Followers

Monday, 7 October 2013

BAB 16 - TAK SANGKA AKU


BAB 16

“ASSALAMUALAIKUM.”
Farah menghulur salam sebaik membuka pintu bilik asrama. Diletak beg kecil berisi pakaian yang dibawa bersama di tepi kaki katil.
“Waalaikumussalam. Hei Farah, dah balik pun kau!” jerit Balkis gembira.
Mereka berpelukan seketika.
“Awal kau balik asrama,” ujar Farah, ceria dan terkejut.
“Selalu hari Ahad baru aku nampak muka kau. Tup-tup hari Sabtu kau dah tercongok kat bilik kita ni,” sambung Farah lalu terus melabuhkan punggung di birai katil.
“Kenapa? Kau tak suka ke kalau aku balik awal?” ujar Balkis, pura-pura merajuk.
“Eh, mana ada. Lagi suka adalah. Yalah, selalunya kau tak ada di hujung minggu. Tiba-tiba kau ada hari ni, tentulah aku terkejut,” jelas Farah.
“Macam mana kau boleh balik awal ke sini Balkis? Atuk kau tak marah ke kau balik awal ke asrama?” tanya Farah, tidak sabar ingin tahu.
“Nak marah apanya. Atuk tak ada kat rumah sehari dua ni. Dia ikut abang Anaz aku balik ke Selangor. Teringin nak tengok UKM tempat belajar abang aku katanya. Mungkin dua tiga hari jugaklah dia duduk kat sana tu,” terang Balkis.
“Oo... sebab tulah awal-awal lagi kau dah lari balik ke sini ya?” usik Farah.
Balkis mengangguk laju.
“Lagipun aku boringlah duduk lama-lama kat rumah tu. Bukannya ada apa pun yang boleh aku buat,” ujar Balkis.
“Jadi, macam mana dengan cuti persekolahan kau kali ni? Mesti seronok kan?” soal Balkis dengan soalan wajibnya.
Dia senang mendengar kisah hidup gadis itu yang tidak pernah dilaluinya selama ini. Tidak seperti kisah hidupnya yang dirasakan begitu membosankan.
“Tak ada apa yang seronoknya pun. Macam biasa aku mengemas rumah, pergi menjenguk sanak saudara mak ayah angkat aku, bertekak dengan Faizam dan apa lagi ya? Entahlah, aku dah lupa. Rasanya tu ajelah kot kerja aku sepanjang cuti raya Cina tu,” ujar Farah sambil tersengih sebelum kembali bersuara tatkala teringatkan sesuatu.
“Oh ya Balkis. Atuk dan nenek Faizam datang ke rumah aku cuti hari tu. Adalah jugak semalam dua dia orang tidur kat rumah atuk nenek aku. Kau tahu, dia orang datang meminang aku untuk Faizam. Huih... tak masuk akal sungguh permintaan dia orang tu,” cerita Farah sungguh-sungguh.
“Iya? Habis tu, kau terima tak pinangan dia orang?” soal Balkis dengan mata membulat.
Teruja dengan cerita itu. Walaupun dia tidak pernah melihat jauh sekali mengenali Faizam. Namun sedikit sebanyak latar belakangnya diketahui Balkis lantaran Farah selalu menceritakan perihal anak muda itu kepadanya.
“Huh, tak ada maknanya aku nak terima pinangan tu. Gila kau, muda-muda lagi nak jadi isteri orang. Dahlah tu, jadi isteri kawan baik aku pulak tu. Tak nak aku. Mula-mula susah jugaklah aku nak beritahu keputusan aku tu tapi alhamdulillah. Akhirnya dapat jugak aku beritahu dia orang tentang duduk perkara sebenar hubungan antara aku dan Faizam selama ni,” cerita Farah jujur.
“Jadi apa kata dia orang pasal keputusan kau tu?”
“Mulanya dia orang macam tak boleh nak terima. Aku sendiri pun tak sampai hati nak beritahu dia orang. Tapi lepas Faizam nasihatkan aku supaya berterus terang, aku pun cakap ajelah perkara sebenarnya. Mujurlah dia orang terima walaupun nampak macam tak ikhlas aje. Apa pun aku bersyukur sangat sebab dia orang tak berkecil hati dengan keputusan aku tu.”
“Tapikan Farah, bukan ke kau dengan Faizam dah lama kenal? Apa salahnya kalau kau orang kahwin? Lagipun aku tak fikir atuk dan nenek dia nak suruh kau orang kahwin sekarang. Mungkin dia orang nak kau orang bertunang dulu sebelum kahwinkan kau orang nanti,” ujar Balkis, tidak mengerti.
