Followers

Saturday, 5 October 2013

BAB 6 - BERSATU DALAM CINTA

BAB 6

“TAK sangka betul saya bang. Jiran baru kita tu ada anak perempuan sebegitu cantik. Dahlah cantik, bersopan santun pulak tu. Lemah-lembut lagi. Cuma nampak gayanya anak dara tu macam jenis yang kurang bercakap. Pendiamlah kot tapi saya suka dengan perangainya tu.
Sama saja perangainya macam anak-anak dara Melayu di zaman dulu. Pemalu tapi kaya dengan akhlak yang baik. Berkenan betul saya dengan budak Wafi tu bang.”
Begitu berjela-jela Puan Fatimah memuji anak perempuan Puan Ainun dan Encik Musaid malam itu. Tergawang-gawang tangannya tatkala bercerita.
Sedang si suami hanya mengulum senyuman. Sejak tadi lelaki itu hanya meletak mata di buku yang ada di tangannya.
“Pendek kata awak dah berkenan nak jadikan dia menantulah ni ya?” tanya Encik Rais terus-terusan tersenyum seraya menggeleng.
“Apalah guna awak bercerita panjang lebar pada abang Fatimah oii. Bukan abang yang awak nak padankan dengan budak tu tapi dengan anak bujang kita tu hah. Kenapa awak tak terus cakap kat dia aje?” ucap Encik Rais mengerling Faris di depannya.
Sejak tadi lelaki itu hanya melekap mata ke skrin televisyen tanpa ambil peduli pada isi perbualan kedua-dua orang tuanya. Pura-pura tidak mendengar biarpun setiap patah kata suami isteri telah lama merayap masuk ke telinganya.
Puan Fatimah merengus lembut.
“Huh, buat apa saya cakap dengan anak kita ni bang. Bukannya dia mahu dengar pun. Kalau dia dengar tu kira satu keajaibanlah bang.”
Puan Fatimah menjeling wajah anaknya dan seperti dijangka lelaki itu hanya membuat muka selamba. Langsung tidak terkutik dengan kata-kata emaknya.
“Cantik ke budak perempuan tu mak?”
Riya yang turut berada di ruang tamu rumah itu bertanya. Dia sekeluarga tidur di rumah ibu bapanya malam itu. Matanya dilekap ke wajah Puan Fatimah yang pantas mengangguk laju.
“Cantik Riya, macam rupa pelakon Bollywood yang berlakon cerita sedih tu pun ada. Apa namanya? Hah, Preity Zinta. Hai... kalau ikutkan hati mak ni, nak saja mak pinang budak Wafi tu untuk abang kamu. Tapi tulah, abang kamu buat bodoh aje bila mak cakap pasal ni.” Sambil bercakap wajah Faris dijeling buat kali kedua.
Dan seperti tadi, lelaki itu hanya memekakkan telinga. Langsung tak berminat untuk menyampuk. Jauh sekali masuk campur dalam perbualan itu.
“Iya ke mak? Kalau rupanya pun dah macam Preity Zinta, itu bukan cantik lagi mak tapi dah cantik sangat tu. Apa nama kakak tu?”
Riya pula yang teruja mendengar cerita Puan Fatimah. Beriya-iya dia bertanya. Sedangkan matanya sudah beberapa kali melirik pada Faris. Sekadar ingin menyakat abangnya.
“Namanya Lailatul Wafi. Memang cantik budaknya tu Riya oii. Walaupun dia tak suka senyum sangat tapi lembut benar air mukanya. Mak teringin nak berbual dengan dia tapi nampak gaya dia tu macam tak suka berbual dengan orang aje. Mungkin segan dengan orang yang baru dia kenal kot.” Sambil bercerita Puan Fatimah membuat tafsiran sendiri berkenaan Wafi.
“Alah, tak kisahlah dia tu jenis yang segan ke, malu ke. Cantik ke tidak rupanya, itu bukannya masalah besar. Janji orangnya baik. Dan yang paling penting, dia ada pegangan agama yang kukuh. Barulah boleh dibuat ibu rumah. Iya tak bang?” Suara Riya seraya mencuit sedikit cuping telinga Faris di sisinya.
Lelaki itu hanya merengus halus. Tak senang dengan usikan itu.
