Followers

Saturday, 5 October 2013

BAB 9 - SETIAKU DI SINI

BAB  9

“Wardah, abang minta maaf,” suara Encik Fatih pagi itu. Dia memandang wajah tenang sang isteri yang berdiri bertentangannya.
Puan Wardah yang sedang membetulkan kedudukan tali leher lelaki itu tersentak kecil.
“Minta maaf? Kenapa tiba–tiba saja abang minta maaf?” tanya wanita itu sedikit terpinga.
Tidak mengerti dengan maksud kata-kata itu. Wajah muram suami tercinta dipandang lama.
Encik Fatih mengeluh panjang. Jari–jemarinya mencapai jari–jemari isterinya sebelum dibawa ke dalam genggamannya. Mengelusnya lembut.
“Abang minta maaf Wardah. Dah sepuluh tahun kita berkahwin tapi tak ada sehari pun kebahagiaan yang abang boleh berikan pada Dah. Setiap hari Dah berendam air mata dengan sikap mak mertua abang.” suaranya sayu.
Titisan embun telah lama menitik tatkala Encik Fatih tiba di rumah malam tadi. Seluruh ahli keluarganya telah lama terbuai di alam mimpi. Dan sewaktu dia membaringkan tubuh di katil, dia terperasan airmata yang masih berbekas di pipi sang isteri. Kesan sendu yang mendatang sebelum wanita itu terlelap dalam tangisannya.
Dalam diam Encik Fatih menyesali diri. Dia tidak pernah dapat membahagiakan isterinya seperti mana yang dirasai oleh kebanyakan wanita dalam dunia ini. 
Puan Wardah tersenyum kecil. Ditarik tangan lelaki itu sebelum mereka sama–sama melabuhkan punggung di birai katil.
“Abang, kenapa abang cakap macam tu? Dah tak rasa pun abang tak bahagiakan Dah. Dah cukup bahagia hidup di sisi abang, dengan anak–anak kita. Walau pun mereka semua bukannya anak kandung Dah tapi Dah sayang mereka lebih dari nyawa Dah sendiri.
Macam tu juga dengan mak abang. Walau pun dia mak mertua abang tapi dia juga mak mertua Dah. Dah tak pernah menyesal berkahwin dengan abang.” Puan Wardah bersuara lembut, cuba menghilangkan gundah yang bersarang di hati lelaki itu.
Encik Fatih mengeluh panjang.
“Abang tahu semua itu Dah tapi abang sedar, dari mula kita berkahwin hingga sekarang, abang tak pernah bahagiakan Dah. Sebaliknya abang lebih banyak menyusahkan Dah,” lirihnya.
Matanya masih menongkah di wajah wanita itu yang segera mengukir senyuman. Menyejukkan hatinya yang masih diterpa rasa bersalah.
Puan Wardah tidak menyahut. Perlahan-lahan wajahnya diselaputi muram.
“Sepatutnya Dah yang minta maaf pada abang sebab Dah tak mampu bagi abang anak.” Suara Puan Wardah sayu. Kepalanya ditunduk sedikit.
“Wardah, berapa kali abang dah kata, jangan di ungkit lagi tentang perkara ni. Abang tak suka. Bukankah Dah sudah janji dengan abang? Apa Dah sudah lupa?” tingkah Encik Fatih sedikit tegas namun lembut.
Dia sekadar menegur wanita itu. Tidak mahu membangkitkan semula perkara yang telah lama berlalu.
“Dah minta maaf bang tapi entahlah, adakalanya hati Dah terusik bila terfikirkan tentang perkara ni,” balas Puan Wardah perlahan.
Untuk seketika Puan Wardah terkenangkan kemalangan yang pernah dilaluinya. Kemalangan yang telah meragut kebahagiaannya. Kemalangan yang tak mungkin dilupakannya sehingga akhir hayat.
Encik Fatih menarik nafas panjang.
“Sudahlah tu Wardah, jangan bersedih lagi. Abang tak mahu Dah fikirkan lagi perkara yang dah lepas tu. Biarlah semuanya berlalu pergi.”
Encik Fatih kembali bangun dari duduknya. Mengadap tubuh ke cermin. Membetulkan kedudukan baju kemeja yang tersarung di tubuh.
“Oh ya Dah, malam ni abang balik lewat sikit. Abang nak siapkan kerja–kerja abang kat resort tu,” ujar Encik Fatih kembali memalingkan wajah. Dia tersenyum kecil pada isterinya yang turut serta bangun.
Puan Wardah mengangguk kecil. Mengukir senyuman semanis mungkin buat suami tercinta. Menyambut huluran tangan Encik Fatih sebelum mengucup lembut tangannya.
Saat Encik Fatih menghilang dari balik pintu Puan Wardah masih lagi berdiri di situ. Mengenang kisah dulu yang pernah menghiasi masa silamnya. Puan Wardah hilang seketika dalam dunia khayalannya.

