BAB 22
“Amir Farhan!”
Jeritan seseorang yang memanggil
namanya membuatkan langkah Farhan yang sedang berjogging terhenti sejenak.
Sebaik berpaling, matanya terpandang tubuh Dhia yang berlari–lari anak mendapatkannya.
Gadis itu menjerit lagi beberapa kali seraya
melambai tangan ke arahnya. Nyaring jeritannya hingga turut menarik perhatian
mereka yang lain yang turut berada di taman permainan itu.
Farhan yang memandang tingkah gadis
itu hanya mendengus kecil sebelum kembali meneruskan lariannya. Tidak peduli
dengan panggilan itu.
“Amir Farhan,” Dhia menjerit lagi.
Lebih kuat.
Lariannya dipercepatkan. Mendapatkan
Farhan yang berada hanya beberapa meter di depannya.
Farhan mematikan langkah semula. Dia
kembali berpusing tubuh seraya mencekak pinggang. Memandang tajam pada Dhia
yang kini telah berdiri di depannya seraya merengus kecil.
“Hah, akhirnya sampai juga saya pada
awak,” ujar Dhia sedikit tercungap.
Diurut dadanya perlahan seraya menarik
nafas beberapa kali. Dia tersengih kecil. Memandang wajah Farhan yang telah
lama di simbah riak masam.
“Hei, mana awak tahu nama penuh saya
hah? Kenapa ikut saya ke sini? Dah tak ada orang lain ke yang boleh awak ganggu
selain saya hah?” soal Farhan sedikit tinggi.
Tajam matanya menembusi wajah cerah berseri
itu. Ada titisan peluh yang menaburi dahi licinnya. Matanya menjelajah sejenak
ke seluruh tubuh yang turut dibaluti pakaian sukan itu. Sama sepertimana yang
tersarung ditubuhnya di waktu ini. Namun hanya seketika. Anak matanya kembali
ditusuk ke wajah ceria itu.
Dhia menyeringai kecil.
“Wah, banyaknya soalan. Tak tahu yang
mana satu perlu saya jawab dulu,” suaranya seraya melebarkan senyuman. Dia
masih termengah namun tidak sekencang tadi.
Farhan sekadar menghembus nafas keras.
Jelas mempamerkan rasa hatinya di kala ini. Wajah gadis itu dijeling sekilas.
“Awak ni, bukankah kita berjiran.
Takkanlah nama jiran pun saya tak tahu. Lagi pun, bukannya saya ikut awak
berjogging. Dah kebetulan saya nampak awak kat sini, so apa salahnya kalau kita jogging sekalikan? At least boleh juga kita berbual-bual. Ada juga teman saya untuk
berjogging pagi ni,” ujar Dhia ceria setelah dia kembali tenang. Tidak peduli
pada riak kurang senang yang melekap di wajah lelaki itu.
“Tapi saya tak nak diganggu sesiapa
pun terutamanya awak,” ujar Farhan sedikit keras.
Dia kembali berpusing. Mengatur
langkah cepat tapi tidak lagi berlari.
Dhia mengiringi langkahnya.
“Eh, mana ada saya ganggu awak pun.
Saya cuma nak mengajak awak berbual je. Salah ke?” Dhia menjawab selamba.
Jari-jemarinya menguis peluh yang
menitik ke pipi sebelum anak rambut yang terjuntai di dahi di tolak ke tepi
wajah.
Farhan tidak menjawab. Malas untuknya
bersuara. Dihayun kedua tangannya ke kiri dan kanan. Membuat senaman
ringan.
Melihat kelakuan lelaki itu Dhia
kembali membuka mulut.
“Nama awak Amir Farhankan? Sedap nama
tu. Nasib baik nama awak tu bukannya kek coklat kegemaran saya. Kalau tak dah
lama saya makan,” guraunya.
Farhan masih membatu diri. Tidak juga
menoleh jauh sekali menyahut. Tidak peduli dengan kata-kata gadis itu. Raut
wajahnya tidak semasam tadi. Namun tiada senyuman yang terukir di wajah serius
itu. Dilepas pandangannya ke kawasan persekitaran. Jauh dari wajah Dhia yang
sesekali menoleh ke arahnya.
“Awak tahu apa maksud nama awak tu
Farhan?” tanya Dhia masih tersenyum. Dia kembali menyambung kata tatkala
melihat lelaki itu hanya membeku lidah.
“Awak tahu, Amir maksudnya putera atau
pemerintah manakala Farhan pula maksudnya girang atau gembira. Jadi, kalau
digabungkan kedua-duanya, nama awak tu bermakna seorang putera yang gembira.
