Followers

Saturday, 5 October 2013

BAB 4 - BERSATU DALAM CINTA

BAB 4

PERLAHAN sepasang kakinya memijak anak-anak tangga batu rumah hingga langsung tidak kedengaran sebarang bunyi. Dia menapak menuju ke tingkat bawah. Terus ke ruang tamu. Dia tersenyum sedikit tatkala matanya terpandang emaknya ralit menonton televisyen ketika ini.
“Hah Wafi, marilah duduk sekali,” ajak Puan Ainun sebaik sahaja terpandang anak gadisnya di penghujung tangga. Kusyen di sisinya ditepuk lembut.
Gadis itu hanya mengangguk sebelum melabuhkan punggung di sofa. Berdepan Puan Ainun.
“Kamu dah Solat Isyak Wafi?” tanya Encik Musaid baru melangkah keluar dari bilik bacaan di sudut rumah. Matanya memandang sekejap gadis itu yang mengangguk buat kali kedua.
“Dah ayah,” jawab Wafi lembut sebelum kembali menatap televisyen di depannya.
Suasana sunyi seketika sebelum Encik Musaid melantun suara semula tidak lama kemudian.
“Wafi, boleh ayah tanya sesuatu?” Mata lelaki itu kembali mencari wajah gadis itu.
Wafi tersentak. Dari skrin televisyen dialih matanya ke arah si ayah yang telah lama melabuhkan punggung tidak jauh darinya.
“Ayah nak tanya apa?”
“Apa perancangan Wafi sekarang?”
“Perancangan macam mana maksud ayah?”
Dia tidak begitu pasti dengan pertanyaan lelaki itu. Lama matanya memandang si ayah. Menanti jawapan.
“Maksud ayah, Wafi tak nak ke bekerja kat mana-mana syarikat? Wafi kan ada ijazah dalam bidang rekaan dalaman. Kalau Wafi mahu, ayah boleh tolong carikan syarikat terbaik untuk Wafi bekerja nanti,” jelas Encik Musaid begitu lembut dan tenang.
Tidak mahu pertanyaannya menggores hati anak yang telah diketahui sifatnya sedari dulu. Begitu sensitif dan mudah terluka.
Wafi pula sudah tertunduk. Sedang jari-jemari kaki sudah menguis-nguis hujung permaidani.
“Buat masa ni Wafi belum terfikir nak kerja kat mana-mana lagi ayah. Rasanya Wafi lebih selesa berada di rumah saja. Selama ni pun Wafi bekerja dari rumah saja. Lain pulak rasanya kalau tiba-tiba Wafi bekerja kat luar. Lagipun Wafi tak biasa dengan keadaan kat luar tu,” sahutnya lambat-lambat.
Menyusun kata satu per satu agar keinginan hatinya difahami semua. Ditunduk kepalanya lagi usai bersuara. Tak sanggup rasanya dia menatap wajah kecewa lelaki itu biarpun tiada rasa itu terpamer di riak tuanya ketika ini.
Encik Musaid melepas nafas panjang. Jawapan si anak ternyata menimbulkan rasa kecewa di hatinya sekalipun rasa itu tidak tercarik di wajahnya. Kecewa memikirkan keadaan Wafi yang ternyata masih berkeadaan sama sepertimana dulu. Tidak mahu bergaul apatah lagi meneroka dunia luar yang telah lama ditinggalkannya.
Gadis itu masih tegar berada di dunianya sendiri. Dunia yang hanya membawa kemusnahan buat dirinya di mata semua. Begitupun Encik Musaid sedar. Bukan menjadi haknya memaksa gadis itu mengikut kehendaknya dan Puan Ainun.
Encik Musaid membuka mulut lagi setelah berfikir beberapa detik.
“Kalau begitu terpulanglah pada Wafi sama ada Wafi nak kerja dari rumah atau di luar. Baik ayah ataupun mak, kami sama-sama tak kisah. Asalkan Wafi gembira dengan keadaan tu, kami terima saja.”
Ternyata dia mengambil tindakan beralah dengan keputusan gadis itu. Tenang saja dia membalas senyuman Wafi tatkala pandangan mereka bercantum. Biarpun hanya sekali-sekala dia dan isteri dapat melihat senyuman itu namun telah cukup menjadi ubat buat mententeramkan hati tua mereka.
“Betul tu Wafi. Mak dan ayah takkan paksa Wafi untuk buat apa yang Wafi tak suka. Semuanya terpulang pada Wafi sendiri. Mak ayah ikut saja apa yang Wafi rasa terbaik untuk kebaikan diri Wafi sendiri,” sampuk Puan Ainun pula.
Turut beralun dalam nada lembut biarpun jelas terpancar riak kecewa di wajahnya sebagaimana yang ada di hati suaminya. Sedaya-upaya kedua-duanya cuba menyembunyikan rasa itu di balik senyuman manis masing-masing. Tidak mahu menyinggung hati dan perasaan gadis yang sedia difahami sikapnya itu. Terlalu mudah jatuh leraian air matanya.
“Terima kasih mak, ayah.”
Hanya itu yang terluah dari celah mulut Wafi sebelum gadis itu kembali memacak pandangan ke televisyen. Tekun menelaah rancangan televisyen di depannya tanpa menyedari kedua-dua orang tuanya masih berbalas pandangan. Kedua-duanya sama-sama melepas nafas panjang selepas itu. Rasa sebal menguasai hati mereka kala ini.

