Followers

Sunday, 6 October 2013

BAB 11 - TAK SANGKA AKU


BAB 11

RALIT mata Faizam merayau ke dada langit tidak berbintang malam itu. Bunyi cengkerik dan unggas hutan kedengaran saling bersahutan dari semak berhampiran. Namun itu tidak menghalang dia hilang dalam lamunan di pangkin kayu itu.
“Amboi, layan perasaan nampak.”
Tersentak Faizam dengan teguran itu.
“Kau ingatkan siapa tadi?” soal Farah sebaik punggung mencecah permukaan pangkin.
Secawan kopi panas dihulur pada Faizam.
“Tak ada siapa,” jawab Faizam.
Dicapainya sekeping biskut kering lalu dicecah ke cawan. Kemudian digigitnya sedikit. Menikmati keenakan makanan kegemarannya.
“Eleh, konon tak ingat siapa. Macamlah aku tak tahu perangai kau,” ejek Farah.
“Punyalah lama kau tenung langit tu kau boleh kata kau tak ingat siapa. Kerat jari pun aku tak percayalah cakap kau tu,” sambung Farah.
“Kalau aku beritahu, kau tuduh aku angau pulak,” balas Faizam selamba. 
“Hah, kan betul cakap aku. Mesti ada siapa-siapa yang kau ingat tu kan. Tak nak mengaku konon,” ujar Farah sambil menjeling Faizam yang hanya tersengih.
“Farah, aku rindu dia,” luah Faizam.
“Siapa?” soal Farah sambil mengunyah biskut tanpa memandang Faizam.
“Budak perempuan tulah.”
Hampir tersembur keluar biskut yang baru saja berada di rongga mulut Farah. Dia terbatuk-batuk kecil. Segera tangannya mencapai cawan kopi sebelum laju dia menghirup.
“Kau ni Zam, betullah otak kau dah senget sebelah. Punya ramai perempuan yang kau kenal, dia jugak yang kau rindu,” ujar Farah sambil terbatuk-batuk lagi.
“Apa tak ada orang lain lagi ke yang boleh kau rindu selain dia hah?” soal Farah lagi.
Faizam hanya memberi reaksi selamba.
“Apa nak kata Farah. Hati aku ada pada dia, nak buat macam mana lagi,” jawab Faizam acuh tak acuh.
“Zam, Zam. Entah hantu apalah yang merasuk hati kau tu sampai angau tak tentu hala, tak kira masa, tak peduli tempat,” rungut Farah sambil menggeleng.
“Dari kau buang masa angaukan perempuan yang entah apa-apa tu, baik kau tumpukan perhatian pada pelajaran Zam. SPM dah makin dekat. Lagi pulak kau masih terlalu muda nak layan perasaan tu. Cubalah kau munasabah sikit diri kau tu Zam,” nasihat Farah.
“Cakap kau memang betul tapi apa aku boleh buat. Aku tak boleh lupakan dia,” keluh Faizam lemah. Seakan-akan dia menyerah bulat-bulat pada takdir.
“Bukan kau tak boleh lupakan dia tapi kau ikutkan sangat hati tu. Jodoh tu di tangan ALLAH dan tak ada siapa pun yang boleh pertikaikan perkara tu. Untuk apa kau sayang dia setengah mati kalau esok-esok jodoh kau dengan orang lain? Lagipun Zam, tak payahlah kau nak risau tak tentu hala. Sejauh mana pun kau orang berpisah, kau orang tetap akan bertemu jugak kalau betul ada jodoh antara kau orang. Cuma bila semua tu nak jadi, tak ada siapa pun yang tahu,” nasihat Farah lagi.
Air kopinya dihirup lagi. Perit tekak jadinya apabila banyak sangat bercakap.
“Tapi kita digalakkan mencari jodoh kita sendiri. Bukannya mengharap jodoh jatuh dari langit macam tu aje,” sanggah Faizam lembut.
