PROLOG
Keriuhan mengepung suasana di segenap
sudut Resort Seri Bayu kebelakangan ini. Kemeriahannya boleh dirasai hingga ke
kawasan berhampiran dengan resort yang terletak tidak jauh dari lautan China
Selatan itu.
Setiap kakitangannya kelihatan sibuk menjalankan
tanggungjawab yang telah diamanahkan ke bahu masing–masing. Semuanya perlu
dipastikan sempurna agar majlis yang bakal dijalankan tidak lama lagi berjalan
seperti mana yang telah dirancang.
Farhan melepas pandangan ke luar
jendela. Membiar tubuhnya dijamah angin petang yang menghembus agak kencang.
Helaian rambut bertebaran disebak sang bayu dibiar terus-menerus menyapu wajah.
Bagai tidak menghalang permandangan matanya jatuh di hamparan lautan berdepan
dengannya. Memusat pada bot–bot nelayan yang kelihatan berbalam di kejauhan.
Cahaya matahari semakin menghilang
dibalik hamparan lautan yang semakin dimamah kegelapan. Menandakan malam bakal
mengalih alih suasana siang.
Sudah hampir sejam dia berdiri di
situ. Tidak peduli pada hiruk–pikuk yang menguasai suasana sekelilingnya. Ruang
telinganya bagaikan terkunci rapat. Tidak dapat ditembusi sebarang bunyi.
Farhan bagaikan tenggelam dalam dunianya sendiri. Dunia yang tiada sempadan.
Tanpa sedar satu keluhan panjang
terluah dari celah bibir keringnya. Tidak menyedari anaknya, Saifullah yang
sedari tadi memerhati gelagatnya dari balik pintu bilik turut melepaskan
keluhan kecil. Saifullah sedar, ada sesuatu yang sedang bermain di minda lelaki
itu. Sesuatu yang pastinya tidak sama dengan apa yang difikirkannya sekarang.
Sesuatu yang jauh berbeza. Jauh dari jangkaannya sendiri.
Tidak terjangkau fikirannya untuk
menyelami apa yang sedang melingkari benak Farhan saat ini. Namun dia dapat merasakan
kegusaran yang bersemadi di dalam diri lelaki itu. Semua itu dapat dinilai dari
gerak tingkah yang terpamer tanpa kesedaran Farhan sendiri.
Saifullah menghela nafas panjang.
Perlahan-lahan diatur langkahnya. Menghampiri Farhan yang masih seperti tadi.
Membuang pandangan ke luar.
“Ayah…”
Sapaan lembutnya menerbangkan segala
khayalan lelaki yang dipanggilnya ayah itu sekaligus menyentaknya dari terus
berada di alam khayalan.
Segera Farhan berpaling. Memandang
Saifullah yang terlebih dulu memahat senyuman. Dia membalas perlahan.
“Saiful,” Hanya itu yang terluah dari
bibir lelaki berusia lewat lima puluhan itu.
Dia memandang sejenak wajah anak muda
itu sebelum kembali dipaling wajah. Mengadap lautan yang kini hampir tenggelam
sepenuhnya di balik kegelapan. Mengusap perlahan seluruh tubuh yang kini baru
terasa kedinginannya.
“Hari dah petang ayah, dah nak masuk
Maghrib pun. Jomlah kita bersolat jemaah,” suara Saifullah yang penuh sopan dan
lembut kembali menyapu ruang pendengaran lelaki itu.
Farhan kembali berpaling sebelum
terangguk-angguk kecil.
“Yalah, ajak mak kamu sekali,” sahutnya
perlahan. Memerhati langkah Saifullah yang terlebih dulu menyusun tapak. Menuju
ke pintu bilik sebelum dia sendiri turut berbuat demikian.
Mata Farhan melekat pada pemandangan
malam. Walaupun hanya kegelapan yang menyalut suasana namun corong telinganya
masih dapat menangkap bunyi desiran ombak menghempas pantai, tidak jauh dari
resort yang didudukinya kini. Iramanya tetap sama. Tenang dan mendamaikan. Irama
alam yang menjadi muzik kehidupannya sedari dulu. Tidak pernah berubah walau
zaman demi zaman telah berlalu. Tidak menyedari keadaan malam yang semakin
menghambat waktu.
Usapan lembut dibahunya membuatkan dia
tersentak. Hancur berkecai lamunannya yang entah apa-apa. Mengalih pandangan
pada Saifullah yang entah bila berdiri di sisinya.
“Ayah tengok apa tu?” Saifullah
menegur lembut.
Dia turut membuang pandangan ke luar
namun hanya seketika. Tiada apa yang menarik perhatiannya untuk terus
membiarkan matanya berlarian di situ. Bibirnya mengukir senyuman. Memandang
sekilas Farhan yang turut menguntum senyum. Hambar. Di atur langkahnya ke sofa
bilik. Merebahkan tubuh di situ. Matanya melekat pada tubuh Farhan yang kini
turut mengatur melangkah mendapatkannya.
