Followers

Saturday, 5 October 2013

BAB 10 - BERSATU DALAM CINTA


BAB 10

BUNYI ketukan di muka pintu menyentak Wafi yang berada di satu sudut bilik tidurnya. Segera dia berkalih wajah. Menatap Puan Ainun yang sudah menjenguk kepala di balik pintu.
“Ada apa mak?” Dengan berus lukisan masih di tangan dia bertanya lembut. Mata dia pula telah kembali melekat di kanvas di depannya.
“Ada orang nak jumpa dengan kamu kat bawah.” Kata-kata Puan Ainun membuat Wafi terus mengalih tubuh. Menghadap emaknya.
“Ada orang nak jumpa dengan Wafi? Siapa orang tu mak?” Agak terkejut bercampur hairan dia bertanya. Dahinya terus berkerut seribu.
“Adalah. Dia tunggu kamu kat bawah sekarang,” ujar Puan Ainun tidak berterus terang lalu terus menghilang dari situ.
Wafi berfikir seketika. Perlahan-lahan dia meletak semula berus lukisan ke tempatnya. Dia bergegas mencapai tudung di ampaian kayu sebelum lambat-lambat melangkah turun ke tingkat bawah. Langsung ke ruang tamu rumah. Menjenguk kepala ke arah tetamu yang segera mengukir senyuman lebar sebaik sahaja melihat kelibatnya. Dia terus bangun dari duduknya. Sedangkan Wafi hanya tersenyum sedikit.
“Maaflah kalau kedatangan saya ni mengganggu kakak.”
Wanita itu menghulur tangan sebaik sahaja Wafi menghampirinya. Wafi menyambut perlahan.
“Ya, ada apa awak nak jumpa saya?”
Dia turut melabuh punggungnya di sofa. Berdepan wanita itu yang kembali meletak punggung di tempatnya.
“Nama saya Riya Raihani, tapi panggil saja Riya. Saya anak Puan Fatimah dan Encik Rais, jiran sebelah rumah kakak ni.” Penuh sopan dia memperkenalkan diri.
Wafi hanya mengangguk. Tiada lagi senyuman di wajahnya ketika ini. Begitupun riak wajahnya jelas kelihatan tenang.
“Sebenarnya begini kak. Mak ada beritahu saya yang kakak bekerja sebagai pereka bentuk hiasan dalaman dari rumah. Kebetulan pulak sekarang ni saya tengah mencari pereka untuk mereka bentuk hiasan dalaman butik saya. Jadi saya terfikir nak mintak tolong dari kakak. Itupun kalau kakak tak keberatanlah.”
Tanpa membuang masa Riya terus memberitahu tujuan kedatangannya pagi itu. Wafi mengangguk faham.
“Boleh tu boleh dik tapi sebelum tu kakak kena tahu dulu konsep apa yang Riya nak buat supaya mudah untuk kakak lakarkannya nanti.” Ternyata dia berminat untuk menawar khidmatnya. Membuatkan senyuman Riya terus melebar.
“Tentang konsep tu terpulanglah pada kakak untuk mereka konsep apapun asalkan konsep yang kakak cadangkan tu sesuai dengan perniagaan yang saya jalankan di butik tu nanti.” Laju saja Riya memberi jawapan. Kepala Wafi mengangguk lagi.
“Kalau macam tu kakak kena pergi lihat dulu keadaan butik Riya tu. Dari situ baru kakak boleh tahu konsep apa yang paling sesuai untuk kita letakkan di situ nanti.” Tanpa sedar dia terus menguntum senyuman lebar. Manis sekali.
Suka benar dia bercakap dalam perkara yang menjadi minatnya sejak kecil. Tidak perasan Riya sudah terkaku.
Sedikit terpegun melihatkan senyuman indah gadis itu buat kali pertama. Begitu indah. Hingga menyerlahkan kecantikan asli milik Wafi sepenuhnya.
“Jadi bila Riya nak kakak mula buat lakaran tu?” tanya Wafi mula meramahkan diri.