“Tu betullah tapi takkanlah sekarang jugak kau dah nak cari jodoh kau tu? Kalau ya pun biarlah kita habis belajar dulu. Ini tak menyempat-nyempat. Makan minum pun orang tua masih tanggung, inikan pulak nak tanggung hidup anak orang,” bidas Farah.
Faizam tertawa kecil.
“Kau ni kan Farah, kalau bab nak mengata aku laju aje mulut kau ya. Patutlah kau jadi pemidato terbaik. Tapi esok-esok lepas kau kahwin dengan Johan, kau jangan cakap ikut sedap mulut aje tau. Tak pasal-pasal jadi janda mudalah kau nanti,” usik Faizam.
Dia terjerit kecil apabila Farah segera mengetip lengannya. Dia tertawa besar.
“Sekali lagi kau kata aku nak kahwin dengan Johan, aku tumbuk muka kau. Biar sama kemek dengan tin umpan cacing atuk kat tepi rumah tu,” ugut Farah.
“Kau ni Farah, marah benar kalau aku cakap pasal sepupu kau tu. Kau marah sebab aku sebut nama dia ke atau kau marah sebab kau nak backing dia?”
Faizam kembali terjerit apabila Farah terus mengetip lengannya berkali-kali. Membuatkan anak muda itu terus-terusan menghambur tawa.
“Hei kau ni. Ikut hati, nak aje aku hempuk teko air kopi ni atas kepala bangang kau tu tahu tak!” jerit Farah, marah.
Benci benar dia apabila dirinya dikaitkan dengan Johan. Wajah suka Faizam direnung dalam-dalam. Mahu saja rasanya dia mencencang tubuh anak muda itu hidup-hidup sekarang ini. Biar jadi begedel!
“Okey, okey, aku minta maaf. Aku main-main aje tadi,” ucap Faizam sambil terbatuk-batuk kecil.
Diusap perutnya perlahan. Senak apabila banyak ketawa.
“Aku sebenarnya rasa peliklah Farah. Johan tu kan sepupu kau. Kenapa kau tak pernah nak bertegur sapa dengan dia? Apa yang Johan dah buat pada kau sampai kau benci sangat kat dia?” soal Faizam setelah tawanya reda.
Wajah mencuka Farah dipandang sejenak.
“Aku tak kata aku benci dia,” jawab Farah acuh tak acuh.
Ditatap laman rumah yang nampak samar-samar dalam suluhan lampu kalimantang dari serambi rumah.
“Memanglah kau tak cakap kau benci dia tapi perangai kau tu dah tunjuk semuanya. Tak baik kau buat Johan macam tu,” nasihat Faizam pula.
“Eleh, kau nak kata kat aku. Kau sendiri, kenapa tak pernah nak tegur Johan? Kau orangkan belajar dalam satu sekolah?” bidas Farah sambil menjeling Faizam.
“Tu lain. Aku dengan dia tak bertegur sapa sebab tak ada perkara yang babitkan aku dengan dia kat sekolah. Lagipun kami bukan aje lain kelas tapi lain bangunan asrama jugak. Masa cuti sekolah aku tak jumpa dia sebab dia jarang balik sini. Kalau dia balik pun, aku pulak yang tak ada sebab aku balik ke rumah mak ayah aku.”
“Zam, kenapa kau tak balik ke rumah mak ayah kau cuti sekolah ni?” soal Farah semula tiba-tiba.
Sengaja dia mengalihkan topik perbualan. Tidak mahu perihal Johan dibangkitkan lagi.
“Dia orang balik Perancis. Nak tengok rumah dia orang kat sana.”
“Habis tu kenapa kau tak ikut? Bukan ke Perancis tu tempat kelahiran kau? Mesti best kan dapat tinggal kat luar negara tu?”
“Huh, buat apa aku ikut. Walaupun tu tempat kelahiran aku tapi bukannya ada apa-apa yang boleh aku buat kat sana. Buang masa aku aje.”
“Untung kau Zam. Kecil-kecil lagi dah dapat tengok negara orang. Aku ni nak keluar dari Pahang ni pun jarang-jarang boleh dapat. Aku bersekolah kat Pulau Pinang tu pun sebab atuk dan nenek yang suruh. Kalau tak, jangan haraplah dapat jejak negeri orang,” balas Farah.