“So, awak dah faham dengan tugas awak sekarang Ain?” tanya Farhan sebaik selesai menerangkan segalanya.
Dia bersama Nuraini berada di bilik pejabatnya ketika ini bagi membincangkan tentang projek yang baru diterima syarikatnya beberapa hari lalu.
Nuraini mengangguk kecil.
“Saya harap awak dapat lakukan yang terbaik untuk projek ini Ain. Ini adalah projek besar pertama yang saya berikan pada seorang pereka grafik yang baru mengenal dunia pekerjaan seperti awak. Walau pun syarikat saya ni kecil tapi bagi saya hasil kerja yang dihasilkan haruslah standing dengan syarikat–syarikat gergasi yang sedia ada,” ujar Farhan lagi.
Kata-kata itu menusuk jauh ke ruang telinga Nuraini. Gadis itu mengangguk lagi. Tanda faham.
“Insya Allah Encik Farhan, saya akan melakukan yang terbaik untuk projek ini. Saya takkan mensia–siakan peluang yang Encik Farhan berikan pada saya,” penuh bersemangat Nuraini bersuara. Tangannya turut membantu Farhan mengemas helaian kertas yang berselerakan di meja antara keduanya.  
So, macam mana keadaan awak setelah beberapa lama awak bekerja di sini? Maksud saya, dari segi hubungan awak dengan rakan–rakan sepejabat, suasana sekeliling dan sebagainya. Ada sebarang masalah yang timbul di luar pengetahuan saya?” soal Farhan setelah segalanya kembali tersusun rapi. Matanya melekat sejenak di wajah manis itu.
“Alhamdulillah, setakat ini semuanya okey. Saya gembira dan seronok bekerja di sini. Semua pekerja melayan saya dengan baik. Hubungan kami juga semakin rapat. Itu sudah cukup menggembirakan saya. Jarang ada syarikat yang mempunyai hubungan yang sebegini erat apatah lagi dalam keadaan pekerjanya mempunyai pegangan agama dan bangsa yang berlainan,” ujar Nuraini meluah rasa hati.
Bahagia dengan apa yang dilaluinya ketika ini. Menatap wajah Farhan yang mengangguk kecil.
“Itulah sebenarnya aspek terpenting yang perlu ada dalam semua syarikat Ain. Tolak ansur, bekerjasama, saling memahami dan saling menghormati adalah antara budaya yang perlu kita terapkan dalam sesuatu komuniti tak kiralah syarikat ke, masyarakat ke. Barulah kita boleh menjadi kuat dan kukuh,” sahut Farhan. Berbangga dengan sikap yang ditonjolkan oleh setiap pekerjanya.
“Betul kata Encik Farhan tu. Jarang ada syarikat yang mampu mengekalkan semua itu di zaman sekarang, terutamanya syarikat-syarikat yang berada di bandar-bandar besar,” sambut Ain bersetuju dengan kata–kata lelaki itu.
“Hmm, dah terlanjur kita berbual ni, tak sedar dah masuk tengah hari pun,” suara Farhan saat matanya terpandang jam di pergelangan tangannya.
“Ya tak ya Encik Farhan. Dah masuk waktu tengah hari pun,” sambut Nuraini turut sama mengalih mata pada jam di pergelangan tangannya sejenak sebelum kembali tertancap di wajah ketuanya.
“Awak tak keluar makan ke Ain?” Mata Farhan kembali menombak wajah gadis itu. Tangannya menolak fail yang berada di depannya ke tepi meja.
Nuraini menggeleng perlahan seraya tersenyum sedikit.
“Tak Encik Farhan.  Saya bawa bekal,” sahutnya hormat.
Kepala Farhan terangguk kecil.
“Rajin awak bawa bekal. Tak apalah, kalau macam tu saya keluar dulu. Awak tolong tengokkan apa–apa yang patut sepanjang ketiadaan saya ni ya,” suara Farhan lagi memandang sekilas wajah gadis itu.
Dia bangun dari duduknya. Membetulkan kedudukan baju kemeja yang tersarung di tubuhnya sebelum mula menapak keluar.

“Baiklah Encik Farhan,” balas Nuraini turut bangun. Dia melangkah seiringan bersama ketuanya keluar dari bilik itu.

No comments:

Post a Comment