BAB 8
“APASAL
kau mengeluh?” Pertanyaan itu mengundang pandangan Faris pada Ainul. Dia
tersenyum sedikit. Nafasnya dibuang pendek.
“Aku
bukan mengeluhlah tapi bosan sebenarnya,” sahut Faris malas.
Matanya
diliar ke sekeliling seketika sebelum melekat semula ke wajah kedua-dua
sahabatnya.
“Bosan?
Kenapa pulak nak bosan?” tanya Isma pula. Membuatkan Faris yang sedang
menyandar tubuh di kepala kerusi kembali menegak tubuh.
“Aku
sebenarnya rasa bosan sangat dengan jalan hidup aku ni. Hari-hari buat kerja
yang sama aje. Pergi kerja, balik rumah. Dari rumah pergi kerja semula. Dari
dulu sampailah sekarang, begitulah keadaannya sampai bila-bila pun.
Aku
rasa diri aku ni tak ubah macam robot. Tak ada sebarang perubahan langsung.
Buat kerja yang sama aje setiap hari. Bosanlah. Apa kau orang tak rasa bosan ke
macam yang aku rasa sekarang ni?” Dalam merungut dia menyelit pertanyaan.
Memandang kedua-dua sahabat yang turut menempat diri dalam ruang luar restoran
yang dibuka 24 jam malam itu.
“Kau
nikan Ris, dah nama pun manusia. Memang itulah tanggungjawab yang kita kena
buat sepanjang hidup dalam dunia ni. Itupun dikira sebagai ibadat juga tau.
Kalau tak kerja, kau nak makan apa? Batu? Pasir? Pasir pun mahal sekarang tau.
Jadi bosan ke tidak, kau tetap kena kerja jugak.
Lagipun
kenapa pulak kau nak rasa bosan? Bukankah syarikat yang kau kendalikan sekarang
ni dibuka atas minat kau? So, nak bosan apanya? Lainlah aku dan Isma ni.
Kerja di syarikat keluarga sendiri. Minat ke tidak, tetap kena kerja juga.
Kalau tak kerja dengan dia orang, kecil pulak hati orang tua kita nanti,” ujar
Ainul menyahut panjang lebar.
“Bukan
begitu maksud aku Ainul oii, tapi aku rasa bosanlah. Memanglah aku buka
syarikat percetakan tu atas minat aku tapi aku rasa bosan dengan jalan hidup
aku ni. Tak ada perkara lain yang aku buat pun selain dari kerja, kerja dan
kerja.
Itu
saja. Sejak kita keluar universiti sampailah sekarang, itu ajelah yang aku
buat. Memerah tenaga hanya semata-mata untuk memajukan syarikat. Macam tak ada
perkara lain yang boleh aku buat dalam dunia ni selain dari buat semua tu.”
Dalam mengeluh Faris merungut lagi.
“Buat
masa sekarang memang itulah yang kau kena buat pun Ris. Tapi di masa akan
datang aku rasa banyak lagi perkara yang kau kena buat,” celah Isma tiba-tiba
dengan lagak tenang. Sedangkan Faris sudah mencantum kening. Hairan.
“Aku
nak buat apa lagi? Semua impian aku dah tercapai. Aku nak buka syarikat, dah
tercapai impian aku tu. Aku nak kembangkan syarikat aku tu, itupun aku dah
lakukan. Buktinya, aku dah ada dua cawangan syarikat percetakan. Nak beli
rumah, kereta, duit simpanan? Semua itu aku dah buat.
So,
apa lagi yang tak adanya? Nak jadi kaya-raya? Ops... sorry ya. Bab tu
aku tak minat. Aku dah cukup bersyukur dengan apa yang aku ada sekarang.
Setakat ini belum terlintaslah di kepala otak aku ni nak jadi jutawan atau
hartawan ternama.”
Ternyata
Faris masih tidak dapat menangkap maksud sebenar kata-kata sahabatnya.
Membuatkan
senyuman Isma terus melebar.
“Setakat
semua harta benda tu, jangan kata kau, aku dan Ainul pun dah ada. Tapi kalau
kau nak tahu, semua itu hanya impian sampingan kau. Masih ada impian terbesar
yang belum kau laksanakan sampailah sekarang.” Kata-kata Isma menjadikan mata
Faris kembali terpacak di wajahnya. Bulat.
