BAB 17
“RIS,
kamu tak nak bersarapan dulu ke?” tanya Puan Fatimah sebaik sahaja terlihat
Faris menapak turun dari tingkat atas. Langsung lelaki itu ke ruang tamu. Anak
itu menggeleng laju.
“Tak
naklah mak. Ris nak bersarapan kat luar aje hari ni. Ris ada perjumpaan dengan
klien kejap lagi. Alang-alang nak keluar tu, bolehlah Ris sarapan dengan dia
orang sekali. Lagipun Ris dah lambat ni.”
Dia
terus berlalu ke luar seraya mendapatkan kereta yang diparkir di depan rumah.
Tidak peduli pada Puan Fatimah yang perlahan-lahan mengikut langkahnya dari
belakang. Ingin menghantar si anak biarpun sekadar di muka pintu. Dijengul
kepalanya di situ.
Faris
baru saja ingin membuka pintu kereta tatkala matanya terpandang seseorang di
laman rumah sebelah. Menjadi tabiatnya lewat kebelakangan ini melepas pandang
ke situ. Dan ternyata hari ini sepasang matanya bertuah.
Sebaik
sahaja menoleh, dia terus dapat menangkap kelibat seseorang yang entah bila
telah berjaya mencuri hatinya. Menerbangkan dia ke dunia khayalan yang telah
lama ditinggalkan. Membawa bersama rasa cinta ke dalam hatinya yang kini
bergendang hebat. Tidak jadi memasuki kereta, lambat-lambat Faris menyandar
tubuh ke pintu kereta kesayangannya. Sambil memeluk tubuh, dia merenung gadis
itu.
Wafi
begitu ralit menyiram tanaman, Puan Ainun di halaman rumahnya. Tidak sedar
dirinya menjadi bahan tatapan seorang lelaki yang kini dalam diam menilai
tingkahnya.
Sopan
dan lemah lembut. Itu tanggapan pertama Faris terhadap diri Wafi sebelum mata
beralih pula pada penampilan gadis itu. Berpakaian jubah hitam dan berkerudung
rona serupa lengkap dari kepala hingga ke hujung kaki. Jauh berbeza
penampilannya dari gadis-gadis yang sedia ada. Namun empunya diri tetap
kelihatan cantik biarpun tiada senyuman di wajah manis itu.
Satu
keadaan yang meninggalkan tanda tanya pada Faris yang masih asyik merenung
gadis itu. Tanda tanya tentang dunia sebenar yang didiami gadis itu selama ini.
Dunia yang mana memaksa si gadis membaluti tubuh dengan gaya dan potongan
pakaian serupa saban waktu. Seakan warna lain tidak berupaya mengambil tempat
merona diri gadis itu biarpun hanya sekejap.
Langsung
Faris tidak perasan kelakuannya ketika ini sedang diperhatikan pula oleh emaknya
dari pintu rumah. Wanita itu hanya tersenyum lebar sebaik sahaja terpandang
gerangan manusia yang menjadikan anaknya terkaku di sisi keretanya ketika ini.
Agak
lama mereka berkeadaan begitu sebelum Wafi mula menyedari sesuatu. Gerak
hatinya mengatakan seseorang sedang memerhati tingkahnya sedari tadi. Begitupun
dia mengagak semua itu hanya mainan perasaannya sendiri. Lalu dia berpura-pura
tidak merasainya. Namun rasa pelik dan ingin tahu yang makin membuak-buak
memaksa dia mencari kepastian. Perlahan-lahan dia melilau mata ke sekeliling
sebelum berkeputusan memaling tubuh ke belakang.
Wafi
agak terkaku tatkala terpandang mata tajam Faris sudah tertusuk lama di
wajahnya. Begitu selamba lelaki itu merenung dia tanpa sebarang rasa bersalah.
Jauh sekali rasa segan mahupun malu.
Langsung
tidak senang dengan keadaan itu, Wafi dengan pantasnya menutup kepala paip
sebelum segera berlalu ke dalam rumah. Tidak peduli pada gulungan getah paip
yang masih melingkari halaman.