Tapi kan, perangai awak tu tak menampakkan langsung maksud nama awak tu. Jangan
katakan ketawa, nak senyum pun awak tak mahu. Patutnya mak ayah awak bagi nama
lain pada awak.” Dhia masih bersuara. Begitu ceria.
“Rasa sayalah, masa mak awak
mengandungkan awak dulu, mesti dia banyak makan cuka. Sebab tulah muka awak tu
masam je,” suaranya lagi seraya tersengih kecil.
Namun tak lama dia terdiam. Berfikir
sejenak sebelum kembali menyambung kata.
“Eh, tapi kalau dia makan cuka
banyak–banyak, kecutlah awak masa tinggal dalam rahim dia tu. Yalah, cuka tu
kan berasid, bahaya tu. Awak pun masa dilahirkan tentu dah tak serupa orang
kalau betul mak awak makan cuka banyak sangat. Entah-entah dah macam rupa
makhluk asing jadinya,” Dhia masih tidak jemu bersuara walau keadaannya lebih
kepada bercakap sendiri.
Farhan yang mendengar bebelan Dhia itu
hanya menjeling sekilas.
Makan cuka? Biar betul minah ni, hati
Farhan bersuara sendiri. Tercuit hatinya dengan kata-kata itu namun dia tidak
peduli dengan semua itu. Langkahnya dipercepatkan. Ingin menghindarkan diri
dari terus beriringan dengan gadis itu.
Sungguh, dia benar-benar tidak selesa
dengan keadaan itu. Bukan hanya kerana sikap Dhia yang tidak disenanginya tapi
kerana dia sendiri tidak betah berduaan dengan seorang wanita dalam tempoh masa
yang lama tanpa adanya urusan yang penting. Apatah lagi kehadiran itu bukan
atas kehendaknya.
“Awak ni memang semulajadinya masam ke
Farhan?” tanya Dhia setelah agak lama dia berdiamkan diri.
Lemas juga dirinya bercakap seorang
diri tanpa adanya sebarang sahutan.
Macam cakap dengan tunggul kayu saja, gerutu
hatinya.
Dia turut memanjangkan langkah.
Kembali seiring dengan langkah lelaki itu.
“Ke masam awak tu disebabkan awak terlalu
banyak makan buah asam dulu?” tanyanya lagi dengan nada gurau. Masih tidak
serik untuk cuba membuka mulut lelaki itu dari terus mengunci lidah.
Farhan menjeling seimbas pandang wajah
itu dengan ekor matanya.
“Apa awak kisah? Saya masam ke, pahit
ke, kelat ke, tak ada kena mengena langsung dengan awak,” jawabnya sedikit
kasar.
Wajahnya kembali masam. Lebih masam
dari tadi. Kurang senang dengan pertanyaan yang dianggap bodoh itu.
Dhia membesarkan bola matanya. Dia
memandang lama wajah itu. Sementara mulut becoknya melopong sejenak mendengar
kata–kata lelaki itu.
“Eh, apa pula tak ada kena mengenanya.
Mestilah ada. Awak tu kan jiran saya. Kalau awak masam, mesti nanti orang lain
hairan. Mesti dia orang kata saya ni seorang jiran yang tak prihatin. Saya juga
yang dipersalahkan nanti,” suara Dhia bersungguh–sungguh.
Sekadar ingin menerbitkan senyuman di
wajah itu namun ternyata gurauannya tidak menjadi. Malah raut tegang itu
kelihatan semakin kelat.
“Hei, tak ada kena mengenanya raut
muka saya ni dengan awak tu. Tak ada maknanya jiran tetangga nak tanya awak
pasal saya. Awak tu saja yang perasan lebih,” sela Farhan pantas.
Tidak suka dengan kata-kata gadis itu
yang dirasakan mengarut dan tidak dapat diterima akal waras itu.
“Eh, mana ada saya perasan. Memang
betullah kata-kata saya tu. Of courselah
jiran-jiran akan tanya nanti. Nampak sangat saya tak ambil kisah dengan apa
yang berlaku di sekeliling,” Dhia menjawab pantas.
“Banyak lagi perkara yang awak boleh
ambil kisah selain diri saya. Tak perlulah bersusah payah nak menyusahkan diri
menjaga kehidupan saya. Tahulah saya uruskan hidup saya sendiri,” balas Farhan
sedikit keras. Menjeling tajam wajah itu.
“Memanglah banyak perkara lain yang
boleh saya ambil kisah tapi pasal awak jadi keutamaan saya. Iyalah, awakkan
jiran yang paling terdekat dengan saya. Kata orang, kalau kita nak ambil berat
tentang sekeliling, kita kena mulakan dengan orang yang terhampir dengan diri
kita,” balas Dhia tersenyum lagi. Menampakkan barisan mutiaranya yang putih
bersih.