Sikap yang hanya dipamerkan tatkala berbicara tentang topik yang menarik perhatian dan minatnya. Sekali gus menjadikan perbualannya dengan Riya semakin rancak kedengaran. Langsung dia tidak menyedari keadaan itu sedang diperhatikan Puan Ainun dari balik dinding dapur. Ada senyuman bahagia terlukis di raut wajahnya. Bahagia dengan apa yang dipandang sepasang mata tuanya ketika itu.

ALIA menghempas kuat gagang telefon di tangannya. Melepas geram sebenarnya pada alat perhubungan itu sekuat hati. Sekali gus mengejutkan Rina yang turut berada di bilik pejabatnya tengah hari itu.
“Kenapa puan? Ada yang tak kena ke?” Tergesa-gesa dia bertanya. Sedikit pelik dengan tingkah tiba-tiba wanita itu.
“Bukan ada yang tak kena Rina tapi banyak yang tak kena,” jerkah Alia sebelum merengus geram beberapa kali.
“Dasar buta kayu! Agaknya memang betullah dia letak otak lembab dia tu kat atas kepala lutut. Sebab tulah bodoh bangang sangat sampai tak boleh fikir langsung apa yang betul, apa yang salah. Memang mangkuk ayun betullah dia ni!” marah Alia terus melepas geram tanpa peduli pada keadaan sekeliling.
Mujurlah hanya dia dan Rina saja yang berada di biliknya ketika ini. Jika tidak pasti gelagatnya telah menarik perhatian semua pekerja syarikat terhadapnya.
Manakala setiausaha dia sudah melakar kerutan di dahi.
“Kenapa ni puan? Siapa yang puan maksudkan?” tanya Rina biarpun dia telah dapat mengagak gerangan manusia yang menjadi mangsa maki hamun ketuanya sekarang.
Alia merengus lagi. Lebih kesat.
“Huh, siapa lagi kalau bukan Ainul Hayat yang bodoh lagi bangang tulah!” tengkingnya benar-benar marah.
“Buat sakit hati saya saja telefon dia. Ingatkan kalau tak tengok muka bangang dia tu kurang sikitlah rasa meluat saya ni tapi rupanya tak! Lagi bengkak hati adalah! Eii, nasib baiklah dia tak ada kat depan mata saya sekarang. Kalau tidak dah lama saya ramas-ramas mulut kurang ajar dia tu. Biar tak ada mulut langsung! Apa guna ada mulut kalau tak reti nak bercakap elok-elok! Eii, geramnya!!!” Alia menjerit penuh marah. Dilepas satu tumbukan keras ke meja hingga bergegar seketika meja kayu itu dibuatnya.
“Apa sebenarnya yang dah berlaku ni puan? Apa yang telah Encik Ainul katakan pada puan masa puan telefon dia tadi?” Dalam hairan Rina bertanya semula.
Mengerti benar dengan sikap Alia yang mudah dirasuk marah. Namun cepat saja reda tak lama selepas itu. Sikap yang adakalanya merimaskan Rina kerana menjadi tugasnya pula memujuk wanita itu selepas itu. Wajah berang Alia ditatap lagi lama-lama. Meminta penjelasan.
“Awak tahu Rina, ada ke patut dia terus tolak usul saya supaya kami adakan perbincangan tu di pejabat saya saja? Dia kata saya ni pentingkan diri, tak pernah fikir perasaan orang lain dan paling buatkan saya geram, dia kata saya ni perasan bagus! Perasan sangat semua idea yang saya bagi untuk projek kerjasama tu bagus semuanya. Memang patutlah saya perasan bagus pun sebab saya memang bagus orangnya!
Bukan macam dia. Tahu bagi idea-idea yang tak masuk di akal aje. Bodohlah katakan, mana tahu nak bagi idea yang baik! Lagipun apa salahnya kalau buat perbincangan kat pejabat ni pun? Syarikat ayahnya tu pun dekat saja dari sini. Bukannya saya ajak buat kat kaki lima. Hei, memang bangang betul si Ainul tulah!” Dalam memaki bekas suaminya sempat lagi Alia memuji diri sendiri.