“Apa
dia?” Dahinya masih melakar kerutan.
“Impian
untuk berkeluarga sendiri. Takkan kau nak biarkan rumah yang kau beli tu sunyi
sepi seumur hidup? Takkanlah tak ada suri yang akan menjaganya bila kau keluar
bekerja? Sampai bila kau nak biarkannya kosong tanpa ada suara anak-anak
penyambung generasi kau kat situ? Apa guna ada rumah sebesar istana Encik Faris
Firdaus oii kalau suasananya tak seceria yang kau harapkan.”
Jawapan
Isma mengundang senyuman hambar Faris. Dia melepas nafas perlahan.
“Tentang
tu, aku tak boleh cakap apa-apa Is. Bukan aku tak berminat tapi entahlah. Sejak
aku buka syarikat sendiri, aku dah tak terfikir nak buat semua tu. Mungkin
sebab aku belum jumpa calon yang sesuai, sebab tu aku tak pernah terfikir lagi
pasal perkara ni.”
“Kau
masih ingat kisah cinta kau yang tak menjadi tu?” Mendengar pertanyaan Ainul,
senyuman Faris kembali terukir. Tawar.
“Mungkin
ya mungkin jugak tak. Apapun seperti yang aku cakap tadi, aku belum bersedia ke
arah tu. Lagipun buat apa aku nak kahwin sekarang kalau sekadar nak menyusahkan
aku aje.” Suaranya lagi.
“Menyusahkan
macam mana maksud kau?” tanya Isma segera. Tak faham.
“Iyalah.
Aku kan belum bersedia untuk berkahwin buat masa sekarang? Buat apa aku nak
sakitkan kepala aku fikirkan semua ni? Lagipun macam mana aku nak timbulkan
rasa teringin nak kahwin tu kalau keadaan sekeliling banyak mempengaruhi aku
supaya jangan sesekali berfikir pasal ni? Pengaruh terdekat, kau orang
berdualah.” Selamba saja dia menuduh kedua-dua sahabatnya itu.
Kata-kata
itu menjadikan tubuh Isma dan Ainul tegak serta-merta. Mata kedua-duanya sudah
membulat ke arah Faris.Terkejut.
“Apasal
kau kata kami berdua pulak? Apa yang dah kami buat kat kau sampai kau boleh
cakap macam tu?” tanya Ainul benar-benar pelik dengan kata-kata lelaki itu.
“Amboi,
kau boleh tanya pulak apa yang kau orang buat kat aku ya? Apa lagi yang kau
orang tak buat kalau bukan tak bagi contoh yang baik pada aku sepanjang kita
jalani kehidupan sehari-hari. Tengok jalan hidup kau orang pun dah cukup buat
aku takut nak kahwin tau,” balasnya lalu kedua-dua sahabatnya mengulum senyuman
panjang. Mengerti kini maksud kata-kata Faris.
“Ooo...
maksud kau, kami berdua nilah puncanya yang membuatkan kau tak terfikir nak
berkahwin sampai sekarang ni ya?” Senyuman Isma semakin melebar.
“Sudahlah
kau Ris. Sendiri tak ada hati nak kahwin salahkan kita orang pulak,”
tempelaknya dalam tawa kecil yang sudah terhambur dari mulutnya sendiri. Geli
hati dengan kata-kata lelaki itu sebentar tadi.
“Kalau
iya pun kau tak nak kahwin, janganlah salahkan kita orang pulak,” sampuk Ainul
turut sama membuang tawa.
Faris
turut berbuat demikian.
“Aku
tak kata kau orang jadi punca aku tak berkahwin sampai sekarang tapi itulah.
Melihat perjalanan perkahwinan kau orang selama ni membuatkan aku tak terasa
langsung nak kahwin. Kau Is, dengan cara hidup kau. Lepas saja arwah Kamilia
pergi, sampai sekarang kau tak cari penggantinya.
