BAB 16
“Tolonglah Az, tolonglah faham dengan
keadaan saya sekarang. Cuma ini yang saya minta. Takkan awak tak boleh nak
tunaikan. Please Az,” rayu Nisa
sepenuh hati.
Wajah tunangnya yang kelihatan tegang
dipandang sayu. Sedih kerana permintaannya tidak dipedulikan.
Azfar mendengus kasar. Pandangan buah
hatinya dibalas dengan renungan tajam. Menebak dalam-dalam bola mata gadis itu.
Memperlihatkan rasa kurang senang dengan permintaan yang mustahil baginya untuk
dilakukannya itu.
“Apa masalahnya Nisa kalau awak duduk
rumah selepas kita kahwin pun? Awak tak perlu bersusah payah nak mencari duit.
Saya boleh bagi segala-galanya pada awak. Percuma tanpa sebarang bayaran.
Jangan katakan makan minum, awak nak ke planet mana pun saya mampu nak
tanggunglah,” balas Azfar geram.
Bukan ingin menunjuk kekayaan yang
dimiliki namun geram dengan tingkah gadis kesayangan yang ternyata tidak mahu
mendengar kata.
Nisa merengus lembut. Gundah hatinya
mendengarkan kata-kata lelaki itu.
“Saya tak mahu apa–apa dari awak Az.
Saya tak perlukan kekayaan awak untuk membahagiakan saya. Cuma ini yang saya
minta. Nak bekerja selepas kita berkahwin. Lagi pun apalah sangat yang boleh
saya lakukan di rumah banglo awak tu nanti. Semua kerja dalam rumah tu dah ada
orang yang membuatnya. Saya cuma cuci kaki saja masuk ke situ,” Nisa masih
berusaha memujuk.
“Sebab itulah saya nak awak duduk saja
kat rumah tu. Buat apa saja yang awak suka kat dalam tu. Kalau tak buat apa–apa
pun tak apa. Tak ada siapa yang nak marahkan awak,” sanggah Azfar cepat.
“Az, awak sendiri pun tahukan. Duduk
bergoyang kaki bukanlah sikap saya. Bosan saya dibuatnya nanti.
Sekurang-kurangnya masa saya terbuang pada perkara-perkara yang berfaedah kalau
saya bekerja. Bukan duit yang saya harapkan. Jauh sekali kekayaan tapi saya sekadar ingin mencapai
impian saya Az. Impian saya untuk bergelar seorang pereka yang berjaya
menghasilkan pelbagai rekaan yang unik dan lain dari yang lain.
Saya tak kisah andai nama saya tidak
gah dan terkenal seperti awak Az. Saya tak peduli dengan semua itu. Yang
penting, saya gembira dengan apa yang saya lakukan. Itu telah cukup
membanggakan diri saya sendiri Az. Itu saja,” rayunya lagi. Mengharapkan
pengertian dari lelaki itu.
Azfar melepas nafas. Matanya menjalar
ke wajah pujaan hatinya. Ada kesungguhan yang mencalari wajah manis itu.
Kesungguhan yang begitu mengharapkan jawapan positif darinya. Sekaligus
membuatkan Azfar kembali membuka mulut.
“Saya mengerti dengan cita-cita awak
tu Nisa. Saya cukup mengerti tapi terus terang saya katakan, saya tak mahu
menanggung sebarang risiko untuk membenarkan awak bekerja lagi selepas kita
berkahwin nanti. Saya tak mahu menerima sebarang masalah yang kita sendiri tak
jangkakan kejadiannya di masa depan semata-mata untuk mencapai impian awak tu.
Saya takkan dapat melakukannya Nisa. Dan saya tetap dengan keputusan saya.
Muktamad,” ucap Azfar begitu tegas.
Tajam matanya menyorot wajah yang
serta merta disimbah rasa kecewa yang mendalam sebaik saja mendengar
kata-katanya.
Nisa menarik nafas panjang. Sudah habis
ikhtiarnya memujuk lelaki itu yang ternyata begitu pejal hatinya. Tidak
tercalar barang sedikit walau diasak pelbagai kata.
Nisa terus menarik nafasnya. Lebih
panjang. Beberapa kali dia berbuat begitu. Mencari kekuatan untuk terus
bersuara. Wajah yang tertunduk lemah kembali diangkat. Menatap Azfar yang duduk
berpeluk tubuh di depannya.
“Az, kalau inilah saja keputusan yang
mampu awak lakukan, saya rasa lebih baik jika kita batalkan saja perkahwinan
kita,” ujar Nisa setenang mungkin.
Cuba menyembunyikan riak mukanya yang
jelas menampakkan rasa kecewa. Menyentak pandangan Azfar yang sedari tadi ralit
merenung wajah gadis impiannya.