“Tapi Puan Alia, saya rasa ada betulnya jugak kata Encik Ainul tu. Nama pun projek kerjasama, jadi menjadi tanggungjawab kita untuk sama-sama menyumbangkan idea untuk projek tu. Bukannya hanya satu pihak saja yang memberi idea dan satu pihak lagi menjalankan kerja macam yang Puan Alia buat sekarang.” Lembut Rina memberi nasihat. Namun ternyata kata-katanya telah berjaya menimbunkan lagi keberangan wanita itu.
“Hah, betullah cara yang saya buat tu! Buat apa kita nak pakai idea dia yang tak ada otak waras tu? Sebagai wakil syarikat, saya ada hak untuk menyuruh dia mengikut arahan saya dan dia kena patuhinya sama ada dia suka ataupun tidak! Ini tidak, suka hati dia saja nak kata semua idea saya untuk projek tu tak masuk akal.
Macamlah idea yang dia bagi tu baik sangat. Memanglah Ainul ni, nak cari penyakit dengan aku. Nantilah kau, kalau aku jumpa kau esok lusa tahulah aku macam mana nak ajar lelaki bangang macam kau tu Ainul.” Sambil mengetap bibir Alia meluah rasa penuh geram. Diramas kertas-kertas kosong di depannya sekuat hati sambil membayangkan dia sedang meramas tubuh badan Ainul ketika ini.
Manakala Rina yang melihat gelagatnya menepuk dahi perlahan.
“Tapi Puan Alia, saya fikir bukankah lebih baik kalau kita bincang perkara ni baik-baik dengan pihak Encik Ainul? Rasanya tak perlulah kita bergaduh dengan dia pulak.” Lambat-lambat lagi lembut Rina meluah kata. Ingin memujuk sebenarnya tapi tak menjadi malah meningkatkan lagi suhu kemarahan wanita itu. Hampir tercabut jantungnya bila Alia pantas menepuk meja buat kali kedua. Begitu kuat seraya membalas tajam pandangannya.
“Mana boleh! Nak bawa bincang ke bendanya kalau perangai dia tu tak serupa dengan orang lain? Hidup pun hanya tahu menyusahkan orang aje! Orang bangang macam dia tu hanya boleh diberi penyepak dua tiga kali. Itu aje caranya nak betulkan semula otak bodohnya tu. Kalau tidak mana dia nak tak reti bahasa kalau kita cakap baik-baik,” marah Alia lagi. Penuh menyinga.
Kertas di depannya diramas-ramas lagi. Lebih kuat dari tadi.
“Habis tu kita nak buat apa sekarang?”
Rina sudah malas memanjangkan perbualan mereka berkenaan perkara itu. Faham benar dia dengan sikap Alia. Pantang dilayan cakapnya tentang Ainul, mahu berbakul juga sumpah seranah akan terkeluar dari mulutnya buat bekas suaminya itu. Dan pertanyaannya telah berjaya meredakan kemarahan wanita itu walaupun sedikit.
Alia terdiam sejenak sebelum bersuara semula tak lama selepas itu.
“Buat masa sekarang, kita tak payah fikir lagi pasal projek ni. Selesaikan dulu mana-mana projek yang lebih penting. Esok-esok kalau Encik Ainul telefon awak bagitahu dia, saya nak perjumpaan kali ni dibuat di syarikat ni dan bukannya kat mana-mana tempat lain. Keputusan ini adalah muktamad dan saya takkan mengubahnya biar apapun yang terjadi. Awak faham?” soalnya penuh tegas.
Sengaja menjegil mata pada Rina yang lekas-lekas mengangguk. Malas menyahut kata-kata wanita yang masih disalut rasa marah itu ketika ini. Alia tersenyum senang.
“Awak boleh sambung kerja awak Rina. Tolong tinggalkan saya sekarang. Sebelum tu awak jangan benarkan sesiapa pun mengganggu saya sepanjang hari ni ya. Mood saya dah hilang sepenuhnya. Sebelum saya hanguskan orang dengan semburan marah saya ni, lebih baik kalau awak dulu yang halang dia orang dari berjumpa dengan saya,” arahnya lagi. Lembut pula kali ini.
Rina hanya terus mengangguk seraya tersenyum kecil.
