BAB 5
“Hah Az, kamu tak bekerja ke hari ni?” tanya
Datin Zawani sebaik matanya terpandang Azfar menyidai tubuh di sofa ruang tamu
rumah.
Dia yang baru turun dari tingkat atas
rumah segera melangkah menghampiri pemuda itu.
Azfar mengeleng seraya menghembus
nafas perlahan.
“Tak ma, malas,” balasnya pendek.
Matanya masih melekat pada kaca
televisyen yang terpasang kuat di depannya. Hanya pandangannya di situ.
Fikirannya menerawang entah ke mana.
Datin Zawani menarik nafas panjang.
Dilabuh punggungnya di sofa. Bersebelahan pemuda itu. Bola matanya menerjah
wajah tegang milik Azfar. Raut wajah yang jarang dipamerkan oleh pemuda itu
sedari dulu lagi. Hanya sejak kebelakangan ini wajah itu berubah riak. Menjadi
tegang dan serius. Marah dan geram menjadi mainan sikapnya. Tanpa sedar Datin
Zawani mengeluh perlahan.
“Apalah nak jadi dengan kamu ni Az.
Mama tengok sejak akhir–akhir ni lain benar perangai kamu. Suka termenung,
berkhayal sendiri. Bila bercakap nak marah–marah saja. Kenapa sebenarnya kamu
ni Az? Kamu tak kasihan ke pada mama dan papa?” ujar Datin Zawani lembut.
Azfar pantas menjeling tajam wajah
Datin Zawani. Rengusan kasar terluah keluar dari bibirnya.
“Nak kasihan apanya mama? Apa yang dah
Az buat sampai menyusahkan mama dan papa ni?” suara Azfar sedikit tinggi.
Berkocak darah mudanya tatkala mendengar
kata-kata berupa tuduhan di telinganya itu. Matanya tidak lagi melekat pada
kaca televisyen sebalik mengarah ke wajah Datin Zawani yang menarik nafas
pendek. Ada setompok keresahan di wajah yang mula dimamah tua itu.
“Mama tak kata Az menyusahkan kami
tapi Az tengoklah keadaan diri Az tu. Tak terurus langsung. Macam baru mati
bini. Serabut saja dari atas sampai ke bawah,” balas Datin Zawani lembut.
Untuk seketika matanya beralih pada
tubuh tegap anak itu. Pakaian tidur masih membungkus tubuh pemuda itu walau
matahari telah lama menjengah bumi.
Azfar tidak menjawab. Tiada keinginan
untuk membalas kata. Tubuh yang terbaring di sofa kini di alih kedudukannya.
Menyandar di dada sofa. Bantal yang sedari tadi dipeluk erat di bawa ke
ribaannya. Matanya kembali diarah ke kaca televisyen.
Datin Zawani mengeluh lagi. Tahu,
tiada ketenangan yang membuai hati pemuda itu saat ini. Sedikit sebanyak rasa
kecewa mengigit hati wanitanya melihatkan sikap sang anak yang hanya acuh tidak
acuh melayannya.
“Ni papa tahu tak Az tak pergi kerja
hari ni?” Datin Zawani kembali menyoal setelah suasana diselimuti sepi buat
seketika. Menembak mata pada Azfar yang hanya mengangguk. Membiarkan saja pertanyaan
sang ibu berlalu dibawa sepi tanpa sebarang sahutan. Sekaligus mematikan
perbualan mereka.
Datin Zawani kembali mengeluh.
Panjang.
Dhia terhendap–hendap mengatur
langkah. Menghampiri Puan Marini yang kelihatan ralit menyiram pokok–pokok
bunga yang tumbuh subur di halaman rumah. Telinganya dapat mendengar alunan
nyanyian kecil yang terluah dari mulut wanita itu. Penuh penghayatan dan
bernada ria.
Dhia mengorak senyuman nakal.