“What?”
soal Azfar terkejut. Memandang tepat wajah Nisa yang menghembus nafas perlahan.
“Untuk apa lagi kita bersama Az kalau
kita tak pernah serasi bersama. Sejak dari dulu lagi Az, saya cuba untuk
mengikut rentak awak tapi sekarang saya sedar, saya tak mampu mengejarnya lagi.
Awak tak pernah memahami saya. Mungkin saya juga begitu. Dunia kita terlalu
berbeza Az. Hidup awak penuh dengan segalanya. Kemewahan, kemahsyuran. Tak
seperti hidup saya, jauh dari semua tu. Tapi saya bahagia dengan dunia saya
sendiri.”
Di alih pandangan matanya ke
sekeliling taman itu. Matanya jatuh pada sekumpulan kanak-kanak yang girang
bermain tidak jauh dari tempat mereka berada kini.
“Alangkah seronoknya jika aku berada
di dunia mereka. Tiada apa yang perlu difikirkan. Sentiasa riang tanpa sebarang
masalah.” Hatinya berbisik sendiri. Rasa sayu kembali menerpa.
Azfar menarik nafas panjang. Rasa
ingin tercabut tangkai hatinya mendengar kata-kata yang terluah dari mulut gadis
itu. Namun dia cuba mengawal perasaannya agar kembali bertenang.
“Come
onlah Nisa. Takkan hanya kerana hal ini awak nak putuskan hubungan kita
begitu saja. Bukan sehari dua kita bertunang Nisa. Dah lima tahun. Sebelum
bertunang pun kita dah lama kenal,” giliran Azfar memujuk bila dilihat Nisa
benar–benar serius dengan kata-katanya.
Tak mampu dia membayangkan setiap
detik yang dilalui dalam hidupnya tanpa kehadiran gadis itu. Gadis yang telah
lama menjajah hati lelakinya. Nauzubillah! Minta jauhlah dari semua itu
berlaku, hatinya berdoa.
“Kerana itulah saya nak kita putuskan
saja hubungan ini Az. Dah berpuluh tahun kita saling mengenali tapi itulah,
sekadar kenal sajalah. Awak tak dapat memahami saya dan saya pun tak dapat
memahami awak Az. Dan saya rasa sampai bila-bila pun kita takkan dapat memahami
antara satu sama lain,” ujar Nisa lirih seraya bangun dari duduknya.
Beg tangan yang sedari tadi berada di
ribaan di sangkut ke bahu. Sekaligus turut membangunkan tubuh Azfar yang
ternyata terkejut dengan tindakannya yang tiba-tiba itu.
“Cukuplah setakat ini saja hubungan
kita Az. Saya dah tak mampu nak meredahnya lagi,” suaranya lagi ingin berlalu
namun dihalang Azfar yang kini telah berdiri di depannya. Mendepakan kedua
belah tangannya.
“Look
Nisa, kita bincang dulu tentang hal ni okey. Masih ada jalannya untuk kita
selesaikan masalah ini.” Azfar bersuara selembut mungkin. Cuba memujuk. Menarik
tangan Nisa yang menolak lembut.
“Berapa lama lagi kita nak berbincang
Az sedangkan majlis perkahwinan kita semakin hampir. Berapa lama lagi masa yang
saya perlukan untuk melembutkan hati awak Az? Berapa lama lagi?” tanya Nisa
mula meninggikan suara semula.
Air mata yang ditahan sedari tadi
menitis jua. Namun dia tidak mengendahkannya. Hatinya terlalu luka untuk
menerima sebarang kata-kata lelaki itu lagi.
“Nisa please, jangan buat saya begini. Saya terlalu sayangkan awak Nisa.
Kerana itu saya lakukan semua ini. Semuanya demi awak. Please Nisa, kita bincang sekali lagi tentang perkara ni ya
sayang,” rayu Azfar sepenuh hati.
Disebak rambut kasarnya beberapa kali sementara
sebelah tangan lagi merentang laluan Nisa. Tidak mengizinkan gadis itu dari
pergi meninggalkannya. Fikirannya kusut serta merta. Terserlah di riak wajah
yang telah berubah sepenuhnya. Resah dan gundah mengambil tempat. Resah dengan
keadaan itu. Gundah andai sang gadis benar-benar serius dengan tindakan yang
tidak pernah dijangkakannya itu.
“Tak ada apa yang perlu kita
bincangkan lagi Az. Tak ada apa,” balas Nisa sedikit tegas.
Meninggalkan Azfar yang tidak keruan
melihat tingkahnya yang tergesa-gesa berlalu dari situ. Membawa bersama airmata
yang semakin berhamburan keluar bersama hati yang telah lama terguris luka.