MATAHARI hampir menenggelamkan diri tatkala dia tiba di rumah petang itu. Segera dimatikan enjin kereta sebaik memarkir keretanya di depan rumah. Dia terus menapak ke dalam rumah selepas keretanya dikunci. Namun langkahnya terhenti sebaik sahaja terdengar namanya dipanggil seseorang.
Pantas dia menoleh. Memandang dua batang tubuh yang masih berada di bangku batu di halaman rumah ketika itu. Pantas dia menyertai mereka.
“Baru balik Ainul?” tegur Wardina lembut.
Ainul mengangguk kecil.
“Kak Long dan Along buat apa kat sini?” soal Ainul, terus melabuhkan punggungnya di sisi Ammar.
“Buat apa, bersantai ajelah. Yang kamu ni, dah petang begini baru balik. Kamu dari mana?” soal Ammar menatap seketika wajah lesu adik bongsunya.
“Dari mana lagi Along kalau bukan dari pejabatlah. Banyak lagi kerja orang yang belum siap. Itulah yang lewat sikit orang balik hari ni.” Lemah dia memberi jawapan.
Sambil itu, jari-jemarinya melonggarkan ikatan tali lehernya. Rimas dengan keadaan itu.
Ammar mencebik sedikit.
“Iyalah tu kamu. Banyak kerja kat pejabat konon. Macamlah Along tak tahu perangai kamu yang gila bekerja tu. Kerja kamu tu taklah sebanyak kerja Along tapi saja aje kamu nak ada-adakan kerja supaya kamu tak payah balik awal ke rumah. Jadi tak adalah kamu dapat dengar leteran mak selalu.” Suaranya sedikit menyindir si adik yang cukup difahami tingkahnya.
Ainul hanya tersengih.
“Along, orang tanya sesuatu boleh?” soal Ainul tiba-tiba.
Biarpun usianya sudahpun mencecah awal 30-an namun Ainul tetap membahasakan dirinya dengan panggilan ‘orang’ iaitu panggilan yang sejak kecil digunakannya setiap kali berbicara dengan seluruh ahli keluarganya. Wajah tenang Ammar dipandang seketika.
“Apanya?” tanya abangnya, sudah menjongket kening.
“Kenapa ayah bagi projek dia dengan Ayah Zali pada orang?” soal Ainul terus mengaju soalan yang sudah beberapa hari bermain dalam kepalanya.
Ammar pula sudah mengerut dahi.
“Projek ayah dengan Ayah Zali? Projek apa pulak tu?” soal Ammar bernada terkejut. Benar-benar tak mengerti dengan soalan adiknya itu.
“Projek apa lagi kalau bukan projek kerjasama antara syarikat ayah dengan syarikat Ayah Zali tulah.” Dalam bersuara sempat pula Ainul merengus halus.
“Eh, ayah ada buat projek dengan Ayah Zali ke? Along tak tahu pun pasal tu.” Agak bersungguh-sungguh bercampur terpinga-pinga Ammar menjawab. Sedang Ainul terus saja menggaru-garu kepala. Sedikit bingung melihat reaksi tak dijangka dari lelaki itu.
“Bila masanya ayah bagi projek tu kat kamu?” soal Ammar ingin tahu.
“Baru aje dalam seminggu dua ni. Tapi tulah, kalau boleh orang tak mahu handle projek tu. Jauh sekalilah nak siapkannya.” Kali ni Ainul mengeluh pula.
“Lah, kenapa pulak? Apa salahnya kalau kamu handle projek tu pun? Kalau kamu terfikir nak mintak tolong Along untuk ambil alih, Along mintak maaf banyak-banyak ya dik. Along sendiri pun sibuk dengan projek-projek lain,” ujar Ammar pantas menolak tanpa sempat Ainul menerangkannya dengan lebih lanjut.
