Followers

Saturday, 5 October 2013

BAB 21 - SETIAKU DI SINI

BAB  21

Nek Zaitun menarik nafas panjang. Surah Yasin yang sedari tadi dipegang di letak semula ke atas meja. Telekung solat yang masih membungkus tubuh di sentuh perlahan. Menarik keluar dari tubuhnya sebelum dilipat kemas.
Saat ingin berpaling, matanya terlekat pada sekeping gambar di atas meja di tepi katil. Dihulur tangan tuanya. Mencapai gambar itu sebelum diusap perlahan gambar berbingkai emas itu.
Fadzillah…
Suaranya bergema tatkala menyebut nama itu di dalam hati. Tanpa sedar dia merintih perlahan.
Telah hampir sepuluh tahun anak tunggalnya itu pergi meninggalkannya. Pergi tanpa kembali lagi. Rindunya pada anak kesayangannya itu bukan sedikit. Sehingga ke hari ini masih belum surut walau dia cuba mengekangnya.
Setahun sebelum pemergiannya, Fadzillah menghilangkan diri beberapa lama. Puas dia dan menantunya, Encik Fatih mencari sebelum ditemui pihak hospital yang menahannya di wad hospital untuk menerima lawatan lanjut atas penyakit yang dideritai anak kesayangannya itu.
Dua bulan selepas kematian Fadzillah, Fatih berkahwin dengan Puan Wardah, kawan baik Fadzillah sendiri. Dia turut membawa dua bayi kecil bersamanya saat berpindah masuk ke rumah mereka.
Bayi yang tidak diketahui dari mana asalnya. Baik Puan Wardah mahupun Encik Fatih sendiri tidak pernah mengungkit tentang hal itu. Jauh sekali membuka cerita perihal kedua bayi itu. Dan sejak itu Wardah mengambil alih tugas–tugas yang sebelum ini digalas Fadzillah sehinggalah ke hari ini.
Tak semena-mena, peristiwa yang berlaku pada hari kematian Fadzillah kembali melayang di ingatannya. Nek Zaitun masih ingat, Puan Wardah melarang keras Farhan dari menemui arwah ibunya. Malah sejak Fadzillah dimasukkan ke hospital lagi Puan Wardah telah berpesan pada Farhan agar tidak menemui ibu kandungnya biarpun Farhan puas merayu. Alasan yang diberi Puan Wardah, keadaan yang sedang dihadapi Fadzillah ketika itu tidak mengizinkan sesiapa dari bertemu dengannya.
Sehinggalah arwah Fadzillah telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan, Farhan masih tidak dibenarkan untuk menatap wajah ibu kandungnya buat kali terakhir. Malah Puan Wardah turut menghalang Nek Zaitun dan Farhan dari menjejakkan kaki ke kawasan perkuburan buat beberapa ketika. Hanya selepas beberapa lama barulah mereka dibenarkan untuk menjenguk pusara arwah Fadzillah.
Kerana itu Nek Zaitun tidak dapat menerima kenyataan itu. Kenyataan yang Fadzillah meninggal dunia kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya seperti mana yang diperkatakan Puan Wardah dan Encik Fatih kepadanya dan bukannya kerana penyakit misteri yang dideritai sebelum arwah meninggal dunia. Malah Nek Zaitun tidak pernah mempercayai kenyataan itu.
Baginya, kenyataan suami isteri itu hanyalah sekadar menutup kesalahan yang pernah mereka lakukan terhadap anak perempuan kesayangannya. Kesalahan yang mempunyai kaitan dengan penyakit misteri yang dihidapi arwah Fadzillah pada pandangan Nek Zaitun walau itu hanya andaiannya. Kesalahan yang sehingga kini hanya meninggalkan tanda tanya pada dirinya tanpa sebarang kepastian yang jelas.
Nek Zaitun juga beranggapan kematian Fadzillah adalah disebabkan angkara Puan Wardah yang merampas Encik Fatih dari tangan arwah. Merampas kasih sayang lelaki itu dari isteri kesayangannya sendiri. Merampas kebahagiaan rumah tangga yang telah berpuluh tahun dibina atas dasar cinta itu. Merampas segala kepunyaan Fadzillah tanpa adanya perasaan belas kasihan.
Wanita itu begitu kejam di mata tua Nek Zaitun. Kejam dalam memisahkan kasih sayang seorang ibu terhadap anak kandungnya. Kejam dalam merebut kasih sayang seorang suami terhadap isterinya. Kejam dalam memusnahkan rumahtangga sahabat baik sendiri.
Hati Nek Zaitun semakin bernanah tatkala Encik Fatih mengambil keputusan untuk mengambil Fadlan dan Fakhira sebagai anak-anaknya atas cadangan Puan Wardah sendiri. Cadangan yang pada mata Nek Zatun sengaja dibuat bagi menutup kekurangan diri Puan Wardah sendiri yang tidak mampu melahirkan walau seorang anak setelah  wanita itu terlibat dalam satu kemalangan jalan raya suatu ketika dulu.
Dan kehadiran kedua kembar seiras itu ternyata menambahkan lagi luka hatinya yang sedia ada. Luka di hati tuanya dirasakan semakin parah setiap kali memandang wajah kedua kanak-kanak comel itu.  Kewujudan keduanya sering mengingatkan dirinya pada kekejaman yang pernah dilakukan Puan Wardah terhadap anak perempuannya tak lama dulu. Kekejaman yang tak mampu dimaafkannya sehingga ke saat ini. 
Kerana itu dia sering melepaskan amarahnya pada keduanya walau dia sedar kedua kanak-kanak itu tidak pernah menyakiti hatinya. Malah keduanya senantiasa berusaha mendekatkan diri padanya. Berusaha memenangi hatinya walau mereka sedar, tiada harapan walau secubit untuk merasai kasih sayangnya.
Dan kerana itu juga dia sentiasa menyalahkan Puan Wardah dalam semua perkara. Melemparkan kata-kata kesat dan penuh penghinaan terhadap wanita itu. Walau dia tahu Puan Wardah tidak pernah membalasnya namun dia tidak peduli. Dia puas andai dapat menyakitkan hati wanita itu. Dia gembira melihat kesedihan terus-terusan melekat di wajah dan hati Puan Wardah. Dia bangga kerana dapat melukakan hati seorang wanita yang dianggap telah menghancurkan hidup anak kesayangannya.
Begitu pun, tiada ketenangan yang menyusup ke ruang dadanya setiap kali dia melepaskan kemarahan pada Puan Wardah mahupun kedua kembar itu. Malah hati tuanya menjadi semakin gusar dan runsing. Gusar yang dia sendiri tidak memahaminya. Runsing yang dia sendiri tidak ketahui puncanya.
Jika diikutkan hati, mahu saja dia berlalu keluar dari rumah itu. Rumah yang tidak pernah memberi kebahagiaan walau secubit padanya. Namun dia kuatkan hati untuk terus berada di situ hanya kerana Farhan. Cucu kesayangannya itu merupakan satu–satunya harta peninggalan arwah Fadzillah padanya. Hanya itu saja yang menjadi pengikat kasihnya dengan arwah anak kesayangannya. Tambahan Nek Zaitun sudah tidak mempunyai sesiapa lagi dalam hidupnya lantaran dia sendiri sebatang kara.
Mengingatkan semua itu membuatkan airmata Nek Zaitun kembali berhamburan. Dia teresak sendiri.

