BAB
13
DIA mencapai
majalah berbahasa Inggeris. Diselak helaiannya sebelum dihumban ke bawah.
Bosan. Disebak rambutnya sambil mata dihala ke luar tingkap.
Sudah
seminggu Ikhwan di Venice. Bandar raya yang turut dikenali dengan nama La
Dominante itu merupakan tanah kelahiran dia. Namun, dia tidak betah berada di
situ. Sejak melihat dunia, masa hidupnya banyak dihabiskan di merata-rata
tempat. Mengikut orang tuanya menjalankan perniagaan di seluruh pelosok dunia.
Walaupun
jasad di situ namun roh dan minda Ikhwan tertinggal di Malaysia. Sejak lima
tahun lalu dia dan orang tuanya berhijrah ke sana. Lalu menemukan dia dengan
seseorang sejak dia ke Pulau Pinang untuk menyambung pengajian. Seseorang yang
menguatkan lagi hatinya untuk terus berada selamanya di negara kelahiran
ibunya.
Sekaligus
mengingatkan Ikhwan pada pertemuan pertama mereka. Ketika itu dia menemani
Wilma menghadiri pertandingan debat di Dewan Seri Negeri. Kali pertama Ikhwan
terpandang wajah itu, hati mudanya tertawan. Sikap mesra Farah selain
kecantikannya menjadikan Ikhwan teruja untuk mengenalinya dengan lebih dekat.
Ditambah kepetahan gadis itu berbicara cukup mengikat hatinya untuk terus
melekat di wajah putih bersih itu.
Bermula
dari situ Ikhwan berusaha mendekati Farah walaupun kehadirannya tidak pernah
disenangi. Dia dapat membacanya walaupun Farah tidak pernah mempamerkan semua
itu secara langsung. Jauh sekali melalui kata-kata.
Ikhwan
bahagia dengan khayalan sendiri walaupun hatinya parah ketika ini. Parah
menanggung cinta dan rindu terhadap gadis itu. Sejak dulu telah beratus-ratus
gadis datang dan pergi dalam hidupnya. Namun tiada seorang pun yang mampu
memabukkan dia sehebat ini. Begitu mabuk hingga dia tidak betah melupakan Farah
walaupun sesaat. Malahan Surina pun tidak mampu membuat dia mabuk sebegini
dahsyat.
Surina!
Nama itu membuat mata Ikhwan terbuka luas serta-merta. Rasa puas bergumpal di
hati. Puas kerana berjaya menakluk gadis itu sepenuhnya. Menundukkan gadis
jelita itu di hujung kakinya. Sanggup melakukan apa saja biarpun harga diri
menjadi pertaruhan dalam mendapatkan cinta Ikhwan yang sememangnya mampu
memenuhi segala impian setiap gadis.
Namun
bukan itu penyebab utama Ikhwan terus menjadikan gadis itu pemuas nafsunya. Ada
sebab lain membuatkan dia begitu bangga mendapat Surina. Sebab yang telah
berjaya melukakan hati seseorang yang begitu dibenci. Seseorang yang telah lama
dijadikan musuh ketatnya. Musuh yang ingin dihapuskan andai peluang itu ada.
Tengku
Faizam Fakhruddin. Nama itu sudah cukup menggelegakkan hati Ikhwan setiap kali
melintasi mindanya. Panas hatinya makin meruap apabila mengenangkan hubungan
anak muda itu dengan gadis buruannya ketika ini. Farah!
Tanpa
sedar Ikhwan merengus marah. Melepaskan dendam yang tidak mampu dilunaskan pada
anak muda itu. Namun bayangan Surina yang tiba-tiba menerjah minda
menjadikan marahnya hilang segera. Lalu bibirnya kembali menguntum senyuman
gembira.