Dia cemburu dengan perjalanan hidup anak muda itu.
“Ala, aku selalu ke luar negara tu pun sebab mak dan ayah aku tinggal kat Perancis. Sekali sekala aje dia orang balik ke PJ tu. Mujur atuk dan nenek aku ambil aku masa kecil dulu. Kalau tak entah apalah yang jadi kat aku. Asyik ikut mak dan ayah aku berpindah-randah ajelah agaknya. Mengalahkan orang nomad pulak,” rungut Faizam.
“Tapi dia orang tetap sayangkan kau Zam. Hampir setiap hari dia orang call tanya khabar kau.”
“Tu betullah tapi kadang-kadang aku terkilan sangat. Mak dan ayah aku terlalu pentingkan kerjaya sampai dia orang terlupa pada kami adik-beradik. Tapi aku bersyukur sangat sebab abang dan kakak aku tak pernah lupakan aku walaupun jarak usia kami jauh. Nak harapkan mak dan ayah aku, jangan kata nak datang sekolah, nak balik rumah sendiri pun tak ada masa,” luah Faizam, kecewa.
“Tak apalah Zam, sekurang-kurangnya kau masih ada kakak dan abang. Dia orang pasti takkan biarkan kau macam tu aje,” pujuk Farah lembut.
Teringat Firdaus Faiziman dan Fatin Fatanah yang begitu menyayangi bukan saja Faizam malah Farah juga. Kedua-dua adik-beradik Faizam itu sering memberikan Farah pelbagai hadiah setiap kali berkunjung ke Pulau Pinang. Malah kakak dan abang susuan Farah iaitu Izrin Putri dan Irwan Putra turut mendapat habuan sama.
“Kau sendiri Farah, kenapa tak balik ke rumah mak dan ayah kau? Cuti sekolah ni panjang jugak. Baliklah sana sehari dua.”
Serta-merta air muka Farah bertukar keruh. Ditunduk kepalanya. Nafas turut dilepas panjang.
“Buat apa aku nak balik ke sana Zam kalau kelahiran aku pun dia orang tak boleh terima.”
Sayu hati Farah setiap kali perkara itu dibangkitkan.
“Kau tak boleh cakap macam tu. Tak ada ibu bapa yang tak sayangkan anak-anak. Apatah lagi kau satu-satunya anak perempuan mereka. Kau tak boleh tuduh mereka tak sayang kau kalau kau tak tahu perkara sebenar,” pujuk Faizam.
Dia turut mengerti dengan apa yang dirasai gadis itu selama ini.
“Kalau betul dia orang sayangkan aku, dia orang takkan beri aku pada atuk dan nenek untuk dibela. Dari aku kecil, dia orang tak pernah ambil tahu pasal aku. Jauh sekalilah nak jalankan tanggungjawab dia orang. Hanya atuk dan nenek aje beria-ia nak aku berhubung dengan dia orang padahal mana dia orang pedulikan aku,” ujar Farah.
Nada suaranya kedengaran berasa geram dan marah. Geram pada keluarga kandung yang jarang-jarang ditemui. Marah pada tindakan kedua-dua orang tuanya kerana membenci kehadirannya di dunia ini.
“Tu kata kau tapi bukan dia orang. Sama ada kau suka atau tak, kau kena ingat. Dia orang tetap keluarga kandung kau dunia akhirat. Kau kena jugak jenguk dia orang walaupun kau sangat bencikan dia orang.”
“Tengoklah macam mana nanti.”
Farah malas mahu memanjangkan perkara itu lagi.
“Jangan esok-esok kau dah nak kahwin baru kau pergi jumpa dia orang,” ujar Faizam sambil tersenyum lebar.
Farah pula terbeliak mata.
“Eleh, kau nak kata kat aku. Kau tu yang sepatutnya kena ingat selalu Zam. Umur baru setahun jagung ada hati nak fikir pasal kahwin,” tempelak Farah.