“Along ni, macam tahu-tahu aje orang nak mintak tolong dia handle projek tu,” rungut lelaki itu.
Dia kembali mengeluh berat. Sekali gus mengundang kerutan di wajah Ammar. Manakala Wardina hanya memasang telinga. Bukan menjadi sikapnya mencelah kata dalam perkara-perkara yang tiada dalam pengetahuannya. Apatah lagi dalam perkara-perkara yang melibatkan kerjaya suami dan adik iparnya.
Look, tell me. Apa masalahnya kalau kamu yang handle projek tu pun? Bukannya kamu tak biasa handle projek besar-besar selama ni. Setakat projek bernilai satu dua juta tu senang-senang aje kamu handle seorang diri. Setakat projek ayah-ayah kita tu lagilah tak ada masalah buat kamu memandangkan nilai projek terbaru tu pun rasanya lebih kurang sama aje dengan projek-projek mereka yang terdahulu bukan? Jadi apa salahnya kalau kamu handle projek keluarga kita tu pun?” soal Ammar kurang faham tentang itu. Wajah kecewa Ainul diperhati lagi. Mencari jawapan.
“Masalahnya Along, ayah dan Ayah Zali mintak orang handle projek tu dengan Alia. Orang tak mahulah bekerja dengan perempuan tu lagi,” jawab Ainul lambat-lambat.
Lalu mengundang senyuman lebar abang kandungnya. Mengerti kini sebab-musabab sebenar yang membuatkan Ainul keberatan menerima tanggungjawab itu.
“Oh, sebab tu rupanya? Barulah Along faham.”
Senyuman Ammar terus melebar.
“Apa salahnya kalau kamu bekerja dengan Alia pun? Bukannya kamu tak pernah bekerja dengan dia sebelum ini. Malah kebanyakan projek kerjasama keluarga kita dulu dihandle oleh kau orang berdua. Jadi elok benarlah kalau kau orang bekerjasama buat kali seterusnya,” sambung Ammar. Lebih kepada mengusik adik kesayangannya itu. Ainul sudah menarik muncung.
“Dulu tu lain Along, sekarang ni lain pulak,” balas Ainul cepat-cepat tanpa mahu menerangkan dengan lebih lanjut makna kata-katanya.
“Apa pulak yang lainnya? Along rasa sama aje dulu dengan sekarang. Bezanya dulu kau orang pernah jadi suami isteri. Sekarang ni dah berpisah. Tapi sebelum kau orang kahwin dulu pun, kau orang dah pernah bekerja bersama kan? So, Along tak nampak kat mana lainnya pun.”
Selamba saja Ammar menyahut. Tidak peduli pada perubahan wajah si adik yang ternyata semakin kelat bercampur masam bila mendengar kata-katanya. Lalu melahirkan rengusan lelaki itu buat sekian kalinya.
“Dahlah Along, malas orang nak cakap pasal hal ni lagi. Orang masuk dalam dululah ya. Nak mandi.” Agak marah Ainul bersuara seraya terus bangun dari duduknya.
Geram sebenarnya dengan kata-kata berupa usikan si abang. Laju saja Ainul menapak ke dalam sebelum terhenti bila Ammar memanggilnya semula.
“Cepat sikit mandi tu dik. Kita Solat Maghrib sama-sama.” Suara lelaki itu.
Ainul hanya mengangguk sebelum menghilang dari situ. Meninggalkan Ammar bersama Wardina.
Suami isteri itu saling bertukar senyuman tatkala terpandang anggukan lemah lelaki itu. Penuh makna. Mengerti apa yang bersarang di hati Ainul waktu itu.