Kau
lagilah Ainul. Elok aje kau bercerai dengan Alia, langsung tak nampak
tanda-tanda kau nak cari yang baru. Cara kau orang tu membuatkan aku rasa lebih
baik kalau aku tak kahwin sampai bila-bila. Yalah, buat apa kahwin kalau
perkahwinan itu hanya akan menyusahkan aku saja di masa depan?” Faris memberi
pendapatnya sendiri.
“Kau
ni Ris, betullah salah membuat tafsiran. Bukan silap kita orang semua tu jadi
Encik Faris Firdaus oii tapi semua tu berlaku atas ketentuan ALLAH. So kita
orang nak buat macam mana lagi. Nak tak nak terima ajelah semuanya dengan hati
yang terbuka. Yang kau ni pun satu. Dah tahu perkahwinan kita orang dah lingkup
begitu, yang kau tengok dari segi negatif tu buat apa? Fikirlah secara positif
sikit.
Banyak
lagi orang lain yang boleh kau buat contoh teladan. Contoh terdekat, mak ayah
kau sendiri. Tengok dia orang, dah berpuluh tahun hidup bersama. Bahagia juga
sampai sekarang,” tempelak Ainul dalam senyumannya.
Sedang
Isma sudah melepaskan tawa buat kali kedua. Faris apatah lagi.
“Betul
cakap Ainul tu. Kau sepatutnya tengok perkahwinan tu dari sudut yang positif,
barulah rumah tangga kau kekal bahagia selamanya. Bukan tengok dari sudut yang
tak sepatutnya. Aku berani jaminlah Ris, kalau kau tak ubah cara pemikiran kau
dari sekarang, alamatnya sampai ke matilah kau membujang tahu tak,” sampuk Isma
masih tak reda tawanya. Faris tersenyum lebar.
“Itu
aku tahulah tapi macam mana aku nak tengok dari sudut positifnya kalau yang ada
di depan mata aku semuanya negatif? Tulah kau orang. Sepatutnya kau orang bagi
aku contoh teladan yang baik. Bukannya buatkan aku fikir yang bukan-bukan. Tak
pasal-pasal aku dah tak teringin nak kahwin sekarang.”
Dia
ketawa semula bila Ainul dan Isma pantas menjegil mata ke arahnya. Kedua-dua
mereka turut meluah tawa akhirnya. Geli hati dengan isi bicara mereka ketika
ini.
“Eh,
dahlah kau orang. Dari tadi asyik bercakap aje. Jomlah balik. Dah pukul berapa
dah ni. Esok nak kerja pulak.”
Ainul
bersuara semula tidak lama kemudian tatkala terpandang jarum jam tangannya.
Baru sedar masa semakin berlalu pergi. Dilambai tangannya pada pelayan restoran
yang segera menghampiri.
“Sebelum
balik, kita singgah di masjid sekejap. Boleh Solat Isyak siap-siap. Balik nanti
terus tidur aje.” Cadangan Faris dibalas dengan anggukan setuju kedua-dua
sahabatnya.
“JEMPUT
minum Lia,” pelawa Damia mengunjuk mug
berisi minuman panas pada Alia.
Wanita
itu mengangguk lalu menyambut mug yang dihulurkan. Matanya masih melekat
di skrin televisyen.
“Kau
kenapa Lia? Monyok semacam aje muka kau tu. Apa hal sebenarnya?” tanya Damia
sambil merebah tubuhnya di sofa. Kemudian duduk bersila menghadap wanita itu.
Lalu merayapkan mata ke wajah tegang berbalut suram milik Alia. Riak yang terpamer
sejak wanita itu pulang ke rumah petang tadi. Terus saja Alia merengus kasar.
“Pasal
apa lagi Mia oii kalau bukan pasal si bodoh bangang tulah. Tak sudah-sudah nak
sakitkan hati aku aje,” marah dia setelah seteguk air melepasi ruang tekaknya.
“Si
bodoh bangang? Siapa pulak yang kau bodoh bangangkan ni?” Damia terpinga-pinga.
Dahinya pula sudah berkerut seribu. Tak faham.
“Siapa
lagi kalau bukan si Ainul buta kayu tulah.” Jawapan keras Alia membuatkan Damia
terus mengangguk faham.
“Oh...
bekas laki kau tu rupanya. Dia dah buat apa kat kau?”