Sedikit tercuit dengan seloroh Alia yang kelihatan semakin tenang kini. Segera dia meminta diri dan berlalu dari situ beberapa ketika kemudian.
Alia pula kembali mengepal kertas-kertas di depannya sebelum dihumban keras ke dalam bakul sampah di tepi meja.
“Bodoh betul Ainul ni. Buat sakit hati aku aje cakap dengan orang bangang macam kau. Dasar manusia bodoh bangang!” makinya semula. Marahnya masih berbaki pada Ainul ketika ini.

“KAU orang sihat?” tanya Isma sebaik sahaja melabuh punggung di kerusi.
Dia yang baru tiba di gerai itu meligas mata pada kedua-dua sahabat baiknya yang terlebih dulu berada di situ. Gerai yang menjadi tempat kegemaran mereka bertiga membuang masa sewaktu sama-sama bergelar teruna suatu ketika dulu.
“Alhamdulillah, aku sihat macam biasa aje Is tapi tak tahulah macam mana pulak keadaan diri sahabat kita yang seorang ni. Semacam aje aku tengok air mukanya tu. Masam mengalahkan jeruk buah,” sahut Faris selamba seraya mengerling Ainul di depannya.
Sambil itu tangannya menyorong segelas minuman yang telah dipesannya pada Isma. Isma menyambut segera sedang mata telah berada di wajah Ainul.
“Apa yang tak kena dengan kau ni Ainul? Tegang semacam aje muka handsome kau tu. Kau baru lepas bergaduh dengan siapa?” Sambil mencicip minumannya Isma bertanya. Ingin tahu seperti Faris juga. Ainul terus merengus kesat.
“Dengan siapa lagi aku nak bergaduh dalam dunia ni kalau bukan dengan perempuan yang perasan bagus tulah. Dia ingat dia seorang saja yang ada otak, orang lain tak ada? Suka hati aje nak bagi aku macam-macam arahan. Ingat aku ni apa? Kuli batak dia? Boleh jalanlah!” semburnya penuh geram. Langsung tak peduli pada keadaan sekeliling gerai yang sedikit lengang dari kunjungan pelanggan petang itu.
“Maksud kau Alia?” Pertanyaan Faris dibalas anggukan pantas Ainul.
“Apa pulak janda kau tu dah buat kat kau?” Dia menyoal lagi.
“Huh, tak payahlah kau tahu apa yang dia dah buat pada aku Ris tapi apa yang aku tahu sekarang, aku dah tak sanggup untuk terus bekerjasama dengan perempuan tak guna tu. Sebelum aku rebus dia jadi sup manusia, lebih afdal rasanya kalau aku serah balik projek tu pada ayah aku.” Sedikit keras Ainul menyahut.
Sedang hidangan pesanan mereka hanya dijeling dengan ekor mata. Seleranya hilang seketika apabila nama Alia dibangkitkan.
“Tapi kalau iya pun kau bagitahulah kami apa yang dia dah buat pada kau. At least hilanglah sikit tekanan kau tu.” Dengan mata yang masih melekat di wajah tegang itu Isma bersuara semula. Seakan memujuk.
Ainul melepas nafas perlahan. Cuba membuang rasa amarah yang begitu mudah merasuk hati dan mindanya setiap kali ingatannya terhadap Alia bertandang. Perlahan-lahan suaranya diluah semula.
“Macam mana aku nak kerja dengan dia Is kalau kami asyik bertekak aje. Tak kiralah dalam telefon ke, bersua muka ke, sama aje keadaannya. Dah berkali-kali tapi sampai sekarang kami masih belum capai kata sepakat pasal projek tu walhal masa yang diberi ayah kita orang semakin suntuk.
Aku nak buat begitu, dia nak buat begini. Aku suruh buat macam tu, dia buat macam ni. Cadangan aku langsung dia tak mahu dengar. Semua nak ikut kepala batu dia tu aje. Siap dia bagi aku warning supaya aku ikut semua arahannya pula. Walhal aku pun ada hak nak buat macam tu. Sekali-sekala bolehlah aku beralah tapi kalau dah selalu, mahu panas hati jugak aku dibuatnya.” Panjang lebar Ainul melepas segala rasa yang terbuku di hati. Penuh perasaan.