Farhan meletak punggung di sisi Saifullah
yang masih melebarkan senyuman. Menyandar tubuh ke dada sofa. Ada senyuman
kecil yang tercoret di wajah yang telah lama terbentuk jalinan kedutan itu.
“Belum tidur lagi Saiful?” suaranya
menyusur lembut ke ruang telinga sang anak.
Saiful menggeleng.
“Belum mengantuk ayah,” jawab
Saifullah perlahan.
“Penatnya rasanya badan Saiful ni
ayah,” sambungnya. Membuka bicara antara mereka.
Sepanjang hari memeras tenaga
menguruskan pelbagai tugas membuatkan dirinya benar–benar keletihan. Di picit
lembut pangkal lehernya yang terasa lenguh.
“Nasib baiklah majlis ni cuma dibuat
sekali saja dalam seumur hidup. Kalau tak, mahu pengsan juga Saiful nak urus
semuanya selalu,” seloroh Saifullah.
Saifullah melirik pada Farhan yang
hanya mengukir senyuman mendengar celotehnya. Disandar tubuh tegapnya pada
Farhan yang mengelus lembut rambutnya.
“Penat atau tidak, kamu mesti
lakukannya Saiful. Inikan majlis kamu. Kamu juga nak yang terbaikkan. Jadi mana
boleh kamu merungut macam tu,” tenang suaranya mengalun nasihat. Memandang lama
sang anak yang kini meletak kepala di pangkuannya.
Sedari kecil, anak muda itu begitu
manja dengannya. Mungkin kerana Saiful satu–satunya permata hati miliknya dan
isteri membuatkan anak muda berusia dua puluh lima tahun itu bersikap begitu
terhadap mereka suami isteri.
“Kamu tu dah nak kahwin Saiful, masih
lagi nak bermanja dengan mak ayah,” sampuk Mahfuzah yang tiba-tiba melenggang
masuk ke ruang bilik tidur resort itu.
Dia menyusun langkah ke sudut bilik.
Tangannya mencapai kain renda putih yang ada di atas meja. Ingin membawanya
keluar. Sementara matanya melirik lembut pada Saifullah yang tersipu malu
mendengar teguran itu.
“Alah mak ni, kahwin tu bukannya
maksud Saiful tak boleh bermanja dengan mak ayah tapi kena kurang bermanja
dengan mak ayah. Betul tak ayah?” balas Saifullah.
Perkataan ‘kurang’ ditekannya sedikit.
Dikenyit matanya pada Farhan yang hanya mengulum senyum.
“Yalah tu Saiful,” Mahfuzah melebarkan
senyuman.
“Esok–esok dah beranak pinak pun
takkan nak bermanja dengan mak ayah lagi. Tak malu ke kalau di tengok anak–anak
kamu nanti,” sambung Mahfuzah.
“Mak ni, Saiful belum pun kahwin, dah
bercerita pasal anak–anak pula,” Saifullah tersipu malu.
“Eh, apa salahnya kalau mak cakap
macam tu pun. Esok–esok lepas kahwin pun kamu tetap ada anak juga kan?” ujar Mahfuzah
lagi.
“Ayah, boleh Saiful tanya sesuatu?”
soal Saifullah beralih padanya.
Perlahan Farhan mengalih pandangan
pada anak tunggalnya itu.
“Ada apa Saiful?”
Saifullah tersenyum kecil. Direnggang
sedikit tubuhnya dari tubuh lelaki itu.
“Boleh Saiful tanya ayah sesuatu?” lembut
dia mengulang kembali pertanyaan tadi.
Farhan tersenyum semula sebelum
perlahan–lahan mengangguk.
“Saiful nak tanya apa?” soalnya lembut.
Dia memandang lama wajah Saifullah yang sedari tadi menghadiahkan senyuman
manis buatnya.
Dalam diam Farhan bersyukur kerana
dikurniakan anak sebaik Saifullah. Anak muda itu tidak pernah membelakangkannya
dalam apa jua perkara. Mendengar kata dan tidak pernah membantah. Begitu
menyayangi dirinya dan Mahfuzah.
Saifullah tersenyum lagi. Matanya memandang
seketika wajah berkedut Farhan.
“Sejak kita datang ke Resort Seri Bayu
ni seminggu yang lalu, Saiful tengok ayah selalu termenung. Kenapa ayah? Apa
yang ayah fikirkan?” tanya Saifullah.
Jari–jemarinya liar mencari
jari–jemari Farhan. Diusap perlahan. Salah satu tabiat Saifullah yang sering
dilakukannya setiap kali berbicara dengan lelaki itu. Matanya masih meratah
wajah sang ayah kesayangan. Mencari jawapan yang sekian lama dinantikan.
Farhan menarik nafas panjang. Melirik
sekilas wajah tenang Saifullah. Ada perasaan ingin tahu yang menyalut wajah
hampir seiras wajahnya itu. Mewarisi rias ketampanan yang pernah dimilikinya
suatu masa dulu.