“Nisa!” tanpa mempedulikan pandangan
sekeliling Azfar menjerit sekuat hati. Bengang dengan keadaan itu. Keliru
dengan apa yang terjadi.
“Nisa!!!”
Azfar menarik nafas panjang. Sehingga
kini dia masih tidak dapat melupakan semua itu. Tiga minggu sebelum mereka
perkahwinan mereka berlangsung, hanya itulah kali terakhir dia bertemu Nisa. Beberapa
hari kemudian dia dikhabarkan dengan kehilangan gadis itu yang lari
meninggalkan rumah setelah berlaku pertengkaran di antara Nisa dengan kedua
orang tuanya.
“Nisa,” keluh Azfar perlahan.
Betapa dia terlalu menyayangi gadis
pendiam namun murah dengan senyuman itu. Telah ramai gadis yang dikenalinya
namun hanya Nisa yang melekat di hatinya hingga kini. Sikap Nisa yang lemah
lembut, sopan santun dan mudah tersenyum itu benar–benar menambat hati
lelakinya. Dan kesederhanaan Nisa dalam semua perkara membuatkan dia tidak
pernah terfikir untuk mencari lain walau ramai gadis dan wanita yang datang
menyerah diri.
Dan ada sesuatu yang menarik
perhatiannya untuk menjadikan gadis itu sebagai suri hidupnya selama ini.
Sesuatu yang jarang terdapat dalam diri gadis lain di zaman ini. Nisa tidak
pernah mengambil kesempatan atas kekayaan dan kedudukannya sebagai seorang ahli
perniagaan muda yang berjaya untuk menawan hatinya. Jauh sekali menggunakan
kecantikan rupa paras dan kehalusan budi bahasa dalam menjerat sekeping hati milik
Azfar.
Nisa tidak pernah memilih tempat untuk
dia dan Azfar menjamu selera walau di gerai di tepi jalan asalkan kebersihannya
terjamin. Nisa tidak pernah merungut malah gemar menaiki kenderaan awam mahupun
berjalan kaki jika ingin ke mana-mana meski tempat yang dituju agak jauh. Menjadi
kebiasaannya berbuat begitu biarpun Nisa mempunyai kenderaan sendiri.
Nisa tak pernah lokek menghulur tenaga
pada sesiapa saja terutamanya pada warga tua. Gadis itu sanggup menghabiskan
masa lapangnya melakukan kerja-kerja sukarelawan di rumah-rumah orang tua tanpa
sebarang bayaran. Segalanya dilakukan dengan kerelaan hati tanpa mengharapkan
balasan jauh sekali untuk dikenang. Sememangnya Nisa adalah seorang gadis yang
lain dari yang lain. Jauh berbeza dari mana-mana gadis yang dikenali Azfar.
Jika kekayaan dan ketampanan seorang
lelaki yang menjadi impian setiap gadis dalam mencari seorang suami, Nisa tidak
sebegitu. Malah kekayaan dan kejayaan yang dimiliki Azfar membuatkan hubungan
mereka tidak berjalan sebagaimana hubungan pasangan kekasih lain.
Pertemuan antara mereka hanya berlaku
di tempat-tempat jarang menarik perhatian para wartawan. Itu pun jarang-jarang
terjadi. Nisa tidak selesa berdampingan dengan seorang lelaki yang bergaya dan
berjaya sepertinya. Kerana itu pertunangan mereka tidak dikhabarkan pada
sesiapa demi menjaga hati Nisa.
“Kenapa aku yang harus mengikut katamu
Nisa sedangkan kau sendiri tidak pernah ingin berada di sampingku?” Azfar
mengeluh lagi.
Rindunya pada gadis itu bukan sedikit.
Gambar–gambar kenangan mereka menjadi tempat untuknya menebar rindu setiap kali
bayangan gadis itu melintasi fikirannya.
Azfar akhirnya terus hanyut dalam
kenangannya bersama Nisa petang itu.
“Assalammualaikum, main apa tu? Boleh
akak join sekali?”
Teguran seseorang membuatkan Fadlan
dan Fakhira yang saling berkejaran di halaman rumah terhenti langkah seketika.
Memandang lama ke arah pintu pagar rumah yang telah dibuka dari arah luar.
Bulat mata mereka memandang seorang
gadis yang selamba melangkah masuk ke laman rumah. Pintu pagar yang terbuka luas
tanpa sebarang kunci memudahkan laluan gadis bertubuh kecil itu. Ada senyuman
lebar yang menghiasi bibirnya.
“Waalaikumussalam. Kakak ni cari
siapa?” soal Fakhira takut–takut.
Bimbang kiranya gadis yang tidak
dikenali itu berniat jahat pada mereka kedua beradik. Tubuh Fadlan yang masih
termengah kepenatan akibat berlarian sebentar tadi dipeluk erat.