Terlintas di akalnya untuk melakukan sesuatu. Sesuatu yang dapat mengejutkan
wanita itu dari dunia khayalannya. Perlahan-lahan dia mendekatkan tubuh pada
Puan Marini yang berdiri membelakanginya. Masih tidak menyedari kehadiran gadis
itu. Leka dengan aktiviti yang sedang dilakukannya.
“Makcik,” sergah Dhia kuat seraya
menepuk bahu wanita itu.
Serentak itu Puan Marini menjerit.
Terkejut. Gulungan paip getah yang berada ditangannya terlepas. Dia mengucap
panjang.
“Ya Allah Dhia, terkejut makcik tau,”
suaranya sebaik dia kembali tenang.
Merenung geram pada sang gadis yang
telah tertawa berdekah-dekah. Geli hati memandang tingkah spontan wanita itu.
Tidak peduli pada Puan Marini yang merengus geram padanya.
“Nasib baiklah makcik kamu ni sihat
walafiat, tak ada apa-apa penyakit kronik, kalau tidak rasanya dah lama makcik
pitam tadi,” suaranya lagi sambil menampar lembut lengan Dhia yang terus
mengaduh sakit. Dia menyeringai kecil.
“Ala makcik, sekali sekala mengusik,
apa salahnya kan. Sorry ya makcik,”
Dhia mengenyit mata pada Puan Marini yang hanya menggeleng melihat tingkahnya.
Dia tersenyum lebar. Dihulur
tangannya. Berjabat sebelum memeluk erat tubuh wanita itu. Puan Marini membalas
kejap.
“Dah lama kamu sampai?” tanya Puan
Marini sebaik saja pelukan terlerai. Hilang rasa geram yang bersalut di hatinya
sebentar tadi melihatkan wajah ceria yang selama ini dinanti-nanti kehadirannya
itu.
“Baru saja makcik. Pakcik mana?”
Dhia meninjau sekeliling rumah.
Mencari kelibat Encik Mansur sebelum kembali ke wajah Puan Marini. Dia masih
mengukir senyuman lebar.
“Pakcik kamu tu belum balik kerja
lagi. Kejap lagi sampailah tu. Dah jom kita masuk rumah. Boleh kita berborak
panjang nanti. Rindu betul makcik pada kamu Dhia,” suara Puan Marini lagi.
Kepala paip dipulas ketat manakala paip getah digulung semula sebelum diletak
bersebelahan pasu bunga.
Dhia tersenyum panjang.
“Dhia pun sama makcik,” ujarnya masih
tersenyum.
“Dah, jom kita masuk ke dalam,”
Puan Marini menarik tangan Dhia
sebelum mereka sama–sama melangkah masuk ke dalam rumah.
Puan Salwa meletak cawan berisi air
teh panas ke piring di depannya. Matanya memandang sekilas kawasan halaman
rumahnya yang kelihatan bersih dan kemas sebelum jatuh semula pada cawan yang
berada di atas meja batu marmar berbentuk bulat di depannya.
“Abang agak ke mana perginya si Nisa
tu ya?” Lembut dia membuka ruang bicara. Matanya menerjah wajah Encik Bukhari
yang ternyata kurang senang dengan pertanyaan itu. Ada percikan marah yang
memalit wajah lelaki itu.
“Manalah abang tahu dia pergi mana Wa.
Kalau abang tahu pun abang buat tak peduli aje,” balas Encik Bukhari sedikit
tegas. Mata lelaki itu masih melekat pada dada suratkhabar di tangannya.
Puan Salwa tertunduk. Hatinya sedikit
tersentuh mendengar kata–kata lelaki itu. Seolah pertanyaannya tidak memberi
sebarang makna. Keluhannya dilepas panjang.
“Saya bukannya apa bang, Nisa tu kan
anak kita. Takkan kita nak biar dia hilang begitu saja. Kita kena juga cari dia
bang,” ujarnya lagi. Ada sendu yang mengiringinya kali ini.
“Nak cari apanya lagi. Dah puas kita
mencari, semua tempat kita dah pergi tapi masih tak jumpa juga. Salah kita lagi
ke kalau dia sendiri yang tak nak balik ke rumah?” suara Encik Bukhari sedikit
meninggi.