“Ayah teringat pada kenangan yang
pernah ayah lalui di sini Saiful,” agak lama dia berdiam diri sebelum membuka
mulut.
“Maksud ayah?” cepat saja Saifullah menyoal.
Perasaan ingin tahu yang membuak di
dada membuatkan dia tidak sabar mendengar kata–kata seterusnya yang bakal
terluah dari mulut lelaki yang hampir beruban penuh kepalanya itu.
Farhan melepas nafasnya lagi. Lebih
panjang.
“Saiful sendiri pun tahukan, zaman
muda ayah banyak dihabiskan di tempat ini. Terlalu banyak kenangan yang telah ayah
lalui selama ayah berada di sini,” ujar Farhan memulakan bicara.
“Saiful tahu itu ayah tapi Saiful rasa
ada sesuatu yang ayah sembunyikan dari Saiful. Sesuatu yang Saiful tak tahu hujung
pangkalnya,”
“Kenapa Saiful cakap begitu?”
Mata Farhan melekat seketika ke wajah Saifullah
yang hanya menjongket bahu. Ingin tahu lebih lanjut maksud kata-kata anak muda
itu.
“Well,
ayah selalu termenung setiap kali kita datang ke sini. Ayah lebih banyak
diamkan diri dari berbual panjang macam selalu,” balasnya selembut mungkin.
Tidak mahu Farhan tersinggung dengan
kata–katanya. Hakikatnya, telah lama dia inginkan kepastian berkenaan perkara
itu namun dia bimbang kiranya pertanyaan itu mengusik hati lelaki yang cukup
dikenali dengan sikap pendiamnya itu.
Farhan kelu bicara. Dia tidak membalas
kata.
“Tentu kenangan itu memberi banyak
makna dalam hidup ayah hinggakan setiap kali ayah ke sini ayah tak dapat
lupakannya,” teka Saifullah. Matanya masih di wajah tua itu.
Farhan menghela nafas panjang sebelum
mengangguk kecil.
“Betul tekaan Saiful tu. Kenangan yang
ayah pernah ayah lalui suatu masa lalu sememangnya memberi seribu makna dalam
hidup ayah. Kenangan yang tak mungkin ayah dapat lupakannya sampai bila–bila,”
sahutnya satu persatu. Begitu perlahan.
“Boleh Saiful tahu tentang kenangan ayah
tu?” Saifullah menyoal lagi. Mengharapkan jawapan yang sememangnya ditunggu
selama ini. Merenung dalam wajah Farhan yang kini mengukir senyuman panjang.
“Saiful nak tahu tentang kehidupan
silam ayah?” tanya Farhan lembut.
Laju anak itu mengangguk. “Apa yang Saiful
nak tahu tentang kisah silam ayah?”
Saifullah berfikir seketika. “Kisah cinta
ayah dengan mak,” balas Saifullah tersenyum lebar.
Farhan tersenyum lagi. Tidak menyahut
kata–kata anaknya.
“Mak cinta pertama ayah bukan?”
Saifullah bertanya lembut.
Wajah tenang milik Farhan direnung
lagi. Hati mudanya terasa damai setiap kali menatap wajah lelaki itu. Lelaki
yang menjadi idolanya dalam segala perkara sedari kecil.
Farhan menarik nafas lagi. Dalam.
Perlahan dia menggeleng.
“Mak kamu bukan cinta pertama ayah
tapi ayah adalah cinta pertama mak kamu. Walau pun dia bukan yang pertama tapi
dia juga bukan yang kedua,” sahutnya tenang.
Saifullah membentuk kerutan di dahi.
“Saiful tak fahamlah ayah. Apa maksud
kata–kata ayah?”
Bersimpul urat fikirannya mencari erti
kata ayahnya.
Farhan tersenyum lagi.
“Saiful nak tahu tentang kisah cinta
yang pernah ayah lalui?”
Saifullah mengangguk pantas. “Kalau
boleh Saiful nak tahu dari mula sampai akhir,” ucapnya cukup teruja.
Dia mengubah kedudukannya. Lebih rapat
dengan tubuh Farhan yang hanya memandang kelakuannya.
“Saiful tak bosan ke nak dengar kisah
cinta ayah? Kisahnya panjang,” Farhan bersuara lagi. Sekadar menduga anak muda
itu yang laju menggeleng.
“Alah, tak kisahlah panjang ke tidak,
yang penting ayah sudi ceritakan kisah ayah pada Saiful. Mana tahu Saiful boleh
jadikannya sebagai panduan dalam kehidupan rumahtangga Saiful di masa depan,”
ucapnya bersungguh-sungguh. Masih tidak mengalih mata dari wajah Farhan yang
masih mengukir senyum.
“So,
boleh ayah ceritakan kisah cinta ayah tu pada Saiful?” tanyanya sedikit tak
sabar.
Farhan mengangguk kecil seraya menarik
nafas panjang. Dia kembali membuka mulut. “Kisah cinta ayah bermula 25 tahun
yang lalu,” Farhan memulakan ceritanya.
No comments:
Post a Comment