“Macam-macam
yang dia buat sampai sakit satu badan aku dibuatnya. Luar badan ke, dalam badan
ke, sama aje rasa sakitnya. Pendek kata semua sekalilah anggota badan aku ni
sakit dibuatnya.” Nyata marah Alia masih belum surut.
Damia
sudah melopong mulut.
“Huih!
Macam tu sekali Ainul sakitkan kau ya? Teruk betul tu. Mengalahkan orang yang
sakit accident pulak ya,” ujar Damia selamba. Sekali gus menjadikan raut
wajah Alia bertambah-tambah masam. Bengang dengan usikan gadis itu.
Damia
terus tersengih. Seketika cuma.
“Cuba
kau bagitahu aku, apa sebenarnya yang bekas laki kau tu dah buat kat kau?
Ceritalah dari awal sampai akhir supaya aku faham.” Serius pula dia bertanya
kali ini.
Mendengar
kata-kata itu, Alia terus memusing tubuh. Dia tidak lagi berminat menatap
televisyen sebaliknya menghadap Damia yang senantiasa bersedia mendengar segala
masalahnya. Bukan saja sekarang malah sejak dari dulu lagi Damia bersikap
begitu. Sememangnya gadis itu seorang pendengar yang baik buat Alia. Lalu
dengan begitu bersungguh-sungguh dia pun memulakan ceritanya.
“Kau
tahu Mia, adakah patut aku yang cantik lagi jelita ini diajaknya bergaduh?
Dahlah tu, kat dalam restoran lagi. Semua orang tengok gelagat kami masa tu. Ya
ALLAH Mia, ikutkan hati marah aku, nak saja aku sepak kepala si bodoh bangang
tu sekuat hati. Bebal betullah otak kosong dia tu.” Penuh geram Alia bersuara.
Hingga terkepal-kepal jari-jemarinya beberapa kali. Sempat lagi dia memuji diri
sendiri dalam pada itu.
“Nasib
baik Rina dan Lily ada sekali. Kalau tak dah lama aku tarik-tarik rambut si
Ainul tu, biar botak terus. Mana tahu hilanglah sikit bebal dia nanti kalau
kepalanya dah botak licin. Senang sikit dia nak fikir nanti. Eii!!! Memang
bodohlah dia tu, otak letak kat kepala lutut agaknya.” Dalam marah Alia
menyambung suara lagi.
Damia
pula terus-terus mengerut dahi.
“Habis
tu, dia maki kau ke?” tanya dia ingin tahu.
“Nak
kata maki tu taklah tapi dia marah-marah kat aku. Kau tahu apa dia kata? Dia
tuduh aku yang jadi punca rumah tangga kami roboh dulu. Dia kata aku curang
dengan lelaki lain. Eii! Sesedap mulut dia aje nak tuduh aku macam tu. Macamlah
dia tu bagus sangat. Gila bekerja sampai tak ingat rumah tangga sendiri. Nak
tuduh aku curang konon. Yang dia tu pun sama. Siap ada perempuan simpanan lagi
kat pejabat tu.
Ingat
aku tak tahu ke semua tu? Saja aje nak salahkan aku semata-mata nak tutup
kesalahan dia. Senang cakap memang bodoh betullah kau Ainul!” marah Alia lagi.
Lebih kepada bercakap sendiri sebenarnya. Terlupa sebentar dia pada kewujudan
Damia di depannya ketika ini.
Sedang
Damia telah perlahan-lahan menggeleng melihat telatah sahabatnya. Gadis itu
melepas nafas panjang.
“Kau
tak marah dia ke bila dia tuduh kau macam tu?” Sambil menyandar tubuh ke sofa
semula Damia bertanya lembut. Memandang Alia merengus kesat.
“Apa
pulak tak marah? Ingat aku ni tunggul kayu ke tak ada perasaan? Of courselah
aku marah dia balik. Kau tahu, sebab aku dah tak tahan dengar dia kata aku
macam-macam, aku terus simbah air oren kat dia. Padan muka Ainul. Tak
pasal-pasal dia mandi air oren hari tu.” Dia tersenyum lebar. Puas hati dengan
tindakannya.