“Hah. Kalau kau nak tahu, nilah dia masalah yang aku dan Faizam hadapi dari dulu sampailah sekarang. Semua orang salah faham tentang hubungan kami. Semua orang kata, daripada kami berdua bersahabat baik, lebih baiklah kalau jadi suami isteri. Tu yang selalu sangat aku dengan Faizam dengar sejak kami kecil lagi,” luah Farah.
“Tapi memang betulkan? Bukan ke lebih baik kau dan Faizam berkahwin daripada bersahabat baik aje? Lagipun kata orang, persahabatan adalah jambatan perkahwinan. Bersahabat bermakna hubungan perkahwinan kau orang akan kekal hingga ke akhir hayat nanti.”
Balkis mengulang kata-kata yang pernah didengarinya.
“Tu betul tapi tak semua orang bertuah dapat semua tu. Macam aku dengan Faizam, dari kecil lagi kami dah berkawan rapat. Apa kerja yang kami tak buat berdua. Apa rahsia yang kami tak pernah kongsi. Tapi tu tak bermaksud kami boleh hidup bersama sampai ke akhir hayat,” jawab Farah.
Dia menghela nafas panjang sebelum perlahan-lahan mengangkat bahu. Dia mengeluh sedikit.
“Entahlah Balkis. Aku sebenarnya pun tak tahu macam mana nak terangkan makna sebenar hubungan aku dengan Faizam. Aku cuma boleh kata yang aku dan Faizam tak mungkin akan jadi suami isteri. Biar macam mana sekalipun kami berusaha, perkara tu mustahil berlaku. Sebabnya hanya ALLAH saja yang tahu erti sebenar kasih sayang yang wujud antara kami.”
Balkis tersenyum mengangguk.
“Apa yang kau cakap tu memang betul Farah. Mungkin di mata orang malah di mata aku sendiri, kau dan Faizam sesuai jadi suami isteri. Tapi hakikatnya hanya kau orang berdua aje yang tahu apa yang terbaik untuk kau orang. Apa pun Farah, aku tetap sokong kau walau apa pun keputusan kau,” ujar Balkis ikhlas.
“Terima kasih Balkis. Aku benar-benar hargainya,” ucap Farah, terharu.
“Oh ya Balkis. Lupa aku nak beritahu. Tadi kakak aku ajak aku ke bandar esok. Dia minta aku temankan dia beli barang sikit. Memandangkan kau dah ada kat sini, apa kata kalau kita keluar sekali? Boleh ya Balkis? Bolehlah,” rayu Farah.
Dia bersorak riang apabila Balkis terus mengangguk setuju.
“Boleh jugak tapi takkan kita nak pergi bertiga aje? Tak nak ajak dia orang yang lain jugak ke?” soal Balkis, teruja.
Dia mula membayangkan keseronokan yang bakal ditempuh. Kali pertama dalam hidup dia dapat merasai keseronokan begitu. Tidak sabar rasanya untuk dia menanti hari esok tiba.
“Ya tak ya jugak kan? Tak bestlah kalau kita bertiga aje. Apa kata kalau kita ajak Asyikin, Laila, Marina, Haiza, Marya, Jeslynn dan Regina sekali? Hah, barulah meriah. Satu kumpulan gadis keluar meronda bandar esok!” jerit Farah girang.
“Nak ke dia orang tu?”
Balkis ragu-ragu dengan cadangan itu.
“Apa pulak tak nak. Mesti dia orang nak punya. Tambah-tambah lagi bila dia orang tahu kau ikut sekali. Mesti dia orang tak sabar nak pergi. Bolehlah kita tengok wayang sekali nanti. Kau tahu, ada cerita terbaru ditayangkan di pawagam sekarang ni. Laila kata cerita tu best. Kita pergi tengok ya?”
“Ikut kaulah Farah, aku tak kisah. Dapat keluar dengan kau orang pun dah satu rahmat bagi aku,” ucap Balkis.
Dia tidak menyangka impiannya untuk keluar bersama teman-teman menjadi kenyataan secepat ini.
“Okey. Kalau macam tu aku mesej dia orang sekarang. Bolehlah kita rancang apa kita nak buat esok.”
Farah bergegas mendapatkan telefon bimbitnya. Menghantar pesanan ringkas pada teman-teman di bangunan asrama yang sama.
Balkis hanya menggeleng sambil tersenyum lebar melihatkan tingkah laku kawannya. Ada rasa syukur dipanjatkan pada DIA Yang Satu. Syukur atas rasa gembira kurniaan-NYA.