Dia meletak semula suratkhabar di
tangan ke meja di depannya. Tangannya mencapai cawan berisi air teh panas di
depannya. Mencicipnya sedikit. Hilang moodnya
untuk membaca petang itu bila mengenangkan sikap anak perempuannya. Sikap yang
amat melukakan dirinya dan isteri.
“Malu saya bang bila fikirkan perbuatan
si Nisa tu. Tak pasal–pasal hubungan kita dengan keluarga Dato’ Raid renggang,”
Puan Salwa kembali bersuara. Cuba meredakan kegusaran yang telah lama membelit
hati wanitanya.
“Habis tu, awak fikir abang ni tak
malu? Abang lagi malu tahu tak. Dahlah Dato’ Raid tu kawan baik abang. Bukan
sehari dua kami kenal. Dari sekolah rendah lagi. Susah payah keluarga kita dia
yang banyak ambil tahu. Ada anak pun bukannya tahu membalas budi. Buat malu
keluarga saja,” rungutan Encik Bukhari berbaur marah. Air ditangan dicicip
lagi.
“Habis tu, abang tak nak cari ke si
Nisa tu bang?” pertanyaan Puan Salwa masih berpusat pada perkara yang sama. Matanya
merayap ke wajah tegang suaminya.
“Awak nak abang cari anak derhaka tu kat
mana lagi? Apa awak fikir Kuala Lumpur ni sebesar pokok cendawan saja ke hah?
Senang-senang je boleh jumpa dia kat mana-mana pun,” balas Encik Bukhari
sedikit marah. Geram dengan tingkah isteri yang tak jemu–jemu memujuknya.
“Manalah tahu si Nisa tu ada kat rumah
kawan–kawan dia,” suara Puan Salwa masih tidak berputus asa.
Encik Bukhari segera mencebik bibir.
“Huh, siapalah yang teringin nak
berkawan dengan anak awak tu. Bergaul dengan orang sekeliling pun tak nak. Yang
dia tahu pun mengadap komputer saja. Tak pun menconteng kanvas lukisannya tu,
reka benda entah apa–apa, lepas tu jual entah pada siapa–siapa. Laku tak laku
kita sendiri pun tak tahu,” cemuhnya.
“Abang tak boleh cakap macam tu. Dah
minat dia ke situ, kita nak buat macam mana,” sangkal Puan Salwa cepat.
Sedikit geram dengan tingkah si suami
yang terang-terangan merendahkan minat dan kebolehan sang anak.
“Minat tu minat juga tapi fikirlah
sama tentang mak ayah dia ni. Tu syarikat saya tu, siapa yang nak uruskan kalau
bukan anak–anak? Esok–esok bila saya dah pejam mata, siapa yang nak ambil alih
syarikat tu? Walau pun tak sebesar mana tapi saya cukup bangga dengan syarikat
tu. Saya bangunkannya dengan titik peluh saya sendiri tau,” sanggah Encik
Bukhari penuh marah.
“Dah Nisa tak minat nak bantu abang
kat pejabat tu, nak buat macam mana lagi. Lagipun abang tak boleh salahkan dia
seratus peratus. Dia dah cuba untuk bekerja di syarikat abang tu sebelum ini
walaupun dia tidak minat dengan semua tu,” Puan Salwa masih cuba mempertahankan
anaknya.
“Hah, kalau dah tahu tak minat, kahwin
saja dengan lelaki pilihan kita. Boleh juga bakal menantu kita tu tolong saya
di pejabat tu nanti. Ini tidak, semuanya nak ikut cakap dia saja. Cakap orang
tua tak mahu dengar langsung,”
“Bukan dia tak mahu kahwin bang tapi
dia minta masa untuk fikirkan tentang hal itu,”
“Huh, minta masa konon. Apa tak cukup
lagi ke masa untuk dia kenal budak Azfar tu? Dari kecil lagi mereka berkawan,
takkan sampai umur dah lebih dari suku abad pun masih tak kenal lagi dengan
budak tu? Huh, itu hanya alasan dia nak bantah kehendak kita. Melampau betul!”
hati Encik Bukhari benar-benar dibakar marah bila mengingatkan sikap anak
perempuan sulungnya itu.