“Alah, apa salahnya kalau aku fikir macam tu? Esok-esok kita tetap akan kahwin kan? Cuma kita tak tahu dengan siapa kita akan kahwin dan bila semua tu akan berlaku,” balas Faizam, tidak mahu mengalah.
“Tapikan Zam, aku rasa antara kita berdua mesti kau yang akan kahwin dulu,” ujar Farah sambil tersengih nakal.
“Kenapa pulak?” soal Faizam dengan dahi berkerut.
“Yalah, kau kan gatal sangat nak ada makwe sekarang. Hah, tu antara tanda-tanda kau akan kahwin dulu tahu,” balas Farah yakin.
“Kau ni Farah, mana teori mengarut kau ambil pun aku tak tahulah. Tak masuk akal betul cakap kau tu,” sanggah Faizam lembut sambil menggeleng.
“Aku ni bukan gatal nak ada makwe tapi dah perempuan tu sendiri yang curi hati aku. Jadi bukan salah aku kalau aku jatuh cinta dengan dia. Lagipun, kalau betullah aku akan kahwin dulu nanti, dengan siapa aku nak kahwin? Macam kau kata tadilah. Perempuan tu pun belum tentu jadi jodoh aku,” sambung Faizam.
“Alah, setakat nak cari isteri tak payah pergi jauh-jauh Zam. Kat area sekolah tu pun dah berderet-deret anak dara yang nakkan kau. Kat kampung ni tak payah cakaplah, bersepah-sepah. Terdekat, Fiza anak dara Mak Cik Senah. Suka benar dia kalau cakap pasal kau. Kalau boleh siang malam dia nak cakap pasal kau aje. Kalau tak, tak adanya dia sanggup mengajar budak-budak perempuan mengaji kat masjid kampung kita ni semata-mata nak tengok kau selalu. Maklumlah, kau kan mengajar budak-budak lelaki mengaji kat masjid tu.” 
“Hei kau ni, Farah. Tak ada nama lain ke yang boleh kau sebut hah selain daripada nama dia? Kembang tekak aku bila ingat pasal perempuan tu.”  
 “Eleh, kembang tekak konon. Dahlah Zam, tak payahlah kau nak berdolak-dalik. Satu kampung ni dah tahu Fiza gilakan kau. Dia dengan kau pun lebih kurang aje perangainya. Terima ajelah,” giat Farah.
Belum pun Faizam membalas, kedengaran satu suara menghulur salam.
“Hah, panjang betul umur minah ni. Baru aje kita sebut-sebut dah muncul kat pagar rumah. Petanda baik tu Zam,” ujar Farah.
Sempat dia mengenyitkan mata pada Faizam sebelum bangkit mendapatkan seorang gadis bertudung labuh di balik pagar.
Faizam pula terus menarik muka masam. Tidak senang dengan kedatangan tetamu tidak diundang itu.
“Assalamualaikum Farah,” sapa Fiza sebaik Farah berdiri depannya.
“Waalaikumussalam. Oh Fiza rupanya, ingatkan siapalah tadi. Jemputlah masuk,” pelawa Farah sambil mengerling Faizam.
Faizam telah mengalih tubuh ke arah lain. Pura-pura tidak perasan dengan kehadiran gadis itu.
“Lain kali ajelah ya Farah. Fiza datang ni pun sebab nak hantar kuih tepung talam ni aje. Mak buat lepas Solat Maghrib tadi,” ujar Fiza sambil menghulur sepinggan kuih.
Ditunduk sedikit kepalanya tatkala terperasan kelibat Faizam di laman rumah. Segan bercampur suka dengan kehadiran anak muda itu di situ.
“Oo... ya ke? Kuih kegemaran Faizam ni. Mesti dia suka. Terima kasih ya Fiza.”
Hampir terluah tawa Farah apabila terdengar batuk-batuk kecil Faizam.
Faizam segera meletakkan semula cawan kopinya. Tersedak mendengar kata-kata itu. Ada panahan marah dalam jelingannya. Farah pura-pura tidak melihat. 