“Alah, tak payah kata Alia, kau tu pun apa kurangnya. Sama aje sebenarnya perangai kau orang berdua tu. Bukannya aku tak tahu. Baik kau mahupun Alia, sama aje keras kepalanya, langsung tak mahu mengalah. Ego tak payah katalah. Tinggi mengalahkan bangunan berkembar Petronas depan kita ni ha. Itu yang jadi begitu tu.” Selamba saja Faris menempelak.
Dia hanya buat-buat tak nampak bila Ainul pantas menjelingnya. Penuh tajam.
“Betul cakap Ris tu Ainul. Patutnya sebagai lelaki, kau beralah ajelah dengan Alia tu. Mungkin tindakan yang dia buat tu salah tapi kau pun tak betul sepenuhnya. Kalau iya pun kau tak suka dengan caranya tu, tegurlah secara baik. Kalau dia tinggikan suara, kau rendahkan nada. Kalau dia berapi, kau diam ajelah.
Ini tidak, kau tiupkan lagi apinya tu. Mahunya tak marak. Bila dah jadi begitu, kau orang berdua jugak yang sama-sama rentungkan? Kalau macam tu jangan kata bulan depan, tahun depan pun belum tentu projek ayah kau orang tu boleh siap,” sokong Isma bersama selitan nasihat.
“Itu aku tahulah Is tapi masalahnya makin aku diam, makin menjadi pulak mulutnya tu nak mengata aku. Pantang ada peluang, sesedap cita rasa dia aje nak mengutuk aku. Kalau hati aku ni ketul batu yang tak ada perasaan, bolehlah aku biarkan tapi hati aku ni ada perasaan manusia beb, mana boleh biar orang maki hamun aku macam tu aje.” Ternyata Ainul sendiri tidak mahu mengalah dengan sikap yang ditunjukkan oleh bekas isterinya.
“Huh, kalau begitu punya gaya sikap kau orang, aku rasa mahu sampai kiamatlah kau orang berdua tak berdamai. Sorang cakap begini, sorang lagi cakap begitu. Apa nak jadi dengan kau orang berdua di belakang hari pun tak tahulah.”
Suara Faris pula penuh kesal.
Kesal dengan sikap Ainul dan Alia yang telah dikenalinya sejak di universiti lagi itu. Sambil itu matanya memandang Ainul yang kelihatan sedikit tenang ketika ini setelah separuh isi hatinya diluahkan. Lambat-lambat lelaki itu menyebak rambut berseleraknya.
“Ikutkan hati marah aku ni, nak saja aku tampar kepala si Alia tu berulang kali. Biar berjalan sikit otak sengalnya tu. Taklah hidup menyusahkan orang lain aje,” marah Ainul namun kali ini dalam nada yang lebih lembut.
Faris yang mendengar kata-katanya terus menggeleng.
“Tak faham betul aku dengan perangai kau orang berdua ni. Masa kau orang bercinta dulu, bukan main nak rak lagi. Nak berpisah sekejap pun tak sanggup. Ke hulu ke hilir berdua aje. Pantang berpisah walau sehari, termenung mengalahkan orang yang dah hilang segala harta benda.
Tapi bila dah bercerai, jangan kata nak bersembang, nak bersua muka pun tak boleh. Angin aje satu badan. Asyik nak bercakar aje tak kira masa atau tempat sampai aku yang tengok ni pun naik pening melihat perangai kau orang.” Kepala Faris menggeleng lagi.
Isma yang melihat tingkah lelaki itu terus saja menyampuk kata.
“Kau ni Ris, macamlah tak faham. Masa bercinta semuanya memang nampak indah. Serba-serbinya berwarna-warni aje. Lopak air lecak pun nampak macam lautan biru yang memukau pandangan. Tapi bila dah benci, tak payah kata muka, dengar suara pun rasa macam nak muntah aje. Punyalah jijik,” seloroh Isma mengundang tawanya sendiri dan tawa Faris juga.
