Followers

Sunday, 6 October 2013

Sinopsis Setiaku Di Sini

SINOPSIS SETIAKU DI SINI

Farhan, seorang lelaki yang hidup dalam kesedihan dan kedukaan setelah kematian ibu kandungnya. Kematian yang dia sendiri tidak ketahui punca sebenar berlakunya kejadian tersebut. Kematian itu turut membawa kepada pertelingkahan yang tidak pernah surut di antara ibu tirinya, Puan Wardah dan neneknya, Nek Zaitun. Selain dari itu kehadiran kedua adik kembarnya Fakhira dan Fadlan yang tidak diketahui asal usul mereka turut menjadikan rumahtangga keluarganya tidak pernah dihampiri bahagia apabila Nek Zaitun sering mempersoalkan tentang perkara itu. Ditambah dengan sikap ayahnya Encik Fatih yang sering menghabiskan masa di resort miliknya menyebabkan kehidupan Farhan semakin disaluti kesedihan. Sekaligus menjadikan Farhan seorang lelaki yang tidak pernah merasai kebahagiaan jauh sekali cinta.
Manakala Azfar, seorang ahli perniagaan muda yang berjaya di Malaysia tertekan dengan kehilangan Nuraini, tunangnya yang melarikan diri beberapa minggu sebelum majlis perkahwinan mereka dilangsungkan. Pertunangan yang dilakukan secara rahsia itu telah menjadikan Azfar berada di dalam keadaan serba salah apabila ditanya oleh para wartawan tentang status dirinya.Tekanannya bertambah apabila dirinya sentiasa diganggu Aida, salah seorang model jelita yang sentiasa menagih cinta darinya. Dalam diam, dia berusaha menjejaki Nuraini yang melarikan diri ke Pantai Timur.  
Sementara Nuraini, seorang gadis yang sentiasa bersederhana dalam semua perkara telah melarikan diri dari rumah setelah berlakunya pertengkaran antara dia dan ayahnya, Encik Bukhari. Sikap Encik Bukhari yang sering memaksa Nuraini mengikut segala perintah dan kehendaknya telah menyebabkan Nuraini bertekad untuk keluar dari rumah mereka selain dari sikap tunangnya, Azfar yang sering mengongkong dan bersikap seperti ayahnya. Sepanjang berada di Pantai Timur, Nuraini telah bekerja di syarikat pengiklanan milik Farhan dan dalam diam dia telah jatuh cinta pada lelaki tersebut.
Kehadiran Dhia, anak saudara kepada Encik Mansur dan Puan Marini yang tinggal berjiran dengan keluarganya telah mengubah persepsi Farhan terhadap kehidupan yang dilaluinya. Sikap Dhia yang sentiasa ceria dan riang telah berjaya membungakan kebahagiaan dalam hidup Farhan sedikit demi sedikit. Gadis itu sentiasa berusaha mendekatkan diri pada keluarga Farhan yang mula menganggapnya seperti ahli keluarga sendiri. Dhia turut membantu Encik Fatih menangani masalahnya berkenaan dengan resortnya yang sering mengalami kerugian. Dalam pada masa yang sama, Dhia menyedari bahawa Mahfuzah, seorang gadis sopan dan berlemah lembut yang tinggal bersebelahan dengan rumah ibu saudaranya menyimpan perasaan cinta pada Farhan. Bagaimanapun Mahfuzah sedar bahawa Farhan tidak mencintai dirinya.
Sikap Dhia yang berjaya mengubah hidup Farhan kepada bahagia telah menyebabkan Farhan jatuh cinta pada gadis itu dalam diam. Impiannya untuk menjadikan Dhia sebagai isterinya semakin bercambah apabila niatnya itu turut dipersetujui oleh ahli keluarganya yang lain. Namun kebahagiaan yang dirasai oleh Farhan tidak kekal lama apabila Dhia memberitahunya yang dia telah pun berkahwin dengan Hidayat sekaligus membuatkan Farhan kembali kecewa dengan kehidupannya.
Dhia tidak membiarkan keadaan sedih itu terus membaluti kehidupan Farhan apabila berusaha untuk menyatukan Farhan dengan Mahfuzah. Farhan yang masih kecewa dengan Dhia menerima kedatangan Mahfuzah dalam hidupnya walaupun tidak sepenuhnya. Sementara Mahfuzah yang sedar Farhan hanya menerima dirinya di atas kehendak keluarganya terus berusaha untuk mendapatkan cinta Farhan dengan bantuan dari Dhia.
Azfar yang akhirnya berjaya menjejaki Nuraini telah memaksa Nuraini untuk mengikutnya pulang ke Kuala Lumpur. Dia telah mengugut untuk membinasakan syarikat pengiklanan Farhan sekiranya gadis itu tidak mahu menurut kehendaknya. Nuraini akhirnya beralah dengan kemahuan lelaki itu dan bersedia untuk mengahwini Azfar walau dia tidak gembira dengan keadaan itu. Namun kesedihannya terubat apabila dia bertemu dengan Dhia di mana Dhia telah menyedarkan Nuraini tentang kesilapan yang telah Nuraini lakukan diluar kesedarannya. Manakala Azfar yang dilanda kerisauan kerana tahu Nuraini tidak mencintainya sedari mula perkenalan mereka telah bertemu dengan Hidayat yang telah menyelamatkannya dari dilanggar sebuah kereta. Melalui perbualannya dengan Hidayat di sebuah gerai, Azfar tersedar dengan kesilapan yang dilakukannya terhadap Nuraini. Hubungannya dengan Nuraini kembali jernih apabila masing-masing telah mengakui kesilapan diri sendiri dan berusaha untuk mengubahnya. Azfar turut meminta maaf kepada Farhan di atas kebiadapan sikapnya dan mencadangkan agar dia dan Farhan serta pasangan mereka melangsungkan perkahwinan pada hari dan tempat yang sama dan Farhan bersetuju dengan cadangan itu.
Manakala Farhan yang masih kecewa dengan keadaan hidupnya telah mendapat tahu tentang kejadian sebenar yang berlaku terhadap ibunya. Sekaligus membongkar rahsia yang disimpan rapi oleh Encik Fatih dan Puan Wardah selama ini. Rahsia yang dibongkar oleh Dhia setelah mengetahuinya tanpa sengaja ketika Encik Fatih dan Puan Wardah berbual sesama mereka di taman permainan tidak jauh dari kawasan perumahan mereka. Dengan terbongkarnya rahsia itu maka hubungan diantara Puan Wardah dan Nek Zaitun kembali bertaut. Manakala kedua Fadlan dan Fakhira diterima sepenuhnya di dalam keluarga mereka.

Majlis perkahwinan di antara Farhan, Azfar, Mahfuzah dan Nuraini berlangsung di resort kepunyaan Encik Fatih dengan penuh gemilang. Namun majlis itu tidak dapat dihadiri oleh Dhia yang ketika itu sedang bertarung dengan dugaan hidupnya sekaligus menimbulkan tanda tanya pada semua. Kehadiran Hidayat bersama Zahirah, isterinya sehari selepas majlis tersebut telah melenyapkan tanda tanya semua berkenaan dengan Dhia. Farhan yang mengetahui perkara sebenarnya berasa terlalu kecewa dengan sikapnya yang selama ini tidak pernah mengambil tahu tentang keadaan Dhia yang sebenarnya. Sementara Mahfuzah berasa bersalah kerana merasakan dirinya telah merampas Farhan dari Dhia. 

No comments:

Post a Comment