BAB 18
“Mahfuzah…”
Sapaan seseorang memalingkan tubuh
Mahfuzah yang sedari tadi berdiri mengadap jalan raya. Dia segera mengukir
senyum. Memandang Farhan yang entah bila berdiri tidak jauh darinya.
Perlahan-lahan dia menghampiri lelaki itu yang terlebih dulu mendapatkannya.
“Eh Farhan, tak perasan saya tadi.
Datang mengambil adik–adik ke?” suaranya ramah.
Dia memanjangkan leher ke satu arah.
Melekapkan sejenak pandangan mata ke kereta lelaki itu yang tersadai di bawah
rimbunan sebatang pohon. Tidak jauh dari kawasan sekolah tempat mereka berada
kini.
Farhan mengangguk kecil.
“Ya. Fuzah buat apa kat bus stop ni?” tanya Farhan sedikit kuat.
Mencelah suara di balik suasana hingar-bingar tengah hari itu.
Tiada senyuman di wajah seriusnya. Dia
sudah biasa berkeadaan begitu dan Mahfuzah memahaminya.
“Oh, saya tunggu bas. Nak balik
rumah,” balas gadis itu turut meninggi suara. Tidak menghiraukan keadaan
hiruk-pikuk di sekelilingnya.
Sesekali matanya mengerling ke arah
sekumpulan pelajar yang turut sama berada di perhentian bas tengah hari itu.
Mengerti dengan bisikan nakal yang sesekali kedengaran di celah mereka yang
melempar pandangan ke arahnya dan Farhan namun dia hanya beriak selamba.
Berkerut dahi Farhan seketika.
“Tunggu bas? Oh, patutlah saya nampak
Fuzah berdiri kat sini saja dari tadi. Kereta Fuzah mana?” tanyanya hairan.
Melepas pandangan ke persekitaran sejenak sebelum kembali melekat di wajah
gadis berkulit hitam manis itu.
“Kereta saya rosak semalam. Masih ada
kat bengkel kereta. Nak minta ayah ambilkan tapi dia tak ada kat rumah pula.
Dia bekerja di luar daerah sehari dua ni,” cerita Mahfuzah.
Ditunduk sedikit kepalanya tatkala
pandangan mereka bersatu. Ada getaran yang menendang ruang hatinya kala ini. Getaran
yang cukup difahami maknanya.
Farhan mengangguk lagi.
“Kalau macam tu, jomlah saya hantar
pulang. Rumah awak pun depan rumah saya saja. Bukannya jauh pun,” pelawa Farhan
seraya mengangkat jari-jemarinya ke muka. Mengelap butir peluh yang mula
merenik di dahinya. Dia mula memaling tubuh. Ingin kembali ke keretanya.
“Eh, tak payahlah Farhan. Buat
susahkan awak saja. Saya boleh tunggu bas,” sopan Mahfuzah menolak. Turut
menyapu peluh yang mula membasahi wajahnya dengan sapu tangan yang sedari tadi
berada digenggamannya.
Hakikatnya dia segan. Segan untuk
menumpang kereta lelaki itu. Segan untuk berada di dalam satu kenderaan
dengannya. Apatah lagi dirinya sendiri tidak gemar menyusahkan orang lain dalam
menyelesaikan sebarang kesusahan yang dihadapinya. Kerana itu dia menolak
hormat pelawaan lelaki itu. Biarpun mereka berjiran dan saling mengenali.
Biarpun hatinya menjadi milik lelaki itu dalam diam. Namun semua itu tidak
dijadikannya alasan untuk membantu dirinya keluar dari kepayahan yang sedang
dialami.
Farhan kembali menoleh. Merenung
sejenak wajah yang sedikit tertunduk itu. Dia mendengus lembut.
“Tak ada apa yang nak disusahnya
Fuzah. Setakat naik kereta tu, apa salahnya. Bukannya kena dukung pun,” ujarnya
selamba.
Tidak peduli pada Mahfuzah yang
sedikit memerah wajahnya. Tercuit hati dengan kata-kata lelaki itu.
“Haah Cikgu. Betul kata abang Han tu.
Jomlah balik dengan kita orang. Bukannya jauh pun rumah cikgu dengan rumah kita
orang,” sampuk Fakhira yang entah bila berdiri di sebelah Farhan yang sedikit
terkejut dengan kedatangannya. Namun tiada kata yang terluah dari mulut lelaki
itu.