Terasa
kejayaan berpihak padanya ketika ini. Kejayaan memiliki hati dan jasad gadis
itu. Hati yang pernah dimiliki Faizam suatu masa dulu. Jasad yang tidak pernah
disentuh anak muda yang bergelar ustaz muda di sekolah mereka itu. Sekaligus
berjaya melukakan hati Faizam yang sehingga kini tidak mengetahui sebab musabab
Surina meninggalkannya. Walaupun riak kecewa tidak pernah dapat dilihat di
wajah tenang itu namun Ikhwan yakin Faizam tetap merasa sakit. Dia bangga
dengan kemenangan yang diraihnya dalam diam itu.
Ikhwan
merengus kasar apabila tiba-tiba saja pintu biliknya dibuka dari luar.
“Baik
kau hari ni. Duduk rumah aje sepanjang hari,” ujar Wilma sinis membuka bicara.
Selamba
dia melabuhkan punggung di sisi Ikhwan lalu mencapai kotak rokok.
“Ada
apa kau ke sini?” soal Ikhwan tanpa mempedulikan kata-kata Wilma.
“Saja,
aku boring duduk kat rumah seorang diri.”
“Really?
Kali pertama aku dengar Cik Wilma Annelis Pietro kita bosan. Mana
perginya boyfriend kau yang selalu temankan kau tu? Oh, aku lupa. Dia
tak ikut kita balik ke Venice,” ejek Ikhwan sambil tertawa sinis.
Wilma
terus merengus marah.
“Untuk
pengetahuan kau Ikhwan Ralfado Pietro Abdullah, aku bukannya seperti kau.
Berkepit dengan betina tak kira siang malam. Bukan jenis akulah hadap
benda-benda macam tu sepanjang masa,” balas Wilma sambil menghembus kasar asap
rokok.
“Ya
ke kau bukan macam aku? Hey, come onlah Wil. Kau dengan aku tu lebih
kurang aje tabiatnya. Tak ada beza,” balas Ikhwan sambil tertawa lagi.
“Sekurang-kurangnya
aku tak seteruk kau yang tak pernah nak ukur baju kat badan sendiri.”
Kata-kata
Wilma membuatkan tawa Ikhwan meletus kembali.
“Untuk
apa aku buat semua tu kalau aku dah cukup arif dengan kemampuan sendiri? Tak
guna aku buat semua tu. Just waste my time baby,” balas Ikhwan bangga.
“Setiap
manusia ada batas kemampuannya Wan dan kita takkan sesekali boleh lepasi batas tu.
Sebab tu kau kena sedar. Tak guna kau bermain api andai esok-esok api tu yang
akan membakar kau di kemudian hari,” ujar Wilma penuh makna.
Wajah
Ikhwan terus tegang.
“Siapa
kata aku sedang bermain api? Aku hanya mencari apa yang terbaik untuk hidup aku.
Tu aje,” sanggah Ikhwan pantas.
“Terbaik
untuk hidup kau?” soal Wilma sambil tersenyum sinis.
“Manusia
tak pernah dihalang untuk mencari apa yang terbaik untuk mereka Wan tapi kalau
tu merosakkan hidup orang lain, lebih baik kau berhenti aje.”
“Aku
tak pernah rosakkan hidup sesiapa tapi dia orang yang rosakkan hidup sendiri.
Macam perempuan-perempuan yang selalu aku tiduri tulah. Bodoh sangat.
Senang-senang aje bagi aku semuanya. Aku tak minta tapi kalau orang dah bagi
takkan aku nak tolak pulak.”
“Tapi
kau jugak bertanggungjawab melakukannya. Kalau kau tak tabur janji-janji manis,
takkanlah dia orang sanggup bagi segalanya pada kau,” sanggah Wilma pantas.
“Hei, come
onlah Wilma. Yang kau marah sangat kat aku ni kenapa hah? Macamlah kau tak
pernah buat semua tu. Kau kena ingat Wil. Semua ni berlaku pun sebab dari kecil
lagi kita dah terdedah dengan semua ni. Orang tua kita yang ajar
kita hidup dalam keadaan ni walaupun tak secara langsung. Jadi kenapa kau
nak marahkan aku pulak semata-mata perkara yang dah lama berakar umbi dalam
hidup kita?”
