BAB 4
“Assalammualaikum dan selamat pagi
semua. Seperti yang kamu semua telah sedia maklum, hari ini saya akan
membentangkan satu lagi projek terbaru yang mana syarikat kita baru saja
perolehi dari salah sebuah syarikat tempatan yang beroperasi di selatan negara.
So,
untuk kali ini, mereka meminta kita menghasilkan iklan yang memaparkan tentang
projek yang bakal mereka laksanakan tidak lama lagi. Iklan ini akan ditayangkan
di semua media massa termasuklah di media elektronik dan media cetak,” lantang
Farhan memberi penerangan.
Matanya melekat pada setiap wajah
pekerjanya. Dia tekun memberi penjelasan pada semua yang turut khusyuk
mendengar kata-kata ketua mereka itu. Tidak menyedari pandangan seseorang yang
dalam diam mengagumi dirinya.
Nuraini, salah seorang pereka grafik
yang bertugas di syarikat milik Farhan begitu ralit memerhati tingkah lelaki
itu. Dalam diam Nuraini menilai diri lelaki bertubuh sederhana tinggi itu.
Wajah tampan Farhan dipandang lama sebelum dikalih ke bahagian lain tubuh
lelaki yang tidak pernah mengukir senyuman itu. Leka dirinya memerhatikan gerak
geri Farhan yang senantiasa kelihatan tegas dan serius. Memperlihatkan
kematangan lelaki itu dalam semua perkara.
“Okey, ada apa–apa lagi yang kamu
semua nak tanya?” pertanyaan Farhan pada semua pekerja menghalau lamunan
Nuraini.
Sedikit tersentak tatkala mata Farhan
berkalih sejenak ke arahnya sebelum dipaling ke arah mereka yang lain.
“Kalau tak ada apa–apa, mesyuarat kita
tamat di sini dulu. Apa–apa hal kamu semua boleh rujuk pada Tania atau pada
saya nanti,” suara Farhan lagi. Kembali mengadap wajah Nuraini yang sedikit kaget
dengan pandangan itu.
“Ain, saya nak jumpa awak sekejap,”
ujar Farhan serius menghayun langkah pantas.
Lelaki itu berlalu ke biliknya. Meninggalkan
kumpulan pekerjanya yang kini kembali berkeliaran ke tempat masing-masing.
Ain segera membuntuti Farhan yang
terlebih dahulu menapak ke dalam. Hatinya diterpa rasa bimbang.
Dia mengetuk daun pintu perlahan
sebelum ditolak cermat, lalu melangkah merapati Farhan yang melabuh punggung ke
kerusi.
Farhan mengamit gadis bertudung hijau
lumut itu agar mendekatinya. Menjeling sekilas ke kerusi di depannya. Memberi
isyarat pada gadis itu agar mendudukkan
diri.
Nuraini segera menarik kerusi, meletak
punggung dan mengadap lelaki itu.
“Ada apa Encik Farhan?” lembut suaranya melontar soalan. Matanya
menikam lembut wajah serius lelaki itu.
Farhan melingaskan mata. Menarik
beberapa helaian kertas bersaiz A1 yang ada di muka meja. Membentangkannya di
tengah meja sebelum matanya kembali menujah pandangan mata Nuraini.
“So
Ain, saya dah tengok hasil kerja awak untuk projek kita untuk syarikat Seri
Utama. Terus terang saya katakan, saya suka dengan cara olahan yang awak
lakukan untuk iklan tu. Nampak menarik dan senang untuk difahami. Klien kita
pun memuji cara awak yang begitu ringkas dan kreatif. Rasanya, saya perlu
memberi peluang yang lebih luas untuk awak kembangkan bakat awak dalam bidang
ni di masa depan,” suara Farhan membuka bicara. Nadanya kedengaran mendatar.
Tiada intonasi marah.
Nuraini menunduk wajah. Kembang
hatinya bila dipuji begitu. Hilang rasa bimbang yang bertamu dihatinya sebentar
tadi.
“Oleh sebab itu saya ingin memberi
peluang pada awak untuk libatkan diri dalam projek yang telah saya bentangkan
sebentar tadi. Kalau boleh saya nak awak bantu Danish membuat lakaran untuk
iklan itu. Saya nak hasil yang lebih baik dari iklan-iklan yang pernah syarikat
kita hasilkan sebelum ini. Boleh saya sandarkan harapan itu pada awak Ain?”
pandangan mata Farhan masih menusuk ke wajah manis itu.
Nuraini mengangguk kecil.