“Kakak tak cari sesiapa. Cuma nak
berkenalan saja dengan adik berdua,” balas Dhia tersenyum panjang.
Dilabuh punggungnya di bangku batu di
laman rumah tanpa mengendahkan Fadlan dan Fakhira yang kaget dengan kelakuan
selambanya. Matanya melirik ke seluruh ruang laman yang kelihatan bersih dan
cantik.
“Mak kata jangan berkenalan dengan
orang yang kita tak kenal,” sahut Fadlan cepat.
Dia memandang sejenak Fakhira yang
mengangguk laju. Mengiyakan kata-kata itu.
“Hmm, betul kata mak adik tu. Anyway, nama akak Dhia. Akak tinggal kat
rumah depan tu. Nama adik?” soal Dhia ramah.
Matanya melorot ke kedua wajah yang
seiras bentuk wajah dan rupa itu.
“Rumah depan? Tapi rumah tu kepunyaan
Makcik Marini dengan Pakcik Mansur.” cepat saja Fadlan menyahut. Matanya masih
menikam wajah Dhia yang duduk bersantai seraya mengoyang kedua-dua belah
kakinya.
“Makcik Marini dengan pakcik Mansur tu
mak dan ayah saudara akak. Akak tinggal dengan dia orang,” balas Dhia masih
mengorak senyuman lebar.
“Fakhira, Fadlan, kamu berbual dengan
siapa tu?” suara Puan Wardah kedengaran dari dalam rumah sebelum sempat
keduanya membalas kata Dhia.
Tidak lama kemudian kelibat wanita itu
muncul di muka pintu rumah.
Dhia segera bangun. Mendapatkan Puan
Wardah yang sedikit tercengang dengan kehadiran orang yang tak dikenalinya. Ada
tanda tanya yang terlukis di wajah lembut penuh keibuan itu. Dhia tersenyum
seraya menghulur tangan. Bersalam.
“Apa khabar makcik? Saya Dhia, anak
saudara Makcik Marini. Dah seminggu lebih tinggal di sini,” ramah Dhia
bersuara. Memandang Puan Wardah yang segera mengangguk tersenyum.
“Oh, iya ke? Makcik baik-baik saja. Nama
makcik Wardah. Panggil saja Makcik Wardah. Maaflah, tak perasan pula makcik
yang anak saudara Puan Marini ada kat sini,” balasnya lembut.
Matanya menyorot ke wajah cerah
berseri milik Dhia. Jelas tergambar kegirangan di wajah bujur sirih itu.
Memberi ketenangan pada mata yang memandang.
“Saya ternampak budak–budak ni bermain
tadi. Itulah saya datang nak berkenalan,” sambut Dhia sopan memandang kedua
kembar yang kini berdiri tidak jauh darinya. Ada senyuman yang mulai terukir di
wajah keduanya.
Puan Wardah mengangguk lagi. Mereka
terus berbual di muka pintu rumah itu.
Perbualan mereka terhenti tatkala
sebuah kereta meluncur masuk ke laman rumah.
“Abang Han dah balik, Abang Han dah
balik!” jerit Fakhira dan Fadlan ceria.
Mereka segera menerpa mendapatkan
Farhan yang baru menapak keluar dari keretanya. Memeluk erat kedua adik sebelum
menghulur sesuatu pada kembar itu.
“Farhan, ini Dhia, anak saudara makcik
Marini. Dia baru seminggu tinggal kat sini,” ramah Puan Wardah bersuara sebaik
saja Farhan melalui tempat mereka berbual.
Tanpa memandang wajah gadis itu Farhan
hanya mengangguk sebelum berlalu masuk ke dalam rumah. Tidak peduli pada Dhia
yang ternyata sedikit terkedu dengan tingkah bersahaja lelaki itu.
“Dhia jangan kecil hati ya. Farhan tu
memang macam tu. Susah nak bertegur dengan orang yang tak dikenalinya.
Esok–esok bila dah kenal, ramahlah dia berbual.” Puan Wardah bersuara sebaik
saja Farhan berlalu ke tingkat atas.
Tidak mahu tetamu yang pertama kali
bertandang ke rumah berkecil hati dengan sikap anak sulungnya.
“Tak apa makcik, saya faham. Lagi pun
saya ni bukannya kisah sangat orangnya,” balas Dhia bersahaja.
Dia tersenyum kecil. Telinganya
menangkap perbualan Puan Wardah yang seterusnya sementara otaknya ligat
memikirkan sesuatu. Sesuatu yang dirasakannya mampu mengubah keadaan Farhan
sekeluarga. Dhia tersenyum lagi.
No comments:
Post a Comment