“Tak apalah Farah, Fiza minta diri dulu. Ada banyak lagi kerja yang Fiza perlu buat kat rumah tu,” pamit Fiza.
Kembang hatinya apabila nama Faizam disebut.
“Laa... awalnya nak balik? Kalau ya pun masuklah dulu,” pelawa Farah lagi.
Sekadar menggiat Faizam yang semakin kelat wajahnya.
“Tak apalah, lain kali aje. Fiza balik dulu ya Farah,” ujar Fiza sambil menyua salam.
Sempat dia mengerling Faizam yang masih seperti tadi. Bersikap selamba tanpa mempedulikan kehadirannya.
Farah menjawab perlahan lalu mendapatkan Faizam.
“Nah, bakal isteri kau hantar kuih khas untuk santapan ustaz Faizam kesayangannya,” usik Farah sambil menghulur pinggan pada Faizam yang pantas mengelak.
“Hei, tolonglah Farah. Bernanah telinga aku dengar kau cakap macam tu tahu!” marah Faizam sambil bercekak pinggang.
“Farah, apasal kau kata kat minah tu yang aku suka sangat makan kuih ni hah? Apa kau fikir aku hadap benar kuih air tangan mak dia ni?” marah Faizam lagi.
Terbeliak matanya sedang Farah hanya menguntum senyuman.
“Laa... salah ke aku cakap macam tu? Manalah tahu esok-esok kau berjodoh dengan dia. Kau jugak yang beruntung. Dapat isteri beragama, cantik lagi. Walaupun dia hitam manis tapi padanlah dengan kau yang dah tak berapa cerah kulitnya tu,” jawab Farah selamba.
“Tak baik tau kau marah-marah kat Fiza. Susah payah dia pergi belajar agama kat sekolah pondok tu semata-mata nak penuhi ciri-ciri isteri impian kau yang entah apa-apa tu. Walaupun dia tu dulu seksi orangnya tapi dia sanggup berubah demi kau. Apa tak cukup baik lagi ke tu Zam?” sambung Farah.
“Aku tak suruh pun dia berubah untuk aku. Lagipun buat apa dia berubah kalau bukan sebab ALLAH tapi sebab nak menggatal. Mentang-mentanglah orang kampung gelar dia ratu cantik kampung kita, dia fikir dia boleh aje mengorat mana-mana lelaki yang dia suka? Aku tak hairanlah perempuan macam tu. Berlambak lagi perempuan dalam dunia ni yang boleh aku buat isteri. Lelaki dalam kampung ni pun ramai yang tergilakan dia. Pilih aje mana-mana yang dia suka,” balas Faizam, marah.
“Memanglah ramai lelaki yang nakkan dia tapi masalahnya dia nakkan kau aje.”
“Tu bukan masalah aku tapi masalah dia. Pandai-pandailah dia selesaikan sendiri. Eii... minta simpang empat puluh ribu malaikatlah. Daripada aku kahwin dengan dia, baik aku kahwin dengan anak dara mamak Maidin roti canai kat simpang jalan besar tu. Hati tak sakit, perut pun kenyang, hidup pun senang,” ujar Faizam sambil menjeling Farah.
“Kuih ni, kau tak nak rasa ke Zam? Sedap tau,” ujar Farah sambil mengunjuk kuih tepung talam.
Sejak tadi berpotong-potong kuih itu telah selamat berada di dalam perutnya.
“Huh, daripada aku makan kuih tu lagi baik kalau aku makan biskut kering ni aje. Tak bernafsu tekak aku dibuatnya bila tengok kuih tu,” cemuh Faizam sambil menggigit geram biskut kering di tangannya.
“Hisy kau ni Zam. Kalau pun kau tak suka anak tukang buat kuih ni, janganlah kau hina kuih kegemaran aku ni. Satu kampung tahu kuih bakal mak mentua kau ni memang sedap. Kalau tak, dia tak berniagalah kat simpang kampung setiap pagi sebab semata-mata orang kampung minta dia jual kuih buatannya. Rugi tau kalau kau tak makan kuih ni Zam,” ujar Farah sambil menggigit baki kuih di tangan.