Damia
melepas nafas lagi. Kepalanya turut menggeleng buat kali kedua. Matanya pula
masih tidak berganjak dari wajah Alia.
“Aku
rasalah, baik kau ataupun Ainul sama aje perangainya. Macam budak-budak.
Langsung tak matang. Nama aje umur dah masuk 30-an tapi perangai macam orang
tak cukup umur. Kalau iya pun kau orang ada masalah peribadi, janganlah diheret
sekali dalam hal-hal kerja. Cuba-cubalah bawa berbincang cara baik.
Pamerkan
sikap profesional kau orang tu. Ini tidak, pantang bersua muka, bergaduh
mengalahkan anjing dengan kucing. Aku rasa anjing dengan kucing bergaduh pun
tak seteruk kau orang bergaduh,” sembur Damia terus menggeleng lagi.
“Bukan
aku yang mulakan dulu tapi si Ainul bodoh tu yang panaskan hati aku. Mahu aku
tak geram,” ujar Alia terus menarik muncung sedepa panjangnya. Dijeling sekilas
wajah selamba Damia.
“Tak
kisahlah siapa yang mulakan dulu tapi apa salahnya kalau kau beralah, pun?
Kalau dua-dua hanya tahu nak menang aje, sampai bilapun kau orang takkan capai
kata sepakat. Hari tu kau simbah Ainul dengan air oren, esok-esok entah apa
pulak yang dia akan balas. Kalau begini keadaannya, sampai kiamat pun kau orang
takkan berbaik.” Lembut Damia memberi nasihat.
“Argh!
Tak adanya aku nak berbaik dengan manusia buta kayu tu. Selagi dia tak mintak
maaf dengan aku atas semua kesalahan dia pada aku, selagi itulah aku takkan
beralah dengan dia sampai bila-bila pun,” sanggah Alia cepat.
Kusyen
kecil di ribaannya diramas sekuat hati. Membayangkan dia sedang meramas muka
Ainul ketika ini.
Damia
terus melepas nafas panjang sebaik sahaja mendengar jawapan wanita itu.
“Kalau
itu kau punya prinsip, alamatnya lingkuplah projek ayah kau orang tu dikerjakan
kau orang berdua nanti. Mana tidaknya, seorang kata begini, seorang pulak kata
begitu. Masing-masing perasan pendapat sendiri yang bagus. Dahlah tu, dua-dua
langsung tak mahu beralah. Aku berani jaminlah.
Projek
ayah kau orang tu hanya mampu tinggalkan sejarah buruk dalam hidup kau orang
berdua tak lama lagi. Percaya atau tidak, kau tengoklah nanti.” Penuh yakin
Damia memberi pendapat.
“Bila
aku fikirkan semula, aku salahkan ayah aku dan ayah Ainul seratus-peratus dalam
hal ni. Suka hati dia orang aje nak aku dan Ainul bekerjasama siapkan projek tu
walhal bukannya dia orang tak tahu, kami berdua dah lama tak bertegur sapa
sejak bercerai beberapa tahun dulu. Saja aje dia orang nak kenakan kami
berdua.”
Alia
kembali mengepal penumbuknya. Kali ini bayang Encik Ghazali dan Encik Azmi pula
yang menjadi mangsa tumbukannya di kusyen. Damia merengus terus.
“Tengok
tu, salah sendiri tak nampak, nak salahkan orang pulak. Sepatutnya kau dan
Ainul fikir secara positif tentang tindakan ayah kau orang minta kau orang
bekerjasama semula dalam satu projek. Setiap tindakan orang tua kita tu ada
sebabnya, bukan suka-suka dia orang aje buat macam tu kat kita.
Mana
tahu dia orang nak satukan kau dan Ainul supaya jadi suami isteri macam dulu semula?
So, gunakanlah kesempatan ni untuk berbaik kembali dengan Ainul. Kalau
tak boleh berbaik sekalipun, at least kau orang boleh jadi kawan selepas
ni kan?” tempelak Damia cepat. Betul-betul tak senang dengan kata-kata wanita
itu.