Langkah Farhan terhenti semula. Dia
berdiri mengadap Dhia yang turut terhenti langkahnya seraya merengus kasar.
Riak wajahnya kelihatan serius. Begitu tegang. Keduanya berdiri setentang.
“Awak ni memang jenis perempuan tak
tahu malu ke hah? Menonong saja mengikut orang tanpa berfikir orang tu suka ke
tidak dengan diri awak tu.” suaranya sedikit geram. Wajah bersahaja itu menjadi
habuan pandangan mata lelakinya. Merobek dalam-dalam anak mata gadis itu.
“Kenapa pula saya nak malu? Saya
bukannya buat apa–apa pun kat awak. Sentuh awak pun tidak, jauh sekalilah nak
peluk awak tu. Saya cuma nak berkawan je. Salah ke?” selamba Dhia membalas
pandangan tajam lelaki itu.
“Salah ke tidak, awak fikirlah sendiri
bab tu. Yang menjadi masalahnya sekarang, saya tak nak berkawan dengan sesiapa,
terutamanya dengan perempuan macam awak!” Farhan menjawab marah seraya kembali
mengatur langkah.
“Eh Farhan, tak baik awak cakap macam
tu. Nanti awak jadi kera sumbang, tak bercampur dengan masyarakat. Kita hidup
dalam dunia ni kenalah bergaul mesra dengan semua orang. Itukan suruhan Nabi
Muhammad junjungan kita,” suara Dhia lagi.
Tidak peduli pada Farhan yang masih
mendengus marah. Marah dengan tingkah selamba yang ditunjukkan oleh gadis itu.
Seolah-olah kata-kata pedasnya tidak terpipis walau sedikit di peluput telinga
Dhia.
“Awak ni kan Farhan, memang tak suka
berkawan dengan perempuan ke?” tanya Dhia lagi setelah membiarkan sepi menyelit
antara mereka.
Sedar dengan kemarahan yang sedang
mengepung lelaki itu namun Dhia tidak ambil kisah dengan semua itu. Matanya memandang
sejenak pada Farhan yang masih menapak pantas. Ingin menjauhkan diri dari Dhia
yang sedari tadi cuba mendekatkan diri dengannya.
“Awak ni anti perempuan ya?”
pertanyaan itu membuatkan Farhan berpaling semula pada Dhia. Ingin bersuara namun
Farhan hanya sempat menganga mulut tatkala Dhia terlebih dulu meluah kata.
“Tak apalah kalau awak tak nak jawab.
Saya faham, awak penat berjoggingkan. Saya pun penat juga. Malah rasanya lagi
penat dari awak. Yalah, saya seorang saja yang bercakap sejak tadi. Nak
harapkan awak buka mulut, huh macam mengharapkan bulan jatuh ke riba. Sampai
kiamat pun belum tentu awak nak berbalas cakapkan,” suaranya tersenyum lebar.
Tidak kisah pada raut wajah lelaki itu
yang kembali menampakkan kemarahannya dek kata-kata selamba gadis itu.
“Eh, dah hampir pukul sebelas pun
awak,” ujar Dhia lagi membelek jam tangan kulit yang tersarung di pergelangan
tangannya.
“Tak sedar saya dah lama berada kat
taman permainan ni,” sambungnya.
Dia menyimpul senyuman pada Farhan
yang kembali mencekak pinggang. Membalas geram pandangan gadis ceria itu.
“Okeylah Farhan, saya nak balik dulu.
Dah nak tengah hari ni. Petang nanti saya ke rumah awak ya. Bolehlah kita
berkenalan dengan lebih rapat lagi. Awak tunggu kedatangan saya tau. Bye Farhan,” ujar Dhia tersengih sambil
mengenyit mata sekali seraya tersenyum lebar.
Dia berlalu pergi tanpa memberi
kesempatan pada Farhan bersuara walau sepatah kata.
Farhan mendengus lagi. Lebih kasar
dari tadi. Hilang keinginannya untuk terus berjogging. Pertemuan itu membuatkan
hatinya dirusuh marah buat seketika. Sebaliknya dia turut mengikut tingkah Dhia
yang telah menghilang diri dari taman itu. Dalam marah dia mengatur langkah
pulang.
“Semalam Mak Long Fidah kamu telefon Umi.
Dia kirim salam pada kamu,” suara Puan Raudah memecah keheningan ruang tamu
rumah tengah hari itu.
Matanya menerjah sejenak wajah
Mahfuzah yang agak ralit menonton televisyen yang terpasang di depan mereka.