“Abang, tak baik abang cakap macam tu
pada anak sendiri. Salah kita juga sebab memaksa dia menerima lamaran si budak
Azfar tu sedangkan kita sendiri tahu yang mereka berdua tu hanya berkawan
baik,”
Encik Bukhari mencebik lagi.
“Hah, berkawan baiklah sangat. Kalau
betullah mereka tu hanya berkawan baik, takkan si Azfar tu nak menghantar
lamaran pada anak kita tu. Dia kan orang ternama. Ramai lagi perempuan yang
boleh dipilihnya untuk dijadikan isteri. Dia boleh ambil saja yang mana dia
suka. Tak payah nak susahkan diri memilih anak kita yang tak tahu di untung
itu!” jerkahnya.
“Nisa tu memang bodoh, tak tahu
menilai yang mana kaca yang mana berlian. Orang nak bagi kesenangan padanya pun
dia tak nak. Esok-esok kalau dah hidup merempat baru dia sedar. Dah tak ada
gunanya lagi kalau nak menyesal waktu tu,” sambung Encik Bukhari lagi bila di lihat
isterinya hanya membisu.
“Lagipun, memang patut pun dia
berkahwin dengan si Azfar tu. Dah banyak sangat budi yang ditaburkan oleh
keluarga Azfar tu pada kita. Sekurang-kurangnya bolehlah juga kita membalas
budi mereka tu walau dengan cara lain.”
“Isy abang ni, tak baik fikir begitu.
Si Azfar tu nak berkahwin dengan anak kita sebab dia memang sayangkan anak
kita, bukannya sebab nak minta kita tebus semula budi baik keluarganya tu.
Lagipun bang, Dato’ Raid sekeluarga tak pernah meminta kita membalas semula
budi baik yang pernah mereka berikan pada kita tu. Mereka ikhlas membantu kita
selama ini,” sahut Puan Salwa.
Hatinya benar-benar tidak senang
dengan kata-kata suaminya yang seakan menjadikan masa depan anak mereka sebagai
penebus atas segala kebaikan yang diperolehi selama ini.
“Ini bukan soal nak membalas budi Wa
tapi soalnya, orang dah berbudi, takkan kita tak berbahasa pula,” sela Encik
Bukhari kembali meninggikan suara. Marah kerana kata-katanya disangkal wanita
itu.
“Itu saya tahu bang tapi takkanlah
masa depan anak kita pula yang jadi taruhannya,” sambut Puan Salwa kembali
mengendurkan suara. Sayu dengan keadaan itu.
“Hah, itulah awak, suka sangat
membantah kata-kata abang. Semuanya salah kalau abang yang lakukan. Gemar benar
membela perangai anak. Bila dia dah lari dari rumah macam ni, baru awak tahu
baik ke tidak anak kesayangan awak tu!” Encik Bukhari menyergah lantang.
“Bukan begitu bang...”
“Dahlah tu Wa, jangan cakap lagi pasal
ni. Abang dah bosan mendengarnya. Dan ingat, mulai hari ni, abang tak mahu lagi
Wa minta abang carikan budak Nisa tu. Suka hati dialah nak buat apa pun. Abang
dah tak mahu ambil peduli lagi. Pandai–pandailah dia balik sendiri ke rumah ni.
Itu pun kalau dia ingat dia masih ada keluarga,” Encik Bukhari kembali bersuara
sebelum sempat Puan Salwa menyudahkan kata.
Dia segera menghabiskan sisa–sisa
minumannya sebelum bangun menuju ke dalam rumah. Meninggalkan Puan Salwa yang
termangu–mangu dengan kata–kata suaminya. Rasa sayu kembali bermukim di
hatinya. Puan Salwa mula menangis.
No comments:
Post a Comment