Fadlan yang berdiri di belakang
Fakhira mengangguk laju. Tersenyum lebar.
“Betul kata adik saya tu. Jomlah Fuzah.
Lagipun hari panas terik ni. Boleh pening kepala kita kalau berdiri lama-lama
di tengah panas begini. Bas tu pun belum tentu nak sampai sekarang,” Farhan
kembali bersuara. Mengerut dahi sedikit. Menahan rasa panas yang mula membahang
di tubuh. “Kalau begitu baiklah,” Mahfuzah beralah jua.
Tidak sampai hatinya melihatkan
gelagat ketiga-tiga adik beradik itu yang beriya-iya mempelawanya. Tersenyum
manis pada Fakhira dan Fadlan yang bersorak girang. Sementara Farhan hanya
berwajah selamba. Mengatur langkah bersama-sama. Mendapatkan kereta Farhan.
“Suka saya bang bila Dhia tinggal
dengan kita. Taklah rasa sunyi sangat rumah kita ni.” Puan Marini bersuara sambil
menatap wajah suaminya yang menyandar tubuh di sofa di ruang tamu rumah mereka.
Kedua-dua suami isteri itu baru saja
selesai membersihkan belakang rumah sementara menunggu kepulangan Dhia tengah
hari itu.
“Abang pun sama Rini. Kalau boleh saya
nak Dhia tinggal terus dengan kita selama-lamanya. Lagipun kita pun bukannya
ada anak. Sekurang–kurangnya bila dia ada, meriahlah sikit rumah kita ni,”
balas Encik Mansur.
Matanya masih melekat pada kaca
televisyen yang terpasang di situ.
“Yalah bang,” sahut Puan Marini
perlahan.
“Alangkah baiknya lah kalau kita ada
anakkan bang. Kenapalah saya ni mandul?” suara Puan Marini tiba–tiba. Dia
mengeluh perlahan.
“Isy awak ni Rini, tak baik cakap
macam tu. Dah Allah tak izinkan kita ada anak, nak buat macam mana lagi.
Bukannya kita tak berusaha, tapi dah bukan rezeki kita. Tak baik awak merungut
macam tu,” tegur Encik Mansur lembut.
“Saya bukan merungut bang tapi rasa
kesal. Dah berpuluh tahun kita kahwin, dah beratus cara kita usaha, masih tak
ada anak. Masa berkahwin berdua, tak sangka pula masa tua pun masih berdua
juga,” suara Puan Marini sedikit sebal.
“Nasib baiklah masih berdua, kalau
dibuatnya tinggal seorang diri saja, hah, lagi terukkan?” usik Encik Mansur tersenyum
lebar. Memandang wajah sang isteri yang menjeling geram padanya.
“Hisy abang ni, ke situ pula
fikirnya,” sanggah Puan Marini cepat.
“Itulah bang, dulu masa saya suruh
kahwin lain abang tak nak. Hah sekarang, tengok. Kita berdua saja yang ada pun.
Sekurang–kurangnya bila abang kahwin boleh juga kita merasa ada anak walau itu
hanya anak tiri saya,” sambungnya seakan marah. Memuncung bibir pada suaminya
yang tersenyum kecil.
“Itu kata awak Rini. Dibuatnya
anak–anak tiri awak tu benci kat awak, tak sukakan awak, macam mana? Madu awak
pula suka mengongkong abang. Tak benarkan abang balik menjenguk awak walau
sekejap. Tak ke awak juga yang merana nanti. Lagi pun Rini, dibuatnya lepas
kahwin lain pun kita masih tak ada anak, tak ke malu abang ni. Nampak benarlah
abang yang mandul,” Encik Mansur menyela kata.
“Hei, abang ni. Kan doktor dah kata,
yang mandul tu saya, bukannya abang. Lagi pun takkanlah madu saya sejahat tu.
Tak mungkin dia nak buat saya macam tu,” sangkal Puan Marini cepat. Kurang
senang dengan kata-kata yang diluah oleh suami tersayang.
Encik Mansur menggeleng kepala
perlahan. Tersenyum lagi.
“Dahlah Rini oi, abang tak nak cakap
lagi pasal tu. Kita ni dah tua, dah hampir hujung lima puluh tahun pun. Waktu
begini patutnya kita fikirkan pasal bekalan yang kita nak bawa ke akhirat
nanti, bukannya fikir pasal anak lagi. Selama kita tak ada anak pun kita tetap
bahagia juga kan,” suara Encik Mansur.