“Ris, apa kata kalau kamu berkenalan dengan budak Wafi tu? Mana tahu kamu berkenan nak buat isteri. Mak jugak yang untung sebab dapat besan sebelah rumah aje.” Terus saja Puan Fatimah memberi usul pada anak lelakinya.
Benar-benar berharap anak itu akan menerima usulan itu. Namun seperti yang dijangka, jawapan Faris hanya menyakitkan telinga si emak yang mendengar.
“Hisy mak ni. Suka-suka mak aje nak padankan Ris dengan dia. Entah-entah budak tu pun dah ada tunang ke, boyfriend ke, kita tak tahu. Lagipun mak, Ris tak terfikir lagilah nak kahwin buat masa sekarang. Cukuplah dengan kisah lalu. Serik Ris nak fikir pasal kahwin ni lagi. Fobia dibuatnya,” tegas dia dengan mata yang masih melekap di televisyen. Jelas kelihatan di riak wajah rasa hatinya ketika ini.
“Itu kisah dulu Ris. Buat apa kamu nak kenang lagi? Eisya pun dah lama jadi isteri orang. Takkanlah hanya kerana kamu tak jadi kahwin dengan Eisya, kamu dah tak mahu fikir pasal kahwin lagi sampai bila-bila?” marah Puan Fatimah namun masih bernada lembut semata-mata ingin memancing persetujuan anak itu.
“Ris tak kata Ris tak nak fikir kahwin sampai bila-bila.
Ris akan fikirkannya jugak nanti tapi bukan sekarang. Buat masa ni Ris nak tumpukan perhatian Ris pada kerjaya Ris aje.” Faris masih mempamerkan ketegasan yang sama seperti tadi. Tidak berminat.
“Dahlah mak, tak payahlah cakap pasal ni lagi. Buang masa aje kita bercakap perkara-perkara yang takkan menjadi kenyataan dalam masa terdekat ni. Mak pun tak lenguh mulut, Ris pun tak sakit telinga,” sambungnya bersama satu rengusan kasar. Tanda dia benar-benar tidak mahu lagi bercakap tentang perkara itu.
Sekali gus mematikan lidah Puan Fatimah yang baru berkira-kira ingin menyahut. Masing-masing terus mengunci mulut seraya berbalas pandangan. Sedikit sebal dengan penerimaan hambar lelaki itu.

“WELL, tak sangka langsung yang saya akan jumpa awak lagi,” sinis Ainul meluah kata sebaik sahaja melabuhkan punggung di kerusi. Menghadap wanita itu.
“Apa? Awak fikir saya nak hadap sangat muka bodoh bangang awak tu? Eii, tolonglah. Kalau tak kerana ayah yang suruh, tak adanya saya nak duduk semeja dengan awak tahu? Buat geli tekak aje tengok muka manusia tak ada akal fikiran waras macam awak tu,” cebik Alia pula. Penuh meluat seraya menjeling tajam.
Ainul sudah menjongket kening kanannya. Sinis dia tersenyum.
“Habis tu awak fikir saya teringin sangatlah nak tengok muka perempuan perasan bagus macam awak tu? Excuse me Puan Alia Amani! Muka mak cik yang jual kerepek kat tepi longkang restoran ni seribu kali lebih cantik dari muka buruk awak tu tau? Sedarlah diri tu sikit.” Nyata sekali Ainul tidak mahu menyerah kalah.
“Helo Encik Ainul Hayat, tolong jaga sikit mulut tak bertapis awak tu ya? Jangan nak fikir diri sendiri aje yang bagus. Harap otak aje besar tapi kalau tak ada akal pun tak guna jugak!” sembur Alia sudah dipercik marah.
Membuntang saja matanya membalas pandangan terbeliak lelaki itu. Geram dengan kata-kata selamba bekas isterinya.
“Apa awak cakap? Ulang seribu kali lagi!” Ainul telah mencekak pinggang. Ikutkan hati mahu saja dia menganyang mulut jandanya tu. Kurang ajar betul! Marah hatinya.
“Apasal? Telinga awak dah pekak ke hingga saya terpaksa ulang beribu kali hah?” Darah Alia semakin mendidih.
Tanpa sedar dia sudah bangkit berdiri menghadap Ainul yang turut berbuat demikian. Saling berpandangan. Penuh marah.