“Nak
jadi kawan apanya Mia oii kalau si Ainul bodoh bangang tu tak reti nak cakap
elok-elok dengan aku. Tahu nak menengking aje. Siapa larat tahan telinga kalau
macam tu gaya perangainya? Jangan kata aku, gajah pun boleh naik minyak kalau
dua puluh empat kena maki hamun aje tau.” Ternyata Alia tidak mahu mengalah.
Damia
pula terus menepuk dahi. Mengerti benar dengan sikap keras kepala wanita itu.
Beberapa tahun menjadi sahabat baiknya telah cukup menjadikan Damia mengenali
diri pemilik nama penuh Alia Amani itu walau tidak sepenuhnya.
“Kalau
beginilah gayanya perangai kau dan Ainul, aku rasa memang menjadi betullah
tekaan aku pasal projek ayah kau orang tu nanti. Jahanam semuanya dek perangai
ego dan keras kepala kau orang ni,” tukas Damia menggeleng lagi.
“Kenapa
pula?” Selamba saja Alia bertanya.
“Aik...
boleh pulak kau tanya kenapa ya? Yalah, kalau nak bersua muka pun dah tak
boleh, macam mana kau orang nak duduk berbincang pasal projek ayah kau orang tu
pulak? Dahlah tu, hal peribadi pulak yang kau orang ungkit keluar pun setiap
kali berjumpa. Kalau macam tu samalah jugak macam kau orang duduk dalam kandang
mahkamah aje. Saling nak bela diri sendiri walhal perkara tu boleh dibawa
berbincang kat luar kalau kena caranya.”
Damia
menggeleng semula.
“Apapun
aku rasa elok sajalah kau dan Ainul berbincang dari hati ke hati. Kalau tidak
sampai bila pun kau orang takkan capai kata sepakat. Baik hal peribadi mahupun
hal berkaitan projek kau orang, semuanya hanya akan tergantung di situ saja
sampai bila-bila tanpa ada sebarang kata putus kalau kau orang terus bersikap
kebudak-budakan macam sekarang. Fikirlah baik-baik nasihat aku ni ya. Aku masuk
tidur dulu. Awal pagi esok aku nak ke mahkamah,” sambung Damia terus bangun
dari duduknya.
Dia
membawa bersama mug minumannya. Diletaknya ke meja makan sebelum
melangkah ke tingkat atas.
Meninggalkan
Alia yang hanya melepas nafas seraya melekap matanya semula ke skrin
televisyen. Manakala mindanya ligat memikirkan kata-kata Damia. Hanya seketika
sebelum dia larut dalam keralitannya menonton rancangan kegemarannya tak lama
kemudian.
“ASSALAMUALAIKUM.
Abang ganggu kamu ke?” Pertanyaan itu menyentak Isma yang sejak tadi sibuk
melakukan kerja di bilik pejabatnya.
Dia
segera mengorak senyuman. Memandang Khuzairi menjenguk kepala di balik pintu yang
tidak ditutup rapat sebelum melangkah masuk ke dalam. Terus lelaki itu melabuh
punggung di sofa.
“Mana
abang tahu Is masih di pejabat?”
Isma
telah bangun mendapatkan lelaki itu. Dia duduk menghadapnya. Khuzairi tersenyum
panjang.
“Saja
abang lalu kat kawasan pejabat kamu ni tadi. Kebetulan masa abang lalu tu abang
nampak kereta kamu masih ada kat tempat parking. Abang agak kamu tentu
belum balik kerja lagi. Jadi abang singgah ajelah,” sahutnya mesra.
“Dah
lewat petang begini pun kamu masih tak balik lagi Is? Rajin benar kamu
bekerja.” Sempat dia memuji bekas adik iparnya.
Isma
mengulum senyuman.
“Rajin
apanya bang. Saja saya stay lama-lama kat pejabat ni, nak siapkan
apa-apa yang patut. Kalau balik ke rumah pun bukannya ada apa yang nak dibuat,”
balasnya.
“Yang
abang ni dari mana pulak? Lewat-lewat begini pun masih ada kat luar rumah,”
ujar Isma. Memandang sekilas tubuh lelaki itu yang masih segak dibaluti pakaian
kemasnya.
“Lepas
habis kerja tadi abang terus pergi jumpa kawan abang, Yusri namanya. Ada
perkara penting yang kami bincangkan tadi,” jelasnya ringkas.