“Tapi bang…” Puan Marini masih ingin
bersuara tentang hal itu.
“Kan abang dah kata sudah, tak
payahlah kita cakap lagi pasal tu. Ni, si Dhia pergi mana? Tak nampak pun dari
tadi?” soal Encik Mansur memusing butir bicara mereka.
Baru teringatkan anak saudara yang
masih belum kelihatan bayangnya hingga kini. Bola matanya merayap ke sekeliling
ruang tamu rumah sebelum kembali ke wajah isterinya.
“Dia keluar, pergi jumpa kawan
katanya.” Puan Marini menjawab lembut.
“ Apa? Dhia keluar jumpa kawan?” tanya
Encik Mansur agak terkejut.
“Hai, sejak bila pula budak Dhia tu
ada kawan kat sini? Bukannya dia pernah tinggal kat sini pun. Balik Malaysia
sekalipun tak pernah, inikan pula ada kawan,” sambungnya sedikit hairan.
Kerutan di dahinya yang sedia ada semakin bertambah.
“Alah abang ni, macamlah tak kenal
dengan perangai si Dhia tu. Benggali jual roti tepi jalan tu pun boleh jadi
kawan dia. Bukannya abang tak tahu Dhia, mulutnya tu becok mengalahkan burung
murai yang selalu berkicau kat pokok depan rumah kita ni. Pantang bersua muka
dengan orang, semua nak ditegurnya,” sambut Puan Marini.
Dia memandang suaminya yang tersenyum
kecil seraya mengeleng perlahan. Lelaki itu menarik nafas panjang.
“Bila tengok Dhia, teringat abang pada
arwah kakak dan abang. Kasihan Dhia, dahlah seorang diri, mak ayah pula dah tak
ada. Nasib baiklah masa kedua arwah pergi Dhia dah di tahun kedua akhir
universiti. Kalau tidak, tak tahulah apa yang akan jadi pada anak saudara kita
tu,” suara Encik Mansur.
Matanya tidak lagi tertumpu di kaca
televisyen. Sebaliknya tertancap lama di wajah isterinya yang tiba-tiba disalut
muram.
Puan Marini turut mengeluh panjang.
“Yalah bang. Sedar tak sedar dah
hampir dua tahun arwah kakak dan abang pergi. Dah lama jugalah kiranya si Dhia
tu jadi yatim piatu. Dahlah kuburnya pun jauh di Mekah sana. Setahun sekali pun
belum tentu kita boleh ziarah. Hanya doa sajalah yang boleh kita kirimkan pun,”
suara Puan Marini.
“Dah itu impian kedua mereka.
Terpaksalah kita tunaikan juga,” sahut Encik Mansur. Masih menombak mata ke
wajah Puan Marini yang terdiam sejenak. Berfikir.
“Habis tu bang, kalau Dhia tinggal
terus dengan kita, macam mana dengan rumah dan harta benda arwah abang dan
kakak kat England tu? Takkan nak biar begitu saja?” Puan Marini kembali
bersuara. Teringat pada segala harta yang ditinggalkan kedua ipar kesayangannya.
“Alah, biarlah si Dhia saja yang
uruskan semua hal tu. Lagi pun semua tu dah jadi hak Dhia sepenuhnya.
Terpulanglah pada Dhia nak buat apa pun,” balas Encik Mansur. Mengerling
sekilas pada Puan Marini yang segera mendengus lembut.
“Saya bukannya apa bang. Saya tak nak
Dhia tinggalkan kita. Saya tak mahu Dhia tinggal di negeri orang putih tu lagi.
Biar dia tinggal dengan kita sampai bila–bila. Dhia pun bukannya ada sesiapa
lagi selain kita. Esok–esok kalau jadi apa–apa pada kita, bolehlah kita berikan
harta benda kita yang tak seberapa ni pada Dhia,” tambah Puan Marini lagi.
“Itu kata awak Rini tapi kita tak tahu
apa pula yang difikirkan si Dhia tu. Dhia pun dah besar, dah 27 tahun pun.
Takkan kita nak paksa dia macam budak–budak pula,” sahut Encik Mansur.
