Followers

Saturday, 5 October 2013

BAB 10 - SETIAKU DI SINI

BAB  10

“Assalammualaikum my darling. Dah lama tunggu?” Dhia bersuara sebaik sahaja tubuhnya di henyak ke kerusi yang ada di depannya.
Hidayat yang sedari tadi ralit membuang pandangan ke tengah laut segera mengalih pandangan. Memandang Dhia yang tersengih kecil.
Hidayat mengorak senyuman panjang. 
“Waalaikumussalam my honey,” sahutnya ceria. Dibetul cara duduknya. Menegakkan semula tubuh yang bersandar di kepala kerusi sedari tadi.
“Kau nak minum apa?” soalnya. Matanya menjelajah sejenak wajah gadis bertubuh kecil itu.
“Apa–apa sajalah,” sahut Dhia.
“Air buah ya…”
Belum sempat Hidayat habis bersuara dua gelas air buah tiba di meja mereka bersama dua pinggan kuetiau goreng.
Dhia merengus lembut.
“Kalau beginilah gayanya, tak payahlah kau tanya aku tadi,” ujarnya pura–pura marah.
Namun dia sempat mengucapkan terima kasih pada pelayan yang menghantar pesanan yang terlebih dulu diminta Hidayat sebelum kedatangannya. Seketika dia menjeling sekilas Hidayat yang tertawa kecil.
“Alah, apa salahnya kalau aku tanya. Bukannya rugi pun kau nak menjawab,” selamba dia membalas. Mengenyit mata pada Dhia yang mendengus lembut.
So Dayat, apa keputusannya?” tanya Dhia sebaik saja seteguk air buah melepasi tekaknya.
Hidayat mengembang senyuman.
“Apa–apa hal pun kita makan dulu ya my honey,” suaranya menarik pinggan kuetiau goreng merapatinya.
Disudu ke mulutnya sebelum perlahan-lahan mengunyah. Menikmati keenakan makanan yang memenuhi seleranya.
Dhia menarik nafas panjang.
“Aku tak ada selera nak makan apapun selagi aku tak tahu keputusannya Dayat,” kesayuan mulai membalut nada suaranya.
Kunyahan Hidayat terhenti sejenak. Untuk seketika dia terdiam. Matanya kembali menebak wajah yang diserang resah itu. Mengerti dengan rasa yang bergelodak di hati gadis itu. Namun dia pura-pura tidak mengetahuinya. Dia kembali menyambung suapan.
“Boleh aku tahu apa keputusannya Dayat?” tanya Dhia lagi. Wajah tampan milik Hidayat di pandang lagi. Lebih kepada pandangan mengharap.
Segugus nafas terluah dari celah bibir Hidayat. Dia menelan air liur.
“Dayat…” Dhia kembali bersuara setelah melihat lelaki itu hanya membisu.
Hidayat meletak semula sudu di tangan ke pinggan. Lambat–lambat tangannya menyentuh beg sandang yang di bawa bersama. Menarik keluar sehelai kertas bersaiz A4.
Diunjuk pada Dhia yang cepat–cepat mencapainya. Diselak kertas yang terlipat dua itu. Di baca dengan teliti satu persatu setiap patah perkataan yang tertera di atasnya.  Dia kembali memandang Hidayat yang menyambung semula suapannya.
So, apa keputusannya?” tanya Dhia ingin tahu.
Sesungguhnya dia tidak mengerti dengan setiap apa yang tercetak di helaian kertas putih bersih itu. Walau pun dia belajar hingga ke peringkat sarjana di salah sebuah universiti di England namun dia tidak mampu memahami segala yang tertera di situ sementelah semua itu berada di luar bidang pengetahuannya.