“Insya Allah Encik Farhan, saya cuba
melakukan yang terbaik nanti,” sahutnya penuh semangat walau dia kurang
mengerti dengan intipati projek yang disuarakan Farhan sebentar tadi.
Keasyikannya menilai diri lelaki itu
membuatkan Nuraini tidak memusat fikiran pada perbentangan itu sepenuhnya.
“Good.
Oh ya Ain, ada satu lagi perkara yang saya inginkan bincangkan dengan awak. Saya
sebenarnya nak minta pertolongan dari awak Ain. Itu pun kalau awak setujulah,”
Kata–kata Farhan membuatkan bola mata
gadis itu kembali menusuk ke wajah tampan itu. Lembut lelaki itu membalas
tatapannya.
“Encik Farhan nak minta tolong apa?”
tanyanya. Masih meratah wajah tenang itu.
Farhan menghempas nafas perlahan.
“Begini Ain. Awak sendiri pun
maklumkan, Tania akan bercuti bersalin tak lama lagi. Memandangkan saya sendiri
pun tak ada masa untuk mencari penggantinya, jadi boleh tak kalau sekiranya
saya lantik awak jadi setiausaha saya buat sementara waktu? Lagipun awak dah
ada pengalaman menjadi setiausaha sebelum ini kan? Saya ada terbaca dalam
resume yang awak bagi tak lama dulu,”suara Farhan lagi.
Nuraini terdiam sejenak. Berfikir
seketika.
Jadi setiausaha? Habis kerja aku macam
mana? Nuraini tertanya sendiri dalam hati.
“Tentang kerja awak tu, awak tak payah
risau. Saya akan bantu awak. Cuma itulah, saya harap sangat awak boleh
mengambil alih tempat Tania nanti. Tapi untuk sementara waktu sajalah sebelum
dia kembali bertugas,”
Nuraini masih mengunci mulut. Ligat
otaknya berpusing. Mencari kata-kata yang sesuai untuk kembali bersuara.
“Saya faham Ain, susah untuk awak
membuat dua kerja dalam satu masa tapi saya benar–benar berharap awak dapat membantu
saya. Silap saya sendiri sebab terlalu sibuk dengan kerja sampai tak terfikir
nak mencari pengganti tempat Tania buat sementara waktu,” Farhan sedikit
mengeluh. Kesal dengan kelalaian diri dalam menjalankan tanggungjawab sebagai
ketua syarikat.
Nuraini menarik nafas panjang. Serba
salah dirinya untuk menolak permintaan lelaki yang dalam diam begitu
dikaguminya itu. Jawapan yang sedia ada di benak ditimbal beberapa kali.
“Kalau tentang gaji yang merisaukan
awak, awak tak perlu risau. Saya akan bayar lebih dari gaji yang awak dapat
sekarang. Maksud saya, saya akan bayar gaji berdasarkan dua jawatan yang
disandang awak nanti,” suara Farhan lagi. Lebih kepada memujuk.
Dalam hati, Farhan tergelak sendiri.
Tak pernah dibuat dek orang pereka grafik dan setiausaha dijawat oleh orang
yang sama dalam satu masa. Namun keadaan yang terdesak membuatkan dia tidak
lagi memikirkan tentang semua itu.
“Eh, bukan itu yang saya fikirkan Encik
Farhan. Cuma saya rasa bimbang,” kata–kata pantas Ain tersangkut di situ.
“Bimbang?” Farhan mengangkat kening.
Menanti kata–kata seterusnya.
“Saya sebenarnya bimbang tak dapat
tumpukan sepenuh perhatian pada kedua–dua kerja tu nanti. Lagi pun Encik
Farhan, pengalaman saya menjawat jawatan setiausaha tu tak lama. Sebulan dua saja.
Banyak lagi kerja setiausaha yang saya tak tahu. Saya risau tak dapat melakukan
yang terbaik nanti,” jujur dia berterus terang.
Farhan menghela nafas pendek.
“Seperti mana yang saya katakan tadi,
saya sendiri akan bantu awak dalam menjalankan tugas–tugas itu nanti. Cuma buat
masa sekarang, saya hanya nak kepastian dari awak sama ada awak terima atau
tidak permintaan saya. Itu saja,” tegas dia bersuara.
“Lagi pun, sementara Tania masih belum
bercuti, awak boleh belajar dengan dia. Tak banyak pun tak apa. Buat setakat
mana yang awak boleh lakukan. Selebihnya nanti, saya akan ajarkan,” Farhan
bersuara lagi.
Dia merenung lama wajah Ain yang
perlahan–lahan menghembus nafas panjang. Dia terdiam semula sebelum mengangguk
kecil.
Farhan menarik nafas lega.
No comments:
Post a Comment