Dhia menyedut udara sedalam mungkin sebelum dilepasnya perlahan-lahan. Dia baru sahaja selesai menunaikan solat Isyak dan bercadang untuk terus tidur namun matanya masih tidak mahu terlelap.
Sudah puas tubuhnya bergolek ke kiri dan kanan. Cuba melelapkan mata yang masih terbuka luas namun cubaannya gagal. Akhirnya dia beralah pada diri sendiri. Keadaan mata yang masih segar bugar dibiar meratah siling bilik yang kelihatan samar-samar disimbah cahaya bulan yang menyuluh masuk ke ruang bilik. Merenung kipas angin yang berputar ligat di kepalanya. Sambil itu benaknya melayangkan sesuatu bayangan. Bayangan diri seseorang yang amat dikenalinya. Bayangan Farhan.
Dalam kegelapan bilik, Dhai tersenyum sendiri mengenangkan keadaan hatinya yang berdebar setiap kali wajah Farhan ditayangkan di ruang matanya. Hati gadisnya begitu kuat bergoncang malah menjadi lebih hebat andai Farhan berada di depan matanya. Namun keceriaan dan sikap selambanya berjaya menyembunyikan debaran itu. Debaran yang Dhia sendiri mengerti maksudnya. Cukup mengerti.
Dalam diam, Dhia mengakui. Dia sukakan Farhan sejak kali pertama matanya terpandangkan wajah lelaki itu. Suka yang dia sendiri tidak mampu menafsirkannya di kala itu. Sikap yang ditonjolkan lelaki itu amat disenanginya walaupun Farhan bagaikan tidak pernah peduli dengan kehadirannya di rumah Encik Fatih. Kehadirannya bagaikan halimunan di mata lelaki yang sentiasa berwajah serius itu.
Seumur hidupnya, inilah kali pertama hatinya berdenyut sebegitu laju. Denyutan yang membawa satu makna yang kini telah cukup difahami Dhia. Denyutan yang menunjukkan tentang kehadiran satu rasa. Rasa yang ingin dinikmati oleh sesiapa saja yang bergelar makhluk Tuhan di dunia ini. Rasa cinta.
Begitupun Dhia sedar, mana mungkin dia memikirkan tentang rasa cinta itu buat masa ini. Malah mungkin dia tidak akan dapat memikirkannya di masa depan. Masa yang dipunyainya di waktu ini hanyalah untuk melakukan sesuatu yang bakal membahagiakan orang lain. Bukan dirinya. Sesuatu yang turut akan membahagiakan dirinya walau dia sedar dia tidak mungkin sempat merasai kebahagiaan itu.
Mata Dhia kembali beralih pandangan. Ke sebelah kanan katil. Tangannya memetik suis lampu lampu yang ada di tepi katil. Untuk seketika bilik tidur itu diterangi cahaya kecil yang menyuluh keluar dari lampu yang terpasang. Jari-jemarinya mencapai sehelai kertas yang diambil dari Hidayat beberapa hari lalu. Terlipat kemas di bawah dompetnya. Dibukanya perlahan sebelum memandang lama kertas putih bersih itu.
Dhia menarik nafas panjang. Melihat kandungan kertas itu menyebabkan hatinya digugah rasa sedih. Sedih mengenangkan nasib diri yang telah ditentukan Allah. Tidak serupa sepertimana orang lain yang turut berada di muka bumi ciptaan Allah ini. Begitu pun, dia tidak menyesal dengan keadaan itu. Dia sedar, setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya. Dia perlu menerimanya dengan redha dan sememangnya dia telah lama bersedia dengan semua itu walau tidak sepenuhnya.

Fikirannya kembali melayang mengingati Farhan. Mengingatkan lelaki itu membuatkan benak Dhia terfikirkan sesuatu. Sesuatu yang telah lama berada di dalam ruang mindanya. Sesuatu yang dirasakannya mampu membantu Farhan dalam menjalani kehidupan yang lebih bermakna. Sesuatu yang bakal dilakukannya sebelum dia pergi buat selamanya. Itu janjinya pada diri sendiri. 

No comments:

Post a Comment