Hidayat kembali memandang wajah Dhia. Jelas tertera riak ingin tahu di wajah cerah berseri itu. Sudu di tangan kembali di letak ke dalam pinggan.
“Positif,” hanya itu yang terluah di bibirnya.
Dhia tergamam seketika.
“Jadi aku....” kata Dhia terhenti di situ.
“Kau jangan bimbang Dhia. Aku akan tolong kau sedaya yang mungkin. Aku akan pastikan segalanya akan selamat. Semuanya akan kembali seperti biasa.” cepat saja Hidayat mencantas sebelum sempat Dhia menyambung kata.
“Kau bukan Tuhan untuk menentukan segalanya selamat Dayat,” lirih Dhia menyangkal.
Tubuhnya tersandar lemah ke kerusi. Ternyata jawapan Hidayat sebentar tadi benar–benar meruntuhkan semangatnya.
“Aku tahu aku bukan Tuhan Dhia tapi sebagai manusia kita diminta untuk berusaha hingga akhir hayat, bukannya berserah begitu saja,” balas Hidayat sedikit tegas.
Menujah lembut pandangan matanya pada Dhia yang menarik nafas sedalam mungkin. Cuba menghalau kegalauan yang mula mengambil tempat. Sekaligus mematikan seleranya untuk menjamah makanan yang terhidang enak di depannya.
Dhia tidak membalas. Dikalih pandangan matanya. Keluar dari restoran terbuka tempat mereka berada kini. Mencecah ke ombak yang begitu galak menghempas pantai. Menghasilkan suasana tenang dan nyaman. Namun semua itu tidak melekat di hatinya. Ada rasa sayu yang mengigit tangkai hatinya waktu ini.
Hidayat turut terkelu bicara. Sedar, hati gadis di depannya terluka dengan jawapannya. Dia apatah lagi. Namun dia cuba menyembunyikan rasa sakitnya itu dari terpapar di raut wajahnya. Disedut nafas sedalamnya. Perlahan–lahan dia kembali membuka mulut.
“Dhia, aku nak kau tahu, aku amat sayangkan kau dan aku berjanji, aku akan berusaha melakukan yang terbaik untuk kau. Cuma satu yang aku minta dari kau. Jangan sesekali kau lemah semangat dan kau kena berjanji yang kau ikut segala nasihat aku,” Hidayat bersuara lagi setelah agak lama mereka terdiam.
Dhia kembali memalingkan wajah. Menatap Hidayat yang kini menyandar tubuh ke kerusi. Wajah bersahaja lelaki itu ditatap lagi. Bibirnya mengukir senyum. Hambar.
“Aku tahu kau sayangkan aku Dayat. Aku juga begitu. Dan aku juga tahu kau akan melakukan yang terbaik untuk aku. Kerana itulah aku sanggup pulang ke Malaysia walau pun aku tahu aku tak dah tak ada harapan lagi. Aku dah tak ada sesiapa lagi untuk aku kongsi segalanya. Tak ada sesiapa,” sayu Dhia meluah kata.
Wajahnya kembali tertunduk. Airmata yang entah bila bertakung di kolam mata diseka perlahan. Menyentuh perasaan Hidayat yang memandang.
“Jangan cakap macam tu Dhia. Kau masih ada aku dan yang paling penting, kita masih ada masa untuk menyelesaikan segalanya. Insya Allah, segala–galanya akan kembali seperti sedia kala. Percayalah Dhia.” Hidayat bersuara lagi. Penuh yakin.
Dhia yang mendengar hanya mengulum senyum dalam kesayuan. Ada sebak yang bertakung di lopak hatinya kala ini.

