BAB 16
“MAK
tengah buat apa tu?” Sapaan seseorang mengalih perhatian Puan Khadijah yang
ralit mengait benang di ruang tamu rumahnya pagi itu. Dia sedikit tersentak.
Namun
segera saja bibirnya menurap senyuman tatkala terpandang kelibat gadis itu. Dia
yang telah melangkah masuk ke dalam terus mendapatkan Puan Khadijah.
“Kamu
ni Mia, cuba-cubalah bagi salam. Terkejut mak tadi,” marahnya bernada lembut.
Begitupun huluran tangan gadis itu tetap disambut mesra.
Damia
hanya tersengih. Dia melabuh punggung di depan emaknya.
“Kamu
tak pergi firma pagi ni Mia?” soal Puan Khadijah menatap wajah anak daranya.
“Tak
mak. Mia masih lagi cuti hari ni. Esok baru Mia masuk kerja semula. Mia datang
ni pun sebab Mia nak bagi ni pada mak sekeluarga. Oh ya mak, sebelum Mia lupa
baik Mia bagitahu awal-awal. Nenek kirim salam pada semua,” beritahu Damia
sambil menghulur seplastik besar buah-buahan pada wanita itu.
Pantas
saja Puan Khadijah menyambut dengan matanya telah terbelalak luas.
“Waalaikumussalam.
Amboi, banyaknya buah yang nenek kamu bagi. Apa kamu tak ambil sikit untuk kamu
dan Alia ke?” soalnya lagi. Tangan Puan Khadijah sudah membelek-belek isi
plastik.
Damia
mengangguk kecil.
“Mia
dah ambil sikit untuk Mia dan Alia malam tadi.” Dia merayau mata ke sekeliling.
“Ayah
mana mak? Dah pergi firma ya?”
Puan
Khadijah mengangguk laju.
“Awal-awal
lagi dia dah keluar. Hari ni ayah kamu kata dia kena ke mahkamah. Ada
perbicaraan kat sana katanya. Mungkin lewat jugaklah dia balik nanti tu pun,”
beritahunya.
“Mak,
kalau Mia mintak sesuatu mak bagi tak?” soal Damia lambat-lambat. Menyata
tujuan lain kedatangannya ke rumah orang tuanya pagi itu.
“Kamu
nak mintak apa?” Mata Puan Khadijah kembali terpacak di muka gadis itu.
“Mak,
boleh tak kalau Mia masuk sekejap ke bilik tidur arwah Kamilia?” Lambat-lambat
dia meminta izin.
Puan
Khadijah sudah melakar kerutan di dahi.
“Kenapa
pulak tiba-tiba saja kamu nak masuk ke bilik dia?” Terdetik rasa pelik di
hatinya dek permintaan tiba-tiba gadis itu.
Seingat
Puan Khadijah, Damia tidak pernah meminta berbuat demikian sebelum ini.
Selalunya gadis itu terus menerjah masuk ke bilik sepupunya itu tanpa perlu
meminta izin dari sesiapa termasuklah dari arwah Kamilia sendiri. Malah keadaan
itu tidak pernah dipedulikan semua lantaran gadis itu turut dianggap seperti
ahli keluarga itu selama ini. Damia tersenyum kelat.
“Saja
mak. Dah lama Mia tak masuk bilik dia. Dulu waktu Mia dan arwah masih kecil,
kami selalu lepak dalam bilik tidur dia walaupun Mia ada bilik Mia sendiri kat
dalam rumah ni. Makan, main, mandi, semuanya kami buat kat situ. Bila aje Mia
dah ke luar negara, Mia tak pernah lagi masuk ke bilik dia sampailah sekarang.
Kena
pulak dia dah kahwin dan berkongsi bilik dengan suaminya. Jadi seganlah Mia nak
terjah masuk bilik dia macam tu aje. Lagipun bolehlah Mia tengok gambar suami
arwah. Mia kan tak pernah tengok gambar suami dia lagi,” ujarnya satu per satu.
“Betul
jugak tu. Kamu pun tak pernah tengok gambar Isma selama ini. Salah sepupu kamu
tulah tak nak kirim gambar kahwin dia pada kamu. Konon nak buat surprise bila
kamu balik sini. Siapa sangka, lain pulak yang jadinya.” Keluhan Puan Khadijah
sudah bercampur dengan rasa sayunya.
Sayu
mengenangkan anak perempuannya yang telah pergi meninggalkan semua buat
selamanya. Buat seketika, bayangan wajah Kamilia datang menerpa. Membuatkan
wanita itu termenung seketika.
“Jadi
boleh tak Mia masuk bilik dia mak?” Pertanyaan kali kedua Damia menghambat Puan
Khadijah keluar dari lamunannya. Terus saja dia mengangguk bersama bayangan
Kamilia hilang serta-merta dari kepalanya.