Manakala Ainul yang mendengar kata-kata itu hanya merengus geram. Bengang dengan usikan kedua-dua sahabat baiknya. Begitupun tiada rasa marah yang timbul di hatinya buat kedua lelaki itu lantaran dia telah biasa dengan sikap kedua mereka. Gemar bercanda kata sesama mereka. Namun kedua-duanya sering kali menjadi tempat pertama untuk dia berkongsi suka duka kehidupan selama ini.
“Is, kenapa kau tak kahwin semula lepas pemergian arwah Kamilia?” Faris melontar soalan setelah beberapa ketika mereka terdiam kata. Menjadikan Isma yang sedang mengunyah makanannya terhenti seketika. Dia melepas nafas perlahan.
“Bukan aku tak nak kahwin semula lepas dia pergi Ris tapi aku masih tak dapat lupakan dia. Ke mana saja aku pergi, aku tetap melihat dia bersama aku. Walaupun kami tak pernah bercinta sebelum kahwin tapi pada aku Kamilia adalah cinta pertama dan terakhir aku.
Sampai ke hari ini aku masih tak dapat lupakan semua kenangan yang pernah kami lalui bersama. Sebab tulah aku tak boleh terima orang lain lagi dalam hidup aku selepas dia pergi.” Dalam tenang dia menyambung suapannya.
“Tapi aku tak fikir arwah Kamilia gembira dengan tindakan kau ni Is. Aku rasa, kalaulah dia lihat keadaan kau sekarang, pasti dia sedih sebab kau habiskan masa hidup kau dengan mengingati kenangan-kenangan yang tak mungkin kau dapat ulang semula. Semua tu dah berlalu Is.
Sepatutnya kau kena fikir tentang diri kau, masa depan kau. Sedalam mana pun cinta kau terhadap arwah Kamilia, kau kena ingat. Dah menjadi ketentuan ALLAH, jodoh kau dan dia hanya setakat itu. Kau perlu mencari penggantinya biarpun belum tentu kau boleh terimanya dengan hati yang rela.” Lembut Faris meluah nasihat bersalut simpati.
Simpati dengan penderitaan yang ditanggung oleh lelaki itu selepas pemergian arwah isteri kesayangannya. Walaupun dia tidak pernah melaluinya. Namun dia mengerti dan turut merasai keadaan itu biarpun tidak sepenuhnya. Segalanya jelas terserlah dalam laluan kehidupan Isma yang dapat dilihatnya selama ini.
“Tapi pengganti tu takkan sama seperti mana dia Ris,” sambut Isma cepat. Ternyata dia tidak dapat menerima kata-kata lelaki itu.
“Itu betul tapi kau kena ingat. Mana ada manusia yang sama dalam dunia ni? Sedangkan pasangan kembar pun ada perbezaannya, inikan pulak kita. Sama ada kau suka atau tidak, kau tetap kena terima ketentuan ni. Jodoh kau dengan arwah Kamilia hanya sampai di sini saja.
Tak kisahlah siapa pun penggantinya tapi yang penting dia boleh terima diri kau seadanya. Mana tahu, ALLAH telah sediakan jodoh yang lebih baik untuk kau buat kali kedua. Jadi kenapa kau tak gunakan peluang ni untuk mencari jodoh kau tu?” sampuk Ainul pula.
Dia turut berminat dengan isi bicara yang galak dibahas mereka ketika ini. Hingga terlupa sejenak dia pada rasa marahnya terhadap Alia.
Isma terdiam sekejap sebelum perlahan dia membalas. Penuh lemah.
“Entahlah, aku sendiri pun sebenarnya sedar yang segala tindakan aku ni salah dan tak sepatutnya aku lakukan tapi apa daya aku. Aku terlalu cintakan Kamilia hingga payah untuk aku buka hati aku untuk perempuan lain. Bukan aku tak cuba malah sampai ke waktu ni aku masih berusaha melakukannya tapi aku tetap tak dapat buat apa-apa. Sebab semua ini berlaku atas dasar rasa hati aku sendiri. Senang kata, aku memang tak mampu nak terima orang lain dalam hidup aku buat masa sekarang.