“Aku
bukan marah jauh sekali menuduh kau. Aku sedar, hidup kita rosak kerana ajaran
keluarga kita yang dah lama menyimpang jauh. Tapi aku ingatkan kau. Jangan
sesekali kau heret orang yang tak berdosa ke dunia kita ni. Bukan aje
menyakitkan dia tapi akan menyakitkan kita jugak nanti,” tegas Wilma.
Wajah
mengendur Ikhwan dipandang lama. Ada keraguan di raut wajah itu.
“Maksud
kau?” soal Ikhwan perlahan, tidak mengerti.
“Lupakan
Farah. Dia terlalu baik untuk kau. Masih banyak lagi gadis yang boleh kau
jadikan teman hidup tapi bukannya dia,” tegas Wilma.
“Huh!
Kenapa tak? Hanya kerana aku dilahirkan dalam sebuah keluarga kaya harta benda
tapi miskin budi pekerti maka aku tak layak untuk jadi teman hidup dia? Aku
takkan sesekali rosakkan dia seperti aku rosakkan gadis-gadis lain Wil. Ini
janji aku pada diri aku sendiri,” tegas Ikhwan pula.
“Tu
kata kau sekarang. Belum tentu boleh dipegang hingga ke akhir zaman. Apa pun
lupakan aje Farah. Sama ada kau layak atau tak untuk jadi pasangan dia, bukan
tu persoalannya. Tapi macam mana kau nak biasakan diri dengan kehidupan dia
yang jauh berbeza dari kita? Bukan aje kau, tapi dia jugak perlu hadapi keadaan
sama. Apa kau sanggup tengok Farah bergelumang dosa seperti yang kita lalui sekarang?”
“Tapi
aku sayangkan dia Wil, aku sangat sayangkan dia. Aku takkan sesekali lukakan
hatinya selepas dia jadi milik aku nanti,” ucap Ikhwan sungguh-sungguh.
“Kalau
pun kau sayangkan Farah, apa yang kau nak beri dia sebagai tanda kasih sayang
kau? Harta kekayaan keluarga kita atau kehidupan kita yang dah lama pincang ni?
Apa kau fikir Farah boleh terima kau macam tu aje? Huh, aku berani potong
kepalalah Wan. Jangan kata nak terima kau, nak jadikan kau kawan pun belum
tentu dia mahu,” balas Wilma lalu menghembus keluar nafas.
“Dahlah
Wan. Daripada kau fikir macam mana nak dapatkan dia, lebih baik kau lupakan aje
dia. Tak guna kau sayangkan orang yang tak mungkin jadi milik kau sampai
bila-bila,” sambung Wilma.
“Kau
salah kalau kau fikir aku akan lupakan Farah. Apa jadi sekalipun, aku tetap
akan jadikan dia hak aku suatu hari nanti. Tentang cara hidup aku sekarang, aku
sumpah. Aku akan tinggalkannya dan segala harta kekayaan keluarga kita andai
Farah terima aku. Aku sanggup merempat asalkan dia ada di sisi aku selamanya.
Aku bersumpah Wil, aku sumpah!” ucap Ikhwan tegas dan yakin.
“Kalau
macam tu, kenapa kau tak tinggalkan aje semua ni untuk dia sekarang? Kenapa kau
harus tunggu dia datang dalam hidup kau baru nak ubah cara hidup kau?”
“Sebab
aku perlukan sokongan Farah untuk berubah. Untuk apa aku berubah kalau sebelah
mata pun dia tak pandang aku? Lagipun kalau aku berubah tapi dia masih tak
dapat terima aku, akan jadi sia-sia aje pengorbanan aku tu kan?”
“Tu
bermakna kau tak ikhlas untuk berubah. Kau berubah semata-mata untuk dapatkan
Farah dan bukan untuk kebaikan diri sendiri.”