“Masuk
ajelah Mia, tak adanya mak nak larang,” sahut Puan Khadijah langsung tak kisah.
Jauh sekali mengesyaki apa-apa.
“Tak
pernah orang masuk dalam bilik dia ke sebelum ni mak?” Damia sudah bangun dari
duduknya. Ingin menapak ke tingkat atas.
“Apa
pulak tak adanya. Isma, si suami Kamilia tu selalu ke bilik tulah setiap kali
balik ke sini. Kadang-kadang dia tidur kat situ,” ujar Puan Khadijah turut
bangun dari duduknya. Beg plastik berisi buah-buahan turut diangkat sama. Ingin
dibawa ke dapur.
“Kamu
makan tengah hari di sini ya Mia.”
Gadis
itu hanya mengangguk. Langsung dia terus ke tingkat atas. Mendapatkan bilik
Kamilia yang terletak hanya berselang dua bilik dari bilik tidurnya. Bilik yang
telah jarang dijenguknya setelah dia ke luar negara dan kini apatah lagi
memandangkan dia telah menyewa rumah di luar.
Ditolak
perlahan daun pintu setelah tombolnya dipulas. Lambat-lambat dia menapak masuk.
Melangkah ke dalam sebelum meliar mata ke sekeliling. Matanya tertancap pada
gambar perkahwinan Isma dan Kamilia yang tergantung elok di kepala katil. Lama
matanya melekap di wajah Kamilia sebelum beralih ke wajah Isma di sisi wanita
bergaya itu.
“Hmm...
boleh tahan jugak muka laki kau ya Lia. Handsome orangnya. Nampak gaya
macam tinggi dari kau aje. Pandai kau pilih,” puji Damia seolah-olah orang yang
diajak berbicara wujud di situ. Dibuang mata ke sekeliling ruang.
Segalanya
kelihatan kemas dan teratur. Sama sepertimana arwah masih ada, getus hati
Damia. Perlahan nafas pendeknya dibuang.
Segumpal
rasa sayu menggigit hatinya ketika ini. Sayu mengenangkan segala kenangan yang
pernah dia dan arwah Kamilia cipta di bilik ini.
Sejak
mereka kecil, kedua-dua mereka begitu rapat dan intim. Walaupun Damia
dibesarkan dan bersekolah di kampung, namun itu tak membuatkan hubungan mereka
renggang. Surat dan telefon sering kali menjadi perantara mereka saban hari.
Malah hubungan itu senantiasa rapat dan mesra bila mana Kamilia akan pulang ke
kampung setiap kali cuti sekolah menjelma.
Mereka
tidak pernah terputus hubungan biarpun Damia melanjutkan pelajaran ke luar
negara selepas itu. E-mel dan poskad pula menjadi pengganti diri. Dan sekarang,
semua itu telah menjadi memori terindah buat Damia yang sehingga saat ini tidak
pernah mahu melupakannya.
Lama
Damia memerhati sekeliling sebelum berkira-kira ingin melangkah keluar dari
situ. Namun terbantut niatnya seketika tatkala mata tajamnya terpandang sesuatu
di sudut bilik. Mencerlung tepat pada rak buku kecil di tepi sebuah sofa.
Tempat
kegemaran arwah Kamilia mengisi masa. Menelaah buku-buku berkaitan fesyen dan
peragaan. Satu bidang kegemaran wanita itu sejak dulu. Jauh berbeza dari Damia
yang lebih meminati bidang yang penuh lasak dan mencabar keupayaan fizikal dan
mental diri. Membuatkan ingatannya terhadap arwah Kamilia kembali bertandang
ketika ini.
Dihayun
kakinya ke situ sebelum menarik keluar buku dan majalah yang kelihatan sedikit
berhabuk. Tanda tidak pernah diusik sesiapa selepas pemergian Kamilia.
Tangan
Damia baru menyimpan sebuah majalah tatkala matanya terlihat sesuatu di celah
segala majalah. Ditariknya pantas. Sebuah buku kecil berwarna hitam berpindah
ke tangannya. Diselak buku berkulit tebal itu beberapa kali. Dia sedikit
terkejut tatkala membaca sepintas lalu isi kandungannya.
Tak
berfikir panjang, Damia segera menyusun atur segalanya di tempat asal
sebagaimana biasa. Seakan tempat itu tidak pernah diusik sesiapa. Hingga dia
puas hati dengan keadaan itu, dia segera melangkah keluar.
Buku
kecil hitam itu dibawa bersama. Ada sesuatu yang bermain di mindanya ketika
ini.
JAUH
khayalannya pergi. Menerbang jauh dari
dunia realiti. Membawa dirinya yang kelihatan senang dengan keadaan baru itu.