“ASSALAMUALAIKUM ayah,” ucap Isma menyuara salam sebaik sahaja menghampiri lelaki itu. Menyentak pandangan Encik Khalid yang ralit membaca surat khabar di anjung rumah suatu petang. Dia segera tersenyum panjang.
“Waalaikumussalam. Lah, Isma rupanya. Ayah ingat siapalah tadi.” Penuh mesra Encik Khalid menyambut huluran tangan lelaki itu.
“Kamu dari mana ni? Siap berkot dan bertali leher lagi ni.” Sempat matanya memandang penampilan kemas lelaki itu.
Sementara Isma sudah menghempas lembut tubuhnya ke kerusi rotan berdepan Encik Khalid. Tangannya pula sudah meletak surat khabar yang dibaca sejak tadi di atas meja sisi.
“Dari mana lagi ayah kalau bukan dari pejabat. Dah lama rasanya Is tak datang ke sini. Itulah yang Is singgah sekejap lepas selesai buat kerja kat pejabat tu,” ujar Isma menjawab hormat.
“Hah Is, bila kamu sampai? Dah lama rasanya mak tak tengok batang hidung kamu tu,” tegur Puan Khadijah tiba-tiba melangkah keluar dari rumah.
Dia berada di ruang tamu rumah ketika lelaki itu tiba sebentar tadi. Segera Isma mendapatkannya.
“Baru saja Is sampai mak. Is mintak maaf sebab dah lama Is tak datang menjenguk mak dan ayah. Is sibuk sikit kebelakangan ni. Banyak kerja yang perlu Is selesaikan kat pejabat tu. Ini pun kebetulan Is dapat balik awal sikit hari ni. Itulah yang Is terus singgah ke sini,” ucap Isma kembali melabuhkan punggungnya di sofa.
“Duduk-duduk dululah ya Is. Mak ke dalam sebentar buatkan air untuk kamu,” ujar Puan Khadijah menghilang semula ke dalam rumah. Meninggalkan suaminya dan Isma di anjung rumah.
“Macam mana dengan keadaan ayah sekarang? Ayah sihat?” Isma terus membuka bicara antara mereka. Wajah tenang Encik Khalid dipandang lama.
“Alhamdulillah, ayah macam biasa aje Is. Kamu tu, sihat ke tidak? Pucat semacam aje ayah tengok muka kamu tu.” Ayah mentuanya menatap seketika wajah letihnya.
“Is sihat ayah. Cuma sehari dua ni Is demam sikit tapi dah baik lepas mama bagi makan ubat semalam,” beritahu Isma.
“Awal ayah balik dari firma. Selalunya dah hampir tengah malam baru ayah balik rumah. Kadang-kadang aje baru ayah dapat peluang balik awal.” Isma bersuara lagi. Lebih kepada meluah pertanyaan. Encik Khalid tersenyum panjang.
“Alhamdulillah. Sejak Damia bantu ayah kendalikan firma guaman ayah tu, kerja ayah taklah sebanyak dulu lagi. Senang cakap kurang sikitlah sibuk ayah kat firma tu dari dulu,” balas Encik Khalid.
“Damia? Siapa pulak Damia tu ayah?” tanya Isma, hairan dengan jawapan ayah mentuanya.
Seingat Isma, dia tidak pernah mendengar nama itu meluncur keluar dari mulut lelaki itu sebelum ini. Senyuman Encik Khalid menjadi lebih lebar.
“Damia tu sepupu pada Kamilia, anak kepada arwah adik dan adik ipar mak. Dia tu anak mak dan ayah jugaklah sebab dia menyusu dengan mak masa kecil dulu. Dia baru saja balik dari Kanada bulan lepas,” sampuk Puan Khadijah.
Wanita itu telah kembali ke ruang anjung bersama sedulang minuman. Diletaknya di meja berdepan kedua-dua lelaki itu.
“Damia tu sebaya umurnya dengan arwah isteri kamu. Mak ayah dia dah lama meninggal dunia. Sejak kecil dia tinggal dengan nenek kamu kat kampung tu. Lepas saja dia tamat tingkatan lima, dia dapat tawaran sambung pelajaran ke luar negara dan terus bekerja kat sana beberapa tahun lepas habis belajar.
Dia balik ke sini pun sebab ayah kamu yang mintak dia tolong ayah kamu kendalikan firma tu. Kamu memanglah tak pernah jumpa dengan dia sebab masa kamu kahwin dengan arwah Kamilia dulu pun dia tak balik.