“Maafkan saya kerana menyampuk Puan Alia, Encik Ainul tapi saya harap sangat kamu berdua boleh tenangkan diri masing-masing. Kita berempat berada di sini bukan sebab nak bergaduh okey tapi nak berbincang pasal projek kerjasama antara kedua-dua syarikat. So please Puan Alia, Encik Ainul, control yourself.”
Tanpa menunggu lama, Rina terus mencelah kata. Berusaha meleraikan bunga-bunga pertengkaran yang mula berkembang antara lelaki dan wanita itu.
“Betul kata Rina tu Encik Ainul, Puan Alia. Kita datang ke sini sebab nak berbincang pasal projek, bukannya nak mencari gaduh. So, boleh kita mulakan perbincangan kita sekarang?” sampuk Lily pula.
Memandang Rina mengangguk laju sebelum berkalih pada kedua ketua mereka yang perlahan-lahan kembali melabuh punggung di kerusi masing-masing. Saling berhadapan. Ainul merengus kecil.
“Huh, nasib baik kau orang berdua ada kat sini. Kalau tak dah lumat saya kerjakan mulut perempuan perasan bagus ni. Celopar tak ingat!” sinis dia bersuara lagi.
Namun kata-kata lembut itu sudah cukup untuk membakar hati Alia agar terus-terus membara.
“Ewah, sedapnya awak cakap. Apa awak ingat mulut saya ni sambal belacan ke hah? Senang-senang aje nak dilumatkan. Suluh diri sendiri tu dulu sebelum nak kerjakan orang. Diri sendiri pun tak tentu hala jalannya, pandai-pandai pulak nak ajar orang,” sindir Alia menjeling tajam wajah tegang lelaki itu.
Both of you please, janganlah nak bergaduh semula. Malu ditengok orang nanti. Masa kita pun terbuang begitu aje.” Lily terus menyelit suara tanpa sempat Ainul membalas kata-kata Alia.
“Okey. Sepertimana yang kita berempat sedia maklum, kita akan bincangkan tentang projek pembinaan perumahan yang bakal dilaksanakan di kawasan Bukit Seri Emas tak lama lagi. Jadi ada sesiapa nak beri apa-apa cadangan atau sebarang kata-kata berkenaan projek ini sebelum kita bincang dengan lebih lanjut?” sambungnya terus kepada topik perbincangan. Menatap satu per satu wajah di depannya.
“Saya rasalah Lily, lebih baik kalau projek ni dikendalikan oleh syarikat kita saja tanpa adanya campur tangan dari pihak yang tak sepatutnya terlibat. Apa guna kita membuat kerjasama antara syarikat kalau orang nak mengendalikan projek ni pun tak tahu nak kendalikan kehidupannya sendiri. So, daripada kita rosakkan projek ni di masa depan, lebih baik kiranya kalau kita sendiri saja yang handle projek ni? Apa kata awak Lily?” Suara Ainul selamba. Memandang Lily di sisi sebelum mengalih mata pada Rina dan Alia di depannya. Sinis. Alia terus saja mencebik bibir.
“Huh, apa awak fikir saya nak sangat ke handle projek ni dengan awak? Boleh jalanlah! Kalau awak rasa kepala otak bodoh bangang awak tu boleh berfungsi bagi idea-idea yang bagus untuk projek ni, awak handle ajelah projek ni sendiri. Sebesar hama pun saya tak hairanlah!
By the way, awak silap kalau kata saya tak pandai handle hidup saya sendiri. Awak tu yang patutnya cermin diri sendiri. Nak handle projek perumahan seorang diri konon. Rumah tangga sendiri pun porak-peranda dibuatnya. Inikan pula nak tolong bina rumah pada orang. Hei, betullah bos awak ni tak sedar diri Rina!” perli Alia menjeling lagi wajah marah Ainul.
“Helo! Bukan saya yang porak-perandakan rumah tangga kita okey, tapi awak tu yang bodoh tak tahu nak menjaga semuanya! Lelaki mana yang boleh tahan sabar kalau ibu rumahnya ada hubungan dengan jantan lain!” sembur Ainul pula.
Terus saja meluah marah yang telah lama dipendam. Langsung terkeluar dari tajuk yang sepatutnya menjadi intipati perbincangan mereka berempat tengah hari itu.
“Oh, jadi awak tuduh saya curang pada awaklah ya?” Alia turut sama menyinga.