“Farah, Faizam, tak habis-habis lagi ke bersembang tu? Dah pukul berapa ni kamu berdua masih tak masuk ke dalam rumah!”
Laungan Hajah Aminah dari pintu menyentak kedua-duanya. Baru tersedar yang malam semakin larut.
“Sudah-sudahlah bersembang. Dah lewat malam ni.”
Tergesa-gesa mereka bangun mendapatkannya apabila wanita tua itu kembali bersuara.
“Dari mana pulak kamu dapat kuih tepung talam ni Farah?” soal Hajah Aminah apabila terpandang piring kuih di tangan gadis itu.
“Bakal isteri Faizam yang hantar tadi nek,” jawab Farah sambil tersenyum lebar.
Terus Faizam merengus sebelum menghilang ke tingkat atas.
“Siapa pulak bakal isteri Faizam tu Farah?” soal Haji Rahman, hairan.
“Siapa lagi atuk kalau bukan anak perempuan Mak Cik Senah tulah,” jawab Farah sambil tersengih nakal.
Dia kembali mencapai kuih di atas meja setelah melabuhkan punggung di sofa rumah. Menyambung makan.
“Maksud kamu, Fiza tu ke?” soal Hajah Aminah sambil menguntum senyuman.
“Haah nek. Siapa lagi kalau bukan Fiza tulah,” jawab Farah sambil tersengih lagi.
Haji Rahman dan Hajah Aminah hanya menggeleng melihat tingkah laku Farah.
“Dahlah tu Farah. Pergi basuh tangan kamu tu. Jangan lupa Solat Isyak sebelum tidur nanti. Simpan kuih tu. Takkan kamu nak habiskan semuanya malam ni jugak,” suruh Haji Rahman apabila melihat Farah masih mahu mengunyah walaupun mereka telah makan bersama di awal malam tadi.
Mengerti dengan sikap Farah yang digelar telaga buruk oleh Hajah Aminah kerana tidak memilih makanan mahupun waktu. Namun tabiat itu tidak mampu menaikkan berat badan Farah yang sejak kecil sedia langsing dan tinggi lampai itu.
 “Alah tuk, sikit aje lagi. Boleh ya?”
Farah memancing simpati. Kuih di tangan dimakan lagi. Dia tersengih kecil.
“Dah, dah. Tak payah kamu nak buat muka seposen kamu tu. Kalau nak diikut perut kamu yang tak pernah tahu erti kenyang tu, alamatnya sampai ke esok pagi pun kamu tak berhenti-henti mengunyah. Tapi badan tetap macam tu jugak. Sepapan aje,” sampuk Hajah Aminah sebelum sempat Haji Rahman membalas.
“Alah nek ni, tak sporting langsung. Bukannya Farah minta pun badan Farah kering macam ni. Tulah, nenek jugak salah sebab tak bagi Farah makan benda-benda berzat masa kecil dulu. Sekarang bila badan Farah dah jadi macam ni, nek salahkan Farah pulak,” rungut Farah lalu bangun mencapai pinggan kuih dan dulang sebelum menapak ke dapur.
“Ewah budak ni. Kamu tu yang tak nak makan benda berzat dari kecil, salahkan kita pulak tak bagi dia makan,” marah Hajah Aminah.
Farah tersengih kelat. Dia baru mahu melangkah tatkala teringat sesuatu.
“Oh ya nek, siapa yang nak datang ke rumah kita esok?” soal Farah apabila teringat pada tetamu yang ditunggu kehadirannya sejak beberapa hari lalu.
“Tunggu ajelah. Beberapa jam lagi jumpalah kamu dengan tetamu kita tu. Dah, cepat masuk tidur. Esok nek Umairah kamu kat Kampung Gunung nak buat kenduri. Jangan pulak kamu lupa nak ke rumahnya tu.”
Farah mengeluh kecewa dengan jawapan itu sebelum lambat-lambat dia mengangguk. 

No comments:

Post a Comment