“KAU kenapa Zam? Macam ayam berak kapur aje aku tengok muka kau tu. Kau sakit ya?”
James anak muda berketurunan Portugis Melaka itu menyoal risau. Lama matanya menatap Faizam yang terbaring lemah di katil sejak sampai di asrama siang tadi. Wajah anak muda itu tampak sedikit pucat.
“Tak adalah, aku pening sikit aje. Mungkin sebab aku kena hujan masa balik sini petang tadi,” jawab Faizam lemah.
Dipicit kepala yang masih memusing.
“Habis tu kau dah makan ubat ke belum? Kalau kau nak, aku ada panadol. Baru aje mak aku bagi masa aku nak balik sini semalam,” sampuk Raymond sambil memandang Faizam. 
Sejak awal malam anak muda berbangsa Punjabi itu berada di meja belajarnya. Menelaah pelajaran.
“Thanks Ray tapi rasanya aku okey lagi. Nanti kalau aku tak tahan sangat aku minta dari kau,” balas Faizam perlahan.
“Betul ni kau tak nak?” soal Raymond, mahu kepastian.
Faizam mengangguk kecil. Matanya merayau ke ruang bilik mereka sebelum jatuh pada Irwan Putra yang baru melangkah masuk. Nampak keletihan saja.
“Kau dari mana Wan? Kemas semacam aje aku tengok.”
Tidak sempat Faizam bertanya, James terlebih dulu melempar soalan. Memandang Irwan Putra yang merebahkan tubuh di kerusi meja belajarnya.
“Aku dari pusat sumber asrama kita, pinjam buku,” sahut Irwan Putra sambil meletakkan dua buah buku di atas meja.
“Betul ke kau dari perpustakaan? Ke kau baru balik dari jumpa Marina?” usik James sambil tersenyum nakal.
Tersengih dia pada Raymond yang menjongket kening beberapa kali. Turut menggiat anak muda pendiam juga pemalu itu.
“Mana ada. Buang masa aku aje nak keluar malam-malam macam ni. Betullah aku dari perpustakaan,” nafi Irwan Putra.
Namun wajahnya sudah bertukar rona. Sedikit memerah. Segan dengan usikan yang telah sering didengarnya.
“Ala Wan, kalau betul pun apa salahnya. Marina tu baik budaknya. Pemalu macam kau jugak. Padanlah kau orang berdua tu, sama-sama pemalu,” giat Raymond juga.
“Kau orang ni, dari dulu tak sudah-sudah nak usik aku dengan Marina. Dia tu anak orang kaya, cantik lagi. Aku ni anak peladang aje, duduk kampung pulak tu. Mana padan dengan dia,” balas Irwan Putra.
Dibuka t-shirtnya. Menampakkan tubuh pejal dan kejap. Bentuk yang terhasil dek kerajinannya membantu keluarga bekerja di ladang setiap kali bercuti.
“Kau tu terlalu merendah diri Wan. Zaman sekarang ni mana ada lagi orang pandang taraf hidup dalam mencari pasangan. Yang penting suka sama suka. Tu aje.”
“Haah. Betul kata Ray tu Wan. Kau tu, selalu sangat bandingkan kedudukan kau dengan Marina padahal aku rasa dia tak fikir pun pasal tu. Kalau tak dah lama dia marah bila kita orang usik-usik dia dengan kau. Ni aku tengok dia macam tak kisah aje. Suka lagi adalah,” tukas James cepat-cepat.