Excuse me, bukan saya yang curang sebenarnya tapi awak tu yang tak pernah jalankan tanggungjawab sebagai kepala keluarga. Siang malam tahu duduk kat pejabat saja. Lebih pentingkan kerjaya dari rumah tangga sendiri. Langsung tak ambil peduli dengan keadaan isteri apatah lagi rumah tangga dan sekarang senang-senang aje awak tuduh saya curang pulak ya?” Tanpa sedar Alia sudah berdiri seraya mencekak pinggang. Melotot mata pada Ainul yang turut serta bangun dari duduknya.
“Oh, jadi sebab saya sibuk kerjalah awak cari jantan lain pulak ya? Habis tu, awak fikir saya kerja macam nak mati tu untuk siapa kalau bukan untuk kesenangan isteri sendiri hah?” marah Ainul tidak lagi peduli pada keadaan sekeliling.
Apatah lagi pada Rina dan Lily yang makin gelisah di tempat duduk masing-masing. Gelisah melihatkan tingkah kedua-dua ketua mereka yang tiada tanda akan menghentikan pertengkaran hangat itu ketika ini.
“Huh, kerjalah sangat. Macamlah saya tak tahu yang awak tu ada perempuan simpanan kat pejabat awak tu. Kalau tidak tak adalah si Mona gedik tu bertenggek aje siang malam kat pejabat awak semata-mata nak berasmaradana dengan awak dua puluh empat jam. Sanggup awak hantar dia ke hulu hilir sampai langsung tak hirau keadaan saya yang terkontang-kanting jaga diri sendiri. Dasar jantan tak sedar diri,” cemuh Alia penuh geram.
“Hei Alia, awak jangan nak tuduh saya atas perkara yang saya tak pernah buat ya? Apa awak fikir saya ni lelaki yang tak cukup satu perempuan ke hah? Sedap-sedap aje nak tuduh saya ada perempuan lain. Mona tu hanya cleaner kat situ, jadi tugas dia membersihkan seluruh pejabat, bukannya mengurat saya dua puluh empat jam.
Dah jadi kerja dia mengelap dan mencuci semua bilik pejabat tu setiap hari. Takkanlah saya nak halau dia pula setiap kali dia bersihkan bilik saya? Lagipun mana pernah saya bawa dia ke mana-mana pun. Jangan kata nak keluar makan, nak sembang dengan dia pun saya jarang-jarang buatlah.
Yang awak tu, keluar dengan jantan lain tanpa pengetahuan saya, boleh pulak ya? Tahu-tahu aje orang bagitahu saya yang dia orang nampak awak berkepit dengan jantan lain. Tak curang ke namanya tu hah?” tengking Ainul sekuat hati. Benar-benar berangin setiap kali mengingati semua peristiwa itu.
“Hei, siapa kata saya keluar dengan jantan lain tanpa pengetahuan awak hah? Setiap kali saya nak ke mana-mana pun saya ada bagitahu awak bukan? Tak dapat telefon, saya hantar mesej tapi awak tu yang bodoh bangang. Langsung tak pernahnya nak buka telefon bimbit tu. Tengok dan baca apa yang patut. Fikir dulu salah sendiri sebelum nak salahkan orang lain! Dasar bodoh tak sedar diri!” maki Alia turut menengking tinggi hingga turun naik dadanya seketika. Bergelombang dek hati yang panas dengan tuduhan tak berasas lelaki itu.
“Amboi, sedapnya mulut awak panggil saya bodoh bangang. Jaga sikit mulut celopar awak tu ya? Apa awak fikir awak tu pandai sangat ke hah? Otak awak tu lebih kurang macam otak lembu aje. Binatang tu pun rasanya lebih cerdik dari awak yang perasan bagus serba-serbi tu. Entah apa malang mak bapa awak dapat anak macam awak ni pun tak tahulah.” Angin puting beliung Ainul semakin berputar laju mendengar makian jandanya.
“Kurang ajar! Awak samakan saya dengan binatang?” Tanpa sedar tangan Alia pantas mencapai gelas air orennya sebelum air sejuk itu disimbah tepat ke muka Ainul.
Terkejut besar lelaki itu dengan tindakan spontannya hingga terkaku dia buat seketika. Ditatap beberapa saat tubuhnya yang sudah basah disirami air oren dan ketulan ais. Membasahi permukaan meja dan ruang bawahnya biarpun tak sebanyak mana.