Encik Fatih memicit kepalanya yang terasa berdenyut. Saraf otaknya dirasakan begitu menyakitkan. Bertambah sakit bila mengenangkan keadaan resortnya yang semakin meruncing. Kehadiran pelancong dan kedatangan pelanggan yang semakin berkurangan di resort dan kafenya menyusutkan sumber kewangan yang dimilikinya sekarang.
Di tambah dengan masalah pemberhentian pekerja akibat bayaran gaji yang sentiasa tertunggak menambahkan lagi segala permasalahan yang ditanggungnya kini.
Dialih matanya seketika ke arah meja pejabat. Matanya tertancap seketika pada gambar dia sekeluarga. Walau pun Encik Fatih mempunyai masalah sebesar gunung namun dia tidak pernah berkongsi segala masalah itu dengan orang–orang kesayangannya. Bukan prinsipnya berbuat demikian.
Baginya, biar selautan masalah yang mendatanginya namun tak mungkin dia menceritakannya pada mereka. Dia tidak mahu menambahkan beban mereka dengan masalah–masalah yang sedang dihadapinya. Apatah lagi sebagai ketua keluarga, telah menjadi tanggungjawabnya menjauhkan keluarga dari sebarang bebanan yang dirasakan menyusahkan mereka.
Matanya terpaku seketika pada wajah Farhan. Melihat wajah itu membuatkan hatinya diserbu kesedihan. Dia sedih mengenangkan Farhan yang tidak pernah merasai kegembiraan dalam mengharungi kehidupan. Zaman remaja pemuda itu berlalu dengan penuh penderitaan. Tiada kebahagiaan yang menyinggah walau sejenak.
Namun seperti dirinya, pemuda itu tidak pernah menunjukkan rasa sedihnya. Seolah–olah rasa sedih itu tidak pernah wujud dalam kamus hidupnya. Farhan meredah segalanya tanpa mengharapkan sebarang bantuan dari sesiapa. Sekaligus mendidiknya menjadi seorang lelaki yang tabah dan kuat dalam menghadapi segala dugaan hidup. Malangnya pemuda itu tidak pernah mengenali erti bahagia. Jauh sekali cinta.
Kehadiran Puan Wardah dan sepasang adik kembarnya di ibaratkan penawar buat Farhan yang keseorangan dalam merempuh perjalanan hidupnya. Ketiga-tiganya telah berjaya memberi kebahagiaan buat Farhan walau hanya sekadar setitis cuma. Menyembuhkan luka yang telah lama wujud walau kesan parutnya jelas masih tercoret. 
Dan sebagai seorang ayah, Encik Fatih berasa bersalah. Bersalah kerana tidak mampu memancarkan kebahagiaan pada wajah anak itu. Memberi kegembiraan seperti mana yang dirasai oleh anak-anak muda lain. Sekaligus membiarkan dia terus bergelumang dalam kedukaan. Walau Farhan tidak pernah mempamerkan kelukaannya namun Encik Fatih dapat menyelaminya.
Kerana itu apabila Farhan menyatakan hasrat untuk membuka syarikat sendiri sebaik sahaja tamat pengajiannya dari Universiti Teknologi Mara beberapa tahun lalu dia tidak menghalang. Malah dia memberi sepenuh galakan dan semangat buat sang anak yang baru bertatih untuk terjun dalam bidang yang diminatinya. Sekurang–kurangnya dengan itu Farhan akan menikmati kegembiraan walau hanya sebesar zarah.
Wajah yang tidak pernah mengukir senyuman itu dipandang lagi. Memandang wajah itu mengingatkannya pada arwah Fadzillah, ibu kandung pada anak sulungnya itu. Wajah itu saling tidak tumpah seperti wajah wanita yang pernah menjadi kesayangannya suatu masa dulu. Bezanya, tiada lagi senyuman yang menghiasi wajah tampan itu semenjak sang ibu pergi meninggalkannya beberapa tahun lalu. Senyuman pemuda itu turut mati bersama pemergian wanita itu.
“Zilah, apalah dosa abang hingga Zillah pergi tinggalkan abang. Apa kurangnya kasih sayang abang pada Zillah hingga Zillah sanggup buat begitu pada abang.”
Tanpa sedar Encik Fatih merintih perlahan. Untuk seketika fikirannya hilang dalam kenangan silam.

Namun tak lama dia kembali beristighfar panjang. Tidak seharusnya dia mengingati perkara yang telah lama berlalu apatah lagi perkara itu begitu menyakitkan. Melukakan perasaannya. Melukakan semua. Encik Fatih beristighfar lagi. 

No comments:

Post a Comment