Hingga dia terlupa pada sekeliling buat seketika.Segalanya hancur tatkala perlahan
bahunya ditepuk seseorang.
Faris
sedikit terpisat. Segera ditegak tubuhnya yang sejak tadi menyandar di kerusi
rotan di anjung rumah. Dia tersenyum kelat pada Puan Fatimah. Wanita itu sudah
mencekak pinggangnya.
“Jauhnya
kamu berangan. Dah sampai ke benua mana? Eropah? Afrika?” Selamba wanita itu
bertanya lalu terus melabuh punggung di depan anak bujangnya.
Faris
merengus halus dalam malunya.
“Mak
ni, mana ada Ris berangan. Ris cuma tengah fikir pasal syarikat Ris tulah.”
Sedikit tergagap dia menjawab. Malu sebenarnya dek kata-kata wanita itu. Sedang
Puan Fatimah sudah tersenyum sinis dalam cebikannya.
“Huh,
iyalah tu kamu. Tengah fikir pasal syarikat kamu tu konon. Tengok air muka kamu
tu pun mak dah tahu yang kamu menipu. Tak baik tau cakap bohong dengan orang
tua tambah-tambah pula dengan mak sendiri.” Sempat lagi Puan Fatimah menasihati
si anak dalam kata-katanya.
Faris
hanya tersengih kelat.
“Mak
perasan sehari dua ni perangai kamu berlainan benar. Tak macam dulu gayanya.”
Puan Fatimah bersuara semula tidak lama kemudian.
Faris
mencantum kedua-dua keningnya menjadi satu. Berkerut-kerut dahinya.
“Berlainan
macam mana pulak mak? Biasa aje Ris rasa diri Ris ni,” soalnya sedikit hairan.
Emaknya
tersenyum-senyum suka.
“Biasa
apanya? Selalunya kamu tak macam ni. Nak kata kamu sakit, nampak sihat aje. Nak
kata sihat pun tak juga. Termenung aje tak kira tempat. Tapi mak rasa kamu
bukan termenung tapi nampak macam lebih banyak berkhayal aje. Apa kamu dah
jatuh cinta pada sesiapa ke Ris?” Terus saja Puan Fatimah menebak.
Menjadikan
mata Faris membulat serta-merta.
“Hisy
mak ni, merepek ajelah. Mana ada Ris jatuh cinta kat sesiapa,” sangkalnya
pantas biarpun terkejut amat sangat dengan tembakan itu. Tepat mengena sasaran.
Lantas
Puan Fatimah menaikkan kening.
“Iya
ke tak ada? Tapi kenapa mak rasa macam betul aje kamu dah jatuh cinta? Kamu
jangan Ris. Jangan sesekali kamu cuba nak menipu mak kamu ni. Naluri seorang
emak ni selalunya sangat tepat tau. Jarang benar nak salah apatah lagi kalau
perkara tu melibatkan anak-anak sendiri,” ujar Puan Fatimah.
“Mak
ni, betullah cakap Ris. Mana ada Ris jatuh cinta kat sesiapa.” Faris menyangkal
buat kali kedua. Sedangkan hati sudah disergah debar. Bimbang andai rahsia hati
terbuka lebar di depan Puan Fatimah. Malulah dia nanti!
“Habis,
kalau betul kamu tak jatuh cinta kat sesiapa, kenapa kamu selalu termenung aje?
Kadang-kadang tu tersenyum sendiri. Macam orang angau aje. Jangan nak tipu mak.
Tak berkat hidup kamu tu nanti.” Kali ini nada suara Puan Fatimah kedengaran
seakan mengugut.
Nyata
sekali dia tidak puas hati dengan jawapan anak lelakinya itu. Membuatkan mulut
Faris terlopong sekejap.
“Mak,
mak. Tak baik tau mengugut anak macam tu sekali. Kesian Ris kalau mak tak
berkati hidup Ris nanti,” balas Faris seperti merayu.
Dia
tersenyum semula selepas itu.
“Dahlah
mak, Ris nak keluar kejap. Ris nak ke galeri lukisan. Dah lama rasanya Ris tak
pergi tengok galeri Ris tu. Entah apa keadaan galeri tu sekarang ni pun tak
tahulah.” Faris terus bangun.
“Hah,
sajalah tu nak mengelak dari mak. Buat apa kamu nak pergi galeri kamu tu
petang-petang begini?” ujar Puan Fatimah mengikut langkah kaki si anak. Lelaki
itu telah menapak ke keretanya yang diparkir di depan rumah.
“Mak
ni, nak buat apa lagi kalau bukan nak tengok keadaan galeri tulah. Takkanlah
nak main-main kat situ pulak,” sahut Faris sambil membuka pintu kereta.