“Ada juga dia bertanyakan keadaan
kamu. Nak juga dia tahu sama ada kamu sudah berpunya atau belum,” suara Puan
Raudah lagi bila dilihatnya Mahfuzah hanya mendiamkan diri tanpa sebarang
sahutan. Seakan tidak terkutik dengan kata-katanya. Leka dengan tontonannya.
“Abang Salman kamu baru balik dari Jordan
bulan lepas,” Puan Raudah masih membuka mulut. Mengharap agar anak gadisnya
akan membalas kata.
Untuk seketika matanya melirik ke
wajah Encik Hazwan. Memberi isyarat pada suaminya supaya meminta anak mereka memecah
kebisuan diri. Sedari tadi lelaki itu menyandar tubuh ke dada sofa. Turut sama
menghala mata pada wajah gadis itu. Ternyata suaminya turut ternanti kata yang
bakal terluah dari mulut anak mereka.
“Mahfuzah,” suara Puan Raudah lagi
bila tiada sahutan.
Matanya masih melekat pada tubuh gadis
itu yang perlahan-lahan menoleh wajah. Membalas pandangan penuh makna kedua
orang tuanya. Menanti jawapan yang begitu diharapkan dapat merealisasikan
impian yang diangankan selama ini.
“Fuzah belum terfikir tentang itu lagi
Umi,” balas Mahfuzah lambat-lambat.
Matanya tidak lagi melekat pada kaca
televisyen. Begitu juga dengan fikirannya yang tidak lagi tertarik pada apa
yang dipertontonkan di peti suara itu. Sebaliknya ligat menyusun ayat yang
dirasakan sesuai untuk diluah buat kali yang seterusnya.
Mendengar kata-kata itu membuatkan
Puan Raudah mengeluh panjang. Ternyata jawapan Mahfuzah mematahkan harapan
mereka yang menginginkan yang sebaliknya.
“Kalau iya pun kamu belum terfikir nak
kahwin, apa salahnya kalau pergi jumpa dengan abang Salman kamu tu dulu. Mana tahu lepas jumpa dengannya
hati kamu terbuka nak kahwin,” sampuk Encik Hazwan lembut namun tegas.
Seperti Mahfuzah, matanya tidak lagi
berada di peti televisyen. Sebaliknya terarah pada anak gadisnya yang kini
menundukkan wajah. Menguis hujung permaidani dengan jari-jemarinya.
“Betul kata Walid kamu tu Fuzah. Abang
Salman kamu tu pun bukannya calang–calang orang. Dia tu ketua pensyarah di
salah sebuah universiti di Jordan sana tu. Kalau ada jodoh kamu dengan dia
bolehlah juga kamu merasa tinggal di negara orang nanti,” sampuk Puan Raudah.
Dia memandang lama pada Mahfuzah yang
tidak menyahut. Dia masih seperti tadi. Menunduk wajah seraya menatap
permaidani yang menjadi tempatnya melapik tubuh. Sesekali matanya melirik ke
wajah kedua orang tuanya yang masih seperti tadi. Merenung diri anak tunggal
mereka dengan penuh pengharapan.
“Esok lusa kita pergi rumah Mak Long
kamu ya Fuzah. Bolehlah kamu berkenalan lebih rapat dengan abang Salman kamu
tu.”
Puan Raudah masih tidak berputus asa
memujuk. Membayangkan harapan yang mendalam di balik tutur kata-katanya yang
lemah-lembut itu. Meruntun hati Mahfuzah yang mendengar namun masih tidak mampu
meruntuhkan keinginannya untuk memenuhi impian kedua suami isteri itu.
“Elok benar cadangan awak tu. Kita pun
dah lama tak jumpa budak Salman tu. Dah bertahun-tahun rasanya. Entah
bagaimanalah rupanya sekarang,” sahut Encik Hazwan pantas. Bersetuju dengan
cadangan isterinya.
“Boleh ya Fuzah, kita pergi sama-sama
nanti?” tanya Encik Hazwan. Mengharap jawapan yang mampu mengembirakan hati
mereka suami isteri. Menatap wajah anak gadisnya yang menghela nafas perlahan.
“Tengoklah dulu Walid, Umi. Fuzah tak
janji. Fuzah naik ke atas dulu ya, ada kerja yang perlu Fuzah selesaikan.”
Ternyata jawapan yang diberi tidak seperti
yang diharapkan. Mahfuzah menolak penuh sopan. Gadis itu bergegas ke tingkat
atas. Sekaligus mematikan perbualan mereka anak beranak.
Encik Hazwan hanya memandang bayang
Mahfuzah hingga hilang dari pandangannya sebelum mengalih mata ke wajah Puan
Raudah. Ada kehampaan yang tersimbah di wajah itu. Sama seperti yang terlukis
di rautnya. Encik Hazwan mengeluh berat.
No comments:
Post a Comment