Rina dan Lily apatah lagi hingga keduanya turut terkedu melihatkan adegan tidak dijangka itu. Riak wajah Ainul pula sudah bertukar merah menyala bercampur tegang. Benar-benar marah lagi bengang dengan tindakan wanita itu.
“Hah! Itu balasannya untuk lelaki buta kayu macam awak tu tahu tak! Jom Rina, kita tinggalkan saja si bodoh ni dengan egonya yang tinggi melangit tu. Tak guna kita berbincang dengan orang yang tak ada akal fikiran yang waras.”
Tanpa menunggu lama Alia terus mengheret tangan Rina. Tak beri peluang Ainul membalas kata-katanya.
Terkial-kial setiausaha dia mengikut langkah lajunya. Meninggalkan Ainul yang pantas menumbuk meja restoran seraya menjerit marah sekuat hati. Geram dengan tindakan memalukan wanita itu terhadapnya tanpa peduli dengan pandangan sekeliling yang sejak tadi melekat mata pada mereka.
Manakala Lily di sisi hanya menepuk dahi beberapa kali. Pening dengan apa yang berlaku.

ISMA sedang menulis sesuatu di biliknya pagi itu tatkala tiba-tiba saja pintu bilik pejabatnya dibuka keras dari luar. Terus dia mengangkat kepala. Tepat pada seorang gadis yang melangkah masuk penuh gaya angkuh seraya mendapatkannya. Sedang Jenny yang mengikut dari belakangnya terus bersuara. Sedikit tergopoh-gapah.
I’m sorry Encik Isma. Saya dah bagitahu dia yang Encik Isma tak nak diganggu sesiapa ketika ini tapi dia...” Kata-kata Jenny terhenti di situ bila Isma pantas mengangkat tangan.
That’s okay Jenny. Pergi sambung kerja awak semula,” arahnya lembut.
So, ada apa you nak jumpa sangat dengan I ni sampai tak faham dengan arahan yang dah I tinggalkan pada Jenny tadi?” soal Isma menatap sekilas wajah gadis yang kini berdiri seraya mencekak pinggang di depannya. Tenang saja nada suaranya.
Dia menunduk semula. Menyambung kerjanya yang terhenti sebentar tadi.
Fasya merengus kasar.
Is, I want to know something. Kenapa you cuba elak dari jumpa dengan I sekarang ni? I call your handphone but you off it. I pergi rumah you tapi family you cakap you tak ada. Bila I datang ke office you, your secretary pulak kata you tak nak diganggu sesiapa sekarang ni. What’s wrong with you Isma? Kenapa you cuba elak diri dari bertembung dengan I hah?” Bertalu-talu dia bertanya. Sedang matanya sudah lama terlekap tajam di wajah tenang lelaki itu.
“You cakap apa ni Fasya? Mana ada I mengelak dari you? I cuma sibuk aje kebelakangan ni. Terlalu sibuk hingga masa untuk diri I sendiri pun I tak ada. So I tak ada masa dan tak nak buang masa berjumpa dengan sesiapa yang I rasa tak bawa sebarang kepentingan untuk diri I dan jugak syarikat.
You pun tahu kan, sejak dari dulu lagi I dah sangat-sangat kekurangan masa untuk diri sendiri. So, I tak nak bazirkan masa emas I dengan membuat perkara-perkara yang tak berfaedah dan I pasti sangat-sangat yang you benar-benar faham dengan apa yang I katakan tu,” sahutnya lembut. Menguntum senyuman buat gadis itu meskipun tidak ikhlas. Fasya terus mencebik bibir.
“Huh, semua tu hanya alasan you saja kan? You fikir I apa Is? I tak ada kepentingan dalam hidup you? Hei, come onlah. Mungkin you lupa apa hubungan yang wujud antara kita Is. Family kita berkawan sejak kita kecil lagi. You dengan I dah lebih dari kawan tapi you boleh kata yang I ni tak ada apa-apa kepentingan pada you? How could you said like that to me?” bentak Fasya dengan mata yang sudah berkaca. Nampak sangat air mata itu dibuat-buat di mata Isma yang segera merengus halus. Dia tersenyum sinis.
“Ooo... hanya kerana family kita berkawan baik sejak kita kecil bermakna you dengan I kena ada pertalian yang lebih kurang sama macam tu jugaklah, begitu?” Kening kanan Isma sudah terangkat sedikit. Dia tersenyum semula. Hanya seketika sebelum kembali bersuara serius.