Sempat
matanya menjeling tajam pada Faris yang tersentak dengan tindak balas spontan
gadis itu. Buat seketika dia terpinga-pinga melihat Wafi menghilang diri dari
pandangannya. Lehernya telah lama memanjang. Memandang setiap langkah ligat
gadis itu sebelum digaru kepala tak gatalnya. Bingung dengan tingkah tidak
diduga Wafi.
“Apa
yang kamu tengok tu?” Pertanyaan itu menyentak pandangan Faris.
Kelam-kabut
dia mengalih mata. Tepat mengenai wajah Puan Fatimah yang entah bila sudah
terpacak di anjung rumah. Bulat mata wanita itu memandangnya.
“Kamu
kata kamu dah terlambat nak ke tempat kerja. Ni kenapa masih ada kat depan
rumah lagi?” tanya Puan Fatimah lagi dengan nada dan riak wajah serius. Sekadar
ingin melihat tingkah si anak yang ternyata tergadah dengan pertanyaan itu.
“Ris
nak pergilah ni mak,” gugup Faris menyahut.
Tergesa-gesa
dia membuka pintu kereta. Sempat matanya mengerling ke halaman rumah sebelah
sebelum melolos masuk ke dalam. Dia hanya tersenyum kelat pada si emak bila
terperasan mata wanita itu masih bergayut di wajahnya.
Cepat-cepat
dia berlalu dari situ setelah membunyikan hon. Meninggalkan Puan Fatimah yang
terus membuang tawa sebaik saja kereta anak lelakinya menghilang dari laman
rumah mereka. Geli hati melihat tingkah anaknya. Ada rasa bahagia berlagu dalam
hatinya ketika ini. Bahagia dengan apa yang dilihatnya sebentar tadi.
“ALHAMDULILLAH,
lega benar rasanya hati saya sekarang ni Lily. Tak perlulah saya berjumpa
dengan perempuan perasan bagus tu lagi lepas ni.” Nada Ainul kedengaran tenang
tatkala melantun suara di bilik pejabatnya pagi itu.
Lily
tersenyum manis.
“Kenapa
pulak Encik Ainul kata begitu?” Soalannya berjaya melebarkan senyuman lelaki
itu. Disandar tubuhnya ke kerusi empuknya.
“Yalah,
mahu tak lega hati saya sekarang ni Lily. Lepas ni tak ada lagilah saya perlu
tengok muka perempuan perasan bagus tu. Menyusahkan hidup orang aje,” ujar
Ainul tanpa menyedari Ammar yang baru tiba di luar pintu bilik ketika ini
terdengar kata-katanya. Terus saja lelaki itu memasang telinga di balik pintu
yang tidak tertutup rapat itu.
“Hisy
Encik Ainul ni, tak baik tau kata Puan Alia macam tu. Pada sayalah, Puan Alia
tu baik orangnya. Dia tu nampak saja garang tapi hatinya baik. Manja pulak tu,”
sangkal Lily.
Memuji
ikhlas bekas isteri ketuanya yang cukup dikenali sikapnya sejak dulu. Hubungan
rapatnya dengan Rina menjadikan dia mengenali tingkah Alia walaupun tidak
sepenuhnya. Ainul merengus cepat.
“Huh,
banyaklah awak punya manja. Dia tu bukan manja, tapi mengada-ngada orangnya!
Serba-serbi nak orang dengar cakap dia aje. Macamlah kepala batu dia tu betul
sangat,” sanggah Ainul ternyata tidak puas hati dengan kata-kata setiausahanya.
“Saya
cakap perkara yang betul Encik Ainul. Sepanjang lapan tahun saya kenal Puan
Alia, memang begitulah perangainya. Walaupun dia keras kepala macam Encik Ainul
tapi hatinya memang betul-betul baik.”
Dalam
memuji Alia, Lily sempat mengata Ainul. Serta-merta lelaki itu membuntang mata.