Di masa depan, tak tahulah macam mana pulak keadaannya. Sama ada aku mampu terima orang lain atau tidak, hanya masa yang akan tentukannya. Apapun, aku serah semuanya pada ALLAH. Hanya DIA yang lebih tahu apa yang terbaik untuk aku dan segala takdir yang telah DIA suratkan dalam hidup aku akan aku terima sebaiknya,” balas Isma yakin dengan kata-kata sendiri. Lantas memandang kedua-dua sahabatnya yang terus mengangguk. Bersetuju dengan kata-katanya.
“Kau pulak Ainul, kenapa tak kahwin lain lepas kau bercerai dengan Alia? Setahu aku, dah lapan tahun kau orang berdua bercerai tapi sampai sekarang kau ataupun dia, sama-sama tak mencari pengganti walhal peluang tu terbuka luas. Kenapa?” Faris mengalih soalan pada Ainul pula.
Entah mengapa dia berminat untuk mengorek keluar rahsia hati sahabat-sahabatnya ketika ini. Matanya dibenam lama pada wajah Ainul. Lelaki itu melepas nafas pendek.
“Kahwin...” Ainul menggigit bibir sambil berfikir sekejap.
“Sebut tentang kahwin, rasa macam nak saja aku kahwin sekali lagi. Yalah, mana tahu dengan perkahwinan kedua ni aku boleh dapat ketenangan dan zuriat penyambung keturunan aku. Tapi bila aku fikir tentang peritnya nak menjaga perkahwinan tu buatkan aku rasa kalau aku tak kahwin sampai bila-bila pun aku takkan rugi apa-apa. Aku bukan tak mahu kahwin lagi Ris, tapi rasanya aku belum bersedia lagi untuk berkahwin semula.
Perkahwinan pertama aku banyak mengajar aku tentang erti perkahwinan yang sebenarnya. Tentang tanggungjawab kita sebagai suami, peranan kita sebagai ketua keluarga dan macam-macam lagi. Lagipun aku seriklah nak berkahwin balik. Aku takut kalau-kalau perkahwinan kedua aku ni pun akan mengalami nasib yang sama macam yang pertama.
Buat kenduri gah bagai anak raja yang kahwin tapi bertahannya cuma setahun. Dibuatnya isteri aku yang kedua ni pun perangainya lebih kurang sama aje dengan yang pertama, mahu porak-peranda jadinya hidup aku. Entah-entah lebih teruk dari tu. Daripada aku lingkupkan hidup aku sendiri baik aku hidup sendiri macam sekarang. Hati tak sakit, duit pun tak habis, kepala pun tak pening nak fikir macam-macam masalah,” sahutnya panjang lebar.
“Maknanya kau takkan kahwin lagilah selepas ni?”
Ainul terkedu dengan pertanyaan spontan Isma itu. Dihela nafasnya semula.
“Tentang itu aku tak tahu nak kata apa Is. Macam kau jugaklah, aku sendiri pun tak tahu apa yang telah tertulis dalam takdir hidup aku. Kalau ditakdirkan aku akan berkahwin semula di masa depan, aku akan terima jodoh aku tu seadanya dia.
Tapi kalau aku ditakdirkan berseorangan begini sampai ke akhir hayat, aku tetap akan terima jugak dengan hati yang redha. Apapun segalanya terpulang pada ALLAH sebab macam kau kata, hanya DIA yang lebih tahu apa yang terbaik untuk kita.” Dia membalas tenang.
“Ainul, kalaulah kau ditakdirkan untuk berkahwin semula dengan Alia, kau terima tak?” Pertanyaan tiba-tiba Faris itu menjadikan Ainul kaku semula. Lama dia mengunci mulut sebelum lambat-lambat menjawab.
“Kalau itu kehendak ALLAH, terima atau tidak, aku tetap kena terima bukan? Kalau aku tolak, bermakna aku tak terima ketentuan-NYA. Jadi mahu atau tidak, aku akan cuba menerimanya walaupun sukar. Sama ada aku akan bahagia atau derita selepas itu, hanya DIA yang tahu tentang itu.” Suaranya sedikit teragak-agak. Cuba membayangkan rasa hati yang selama ini disimpan rapi biarpun tidak sepenuhnya.