Listen carefully Fasya. Selama ni I tak pernah anggap you and your family sebagai orang asing dalam hidup I tapi sikap you yang suka paksa I buatkan I jelak dengan you. I benci keadaan tu Fasya. I benci sangat,” tegasnya sedikit keras. Begitu berterus-terang.
Satu sikap yang benar-benar menyakiti hati Fasya sedari dulu. Sakit hati kerana lelaki itu tidak pernah pandai menyembunyikan rasa hatinya terhadap Fasya.
“Tapi I cintakan you Is. I terlalu cintakan you. Dari kita kecil lagi I dah jatuh cinta pada you. I boleh terima you kahwin dengan orang lain tapi itu dulu. Sekarang ni you dah kembali bersendirian. Apa salahnya kalau you bagi hati you untuk I pulak? I promise Isma, I akan sayang you lebih dari apa yang sepatutnya. I janji akan bahagiakan you sampai ke akhir hayat I. I swear!” Bersungguh-sungguh gadis itu mengikat janji.
Namun kata-kata lembutnya hanya mengundang rasa marah lelaki itu.
Kasar saja Isma meluah rengusannya. Pen di tangan dihempas kuat ke meja. Sedang matanya sudah bertempel di wajah cantik bermekap tebal itu.
“Fasya, berapa kali lagi I nak bagitahu you hah yang I tak pernah cintakan you dan takkan sesekali cintakan you sampai bila-bila pun? You know why? Because I dah anggap you and your family as my own family. Mana mungkin I nak jatuh cinta dengan perempuan yang I dah anggap macam adik perempuan I sendiri?
Tolonglah Fasya. Jangan nak buat drama you kat sini. I dah bosan dengar semua ni. Bukan saja hari ni tapi dah bertahun-tahun Fasya! Dah bertahun you hanya cakap perkara yang sama! I dah jelak nak dengar semua luahan hati you tu tau. Dah jelak!” jerkahnya sedikit tinggi.
Diusap rambutnya perlahan seraya melepas nafas pendek. Cuba menenangkan hati yang dihambat marah setiap kali berbalas berbicara dengan gadis itu. Sikap Fasya yang gemar mendesak membuatkan dia gagal menjaga batasan kata biarpun dia telah cuba tidak melangkauinya.
Isma kembali membuka mulut setelah dirinya tenang tidak lama selepas itu. Lebih lembut. Wajah masam bercampur suram gadis itu ditatap semula.
Look Fasya. Dah beratus kali I katakan pada you perkara yang sama, kan? Tolonglah, you cari sajalah lelaki lain yang boleh cintakan you sepenuhnya. Jujurnya I bagitahu, I memang sayangkan you tapi sayang I tu hanya sekadar sayang seorang abang pada adiknya. Itu saja. Cinta I masih kuat untuk arwah isteri I. Walau dah bertahun-tahun dia tinggalkan kita semua, tapi hati I tetap pada dia. Sebab itulah sampai sekarang I masih tak dapat terima perempuan lain dalam hidup I.
Kalau ditakdirkan suatu hari nanti I akan berkahwin semula pun, I berani jamin yang I takkan sesekali pilih you jadi isteri I sebab I tahu. I bukan pasangan yang terbaik untuk you Fasya. Mustahil ada jodoh antara kita berdua sampai bila-bila. So please. Can you leave me alone right now? Please Fasya, I beg you.” Usai bersuara dia kembali menatap timbunan kerjanya.
Sekali gus menggugurkan air mata Fasya yang telah lama bertakung di tubir mata. Benar-benar terhiris dengan kata-kata dan tingkah yang dipamerkan lelaki itu. Diketap bibirnya seketika seraya merenung tajam wajah tenang Isma.
“Baik. Kalau itu kata you, I turut tapi you ingat Isma. I tetap akan cuba menangi hati you. Selama mana I hidup, selama itu jugak I akan terus kejar you. Sampai bila-bila. Sama ada you suka atau tidak, I tak peduli. You jangan lupa Isma. Bukan menjadi sikap I beralah sebegitu mudah. Alang-alang I seluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Ingat tu Isma,” ujar Fasya penuh emosi sebelum bergegas keluar dari situ.

Isma langsung tidak peduli dengan kata-kata yang diluahkan gadis itu. Dia hilang semula dalam timbunan kerjanya. 

No comments:

Post a Comment