“Apa
Lily? Awak kata saya keras kepala macam perempuan 220 BERSATU
DALAM CINTA
tu?
Mana ada!” marahnya terus melotot mata pada Lily.
Wanita
itu hanya membalas selamba pandangan marah lelaki itu.
“Apa
pulak tak adanya Encik Ainul? Memang pun perangai Encik Ainul dengan Puan Alia
tu sama saja tapi dari segi keras kepala tu ajelah. Dari segi lain masih ada
lagilah yang berbezanya.” Lily terus tersengih bila Ainul makin menjegil mata
padanya.
“Ewah,
ewah. Makin menjadi-jadi pulak mulut laser awak tu ya Lily. Apa awak dah tak
sayang mulut tu ke hah? Sesedap rasa aje nak kutuk saya. Dah, dah, pergi
sambung buat kerja awak kat luar tu,” arah Ainul sengaja mengeras suara.
Lily
pula terus-terus tersengih. Mengerti benar dengan sikap Ainul yang jarang
mengambil hati dengan teguran mahupun kutukannya biarpun adakalanya wanita itu
terlepas kata dalam bergurau senda.
“Baik
bos,” sahutnya dalam nada gurau seraya menapak ke pintu.
Namun
belum sempat dia melangkah keluar, Ammar terlebih dulu menolak daun pintu
seraya melangkah masuk. Membuatkan gerak langkah Lily terhenti sekejap.
Terkejut dengan kemunculan tiba-tiba lelaki itu di situ. Bulat saja matanya
memandang Ammar dengan gaya selamba meluah salam.
“Along
mengganggu kau orang berdua ke?” soal Ammar tenang.
Seolah-olah
perbualan kedua-duanya sebentar tadi tidak sampai ke dalam lubang telinganya.
Dia tersenyum manis. Pantas saja Ainul menggeleng.
“Eh,
tak adalah Along. Kita orang pun hanya borak-borak kosong saja,” ujar Ainul
bersuara sambil mengerling Lily yang kembali meminta diri ke luar. Cukup
mengerti dengan makna kerlingan tajam lelaki itu.
“Ada
apa Along datang jumpa orang ni?” tanya Ainul telah bangun dari duduknya.
Kemudian menapak sebelum duduk di sofa. Menghadap Ammar yang terlebih dulu
berbuat demikian. Lelaki itu menguntum senyuman panjang.
“Along
sebenarnya nak bincang dengan kamu pasal projek yang bakal kamu ambil alih dari
Along di Setiawangsa tu. Kamu sendiri pun tahukan yang Along tak ada masa untuk
kendalikan projek tu. Sebab tulah ayah beri projek tu pada kamu. So, sebelum
kamu ambil alih sepenuhnya, elok rasanya Along beri sedikit penerangan pada
kamu berhubung projek tu. At least tak adalah kamu terkial-kial nak
menyiapkannya nanti.” Ammar terus ke tajuk yang ingin dibincangkan.
Sekali-sekala
Ainul menyampuk. Turut sama meluah pendapat dan cadangan. Tidak tahu minda
abangnya masih ligat memikirkan tentang diri dia dan Alia ketika ini.
“SAYA
mengganggu abang ke?” Pertanyaan itu
mengangkat kepala Khuzairi yang sejak tadi ralit membuat kerja di mejanya.
Dia
tersenyum lebar tatkala terpandang Isma sudah berdiri di depan pintu bilik yang
sejak tadi dibuka luas. Dia segera bangun dari duduknya.
“Hah
Is, bilanya kamu sampai? Tak perasan pun abang.” Suaranya gembira dengan
kedatangan lelaki yang telah lama dianggap seperti adik kandung sendiri itu.
“Jemputlah
duduk,” pelawanya terus menghala tangan ke sofa.
Isma
mengangguk seraya mengheret kaki ke sofa. Meletak punggung di sisi Khuzairi
yang telah berbuat begitu terlebih dulu.