“Kakak dengan abang pun satu, punya
luas tanah Malaysia ni, England tu juga yang menjadi pilihan mereka untuk
mencari makan. Apa, Malaysia ni tak cukup kaya ke sampai terpaksa tinggal di
England tu? Dahlah tu, bertahun–tahun pula tinggal kat sana. Nasib baiklah si
Dhia masih lagi tahu adab budaya bangsa kita. Kalau tak, tak tahulah,” rungut
Puan Marini sedikit marah. Dimuncung bibirnya sedikit.
“Awak ni Rini, abang dan kakak tu kan
orang Melayu. Takkan mereka lupa pada adat dan budaya bangsa sendiri. Apatah
lagi si Dhia tu pula merupakan satu-satunya anak yang mereka ada. Takkan mereka
sanggup biarkan si anak tu rosak binasa dengan budaya hidup orang Barat tu.”
“Bukan macam tu maksud saya bang. Kan
lebih baik kalau dulu dia orang tinggal saja di Malaysia ni. Sekurang-kurangnya
si Dhia tu terdedah dengan adat dan budaya kita dengan lebih baik. Ada orang
sekeliling yang boleh memberi contoh teladannya. Ini tidak, harap dia orang
berdua saja yang nak ajar si anak tu tentang budaya kita. Macamlah mereka tu
ada masa nak mengajar semuanya pada Dhia,” rungut Puan Marini lagi seraya
mencebik bibirnya.
“Yang awak membebel tak tentu pasal ni
kenapa Rini? Orang tu pun dah lama tak ada. Tak baik cakap benda yang dah
lepas. Berdosa tahu,” sanggah Encik Mansur lembut.
“Apa yang berdosanya pakcik?” sampuk
Dhia yang tiba–tiba muncul di depan muka pintu rumah.
Dia membuang kasut yang tersarung di
kaki seraya melangkah masuk ke ruang tamu. Dia tersengih kecil.
“Hah bertuah punya anak saudara. Masuk
rumah tak bagi salam, tahu–tahu dah terpacak kat depan rumah,” suara Puan
Marini sedikit terkejut. Geram dengan tingkah nakal gadis itu.
“Alah, salah makcik dan pakcik juga.
Saya dah bagi salam dari luar pagar lagi, tak ada seorang pun nak jawab,”
selamba Dhia membalas. Mengatur langkah mendapatkan kedua-duanya sebelum
merebahkan tubuh ke sofa.
“Kamu dari mana ni Dhia? Dah tengah
hari begini baru balik?” Puan Marini bersuara sedikit marah.
Dia sebenarnya bimbang kiranya ada
berlaku sesuatu yang tidak baik pada gadis itu. Maklum sajalah gadis itu masih
tidak biasa dengan kawasan persekitarannya yang baru beberapa lama didudukinya.
“Nasib baik saya balik waktu tengah
hari. Kalau saya balik waktu tengah malam macam mana?” usik Dhia tidak menjawab
pertanyaan wanita itu. Menyeringai pada Puan Marini yang segera mendengus
lembut.
“Hisy budak ni, lain di tanya lain
pula jawabnya. Dah, dah, jom makan. Makcik dan pakcik kamu ni dah kebulur tahu
tunggu kamu nak makan bersama,” Puan Marini bersuara lagi. Menatap Dhia yang
segera menjungkit kening.
“La, iya ke? Kenapa makcik dan pakcik
tak makan dulu?” Dhia bersuara hairan.
“Pakcik kamu suruh tunggu. Makan
bertiga baru sedap katanya,” sambut Puan Marini.
“Iyalah tu makcik oi. Dibuatnya saya
tak balik, mahu tak mahu, sedap ke tidak, tetap kena makan juga. Takkan nak
biar perut kembung tu macam belon pula. Ya tak makcik?” Dhia menyahut seraya
tersengih. Mengenyit mata sekali pada Puan Marini yang kembali mendengus
geram.
“Hei, dahlah tu kamu berdua. Asyik
bercakap je dari tadi. Perut ni pun dah berbunyi pelbagai irama. Jomlah pergi
makan,” celah Encik Mansur sedikit keras sekaligus mematikan niat Puan Marini
untuk kembali membuka mulut.
Encik Mansur segera berlalu ke ruang
dapur, meninggalkan Dhia dan Puan Marini yang terkocoh–kocoh mengikutnya dari
belakang.
No comments:
Post a Comment