“Yalah tu kau orang berdua. Nak jugak kau orang yang betul,” sahut Irwan Putra sambil memandang Faizam yang memicit-micit dahi.
“Kau kenapa Zam? Pucat aje muka kau tu. Kau tak sihat ya?” soal Irwan Putra sambil memandang lama Faizam yang menelan liur beberapa kali.
“Budak tu nak demam Wan oii...” sampuk James sebelum Faizam menjawab.
“Nak demam? Habis tu kau dah makan ubat ke belum? Tak pun kita beritahu aje warden asrama. Nanti makin teruk pulak demam kau tu.”
“Tak payahlah kau bimbang Wan. Aku pening sikit aje. Kejap lagi baiklah.”
“Kau biar betul Zam. Nanti melarat demam tu, kau jugak yang tak boleh ke sekolah esok lusa,” balas Irwan Putra.
Faham sangat dengan sikap Faizam yang payah menelan ubat. Jauh sekali bertemu doktor. Membesar bersama anak muda itu sejak di usia mentah membuatkan dia arif dengan sikap Faizam yang satu itu.
“Tak payahlah kau risau pasal Zam tu. Macamlah kau tak kenal perangai kawan baik kita ni. Liat benar nak makan ubat. Lagi satu, dia bukan setakat pening biasa aje Wan. Dia pening tu pun pasal hal lain jugak,” ujar James sambil tersenyum lebar.
“Pening pasal lain? Pasal apanya?” soal Irwan Putra, terpinga-pinga.
“Pasal apa lagi kalau bukan pasal exam SPM yang bakal kita tempuh tak lama lagi tulah,” jawab Faizam sambil menjeling sekilas James dan Raymond.
Mengerti dengan maksud senyuman yang terbentuk di bibir kedua-duanya.
“Pening pasal buah hati pun ada jugak,” sampuk Raymond lalu tertawa kecil.
“Maklumlah buah hati jauh nun di Alor Setar. Kena pulak dah dua minggu tak jumpa. Lagilah bertambah pening dibuatnya. Dahlah nama pun kita tak tahu. Jauh sekalilah nak bersua muka. Mahu tak pening dibuatnya Encik Faizam kita ni,” balas James, masih mahu mengusik.
“Hisy, kau orang ni. Mujur aku tengah sakit. Kalau tak dah lama gigi kau orang berterabur aku kerjakan. Dahlah, malas aku nak layan kau orang bercakap. Makin dilayan makin sakit kepala aku dibuatnya. Lebih baik aku tidur aje. Sekurang-kurangnya hilanglah sikit sakit kepala aku ni,” rengus Faizam.
Dia lalu terus berpaling tubuh. Mahu melelapkan mata.
“Haah Zam. Lebih baik kau tidur cepat. Manalah tahu masa kau tidur, buah hati pengarang jantung cinta kau tu muncul dalam mimpi. Bolehlah dia tolong urut-urutkan kepala pening kau tu. Moga-moga hilanglah sakit kau tu ya,” usik Raymond.
Dia tertawa lagi sambil berbalas pandang dengan James yang turut sama ketawa.
Irwan Putra hanya mengukir senyuman. Geli hati dengan usikan kedua-duanya. Dia turut membuang pandang pada Faizam.
Faizam telah lama menekup kedua-dua telinganya dengan bantal. Tidak peduli dengan usikan itu. 

No comments:

Post a Comment