“Kamu
dari mana ni?” Khuzairi membuka bicara antara mereka. Wajah tampan bekas adik
iparnya dipandang lama.
“Dari
mana lagi bang kalau bukan dari pejabat. Kebetulan masa keluar minum petang
dengan klien tadi saya lalu kat pejabat abang ni. Jadi saya singgahlah sekejap
nak jumpa dengan abang.”
Khuzairi
mengangguk faham.
“Sebenarnya
bang, saya datang ni sebab saya nak bagitahu yang saya dah pun tengok tanah
ayah tu. Saya rasa cadangan ayah dan abang untuk membina penempatan chalet di
situ sangat sesuai memandangkan kawasannya memang strategik.
Selain
berdekatan dengan sungai, tanah tu juga dikelilingi dengan hutan-hutan yang
masih terpelihara keadaannya. Jadi saya rasa kita boleh bangunkan kawasan tu
sebagai salah sebuah kawasan pelancongan yang maju di masa depan.” Isma terus
meluah tujuan kedatangannya petang itu. Serius saja wajahnya memandang Khuzairi
yang mula melakar kerutan.
“Maksud
kamu?” Ternyata Khuzairi berminat dengan usul itu.
“Begini
bang...”
Isma
sudah membetulkan cara duduknya. Lebih rapat dengan lelaki itu yang terus tekun
menadah telinga.
“Dari
pemerhatian yang saya buat, saya rasa kita boleh majukan lagi kawasan tanah
ayah tu lebih dari apa yang kita rancangkan. Berbagai projek besar boleh kita
lakukan di situ tapi dalam masa yang sama kita perlu kekalkan keindahan alam
sekelilingnya. Senang cakap, kita buat pembangunan di situ sambil memelihara
dan memulihara alam sekelilingnya.
Sebabnya
bang, alam semula jadi tu merupakan aset yang paling bernilai untuk kita kaut
keuntungan dalam pelbagai segi terutamanya dari segi ekonomi. Caranya, senang
saja.
Kita
bangunkan kawasan tu sebagai salah sebuah tempat pelancongan yang menarik di
negara kita. Kita boleh jadikan air terjun dan sungai yang sedia ada di situ
sebagai kawasan perkelahan. Chalet yang bakal kita bina tu boleh dijadikan
penginapan buat para pengunjung yang datang dari jauh dan ingin bermalam di
sana. Manakala hutan-hutan dara yang di sekeliling kawasan tu juga boleh kita
bangunkannya sebagai kawasan rekreasi.
Pelbagai
aktiviti riadah boleh kita lakukan seperti menjelajah hutan, berkhemah dan
lain-lain tapi semua tu kita hanya boleh lakukan dengan bantuan anak-anak
kampung tu sendiri sebab hanya mereka saja yang tahu selok-belok hutan-hutan
yang ada di sekeliling kawasan tu,” jelas Isma panjang lebar.
Khuzairi
sudah mengangguk beberapa kali.
“Lagi
satu bang, saya cadangkan kita jadikan kampung tu sebagai perkampungan homestay
sebab saya tengok keadaan dan kemudahannya hampir serba lengkap. Selain
dekat dengan kawasan bandar, kampung itu masih lagi kekal dengan ciri-ciri
tradisionalnya. Masih ada penduduk yang mengamalkan cara hidup seperti
orang-orang dulu.
Masuk
hutan, memikat burung, menjala ikan di sungai dan sebagainya. Selain dari
menambah pendapatan penduduk kampung, kita jugak boleh kekalkan keaslian
kampung tu untuk jangka masa yang panjang. Anak-anak mudanya pun tak perlulah
keluar berhijrah ke bandar lagi sebab kampung itu sendiri sudah mampu memberi
mereka pendapatan walaupun tak sebanyak pendapatan penduduk bandar,” sambung
Isma begitu yakin dengan cadangannya.
“Apapun
bang, semua ni hanya boleh dilaksanakan kalau mendapat persetujuan dari semua
pihak yang terlibat. Apa pendapat abang? Abang rasa okey tak cadangan saya tu?”
