“Sebut tentang kakaknya, kamu berdua
dah jumpa ke si budak Nisa tu?” soal Datin Zawani.
Memang itulah tujuannya mengajak Dato’
Raid ke rumah bakal besannya petang itu. Ingin mengetahui perkembangan terbaru
tentang gadis yang menjadi tunangan anak lelaki kesayangannya. Puan Salwa
menggeleng lemah.
“Belum lagi lagi Datin. Tak tahulah ke
mana dia pergi. Dah puas kami mencari, merata tempat kami pergi tapi sampai
sekarang tak dengar apa–apa khabar pun,” jawab Puan Salwa sedikit sayu.
Memandang sekilas wajah Encik Bukhari yang mendengus geram.
“Budak tu degil betul. Keras kepala.
Tak pernahnya nak dengar cakap orang tua. Nak ikut cakap dia saja,” suara Encik
Bukhari begitu beremosi.
“Kita tak boleh cakap macam tu Khari.
Si Nisa tu pun ada minat dan impiannya juga. Tak boleh nak paksa dia ikut cakap
kita saja,” sampuk Dato’ Raid lembut.
Cuba meredakan kemarahan yang mula
meluap di hati lelaki yang telah dianggap seperti keluarga sendiri itu.
“Betul tu Khari. Nisa tu baik
budaknya. Tak ada kekurangannya. Cuma tulah, si Azfar tu yang melampau sangat.
Suka benar mengongkong Nisa. Mana taknya budak tu tak lari dari rumah,” Datin
Zawani menyela kata.
Dalam hal ini, dia sememangnya menyalahkan
anak tunggalnya. Sebagai ibu, dia begitu mengerti dengan sikap Azfar yang degil
dan gemar memaksa orang lain mengikut kehendaknya. Silapnya sendiri dan Dato’
Raid kerana terlalu memanjakannya sedari kecil. Menjadikan pemuda itu terbiasa
bersikap begitu walau dirinya telah lama diterjah kedewasaan.
“Apa pun sebagai orang tua kita
kenalah buat sesuatu supaya dia orang dapat bersama semula,” sampuk Dato’ Raid.
Dia yang sedari tadi leka menikmati
keenakan biskut coklat buatan Puan Salwa bersuara lagi. Seketika dipandang
wajah Encik Bukhari yang ternyata terkejut dengan kata–katanya itu.
“Dah si Nisa menconteng arang ke muka
kita pun Dato’ masih nak buat dia jadi menantu?” suara Encik Bukhari. Kurang
percaya dengan kata–kata lelaki yang telah dikenalinya sejak kecil itu.
“Conteng arang ke tidak, kami tak
peduli tentang itu Bukhari. Yang penting Azfar dah sayang sangat pada dia. Kami
sendiri pun tak mahu bermenantukan anak dara lain. Lagi pun kalau difikirkan
semula, semua ni berlaku pun disebabkan si Azfar juga. Terlalu mengongkong si
Nisa tu. Nak berkawan dengan sesiapa pun dia tak bagi. Nak pergi mana pun kena
bagi tahu. Control sangat. Itu belum
lagi berkahwin. Agaknya esok–esok lepas kahwin si Nisa tu nak keluar pergi
kerja pun dia tak izinkan,” giliran Datin Zawani melepas geram. Marah pada
sikap sang anak yang dirasa melampaui batasan.
“Nasib baiklah kita belum lagi
hebahkan perihal majlis perkahwinan dia orang pada sesiapa. Kalau tidak lagi
malulah kita,” keluh Puan Salwa.
“Macam mana nak kita nak hebah Wa, dia
orang bertunang pun tak ada siapa yang tahu kecuali kita sekeluarga saja,”
Datin Zawani kembali menyelit suara. Masih terdapat saki baki kemarahan dalam
nadanya.
“Entah ke manalah budak si Nisa
menghilang. Sampai sekarang kita masih tak tahu kat mana dia berada,” Puan
Salwa kembali menghumban keluhan.
“Janganlah sedih Wa, Insya Allah,
esok–esok dia baliklah tu,” pujuk Datin Zawani lemah.
Dia sendiri hakikatnya turut bimbang.
Bakal menantu kesayangannya hilang entah ke mana.
No comments:
Post a Comment