Dia
membetulkan kedudukannya sebelum membuka mulut semula.
“Sebenarnya
Is, ada tujuan abang datang ke pejabat kamu ni.” Suara Khuzairi kedengaran
sedikit serius biarpun bernada tenang.
“Berkenaan
apa tu bang?” Sambil menyandar tubuh ke sofa Isma bertanya sopan. Dia membalas
tenang pandangan Khuzairi.
“Begini
Isma. Seminggu dua lepas ayah ada bagitahu abang yang dia nak majukan kawasan
tanah kosongnya di kampung. Daripada dibiarkan semak dan terbiar begitu saja,
elok rasanya kalau diusahakan menjadi tempat pelancongan atau sebagainya.
Lagipun tanah ayah tu terletak tak jauh dari kawasan air terjun tempat tumpuan
penduduk kampung dan orang luar mandi manda setiap kali hari cuti. Jadi ayah bercadang
nak bina penempatan chalet kat atas tanahnya tu.
Memandangkan
abang dan ayah sama-sama tak tahu apa-apa tentang perkara ni jadi ayah terfikir
nak mintak tolong kamu lakukannya. Dia mintak abang sampaikan perkara ni pada
kamu sebab dia tak ada masa nak jumpa kamu lagi buat masa sekarang. Tentang kos
pembinaan chalet tu kamu jangan bimbang. Ayah akan biayai sepenuhnya projek tu
nanti. Cuma itulah, abang berharap sangatlah kamu setuju dengan cadangan ayah
ni,” terang Khuzairi panjang lebar.
Isma
mengangguk kecil.
“Kalau
tentang perkara ni, rasanya tak ada masalah untuk saya lakukannya tapi boleh
saya tahu bila abang nak saya mulakan projek ni?”
“Yang
itu terpulanglah pada kamu sendiri Is. Ayah dan abang tak memaksa sebab kami
tahu kamu pun sibuk dengan projek-projek syarikat kamu yang lain. Bila-bila
masa kamu boleh mulakannya asalkan projek ni tak mengganggu kerja-kerja kamu di
syarikat ayah kamu ni,” jawab Khuzairi lalu kepala Isma mengangguk lagi.
“Kalau
macam tu, saya akan cuba buat kertas kerjanya secepat mungkin. Tapi sebelum tu,
saya kena pergi tengok dulu tapak tanah ayah tu sama ada sesuai atau tidak
untuk kita bina chalet di situ,” ujarnya. Menjadikan senyuman bekas abang
iparnya semakin melebar.
“Terima
kasihlah Is kerana sudi bantu ayah dan abang jalankan projek tu. Kalau nak
diharapkan pada kami, rasanya sampai bila-bila pun tak adanya nak berjalan
projek tu. Maklumlah, kami bukannya tahu apa-apa pasal ni. Kalau pasal
undang-undang dan kayu balak, bolehlah.”
Isma
hanya mengukir senyuman tanpa sepatah kata mendengar seloroh lelaki itu.
“Hmm...
tak apalah Is, hari pun dah petang benar ni. Abang mintak diri dulu. Nanti
lewat pula abang sampai ke rumah. Kamu tak nak balik lagi ke?”
Khuzairi
mula bangkit dari duduknya seraya membetulkan kedudukan kemeja di tubuh.
“Lepas
Maghrib nanti saya baliklah bang. Ada sikit lagi kerja yang perlu saya
selesaikan kat pejabat ni.” Sopan Isma menyahut.
Dia
turut bangun. Menghantar lelaki itu ke pintu biliknya.
“Kamu
jangan lewat sangat balik ke rumah tu Is. Jaga sama diri kamu tu. Kerja tu
kerjalah jugak tapi jangan sampai merosakkan kesihatan pulak.” Sempat Khuzairi
memberi nasihat sebelum meluah salam.
“Yalah
bang,” sahut Isma pendek seraya menyambut salam lelaki itu.
Matanya
hanya memandang Khuzairi berlalu dari situ sebelum kembali ke mejanya.
Menyambung semula kerjanya yang terhenti sebentar tadi.
No comments:
Post a Comment