Isma menamatkan penerangan panjang lebarnya dengan soalan. Matanya masih tidak
berganjak dari wajah Khuzairi.
“Pada
abang, cadangan kamu tu memang baik sangat dan abang rasa tak ada bantahan dari
mana-mana pihak kalau kamu benar-benar ingin laksanakannya. Elok jugalah kalau
kamu bangunkan kawasan itu pun. Daripada terbiar macam tu saja, elok sangatlah
kalau kita lakukan sesuatu yang boleh mendatangkan faedah pada semua.
Apapun,
abang ikut saja segala cadangan kamu. Yalah, abang pun bukannya tahu sangat bab
nak membina atau merancang perkara-perkara macam ni. Apa yang baik pada kamu,
baik jugaklah pada abang dan ayah,” ucap Khuzairi berterus-terang.
Isma
mengangguk laju.
“Kalau
macam tu, nanti saya jumpa ayah. Saya nak tanya sendiri sama ada dia setuju
atau tidak dengan cadangan saya ni,” sahutnya.
“Eloklah
kalau begitu Is. Kalau ayah setuju, kamu jalankan saja projek tu bila-bila masa
yang kamu suka pun. Kalau kamu perlukan apa-apa pertolongan, bagitahu sajalah
pada abang. Insya-ALLAH, abang akan tolong setakat mana yang abang mampu,”
sambut Khuzairi ikhlas.
“Oh
ya Is. Lupa abang nak tanya. Sepanjang kamu berada kat kampung tu, kamu tak
bersua dengan Damia ke?” soal Khuzairi baru teringat tentang perkara yang ingin
ditanyakannya sedari tadi.
“Damia?”
Isma mengerutkan kening. Berfikir sekejap.
“Oh,
maksud abang sepupu Kamilia tu ya?”
Anggukan
Khuzairi dibalas dengan gelengan Isma.
“Tak
pun bang. Kata nenek, dia dah balik masa saya sampai petang tu. Tak tahulah
kalau-kalau kami ada berselisih di tengah jalan tapi lama tak pernah tengok
muka, jadi tak bolehlah saya cam dia yang mana satu,” sahut Isma.
Bayangan
yang dilihatnya di tebing sungai beberapa hari lalu kembali menerpa masuk dalam
mindanya. Mengingatkannya pada beberapa persoalan yang masih tidak terjawab
sehingga ke hari ni. Persoalan yang berkaitan dengan keadaan misteri itu.
Menjadikan Isma termenung sejenak ketika ini. Sedikit ralit memikirkan tentang
perkara itu.
Tidak
sedar ada riak kecewa di wajah Khuzairi tatkala mendengar jawapannya. Kecewa
kerana hajat hati untuk mempertemukan kedua-dua insan itu tidak tercapai hingga
ke hari ini. Begitupun tidak terlalu ketara kelihatan riak itu memandangkan
Khuzairi bijak menyelitkannya di celah riak tenang.
“So,
apa yang kita nak buat sekarang?” Pertanyaan Khuzairi menyentak lamunan pendek
Isma. Pantas wajah tenang lelaki itu menjadi tempat matanya membuang pandangan.
Isma
tersenyum sedikit.
“Rasanya
tak ada apa-apa yang perlu kita buat sekarang bang. Lepas saya bagitahu perkara
ni pada ayah, barulah saya fikir apa yang patut dilakukan seterusnya. Apapun
saya akan cuba berjumpa dengan ayah dalam masa terdekat ni,” sambut Isma.
Sekali gus menghalau bayangan kenangan itu dari terus melingkari mindanya buat
seketika.
Apatah
lagi perbualannya dengan Khuzairi semakin rancak selepas itu. Bertukar dari
satu kisah ke satu kisah tanpa jemu. Menjadikan bayangan misteri di kepala Isma
semakin hilang dibawa waktu.
No comments:
Post a Comment