“Manalah
tahu, kamu nak pergi jumpa bakal menantu mak ke tapi malu nak cakap kat mak.
Jadi kamu katalah yang kamu nak ke galeri walhal nak melencong ke tempat lain.”
Puan
Fatimah serta-merta tersenyum lebar bila wajah si anak terus saja bertukar
riak. Merah malu dek usikannya.
“Hisy
mak ni, itu pulak yang difikirnya. Ris nak pergi jumpa kawan-kawan Ris kat
galeri tulah mak, bukannya nak buat apa pun.”
Faris
menghumban tubuh ke dalam perut kereta sebaik sahaja salam dihulur pada
emaknya.
Wanita
itu menyambut perlahan seraya mengulum senyuman. Penuh makna. Hingga kereta
Faris hilang dari pandangannya barulah dia berlalu dari situ. Membawa bersama
harapan yang sekian lama berbunga di hatinya. Harapan yang sama sepertimana
yang ada di hati anaknya ketika ini. Memikirkan hal itu menjadikan bibir Puan
Fatimah terus-terusan diterpa senyuman panjang. Senyuman bahagia.
ENJIN
keretanya dimatikan sebelum dia segera
menapak keluar. Melangkah ke satu arah setelah pintu kereta dikunci rapat.
Diseluk poket seluar denimnya. Sambil itu ligat bola matanya memerhati
sekeliling. Membuang pandang pada keadaan alam yang begitu mendamaikan.
Ditambah dengan kicauan burung dan unggas-unggas hutan menjadikan suasana
terus-terusan diselubungi ketenangan.
Deruan
air sungai yang mengalir sebagaimana biasa menggamit dia untuk mempercepatkan
langkah. Laju saja sepasang kakinya menapak ke depan. Tiba di tebing, dia
mengalih pandang ke satu arah. Ke tempat yang meninggalkan teka-teki di
kepalanya hingga ke hari ini.
Isma
dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur petang itu namun bila teringat kejadian
tempoh hari dia menjejakkan kaki ke tempat kenangan dia bersama Kamilia. Di
situlah dia ternampak bayangan arwah isterinya.
Kerana
itu dia singgah sebentar di pinggir sungai sebelum meneruskan perjalanan
pulangnya. Dia telah selesai melihat-lihat kawasan tanah Encik Khalid sejak
beberapa hari lalu. Dan kini dia ingin menyelesaikan teka-teki yang tertinggal
di mindanya hingga ke hari ini. Teka-teki tentang kewujudan sebenar bayangan
itu.
“Betulkah
dia wujud?” Buat kesekian kali soalan itu menebak mindanya.
Sekali
gus membuatkan Isma kembali dihimpit bungkam. Selama beberapa hari meluang masa
di kampung menjadikan soalan itu terus membelit otaknya. Memaksa akalnya
memerah mencari jawapan yang ternyata tidak mampu dijawab minda warasnya.
“Tapi
kalau betullah dia wujud, kenapa aku tak melihatnya lagi walhal semua pelosok
kampung telah aku jelajah dalam dua tiga hari ni? Kenapa aku masih tidak
menemuinya sampai ke hari ni?” Soalan demi soalan terus menerpa mindanya.
Soalan
yang sama bermain di mindanya sejak beberapa lama dia berada di situ.
Menjadikan Isma semakin dihimpit kekeliruan. Keliru dengan keadaan yang
dihadapinya.
“Boleh
jadi semua tu hanya bayangan aku saja.” Hatinya berkata sendiri setelah dia
sendiri tidak dapat pastikan keadaan sebenar.
Mata
Isma masih memandang sekitar. Memerhati keadaan yang semakin dibungkus kelam.
Menandakan siang bakal beransur pergi sebentar lagi. Diganti malam yang mula
mengangkat tirainya sedikit demi sedikit. Sekali gus memberi petanda buat Isma
agar segera berlalu dari situ memandangkan masih jauh lagi perjalanan yang
bakal ditempuhinya sebentar nanti.
Biar
hati terasa berat untuk meninggalkannya namun Isma pasti. Suatu masa nanti dia
akan tetap kembali semula ke tempat yang masih setia menyimpan segala khazanah
kenangannya. Kembali dalam mencari jawapan pada kejadian yang masih
meninggalkan rasa misteri padanya di waktu ini.
Beberapa
lama dia berdiri di situ sebelum mengambil keputusan untuk berlalu pergi.
Sempat matanya melilau ke sekeliling buat kali terakhir sebelum kembali ke
kereta. Tak lama kemudian Isma dan deruan kereta kesayangannya menghilang dari
kawasan yang mula diselubungi kegelapan itu.
No comments:
Post a Comment