Kalau tak silap mak, dia tak dapat balik sebab waktu tu dia ada peperiksaan. Lagipun dia memang tak pernah balik ke sini sejak duduk di sana sampailah kami suruh dia balik ke sini bulan lepas,” terang Puan Khadijah panjang lebar.
Isma mengangguk faham. Dicicip airnya sedikit setelah membaca Bismillah. Begitu juga dengan kedua-dua mentuanya. Turut sama menikmati minuman petang itu.
“Is, kalau mak tanya sesuatu, kamu jangan marah ya?” Puan Khadijah bersuara semula selepas itu. Wajah tenang bekas menantunya ditatap sekejap.
Isma tersenyum panjang.
“Mak ni, kenapa pulak Is nak marah kat mak? Mak nak tanya apa?” soalnya lembut.
Puan Khadijah terdiam sejenak sebelum kembali bersuara.
“Dah hampir lapan tahun arwah Kamilia pergi tinggalkan kita semua. Tapi kenapa sampai sekarang kamu masih lagi bersendiri Is? Tak terfikirkah kamu untuk mencari pengganti Kamilia?”
Pertanyaan itu mengunci bibir Isma serta-merta. Langsung dia tidak duga soalan itu yang akan diberi padanya. Agak lama juga dia berdiam diri sebelum menyahut lambat-lambat.
“Sebenarnya mak, Is belum pernah terfikir untuk berkahwin buat kali kedua. Is masih sayangkan arwah Kamilia. Is masih tak mampu melupakan anak mak tu walaupun perkahwinan kami hanya baru berusia beberapa bulan sewaktu pemergiannya.” Perlahan saja nada suara Isma.
Kepalanya pula ditundukkan sedikit. Tidak mahu riak muramnya dilihat kedua-dua pasang mata tua itu. Bimbang keadaan itu mampu menghadirkan rasa sayu di hati mereka sebagaimana yang ada di hatinya kala ini.
Encik Khalid melepas nafas panjang. Wajah suram bekas menantunya ditatap lama.
“Tak guna kamu mengingati orang yang dah lama pergi Is. Seribu tahun sekalipun kamu tunggu dia, mustahil untuk dia kembali lagi. Dia dah menjadi sejarah dalam hidup kita semua. Kita yang masih bernafas di bumi fana inilah yang perlu fikirkan tentang masa depan yang kita sendiri tidak tahu di mana penamatnya.”
Biarpun lembut namun nadanya tetap tegas. Mengalun penuh nasihat. Menjadikan Isma tidak lagi mampu meluah sebarang kata. Terkedu jadinya dia dek kebenaran kata-kata si ayah. Tidak berdaya dirinya melawan kata-kata yang penuh dengan makna mendalam itu.
“Sudahlah, jangan diungkit lagi perkara yang dah lepas tu. Apapun, semuanya dah berlaku. Terimalah segalanya dengan redha. Is, kamu makan malam kat sini ya? Bolehlah berbual dengan Abang Zairi kamu bila dia balik nanti.”
Encik Khalid kembali membuang suara. Tidak mahu hati lelaki itu terus-terusan dihambat sayu sebagaimana yang dirasakan mereka sekeluarga selama ini.
“Memang itupun niat Is datang ke sini ayah. Is nak jumpa dengan Abang Zairi. Dah lama rasanya Is tak berbual-bual panjang dengan dia,” sambut Isma, segera menghabiskan minumannya.
“Kalau macam tu kamu tunggu sebentar ya. Mak siapkan makan malam kita sekarang. Kalau kamu nak mandi, tualanya ada dalam bilik tidur kamu di tingkat atas tu. Pergilah tukar pakaian dan Solat Maghrib dulu,” suruh Puan Khadijah terus bangun melangkah ke dalam rumah bersama dulang dan cawan-cawan kosong.
“Betul kata mak kamu tu. Pergi mandi dulu Is. Nanti bolehlah kita Solat Maghrib bersama. Lepas solat kita makan malam pulak,” celah Encik Khalid pula.

Isma terus saja mengangguk. Akur dengan kata-kata berupa arahan tidak rasmi lelaki itu. 

No comments:

Post a Comment