“Bukan
aku tak ikhlas tapi untuk berubah aku perlukan kekuatan. Aku hanya mampu
memulakan hidup baru andai orang yang aku sayang mampu membimbing aku ke arah
jalan sepatutnya. Aku tak kuat untuk berubah sendiri Wil.”
“Jadi
kau fikir Farah boleh bantu kau keluar dari kehidupan kita sekarang?”
Ikhwan
mengangguk laju.
“Aku
yakin dia mampu mengubah aku kalau dia jadi milik aku. Aku akan mulakan
hidup baru dengannya. Tapi sebelum tu, aku perlu dapatkan dia walau dengan apa
cara sekalipun.”
“Aku
sokong niat baik kau tu. Tapi kau jangan sesekali rosakkan hidup Farah. Kalau
kau lakukannya jugak, aku sendiri yang akan tamatkan riwayat kau nanti. Ingat
Wan, aku hidup hari ni atas budi dia. Jangan sesekali kau lupa tu,” tegas
Wilma.
Teringat
pada peristiwa dia hampir-hampir lemas ketika menghadiri satu kem motivasi
suatu masa dulu. Mujurlah Farah menyelamatkannya daripada hanyut dalam arus
deras sungai. Menjadikan dia sering berterima kasih pada gadis itu dalam diam
setiap kali kenangan pahit itu muncul di benaknya.
“Aku
janji Wil, aku takkan rosakkan hidup Farah. Tapi aku bersumpah akan dapatkan
Farah walau apa cara sekalipun kerana aku tahu dia satu-satunya gadis terbaik
yang pernah hadir dalam hidup aku. Biar apa terjadi, aku akan tetap mengejarnya
hingga ke akhir hayat aku. Andai aku tak ditakdirkan hidup bersama dia, aku
takkan sesekali memberi peluang pada orang lain untuk memilikinya sehingga aku
sendiri yang merelakannya. Tu sumpah aku Wilma, tu sumpah aku!” tegas Ikhwan
melakar janji.
Sekaligus
mengunci mulut Wilma dari terus meluahkan kata. Tergamam dengan kata-kata keras
itu.
“ITULAH sebenarnya
maksud kedatangan kami kali ni Man, Nah. Kami harap sangatlah kau orang tak
menolaknya,” ujar Haji Fakhrulrazi, mengharap.
Wajah
Haji Rahman dan Hajah Aminah yang sudah terkunci mulut dipandang silih
berganti. Tiada kata terluah dari mulut suami dan isteri itu dari tadi. Tidak
lama kemudian Haji Rahman melontar suara juga setelah nafasnya dihembus
keluar. “Susah kami nak buat keputusan ni Razi. Tak tahulah apa yang patut
kami katakan sekarang. Nak bagi jawapan terus rasanya kami tak ada hak tu.
Maklumlah, budak Farah tu pun masih ada mak dan ayahnya. Kena jugak kami
berunding dulu dengan mereka tentang hal ni,” ujar Haji Rahman dengan rasa
berat hati.
Dia
mengerling Hajah Aminah. Isterinya itu mengangguk kecil. Bersetuju dengan
kata-katanya.
Sungguh.
Hati Haji Rahman benar-benar berat untuk membuat keputusan berkaitan perkara
yang tidak pernah terlintas di fikirannya. Keputusan yang telah lama diserahkan
bulat-bulat pada mereka yang lain yang dirasakan lebih berhak menentukannya.
Apatah lagi perkara itu melibatkan masa depan cucu kesayangan mereka.
Haji
Fakhrulrazi menghela nafas panjang.
“Macam
ni ajelah Man, Nah. Apa kata kalau kau orang tanya dulu pada Farah tentang hal
ni? Apa pun keputusannya nanti, kami terima dengan hati terbuka. Kalau
jawapannya ya, bolehlah kita bincangkannya dengan lebih lanjut. Tapi kalau
sebaliknya, apa lagi yang boleh kita buat. Walau macam mana pun kami harap
sangatlah jawapannya sama seperti mana yang kami mahukan,” putus Haji
Fakhrulrazi.
No comments:
Post a Comment