“Bahagia atau tidak, bukan ALLAH yang akan berikan pada kita tapi kita sendiri yang perlu mencarinya. DIA tentukan segalanya buat kita tapi kita yang perlu memastikan segalanya berada dalam keadaan yang kita mahukan. Macam tu juga hubungan kau dan Alia. ALLAH dah tentukan kau dan dia berjodoh tapi sama ada kau dan dia dapat bersama selamanya, hanya kau orang saja yang tentukan.
Kalau kau orang inginkan kebahagiaan, kau orang perlu pastikan rumah tangga kau orang berada dalam keadaan sepatutnya. Jika tidak, perkara sebaliknya yang akan berlaku sebagaimana sekarang. Kedua-dua kau orang tak salah bila semua ni berlaku tapi langkah yang kau orang ambil tu yang tak betul sebenarnya.
Tapi semuanya boleh diselamatkan lagi andai kau orang berdua mahu membetulkan kesilapan masing-masing. Apapun semuanya dah berlaku. Tak guna kau orang bertekak lagi atas perkara yang tak mendatangkan faedah pada kedua-dua belah pihak. Hanya boleh menyakitkan hati dan menambahkan lagi perasaan dendam sesama sendiri.
Cara terbaik, lupakan apa yang telah berlaku dan jalanilah kehidupan ini sebaiknya. Malah lebih baik dari yang lepas supaya kesilapan pertama takkan berulang lagi buat kali kedua di masa depan.” Lancar saja mulut Faris memberi nasihat. Seolah-olah dia adalah perunding psikologi keluarga dan Ainul sedang menghadiri sesi kaunseling dengannya ketika ini.
Ainul sudah tertegun dengan kata-kata lelaki itu. Terkesima dengan kata-kata yang dirasakan mengena tepat pada dirinya. Dia tersentak kecil tatkala Isma pantas menyampuk kata selepas itu.
“Amboi kau ni Ris, bercakap macamlah dah ada pengalaman dalam perkahwinan sebelum ni walhal sampai sekarang masih seorang diri. Bukan main lagi memberi nasihat pada kita orang,” usiknya seraya tertawa kecil.
Faris juga begitu. Turut meluah tawa kecilnya.
“Aku bukannya apa Is, semua kata-kata aku tu datangnya dari pengamatan aku terhadap perjalanan hidup kau dan Ainul selama ini. Melihat kehidupan kau orang berdua membuatkan aku sedar. Sebagai manusia, kita telah diberi jalan hidup sebaiknya oleh ALLAH dan tugas kita hanyalah mengikut jalan itu betul-betul agar tidak tergelincir dari arah yang tidak sepatutnya.
Di sepanjang jalan itu pula kita akan diuji dengan pelbagai cabaran dan dugaan yang adakalanya membuatkan kita rasa kesal dan marah. Hingga akhirnya tanpa sedar kita telah terpesong dari jalan sebenar. Tapi bagi mereka yang sabar dan tabah dengan semua ujian tu, pastinya akan menjadi manusia yang paling gembira di penghujung jalan sebab mereka telah temui sesuatu yang kita semua cari selama ni iaitu kebahagiaan di dunia dan jugak akhirat.” Suaranya penuh dengan makna mendalam.
Isma dan Ainul sudah mengangguk-angguk. Bersetuju dengan kata-kata lelaki itu.
“Aku rasa macam duduk dalam dewan kuliah saja bila dengar kau cakap macam tu Ris. Teringat aku zaman kita di universiti dulu. Macam tulah gayanya para pensyarah kita memberi nasihat sambil mengajar kita semua,” gurau Ainul sekali gus membuahkan tawa mereka bertiga.

Actually, kata-kata aku tadi tu pun aku cedok dari kata-kata pensyarah kita jugak. Sekadar mengulangi apa yang dia orang bagitahu kita dulu. Itupun setakat mana yang aku ingatlah. Lain-lain kata tu aku main hentam cakap aje.” Kata-kata Faris menambahkan lagi ledakan tawa mereka petang itu. 

No comments:

Post a Comment